Khamis, 28 September 2017

Sekolah penjara




Saya berpegang kepada tidak ada seorang pun ibubapa di dunia ini yg boleh dijatuhkan hukuman "salah mendidik anaknya" sendiri. Cara didikan anak itu berbeza-beza. Siapa kita untuk mengatakan "aku yg betul, kau yg salah". Atau, "aku berjaya didik anak, kau gagal". Begitu juga dengan anak-anak.


Membaca satu post yg diperpanjangkan di whatsapp grup mengenai seorang anak yg menulis surat / wasiat terakhir kepada ibunya dengan menyatakan - jika aku dihukumi gantung sampai mati aku berharap ibu juga akan mati bersamaku kerana salah mendidik ku dari kecil. (lebih kurang gitulah ayatnya)

Menunjukkan si penulis surat mungkin masih lagi kanak-kanak yg belum matang atau sebenarnya surat itu hanya rekaan semata-mata, tidak berasas dan boleh jadi fitnah kepada seseorang. Bagaimana mungkin seorang banduan tegar tidak beroleh pengajaran hidup dari dalam penjara?

Jika benar seorang anak dipenjarakan di atas kesalahannya sendiri yg harus dipertanggungjawabkan ke atas kelakuannya dan fikirannya sendiri maka adalah lebih baik penjara itu menjadi sekolah buatnya sampai akhir hayat. Ya, penjara itu juga adalah sekolah yg terbaik bagi sesetengah orang.

Tanpa kita sedar, adakala apabila anak sudah berada di luar kawalan kita (suruh belajar selalu ponteng, suruh pergi sekolah dia melencong tempat lain) adalah lebih baik mencarikan untuknya sekolah lain yg lebih baik silibusnya.

Sekolah kehidupan di penjara. Adalah silibus yg terbaik buat mereka dengan isu begini.

Kita, masyarakat sendiri tidak perlu memandang "taboo" dengan sekolah penjara untuk anak-anak tertentu begini. Percayalah, mereka akan dapat hidup dan belajar dengan lebih baik dalam penjara berbanding hidupnya di luar sebelum ini.

Seorang ibu kebiasaannya akan tahu tahap kawalan mana anaknya berada. Ada ketika, doa seorang
ibu di malam hari dengan penuh pasrah dan keresahan hati itu diangkat Allah sebagai 'petunjuk dan hidayah' buat si anak kembali ke pangkal jalan. Caranya adalah misteri.

Allah mengizinkan sesuatu yg buruk (pada pandangan manusia) itu berlaku asbab doa seorang ibu yg terangkat agar hidayah kembali semula kepada anaknya sebelum matanya tertutup. Hakikatnya, ia adalah jalan yg terbaik.

Tiadalah silibus yg terbaik di dunia ini melainkan silibus dari Allah melalui jalan yg penuh tajam berliku bagi seorang ibu mendidik anaknya ini.


Teringat saya cerita nabi Yusuf (dalam surah yusuf) bilamana beliau lebih menyukai tinggal di penjara daripada berada di luar jika hidupnya difitnah oleh wanita-wanita yg berkehendakkan kepadanya.

Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".
(Surah Yusuf 12:33)

Lihatlah, betapa Nabi Yusuf yg mahu menghindari dirinya daripada tipu daya perempuan dan lebih banyak kemaksiatan yg mungkin akan berlaku pun, baginda berserah diri redha dengan takdirnya yg dimasukkan ke penjara.

Ini bagi kes orang yg dizalimi. Bukan semua orang yg berada dalam penjara itu hanyalah pesalah.

Apatah lagi jika seseorang yg memang sudah hilang kawalan dan sering melakukan kesilapan berulangkali dengan pengaruh tertentu. Sekolah penjara sahaja yg boleh mengawalnya agar tidak terus hanyut melakukan kesilapan yg sama.

Bukankah ini adalah rahmat kasih sayang Allah dalam cara yg misteri? Allah al Hadi memberi ruang dan membuka peluang untuk seseorang kembali merenung diri dan mengubah diri menjadi orang yg lebih baik melalui jalan ini.


Orang lain, lain pula jalannya. Berlapang dada dan belajar untuk melepaskan semuanya, redha dengan setiap perkara yg berlaku dalam hidup kita walaupun ia pahit untuk ditelan. Bergantung kepada doa yg pernah kita tadahkan.

Fikirkan kembali apakah doa yg pernah kita ungkapkan dahulu buat anak kita? Apakah kini Allah sudah memakbulkannya dengan cara yg diluar sangka?

Jika seorang anak betul-betul dapat bermuhasabah diri dan mengambil pengajaran daripada kesilapannya, dia pasti bersyukur kerana ibunya memasukkannya ke dalam sekolah penjara dan bersyukur dengan takdirnya yg pernah ditangkap dan menjalani peluang yg lebih baik sebelum pergi meninggalkan dunia..

Maha suci Allah yg memegang hati-hati manusia. DIA tidak pernah menzalimi hambaNya, malah diri manusia sendiri memilih jalan yg zalim untuk dirinya sendiri.

DIA menurunkan nuur hidayah kepada siapa yg dikehendakiNya dan bila-bila masa juga menarik kembali hidayah kepada sesiapa yg dikehendakiNya. Siapa kita layak menentukan syurga dan neraka seseorang?

Usah kita pandang di penjara ini hanya untuk orang jahat seolah-olah mereka ini semua penghuni neraka. Astaghfirullah!

Sebaliknya, pandanglah penjara itu sebagai sebuah sekolah yg akan memandu diri pelajarnya menemui taufiq Allah seterusnya ruang untuk seseorang menjadi insan yg lebih baik untuk masyarakat kelak.

Doakan mereka (anak-anak ini) beroleh keampunan Allah dan kemaafan manusia yg pernah dizaliminya dahulu.

Ya, bukan senang. Sakit... Ambillah masa seberapa lama untuk kita memaafkan seseorang.

Kelak, sekolah penjara pasti akan melahirkan pelajar yg akan berubah menjadi insan yg lebih baik daripada kita kerana taubat nasuhanya. Kita tak tahu.

Manakala kita masih meneruskan berbuat dosa dengan menyebarluaskan fitnah (sesuatu yg tidak pasti) di media sosial malah mengecam dan memaki orang di sana sini sama seumpama membunuh jiwa seorang manusia yg lain. Sepertinya kita ini tak pernah berbuat dosa. Manakah satu keadaan yg lebih baik?

Sekolah penjara tidak harus dipandang negatif. Besar peranan yg dimainkan sekolah penjara. Satu-satunya tempat seorang hamba Allah memperoleh ketenangan namun, akan terus terpenjara dalam emosi penyesalan dan rasa bersalah sehingga akhir hayatnya.

Jika memaafkan orang lain itu sangat sukar, memaafkan diri sendiri akan menjadi jauh lebih sukar keadaannya.


#refleksidiri
#muhasabahjiwa
#carilahhikmahpadasetiapkejadian
#belajaruntukmelepaskan

Khamis, 21 September 2017

Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz ItTifaqiyyah Keramat Hujung 2017



Hikmah di atas ujian iman.

"Mak, macamana kebakaran ni tak dapat dikawal? Kan sekarang musim hujan."

Erk! Mak tersentap dari emosi paling dalam ketika khusyuk mendengar berita pagi di TV. Mak tak terfikir pula sekarang musim hujan.

* Tips : Bila dapat soalan daripada anak, sentiasa tanyakan pendapat daripadanya semula. Jangan terus bagi jawapan (tak kiralah kita tahu ke tak tahu jawapannya). Jangan semuanya nak kita suapkan. Pandu & dorong fikirannya.

"Abang rasa kenapa? Macamana perkara ni boleh terjadi pada masa musim hujan?"

"Ermmmm, entahlah. Biasanya, udara akan menyebabkan api makin besarkan? Sebab tu bomba kena datang jirus air yg banyak sebab Dari tekanan air yg tinggi boleh padamkan api? Tapi air pun boleh jadikan api makin besarkan? Dia kena padamkan dengan alat pemadam khas?"

"Oooo abang teringat yg masa mak terbakarkan dapur nenek haritu ey? Api makin marak bila mak cuba simbah air? Last last kena tutup dengan kain basah supaya tak ada udara. Kan?"

"Ha ah.. Kalau kita azan pun api boleh terpadam kan mak?"

"Boleh. Dengan izin Allah. Masa kebakaran ni pun azan subuh berkumandang. Tapi kenapa api tak terpadam? Kalau abang cakap macam ni kat orang bukan Islam nanti dia akan Tanya abang balik macam mak Tanya ni. Apa abang nak jawab agak agak?"

Senyap sekejap.

"Tapi lebih pelik lagi sebenarnya cuba abang fikirkan macamana 2 tong gas boleh ada kat depan pintu bilik asrama padahal tong gas letaknya kat dapur?"

"Mmmmm... Mak ni boleh tak jangan bagi abang soalan KBAT pagi pagi macamni? Sakit kepala abang."

Eh!
Haha..
Tak sengaja mak.

"Abang, tak siapa pun akan tahu macamana cara kita akan meninggal dunia, bila, kat mana, sebab apa? Kita takkan boleh tahu. Apa yg terjadi ni qada dan qadar Allah kita wajib beriman dengannya. Bila sesuatu yg tak diingini terjadi kita bertawakkal, kita azan supaya api padam. Allah akan bantu. Taaapiiii, bila sesuatu terjadi atas tangan manusia maksudnya puncanya manusia yg cipta sendiri, sunnatullahnya kena kita hadapi.

Kalau dah punca kebakaran tu sendiri berada kat satu satunya jalan keluar, macamana nak selamatkan diri? Tong gas tak ada kaitan dengan tidur. Macamana boleh ada kat bilik tidur? Tong gas boleh jalan sendiri tak naik tangga sampai tingkat 3? Kecuali ada tangan manusia yg bawak menapak naik tangga. Gigih sungguh manusia tu. Alangkah mak angkat tong gas pun seret je tak larat nak angkat ni kan pulak nak bawak naik tangga.. Ish ish ish..."

"Jadi, maksud mak kalau ada orang lain yg jadi penyebab kebakaran tu api pun takkan padam walaupun kita azan? Kena tunggu bomba jugak datang?"

"Maksud mak, kalau dah salah manusia sendiri, jangan salahkan Allah tak bantu. Kalau kita sendiri tak ikat tali unta tu, jangan salahkan Allah bila unta tu hilang.

Kebakaran, sakit, eksiden, lemas, kena tembak, jatuh, tu semua hanyalah cara bagaimana kita meninggalkan dunia ni. Tidur pun boleh jadi salah satu cara lagi. Kita tak boleh nak agak. Tapi cara tak menunjukkan kita ni baik pengakhirannya atau buruk. Kita takkan tahu pengakhiran kita baik atau buruk. Sebab kadang kadang buruk di mata manusia tapi itulah paling baik di sisi Allah. Tak siapa boleh tahu baik tu macamana. Itu semua dalam rahsia Allah.

Macam abang boleh pilih siapa mak Abah abang sebelum abang lahir kat dunia. Boleh?"

"Tak..."

"Mak dan Abah boleh pilih siapa yg akan jadi anak anak mak ni? Boleh?"

"Tak... Allah nak bagi."

"Ya.. Betul! Rahsia Allah. Allah nak bagi. Ikut cara mana, bila, bagaimana, normal ke tak, tu semua ikut Allah lah nak bagi macamana. Allah lagi tahu. Walaupun buruk anak kita di mata orang, tapi Allah bagi itulah yg paling terbaik untuk kita. Baik dan buruk manusia takkan sama dengan ilmu di sisi Allah. Faham?"

Fathi angguk macam berat nak hadam. Wahai anak 8 tahun, kelak kamu akan dapat menghadaminya.

.
.

Turut merasai kesedihan yg sama, saya mendiamkan diri daripada terus menulis komen mengenai isu ini.

Saya percaya, hikmah sesuatu kejadian hanya akan dapat dilihat apabila kita duduk diam diam dan bermuhasabah dengan apa yg terjadi.

Kembali kepada al Quran kerana yakin yg al Quranlah kitab rujukan KBAT tertinggi bagi mencari jawapan kepada persoalan KBAT yg adakala muncul dalam dunia ini.

Menelusuri media media sosial hari ini, ada banyak perkara yg perlu masyarakat insafi Dari kejadian ini.

1. Ini bukan musibah tetapi ujian Iman buat semua orang Islam khususnya buat kaum keluarga yg terlibat. Apakah pembawa dan pemelihara al Quran tidak boleh diuji dan harus terus terpelihara kerana berkatnya al Quran?

Bahkan, Allah mengatakan setiap orang yg beriman (yg mempunyai iman) itu pasti akan diuji di dunia ini bagi mengesahkan keimanannya. Bukan hanya sekadar berkata kata "aku beriman kepada Allah & kitabNya" tanpa melepasi ujian iman terlebih dahulu.

2. Sikap pengusaha/pemilik institusi yg mendidik anak anak atas nama agama pasti lebih cakna selepas ini dengan "safety first" di asrama. Lebih menghadami maksud hadith - Ikatlah untamu barulah kamu bertawakkal.

3. Masyarakat di sekeliling yg lebih bersikap empati dan saling menjaga aib anak orang lain seperti anak kita sendiri dengan cara tidak menyebarluaskan gambar CARA kematian seseorang demi mencari hikmah dan iktibar.

Bukan! Hikmah tidak boleh dicari melalui menyebarluaskan gambar cara kematian seseorang ataupun melihat kubur seseorang.

Mahukah ibu ibu mengingati pemergian anak anda dengan cara / keadaan yg muram atau muka yg tersenyum? Dalam keadaan berbaring elok ataupun sebaliknya? Memori terakhir mengenai anaknya bagi seorang ibu sangat penting sebagaimana memori pertamanya si ibu melahirkan anaknya ke dunia ini.

Hormati perasaan seorang ibu yg lain. Anda akan dihormati kembali.

4. Belajar lagi untuk menekan butang "pause" dalam hidup ini apabila terbacanya sesuatu yg viral. Biarkan pihak berkuasa menjalankan tugasnya dahulu. Kita tak perlu mengambilalih tugasan professional yg lain yg kerjanya memang untuk melaporkan berita.

Tarik nafas. Bacalah alfatihah. Bertenanglah. Tunggu hingga laporan penuh dikemukakan.
Bukankah doa yg tersembunyi itu lebih baik keadaannya?

Adakala kita ingin mengejar sensasi kita mungkin terlupa ada perasaan halus yg disakiti oleh kata kata anda yg belum diketahui kebenarannya.

5. Bagi setiap soalan yg tiada jawapan, kembalilah kepada al Quran dan al hadith.
Ingin saya kongsikan dapatan pagi ini seusai solat subuh tadi. Menjadi amalan saya untuk berniat sebelum membuka al Quran pabila hati ini penuh dengan persoalan. Allah tunjukkan jawapan bagi kesedihan ini.

Bacalah surah at taubah ayat 107-112.

.

Khusus buat orang yg gigih mengangkat 2 tong gas berwarna kuning hingga tingkat 3 di malam hari, buatlah sesuatu demi menenangkan hati anda kembali. Selagi anda menyembunyikan 'sesuatu' dikhuatiri ketenangan dan kebahagiaan hidup di dunia ini akan ditarik Allah sekelip mata.

"Tidakkah mereka mengetahui bahawasanya Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka dan bahawasanya Allah amat mengetahui segala yg ghaib?"
(Surah at taubah : 78)

.

Khusus buat ahli waris yg terlibat di dalam ujian iman ini, takziah saya ucapkan. Anda dan saya adalah seorang ibu. Tiadalah yg kita pinta daripada Allah hanyalah untuk melihat anak kita berjaya memperolehi kemenangan yg lebih kekal abadi dan menunggu kita di tempat tinggal yg lebih baik.

"Mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang yg memperoleh kebaikan. Dan mereka itulah juga orang yg beruntung. Allah telah menyediakan bagi mereka syurga yg mengalir di bawahnya sungai sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan (kejayaan) yg besar."
(Surah at taubah : 88-89)

.

Semoga kita tidak mengharapkan hanya anak anak sahaja menjadi pembawa dan pencinta al Quran sehingga akhir hayatnya. Bagaimana dengan kita?


#ibrahdanhikmahituluas
#setiapyangpahitadamanisnya
#tiadayanglebihtinggilagimeninggikanselainalQuran

.
.
.


Isu semasa. Daripada kacamata pengalaman mengajar mengaji.

Ini bukanlah satu isu baru.

1. Dalam banyak-banyak whats app grup yg saya ada, akhirnya ada 1 grup yg menjadi sumber saya TERbaca mengenai laporan polis kronologi kejadian.

Baik - Syabas kepada anggota grup lain yg tidak menyebarluaskan laporan tersebut. Anda berjaya beroleh hikmah daripada kejadian ini.

Buruk - Adalah salah akhlak dan kurang integriti bagi orang yg menyebarluaskan laporan polis tersebut yg sepatutnya ianya private and confidential selagi mana siasatan sedang dijalankan.

Walaupun ia sudah menjadi kebiasaan di zaman media sosial begini ia bukan tiket untuk kita turut sama kurang akhlak dan tidak berintegriti menyebarluaskan nama penuh serta nombor IC penuh seseorang.

Ini bukti bukan anak remaja zaman ini saja sudah hilang pertimbangan dan integriti. Semak diri kita sendiri.

2. Saya teringat semasa tahun pertama di matrikulasi UIAM PJ tahun 2000. Subjek : Introduction of Sociology. Pensyarah yg saya kagumi memberikan assignment berat pertama kali masuk ke kelas tersebut.

Apakah tajuk assignment tersebut?

Mencerna watak Habil dan Qabil yg wujud dalam masyarakat hari ini. Itu tahun 2000.

Pernah membaca sirah ini? Pernah memahami, mencerna dan mentadabbur kedua-dua watak anak Nabi Adam ini?

Ini bukti bahawa isu hari ini bukanlah perkara baru. Kerana cemburu, dendam, manusia boleh sahaja hilang pertimbangan sehingga mampu membunuh adik beradik sendiri apalagi bukan adik beradik. Isu ini bukanlah isu akhir zaman. Buka semula sirah dan ambillah intipati kejadian. Belajar daripada sejarah. Cernakan dengan sebaiknya.

Oh ya.. Itulah detik permulaan saya meminati subjek Sosiologi yg mana bidang ini memerlukan kita berfikir dan memahami masalah umat yg sebenar dan berkecimpung terus ke dalam masyarakat. Subjek inilah juga menjadi punca fikiran saya terbuka tentang poligami dan dapat memahami keperluan poligami.

Ya, saya seorang pemikir. Saya kurang gemar mencari salah pihak lain tapi saya bersetuju dengan semua pandangan berbentuk solusi. Itu lebih membantu ummah.

** Semestinya bukan dengan solusi menutup pusat-pusat tahfiz! Tidak sama sekali. Bahkan, ingin saya cadangkan kerajaan membina semula semua pusat tahfiz di Malaysia sama seperti SMKA. Malah, saya menyambut baik silibus SMKA hari ini yg mempunyai program hafazan (ada guru tahfiz yg mengajar) sama seperti pusat tahfiz. Subhanallah! usaha yg sangat baik! Duniawi dan ukhrawi disatukan dan dibimbing dengan baik.

3. "Children kill children" juga bukanlah perkara baru. Di dalam al Quran ada isu yg serupa pernah dinukilkan. Tak percaya?

Bacalah, hadamilah, tadabburlah surah Yusuf.

Cernakan dengan sebaiknya bagaimana pakatan adik beradik yg ingin 'membunuh' adik sendiri ini dinukilkan buat umat akhir zaman. Bagaimana reaksi ayahnya yg terlalu sedih dengan "kehilangan" anak kesayangannya tanpa mayat yg dilihat dalam masa yg sama bagaimana ayahnya berhadapan dengan sejumlah anak-anak sendiri yg rosak akhlaknya akibat hasutan syaitan.

Syaitan di zaman ini telah berubah bentuk sehingga dapat dijelmakan menjadi lebih nyata dalam bentuk dadah / syabu / ganja dan sebagainya.

Hati-hati.. Ayahnya seorang Nabi.

Al Quran bukanlah diturunkan untuk para Nabi sebelum Rasulullah. Al Quran diturunkan melalui Nabi Muhammad s.a.w untuk rujukan dan panduan umat akhir zaman.

Sudah nampak?

4. Saya teringat pengalaman bersama anak-anak murid mengaji saya yg lelaki seramai 6-7 orang satu ketika dahulu. Ketika umur mereka sekitar 12 hingga 17 tahun. Ada juga seorang masih bersekolah rendah hanya mengikut abang-abangnya.

Sungguh.. Persis sekali isu yg sama pernah dibangkitkan mereka.

Semasa itu, saya aktif mengadakan Usrah Cik Jah bersama anak-anak murid mengaji. Mereka menjadi obses dengan usrah. Kerana di dalam usrah cik jah saja mereka dapat meluahkan segalanya.

Banyak aib ibubapa dan sekolah yg didedahkan tapi saya saring, tapis dan simpan dengan sebaiknya.
Saya tahu gelojak perasaan anak-anak remaja begini. Apalagi apabila anak yg bersekolah biasa ini sering direndah-rendahkan kerana sikap mereka pada pandangan masyarakat seperti ahli neraka dan tidak layak ke syurga. Manakan tidak mereka terasa. Tetapi, saya hanya menulis sesuatu yg general saja di sini > http://sukamengaji.blogspot.my/2014/02/usrah-cik-jah-menjadi-al-hafiz.html

Allahu akbar.

Saya tidak mengaitkan pengalaman saya ini secara terus untuk menuduh punca ejek-mengejek yg telah berlaku dalam tragedi ini. Tidak! Saya tidak tahu. Dan saya tidak mahu mengaitkan antara kedua situasi ini. Ia mungkin berbeza.

Saya hanya ingin berkongsi realiti pengalaman saya 3 tahun lalu ini yg mana pelajar sekolah biasa menerima pandangan yg double standard daripada masyarakat sekeliling. Ya, ini realitinya yg berlaku sejak dulu lagi. Ia bukan perkara baru.

Kerana itu, saya menjerumuskan diri saya sendiri ke dalam masyarakat dan ingin mendekati anak-anak remaja yg biasa-biasa ini. Saya juga memasukkan anak-anak ke sekolah biasa-biasa supaya saya menilai kembali apa sumbangan anak-anak saya kelak kepada umat akhir zaman ini yg ramai mengatakan semua masalah sosial berpunca dari sekolah yg biasa-biasa ini.

Di pihak yg lain saya tahu, jika anak remaja yg ke asrama, SMKA atau pusat tahfiz, pasti ada ustaz dan ustazah yg membimbingnya dan memandu arah selain ibubapa di rumah. Tetapi, anak remaja yg lepak di tengah malam begini, siapakah sudi yg mengutipnya dan membimbingnya agar tidak terus tersasar?

Tiada.

Saya mengambil anak-anak remaja ini mengaji di sini kerana mereka bermain api di depan rumah saya. Sepertinya mahu membakar sesuatu dan bergelak ketawa apabila kebakaran tidak terjadi. Mereka bereksperimentasi. Memenuhi masanya yg kosong di malam hari. Saya perasan merekalah yg selalu lepak di hujung jalan pada malam-malam tertentu.

Usah bertanya tentang ibubapa. Tuntutan kerja, shift malam.. Kalau tak shift malam, balik rumah petang hari sudah kepenatan -
"Jangan kacau mama nak berehat". Saya memahaminya.

Semasa itu, saya bimbang. Haruslah bimbang! Budak-budak remaja bermain api depan rumah kita kot..

Saya ada 2 pilihan ketika itu.

1. Sergah & marah lalu menghalaunya bermain di tempat lain
2. Jemput dia masuk ke rumah, membaca Yasin bersama & cuba mengenali mereka

Agak-agak mana satu tindakan saya? Mana satu pilihan anda?

Awal tahun ini, ada jiran yg memaklumkan pintu belakangnya dibakar 'seseorang' setelah baru beberapa hari menegur pelajar sekolah menengah yg ponteng sekolah dan melepak di belakang rumahnya. Mujur sedar cepat. Dan tiada tong gas yg terlibat.

Adakah anak remaja hari ini tidak boleh ditegur langsung?

Bagaimana saya dapat memujuk anak remaja yg bermain api supaya berhenti dengan aktivitinya dan
akhirnya dapat mengaji bersama?

.

Dalam post semalam, saya juga yakin ada 'tangan nakal' yg gigih membawa 2 tong gas naik ke tingkat 3 di tengah malam buta. Namun, tidaklah saya sangka pelakunya sekitar umur remaja.

Syukur, yg bertanggungjawab sudahpun ditangkap dan sedang menghadapi apa saja kesan-akibat daripada pelakuannya kelak. Inilah doa-doa daripada ahli keluarga yg dizalimi yg diangkat oleh Allah dan urusan tersebut dipermudahkan.

Namun, kita pula yg melakukan 'kerosakan akhlak' seterusnya dengan mengecam pesalah dan seluruh keturunannya. #akhlakdimana

Daripada siapakah anak-anak kita hari ini mewarisi kerosakan akhlaknya?

Siapa kita untuk memaki dan menyalahkan ibubapa yg diuji dengan akhlak anak-anak mereka sendiri?

Perkara yg paling ditakuti oleh SEMUA ibubapa adalah apabila anda bangun pagi dan seluruh alam menyatakan anda silap didik anak dan anda adalah seorang ibubapa yg gagal. Allah.. Perkara mendidik anak ini suatu yg subjektif. Tidak boleh kita samakan dengan cara kita atau cara orang lain.

Anda mahu orang lain mengecam anda 'tak pandai didik anak'?

Jangan buat pada orang lain jika kita sendiri tidak mahu yg serupa.

Fahamilah, ujian anak-anak ini berbeza adanya. Apalagi yg tinggal di tengah-tengah kota metropolitan yg tidak pernah sunyi dengan syaitan jelmaan. Dan kita terhimpit dengan tuntutan kerjaya yg tiada kesudahan.

Lebih ramai pengikut syaitan juga hari ini. Apabila ada perasaan 'Aku lebih baik / lebih bagus daripada engkau' maka bertaubatlah!

"Aku lebih baik mendidik anak daripada engkau!"
"Kau bakar orang, balasannya kau pun patut dibakar!"

Astaghfirullahal 'aziim.. A'udzubillahi minassyaitoonirrajiim.

.

Kerana itu Rasul junjungan kita diutuskan sebagai nabi yg terakhir untuk menyempurnakan akhlak umat akhir zaman. Akhlak Nabi adalah akhlak al Quran. Pakaian Nabi adalah al Quran. Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah al Quran yg bergerak!

Sukar bukan mengikut akhlak Nabi di zaman ini?

Allahumma solli 'ala muhammad.

Beristighfarlah semua.

Fokus kepada puncanya. Marah kepada perbuatannya. BUKAN kepada orangnya. Apatah lagi kepada ibubapanya.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ” Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencerca, bukan yang suka menjolok jolok, bukan yang suka berbuat keji, dan bukan juga orang yang suka bercakap keji.”

Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Mengutuk seorang mukmin itu seperti membunuhnya.” (Hadis Riwayat Jamaah selain Ibnu Majah, hadis riwayat Tsabit bin Adl-Dlahak)

Sumber dipetik daripada : https://fitrahislami.wordpress.com/2011/05/11/rasulullah-saw-melarang-umat-islam-mengutuk-sesama-islam/


Berapa jiwa sudah kita 'bunuh' hari ini?

.

KITA. Ibubapa hari ini.. Ajarlah anak mengurus "anger management". Sebelum itu, kita sendiri harus mahir mengurus "anger management" diri kita sendiri. Kerana inilah PUNCANYA yg sebenar - http://khadijahgani.blogspot.my/2017/09/anger-management-buli.html

Membunuh orang tetap salah. Hukuman tetap hukuman. Biarlah yg lebih arif menentukan. Biar mereka belajar dari kesilapan akibat menurut perasaan. Percayalah, hukuman paling berat dijalani apabila anda dihantui dengan kesilapan dan kejahilan yg pernah anda lakukan seumur hidup anda.

Cukuplah ketidaktenangan yg akan menghantui dirinya sampai bila-bila. Kesilapan ini akan mengajar mereka.

Peranan kita amat luas dan ia adalah peranan bersama. Saling melengkapi bagai sebuah bangunan.

Usah memandang anak-anak yg melepak di tepi jalan dengan 'pandangan ahli neraka' dan akan rosak selama-lamanya. Saya mohon jangan begitu.. Pandanglah mereka tak kira apapun pakaian mereka. Kutiplah mereka, dekati mereka dengan kasih sayang dan bimbinglah bersama.

Hentikanlah double standard ini kerana kita takkan pernah tahu siapakah ahli syurga atau neraka. Dan kita hanyalah seorang manusia yg sentiasa berusaha.

Berusaha untuk masuk ke syurga beramai-ramai. Bukan hanya mendoakan anak cucu kita saja yg terpelihara dan berkumpul di dalam syurga tertinggi tetapi doakan semua anak orang Islam.

Al-Quran bukanlah hanya untuk dihafaz tetapi untuk difahami. Bukan juga hanya sekadar faham al Quran, tetapi untuk dihadami. Bukan sekadar perlu dihadami tetapi untuk dijadikan pakaian dan akhlak diri.


#didikanakabadke21
#pendidikananakanakbermuladarirumah
#doakananakoranglain
#refleksidiri

Hak anak walaupun tidak sah taraf & status perkahwinan



Umat akhir zaman kini, jumlah anak bukan lagi sesuatu yg perlu dibanggakan JIKA cara memperolehinya dengan sesuatu yg mencurigakan lalu mengetepikan semua hak yg ada semata-mata mahu menutup ego.

Allahu akbar.

Saya sudah tidak mampu lagi memikirkan masalah umat hari ini. Tetapi inilah realitinya. Pembentukan anak-anak hari ini sangat berkait rapat dengan 'kejadian' ibu dan ayahnya dengan cara yg bagaimana. Kasihan anak-anak jika ego mengatasi ilmu yg ada semasa mendirikan rumahtangga.

Daripada status anak tidak sah taraf (tidak pasti status perkahwinan ayah ibunya) hingga boleh menjadi pembubaran pernikahan yg akhirnya akan menjadikan status anak-anak sebagai syubhah.

Isunya di sini saya mohon :

1. Daftarkanlah anak di JPN sebelum anak masuk sekolah. Cari semula sijil kelahirannya. Kejar semula jadual suntikan vaksinnya di KK berhampiran. Terlambat pun tak mengapa asalkan buat 2 perkara ini. Daftarkan anak & vaksin.

2. Sijil nikah penting untuk kita simpan. Jika hilang, dapatkan semula di pejabat agama. Tiada alasan jika tiada sijil nikah KECUALI tak pernah bernikah. Dan anak-anak sebenarnya anak luar nikah. Namun, buatlah perkara yg betul kali ini iaitu daftarkan anak. Kembali ke no.1.

3. Jika bernikah di luar Malaysia (tak kisahlah kat sempadan ke overseas ke), pastikan bila balik ke Malaysia daftarkan pernikahan di pejabat agama. Ini penting! Penting untuk pendaftaran anak (1) & penting jika kelak akan berlaku penceraian atau kematian (2).

4. Kalau mati, tak apa. Tiada hak dan harta yg boleh dituntut. Anak-anak konfem tak dapat apa-apa. Kasihan anak.

Kalau bercerai, tak didaftarkan yg bahaya! Bekas isteri tak dapat berkahwin lain di masa akan datang. Kalau berkahwin juga ditakuti akan berlaku pembubaran penikahan kerana status meragukan walaupun sudah bertahun lamanya berlaku penceraian. Kasihan bekas isteri.

5. Jika perkara daftar nikah dan penceraian ini tidak jelas dan tidak mahu daftarkan juga (mahu pentingkan diri sendiri) kelak status anak-anak adalah syubhah. Sama seperti status anak tak sah taraf. Tiada hak dan harta yg boleh diwarisi / dituntut. Pembentukan sahsiah anak-anak juga boleh terganggu. Anda telah menzalimi banyak pihak.

Bertaubatlah. Saya mohon, buatlah perkara yg betul kali ini.

.

Tanpa Nama Tanpa Nama berkata...
assalamualaikum, saya ada seorang abang yang mempunyai 3 orang anak, tapi sy dan keluarga tidak tahu samaada beliau telah berkahwin atau tidak. Tiba-tiba abg sy balik bersama isteri dan anak ,ketiga-tiga anak beliau tidak mempunyai surat beranak. apabila ditanye pasal sijil nikah di orang akan jawab ' siijil nikah hilang ' dan banyak lagi alasan. Sekarang abg sy dan istrinya telah berpisah, anak sulung umur 4 tahun, kedua umur 2 tahun dan bongsu 1 tahun lebih . Anak sulung dan anak kedua ada dengan abg sy di Kuantan manakala anak bongsu dengan isterinya . sy sendiri pun tidak tahu apa yg perlu sy lakukan sebab sy sendri pun tidak berkahwin lagi dan tidak tahu berkaitan hal ini . Abg sy tidak mempunyai sebarang dokumen berkaitan anak-anaknya.
Apa yang perlu sy lakukan, sy kesian tengok anak-anaknya. sy berharap akak dapat membantu sy.

.

Wa alaikumussalam adik yg baik.

Minta ibu adik sendiri yg berbincang dengan abang adik. Pujuk abang adik daftarkan nama anak di JPN. Cari semula salinan sijil nikah dulu di pejabat agama. Kalau hilang pun sijil nikah kita, pejabat agama akan pegang 1 salinan yg lain. Kecuali jika dia berkahwin di luar dari Malaysia. Atau tidak berkahwin langsung bermakna anak2nya itu tidak sah taraf.

Jika tak diidaftarkan, kelak anak2 nya akan susah bila nak masuk sekolah. Apalagi ada ura2 mengatakan kanak2 yg tak mendapat vaksin yg lengkap tak boleh masuk sekolah. Yang paling penting kena daftarkan anak2nya juga demi masa depan anaknya bila usia 6-7 tahun nanti nak ke tadika / PRA dan sekolah darjah 1.

Minta ibu adik berlapang dada jika anak2nya ternyata anak luar nikah. Maafkan kesalahan dia, mohon dia bertaubat. Dengan syarat buatlah sesuatu yg betul pula selepas ini setelah apa yg tak betul ini terjadi. Daftarkanlah anak2 ke JPN. Kemudian, pergi ke KK berhampiran utk ambil suntikan vaksin yg tertinggal. Biar bersusah2 sekarang, demi masa depan anak2 insha Allah segalanya akan baik2 saja jika nama2 anak sudah didaftarkan dengan baik.

Lagi 1, penceraiannya juga perlu didaftarkan. Jika tidak, bekas isterinya akan susah juga di masa hadapan kerana tiada dokumen yg sah utk penceraian. Selagi tiada dokumen, anak2 boleh dikategorikan sebagai anak syubhah. Minta rekodkan penceraiannya.

Sijil pernikahan diperlukan utk daftar penceraian.. Manakala, sijil kelahiran diperlukan utk daftarkan nama anak2 di JPN. Minta abang adik dapatkan sijil kelahiran anak2 daripada bekas isterinya atau jika hilang juga minta pergi ke hospital tempat kelahiran anak2 tersebut dapatkan simpanan hospital bagi membuat pendaftaran nama anak. Jika tiada juga sijil kelahiran anak2 tersebut, kemungkinan dulu bekas isterinya melahirkan sendiri anak2 di mana2 tempat sendirian.

Minta abang adik fikirkan masa depan anak2 yg tak boleh sekolah kelak selagi tak daftar nama dan bekas isterinya yg tak boleh kawin lain kelak selagi tak didaftarkan penceraian. Dia akan menzalimi banyak pihak. Dan orang yg zalim hidupnya takkan tenang.

Astaghfirullah.

.

Nasihat yg serupa ini terpakai buat kaum suami yg berkahwin 2,3 atau 4.

Bila anda berpoligami, jangan sesekali merahsiakannya daripada keluarga! Berani mengambil jalan ini, beranilah menghadapi kenyataannya.

Jika bernikah di luar Malaysia, daftarkanlah pernikahan anda! Jangan menzalimi masa depan anak-anak dan isteri-isteri.

Semasa itu, usahlah menyalahkan pihak lain sihir menyihir jika diri sendiri yg telahpun menzalimi orang lain tanpa sedar.

Pintu taubat sentiasa terbuka. Kembalilah kepada jalan yg benar.


#daripetisoalanhiduppenuhpilihan

Khamis, 14 September 2017

Anger management & Buli



Bagi sesiapa yang membaca post saya mengenai "Kawal Emosi" ini adalah sambungannya..

"Mak, kalau abang beritahu mak sesuatu dengan jujur, mak marah tak?"

"Tak. Mak takkan marah kalau abang berterus terang dan jujur dengan emak walaupun perkara tu sesuatu yang pahit. Asalkan abang jujur, insha Allah mak boleh terima."

"Harini abang dah buat sesuatu yang paling mak tak suka abang buat. Abang tahu mak mesti takkan suka punya. Tapi abang dah tak ada pilihan lain masa tu."

Mak terkejut. Cuak juga.

"Abaaaanggggg.. Abang belasah anak orang ke?"

Geleng.

"Abang tampar anak orang ke?"

Geleng.

"Abang tumbuk anak orang?"

Senyap. Matanya ke kiri dan ke kanan sambil mulutnya diketap rapat.

Tahulah emak.

"Ya Allah abang.. Macamana boleh jadi macam tu? Apa yang jadi sebenarnya?"

"Mak tak marah?"

"Tak. Mak tak marah sebab abang berterus terang dengan mak. Tak rahsiakan dari mak. Itu dah bagus tapi tumbuk orang tetap salah dan tak bagus. Mak tahu mesti ada sesuatu yang jadi puncanya.. Sebab orang takkan naik marah tanpa sebab tak tentu pasal kan, Mak cuma nak tahu apa yang jadi sebabnya."

"Buat pertama kali dalam hidup abang, abang rasa marah sangat! Abang akhirnya tak dapat kawal diri dari nak tumbuk dia! Sebab abang kena tumbuk dulu kat perut. Masa abang bagi dia tumbukan abang ni pun abang rasa mengalir airmata ni sebab abang taknak buat tapi terpaksa buat!" Fathi tunjukkan sebuku limanya sambil kesat airmata.

"Ya Allah abang. Sakit tak dia tumbuk kat perut? Kenapa abang tak keluar je beritahu cikgu? Jangan layan orang ajak bergaduh, bertumbuk. Nanti lagi teruk jadinya. Haritu abang berjaya kawal emosi tu dah bagus dah. Mak bangga abang dapat kawal diri. Tapi mak akan kecewa kalau abang tak dapat kawal diri."

"Macamana nak keluar mak. Abang nak lari ikut pintu belakang tapi geng dia ada lagi 2 orang, S  pegang tangan abang ke belakang gini pastu E tarik baju abang kat belakang. Pastu si D tu datang tumbuk abang kat perut. Sakit jugaklah. Abang rasa macam nak mengalir airmata jugak tapi abang tahan."

Mak hilang nafas buat seketika.

Ya Allah... Astaghfirullah.

"Meh mak tengok.. Ada lebam tak?"

Fathi menunjukkan tempat dia kena tumbuk tadi.

"Tak ada lebam pun. Abang ada rasa sakit tempat lain tak? Abis lepas abang tumbuk dia, dia pun mesti rasa sakit jugak kan? Dia menangis tak? Tak ada orang lain yang tolong abang bila nampak abang kena pukul? S tu kan pernah mengaji dengan mak, dia baik budaknya. Takkanlah dia boleh pukul abang. Abang kan pernah pergi rumah dia. Main sama-sama.."

"Budak-budak tu tak menangis. Cuma abang nampak S keluar airmata jugaklah. Baru dia tahu betapa kuatnya tangan abang ni bila abang dah hilang kawalan. Dia pegang tangan abang ke belakang masa tu. Dia yang paling dekat jadi kenalah tumbukan abang dulu sebab dia pegang kuat sangat. Pastu abang tak tahan sangat kena tumbuk tu. Abang nak lepaskan diri. Kawan-kawan lain ingat abang main-main dengan budak-budak tu. Diaorang pun tak buat apa. Masa tu cikgu tak ada. Cikgu tak bagi keluar kelas. Tu yang diorang yang jaga kelas tu tak bagi abang keluar."

"Oooo jadi, abang tumbuk diorang sebab nak mempertahankan diri je sebab diorang yang tumbuk abang dulu? Boleh mak tahu sebab apa dia tumbuk abang dulu?"

Dari awal mak tahu mesti ada sesuatu puncanya. Mak tak mahu melulu salahkan anak orang lain saja.

"Sebab asalnya kan abang yang buat geng komik dengan diorang. Lepas tu si D nak jadi ketua. Dia taknak ikut abang jadi dia keluar geng abang, dia ajak lagi 2 orang tu masuk geng dia. Lepas tu abang kan ada idea banyak. Dia cuma lukis komik lawa je. Tangan bazuka dia lukis memanglah lawa. Tapi bila dia tak ada idea, dia nak rampas kertas perancangan rahsia komik yang abang buat ni. Abang tak bagi. Dia nak curi idea abang! Tu yang diorang pegang abang, pastu pukul perut abang."

"Astaghfirullahal 'aziiimmmm... Pasal komik ni je sampai bertumbuk?! Hmmm, ni yang mak pun rasa MACAM nak hilang kawalan nih."

Kuuuussssssmangattt! Juling-juling mata mak mendengarnya.
Mak pause sekejap.
Cari air nak minum.
Takut mak pulak kang yang gagal kawal emosi. Hoho..

Baiklah. Mak fikir daripada mencari salah mana-mana pihak dan terus melatah, baiklah mak analisa bersama abang apa yang baik dan apa yang tak baiknya yang boleh dijadikan pengajaran.

"Abang,

1. Abang kena tumbuk sampai rasa sakit kat perut tu dah tak bagus sebenornya sebab kita tak boleh biarkan orang lain sentuh kita apalagi cederakan kita secara fizikal. Ni nasib baik tak ada lebam, keluar darah atau apa-apa luka.

2. Mempertahankan diri sebab kena tumbuk dulu tu boleh diterima. Sebab kita taknak orang lain sakiti kita lagi. Kalau dah itu je pilihan yang tinggal. Tapi janji, sekali je mempertahankan diri. Lepas tu jangan sambung panjang berbalas tumbukan lagi. Stop sampai situ ok. Abang tumbuk sekali pastu mujur dia tak balas tumbukan abang. Kawan-kawan abang pun dapat kawal diri dengan baik sebab tak berbalas tumbukan itu langkah yang bagus. Jadi benda ni tak jadi lagi teruk.

3. Akhirnya abang gagal kawal emosi dan terus naik darah tu mak faham sebab mana-mana manusia pun akan ada perasaan marah bila diajak bergaduh banyak kali. Banyak kali dah sebelum ni diorang ajak abang bergaduh kan tapi abang tak layan kan. Abang dapat kawal diri. Cuma kali ni je abang betul-betul tak boleh tahan dah. Ok tak apa. Mak faham. Tapi, janji dengan mak, lain masa nanti kalau jadi macam ni lagi abang cuba kawal semula emosi dengan baik ok. Selalu fikir masa depan. Kalau berbalas tumbukan keadaan akan jadi lagi teruk. Lepas tu kita semua akan menyesal. Sampai tua rasa menyesal tu akan abang rasa tau.

Jadi, kalau diorang ajak bergaduh lagi, terus lepaskan diri atau jarakkan diri daripada diorang dan terus pergi pejabat jumpa guru besar atau mana-mana cikgu yang ada kat situ. Sentiasa jujur dan beritahu perkara sebenar walaupun itu memang ada salah kita. Jujur je. Cikgu akan tahu yang abang sedang mempertahankan diri.

4. Lepas ni bubarkan geng komik abang tu kat sekolah. Tak perlu lagi buat geng itu geng ini kat sekolah. Kalau abang betul nak terbitkan komik sendiri, mak akan cuba tolong abang. Kita usahakan sendiri. Tapi tak perlu beritahu kawan-kawan ajak diorang sekali. Sebab bila ramai orang, banyak fikiran, banyak tindakan ambil sendiri, akan banyaklah nanti yang nak digaduhkan. Itu tak bagus. Jadi, baiklah dibubarkan. Abang tak rugi apapun.

5. Tumbuk anak orang tetap salah dan tak bagus sebab kita cederakan orang lain. Mana tahu dia ada sakit lain, sebab abang tertumbuk dia sikit je nanti dia boleh masuk hospital atau meninggal dunia lagi teruk jadinya. Masa depan abang nak buat komik sendiri tu langsung dah tak ada harapan dah sebab polis tangkap. Masa tu mak pun akan sedih dan kecewa dengan abang. Abang dah tak boleh jumpa mak lagi. Sedih tak? Jadi, selalu fikirkan masa depan kita. Apa kita buat harini semuanya ada kaitan dengan masa depan kita. Hati-hati!

6.  Sebab tumbuk orang tu salah, jadi abang pilih nak mak bawakkan pergi rumah S jumpa emak S dan mengaku minta maaf atau esok kat sekolah jumpa S minta maaf sendiri sebab abang hilang kawalan harini sampai tertumbuk muka dia. Mana satu? Abang pilih. Tak kira kita betul atau salah, apa yang salah tetap salah dan kita kena minta maaf! Kita pun bukan sentiasa baik dan betul. Orang lain pun bukan selalunya jahat dan salah.

7. Mulai harini abang kena doakan kawan-kawan abang supaya jadi baik dan jadi anak yang soleh setiap hari. Abang terlupa ni nak doakan kawan-kawan abang. Asyik doakan diri abang sendiri nak buat komik je kot.

Kan mak pernah beritahu abang, tak ada sorang pun dalam dunia ni yang dilahirkan je jadi jahat atau suka buli orang lain. Tak ada! Mesti ada sebab kenapa seseorang tu belajar suka kacau orang atau cari gaduh dengan orang lain kat sekolah. Mana tahu kat rumah dia jadi sesuatu misalnya mak ayah dia selalu bergaduh dan menjerit kat dia. Kesian kan dia? Nak duduk rumah pun tak tenang.

Abang kena bersyukurlah mak dan abah tak bergaduh. Mak kesian kat S tu. Dia tu pernah mengaji dengan mak. Mak tahu dia budak baik. Cuma mak tak sangka sampi hati dia buat abang macam tu. Masa dia sakit kat sekolah dulu kan abang yang tolong angkat dia pimpin dia naik van. Tapi tak apalah. Nanti dia belajar dari kesilapan dia. Abang pun belajar juga. Kesiankan kat dia. Maafkan dia dan minta maaf dari dia. OK?

Senyap.

"Nanti abang fikirkan dulu mak."

Mak pun senyap.

.

Semasa makan tengahari, saya memaklumkan kepada suami.

Abahnya terkejut sama seperti saya tadi dan mula bertanya cerita sebenar. Berceritalah dia sekali lagi.

Setelah selesai cerita, abahnya kelihatan tenang saja. Dan senyap. Terus makan seperti biasa. Saya mahu lihat apa pendapatnya.

"Macamana? Awak kan AJK PIBG sekolah. Apa tindakan awak nak ambil? Anak awak kena buli kat sekolah."

"Itu bukan bulilah. Itu budak-budak bergaduh. Kalau buli tu dia kena tiap-tiap hari macam Nobita tu. Sesekali budak-budak memang bergaduh. Nanti pandailah diorang setelkan sesama sendiri. Budak lelaki memang macamtu."

Ok. Walaupun macam tiada emosi di situ (haha!) tapi mak setuju juga point itu. Perbezaan dibuli dan bergaduh. Tapi, ia perlu dikawal juga. Daripada satu pergaduhan inilah boleh menjadi punca buli terus menerus hidup di sekolah.

Mak berfikir, jika beritahu cikgu pun supaya tolong pantaukan budak-budak ni jangan bergaduh kat sekolah, mak percaya itulah yang cikgu pastikan hari-hari kat sekolah. Tiada pergaduhan, tiada komik, tiada buli. Siap ada peti aduan khas yng diletakkan kat sekolah bagi sesiapa yang dibuli. Cikgu-cikgu juga sudah tersedia banyak kerjanya ditambah pula nak pantau seorang demi seorang.. Hanya nak jadi cerita saja harini.

Maka, mak pun berlapang dada dan mengubah aura positif untuk Fathi supaya memaafkan dan saling meminta maaf walaupun ia bukannya 100% kesalahan diri kita.

Teringat mak sekolah rendah dulu. Mak hari-hari balik sekolah menangis atas sejadah sorang diri masa solat Zohor. Hari-hari mak kena buli secara mental dengan orang paling berpengaruh kat sekolah. Tapi mak tak pernah cerita pada sesiapapun walaupun atuk dan nenek. Nenek tanya kenapa mata bengkak macam menangis. Mak selalu cakap tak ada apa. Mak pendam sorang-sorang.

Masa itu, mak betul-betul bergantung pada Allah dan berdoa sungguh-sungguh supaya Allah cekalkan hati mak. Mak doa supaya Allah berikan mak kesabaran yang tinggi dan mak redha sebab mak yakin akan ada hikmahnya satu hari nanti di masa hadapan. Mak tak tahu sekarang tapi mak tahu mesti akan ada hikmahnya.

Mak berbual-bual dengan Allah pujuk hati mak supaya hikmah kemanisannya nanti dapat mak kecapi jugak satu hari nanti dalam masa hadapan. Lepas mak dah nangis banyk-banyak, mak akan tertidur. Bangun dari tidur biasanya mak rasa lega sangat dan tak berdendam pada sesiapa. Allah yang pujuk hati mak dan hadiahkan mak dengan mimpi yang indah. Itu saja yang mak ingat.

Mak doakan Fathi juga diberi kecekalan hati dan latihan ini walaupun kita rasa susah dan sedih sekarang tapi ujian beginilah yang akan mematangkan kita dan didik hati kita berjiwa besar satu hari nanti. Semua yang berlaku Allah datangkan bersama hikmahnya. Allah takkan biarkan sesuatu terjadi dengan sia-sia.

.

Selesai solat maghrib, seperti biasa Fathi mengaji bersama adik-adiknya. Semasa itu, suasana sangat tenang. Mak pun dah bertenang dan mahu baca al-Quran. Sebelum buka al-Quran Fathi berkata,

"Mak, kita kena doakan kawan-kawan kita eh supaya jadi murid yang baik dan anak yang soleh? Walaupun dia sakitkan hati kita sampai kita menangis?"

"Iya. Kita kena sentiasa doakan kawan kawan kita jadi baik. Nanti malaikat akan doakan kita jadi baik sama dan angkat doa kita minta Allah makbulkan. Orang yang paling sakitkan hati kita sebenarnya dialah yang paling perlukan doa dari kita. Jangan berhenti berdoa untuk semua orang."

Fathi mengangguk dan mula mengaji.

.
.
.

Kejadian ini berlaku sebelum cuti sekolah tempohari. Mak sengaja simpan untuk beberapa ketika untuk melihat kesan doa dan tindakan Fathi selepas kejadian itu dan demi mencari hikmah tersembunyi. Mak percaya, jika kita cepat melulu dan mencari salah ramai pihak, banyaklah salah yang kelihatan. Malah, kesalahan diri sendiri tidak nampak. Lalu, apakah hikmah yang kita boleh kutip daripadanya?

Ternyata, kuasa doa itu hebat adanya. Tiada siapa lagi yang mengusik atau cari gaduh dengan abang lagi. Semuanya kembali biasa seperti tiada apa yang terjadi. Kawan-kawan abang pun memaafkan abang walaupun ada seorang lagi yang menjauhkn diri dari abang. Mereka sudah insaf dan mengaku bersalah. Kawan seperti biasa. Geng komik dibubarkan dengan selamatnya tanpa perbalahan lagi.

Mak bersyukur mak tak ikut emosi sangat tempohari. Benar pendapat abah, ia boleh diselesaikan sesama sendiri dan ibubapa perlu kurangkan campurtangan hal anak-anak di sekolah selagi mana ia dalam kawalan dan tidak seteruk mana.

Abang masih dapat berkawan seperti biasa dengan orang lain. Yang nakal-nakal tempohari juga abang kata perangainya dah berubah. Tak mengacau orang lain lagi.

Ya Allah, benarlah doa yang tersembunyi itulah yang paling mustajab, mampu berupaya mengubah seseorang. Bukan kerana hebatnya doa kita tetapi hebatnya Allah yang pada bila-bila masa boleh mengubah hati manusia. Apabila kita kembali kepadaNya, meminta kepadaNya, Dia yang lorongkan hati-hati kita, Dia yang mengawal dan memelihara diri kita dari kejahatan jin dan manusia.

Hikmah inilah yang mak pegang dari kecil dulu. Sehinggalah baru-baru ini mak mendapat hikmah dan pengajaran yang seterusnya demi memahami isu buli ini. Mak berpeluang bertanya pengalaman seorang pengetua sekolah berasrama penuh yang berprestij kebangsaan.


"Cikgu, bagaimana kes buli di sekolah ini? Adakah wujud atau bagaimana?"

"Ada. Selagi namanya asrama pasti ada budak-budak nakal yang suka mengusik orang lain. Itu biasa. Tapi kes terbaru sekarang ini ada seorang pelajar kita baru buang sekolah sebab belasah junior agak teruk. Asalnya budak ni adalah budak yang baik. Pelajar contoh sebab kepimpinan dan akhlaknya baik. Hafaz al Quran. Cuma, dia tak dapat kawal diri bila ada budak langgar peraturan sekolah. Dia hilang kawalan dan ambil keputusan sendiri. Itu silapnya. Sekarang ni, budak budak junior tu tulis surat minta budak tu masuk semula ke sekolah sebab budak tu baik dengan semua orang. Budak tu yang tolong junior tu kalau ada apa-apa.. Cuma dia memang ada masalah nak kawal kemarahan dia je. Itu yang kita takut akan berulang lagi kalau kita masukkan dia semula ke sini. Cikgu sedang menilai semula."

Terang pengetua dengan suara yang sangat sayu.

"Oh, isu anger management ya cikgu?"

"Ya."

Perbualan ini walaupun ringkas cukup mengajar saya mengenai isu buli anak-anak di sekolah apabila saya kaitkan pengajaran yang saya perolehi daripada pengalaman anak sendiri yang kini baru darjah 2 tempohari.

Allahu akbar.

Astaghfirullah..

Kita diajar dan mengajar anak-anak mengenai time management tetapi kita tidak pernah mendidik dan mengajar anak-anak mengenai anger management apalagi diajar mengenainya.

Isu buli hanyalah mengenai anger management.

Melalui pengalaman ini, saya menginsafi bahawa dunia parenting ini bukanlah mengenai akhlak kita dan anak anak kita semata-mata. Menjadi ibubapa kepada anak-anak hari ini usahlah kita mementingkan diri dengan berdoa hanya untuk akhlak dan kejayaan anak-anak kita sendiri sahaja.

Menjadi ibubapa hari ini, bererti mendoakan akhlak dan kejayaan buat anak-anak orang lain juga kerana doa yang sama pasti Allah makbulkan ke atas anak-anak kita sendiri.

Jika anak-anak kita punya banyak isu di sekolah bersama rakan-rakannya, semak semula diri kita. Adakah kita sudah mendoakan kebaikan dan kejayaan anak-anak orang lain hari ini?

Bukan semuanya salah sekolah. Sekolah hanyalah tempat diuji. Bagaimana anger management seorang anak dapat diuji dengan berkesan hanya di sekolah.

Apabila anger management tidak dilatih sejak kecil di rumah, maka bersedialah menghadapinya apabila anak sudah naik sekolah. Sekolah dijadikan penyebabnya.

Buli adalah interpretasi daripada suatu kemarahan yang tidak dapat dikawal dan diri hilang kawalan berhadapan dengannya. 

Apabila anda mendengar cerita budak sekolah membuli sesama mereka sendiri, adakah anda dapat mengawal marah semasa menulis komen di bawahnya? Adakah anda dapat mengawal diri daripada menulis sesuatu yang bersifat menghukum atau memaki hamun seluruh keturunannya?

Semuanya bermula daripada diri kita.

Sejak kecil, emosi anak akan mula terbentuk melalui tantrum.

Semasa anak tantrum itulah masanya latihan pertama anger management bermula. Samada kita dapat mengajar anak untuk mengawalnya atau cair mengikut kehendaknya, tanpa latihan mengurus dan mendidik anger management ini dengan sebaiknya akan memberi kesan kepada tingkahlaku anak di kemudian hari.

Kerana itu, bila anak kerap tantrum pandanglah dari sisi positif. Ianya latihan dan ruang untuk kita mengajar anak menguruskan kemarahannya. Kelak besarnya dia mahir mengawal emosinya sendiri tanpa kita di sisi.

Jika kita hilang kawalan semasa anak tantrum, sama seperti anak yang sedang tantrum itu, maka kita takkan dapat mengajarnya apa-apa malah anak akan terus tantrum dan hilang kawalan sama seperti diri kita.

Semuanya bermula dari diri kita sendiri.

Apabila kita melihat sesuatu yang tidak elok dan viral di media sosial, kita dahulu perlu mengawal diri daripada memberi komen yang menghukum tanpa tahu asal duduk perkara. Jika kita sendiri gagal untuk menahan diri dan mengawal emosi yang sedang bergelojak itu, bermakna jangan salahkan anak-anak apabila dia mula hilang kawalan dan beremosi apabila sesuatu terjadi kepadanya. Berapa ramai komen yang negatif singgah di kotak komen mengenai perkara yang viral itu, jangan terkejut jika ramai lagi kes buli di sekolah akan terjadi kerana sebenarnya isu buli berkaitan anger management.

Ya, sekali lagi ia bermula daripada diri kita sendiri. Kita pilih.

Apabila sesuatu yang tidak elok berlaku pada anak kita di sekolah, bagaimana respon segera kita? Adakah kita dapat mengawal emosi apabila mendengar anak dipukul di sekolah? Atau terus melulu mencari salah pihak lain?

Ya, sekali lagi ianya mengenai anger management diri kita sendiri untuk anak-anak contohi.

Dan akhirnya, adakah terselit doa buat rakan-rakan kepada anak kita sebagaimana kita mendokan kebaikan dan akhlak anak kita di malam hari?

 Jangan pentingkan diri sendiri. Sekali lagi terpulanglah kepada diri kita.

Isu buli perlu difahami yang sebenarnya ia adalah mengenai anger management. Buatlah sesuatu kepada anger management anda! Berlatihlah dengannya. Didiklah anak mengenainya.

Uruskan amarahmu.

#ceriteraanaksekolah
#didikanakabadke21
#didikanakberjiwabesar


Buli? Tontonlah Doraemon bersama anak-anak


Selepas makan malam semalam, seperti biasa ada sedikit waktu sebelum masuk tidur. Macam biasa, saya buka TV sebentar untuk tengok berita. Biasanya, di siang hari mahupun malam hari dah tak ada masa senggang pun nak mengadap TV. Tak macam masa anak 1 dan 2 dulu.

Tak sangka pula ada Doraemon the movie : Stand by me. Sekali sekala best juga melayan kartun di malam hari.

Wahhh.. Doraemon ni panjang jangka hayatnya. Bukannya saya tak pernah tengok dulu waktu kecik-kecik.

"Sebab doraemon nilah mak membayangkan tahun 2020 nanti ada kereta terbang, teksi terbang, bas terbang dan rumah terapung di angkasaraya!" Saya mula bercerita.

"Tapi sekarang dah tahun 2017 dah. Lagi 3 tahun bayang kenderaan terbang pun macam tak nampak lagi!" Haha.. Anak anak tak faham apa yang maknya cuba konplen ini. Kikih..

Kali ini menontonnya dengan anak anak. Dahulu, menontonnya sebagai kanak-kanak. Ada perasaan dan persepsi yang berbeza.

Kawal emosi


"Mak, tadi kat sekolah ada kawan abang tu tampor abang macam ni..!" sambil menunjukkan sedas penampar yang singgah di pipinya.

Mak pun terbeliaklah mata!

"Kenapa dia buat gitu kat abang?"

"Entahlah. Saja je si D tu nak tampor orang. Sakit abang! Abang jadi sangat marah kat dia! Abang rasa macam nak tampor dia balik! Tapi, abang tarik nafas dalam-dalam macamni.. Lepas tu abang terus pergi tempat lain. Tapi muka abang marah sangatlah kat dia.."

Mak takjub sekejap. Fathi sambung lagi.

"Lepas tu masa kat kelas naik rehat tu abang rasa memang sangat marah kat dia. Abang buatlah muka marah. Si D tu nampak muka abang marah sangat lepas tu dia datang dekat abang dia senyum-senyum mintak maaf pulak."

"Laaa, macam tu je? Dia senyum lepas tu mintak maaf? Abang ada kacau dia tak sebab tu dia cari pasal dengan abang dulu?"

Saja mak nak menduga.

"Tak ada mak. Abang tak kacau pun dia apa-apa! Tak tahu kenapa dia tiba-tiba tampor abang. Hishhh!"

"Habis, dia dah minta maaf abang maafkan dia tak?"

"Abang salam jelah dengan dia tapi muka abang masih marah kat dia! Abang terus pergi tempat lain tarik nafas panjang-panjang lagi macamni."
Mendengus-dengus nafasnya keluar masuk. Memang marah betul gayanya dengan mata sekali dibeliakkannya!

"Bagus abang berjaya kawal diri dan emosi abang dengan baik. Tahniah abang! Benda nilah yang mak ajar pada abang dari kecik dulu kan supaya kalau kita rasa marah jangan ikutkan sangat perasaan tu. Tak salah kita rasa marah bila orang cari pasal dengan kita tapi lebih penting kita kawal perasaan marah tu supaya kita pun tak ikut macam perangai orang lain. Dia cari pasal dengan abang tapi abang pilih taknak balas balik sebab abang taknak cari pasal dengan dia. Bagus tu! Tak semua orang mampu buat macam abang.. Teruskan kawal diri abang macam tu ok!

Lain kali, bila dia minta maaf abang kena ingatkan kat dia balik, aku tak kacau engkau jadi engkau jangan nak kacau aku pulak."

"Errrr, mak kata tak baik cakap kau-aku. Kat sekolah abang tak cakap macamtu kat kawan-kawan abang mak.."

"Oh, ok ok.. Ikutlah abang nak cakap macamana pun.. Tapi yang pentingnya, abang dah boleh kawal diri dan perasaan abang dengan baik bila ada kawan yang cari gaduh dengan abang. Abang dapat berfikir panjang.

Bila abang tak balas tampor dia balik jadi tak jadilah pergaduhan atau tumbuk-menumbuk kat sekolah. Itu yang terbaik! Jadi, nampak tak sebenarnya bagus juga abang dari dulu diduga dengan macam-macam kawan abang buat kat abang kan? Abang dapat melatih diri untuk kawal emosi abang dengan lebih baik lagi. Kawan-kawan usik tu biasalah.

Kat mana-manapun ada budak yang nakal macam D tu. Tapi nanti dia dah besar, dia akan teringat balik perbuatan dia dan insaf, malu dengan perbuatan tu. Dia taknak anak dia pun jadi macam dia dulu. Jadi, abang kena ingatkan dia je. Jangan sentuh abang lagi. Nanti bila dah besar, awak akan menyesal. Haa, cakap gitu je. OK? Abang pun kena ingat perkara yang sama ni. Jangan sesuka hati pukul orang lain tau! Kalau kita tak suka orang buat pada kita, kita jangan buat kat orang dulu."

"Jadi budak-budak ni memang selalu tak fikir masa depan kan mak? Sesuka hati nak kacau orang yang tak kacau dia. Lepas tu bila dah besar baru nak menyesal. Masa tu dah lambat dah agaknya."

"Macam gitulah bang namanya manusia. Semua orang pernah buat silap satu masa dulu. Tapi, semua orang akan berubah jadi lebih baik bila dia menigkat dewasa. Kita jangan cakap orang tu nakal dan tak baik setiap masa. Maafkan dia. Dia saja je nak bergurau-gurau dengan abang tu.. Asalkan dia tak sentuh abang sampai abang tercedera, maknanya oklah tu."

.
.
.

Di usia anak bawah 7 tahun, apa yang biasanya berlegar di kalangan ibubapa hanyalah mencari idea
bagaimana nak ajar anak tahu membaca, mengira, menulis, mewarna, mengaji dan menghafaz sahaja. Kebanyakannya terlepas pandang untuk mengukuhkan pembangunan EQ anak-anak dan jatidirinya sebelum masuk ke sekolah.

Lalu, kita menyerahkan pendidikan sahsiah dan EQ anak-anak kepada pihak sekolah sepenuhnya walhal tanggungjawab itu masih lagi perlu dipenuhi oleh kita ibubapanya sebelum masuk sekolah dan berterusan hingga masuk sekolah.

Bukan menyalahkan sistem persekolahan yang hanya melahirkan pelajar yang pandai di atas kertas sahaja.

Buktinya, masakan ramai ibu menggunakan medium Whatsapp kelas anak untuk menegur tingkahlaku sahabat anaknya yang lain di grup kelas anak siap warning cikgu untuk memantau tingkahlaku anak mereka di sekolah.

Kasihan cikgu. Punya tugas hakiki lain yang perlu dilunaskan manakan mungkin mampu memantau semua pergerakan anak muridnya yang ramai itu.

Pengalaman ini membuatkan saya terfikir..

Budak-budak memang sifatnya kebudak-budakan. Ada saja perangainya yang menjelekkan dan bila-bila masa membuatkan orang dewasa marah. Tapi, pernahkah kita terfikir yang orang dewasa pun boleh saja berperangai menjelekkan dan membuatkan anak-anak marah tanpa kita sedar?

.

Ya.. Anak yang berhadapan dengan kesan 'kemarahan' ibubapanya di rumah akan bereksperimentasi perasaan yang serupa semasa di sekolah. Tempat di mana ibu bapanya tiada di hadapan matanya.

Mudah untuk dia mengekspresikan dirinya mengikut input dan pengajaran yang didapatinya di rumah. Begitu juga sebaliknya berlaku.

Mudah ibubapa naik tangan di rumah, mudahlah anak-anak naik tangan dengan kawan-kawannya di sekolah. Begitulah sebaliknya.

Adakah kebarangkalian isu buli yang berlaku adalah hasil ekspresi satu perasaan yang dipelajarinya di rumah?

Rumah adalah sekolah pertama anak.

Ajarlah anak mengenalpasti emosi mereka sejak kecil dan pandu mereka untuk bagaimana mengawal emosi. Setiap kejadian yang negatif dijadikan latihtubi untuk mereka mengasah lagi skil pembangunan EQ nya mengurus emosi dengan sedikit dorongan dan campurtangan ibubapa untuk melihat sesuatu secara positif dengan sikap berhati-hati.

Insha Allah, fikir positif, buat positif, emosi positif, hasilnya akan jadi positif tak kira apapun negativiti yang ditempuh!

#ceriteraanaksekolah
#didikanakabadke21
#positiviti

Bedah buku 4 dalam 1!

Sejak Buku Saya Suka Mengaji ni release bulan Mei tahun lalu, saya masih belum berkesempatan lagi nak buat bedah buku ini disebabkan say...