رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Khamis, 21 September 2017

# falsafah # isu semasa

Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz ItTifaqiyyah Keramat Hujung 2017



Hikmah di atas ujian iman.

"Mak, macamana kebakaran ni tak dapat dikawal? Kan sekarang musim hujan."

Erk! Mak tersentap dari emosi paling dalam ketika khusyuk mendengar berita pagi di TV. Mak tak terfikir pula sekarang musim hujan.

* Tips : Bila dapat soalan daripada anak, sentiasa tanyakan pendapat daripadanya semula. Jangan terus bagi jawapan (tak kiralah kita tahu ke tak tahu jawapannya). Jangan semuanya nak kita suapkan. Pandu & dorong fikirannya.

"Abang rasa kenapa? Macamana perkara ni boleh terjadi pada masa musim hujan?"

"Ermmmm, entahlah. Biasanya, udara akan menyebabkan api makin besarkan? Sebab tu bomba kena datang jirus air yg banyak sebab Dari tekanan air yg tinggi boleh padamkan api? Tapi air pun boleh jadikan api makin besarkan? Dia kena padamkan dengan alat pemadam khas?"

"Oooo abang teringat yg masa mak terbakarkan dapur nenek haritu ey? Api makin marak bila mak cuba simbah air? Last last kena tutup dengan kain basah supaya tak ada udara. Kan?"

"Ha ah.. Kalau kita azan pun api boleh terpadam kan mak?"

"Boleh. Dengan izin Allah. Masa kebakaran ni pun azan subuh berkumandang. Tapi kenapa api tak terpadam? Kalau abang cakap macam ni kat orang bukan Islam nanti dia akan Tanya abang balik macam mak Tanya ni. Apa abang nak jawab agak agak?"

Senyap sekejap.

"Tapi lebih pelik lagi sebenarnya cuba abang fikirkan macamana 2 tong gas boleh ada kat depan pintu bilik asrama padahal tong gas letaknya kat dapur?"

"Mmmmm... Mak ni boleh tak jangan bagi abang soalan KBAT pagi pagi macamni? Sakit kepala abang."

Eh!
Haha..
Tak sengaja mak.

"Abang, tak siapa pun akan tahu macamana cara kita akan meninggal dunia, bila, kat mana, sebab apa? Kita takkan boleh tahu. Apa yg terjadi ni qada dan qadar Allah kita wajib beriman dengannya. Bila sesuatu yg tak diingini terjadi kita bertawakkal, kita azan supaya api padam. Allah akan bantu. Taaapiiii, bila sesuatu terjadi atas tangan manusia maksudnya puncanya manusia yg cipta sendiri, sunnatullahnya kena kita hadapi.

Kalau dah punca kebakaran tu sendiri berada kat satu satunya jalan keluar, macamana nak selamatkan diri? Tong gas tak ada kaitan dengan tidur. Macamana boleh ada kat bilik tidur? Tong gas boleh jalan sendiri tak naik tangga sampai tingkat 3? Kecuali ada tangan manusia yg bawak menapak naik tangga. Gigih sungguh manusia tu. Alangkah mak angkat tong gas pun seret je tak larat nak angkat ni kan pulak nak bawak naik tangga.. Ish ish ish..."

"Jadi, maksud mak kalau ada orang lain yg jadi penyebab kebakaran tu api pun takkan padam walaupun kita azan? Kena tunggu bomba jugak datang?"

"Maksud mak, kalau dah salah manusia sendiri, jangan salahkan Allah tak bantu. Kalau kita sendiri tak ikat tali unta tu, jangan salahkan Allah bila unta tu hilang.

Kebakaran, sakit, eksiden, lemas, kena tembak, jatuh, tu semua hanyalah cara bagaimana kita meninggalkan dunia ni. Tidur pun boleh jadi salah satu cara lagi. Kita tak boleh nak agak. Tapi cara tak menunjukkan kita ni baik pengakhirannya atau buruk. Kita takkan tahu pengakhiran kita baik atau buruk. Sebab kadang kadang buruk di mata manusia tapi itulah paling baik di sisi Allah. Tak siapa boleh tahu baik tu macamana. Itu semua dalam rahsia Allah.

Macam abang boleh pilih siapa mak Abah abang sebelum abang lahir kat dunia. Boleh?"

"Tak..."

"Mak dan Abah boleh pilih siapa yg akan jadi anak anak mak ni? Boleh?"

"Tak... Allah nak bagi."

"Ya.. Betul! Rahsia Allah. Allah nak bagi. Ikut cara mana, bila, bagaimana, normal ke tak, tu semua ikut Allah lah nak bagi macamana. Allah lagi tahu. Walaupun buruk anak kita di mata orang, tapi Allah bagi itulah yg paling terbaik untuk kita. Baik dan buruk manusia takkan sama dengan ilmu di sisi Allah. Faham?"

Fathi angguk macam berat nak hadam. Wahai anak 8 tahun, kelak kamu akan dapat menghadaminya.

.
.

Turut merasai kesedihan yg sama, saya mendiamkan diri daripada terus menulis komen mengenai isu ini.

Saya percaya, hikmah sesuatu kejadian hanya akan dapat dilihat apabila kita duduk diam diam dan bermuhasabah dengan apa yg terjadi.

Kembali kepada al Quran kerana yakin yg al Quranlah kitab rujukan KBAT tertinggi bagi mencari jawapan kepada persoalan KBAT yg adakala muncul dalam dunia ini.

Menelusuri media media sosial hari ini, ada banyak perkara yg perlu masyarakat insafi Dari kejadian ini.

1. Ini bukan musibah tetapi ujian Iman buat semua orang Islam khususnya buat kaum keluarga yg terlibat. Apakah pembawa dan pemelihara al Quran tidak boleh diuji dan harus terus terpelihara kerana berkatnya al Quran?

Bahkan, Allah mengatakan setiap orang yg beriman (yg mempunyai iman) itu pasti akan diuji di dunia ini bagi mengesahkan keimanannya. Bukan hanya sekadar berkata kata "aku beriman kepada Allah & kitabNya" tanpa melepasi ujian iman terlebih dahulu.

2. Sikap pengusaha/pemilik institusi yg mendidik anak anak atas nama agama pasti lebih cakna selepas ini dengan "safety first" di asrama. Lebih menghadami maksud hadith - Ikatlah untamu barulah kamu bertawakkal.

3. Masyarakat di sekeliling yg lebih bersikap empati dan saling menjaga aib anak orang lain seperti anak kita sendiri dengan cara tidak menyebarluaskan gambar CARA kematian seseorang demi mencari hikmah dan iktibar.

Bukan! Hikmah tidak boleh dicari melalui menyebarluaskan gambar cara kematian seseorang ataupun melihat kubur seseorang.

Mahukah ibu ibu mengingati pemergian anak anda dengan cara / keadaan yg muram atau muka yg tersenyum? Dalam keadaan berbaring elok ataupun sebaliknya? Memori terakhir mengenai anaknya bagi seorang ibu sangat penting sebagaimana memori pertamanya si ibu melahirkan anaknya ke dunia ini.

Hormati perasaan seorang ibu yg lain. Anda akan dihormati kembali.

4. Belajar lagi untuk menekan butang "pause" dalam hidup ini apabila terbacanya sesuatu yg viral. Biarkan pihak berkuasa menjalankan tugasnya dahulu. Kita tak perlu mengambilalih tugasan professional yg lain yg kerjanya memang untuk melaporkan berita.

Tarik nafas. Bacalah alfatihah. Bertenanglah. Tunggu hingga laporan penuh dikemukakan.
Bukankah doa yg tersembunyi itu lebih baik keadaannya?

Adakala kita ingin mengejar sensasi kita mungkin terlupa ada perasaan halus yg disakiti oleh kata kata anda yg belum diketahui kebenarannya.

5. Bagi setiap soalan yg tiada jawapan, kembalilah kepada al Quran dan al hadith.
Ingin saya kongsikan dapatan pagi ini seusai solat subuh tadi. Menjadi amalan saya untuk berniat sebelum membuka al Quran pabila hati ini penuh dengan persoalan. Allah tunjukkan jawapan bagi kesedihan ini.

Bacalah surah at taubah ayat 107-112.

.

Khusus buat orang yg gigih mengangkat 2 tong gas berwarna kuning hingga tingkat 3 di malam hari, buatlah sesuatu demi menenangkan hati anda kembali. Selagi anda menyembunyikan 'sesuatu' dikhuatiri ketenangan dan kebahagiaan hidup di dunia ini akan ditarik Allah sekelip mata.

"Tidakkah mereka mengetahui bahawasanya Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka dan bahawasanya Allah amat mengetahui segala yg ghaib?"
(Surah at taubah : 78)

.

Khusus buat ahli waris yg terlibat di dalam ujian iman ini, takziah saya ucapkan. Anda dan saya adalah seorang ibu. Tiadalah yg kita pinta daripada Allah hanyalah untuk melihat anak kita berjaya memperolehi kemenangan yg lebih kekal abadi dan menunggu kita di tempat tinggal yg lebih baik.

"Mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang yg memperoleh kebaikan. Dan mereka itulah juga orang yg beruntung. Allah telah menyediakan bagi mereka syurga yg mengalir di bawahnya sungai sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan (kejayaan) yg besar."
(Surah at taubah : 88-89)

.

Semoga kita tidak mengharapkan hanya anak anak sahaja menjadi pembawa dan pencinta al Quran sehingga akhir hayatnya. Bagaimana dengan kita?


#ibrahdanhikmahituluas
#setiapyangpahitadamanisnya
#tiadayanglebihtinggilagimeninggikanselainalQuran

.
.
.


Isu semasa. Daripada kacamata pengalaman mengajar mengaji.

Ini bukanlah satu isu baru.

1. Dalam banyak-banyak whats app grup yg saya ada, akhirnya ada 1 grup yg menjadi sumber saya TERbaca mengenai laporan polis kronologi kejadian.

Baik - Syabas kepada anggota grup lain yg tidak menyebarluaskan laporan tersebut. Anda berjaya beroleh hikmah daripada kejadian ini.

Buruk - Adalah salah akhlak dan kurang integriti bagi orang yg menyebarluaskan laporan polis tersebut yg sepatutnya ianya private and confidential selagi mana siasatan sedang dijalankan.

Walaupun ia sudah menjadi kebiasaan di zaman media sosial begini ia bukan tiket untuk kita turut sama kurang akhlak dan tidak berintegriti menyebarluaskan nama penuh serta nombor IC penuh seseorang.

Ini bukti bukan anak remaja zaman ini saja sudah hilang pertimbangan dan integriti. Semak diri kita sendiri.

2. Saya teringat semasa tahun pertama di matrikulasi UIAM PJ tahun 2000. Subjek : Introduction of Sociology. Pensyarah yg saya kagumi memberikan assignment berat pertama kali masuk ke kelas tersebut.

Apakah tajuk assignment tersebut?

Mencerna watak Habil dan Qabil yg wujud dalam masyarakat hari ini. Itu tahun 2000.

Pernah membaca sirah ini? Pernah memahami, mencerna dan mentadabbur kedua-dua watak anak Nabi Adam ini?

Ini bukti bahawa isu hari ini bukanlah perkara baru. Kerana cemburu, dendam, manusia boleh sahaja hilang pertimbangan sehingga mampu membunuh adik beradik sendiri apalagi bukan adik beradik. Isu ini bukanlah isu akhir zaman. Buka semula sirah dan ambillah intipati kejadian. Belajar daripada sejarah. Cernakan dengan sebaiknya.

Oh ya.. Itulah detik permulaan saya meminati subjek Sosiologi yg mana bidang ini memerlukan kita berfikir dan memahami masalah umat yg sebenar dan berkecimpung terus ke dalam masyarakat. Subjek inilah juga menjadi punca fikiran saya terbuka tentang poligami dan dapat memahami keperluan poligami.

Ya, saya seorang pemikir. Saya kurang gemar mencari salah pihak lain tapi saya bersetuju dengan semua pandangan berbentuk solusi. Itu lebih membantu ummah.

** Semestinya bukan dengan solusi menutup pusat-pusat tahfiz! Tidak sama sekali. Bahkan, ingin saya cadangkan kerajaan membina semula semua pusat tahfiz di Malaysia sama seperti SMKA. Malah, saya menyambut baik silibus SMKA hari ini yg mempunyai program hafazan (ada guru tahfiz yg mengajar) sama seperti pusat tahfiz. Subhanallah! usaha yg sangat baik! Duniawi dan ukhrawi disatukan dan dibimbing dengan baik.

3. "Children kill children" juga bukanlah perkara baru. Di dalam al Quran ada isu yg serupa pernah dinukilkan. Tak percaya?

Bacalah, hadamilah, tadabburlah surah Yusuf.

Cernakan dengan sebaiknya bagaimana pakatan adik beradik yg ingin 'membunuh' adik sendiri ini dinukilkan buat umat akhir zaman. Bagaimana reaksi ayahnya yg terlalu sedih dengan "kehilangan" anak kesayangannya tanpa mayat yg dilihat dalam masa yg sama bagaimana ayahnya berhadapan dengan sejumlah anak-anak sendiri yg rosak akhlaknya akibat hasutan syaitan.

Syaitan di zaman ini telah berubah bentuk sehingga dapat dijelmakan menjadi lebih nyata dalam bentuk dadah / syabu / ganja dan sebagainya.

Hati-hati.. Ayahnya seorang Nabi.

Al Quran bukanlah diturunkan untuk para Nabi sebelum Rasulullah. Al Quran diturunkan melalui Nabi Muhammad s.a.w untuk rujukan dan panduan umat akhir zaman.

Sudah nampak?

4. Saya teringat pengalaman bersama anak-anak murid mengaji saya yg lelaki seramai 6-7 orang satu ketika dahulu. Ketika umur mereka sekitar 12 hingga 17 tahun. Ada juga seorang masih bersekolah rendah hanya mengikut abang-abangnya.

Sungguh.. Persis sekali isu yg sama pernah dibangkitkan mereka.

Semasa itu, saya aktif mengadakan Usrah Cik Jah bersama anak-anak murid mengaji. Mereka menjadi obses dengan usrah. Kerana di dalam usrah cik jah saja mereka dapat meluahkan segalanya.

Banyak aib ibubapa dan sekolah yg didedahkan tapi saya saring, tapis dan simpan dengan sebaiknya.
Saya tahu gelojak perasaan anak-anak remaja begini. Apalagi apabila anak yg bersekolah biasa ini sering direndah-rendahkan kerana sikap mereka pada pandangan masyarakat seperti ahli neraka dan tidak layak ke syurga. Manakan tidak mereka terasa. Tetapi, saya hanya menulis sesuatu yg general saja di sini > http://sukamengaji.blogspot.my/2014/02/usrah-cik-jah-menjadi-al-hafiz.html

Allahu akbar.

Saya tidak mengaitkan pengalaman saya ini secara terus untuk menuduh punca ejek-mengejek yg telah berlaku dalam tragedi ini. Tidak! Saya tidak tahu. Dan saya tidak mahu mengaitkan antara kedua situasi ini. Ia mungkin berbeza.

Saya hanya ingin berkongsi realiti pengalaman saya 3 tahun lalu ini yg mana pelajar sekolah biasa menerima pandangan yg double standard daripada masyarakat sekeliling. Ya, ini realitinya yg berlaku sejak dulu lagi. Ia bukan perkara baru.

Kerana itu, saya menjerumuskan diri saya sendiri ke dalam masyarakat dan ingin mendekati anak-anak remaja yg biasa-biasa ini. Saya juga memasukkan anak-anak ke sekolah biasa-biasa supaya saya menilai kembali apa sumbangan anak-anak saya kelak kepada umat akhir zaman ini yg ramai mengatakan semua masalah sosial berpunca dari sekolah yg biasa-biasa ini.

Di pihak yg lain saya tahu, jika anak remaja yg ke asrama, SMKA atau pusat tahfiz, pasti ada ustaz dan ustazah yg membimbingnya dan memandu arah selain ibubapa di rumah. Tetapi, anak remaja yg lepak di tengah malam begini, siapakah sudi yg mengutipnya dan membimbingnya agar tidak terus tersasar?

Tiada.

Saya mengambil anak-anak remaja ini mengaji di sini kerana mereka bermain api di depan rumah saya. Sepertinya mahu membakar sesuatu dan bergelak ketawa apabila kebakaran tidak terjadi. Mereka bereksperimentasi. Memenuhi masanya yg kosong di malam hari. Saya perasan merekalah yg selalu lepak di hujung jalan pada malam-malam tertentu.

Usah bertanya tentang ibubapa. Tuntutan kerja, shift malam.. Kalau tak shift malam, balik rumah petang hari sudah kepenatan -
"Jangan kacau mama nak berehat". Saya memahaminya.

Semasa itu, saya bimbang. Haruslah bimbang! Budak-budak remaja bermain api depan rumah kita kot..

Saya ada 2 pilihan ketika itu.

1. Sergah & marah lalu menghalaunya bermain di tempat lain
2. Jemput dia masuk ke rumah, membaca Yasin bersama & cuba mengenali mereka

Agak-agak mana satu tindakan saya? Mana satu pilihan anda?

Awal tahun ini, ada jiran yg memaklumkan pintu belakangnya dibakar 'seseorang' setelah baru beberapa hari menegur pelajar sekolah menengah yg ponteng sekolah dan melepak di belakang rumahnya. Mujur sedar cepat. Dan tiada tong gas yg terlibat.

Adakah anak remaja hari ini tidak boleh ditegur langsung?

Bagaimana saya dapat memujuk anak remaja yg bermain api supaya berhenti dengan aktivitinya dan
akhirnya dapat mengaji bersama?

.

Dalam post semalam, saya juga yakin ada 'tangan nakal' yg gigih membawa 2 tong gas naik ke tingkat 3 di tengah malam buta. Namun, tidaklah saya sangka pelakunya sekitar umur remaja.

Syukur, yg bertanggungjawab sudahpun ditangkap dan sedang menghadapi apa saja kesan-akibat daripada pelakuannya kelak. Inilah doa-doa daripada ahli keluarga yg dizalimi yg diangkat oleh Allah dan urusan tersebut dipermudahkan.

Namun, kita pula yg melakukan 'kerosakan akhlak' seterusnya dengan mengecam pesalah dan seluruh keturunannya. #akhlakdimana

Daripada siapakah anak-anak kita hari ini mewarisi kerosakan akhlaknya?

Siapa kita untuk memaki dan menyalahkan ibubapa yg diuji dengan akhlak anak-anak mereka sendiri?

Perkara yg paling ditakuti oleh SEMUA ibubapa adalah apabila anda bangun pagi dan seluruh alam menyatakan anda silap didik anak dan anda adalah seorang ibubapa yg gagal. Allah.. Perkara mendidik anak ini suatu yg subjektif. Tidak boleh kita samakan dengan cara kita atau cara orang lain.

Anda mahu orang lain mengecam anda 'tak pandai didik anak'?

Jangan buat pada orang lain jika kita sendiri tidak mahu yg serupa.

Fahamilah, ujian anak-anak ini berbeza adanya. Apalagi yg tinggal di tengah-tengah kota metropolitan yg tidak pernah sunyi dengan syaitan jelmaan. Dan kita terhimpit dengan tuntutan kerjaya yg tiada kesudahan.

Lebih ramai pengikut syaitan juga hari ini. Apabila ada perasaan 'Aku lebih baik / lebih bagus daripada engkau' maka bertaubatlah!

"Aku lebih baik mendidik anak daripada engkau!"
"Kau bakar orang, balasannya kau pun patut dibakar!"

Astaghfirullahal 'aziim.. A'udzubillahi minassyaitoonirrajiim.

.

Kerana itu Rasul junjungan kita diutuskan sebagai nabi yg terakhir untuk menyempurnakan akhlak umat akhir zaman. Akhlak Nabi adalah akhlak al Quran. Pakaian Nabi adalah al Quran. Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah al Quran yg bergerak!

Sukar bukan mengikut akhlak Nabi di zaman ini?

Allahumma solli 'ala muhammad.

Beristighfarlah semua.

Fokus kepada puncanya. Marah kepada perbuatannya. BUKAN kepada orangnya. Apatah lagi kepada ibubapanya.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ” Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencerca, bukan yang suka menjolok jolok, bukan yang suka berbuat keji, dan bukan juga orang yang suka bercakap keji.”

Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Mengutuk seorang mukmin itu seperti membunuhnya.” (Hadis Riwayat Jamaah selain Ibnu Majah, hadis riwayat Tsabit bin Adl-Dlahak)

Sumber dipetik daripada : https://fitrahislami.wordpress.com/2011/05/11/rasulullah-saw-melarang-umat-islam-mengutuk-sesama-islam/


Berapa jiwa sudah kita 'bunuh' hari ini?

.

KITA. Ibubapa hari ini.. Ajarlah anak mengurus "anger management". Sebelum itu, kita sendiri harus mahir mengurus "anger management" diri kita sendiri. Kerana inilah PUNCANYA yg sebenar - http://khadijahgani.blogspot.my/2017/09/anger-management-buli.html

Membunuh orang tetap salah. Hukuman tetap hukuman. Biarlah yg lebih arif menentukan. Biar mereka belajar dari kesilapan akibat menurut perasaan. Percayalah, hukuman paling berat dijalani apabila anda dihantui dengan kesilapan dan kejahilan yg pernah anda lakukan seumur hidup anda.

Cukuplah ketidaktenangan yg akan menghantui dirinya sampai bila-bila. Kesilapan ini akan mengajar mereka.

Peranan kita amat luas dan ia adalah peranan bersama. Saling melengkapi bagai sebuah bangunan.

Usah memandang anak-anak yg melepak di tepi jalan dengan 'pandangan ahli neraka' dan akan rosak selama-lamanya. Saya mohon jangan begitu.. Pandanglah mereka tak kira apapun pakaian mereka. Kutiplah mereka, dekati mereka dengan kasih sayang dan bimbinglah bersama.

Hentikanlah double standard ini kerana kita takkan pernah tahu siapakah ahli syurga atau neraka. Dan kita hanyalah seorang manusia yg sentiasa berusaha.

Berusaha untuk masuk ke syurga beramai-ramai. Bukan hanya mendoakan anak cucu kita saja yg terpelihara dan berkumpul di dalam syurga tertinggi tetapi doakan semua anak orang Islam.

Al-Quran bukanlah hanya untuk dihafaz tetapi untuk difahami. Bukan juga hanya sekadar faham al Quran, tetapi untuk dihadami. Bukan sekadar perlu dihadami tetapi untuk dijadikan pakaian dan akhlak diri.


#didikanakabadke21
#pendidikananakanakbermuladarirumah
#doakananakoranglain
#refleksidiri

Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor