Jumaat, 27 Mei 2011

Ragam anak berdasarkan intuisi si ibu.



Tengahari itu selepas makan, mak menegur saya. "Kamu tengok dada Fathi turun naik tak tentu hala tu. Sikit-sikit terkejut sampai bergerak badan waktu tidur. Pergi tidur sebelah dia! Jangan bagi dia terkejut."

Selepas solat Zohor, dengan wudhuk yang masih ada saya memang terfikir untuk berkonfrontasi dengan anak sulung saya Fathi, 2 tahun. Ada sesuatu yang saya rasakan tidak betul. Tapi dia masih belum boleh bercakap lagi. Jadi, dengan cara ini sajalah saya boleh 'bercakap' dengannya.

Saya pegang dadanya yang berombak kencang itu dengan tangan kiri. Usap-usap kepalanya dengan tangan kanan. Dan berselawat sebanyak mungkin sehingga saya rasa saya sudah bersedia.

" Fathi Mohd Kamal.. Fathi Mohd Kamal.. Fathi Mohd Kamal. Fathi tidur baik-baik ye. Nyenyak-nyenyak.. Jangan takut. Mak tak marah. Fathi tidur je. Mak temankan Fathi kat sebelah."

.
.

"Fathi Mohd Kamal.. Fathi Mohd Kamal dengar kan cakap mak sekarang. Fathi tidur baik-baik.. Mak nak cakap ni. Kenapa Fathi selalu bangun malam? Kan mak dah bagi susu. Fathi bangun sejam, dua jam.. Tengahmalam pulak tu. Macamana mak nak tidur? Mak penat tau. Cuba Fathi bagitau mak kenapa sebenarnya? Kenapa Fathi tak boleh tidur ke? Ada orang kacau Fathi ke?"

.
.
.

'Fathi tidur sorang-sorang kat bawah. Mak dengan abah tidur dengan adik atas katil.'

"Ooo, Fathi takut tidur sorang-sorang ye. Fathi kan lelaki. Janganlah takut. Fathi dah besar sekarang. Nanti lambat laun Fathi kena tidur sorang-sorang jugak."

.
.
.

'Itu nanti. Bila tiba masanya. Sekarang tak nak.'

"Ok, lepas ni mulai malam ni kita tidur sama-sama atas katil eh. Dengan mak, dengan abah, adik kat ujung ok? Mak tidur kat sebelah kanan, abah tidur kat sebelah kiri Fathi sampai masanya nanti Fathi janji Fathi kena belajar tidur sendiri ok?"

.
.
.

'Ok'.

"Ok. Baik anak mak. Lagi satu mak nak tanya ni, Fathi marah kat mak ke? Fathi selalu baling-baling barang. Baling-baling makanan. Mak tak suka tau. Tak baik buat macam tu. Kalau Fathi taknak makan beri pada mak baik-baik, cakap taknak, geleng kepala. Kalau tak boleh buat pun, jangan baling-baling barang. Fathi selalu menangis tak pasal-pasal susah mak nak buat kerja tau. Fathi cuba bagitau mak. Apa Fathi rasa?"

.
.
.

'Mak asik dengan adik je.'

"Ooo pasal tu ye.. Adik masih kecik lagi. Kena bagi susu mak. Sebab tulah mak selalu dengan adik. Fathi kan dah besar. Dah jadi abang. Kenalah main sendiri. Pandai bawak diri. Fathi kan abang yang baik."

.
.
.

'Memanglah, tapi mak dah tak peluk Fathi lagi.'

"Ermmm, kadang-kadang mak terlupa. Fathi selalu menangis buat hal, jadi mak naik marah lah. Makan nasi taknak. Baling nasi. Baling mainan. Mak tak suka. Mak jadi selalu marah kat Fathi je macamana nak peluk. Tapi, mak tetap sayang Fathi. Lagipun, Fathi kan dah banyak dapat peluk dari atok dengan nenek. Atok dengan nenek boleh manjakan Fathi".

.
.

'Atok dengan nenek lain. Mak dengan abah lain.'

(Saya terkedu sebentar. Agak lama.) "Ok, baiklah. Lepas ni mak janji mak sayang Fathi banyak-banyak tiap-tiap hari. Mak akan berubah. Tapi, Fathi janji dengan mak, Fathi pun kena berubah. Jangan mengamuk tak tentu pasal lagi, taknak baling-baling makanan lagi, taknak bangun malam lagi, taknak gigit jari adik lagi ok?"

.
.
.

'Ok.'

"Macam tulah anak mak yg bijak... Mak saaaayaaaaangggggg Fathi! Lepas ni kalau mak terlupa lagi, Fathi kena bagitau mak baik-baik ok.. Takmoh nangis-nangis lagi..."

.
.

'Ok.'

"Sekarang, Fathi tidur baik-baik. Nyenyak-nyenyak. Semalam kan Fathi 4 kali bangun malam. Tak cukup tidur. Mak temankan Fathi tidur ye.." (Saya hanya memeluk erat tangannya sambil mulut masih lagi mencium dahinya..)...

Dan nafasnya kembali stabil. Dan senyap..

......................................................................................................................................................................



Dialog di atas bukan dibuat-buat. Ia datang dengan sendiri. BUKAN dalam bentuk bisikan. Saya hanya mengikut intuisi seorang yang telah melahirkan Fathi.

Saya tiada kelulusan dalam psikologi. Bukan juga pakar dalam bidang ini. Perbualan di atas hanyalah mengikut ilmu dan apa yang saya percaya tentang gelombang bawah sedar setiap manusia. Apalagi bagi seorang kanak-kanak yang masih suci lagi bersih ini. Sangat tulus.

Saya tak menyangka kepercayaan saya dan eksperimentasi saya terhadap anak saya ini berhasil sebegini rupa. Betul, saya tak menyangka! Niat saya hanya untuk membetulkan kesilapan saya tapi saya tak tahu di mana (saya tahu saya dah buat salah tapi tak tahu apa dia kesalahan saya). Dan selebihnya, itu dalam ilmu Allah yang dapat membimbing saya tentang tatacara yang betul dalam cuba memasuki zon gelombang bawah sedar si anak.

Perbualan ketika tidur dengan anak saya ini sudah berlaku beberapa bulan yang lalu semasa Fathi baru masuk ke usia 2 tahun pada Februari lalu. Fathi dapat adik baru ketika usianya 1 setengah tahun.

Semasa itu, saya akui saya agak kalut dan tertekan kerana si sulung secara tiba-tiba bangun malam dan menangis macam kena pukulan yang kuat di tengah malam. Tidak tentu masanya. Tahap kesabaran saya tercabar ketika sampai 2 jam sekali dia terbangun secara mengejut dan menangis di tempat tidur dengan kuat sekali. Mengalahkan adiknya yang perlu bangun menyusu malam!

Sudah banyak ayat dibaca, dihembus. Diberi susu ditolak. Bapaknya mahu angkat atau hanya berbaring di sebelah pun di sepaknya. Jika saya mendekat, lebih keras tangisannya. Boleh menjangkau 2 jam jika dibiarkan terus menangis. Hinggalah saya pujuk perlahan-lahan dan cakap seberapa banyak yang boleh yang saya sangat sedih dia menangis begitu sekali (hanya melalui hati). Barulah saya boleh angkat dia, bagi dia makan biskut dan beri dia 'cek katak' nya (ketika itu katak kesayangannya ini terlintas di hati saya). Dan serta merta dia tersenyap. Dan berbunyi, "wak. wak.. ummmmm.." Rupanya dia nak bagi cek katak makan sekali dengannya.

Hasilnya jam 3.30 pagi dengan badan yang lemah dan mata yang kelat, saya sedang menyuapkan anak dan katak kesayangannya makan biskut. Aduhhh!!!!! Saya terfikir, apa yang menyebabkan anak saya ini lebih sayangkan dan sangat selesa dengan kataknya berbanding saya sendiri seorang ibunya. Itu yang menyedarkan saya akan kesilapan saya. Bukan disebabkan 'mengada-ngada' dia.

Selepas perbualan tidur ini berlangsung, ia mengambil masa hampir 2 minggu untuk keadaan tenang kembali.

Paling awal perubahannya, dia nak makan nasi tapi mesti saya suap pakai tangan saya. Suap hanya dia seorang sambil bermain-main dan penuh dengan peluk-memeluk. Kemudian, barulah dia tidur tak bangun-bangun pada waktu malam. Ketika itu, saya sudah beritahu pada suami tentang peraturan baru ketika tidur. Tidur bersama-sama. Kemudian, beransur sedkit-sedikit dia tak lagi baling membaling barang atau makanan. Termasuk gigit jari adiknya.

Cuma, saya perasan sekarang dia hanya gigit jari adiknya apabila dia panggil saya tapi saya hanya menyahut dan tidak menoleh ke arahnya. Mungkin sebab masa tu saya sedang memasak atau menonton atau sembahyang. Asalkan saya atau suami tidak menoleh apabila dia panggil dia akan pergi dekat dengan adiknya dan gigit jari atau kaki si adik sampai menjerit!

Akhirnya, saya mendapat satu pengajaran berharga yang telah diajarkan oleh anak-anak saya.

Anak-anak kebiasaannya akan meragam dalam pelbagai cara dan dalam usia tertentu.

Ya, meragam/mengamuk (tantrum sindrom) itu biasa dan ada pada semua anak-anak. Lihatlah mereka dan akuilah kesalahan kita sendiri kerana dengan cara itu saja anak sedang berkomunikasi dengan kita tentang sesuatu.

Tak guna kita terus menerus memarahinya setiap kali dia mengundang amarah kita. Semua tindakan itu sebenarnya adalah protes terhadap apa yang kita telah lakukan kepada dia samada dia nak cakap, dia perlukan lebih perhatian atau kasih sayang, atau menegur tentang ketidakadilan kita.

Kasar hukuman kita kepadanya, lebih kasar ragam dia akan tunjukkan. Kerana dia tidak mengerti apa-apa kecuali ingin meluahkan saja. Tapi tak tahu bagaimana. Dan baginya, adakah itu juga salah?

Terbukalah untuk mempelajari dan memahaminya! Tak guna jawatan yang tinggi atau kelulusan pendidikan yang terbaik sekalipun jika perkataan si kecil pun tidak dapat kita fahami. Moga catatan ini dapat menjadi panduan kepada ibubapa yang runsing dalam menangani atau sekurang-kurangnya mengawal tantrum sindrom di kalangan anak-anak.

6 ulasan:

raje atikah berkata...

jawapan fathi tu dr dlm ati ko dijah?terkejut gak bile kite bace tp kite paham nape jadik camni..
budak yg br dpt adik die mesti rase die terabai even kite bukan sengaje kan?kite nk ckp lbh2 pon xde pengalaman sindrom anak sulong jeles ni.takut time kite nanti lg seksa menanganinye coz yg sulong ni da besa 3-4 tahun die manja sorang..mama & abah adalah hak die, tetibe adik dtg ntah camne la reaksi die nanti kan.pape pon rasenye kene banyak bersabar and cuba abeskan mase ngan abg supaya die x rase terpinggir.kite pernah bace dlm blog ke dlm majalah hape ntah.sorang ni die spent seharian ngan anak sulong die jalan2 kuar and tinggalkan yg adik ngan ayah die and alhamdulillah yg sulong berubah perangai.lg satu maybe sbb anak ko sulong laki, jiwa keras..kalo die pompuan maybe die setakat merajuk tp x mengamuk kot..cuma teori kite yg ade anak sorang ni..hehehe

Khadijah Gani berkata...

Yap! Terkejut Je? Kite lg terkejut!

Seriusly, sebenarnya nak bereksperimentasi sendiri. Cuma nak teman dia tidur, tenangkan sentak2 dia masa tidur tu sambil tu cakap2 dlm hati. Masa usap2 dia kite buat tu dgn tak semena2. Tetiba jawapan tu semua dtg dari dlm hati jugak. Jawapan yg kite tak terfikir pun atau dirancang. Takde suara, takde bisikan pun. Bila pikir balik kite rasa tulah namanya intuisi.hehe..

Just nak share pengalaman.. Kang dah ada anak kedua kang, jgn mrh2 si nazmin tu. Tp bdk2 mesti dia tunjuk rasa jugak bila dah ada adik. Nak tahan pun tak boleh, kdg2 kena marah jugak. Tp lps marah tu pujuk balik lah.. Jgn sampai dia terasa sgt dlm tempoh yg lama..hehe..

Skrg ni, percaya tak, kite ngan suami main2 tatihkan adik dia belajar jalan, dgn dia skali nak tatih jugak... Haaaa layannnnn! haha.. (dua2 mesti nak dapat layanan/mainan yg sama).

Tanpa Nama berkata...

bila kakda citer situasi nie along t'ingat bbrpa situasi sms kita kecik2...oleh krna kita nie tak brpa jauh beza umur mak layan kita semua dlm masa serentak...perasan tak masa kita kecil2 kita semua akan tidur didlm 1 bilik yg ada tilam shj....lepas tu klau makan mak akan suap kita semua dgn tgnnya sendiri tak kiralah anknya blari2 semasa mkn...tpi normally kita akan duduk setempat mnunggu suapan dri mak smbil tgk tv...itu ajerlah yg along ingat...tapi biasanya mak mmg akan bpeluk kita smbil beri nasihat...hebat deria seorang ibu...takpe biar kita tahu salah kita dari tak tahu langsung & blajar mmahami anak sepertimana mak cuba mmahami kita semua
-along-

Khadijah Gani berkata...

Kakda pun ingat sgt part kite tido reramai kat luar tu. yg sampai kakda nmpk ada kala jengking masuk bawah bantal alem...haha! tgh mlm buta menjerit!

Mak ada ckp gitu jugak. Tapi mak kata anak2 dia dulu senyap je time makan takde la selincah si Tiha ni. Tiha sorg je tak reti dok diam. Tepis sana tepis sini. Fathi ok lg. Pastu mak kata, "Apa boleh buat, time anak tak rasa, ha skrg time cucu baru rasa.. aduiii, cucu..cucu..." haha..

Mak pun berkata lg.. "Tulah, sebenornya bila kawen ni takyah beli katil bebesor pun takpe. Nnti dah ada anak kang tido bawah jugak.."....huhu.. sgt betul ayat itu... :)

Tanpa Nama berkata...

sis, saya nak share kisah ni kat fb bole...saja buat pengajaran utk semua ibu2 khusunya yg muda2 mcm sy./...mmg betul apa yg sis buat n percaya ni...prof muhaya juga ada ceritakan 2,3 kisah dalam buku beliau (PadaNYA ada hikmah) berkenaan kisah anak yg mengadu mata nampak pelangi sampai mak ayah nye kena bwk pakar mata...rupanya mata dia normal, cuma nk kan perhatian ibu bapa saja...menyentuh hati sgt kisah2 anak2 mcm ni...alhamdulillah jumpa blog sis, tqsm for sharing...smg Allah sentiasa merahmati sis n keluarga...:)ila.

Khadijah Gani berkata...

Silakan share saja mana yg bermanfaat. Saya berbesar hati dan kagum dgn inisiatif puan.

Saya pun suka dengar Prof. Muhaya. Beliau juga ada menyebut jika mahu bercakap dgn org yg kita tak suka atau suka sekalipun, bercakap dgn rohnya saja. Getaran tetap akan sampai. Hehe... Sejujurnya saya juga teringat catatan insiden saya yg ini.. Terima kasih sudi membaca coretan saya disini.. ;)

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...