Ahad, 28 Januari 2018

Motivasi tertinggi untuk membaca al Quran





Sebelum ini, saya banyak terima soalan daripada ibu yang duduk di rumah bagaimana untuk konsisten membaca al Quran kerana masa sudah dihabiskan dengan mengurus anak-anak. Persoalan ini bukan dari seorang. Tapi ramai. Katanya, berbeza sewaktu dia bekerja dahulu, masih punya waktu kosong walaupun sebentar di ofis di kala waktu rehat atau sesudah sampainya di ofis. Tetapi, apabila sudah berhenti kerja dan duduk di rumah, semuanya sudah "ke laut".

Inilah realitinya menjadi "stay-at-home-mom". Kita takkan dapat merasainya selagi kita tak benar-benar "duduk di rumah" mengurus anak-anak seorang diri.

Namun, saya juga memahami ibu bekerjaya di ofis juga tak selalunya ada waktu senggang. Adakala juga lebih terkejar-kejar semua perkara berbanding ibu yang duduk di rumah. Masing-masing ada "plus minus" nya tersendiri. Tidak perlulah bergaduh dan membanding-bandingkan siapa yang lebih penat atau siapa yang lebih banyak kerjanya.

Jauh lebih penting lagi, siapakah yang dapat membaca al Quran secara konsisten setiap hari?

Semasa rakan-rakan saya mahu membuat satu grup whats app mengaji dengan membahagi-bahagikan surah untuk dibaca setiap seorang mengikut tempoh yang ditetapkan, saya terpaksa menyatakan kebenaran walaupun pahit untuk ditelan. Mungkin sesetengah rakan lain beranggapan "apapun tak boleh" ataupun mungkin saya ini berfikiran negatif kerana kurang bersetuju dengan grup mengaji yang dibentuk melalui whats app ataupun telegram.

Saya menyatakan begini,

Tentukan tujuan sebenar mengapa ingin membentuk grup mengaji di whats app? Ya, walaupun tujuannya baik dan dapat memastikan kita tetap akan mengaji setiap hari tetapi matlamat tidak menghalalkan cara.

Jika tujuannya untuk khatam al Quran, maksud sebenar khatam al Quran itu ialah seseorang yang membaca dari awal surah bermula al fatihah, al baqarah dan seterusnya sehingga diakhiri dengan bacaan surah an nas. Bukan tebuk-tebuk membacanya.

Seseorang tidak dikatakan khatam al Quran dengan hanya membaca 1 surah / 1 juzuk yang ditugaskan membacanya manakala, orang lain pula menghabiskan membaca surah yang lain untuknya dan kemudian dikatakan khatam berjemaah (beramai-ramai). Tidak. Bukan begitu maksud khatam al Quran yang sebenar.

Khatam berjemaah ini sebenarnya berasal dari tadarus. Mengaji beramai-ramai sambil orang lain mendengar bacaan kita dan membetulkan kesilapan bacaan jika ada.

Jika tujuannya untuk bertadarus, ia perlu dibaca dengan syarat orang lain mendengar bacaan kita dan membetulkan bacaan yang salah. Ingat, tak semua orang membaca al Quran lancar dan betul semua tajwidnya seperti kita.

Apalagi jika kita tak mengenali siapa dan latar belakang pengajian ahli yang dimasukkan dalam kumpulan yang dibentuk itu. Tadarus sebenar bertujuan untuk memperbaiki bacaan dan wajiblah ada orang lain menyemak dan mendengar bacaan setiap ahli yang membaca.

Ia masih boleh dilakukan secara maya melalui whats app atau telegram DENGAN SYARAT ada guru yang dilantik untuk mendengar bacaan dan membetulkan bacaan setiap ahli. Baca sama-sama. Semak sama-sama. Ia pasti akan mengambil masa perlahan-lahan, itu tidak mengapa. Dengan ini tujuan kita membaca al Quran setiap hari masih dapat dilaksanakan. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Jangan sesekali meletakkan target tempoh tertentu untuk membaca al Quran kerana al Quran itu bersifat 'timeless'.

Jangan sesekali meletakkan al Quran itu di whats app atau di telegram kerana al Quran itu lebih mulia daripada apapun pengantara seperti media sosial.

Jika mahu diteruskan, silakan jika ada gurunya. Tetapi, suka saya ingatkan bahawa jangan berhenti membaca al Quran hanya selepas target sudah berjaya dicapai. Dengan media sosial dan target tertentu tidak akan menjadikan kita konsisten mengaji selamanya. Ia bersifat sementara.

Ini kerana media sosial hanyalah medium / alat untuk kita sampai ke tujuan. Tetapi ia perlu dilakukan dengan cara yang betul menepati makna sebenar dan tujuannya yang jelas.

Al Quran lebih MULIA daripada media sosial. Maka, letakkanlah al Quran pada tempatnya yang betul. Walau tanpa perantaraan pun al Quran tetap boleh dibaca. Didik diri kita untuk punya disiplin membacanya seperti mana kita mahu mendidik anak-anak terus mengaji setiap hari secara berdisiplin.

Masalah utama bagi ibu-ibu sebenarnya ialah time management.

Bagaimana kita boleh konsisten (istiqamah) mengaji jika hari-hari kita disibukkan dengan urusan anak-anak?

Nampak tak?

Kita telah meletakkan anak-anak sebagai bebanan di sini. Kita menuduh anak-anak menjadi punca kita jauh dari rahmat Allah. Walhal, Allah anugerahkan walau seorang anak kepada kita agar kita mensyukuri nikmatNya dan mendekatkan diri kita lagi kepadaNya. Bagaimana kita boleh berfikiran anak-anaklah menjadi punca jauhnya kita dari al Quran? Astaghfirullah.

Usah kita berfikiran demikian kerana inilah punca mengapa anak-anak terus menerus bertingkahlaku yang menyesakkan dada sehingga menjadi bebanan kepada kita selama ini. Ada saja "drama demi drama" setiap hari sehingga kita merasa susah membawanya ke mana-mana walaupun ke kedai sebentar kerana susah mengawalnya. Ini semua kita rasakan bebanan dan tekanan. Maka, selamanya anak menjadi bebanan kepada kita sehingga kita boleh jadi semakin jauh dari al Quran.

Ubah mindset ibu-ibu sekalian.

Ubah mindset ibu-ibu sekalian.

UBAHLAH mindset ibu-ibu sekalian.

Ada beberapa cara yang boleh saya cadangkan berdasarkan pengamalan saya dari dulu hingga 10 tahun saya menjadi surirumah tahun ini. Alhamdulillah. Jika ada ibu surirumah yang lain ingin menambah perkongsian, silakan tulis di bawah ya. Saya alu-alukan juga kita kongsi sama-sama membantu ibu lain.

1. Baca al Quran atau surah al mulk sewaktu mahu tidurkan anak.

Semasa anak masih kecil amat mudah mendapat waktu sebegini untuk mengaji ya. Heaven rasanya semasa anak seorang / dua saya dapat mengaji sambil menidurkan anak dan mengusap-ngusap kepalanya.

Niatkan amalan membaca al Quran kita pada setiap kali sebelum tidur ini akan menjadi contoh akhlak kepada anak-anak agar suka mengaji satu masa nanti setiap hari. Bila anak mendengar ibunya mengaji dengan sendirinya dia akan mudah bertenang dan cepat masuk tidur bila besar kelak. Tiada masalah anak tidur lewat.

Bagi bayi, biasakan menyusukan anak sambil membaca al mathurat.

2. Baca al Quran selepas subuh.

Disiplinkan diri kita sebelum check whats app / facebook pada setiap pagi, "checklah" dulu al Quran. Bacalah walau setengah muka atau satu muka surat pun jadilah. Tak lama, hanya sekitar 3-5 minit saja. Baca whats app / facebook pun lebih lama dari 3-5 minit ini bukan? ;)

Selepas subuh juga kebiasaannya anak-anak masih tidur. Semasa ini, bacalah al Quran dengan niat lembutkan hati anak-anak yang mendengarnya semasa separuh sedar. Biar masuk ke jiwanya. Percayalah, anak-anak yang awal paginya mendengar bacaan al Quran akan mudah dibentuk dan mengikut kata. Mereka akan lebih tenang dan bertingkah laku dengan lebih terkawal. Tiada masalah nak lembutkan hati anak jika kita sendiri lebih dulu "lembutkan hati" kita untuk membentuk disiplin membaca al Quran sebelum membaca yang lain. Insha Allah.

Jika tak dapat membaca lepas subuh semasa hari persekolahan anak-anak (bagi anak-anak dah besar), boleh tetapkan waktu ini di hujung minggu saja pun ok. Tiada masalah. 2 hari seminggu pun sudah cukup baik mengaji selepas subuh. Alhamdulillah.

Di hari Jumaat pula, boleh membaca surah al kahfi bermula malam hari lagi separuh surah, sekitar 10-15 minit saja. Bergantung kelancaran bacaan. Paginya, boleh habiskan baki lagi separuh surah. Niatkan bacaan untuk keselamatan keluarga dan anak-anak dari perkara yang boleh menggugat keimanannya di akhir zaman ini.

3. Wajibkan waktu maghrib sebagai "bonding time" utama.

Jika kita mahukan "me time", begitu jugalah keperluan anak-anak di hadapan mata kita. Mereka juga perlukan "we time".

Tetapkan waktu maghrib sebagai waktu untuk solat bersama dan mengaji bersama. Displinkan dan pasakkan dalam mindset anak-anak masa maghrib hanya untuk solat dan mengaji dulu sebelum mahu bermain atau makan atau buat homework atau apa saja. Bertegas dengan rutin ini dari awal.

Walaupun ada anak yang kelaparan semasa itu pun, tetapkan kepadanya "ini masa untuk solat dan mengaji kita mengaji sekejap saja dulu". Ajarkan mengenai "delayed gratification". Kebanyakan masa, rasa lapar dari anak-anak di kala waktu maghrib ini saya panggilnya sebagai "ujian godaan" melalui anak-anak. Dia bukan lapar sangat pun sebenarnya. Hanya nafsunya yang perlu diurus sedikit. Tahan godaan sebagaimana kita mampu menahan marah di kala maghrib hari ya.

Selepas solat maghrib bersama, ajarlah anak mengaji dengan mendengarkan bacaannya dan betulkan kesalahannya. Selepas anak-anak semuanya sudah habis mengaji, giliran kita pula mengaji. Minta anak-anak dengarkan pula bacaan kita dan minta anak tegur kalau ada salah.

Walaupun bacaan kita perfect 10 sekalipun, pura-pura saja minta anak mendengar bacaan kita dan betulkan jika ada salah. Tak jatuh ego kita menyembah ke bumi. Malah melalui cara ini, anak-anak akan semakin lancar bacaannya kerana dapat mendengar bacaan contoh terbaik di depan matanya sendiri SETIAP HARI.

Anak-anak adalah "peniru" (imitator) terhebat melalui seorang ibu/ayah.

Apakah rasanya apabila anak melihat ibunya membaca al Quran di telefon pintar setiap masa? Jangan marah anak jika satu masa nanti bila kita suruh dia mengaji, dia pilih untuk melihat gajet dari al Quran.

Kurangkan kebergantungan kita terhadap gajet walaupun kita boleh mengaji melalui gajet. Ajar anak pegang al Quran yang nyata. Didik diri kita pegang dan baca al Quran yang nyata.

Saya selalu memberitahu anak-anak, mengapa emak suruh anak-anak emak solat dan mengaji? Kerana sampai satu masa nanti bila emak tiada, anak-anak yang akan mendoakan emak. Doa anak-anaklah yang akan menjadikan kubur emak luas dan selesa diduduki. Tapi mak tak boleh bawa anak-anak sekali masuk kubur. Dengan al Quran lah yang akan menerangi kubur menemani mak sepanjang masa kerana mak tak boleh bawa masuk telefon pintar / gajet masuk kubur dan terangkan kubur mak. Kerana itu, berpeganglah pada al Quran sekarang. Kita akan perlukannya bila kita keseorangan nanti.

Saya membayangkan, di dalam kubur kelak, saya hanya bersendirian dan mahu berbahagia bersama al Quran. Itu sahaja motivasi tertinggi buat diri saya. Cukuplah dengan mengingati kematian dan bagaimana keadaan rumah kediaman kita yang kekal nanti akan dihiaskan, ia adalah sebaik-baik peringatan dan motivasi.

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلا
"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan." (Al-Kahfi 18:46)

.

Sebagaimana kita mahu mengambil gambar pada setiap momen kita bersama anak-anak sekarang dan menyimpannya di Instagram / Facebook supaya satu masa nanti kita akan dapat melihat dan mengenangnya semula, setinggi itulah juga kemahuan yang sama saya mahukan di satu masa nanti al Quran akan mengenang saya dan sudi menemani saya di masa hadapan bila mana saya tinggal bersendirian di dalam kubur kelak. Tiada apapun yang dapat kita bawa bersama untuk dikenang hanya melainkan dengan bacaan al Quran yang kita pastikan setiap hari kita membacanya di sepanjang hayat ini.

Walaupun dapat membaca al Quran selepas 1 waktu solat sehari sekalipun ianya sudah mencukupi asalkan al Quran tetap dibaca dan terus dibaca setiap hari. Rasulullah bersabda, amalan yang TERBAIK itu ialah yang sedikit-sedikit tetapi berterusan (istiqamah) tidak terhenti.

Bacalah al Quran dengan maksud tujuan yang sebenar. Sungguh, al Quran tidak menjadikan kita hanya seorang yang membuat sesuatu kerana target tempoh tertentu atau kerana desakan kawan-kawan atau kerana media sosial.

Al Quran mampu mendidik dan menjadikan kita seorang yang bervisi ke hadapan melalui saham yang ditanam bersama anak-anak di hadapan mata kita hari ini dan menjadikan kita orang-orang yang beruntung di masa akan datang dengan menuai sebanyak-banyak keuntungan melalui didikan anak-anak. Itulah makna kejayaan sebenar.

Ingat, anak-anak BUKAN bebanan kita hingga mampu menjauhkan kita dari al Quran. Malah, anak-anaklah menjadi punca kita lebih dekat dengan al Quran dan punca kita berubah menjadi lebih baik. Gunakan anak-anak untuk kita sama-sama menuju ke jalan yang lurus seterusnya mendidik anak-anak dengan konsep bacaan al Quran yang sebenar. Tunjukkan akhlak yang betul.

Berjemaahlah dengan jemaah cilik yang berada hadapan mata kita. Usah abaikan jemaah di rumah sendiri berbanding jemaah maya di media sosial anda. Jadilah orang-orang yang beruntung dan berjaya.

Bittaufiq wannajah.

#keutamaanyangutama
#anakadalahsahamutamabukanbeban
#sukamengaji

Khamis, 11 Januari 2018

Bagaimana nak daftar pertubuhan alumni di ROS?




Semuanya bermula daripada satu idea.

Semasa kami mendapat perkhabaran yang sekolah lama kami menghadapi sedikit kekangan untuk membaikpulih fasiliti, ada beberapa suara yang berbunyi "Sekolah dah tak ada duit ke?" - "Duit kerajaan pergi mana sampai semua dana dipotong?"

Ini fenomena biasa. Semua orang berhak bertanya begitu dan begini. Itu hak mereka.

Namun, saya tidak mahu memberi banyak alasan dengan hanya bertanya ke sana ke sini mengenai sesuatu yang kita sendiri tidak pasti malah tiada jawapan mengenainya. Jauh sekali mahu berspekulasi serta membawa sisi pandang ke arah 'mencari kesalahan orang lain'. Ia tidak membawa apa-apapun manfaat. Tiada hasil.

Lalu, saya mendapat mesej daripada salah seorang kawan lama yang menyatakan hasrat jika boleh diwujudkan satu akaun khas bagi alumni menyalurkan semua sumbangan dana berbanding mengumpul melalui akaun persendirian, itu adalah lebih baik. Kelak, mana tahu sumbangan itu boleh dimanfaatkan membantu ke sekolah lain atau sekurang-kurangnya boleh membantu sekolah sehingga memiliki sebuah bas! Indahnya idea tersebut walaupun saya tahu pasti akan ada duri ranjaunya.

Untuk mewujudkan satu akaun bank khas alumni, perlulah ada satu pertubuhan yang didaftarkan secara rasmi dahulu. Kemudian, barulah boleh membuka akaun bank khas atas nama pertubuhan itu. Jadi, bolehlah bergabung tenaga melalui ke semua batch secara kolektif untuk kita kumpulkan dana secara konsisten. Jika kita dapat mengumpulkan semua tenaga dan bantuan dana melalui 20 batch alumni sekolah. Ia bakal memberi impak yang lebih besar!

Tambahan pula, melalui perjumpaan penyerahan dana bantuan ke sekolah tempohari kami mendapat mandat dan sokongan daripada Tuan Pengetua SMKAJB untuk menubuhkan alumni ke ROS agar banyak lagi sumbangan ahli alumni selama 20 tahun ini dapat diurus tadbir dengan baik.

Bermula itu, saya berfikir bagaimana caranya untuk mendaftarkan sebuah alumni setelah mendapat pandangan dan sokongan sahabat-sahabat sebatch yang lain. Hanya melalui grup whatsapp batch kami dahulu.

.

Melalui pengalaman bergerak aktif dalam NGO Kelab Sokongan Penyusuan Susu Ibu Johor Bahru, saya membuat beberapa rujukan melalui pioneer kelab ini. Dan membuat sedikit homework untuk prosedur mendaftarkan pertubuhan selain menelefon sendiri ROS untuk mendapatkan kepastian.

Saya memberanikan diri untuk menawarkan sumbangan tenaga supaya pendaftaran pertubuhan alumni sekolah saya dapat dijalankan. Walaupun saya masih belum pasti sepenuhnya tapi saya yakin sekolah kami memerlukan alumni yang berdaftar bagi tujuan di atas. Lagipula, genap tahun 2017 ialah 20 tahun umur sekolah ini sejak awal penubuhannya yang mana saya adalah salah seorang di antara pelajar pioneer di SMKAJB dan merasmikan sekolah itu dahulukala.

Semua orang pun sibuk, tapi jika tiada siapa yang memulakan sampai bila-bila kita tak akan ke mana-mana.. Ya tak?

Bagi tujuan menggabungkan 20 batch yang berbeza kepala termasuk generation gap, bukanlah mudah sebenarnya. Perlu ada strategi. Step by step yang perlu diurus bagi kelompok manusia yang ramai sebegini dengan limitasi kepakaran tersendiri.

Langkah pertama, saya perlu mendapatkan sokongan daripada majoriti batch alumni. Saya tidak mengharapkan sokongan semua untuk bersetuju dengan pendafataran ke ROS ini kerana saya faham proses ini leceh dan setengah orang berfikiran mungkin ianya tidak penting tetapi mudah-mudahan ramai yang bersetuju.

Pendaftaran bagi alumni yang dikongsi oleh 20 batch ini tidak boleh dibuat hanya jika berasa 'syok sendiri'. Kerana itu, langkah pertama adalah mendapatkan sokongan daripada senior terdahulu dan juga junior-junior yang terkemudian sebagai tanda hormat kita meraikan pendapat dan pandangan mereka bagi tujuan pendaftaran alumni ini.

Walaupun 1 grup whatsapp yang menghimpunkan kesemua alumni sekolah diwujudkan, tetapi saya tidak dapat 'bergerak' kerana ianya terlalu ramai dan mass. Ibaratnya kita sudah tepu dan terperangkap di dalam lif tak boleh keluar bilamana di dalam lif itu ada terlalu banyak orang dan bersesak-sesak di dalamnya.

Maka, strategi diubah.

Saya hanya mendapatkan kata persetujuan bersama dan memaklumkan yang satu AJK Penaja akan diwujudkan di kalangan batch saya sahaja memandangkan ini cara terbaik untuk mempercepatkan proses pendaftaran dan memastikan kita dapat 'bergerak' seberapa pantas yang boleh. Maklumlah, semuanya sangat sibuk dengan komitmen masing-masing. Saya juga tak mahu drag masa.

Saya memahami kebanyakan alumni adalah orang yang mempunyai kerjaya hebat-hebat belaka. Punya kekangan waktu dan komitmen untuk bersama-sama secara aktif untuk beberapa proses pendaftaran ini. Makanya, dengan 'mengecilkan' jumlah untuk bergerak adalah yang paling berkesan saya rasakan.

Syukur saya kerana mendapat sokongan dari rakan sebatch (SMKAJB 1999 & KTAM 1997). Mereka secara volunteer sudi bersama dengan saya sebagai AJK Penaja.

.

LANGKAH 1 : MENUBUHKAN AJK PENAJA & MERANGKA DRAF PERLEMBAGAAN

AJK Penaja adalah sekumpulan ahli yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 7 orang yang mempunyai matlamat yang sama bagi menubuhkan satu pertubuhan secara sah.

Selepas saya mendapatkan volunteership daripada kedua-dua batch saya ini, barulah saya membuat satu lagi grup whatsapp lain khusus hanya AJK Penaja sahaja awalnya. Di dalam grup ini sangat responsif setiap kali saya meminta persetujuan dan pandangan bagi proses merangka perlembagaan.

Contoh perlembagaan pertubuhan mengikut spesifikasi ROS sedia ada boleh didapati di sini  http://www.ros.gov.my/index.php/my/perkhidmatan
atau pilihan kedua, anda boleh membuat keseluruhan perlembagaan sendiri tetapi proses semakan dan kelulusannya akan mengambil masa yang lebih panjang kelak.

Menggunakan perlembagaan sedia ada lebih mudah. Anda hanya perlu berbincang dan menentukan hanya beberapa perkara sahaja yang diperlukan. Ini termasuk menyediakan dahulu logo rasmi yang akan digunakan. Sila baca dengan baik panduan di tajuk

Pendaftaran Bendera, Lambang, Lencana Atau Lain-Lain Insignia Pertubuhan


Sebaiknya, download dan bacalah dulu PANDUAN PENGGUNA dalam link yang disertakan di bawah  https://www.eroses.gov.my/ 

Selepas draf perlembagaan sudah siap dibincangkan kesemua fasal, seterusnya, kumpulkan maklumat diri terkini AJK Penaja yang merangkumi :

Nama : 
No kad pengenalan :
Warganegara : 
Tarikh lahir & tempat lahir : 
Pekerjaan : 
Nama & alamat majikan : 
Alamat kediaman semasa : 
No. tel : 
Emel : 

Seterusnya, tetapkan tarikh untuk mesyuarat AJK Penaja bagi meluluskan perlembagaan dan perbincangan isu teknikal yang lain.

Mengapa saya bertindak membincangkan dahulu draf perlembagaan melalui whatsapp grup? Kerana saya mahu save masa agar dalam mesyuarat AJK Penaja ini nanti dapat dibuat hanya sekali sahaja dengan membincangkan perkara-perkara berbangkit yang betul-betul mustahak selepas diperhalusi kali kedua secara fizikal. 

Ini kerana mengumpulkan KESEMUA AJK Penaja untuk bermesyuarat dan berjumpa adalah satu CABARAN yang paling tinggi disebabkan semua orang punya komitmen tersendiri samada kerjaya hakiki mahupun tuntutan keluarga masing-masing di hujung minggu pula. Bukan mudah untuk berjumpa. Saya hanya mahu memastikan biar sekali berjumpa, masa dapat dioptimumkan dengan semampatnya. Saya juga sejenis yang tidak suka banyak kali bermesyuarat tapi kerja tak jalan-jalan. Sangat penat.



Selepas mengutip undi tarikh mesyuarat yang disepakati, saya perlu membentangkan dahulu kertas kerja penubuhan alumni kepada Tuan Pengetua SMKAJB untuk sebarang pindaan atau buah fikiran. Makanya, saya menyiapkan kertas kerja berdasarkan apa yang telah disepakati dan mendapatkan persetujuan serta keizinan Tuan Pengetua untuk kami mengadakan mesyuarat di sekolah bagi tujuan ini.

Inilah perjumpaan buat pertama kalinya selepas 19 tahun kami meninggalkan sekolah dulu. Semasa ini, saya seharusnyalah saya perlu memegang jawatan sebagai setiausaha AJK Penaja dan menyediakan dokumen perlembagaan dan perbincangan secara fizikal agar semua AJK boleh nampak gambaran besar akan penubuhan ini.



Selain itu, sebagai setiausaha AJK Penaja juga, kita harus tahu dan pasti arah mana yang hendak kita bawa sepanjang proses pendaftaran ini. Jika kita tak pasti, telefon terus ROS bagi cawangan terdekat. Perlu sedikit agresif dan tahu halatuju perjalanan ini kerana tidak semua yang tahu dan jelas bagaimana proses ini akan dijalankan. 

Semasa ini, saya sangat besyukur dengan pengalaman menceburkan diri dalam NGO Kelab Susu Ibu saya yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi. Sangat berharga kerana pengalaman sebenar lebih banyak membantu daripada bacaan melalui internet samada di laman web ROS sendiri ataupun melalui blog orang lain yang pernah melaluinya. Ia sangat berbeza!

Melalui carian di blog juga saya ada membaca yang banyak dokumen perlu difotostat dan disiapkan sebelum mendaftarkan pertubuhan di ROS. Termasuk minit mesyuarat AJK Penaja. Tetapi, itu dahulu. Sekarang anda tidak perlu berbuat begitu lagi. Paperless.

Minit mesyuarat AJK Penaja hanyalah untuk simpanan sendiri tidak perlu diserahkan kepada ROS. Hanya butir penting tentang mesyuarat AJK Penaja seperti tarikh, masa, tempat & jumlah kehadiran sahaja yang perlu diisi di dalam sistem.

Sekarang, pendaftaran pertubuhan adalah secara ONLINE SAHAJA. Tiada lagi pendaftaran di kaunter. Hanya pembayaran fi pendaftaran sahaja saya nasihatkan bayaran dibuat di kaunter (secara manual) bagi mempercepatkan proses. 

Selepas mesyuarat AJK Penaja selesai dengan meluluskan draf perlembagaan serta mengesahkan butiran diri kesemua AJK Penaja, barulah setiausaha mendaftarkan diri di sistem eroses iaitu di sinhttps://www.eroses.gov.my/

Oh ya! Beberapa hari selepas mesyuarat AJK Penaja, saya dan seorang AJK lagi kononnya ingin daftar secara walk-in di kaunter, tetapi tidak berhasil. Hehe.. Sesampainya di pejabat ROS, kami diberi panduan untuk bagaimana setiausaha mendaftarkan pertubuhan melalui online. Jika mahu online di sana juga boleh, tetapi hasilnya, sistem down. Maka, pulanglah kami tanpa hasil pada hari tersebut. Tetapi, apabila dapat bertemu pegawai ROS untuk bertanyakan step-by-step pendaftaran online yang perlu dibuat secara face to face itu memang berbaloi. Penerangan dan kertas panduan diberikan untuk rujukan. Ya, pergi sajalah ke ROS di setia tropika.


Selepas itu, beberapa kali percubaan mendaftar, saya masih tidak dapat masuk lagi ke dalam sistem. Saya membuat panggilan ke ROS JB dan ROS Putrajaya. Ternyata sistem mereka masih lagi down. Bersabarlah hati.


Di sini sebenarnya, saya telah membuat kira-kira. Dengan masa yang terhad, saya menjangkakan AGM mahu tak mahu mesti diadakan dalam bulan DIsember 2017 juga. Jadi, surat menyurat perlu dihantar kepada ahli at least 2 minggu sebelum AGM berlangsung. Saya lajakkan lagi tempoh masa. Makanya, sebelum berakhir bulan November pendaftaran alumni perlu diluluskan. 

Mengambilkira proses kelulusan yang akan memakan masa seminggu atau lebih, makanya saya mendapati tempoh yang sangat terhad selepas mesyuarat AJK Penaja berlangsung tempohari pada 4 November 2017.

Semasa itu, saya hanya mampu berdoa dalam hati agar segala sistem yang ada di atas bumi ini akan segera pulih seperti sediakala dan saya mendoakan agar orang yang berada di belakang sistem tersebut diberi kesihatan yang baik-baik belaka. Saya sangat memahami orang yang bekerja dengan sistem sebegini. Kerana itulah kerjaya suami saya juga, programmer. Bila saya mencadangkan kepada suami supaya membuat satu sistem yang lebih baik lagi, suami hanya mampu berkata, "Itu dah baik dah tu. Ikut sajalah." Haha..



Jadi, sementara menunggu sistem baik semula saya tak mahu membuang masa. Saya segera siapkan borang keahlian hanya melalui Google Form saja untuk mengutip butiran diri ahli yang terkini untuk dijadikan database induk. Ini kerana bukan 20 batch dari SMKAJB saja yang perlu direkodkan tetapi juga termasuk alumni KTAM yang sudah berabad lamanya sebelum ditukarkan sekolah menjadi SMKAJB.

Takdirnya, selepas seminggu menunggu dan mencuba banyak kali, akhirnya baru saya dapat masuk ke dalam sistem eroses dan emel saya baru berbalas. 

Ya, jika anda sebagai setiausaha tidak dapat log in ke dalam sistem (tak dapat kata laluan sementara), perlu emelkan kepada admin seperti alamat emel yang dinyatakan di situ untuk mohon kata laluan sementara. Mereka akan balas juga nanti. Tunggu sajalah dengan penuh kesabaran ya! Jika tak dapat juga, call ROS di tempat anda atau ROS di Putrajaya. Mereka akan cepat maklum status anda. Agresif sikit ya. Jangan hanya menunggu.




LANGKAH 2 : DAFTAR ONLINE PERTUBUHAN

Selepas anda (setiausaha sahaja) sudah dapat kata laluan sementara, masukkan ke dalam sistem semula dan boleh ubah kata laluan mengikut kesukaan anda. Save. Boleh terus mengisi bahagian pertubuhan dan bahagian-bahagian lain seperti dalam draf perlembagaan yang telah diluluskan. Kebanyakannya sudahpun tersedia di dalam sistem jika mengikut perlembagaan sedia ada. Hanya perlu memasukkan numbers and figures saja dalam ruang kosong yang disediakan. 

Klausa lain yang terdapat dalam perlembagaan adalah fixed dan tiak boleh diubah. Ikut sajalah.

Begitu juga matlamat penubuhan juga sudah yang siap tersedia, kita hanya pilih saja mana-mana yang menepati matlamat yang ada dan boleh juga menambah matlamat sendiri mengikut "bahasa" kita. Ada banyak pilihan di bahagian matlamat. Jangan risau.

Isilah kesemua 17 fasal sedia ada termasuk data ahli AJK Penaja. Jumlah AJK Penaja akan menentukan berapa ramai AJK tetap yang boleh dilantik di masa akan datang.

Di akhir sekali ialah pembayaran. RM 30 sahaja yang perlu dibayar.

Semasa ini, saya hanya print out slip untuk pembayaran dan bercadang mahu membayar di kaunter. Tetapi memandangkan kaki saya yang jatuh tempohari masih belum baik sepenuhnya dan suami juga tak membenarkan saya drive dan pergi sendiri ke pejabat ROS di Setia Tropika seorang diri kerana tak mampu berjalan dengan baik lagi, makanya saya meminta bantuan seorang lagi AJK lain yang boleh ke sana sebentar semasa lunch hour. Saya terhutang budi kepadanya kerana sanggup 'lari' sebentar membantu proses ini di kala saya tak dapat meneruskan 'langkah'.

Semasa beliau ke sana dan menunjukkan slip bayaran yang saya emelkan, pegawai ROS di sana 'menegur' kerana nama yang didaftarkan terlalu general. Nama  "Warisan" yang general sebegini biasanya tidak akan diluluskan katanya.

Walaupun pada carian nama pertubuhan semasa mendaftarkan melalui online kita dapat green tick, tetapi itu hanya menandakan nama tersebut belum ada pertubuhan lain gunakan lagi. Tetapi prosedurnya perlu diikuti.

Jadi, saya menukarkan pilihan nama lain seperti yang disepakati dalam mesyuarat AJK Penaja tempohari. Kami berbincang dengan mengemukakan 3 pilihan nama. Atas kata sepakat, kami menggunakan nama WARISAN ALUMNI SMKAJB kerana ia sudah terkandung di dalam logo.

Makanya, saya perlu mengisi semula sekali lagi permohonan pendaftaran pertubuhan baru yang lain. Permohonan sebelum ini hanya perlu dibiarkan saja dan dipadam. 


Semasa ini, saya pasrah saja. Walaupun sebenarnya mengisi borang online ini "nampak mudah dan senang" tetapi ia tidak semudah yang dijangka jika anda mempunyai anak yang ramai di sekeliling semasa anda mengisi borang online ini. Sungguh bukan mudah dengan anak-anak yang seorang tarik tangan kanan, seorang lagi tangan kiri, seorang lagi kaki kanan dan seorang lagi kaki kiri. 

Rasa nak menangis bila disuruh isi balik! Huwaaaaa...

Dengan penuh ketabahan yang dikutip semula saya mengisi borang dan perlembagaan yang ada sekali lagi dengan nama baru ini. Pada tahap ini, rumah sudah tak nampak macam rumah, anak-anak berempat sudah dah terurus entah apa sajalah projek mereka keluar masuk bilik dengan sekali sekala 'mencuit' emaknya ini yang sedang berkurung dalam bilik tak mahu diganggu buat seharian ini. Kelam kabut. Rasa bersalah kepada keluarga. Tapi, saya harus meneruskan langkah yang berbaki ini.


LANGKAH 3 : PEMBAYARAN SECARA ONLINE RM 30.

Pada tahap ini, saya mendapat pengajaran terpenting!

Selesai mengisi semula semua maklumat pendaftaran, saya ingin cepat membuat pembayaran. Kerana tidak mahu menyusahkan lagi AJK lain yang sedang bekerja, saya mengambil keputusan untuk membayar secara online sahaja. Lagipula, kaki saya masih belum pulih lagi untuk berjalan dengan baik.

Selesai mengikut step-by-step nya, saya mendapat hasil sebagai "transaksi tidak berjaya". Tetapi, duit sudahpun ditolak daripada akaun saya sebagai "successful".




Apalagi, saya terus menangis di situ seorang diri sambil menaip mesej kepada semua AJK memaklumkan kegundahan hati ini.

Terasa lemah segala sendi dan badan. Masa itu, rasa seperti mahu berhenti dari semua proses ini. Betul-betul mahu give up saja.

Mendapat sahabat pengerusi yang bijak menenangkan keadaan, saya mendapat semula kekuatan selepas itu melalui AJK-AJK lain yang terus memberi kata semangat dan kekuatan. Saya segera emel kepada admin sekali lagi dan print out segala bukti pembayaran yang ada. Saya hanya stressed-out. Sudah tiba limitnya.




Esoknya, saya mulakan semula dengan fokus baru. Fokus untuk memastikan bayaran saya diterima dengan selamatnya bukan lagi menyalahkan sistem yang terlalu cepat log out sendiri selepas pembayaran dibuat semalam. Hanya 3 saat dan semuanya terkeluar sendiri daripada sistem tanpa ada option lain..

Saya membuat beberapa panggilan ke ROS JB dan Putrajaya dan telah disambungkan beberapa pegawai dengan percubaan beberapa kali sehinggalah dapat bercakap direct dengan pegawai kewangan. Fokus semasa ini, hanya mahu memaklumkan duit sudahpun ditolak dari akaun saya dan mudah-mudahan sampai kepada yang sepatutnya. Itu saja.

Bila kita bercakap dengan baik, orang lain juga akan berbahasa dengan elok kepada kita semula. Birokrasi, kita layan saja.

Susah tau nak tembus talian ROS. Sejak awal pun memang begitu. Jika dapat tembus dengan sekali panggilan saja memang bernasib baiklah diri anda.

Rupa-rupanya, walaupun pendaftaran pertubuhan sekarang dibuat secara online tetapi hanya bahagian kewangan sahaja yang masih melalui sistem secara manual. 

Jadi, saya menasihatkan anda membuat pembayaran melalui kaunter untuk lebih cepat diproses berbanding online yang akan mengambil masa 2 hari hanya jika rajin update dengan emel dan panggilan bertalu-talu untuk follow up pembayaran.

Proses di sini agak tricky saya rasakan.


LANGKAH 4 : MENUNGGU KELULUSAN



Selepas mendapat makluman pembayaran berjaya diterima melalui panggilan telefon yang dibuat dan emel, saya menyemak semula status permohonan sudahpun bertukar kepada "menunggu kelulusan". Seterusnya, saya perlu menunggu 5 hari lagi untuk proses kelulusan permohonan. Saya pasrah menunggu lagi seminggu keberhasilannya.

Namun, entah bagaimana keesokan harinya (selepas 1 hari) saya mendapat panggilan daripada Encik Yahaya pegawai daripada ROS. Beliau adalah pegawai yang bertanggungjawab memegang pendaftaran bagi semua alumni di JB.

Beliau mengesahkan saya sebagai setiausaha AJK Penaja seperti dalam permohonan dan kemudian meminta saya meminda beberapa perkara utama iaitu nama pertubuhan.

Menurutnya, nama pertubuhan WAJIBLAH ditulis di hadapan nama samada Persatuan / Kelab / Syarikat apa dan apa dan di akhirnya WAJIBLAH menulis nama tempat pertubuhan anda misalnya Johor Bahru / Melaka etc mengikut tempat anda beroperasi.

Jadi, beliau mencadangkan untuk diubah sedikit sahaja bilamana tambahan PERSATUAN ditambah di hadapan nama WARISAN ALUMNI SMKAJB (dengan penerangan di dalam perlembagaan), dan di akhirnya ditambah JOHOR BAHRU sebagai nama tempat beroperasi.

Begitu juga mengenai logo yang tidak dibenarkan lambang bulan dan bintang. Saya terus bersetuju dengan pindaan kecil ini lalu beliau terus memberi kelulusan permohonan saya pada petang hari tersebut juga! Katanya tiada masalah besar, semuanya ok saja melainkan alamat surat menyurat perlulah menggunakan alamat salah seorang AJK yang aktif bagi memastikan surat sampai ke tangan yang sepatutnya. Hanya alamat rasmi sahaja menggunakan alamat sekolah dengan keizinan.

Subhanallah.. Tiada daya usahaku melainkan dengan bantuan Allah! Proses dipermudahkan walaupun ada ujian dan cubaan yang mengujikan sebelum ni atas berkat doa semua ahli yang mendoakan. Alhamdulillah.

Sungguh saya tidak sangka mendapat kelulusan selepas 1 hari sahaja.




Tanggal 20 November 2017, permohonan alumni sekolah kami diluluskan dengan pindaan nama PERSATUAN Warisan Alumni SMKAJB, JOHOR BAHRU selepas mesyuarat pertama AJK Penaja yang telah berlangsung pada 4 November 2017.


LANGKAH 5 : MENGADAKAN MESYUARAT AGUNG PERTAMA

Selepas mendapat kelulusan, dalam masa 60 hari pertubuhan diwajibkan membuat AGM untuk lantikan AJK tetap dan pembubaran barisan AJK Penaja. Inilah masa yang saya tunggu-tunggu! Syukur ya Allah.

Tetapi, bagi proses mengadakan AGM pertama ini juga memerlukan penyusunan strategi yang baik. Semasa saya menunggu sistem eroses baikpulih terdahulu, saya mohon kerjasama semua AJK untuk menghebahkan borang keahlian untuk update butir diri terkini dengan alamat emel.

Melalui emel yang dikumpulkan inilah saya menghantar surat jemputan untuk Majlis Perasmian & AGM Pertama yang akan diadakan ini. Saya save masa di sini kerana proses mengumpulkan maklumat ahli lengkap sudah berlangsung awal 3 minggu lagi dan surat jemputan telah diedarkan kepada 355 orang ahli daripada 2415 alumni SMKAJB sejak tahun 1998 dan alumni KTAM sejak tahun 1985.

Jumlah yang kecil, tapi satu permulaan yang baik saya kira. Terima kasih kepada semua alumni yang sudi memberikan kerjasama.

Mengikut perlembagaan, surat panggilan mesyuarat agung perlulah diedarkan kepada ahi sekurang-kurangnya 2 minggu daripada tarikh mesyuarat. Kerana itu strategi mengumpulkan maklumat daripada zero sebegini harus disusun dengan baik terlebih dahulu supaya ia mengikut plan jangkaan tarikh mesyuarat agung yang mahu dibuat cukup berlangsung mengikut tempohnya. Dan sungguh, menguruskan sekumpulan manusia yang berbeza peringkat umur dengan keperluan komitmen yang berbeza juga jurang kerjaya yang pelbagai amat amat amat mencabar!

Tugas sebagai setiausaha penaja membuat surat, mengedarkan, menjejak dan menjemput semua bekas pengetua sebagai tetamu kehormat, menjejak dan menjemput semua bekas pelajar dan bekas guru bukanlah tugas yang mudah. Di sini, fokus saya 200% sedaya yang termampu menjemput beberapa orang bekas guru yang dapat hadir. Terasa sangat bahagia apabila melihat bekas guru kami sudi datang berkumpul dalam acara ini.



Sebelum majlis perasmian dan AGM ini juga tugasan paling mencabar saya rasakan adalah sponsorship. Kami tiada dana.. Bermula dari zero.

Beberapa strategi sponsorship dibuat mengambilkira pengalaman-pengalaman selama ini mengendalikan program NGO Kelab Susu Ibu yang bergerak juga tanpa dana bantuan dari sesiapapun. Saya lebih memahaminya. Maka, saya panggil rakan seperjuangan saya yang turut faham gerak kerja sponsorship gaya NGO bekerja untuk turut sama menghulurkan tenaga. Alhamdulillah, walaupun kami menghadapi cabaran yang sukar untuk diceritakan (hanya beberapa orang saja yang tahu cabaran & konflik yang pernah timbul) tapi akhirnya semua nya dapat diselesaikan dengan baik.

Daripada zero, kami akhirnya mendapat sponsorship dari segi in kind berjumlah lebih 10K dan cash berjumlah 5K lebih manakala perbelanjaan hanya sekitar 2K lebih. Wang selebihnya kami simpan untuk membuka akaun bank Warisan dan juga simpanan untuk tabung Warisan. Alhamdulillah. Segalanya berjalan dengan lancar walaupun nak pecah kepala saya sepanjang rehearsal selama 2 hari. Hanya Allah saja yang tahu.




Sejujurnya, saya berterima kasih kepada sahabat seperjuangan saya Salwa Kohar & Nurul Asyikin Ngadiso. Merekalah yang banyak membantu saya merealisasikan apa yang sudah saya strategikan. Mereka adalah supermommies yang experts. Mereka adalah tulang belakang saya, kekuatan saya meneruskan langkah. Bak kata Tuan Pengetua SMKAJB, hanya orang yang bergiat aktif dalam NGO saja yang tahu menjalankan 'sesuatu' seperti ini kerana pengalaman. Tanpa pengalaman sebenar, penubuhan sebuah alumni mungkin tidak akan berlaku sepantas 4 bulan begini. Subhanallah.. Bersyukur saya atas pengalaman selama ini.

Terima kasih saya juga buat semua AJK Penaja & AJK Gerak Kerja, adik-adik, kakak-kakak dan abang-abang senior juga sahabat seangkatan semua yang turut sama daripada awal di sepanjang proses ini. Ia bukanlah usaha saya seorang. Ia adalah usaha kerjasama banyak pihak dan ia juga takkan boleh terjadi walaupun ada pengalaman dan tiada kerjasama dari semua pihak. Sungguh, kita telah berjaya! Jom kita raikan sama-sama!!!










.
.

Alhamdulillah 'ala kulli haal.

Bak kata sahabat setiausaha baru  menggantikan saya, Nurul Salwan Sudirman, tertubuhnya alumni Warisan selama 20 tahun ini umpama lahirnya seorang anak.

Ya, tepat sekali. Kepuasan maksima!

Ini adalah "anak komuniti" saya yang kedua selepas kelahiran "anak pertama komuniti" saya iaitu Buku Bukan Sekadar Homeschooling yang lahir pada 27 November 2017.

Bayangkan sebenarnya, fokus saya terpecah dua pada ketika itu (sebenarnya 4 pecahan) sepanjang akhir tahun lepas. "Pecah kepala" saya bukan biasa-biasa. Mengenangkannya, saya pernah jatuh terbungkam kerana keletihan yang amat sangat. Laa hawla wa laa quwwata illa billah. Tidak menyangka yang saya dapat melepasi ujian dan semua cabaran ini dengan airmata.

Akhirnya, saya sempat melahirkan "2 anak" pada tahun 2017 (sebenarnya 3 iaitu ; Busybook KIK, Buku Pertama #bukansekadarhomeschooling & Alumni Warisan) dan lagi "2 anak" (mungkin 3 anak juga iaitu ; Kad Imbas Khadijah terbitan baru, Poster Hijaiyyah & Buku Kedua #diariinspirasisukamengaji) akan lahir dalam tahun 2018 ini insha Allah.

Ia satu pengalaman yang indah buat saya. Sangat indah yang tersimpan jauh dalam lubuk jiwa. Manis, masam, pahit, kelat semuanya saya hadami dengan baik di sepanjang proses ini. Pengalaman terbesar saya seumur hidup ini.

Jika ditanya mengapa saya "sengaja mencari pasal" dengan menawarkan diri untuk menjayakan proses pendaftaran alumni sekolah setelah 20 tahun ini, saya ada satu cerita yang ingin dikongsikan di sini.

.

Pada satu ketika, saya pernah bermimpi saya bertemu arwah Mudhirah, Allahyarham Ustazah Zaiton Atan (pengetua terakhir KTAM dan juga orang pertama yang mula-mula membuka SMKAJB). KTAM dinaiktaraf menjadi SMKAJB. Beliau meninggal dunia pada akhir tahun 2008. Semasa itu saya sedang sarat mengandungkan anak sulong, Fathi. Saya ingat lagi bila mana balik dari melawat jenazahnya (saya dapat mencium dahinya selepas dikafankan) saya jadi longlai tidak boleh berjalan setibanya di rumah. Ya, dengan perut memboyot itu suami saya angkat bawa masuk dalam rumah, saya tak mampu bergerak walau seinci. Seperti mayat hidup. Selepas abah meruqyah saya, barulah saya dapat bangun dan dapat bercakap seperti biasa.

Saya ada ikatan yang kuat dengan beliau sejak dari sekolah dulu. Adakala, beliau menemani saya makan di dewan makan asrama semasa saya rindukan emak abah di rumah. Beliau juga merupakan sahabat seangkatan dengan abah saya ketika belajar di Al Azhar Mesir dahulu. Beliau yang dikenali sangat rapat dengan semua pelajar. Seorang pendidik berhati ibu buat kami semua di KTAM. Al fatihah.

.

Selang beberapa tahun selepas beliau meninggal dunia, saya bermimpi solat berjemaah bersamanya di satu masjid yang tersergam indah! Batu-batunya tersusun rapi dan putih keemasan lagi berkilau. Dindingnya tinggi menjulang. Semuanya mar-mar yang berkilauan.

Saya agak terpesona dengan keindahan masjid itu tapi saya tak pasti entah di mana. Saya salam cium tangan ustazah dan bertanya khabarnya. Saya tahu beliau dah lama meninggal dunia semasa itu. Dia tidak membalas soalan saya. Dia hanya tersenyum manis memandang saya dengan wajah yang sangat bersih dan mengucapkan terima kasih tanpa suara yang kedengaran. Saya hanya tahu dia berterima kasih.

Saya tidak faham. Tiba-tiba saja dia mengucapkan terima kasih. Mengapa pula? Perasaannya seperti saya telah berjaya melakukan sesuatu dalam masa yang sama sangat syahdu kerana dapat berbuat 'sesuatu' melihatkan masjid itu. Saya sendiri pun tak pasti 'air tangan' saya yang mana sehinggakan masjid sebegitu indah dapat didirikan. Saya ini bukan arkitek. Walhal, semasa itu saya hanya seorang surirumah hingga sekarang. Selepas itu, saya terjaga azan subuh.

Saya bangun dengan perasaan yang lucu tetapi tidak lucu. Sayu lagi syahdu merindukan sosok tubuh setiap aidilfitri saya dan kawan-kawan lain akan berhari raya di rumahnya.. Saya gembira melihat beliau gembira dan sihat-sihat saja 'di sana'.

Akhir tahun lalu, semasa saya berada pada tahap tekanan terhebat dan amat letih seperti mahu give up, tiba-tiba saya teringat mimpi ini. Saya meneruskan langkah sedaya yang mampu kerana mimpi ini. Selepas tarikh 23 Disember 2017, barulah saya dapat memahaminya. Perasaan yang sama saya rasakan. Masih terbayang wajahnya yang gembira.

Inilah sebabnya mengapa saya membuat alumni gabungan bekas pelajar SMKAJB dan Kolej Tunku Ampuan Mariam (KTAM). Idea ini datang tak semena-mena semasa saya menyediakan kertas kerja penubuhan alumni Warisan. Asal idea tidak ada alumni KTAM tetapi saya memasukkannya sendiri dan kemudian apabila saya membentangkannya kepada tuan pengetua juga beliau sambut baik sekali cadangan ini dan semua kertas kerja yang saya kemukakan.

Ibarat orangtua yang menebas rumput dan hutan belantara yang tebal untuk mencari dan mendirikan tapak rumah, saya menganggap diri saya sebagai orangtua itu. Dan kini, biarlah orang yang lebih muda lagi berkarisma menyambung perjalanan ini untuk menghias dan membentuk rumah tersebut dengan segala kebaikan dan keindahan.

Cukuplah 4 bulan ini saya menjalani turun naik hormon bersama anak-anak yang memerlukan perhatian juga. Saya perlu kembali 'normal' untuk satu jangkamasa terkehadapan dengan komitmen baru yang perlu saya pegang.

Suami saya berkata, "Adakala, apa yang telah berlaku di masa lalu perlu dilepaskan dan berpegang pada realiti kita pada masa akan datang."

Makanya, saya perlu memilih komitmen saya bersama alumni atau komitmen saya bersama Telaga Biru dan anak-anak saya yang lain.

Realiti yang harus dipegang. Dan saya memerlukan ruang untuk fokus kepada bidang lain pula.

Semoga semua amalan baik dan usaha kita semua demi kebaikan ramai ini diberkati Allah dan menjadi jariah yang berpanjangan, insha Allah.

Selamat maju jaya buat Persatuan Warisan Alumni SMKAJB Johor Bahru!
Walaupun nama saya tiada dalam organisasi, tetapi semangat dan jiwa saya masih bersama kalian. All the way to go! Bittaufiq wannajah.




#diariseorangsurirumah






Rabu, 10 Januari 2018

Hidup ini satu jihad ~ Selamat memasuki tahun baru 2018!




3 hari sebelum naik sekolah tempohari, saya berbual-bual dengan anak-anak seperti biasa semasa kami berada dalam kereta selepas selesai membayar yuran dan ambil kitab sekolah agama Fathi & Tiha.

"Fatihah, ustaz tadi baik kan? Cakap lembut je kan? Mulai tahun depan, Fatihah kena berazam untuk rajin datang sekolah agama boleh? Jangan takut belajar dengan ustaz lagi. Jangan takut kalau misalnya tak dapat sekelas dengan abang lagi." Saya memulakan sesi perbincangan.

Bagi anak-anak yg homeschool sejak kecil lagi, memang kebiasaannya akan menghadapi masalah bila masuk sekolah. Baginya rumah lebih best dari sekolah dan emaknya ini lebih bagus dari cikgu-cikgu di sekolah. Mereka lebih selesa belajar di rumah dari sekolah. Isu Fathi & Fatihah ini sama saja sejak dulu. Entah macamana gayanya nanti dengan Fahmi pula.

"Hmm.. Ustaz tu memang cakap baik tapi mesti dia garang! Tapi ustaz tu nampak macam tak reti bercerita dan buat lawak je?" balas Fatihah.

"Aishhh Fatihah ni. Mana boleh cakap orang garang kalau kita pun tak pernah lagi belajar dengan dia. Abang rasa ustaz tu mesti baik hati." Fathi mencelah segera.

"Betul tu! Semua guru, ustaz, ustazah sebenarnya baik hati. Garang ke tak garang ke itu cuma cara dia mengajar je. Cara seseorang mengajar boleh macam-macam. Sama macam mak didik anak. Gayanya pun boleh macam-macam. Tak semestinya kena sama.

Tapi SEMUA guru sebenarnya baik hati. Orang yg tak baik hati takkan boleh jadi seorang guru. Sebab apa? Sebab nak mengajar anak orang lain jadi pandai tu je niatnya dah jadikan dia baik hati dah. Macam Tiha cita-cita nak jadi guru kan? Maksudnya Tiha baik hatilah. Macam tu jugak semua cikgu. Dia mesti baik hati. Habis, Tiha belajar dengan mak garang ke tak kat rumah?"

"Emak kejap-kejap tak garang sangat, kejap-kejap garang sikit." balas Tiha.

"A ah.. Mak tak garang sangat macam cikgu. Tapi kalau mak jadi garang pun tak segarang cikgu kat sekolah." balas Fathi pula.

"Mak cuma tegaslah. Bukan garang. Garang dengan tegas berbeza tau.."

"Oooo a ah mak kadang-kadang tegas, kadang-kadang tak tegas pun. Sama jugak dengan cikgu kat sekolah. Cikgu kena jadi tegas supaya anak murid dengar cakap cikgu. Tapi mak, setiap manusia pun ada dalaman dan luaran dia kan? Luaran seseorang tu boleh jadi garang atau tegas tapi dalaman dia baik hati kan?" Fathi menambah.

"Betul abang! Semua orang ada dalaman dan luaran dia. Kita tak boleh cakap semua ustaz kat sekolah tu garang walaupun muka dia tak senyum macam emak.. Kita kena lihat ustaz pun baik hati. Cara dia mengajar je perlu tegas sikit supaya satu kelas boleh dengar cakap dia. Satu kelas bukannya ada 4 orang je macam kat rumah kita ni. Satu kelas kan ada dekat 30 orang.

Sebab tu kalau Tiha dengar suara ustaz tinggi tu bukan menandakan dia garang tau. Dia cuma nak senyapkan 30 orang punya mulut dalam kelas Tiha tu. Mujur Tiha tak buat bising kan, duduk senyap-senyap. Jadi, ustaz tak marah Tiha pun sebenarnya. Dia marah orang lain yg buat bising. Cikgu takkan marah kita tanpa bersebab. Mesti ada sebab yg jadikan cikgu tu garang. Kita kena fahamah."

"A ah.. Apalah Tiha ni ustaz tinggi suara sikit dia cakap garang pastu takut sendiri. Abang ok je. Sebab abang tahu kalau ustaz tu garang, tu luaran dia tapi dalaman dia baik hati. Sebab tu abang tak takut cikgu dah. Kita tak boleh menilai orang melalui luaran dia je kan mak?"

'Ceramah' abang Fathi memang buatkan mak terkedu. Inilah yg dia belajar sepanjang 2 tahun di tadika & pra dan kemudian 2 tahun lagi sekolah rendah sebelum dia naik darjah 3 tahun ini.

Dulu, selama 2 tahun di tadika & pra mak terima report Fathi tidak bercakap langsung di kelas. Kawan pun tiada. Cikgu tanya pun tak jawab, angguk geleng je. Sampai ada kawan-kawan dan cikgu ingatkan Fathi ni bisu.

Sekarang, baru nampak perkembangan dan keyakinan yg dia bina sendiri dari latihan demi latihan sepanjang 4 tahun ini. Alhamdulillah. Sama macam mak dulu, orang yg senyap ni suka memerhati. Hehe..

"Betul tu. Kita tak boleh menilai orang dari luaran je. Tiha tahu tak kenapa mak masukkan Tiha, abang & Fahmi ke sekolah?"

"Supaya kita dapat menuntut ilmu yg mak tak dapat ajar kat rumah kan mak?" Fathi menjawab dulu.

"Ya. betul. Lagi?"

Fatihah mendiamkan diri.

"Supaya mak nak anak-anak mak belajar 'melihat' manusia yg banyak ragam dan sifat. Belajar yg hidup kita ni bukan semuanya sama macam mak atau abah kat rumah.

Belajar terima seadanya sifat-sifat manusia lain selain mak abah dan adik beradik kat rumah ni supaya besar nanti kita kenal siapa boleh dijadikan kawan, siapa kita kena berhati-hati.

Belajar hadapi yg hidup ni bukan selalunya mudah dalam semua benda. Belajar dalam hidup ni kadang-kadang kita kena hadapi rasa takut, sedih, gembira, menangis dan macam-macam lagi.

Ini semua rasa kehidupan sebenar. Its ok kalau Tiha rasa takut sekarang. Tapi kita kena kuatkan diri, tabahkan hati lalui rasa takut ni. Ini semua jihad sebelum kita berhadapan dengan masyarakat yg lebih macam-macam ragam bila Tiha besar nanti.

Mak nak siapkan anak-anak mak tahu 'membaca' sifat manusia dan kebal hadapi apapun rasa kehidupan.

Besar nanti, abang, Tiha, Fahmi, Farihin semua anak mak akan jadi seorang daei yg akan memimpin umat akhir zaman yg penuh dengan fitnah di sana sini. Sebab tu mak dedahkan dulu dengan macam-macam ragam manusia sejak sekarang. Belajar macamana nak bercakap dengan orang yg garang, dengan orang yg tak garang, dengan kawan yg baik, dengan kawan yg nakal sikit tapi akhirnya jadi baik macam apa yg abang dah buat tahun lepas.

Betul, mak suka abang dah pandai bercakap dan pengaruhi kawan ke arah kebaikan. Itu sebenarnya yg mak nak anak-anak mak belajar. Kita kena berani bercakap dengan orang lain, ajak orang bersabar dan buat baik. Kita tahan godaan kawan-kawan yg macam-macam..

Belajarlah semua perkara tu. Bukan cuma pelajaran akademik je. Tapi buat baik dengan orang yg kita jumpa tak kira dia garang ke tak, baik ke tak, kita terus je berakhak dengan akhlak yg baik.

Menuntut ilmu ni luas sangat. Selagi kita menuntut ilmu, hormatkan guru dan berakhlak yg baik dengan kawan-kawan, kita dapat pahala jihad. Orang yg berjihad di jalan Allah, boleh masuk syurga, insha Allah. Boleh Tiha?"

Semuanya sepi sebentar.

"Lagi berapa hari nak naik sekolah, Fathi naik darjah 3, Fatihah darjah 2, Fahmi masuk tadika 5 tahun. Tak kira kita masuk manapun untuk belajar, kita pergi sekolah niatkan untuk jihad kerana Allah. Nak berjihad bukan mudah mak tahu. Kita akan selalu rasa sorang tak ada kawan, sedih, takut cikgu garang tapi kita ingat selalu, kita kebalkan hati dan cekalkan diri untuk lalui semua rasa kehidupan tu. Jalan untuk berjihad memang bukan senang tapi kita kena usaha sama-sama untuk berjaya hadapi semua tu. Ingat, jihad kerana Allah!"

"Baik! Masuk sekolah ni kita kena ada niat baru Tiha. Jihad.."

🙂

.
.
.

Tak kira walau apapun sisi pandang kehidupan kita, sentiasa mulakan sesuatu dengan niat yg tepat ke atasnya.

Selamat melangkah ke tahun baru 2018. Semoga semua amalan dan niat baik kita tahun lalu diangkat dan diterima Allah dan tersimpan menjadi jariah yg berpanjangan.

Semoga tahun baru ini kita sama-sama menjadi manusia yg sentiasa memperbaiki diri hari demi hari, tahun demi tahun dengan niat yg jelas dan jiwa yg tenang melalui apa saja rasa kehidupan.

All is well.

Fi amanillah.

#didikanakberjiwabesar
#bukansekadarhomeschooling2
#ceriteraanaksekolah
#didikanakabadke21

Bedah buku 4 dalam 1!

Sejak Buku Saya Suka Mengaji ni release bulan Mei tahun lalu, saya masih belum berkesempatan lagi nak buat bedah buku ini disebabkan say...