رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Jumaat, 15 Mac 2013

# keluarga # kesihatan

Ceritera si anak : Fathi, Fatihah, Fahmi

Sebelum saya menjadi pelupa, saya mahu abadikan kisah ini dan pengalaman di sepanjang kehamilan dan kelahiran insan-insan kesayangan saya ini.


Dahulu, semasa anak pertama masa mengandung dirasakan sangat indah. Semasa itu, diri sendiri membawa 1 kandungan sahaja. Tiada anak lain untuk diuruskan atau dilayan. Tambahan pula hanya duduk di rumah goyang kaki. Ketika itu, kami masih di KL. Kebanyakan masa adalah untuk diri sendiri dan anak dalam kandungan. Memasak pun tidak. Dapur tak berasap langsung kerana saya tak boleh bau langsung bawang yg bertemu dengan minyak panas. Menumis saja, walaupun terbau jiran sebelah memasak, saya akan muntah. Dari awal hingga akhir kehamilan.

Hasilnya, Fathi sangat sensitif dengan bau-bauan. Dia cepat mengenalpasti bau yg busuk atau wangi. Hinggakan isi ikan atau sayur kecil yg dihancurkan dan dicampurkan dengan nasi pun dia akan tahu yg nasi itu ada ikan atau sayur. Akibatnya, putus selera! Aduhaii..

Menjelang kelahiran Fathi dahulu,  air ketuban saya pecah sendiri ketika sedang makan tengahari di hari Jumaat yg indah. Ketika itu, tuan suami masih di KL bekerja dan saya sudah lama di JB di bawah pengawasan emak dan abah. Air ketuban pecah jam 3 petang. Terus ke hospital. Jam 6 petang baru saya dapat katil masuk wad. Hanya jam 8 malam baru saya rasa contraction bermula. Tuan suami ketika itu di dalam keretapi menuju ke JB selepas waktu pejabat. Emak yg temankan ke hospital sehingga saya beranak. Tapi di luar saja bersama abah. Tak boleh masuk.

Saya keseorangan dalam labor room melahirkan Fathi tepat jam 12.05 tengahmalam pada 21 Februari 2009 di Hospital Sultan Ismail Johor. Keluar saja LR, saya menitiskan airmata melihat emak dan abah masih menunggu di luar menyambut saya dan Fathi walaupun sudah jam 2-3 pagi. Suasana pagi itu sangat syahdu tanpa kehadiran tuan suami di sisi. Abah yg mengazankan Fathi selepas tiba di katil.. Sebak mendengar alunan azan seorang atok kepada cucu pertamanya..




Anak kedua hadir tanpa diduga. Rezeki yg tiba tidak disangka, tidak dirancang sedikitpun. Semasa Fathi 9 bulan, saya disahkan mengandung. Mulanya, ia agak sukar untuk saya terima. Secara ekonomi, kami masih belum stabil. Saya cuba meredhakan diri dengan takdir ini melalui pencarian maklumat tentang anak yg rapat juga perkongsian pengalaman dari jiran sebelah yg dahulunya juga pernah mengandungkan anak seterusnya ketika anak sebelumnya masih 3-4 bulan lagi. Akhirnya, saya sangat redha dan percaya ada hikmah di sebalik 'kejadian' tak diduga ini.


Mengandungkan Fatihah sangatlah menyenangkan dan ringan. Tiada masalah langsung dan kurang sakit berbanding pengalaman pertama dulu. Boleh memasak, mengemas seperti biasa. Siap boleh mengemas dan mengangkat barang untuk berpindah dari KL ke JB.

Cabarannya lebih kepada mengurus emosi si sulung Fathi  kerana dia baru menginjak 1 tahun dan saya sudah tidak mampu mendukung dan bermain-main bersamanya lagi disebabkan perut semakin membesar. Emosi Fathi sangat terganggu mungkin disebabkan dia merasa tidak mendapat kasih sayang yg cukup lagi.

Tambahan pula, saya terpaksa menghentikan penyusuan badan sebelum umurnya mencecah 1 tahun lagi. Saya tidak berupaya menyusukannya penuh 2 tahun sejak mula mengandungkan anak kedua. Saya punya masalah hemoglobin (HB) rendah. Itu yg membuatkan saya tidak cukup kuat meneruskan penyusuan. Emosi Fathi memang sangat terganggu hingga selepas kelahiran adiknya.

Menariknya, menjelang kelahiran Fatihah sangat mudah! Sepanjang kehamilan, saya tak punya banyak masalah kecuali HB rendah. Itu biasalah. Fathi juga dulu begitu. Paling rendah HB saya 9.0.

Satu petang, ketika memakaikan Fathi pampers selepas mandi petang, dengan tak sengaja Fathi tertendang perut saya. Perut mengeras. Tak sakit. Selepas maghrib saya rasa tak sedap hati. Perut masih mengeras. Lalu, saya putuskan selepas isyak ke hospital segera kerana perut masih mengeras tidak surut langsung dari petang tadi. Sampai di hospital rupanya sudah buka 4 cm! Lalu, saya terus dibawa ke LR segera. Air ketuban saya dipecahkan. Jam 11 malam baru saya rasa sakit contraction (selepas 2 jam air ketuban dipecahkan).

Fatihah lahir tepat jam 3 pagi pada 3 Jun 2010 di Hospital Sultan Ismail Johor juga. Kali ini, tuan suami ada di sisi melihat proses kelahiran anak dari awal hingga akhir. Tak pernah melihat tuan suami menggigil sebegitu dasyat sekali hingga misi pula yg suruh tuan suami rileks dulu di luar haha! Alhamdulillah, kali ini tuan suami dapat mengazankan anaknya sendiri di waktu pagi yg hening dan mendamaikan sekali.. Keluar saja LR azan subuh berkumandang dari jauh. Sungguh tenang..

Semasa ini, kami sudah berpindah ke JB disebabkan untuk melahirkan Fatihah saja. Kerjaya suami terpaksa dilepaskan memandangkan kami tidak mahu lagi melalui situasi 'berulang-alik' KL-JB-KL oleh tuan suami. Lagi pula, anak sudah 2 ini perlu difikirkan untuk menjaga sendiri daripada melepaskan semuanya kepada orangtua.

Jika sebelum ini semasa mengandungkan kedua-duanya, saya tak sempat merasakan contraction yg lama. Contraction hanya ketika betul-betul anak sudah di muka pintu dan terus 'melompat keluar'. Hingga misi meminta maaf kerana tak sempat bersedia apa-apa walaupun saya sudah mengatakan yg saya ini cepat melahirkan. Dia cuma mengatakan, "Bukaan masih 8cm, lambat lagi ni.." Akibatnya, begitulah jadinya jika tak percaya pada intuisi ibu yg mahu bersalin..

Anak ketiga ini sangat mencabar! Hadirnya awal dulu juga tidak dirancang apalagi disangka.

Pada mulanya, saya sudah bersedia untuk mengandung semula ketika Fatihah menjejak 2 tahun. Namun, ketika sangat berharap, ditunggu, dirancang, itulah yg tidak menjadi! Saya pasrah disebabkan saya punya masalah darah rendah dan memang susah untuk mengandung lagi bagi orang seperti saya.

Menurut Mak Aji urut kepercayaan saya (punya pengalaman banyak dalam perbidanan), ada 3 faktor utama untuk memastikan seseorang yg mahu dan boleh mengandung. (Mak Aji juga ada berkongsi tip/petua untuk mendapatkan anak lelaki/perempuan berdasarkan pengalamannya sendiri).

3 faktor utama yg harus dititik beratkan ialah :

1. Rahim isteri yg 'terletak pada tempatnya' bukan rahim yg senget.
2. HB/darah isteri yg cukup kuat dan tidak rendah.
3. 'Sumber dari suami' yg cukup kuat.

Mak Aji urut berpesan, bagi orang yg mahukan zuriat tapi belum mendapat dan mahu mengusahakan Tabung uji atau IVF, jangan buat sehingga dipastikan betul-betul 3 faktor ini terlebih dahulu. Jika tidak, anda hanya akan rugi masa dan rugi wang saja katanya.

Takdirnya, tuan suami disahkan menghidap Spinal Tumor secara tiba-tiba  tanpa disangka. Bermula itu, saya berhenti berharap. Tambahan pula, doktor pakar mengatakan ada kemungkinan tuan suami akan lumpuh kerana ketumbuhan itu sudah sangat lama dan sangat besar hingga mungkin akan terjejas urat di sekitar yg terlibat pada paras itu.

Saya pasrah. Ketika itu, saya boleh menerima ketentuan itu dengan sangat redha dan tenang. Saya memanjat kesyukuran walaupun anak hanya ada 2 orang saya sangat bersyukur kerana dikurniakan sepasang lelaki dan perempuan. Saya memang bersyukur atas kurniaan ini dan memeluk kedua orang anak saya ini dengan linangan airmata. Memang tidak berharap apa-apa lagi selepas ini. Saya sudah nekad dan menerima ketentuan Yang Maha Penentu.

Hidup saya memang banyak berlaku perkara yg tidak terduga. Itulah kehidupan.

Semasa dalam proses rawatan tuan suami dalam hospital lagi saya sudah merasakan kepenatan yg luar biasa. Bayangkan, saya punya tekanan darah rendah. Berulang-alik keluar masuk hospital dengan anak kecil yg masing-masing sakit dan tidak mahu berenggang langsung dan keadaan makan minum tidur yg tak menentu. Fathi demam panas, Fatihah bronkolitis, tidur di wad yg maha sejuk itu selama seminggu dan badan yg sakit-sakit akibat stres dan down yg paling teruk dalam hidup saya.

Saya menyambut berita gembira ini dalam kesedihan. Buat pertama kalinya, saya menyambut berita gembira yg ditunggu-tunggu ini dengan tangisan hingga terduduk. Perasaannya tak boleh diucapkan. Saat kesedihan dan 'kegelapan' paling mendalam dalam hidup saya inilah Allah kurniakan saya kegembiraan tanpa diduga sedikitpun.

Pada awalnya, tidak seperti kehamilan sebelum ini. Saya seperti tidak mengandung langsung. Saya menjadi sangat lasak keluar masuk hospital bersama anak-anak. Melihatkan tuan suami dibedah buat kali kedua, sangat menyayat hati dan merobek emosi yg mendalam.

Malam harijadi saya yg ke-30 hanya diingati seorang diri dalam wad sambil memegang perut dan tangan tuan suami diletakkan di atasnya. Semasa itu, tuan suami tidak mampu bergerak walau seinci selepas pembedahan kali kedua. Hanya terlihat airmatanya jatuh ke pipi seperti mayat hidup.

Dengan doa yg diiringi airmata, saya berdoa,

"Demi anak dalam perut ini Ya Allah, berilah kekuatan untuk suamiku berupaya bangun dan sembuh seperti sediakala.. Seperti anak yg Engkau jadikan ini, aku tahu Engkau sedang mengajariku akan sesuatu. Sesungguhnya anak ini adalah keajaiban juga penawar bagi kesakitan suamiku. Dan demi anak ini suamiku, bangunlah dan kuatkan dirimu untuk terus hidup. Sesungguhnya, Allah sedang menunjukkan kita sesuatu. Anak ini bakal menjadi orang yg hebat atas keajaiban yg Allah anugerahkan".

Selepas kandungan berusia 2 bulan saya mula mengalami mabuk seperti biasa. Semasa itu bulan puasa. Keadaan saya sangat lemah. Semuanya perlu dibuat sendiri. Mandikan anak, melayan ragam anak dua orang ini yg mula 'tunjuk rasa' disebabkan abahnya yg tak mampu bermain dan mendukungnya seperti selalu. Serta cubaan untuk berpuasa penuh saya rasakan amat memeritkan. Setiap kali bersahur, pasti akan muntah. Dan saya akan longlai sepanjang hari.

Mujur tuan suami sembuh dengan cepat lebih kurang dua bulan lebih dan kemudian tuan suamilah yg mengambil alih tugas melayan dan mengurus anak-anak. Alhamdulillah.

Kandungan ini hampir 'tewas'. Dengan tekanan darah yg rendah yg teruk setiap kali mengandung dan faktor usia, kerapkali Mak Aji urut mengatakan kandungan ini sangat lemah dan sudah berada di permukaan pintu. Teran sedikit saja lagi akan keguguran.

Maha Suci Allah yg menciptakan sesuatu mengikut kehendakNya. Walau bagaimana sekalipun keadaannya, tiada mudharat atau manfaat yg kita peroleh hanya dengan izin Allah!

Akhirnya, saya dapat melepasi emosi itu dan situasi itu.

Allah Maha Mendengar. Untuk menjadi orang yg hebat, si ibu dan si anak harus melalui ujian yg hebat terlebih dahulu. Kerapkali berasa sakit, saya akan teringat doa saya yg satu ini. Dan saya redha menghadapi dugaan kehamilan yg agak berlainan kali ini.

1. Sudah 3 kali ke HSA kerana mengalami sakit contraction yg agak teruk dan berpanjangan dengan selamasa yg tetap selama lebih 2 hari. Saya ingat saya akan melahirkan tak cukup bulan. Tanda-tandanya sudah lengkap. Saya sudah bersedia. Namun jalan masih belum buka. Saya disuruh pulang saja tanpa pemantauan.

2. Sudah 2 kali ke hospital pakar puteri kerana sakit hingga tak boleh bergerak sebelah kaki juga kerana sakit contraction dan pelvic pressure yg berpanjangan lebih 3 hari. Berjumpa pakar juga dia kehairanan dan pelik kerana semuanya ok. Hanya jalan belum buka lagi. Masih tak boleh berbuat apa-apa. Saya dinasihatkan untuk banyak berehat sahaja.

3. Saya terpaksa menerima injection Imferon (Iron untuk tambah darah) sebanyak 5 kali setelah result HB saya hanya 9.7. Setelah dicucuk, HB saya hanya naik menjadi 10.3. Masih mendapat pen merah! Dan akibatnya, misi yg mencucuk saya sendiri kasihankan saya kerana sudah lebam teruk punggung saya ini. Sakit dan bisanya dicucuk Imferon, Allah saja yg tahu! Ia seperti memasukkan merkuri dalam tubuh! Hingga sekarang lebamnya masih belum hilang dan bisanya masih terasa.

4. Setiap kali check up, darah saya diambil dengan banyak bukan di hujung jari. Ini menyebabkan bengkak-bengkak dan bisa-bisa di lengan. Dan kali terakhir ke HSA, saya dicucuk dua kali untuk matangkan paru-paru anak. Itupun saya disuruh pulang ke rumah kerana wad penuh dan saya harus datang sendiri ke HSA untuk cucuk kedua selepas 12 jam. Semasa misi mahu cucuk, tiada tempat yg tidak bengkak katanya. Dia juga kasihankan saya kerana kebanyakan tempat sudah bengkak. Dan dia terpaksa cucuk juga di tempat yg bengkak.

5. Yang paling tidak tahan (rasa seperti hendak bersalin awal) kerana seringkali saya mengalami Pelvic pressure yg agak teruk sehingga tidak boleh melangkah seperti biasa. Perut saya juga sudah nampak ke bawah. Kandungan saya sangat terkebawah hingga menyukarkan saya duduk di bawah atau bersila atau duduk tahiyyat dalam solat. Sangat bawah sejak kandungan 6 bulan lagi. Menginjak 9 bulan saya tak boleh duduk lama. Kebanyakan masa hanya berbaring saja. Apabila check semuanya ok, tiada masalah selain darah yg rendah. Biasanya sakit ini datang dengan contraction sekali. Banyak kali juga ke hospital, ambil CTG memang contraction yg kuat. Tapi, jalan masih tidak buka lagi maka, saya disuruh pulang saja ke rumah. Akhirnya, saya harus bertahan setiap kali ia datang. Subhanallah bila sakitnya datang tapi belum tiba masa melahirkan, ia amat memeritkan! Tidak tertanggung lagi rasanya.


13 Feb 2013 (Rabu)

Petang itu selepas Fatihah mandi, saya mahu mengelap badannya. Kebiasaannya, tuan suami yg menguruskan itu semua. Dengan tidak disengajakan, Fatihah menerpa laju ke arah saya hingga dia melanggar kuat perut ini. Arghh, sudah! Sakit! Saya teringat semasa Fatihah dalam kandungan dulu, kes abangnya tertendang perut juga.

Hingga malam itu perut masih sakit dan mengeras. Contraction juga sudah tidak kira saatnya. Bukan minit lagi. Selepas isyak terus ke hospital. Fathi dan Fatihah ditinggalkan tidur bersama atok dan neneknya.

Berdasarkan kesakitan yg sering dialami dan keluar masuk hospital tak jadi sebelum ini, intuisi saya mengatakan mungkin akan timbul sedikit masalah pada kelahiran kali ini. Mujur tuan suami menghormati saya dan memahami perasaan saya dan terus membawa saya ke Hospital Pakar Puteri Johor bukan lagi ke hospital kerajaan seperti kelahiran sebelum ini.

CTG mengesahkan contraction saya sudah seperti mahu melahirkan. 3 minit sekali selama setengah jam. Saya memang sudah sakit ketika itu. Bukaan pula hanya 1cm. Saya ditahan masuk wad.

Malam itu, saya tidur seorang diri di wad 5 katil yg luas itu. Tuan suami tak boleh tidur di wad wanita walaupun tiada pesakit lain. Sakitnya berterusan sepanjang malam. Saya rasa masih boleh bertahan. Saya tak mahu ubat tahan sakit. Akibatnya, saya tak boleh tidur sepanjang malam itu kerana sakit contraction! Siapa saja boleh menahannya?!

14 Feb 2013 (Khamis)

Esoknya, ia berkurangan sedikit sahaja. Saya cuba untuk tidur. Doktor mengatakan saya harus tidur pagi ini untuk dapatkan tenaga melahirkan nanti. Saya diberi ubat tahan sakit suntikan di punggung. Saya lali dan mamai.

Walaupun lali dan mamai, saya masih boleh mendengar orang sekitar keluar masuk. Tambahan pula, wad tiba-tiba jadi penuh dengan suara ibu yg kesakitan dan anak kecil yg baru lahir. Saya masih tak boleh tidur nyenyak langsung hingga ke petang.

(Saya difahamkan polisi baharu Hospital Pakar Puteri yg ibu-ibu harus menjaga sendiri anak baru lahir. Hanya waktu mandi dan jumpa doktor saja anak berada di nurseri).

Mak kata bawa berjalan banyak sikit supaya bukaan jadi cepat. Maghrib itu, saya berulang alik di sisi katil selama 1 jam. Hasilnya, terus sakit contraction semula dengan kuat! Sudah tidak terkira minitnya lagi. CTG menunjukkan saya dalam contraction yg tinggi! Malam itu selepas isyak, saya terus dibawa ke Labour Room. Masuk LR terus saja misi sudah bersedia dengan peralatan dan baju. Bukaan baru 4cm. Saya rasa mereka menghormati dan mengambilkira sejarah saya sebelum ini yg melahirkan dengan cepat.

Sepanjang malam tuan suami menunggu di sisi. Kali ini, pengalaman saya berbeza dengan hospital kerajaan sebelum ini, saya diberi gas tahan sakit. Setiap kali sakit, saya akan sedut gas ini di mulut yg dipegang sendiri. Akibatnya, saya menjadi mamai. Misi kata, tak mengapa. Tidur dahulu untuk dapatkan tenaga kerana saya sudah sakit sejak semalam lagi.

Maka, saya cuba untuk tidur. CTG menunjukkan anak di dalam perut juga tertidur. Dan saya bolehlah melelapkan mata sebentar.

Namun, tidak lama. Apabila sepanjang malam itu hingga ke pagi ada 3 orang yg keluar masuk untuk melahirkan, dengan jeritan mereka, saya bertambah sakit dan stres, saya tak boleh tidur! Hidung dan tekak menjadi perit pula. Saya hanya minum air zamzam dan makan kurma di atas katil LR.

Saya bertanya kenapa tidak dipecahkan saja air ketuban saya seperti anak kedua yg lepas selepas bukaan 4cm? Doktor mengatakan kerana muka anak saya ini menghadap ke atas dan walaupun pecahkan air ketuban itu mempercepatkan proses kelahiran, namun ia berisiko untuk baby berpusing semasa tiba di pintu nanti tanpa air ketuban sedikitpun.

Semasa ini, bukaan sudah 5cm. Tapi, 'laluan saya' agak keras dan jauh ke dalam. Misi dan doktor agak pelik dengan 'laluan saya' yg sangat terkedalam katanya.

(Baru saya tahu dan faham kenapa perlu tunggu betul-betul 10cm untuk meneran. Menurut doktor apabila kita meneran awal walaupun sedikit semasa sakit dan bukaan belum 10cm ini akan memberi kesan kepada saluran serviks kita. Lama-kelamaan ia akan menjadi tebal. Juga memerlukan banyak jahitan akhir nanti. Barulah saya termenung dan insaf diri mengenangkan dua anak sebelum ini tiada misi atau doktor yg 'memandu arah' saya di hospital kerajaan menyebabkan saya meneran sedikit demi sedikit apabila sakit dan belum mencecah bukaan 10cm kerana ingin cepat melahirkan. Insafnya saya! Saya baru tahu kesalahan saya..)


15 Feb 2013, Jumaat.

Menjelang subuh, dengan keadaan saya yg lali dan mamai, sakit contraction bermula semula. Bukaan hanya 5 cm. Doktor Noraini memberi isyarat untuk saya diberi induce. Jam 6 pagi saya di induce. Misi mengatakan, jika sudah sakit lama, bila di induce akan memepercepatkan lagi proses kelahiran. Dan mereka bersiap sedia dengan pantas sekali.

[Rupa-rupanya, tempat yg paling stres dalam dunia ini dan pekerjaan yg paling stres dalam dunia ini, saya boleh katakan misi yg ditugaskan di dalam LR! Sungguh!]

Pagi itu agak kelam kabut. LR penuh! Seorang demi seorang datang dan melahirkan dan keluar dengan 1001 kelegaan dan kegembiraan. Saya masih di sini lagi. Saya berputus asa. Benar-benar mengalah. Saya menangis. Saya katakan pada suami mahu dibedah saja kerana sudah tiada tenaga, tiada kekuatan mental dan fizikal lagi. Sudah tak mampu lagi untuk bertahan. Saya geleng kepala berulang kali. Suami mengatakan 'sabar..'

Untuk seketika, semasa mendengarkan perkataan sabar, saya seperti tak pernah mendengar perkataan itu sebelum ini. Saya terdiam.

Sambil mendengar jeritan demi jeritan dalam LR, saya mengumpul semula kekuatan melalui kesakitan yg terus menerus dirasai. Berulangkali saya mengatakan pada diri sendiri, inilah masanya mempraktikkan ayat "Dunia dalaman kita menentukan dunia luaran kita"...

Saya seperti membina tembok untuk menangkis semua perasaan dan jeritan yg menakutkan yg saya dengar sejak malam semalam. Saya paksa diri ini untuk mengubah fikiran dengan mendadak 100%!  Semuanya mengenai saya sendirian membina tembok pengukuhan untuk tidak terpengaruh dengan sekeliling.

Hingga jam 10 pagi. Tiada progres. Masih 5cm. Cuma 'laluan saya' sudah menjadi lembut dan tidak tebal lagi.

Doktor tak boleh tunggu saya lagi. Saya terdengar doktor ada menyebut perkataan 'force'. Lalu, dia menyeluk saya dengan agak agresif. Saya hilang nafas seketika. Beberapa kali doktor dan misi mengejutkan saya supaya bangun dan kuatkan diri untuk melahirkan. Semasa itu saya mahu menangis mendengar perkataan 'kuat'. Saya disuruh bangun dan buang air kecil dahulu.

Duduk semula di atas katil itu, saya nampak semua orang sudah bersedia. Doktor Noraini sudah menyinsing lengan bajunya. Serentak itu jugalah seorang cina sedang menjerit di bilik sebelah mahu melahirkan.

Kemudian, berlakulah penyelukan yg agak kejam! Seorang misi memegang kuat di atas perut saya. Doktor pula mencengkam kuat air ketuban saya semasa penyelukan terjadi. Saya tahu air banyak keluar dengan panas sekali. Saya hilang daya. Tiada kekuatan sedikitpun. Tak tahu kenapa. Mata saya tertutup. Tangan dan kaki saya menjadi lumpuh. Saya hanya memegang gas tahan sakit di mulut tanpa meletakkannya sedikitpun. Saya bernafas melalui itu saja. Saya terdengar doktor suruh menggantung kaki saya kerana kaki saya sudah longlai. Saya tak rasa saya punya kaki pun di ketika itu. Tuan suami diarahkan keluar sebentar.

Tiada perkataan langsnung yg keluar dari mulut saya. Hanya di dalam hati saya berzikir. Ya Latif Ya Latif Ya Latif.. Selawat... Allahu Akbar... Hingga semuanya bercampur baur.

Dalam masa yg sama saya sedar cina di sebelah juga sudah masanya melahirkan sambil terjerit-jerit. Dan saya hanya berdiam. Hanya terdengar pernafasan saya melalui gas tahan sakit itu dengan laju dan kuat. Doktor dan misi ke bilik sebelah menolong sebentar cina tersebut. Sementara itu saya berseorangan di bilik sebelah.

Ketika itu saya sangat sakit. Tiada orang mendengarnya. Saya tidak menjerit sedikitpun. Tiba-tiba terpacullah ayat "Hasbiyallah wa ni'mal wakiil ni'mal mawla wa ni'mannasiir" dalam fikiran... Dengan sepenuh keimanan saya menyerahkan diri kepada Allah untuk meneruskan kelahiran ini. Tiada sesiapa di sisi hatta seorang suami mahupun doktor pakar sekalipun.

Cukuplah Allah menjadi tempat pergantungan saya, kepada Allah nyawa ini diserahkan dan atas tangan Allah saja saya beroleh pertolongan dan kejayaan.

Saya benar-benar sakit. Nafas saya yg laju dan berbunyi kuat tadi, sudah tidak lagi kedengaran langsung. Saya ingat sudah tiba masanya untuk saya pergi meninggalkan alam fana ini. Saya mengucap syahadah dan menitiskan airmata. Wasiat sudah diberikan kepada tuan suami yg saya cintai sebelum ini. Tiada apa lagi yg mahu dibawa dari dunia ini. Tinggallah sayang, tinggallah semua.

Aku bersaksi Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Sungguh aku bersaksi untuk bertemu Nabi Muhammad dan sangat mencintai baginda segenap jiwaku sepanjang hidupku. Aku juga bersaksi hanya Allah tempat aku meminta perlindungan dan kekuatan. Moga Allah menerima amal baktiku sepanjang hidup atas dunia ini. 

Mata saya terkatup, nafas sudah tidak kedengaran dan saya tak merasa sakit lagi. Ia hilang begitu sahaja.

.
.
.
.

Saya tak pasti apa yg berlaku. Tiba-tiba saya mendengar doktor memanggil semua misi menolongnya. Serentak itu, saya merasa seperti mahu terkeluar sesuatu. Ya, seperti mahu berak sembelit! Tak semena-mena, saya menerannya sendiri tanpa disuruh. Doktor terus saja terduduk.

Saya tak pasti bagaimana saya mampu meneran dengan kuat sekali. Sekali saya meneran dengan lama sekali tanpa mengambil nafas sedikitpun sebelum itu dan nafas saya sangat panjang berbaki lagi saya rasakan. Dan kali kedua saya meneran terus saja saya mendengar anak menangis! Serentak itu terdengar tuan suami menjerit Allahu Akbar sambil mengusap-usap dahi dan kepala saya.. Ia sangat menyenangkan..

Maha Suci Allah yg memberi saya segenap kekuatan dan tenaga untuk meneran pada saat dan ketika yg benar-benar saya perlukan. Hasbiyallah wani'mal wakiil!


Fahmi dilahirkan lebih kurang jam 11.08 pagi pada hari Jumaat yg penuh dengan keajaiban dengan bacaan 3.04kg. Fahmi tidak besar. Kepalanya dan badannya kecil saja sama seperti abang dan kakaknya dahulu. Cuma tulangnya memang terasa mampat dan panjang. Ketika diletakkan atas dada saya, saya tak mampu  memegangnya kerana tangan saya tidak mampu saya angkat langsung. Saya tidak dapat merasa tangan saya sendiri. Saya hanya mampu terus mengucapkan Allahu Akbar berulang kali dengan airmata yg sejuk sehingga doktor dan misi panik sebentar apabila melihat saya masih longlai. Banyak kali dipukul-pukulnya kaki dan tangan saya tapi tiada respon.

Hingga beberapa ketika, barulah saya dapat merasakan kaki dan tangan saya kembali. Subhanallah!

Dan trauma saya kembali semula apabila terdengar cina di sebelah menjerit kembali! Saya mahu segera keluar dari LR walaupun tanpa jahitan!

.
.
.
.

Benarlah, setiap anak itu unik. Begitu juga mengandungkan mereka juga unik dan pengalamannya pasti takkan sama dengan anak yg lain apalagi ibu-ibu lain. Pengalaman setiap ibu mengandung dan pengalaman melahirkan pasti berbeza-beza. Seperti uniknya cop ibu jari. Begitulah uniknya kesakitan dan pengalaman mengandung sehingga proses melahirkan anak-anak atas muka bumi ini. Hanya kepada Allah kita berserah. DaripadaNya kita datang dan hanya kepadaNya kita akan kembali.

Melahirkan anak itu bererti bersedia untuk mati. Mati itu indah. Kita pulang ke pangkuan Pencipta kita dan pulang ke 'perkampungan' asal diri kita diciptakan. Sekarang atau akan datang, kita semua pasti akan pulang.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


[Setelah seminggu keluar hospital, barulah suami menceritakan apa yg terjadi kepadanya.]

Semasa tuan suami diarahkan keluar sebentar, dia tak pasti apa yg sedang terjadi. Lama menunggu di luar katanya hingga tiba-tiba dia melihat Doktor Noraini terkocoh-kocoh keluar dari bilik sebelah dan terserempak dengannya di ruang menunggu. Doktor cam tuan suami dan menyuruhnya segera masuk. Katanya dia dan misi lain terkunci di bilik sebelah. Tiada misi di bilik saya jadi tiada siapa yg boleh membuka pintu itu. Terpaksalah doktor menggunakan pintu di luar ini. Masuk saja ke dalam tuan suami melihat saya keseorangan dan sudah nampak rambut anak!

Fuh! Pengalaman yg sungguh mahal...

Alhamdulillah 'ala kulli haal..



5 ulasan:

babyelle berkata...

Subhanallah... Kak dah... tabahnye akak...

E-sihat.com berkata...

Tabahnya akak menghadapi dugaanNya.

Tanpa Nama berkata...

Hiba saya baca cerita akak ni. Punya syg Allah pd akk.. Semoga akak terus diberi kekuatan dan kesabaran. Kita igt kita ada org lain lbih bsr dugaan dr kita. MasyaAllah

AmmarinaCorner berkata...

Sangat menyentuh perasaan...MasyaAllah...Moga Allah memberikan kekuatan untuk saya menjadi setabah kakak

AmmarinaCorner berkata...

Sangat menyentuh perasaan...MasyaAllah...Moga Allah memberikan kekuatan untuk saya menjadi setabah kakak

#jdtblogger #teambloggerjohor