Jumaat, 29 Disember 2017

Bagaimana menulis secara organik?




Mendapat sokongan daripada ramai sahabat dan follower di sini kerana memiliki buku pertama saya #bukansekadarhomeschooling amat memberikan saya satu semangat yang sukar diungkapkan.

Malah, saya menerima banyak soalan yang sama semasa mereka memegang naskhah ini.

"Rajinnya awak menulis! Tebal buku ini."

"Macamana nak menulis? Sibuk memanjang! Tak sempat apapun."

"Teringin nak buat buku macam awak juga. Tapi tak pandai menulis."

.
.
.

Sebenarnya, saya bukanlah seorang yang rajin menulis.

Saya tidak update facebook status saya setiap hari.

Saya juga tak sempat menulis setiap hari.

Saya tidak upadate blog saya juga setiap hari.

Saya juga sibuk dengan banyak perkara di dalam dan di luar rumah bukan saja anak-anak tetapi banyak perkara melibatkan beberapa NGO yang saya anggotai. Kadangkala, buat home visit.

Saya juga asalnya tak pandai menulis. Hanya menulis sesuatu yang emosional. Menulis hanya sebagai terapi bagi saya memastikan tahap kewarasan saya sebagai seorang surirumah..

Boleh baca blog saya 4-5 tahun sebelum ini. Anda akan nampak perbezaan penulisan saya di blog dan fb.

Namun, hanya satu matlamat saya sejak dari dulu iaitu saya mahu ada buku sendiri satu masa nanti.

Pertamanya, saya tidak pernah mahu mempunyai buku pertama ini dalam genre parenting. Pernah terdetik, tetapi saya merasakan saya bukanlah orangnya kerana saya tidak layak. Terlalu banyak tokoh perseorangan yang lebih baik dan bagus berkongsi mengenai tip-tip parenting di fb yang menjadi viral. Tetapi saya, tidaklah dikenali seramai mereka yang selalu mendapat post yang viral.

Saya hanya berniat untuk membukukan pengalaman mengajar mengaji anak-anak sendiri dan anak-anak murid. Tetapi, ternyata perancangan Allah mengatasi segalanya. Dia mengizinkan saya membukukan pengalaman saya mendidik anak-anak pula walhal bukanlah bermaksud saya ini sudah berjaya mendidik anak-anak sama sekali. Bukan.

Sebelum ini juga saya pernah mengikuti kursus penulisan denga beberapa kaedah. Tetapi kebanyakannya tidak menepati kemampuan dan keupayaan saya sebagai seorang surirumah.

Anda akan faham mengapa saya katakan begitu jika anda juga seorang surirumah tanpa pembantu rumah dan menguruskan semua perkara secara berdikari. Dengan anak-anak yang masih lagi kecil dan berderet serta memerlukan perhatian sepenuhnya dalam usianya membesar kini, saya tidak mahu menulis sesuatu yang saya tidak lakukan dan amalkan.

Bekerja "bersama anak-anak" 24/7 di hadapan mata amat mencabar untuk kita mempunyai ruang dan masa berada di hadapan laptop dan menulis. Ia berbeza dengan seseorang yang bekerja di pejabat yang mempunyai ruangnya sendiri dan adakala mampu mengadakan sedikit masa rehat untuk menulis walau hanya dalam tempoh 5 minit.

Tetapi, apabila berada di rumah, limitless dan spaceless.

Ini bukan alasan tetapi inilah kenyataannya. Saya faham itu.

Jadi bagaimana mahu menulis jika semua kenyataan di atas mencabar masa 24 jam yang kita ada?

1. Tidur awal sebelum jam 11 malam dan bertahajudlah di akhir malam.

2. Mulakan hari anda 1-2 jam lebih awal sekitar jam 4-5 pagi untuk menulis selepas solat tahajud.

3. Di dalam solat tahajud adanya ketenangan untuk anda menulis dan mencetuskan idea.

* Semasa ini, saya perlu mengakui anak kecil saya Farihin (2 tahun) akan sering terjaga kerana saya tiada di sebelahnya. Maka, bersabarlah. Dan tarik nafas panjang-panjang apabila idea sedang berkoyan-koyan dan kita terpaksa berhenti sebentar menidurkan anak kecil kembali.

4. Lazimi solat dhuha. Kerana di dalamnya ada "latihan kesabaran" yang tertinggi.

5. Menulis setiap apa yang mahu dikongsikan di facebook saja dulu. Tidak semestinya setiap hari kerana hakikatnya anak-anak perlukan perhatian kita melebihi facebook dan instagram.

6. Pastikan tujuan kita menulis untuk berkongsi sesuatu isu/moral yang kita pelajari setiap hari daripada anak-anak walaupun tanpa perlu upload gambar anak-anak setiap hari. Sesuatu yang meaningful dan mendalam yang berlaku dalam hidup anda.

Ya, tidak semestinya setiap hari.

Kerana bagi saya sendiri, hanya bercakap (baca : menulis) hanya apabila perlu. Lebih banyak kita bercakap, lebih banyak kesalahan yang mungkin terjadi, lebih banyak hati yang mungkin kita cederai/sakiti tanpa kita sedari. Bercakaplah hanya apabila perlu.

7. Di setiap komen pembaca ambil perhatian kerana biasanya komen yang berbentuk perbezaan pendapat pasti akan membuahkan satu lagi tajuk kecil di bawahnya.

Jangan sesekali block follower kita, tetapi uruskan dengan sebaiknya apa jua perbezaan pendapat yang terjadi.

8.Simpan semua penulisan di facebook ke dalam blog anda setelah pencerahan dibuat. Facebook akan hilang bila-bila masa.

Jangan menulis dengan membiarkannya berlalu pergi begitu saja di wall anda dimamah masa. Buat back up dan simpan. Sebaiknya adalah blogspot (murah dan mudah). Mulakan dengan apa yang ada.

9. Usah sesekali runsingkan atau takut-takut mahu menulis hanya kerana "tiada siapa" yang like atau share atau singgah baca blog kita. Jangan runsingkan sama sekali!

10. Atas semua perkara di atas, apa yang lebih utama ialah mulalah belajar menulis dengan tulisan huruf yang penuh dan tatabahasa yang betul. Walaupun ada ayat tunggang langgang, tak mengapa. Belajar menulis dengan susunan yang mudah difahami pembaca.

Sentiasa pecahkan tulisan mengikut perenggan. Tulislah dalam 1-2 ayat dan kemudian mulakan perenggan baru. Atau 3-4 ayat dan kemudian pecahkan kepada perenggan baru.

Biar pendek-pendek perenggannya. Pembaca akan malas membaca tulisan anda jika perenggannya terlalu panjang dan anda menggunakan singkatan huruf seperti tulisan remaja sekarang ini. Jangan begini!

11. Dalam tempoh masa akan datang (4-5 tahun) anda susun semula semua tajuk yang sudah dikumpulkan di blog. Dan ambilkira apakah bentuk penulisan yang anda cenderung menulis yang terkini. Apakah post yang paling mendapat share terbanyak (walaupun tak viral) dan susun semula semua tajuk-tajuk ini.

Jadikan ia bab-bab utama dan hantarlah ke rumah penerbit yang bersesuaian dengan konsep penulisan anda.

12. Jika manuskrip ditolak?

Its ok. Alhamdulillah. Allah sedang mengajarkan kita tentang kesabaran dan mahu kita keluarkan lagi sisi terbaik dari dalam diri kita.

Senyum. Dan teruskan saja menulis seperti biasa. Buka semula blog catatan yang lama dan jernihkan semula penulisan yang sudah tersedia. Tidak semua post yang dikongsikan perlu dijadikan manuskrip. Pilihlah dengan cermat perkara bab yang paling memberi nilai yang tinggi kepada pembaca.

Jika manuskrip diterima, sentiasa berlapang dada menerima kritikan dan pandangan sisi baharu daripada penerbit & editor. Ini paling penting! Sentiasa ada semangat ingin belajar dan memperbaiki diri. Jangan sesekali berasa tulisan kita sudah tiptop sampai perlu berkeras tidak mahu menambahbaik ilmu penulisan bila diminta ubah. Dengar cakap editor! Hehe.. Sentiasa ada ruang perbincangan.. Bila kita menghormati pekerjaan orang lain dengan memberi sepenuh kepercayaan kepada ahli dalam bidangnya, orang lain juga akan memberi penghormatan yang sama kepada kita dan boleh bertolak ansur dengan beberapa perkara yang kita mahukan. Percayalah, tiada apa yang tidak boleh dibawa berbincang. 

13. Jadikan diri kita ber"minda" penerbit buku. Kita mahu berkongsi nilai yang baik dan unik kepada pembaca dalam masa yang sama kita tidak mahu penerbit menanggung rugi jika buku kita ini sejenis yang biasa-biasa saja.

14. Nyalarasa yang tinggi untuk terus menulis perlu dihidupkan tidak kira ia mengambil masa berapa tahun mahupun kita sedang berhadapan dengan apa jua isu dan cabaran pun.

Setiap daripada kita ada jalan cerita yang berbeza. Allah sebaik-baik Penulis dalam hidup ini, terjemahkannya untuk memberi nilai yang sama kita pelajari kepada orang lain.

15. Mohon Allah bimbing hati ini melalui amalan solat sunat dhuha dan tahajud. Kunci utama memperoleh ketenangan dan kesabaran menghadapi cabaran setiap hari yang melelahkan malah tahun demi tahun yang menguji kekentalan dan istiqamah diri.

Adakala, kita merancang untuk buku A diterbitkan, dalam tempoh masa 5-10 tahun itu, Allah lorongkan kita untuk menulis sesuatu yang akhirnya buku Z diterbitkan. Indahnya perancangan Allah.

Yakin akan ketentuanNya.

Mempunyai buku sendiri bukanlah hanya matlamat akhir semata-mata tetapi menulis itu sendiri sebenarnya adalah satu proses. Nikmatilah apa jua proses melaluinya! Kelak, pelangi indah akan muncul di hujung hari.

Better late than never.

.

Menulis bukan kerna viral,

Khadijah Gani
Penulis organik manuskrip 9 tahun
Buku Bukan Sekadar Homeschooling

Ahad, 17 Disember 2017

Ada apa dengan Buku Bukan Sekadar Homeschooling?




Semalam saya menerima perkhabaran daripada adik usrah saya Lyana M. Tizam yang menguruskan sesi bedah buku & borak santai mengenai buku ini Januari tahun depan sudahpun penuh seramai 52 orang (terlebih kuota) tak sampai 50 jam selepas dibuka untuk pendaftaran. Mula-mula saya ingatkan mengapalah tiba-tiba beliau 😭😭😭.. Hehe..

Rupa-rupanya, beliau amat terharu dengan sambutan di luar dugaan ini. Malah, yang lebih mengharukannya ada ibu yang akan datang dari Perak dan Negeri 9 semata-mata mahu mengikuti sesi bedah buku yang pertama ini dan sedang mencari hotel.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu akbar.

Tatkala mendapat perkhabaran ini keajaiban demi keajaiban yang saya rasakan. Terasa kerdilnya diri kerana takut menghampakan harapan tinggi semua ibu yang akan hadir kelak. Tiadalah daya usaha saya melainkan bantuan dari Allah.

Sungguh, saya ini tiada apa-apa. Saya hanya seorang ibu yang biasa saja seperti anda. Boleh bertanya kepada sahabat-sahabat lain yang selalu berjumpa dan mengenali saya. Saya ini tiada apa-apa. Bukan juga sesiapa. Namun, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pembaca yang sudi membaca semua penulisan saya dan menyokong saya selama ini.

Allah yang maha hebat mengaturkan perjalanan hidup saya dengan ujian-ujian tertentu lalu mengilhamkan saya dengan buah fikiran dan cara yang tidak saya ketahui akannya. Ya, hidup ini penuh pengajaran dari Allah. Lalu, saya hanya menterjemahkannya melalui tulisan. Segala puja dan pujian hanya kepada Allah!

.

Di awal manuskrip asal buku ini dihantar kepada penerbit sekitar bulan Mac awal tahun ini, bukan tajuk ini yang saya kemukakan. Tajuknya ialah ;

* Dari Facebook ke Buku : Didik Anak Abad Ke-21 Generasi Alpha - Model Quranic Homeschooling - Siri 1 (0 hingga 7 tahun)

Buku ini mengandungi 3 bahagian :

1. Isu, throwback & solusi
2. Tips mudah & praktikal
3. Emel pilihan pembaca

Sinopsis :

1. Perkongsian cerita di facebook & blog berdasarkan pengalaman seharian mendidik anak-anak sejak 9 tahun yang lalu sehingga sekarang.

2. Mengumpulkan pelbagai jenis cabaran & realiti yang dihadapi ibubapa hari ini untuk mendidik anak sejak kecil lagi berserta solusinya.

3. Menyusun semula banyak tips mudah untuk diikuti & diamalkan oleh ibubapa generasi alpha ini.

4. Juga turut dikongsikan emel soalan-soalan yang diterima penulis daripada ibubapa mengenai didikan awal anak-anak sejak beberapa tahun lalu sehingga kini.

5. Muhasabah diri buat ibubapa yang ingin memperbaiki diri dari masa ke masa.


Lalu, penerbit menerima manuskrip ini dengan beberapa perubahan yang perlu dibuat bagi menyesuaikan gaya bahasa media sosial dan bahasa buku yang berbeza. Ini juga merupakan kali pertama penerbit menerima satu naskhah yang baru apabila bahasa media sosial perlu diubahsuai menjadi bahasa buku namun mengekalkan originalitinya. Sungguh, banyak saya belajar daripada gaya bahasa buku sebegini.

.

Siap editing, sebelum mahu di lakarkan layout buku, penerbit sekali lagi meminta saya untuk menukar tajuk buku kepada cadangan yang dikemukakan namun, saya kurang bersetuju dengannya dan memohon waktu untuk cadangan tajuk buku baru. Ketika itu, saya sedang mengalami sedikit tekanan semasa dan berada dalam keadaan sedih.

Saya tak dapat berfikir dengan baik semasa itu. Sekali lagi saya rasakan diri ini tersangat kerdil dan lemah. Saya tidak tahu tajuk yang baik untuk dikemukan kepada penerbit. Begitulah juga dalam proses kita mendidik dan membesarkan anak-anak. Adakala, kita hilang punca dan terasa sangat lemah untuk melalui ujian di hadapan mata. Kembalilah bersujud kepada Allah!

 Lalu, saya bersolat 2 rakaat memohon petunjuk Allah. Selesai berdoa, tup!

Tiba-tiba saja perkataan "Bukan Sekadar Homeschooling : Rumahku Sekolah Pertamaku" ini muncul daripada hati yang paling dalam. Ah, sukar saya ungkapkan... Syukur, alhamdulillah!

Terus saja saya mesej penerbit menyatakan tajuk tersebut malam itu juga.

Alhamdulillah, penerbit terus saja menerimanya selepas beberapa hari berbincang.

Proses seterusnya dipermudahkan bila mana akhirnya buku ini terbit pertama kali pada 27 November 2017 dengan layout penulisan yang sangat cantik, berwarna-warni dan tersusun melalui perspektif pembaca buku dengan 320 mukasurat.

Ya, buku ini tebal! Tidaklah saya juga menyangka buku pertama saya ini boleh menjadi tebal sebegini. Subhanallah!

.

Corak penulisan dalam buku ini bolehlah saya simpulkan semula kepada 3 bahagian secara overall iaitu ;

1. Penanaman aqidah (iman)
2. Pembentukan akhlak (sahsiah)
3. Pendidikan ibadah (amalan asas)

Sudah saya katakan, buku ini bukanlah mengenai aktiviti homeschooling semata-mata, malah sebenarnya ini adalah isu-isu yang jauh lebih penting dan lebih awal perlu diterapkan sebagai silibus utama dalam dunia pendidikan anak-anak di rumah.

Saya mulakan dengan bab bagaimana penanaman aqidah kepada anak sejak kecil seterusnya bagaimana pendidikan mengenai perkara ghaib yang perlu diajarkan secara berperingkat-peringkat. Seterusnya bagaimana proses mendidik anak sayang Allah dan Nabi dapat dipraktikkan di rumah. Tidak ketinggalan juga beberapa cara dan tip mengenai penyusuan susu ibu yang merupakan sumber utama yang menjadi tunjang alami kepada pendidikan anak bermula di rumah.

Terdapat juga tip dan cara yang saya kongsikan bagi mengelakkan anak ketagih gajet. Satu isu yang besar di zaman kini.

Ya, buku ini mengenai "how to".

Inilah silibus awal bagi anak berumur 0-7 tahun. Isu selainnya, boleh kita sama-sama bincangkan dan perhalusi lagi dalam sesi bedah buku & borak santai nanti bermula tahun hadapan, Insha Allah.

Saya juga membuka ruang buat rakan facebook saya yang lain jika mahu mengadakan sesi bedah buku ini di tempat anda, bolehlah pm saya perancangan tuan/puan dan kawasan/negeri dengan tarikh yang dicadangkan. Saya akan usahakan untuk memenuhinya jika tiada pertindihan masa dan waktu promosi bersama Telaga Biru. Mudah-mudahan.

.

Terima kasih buat semua yang sudahpun mendapatkan buku ini. Saya sangat senang hati menerima apa jua kritikan terhadap buku ini. Sangat dialu-alukan. Semoga pembacaan tuan/puan bermanfaat buat diri tuan/puan serta dapat diterjemahkan kepada anak-anak sedikit demi sedikit setiap hari.

Bittaufiq wannajah. Ma'as salaamah!

#bukansekadarhomeschooling
#didikanakabadke21

Selasa, 12 Disember 2017

Faham al Quran ~ Tidak semua perkara boleh dilukiskan



Apabila menerima beberapa soalan berkaitan bahasa arab dan maknanya di dalam al Quran, saya sering merujuk kepada abah saya yang juga seorang pakar bidang dalam ilmu ini. Abah mempunyai lebih banyak ilmu dan pengalaman serta sumber kitab yang lebih sahih dalam asal bahasa arab yang menjadi rujukannya.



Makna "Ittaqa"

1. يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ الرِّبَا أَضْعَافاً مُّضَاعَفَةً وَاتَّقُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ . وَاتَّقُواْ النَّارَ الَّتِي أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ

Soalan mengenai perbezaan makna "wattaqu" yang terdapat dalam surah ali imran ayat 130 dan 131 membawa 2 maksud yang berbeza. Satu ayat bermaksud "bertaqwalah" manakala lagi satu ayat membawa maksud "peliharalah". Mana satukah makna yang sebenar?

Abah : Asal makna "wattaqu" ialah "ittaqa" yang bermaksud takutlah. Inilah keindahan bahasa arab, satu perkataan boleh membawa banyak makna bergantung konteks ayat dan i'rabnya. Dengan takutlah baru manusia akan berhati-hati untuk ambil riba'. Jika manusia itu tak takut, mestilah manusia akan ramai yang kejar keuntungan.

Kerana itu maksud ayat pertama itu lebih kepada bertaqwalah melalui rasa takut. Asal makna. Diikuti ayat kedua, "peliharalah". Kalau manusia yang ada rasa takut, mesti dia akan pelihara diri dia dari api neraka. Kerana itu, maksud yang kedua "taqwa" tu lebih kepada rasa memelihara kerana adanya rasa takut tadi.


Makna "An Najmu"

2. وَالنَّجْمُ وَالشَّجَرُ يَسْجُدَانِ

Dalam ayat nombor 6 surah ar rahman, perkataan "an najmu" ialah tumbuhan. Padahal, dalam surah lain atau makna sebenar "an najmu" maksudnya bintang. Mana satukah makna sebenar?

Abah : "An najmu" ada dua makna. Satu, bintang. Satu lagi tumbuhan melata (yang tidak berbatang). "Asy syajaru" ialah pokok yang berbatang (bukan tumbahan melata). Jadi, maksud ayat 6 ini ialah kedua-dua jenis tumbuhan melata dan tak melata (pokok berbatang) pun tunduk sujud kepada Allah.


Ketika ini, saya teringat ia sama kes seperti maksud nama anak keempat saya, Farihin, yang mempunyai 2 maksud berbeza di dalam al Quran. Satu, dalam surah as-syu'ara ayat 149 yang bermaksud "dengan bijak dan bersungguh-sungguh".

وَتَنْحِتُونَ مِنَ ٱلْجِبَالِ بُيُوتًا فَٰرِهِينَ

Manakala dalam surah ali imran ayat 170 membawa maksud "mereka dalam keadaan gembira" (orang-orang yang gembira).

فَرِحِينَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِٱلَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا۟ بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Sungguh, indahnya bahasa syurga ini! Sangat berseni dan mempunyai banyak ilmu bersamanya.

Carian makna di dalam al Quran melalui Google tidak boleh didapati dengan betul dan benar jika kita tidak tahu ilmu alatnya. Pentingnya untuk mempelajari dan mengetahui paling kurang pun asas bahasa arab sebegini.

Lalu, abah bertanya mengapa soalan begini boleh timbul? Abah hanya mahu tahu duduk perkara sebenar.

Saya menerangkan sebelum ini penyoal memberitahu yang dia mahu menerangkan maksud ayat ini kepada anak kecilnya supaya dapat digunakan dalam perbualan harian. Kerana itu dia mahu tahu mana satukah maksud yang sebenar.

Di sisi yang lain, ada juga satu kaedah di zaman ini yang menggunapakai lukisan bagi mewakili maksud ayat al Quran bagi tujuan memudahkan anak faham dan menghafaz al Quran.

Kata abah, "Oh, itu bahaya tu! Tak semua perkataan dalam al Quran boleh digambarkan, apalagi dilukis. Jangan mudah terpengaruh dengan cara barat. Orang barat memang banyak kaedah tapi tak semuanya kena dengan cara Islam sebenar. Bahasa Arab ada i'rab. Bahasa Inggeris ada i'rab tak? Belum lagi masuk wazan. Kena tahu ilmu alat untuk faham al Quran."

Ya. Saya tak pasti bagaimana kaedah ini berasal.

Pernah juga satu masa dahulu saya cuba menggunapakai kaedah begini. Anak-anak saya juga suka melukis. Hakikatnya, semua anak kecil sukakan lukisan. Tetapi saya agak was-was dan tidak sedap hati untuk meneruskannya.

Bilamana tiba pada ayat seperti jalan yang lurus, tidaklah boleh saya gambarkan kepada anak samada jalannya seperti jalan tegak bertar atau jalan bengkang-bengkok yang selalu kita nampak di dunia ini. Serba salah saya.

Bagi ayat "Mizan" pula tidaklah boleh saya gambarkan kepada anak sama seperti dacing umno pula. Saya sendiri tidak tahu neraca Allah itu bagaimana. Jalan ke syurga atau neraka itu bagaimana. Saya beriman kepada yang ghaib tetapi saya tak tahu bagaimana harus digambarkannya kerana saya belum melihatnya.

Hakikatnya, timbangan Allah takkan serupa dengan timbangan manusia. "Siratol mustaqim" pula tidak akan sama seperti jalan lurus yang kita lihat di dunia ini.

Prinsip asas : Sesuatu yang ghaib tidak boleh digambarkan sama seperti di dunia. Di dalam al Quran mengandungi banyak perkara ghaib yang kita beriman kepadanya tetapi tidak boleh kita gambarkan sama seperti keadaannya di dunia.

Kerana itu, lebih selamat untuk mengajar anak menghafaz ayat-ayat al Quran hanya dengan mengulanginya dan mengingati nombor ayat atau lajurnya atau mukasuratnya sahaja.

.

Di sini juga, saya ingin mengingatkan bahawa syaitan juga tidak boleh digambarkan. Ia termasuk dalam perkara ghaib. Mohon majalah tersohor di Malaysia yang menerbitkan majalah mengenai "syaitan" tidak lagi menerbitkannya. Walaupun isinya baik dan betul, menggambarkan syaitan dengan wajah-wajah tertentu amat menyalahi aqidah. Bila anak saya bertanya tentang isu HANTU, saya akan berhadapan dengan isu "anak pernah nampak syaitan" melalui pembacaan majalah syarikat tuan/puan. Mohon jangan begitu.

.

Ilmu alat dalam memahami al Quran juga harus kita cakna dan mengikutinya dengan penuh tertib. Di dalam al Quran mengandungi banyak ayat muhkamat dan mutasyabihat.

هُوَ الَّذِيْ أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ ءَايَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَـأَمَّا الَّذِيْنَ فِي قُلُوْبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُوْنَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِـغَاءَ الْفِـتْنَةِ وَابْتِـغَاءَ تَأْوِيْلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيْـلَهُ إِلاَّ اللهُ وَالرَّاسِخُوْنَ فِي الْعِلْمِ يَقُوْلُوْنَ ءَامَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُوْا اْلأَلْبَابِ ءال عمران : 7

Maknanya : "Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur'an) kepada Muhammad. Di antara (isi)nya ada ayat-ayat muhkamat, itulah Umm Al Qur'an (yang dikembalikan dan disesuaikan pemaknaan ayat-ayat al Qur'an dengannya) dan yang lain ayat-ayat mutasyabihat. Adapun orang-orang yang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya sesuai dengan hawa nafsunya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (seperti saat tibanya kiamat) melainkan Allah serta orang-orang yang mendalam ilmunya mengatakan : "kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu berasal dari Tuhan kami". Dan tidak dapat mengambil pelajaran darinya kecuali orang-orang yang berakal". (Surah Ali Imran : 7)

Ayat muhkamat ialah ayat yang boleh diketahui dengan jelas makna dan maksudnya. Manakala, ayat mutasyabihat ialah ayat yang tidak jelas maknanya. Atau yang memiliki banyak kemungkinan makna dan pemahaman sehingga perlu direnungkan agar diperoleh pemaknaan yang tepat yang sesuai dengan ayat-ayat muhkamat.

Tidak semua ayat boleh jelas difahami mengikut logik akal manusia apalagi boleh digambarkan.

Berhati-hatilah.

Tahu limitasi kita.

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

Didik anak kecil kita dengan asas Aqidah yang benar dan berpeganglah kepadanya.


#sampaikanlahkebenaranwalaupunianyapahit
#bersamamenjagakesucianAlQuran
#noteswithlove

Rabu, 6 Disember 2017

Kurangkan fikir, banyakkan zikir.



"Emak, apa yang mak lakukan kalau misalnya mak selalu terlupa sesuatu perkara yang mak nak buat?"

Tiba-tiba Fathi bertanya sedang saya sibuk menyidai baju di ampaian. Hmm, berat juga soalannya.

"Sebab tu kita jangan terleka dengan apa yang kita buat. Kalau terleka dengan satu perkara, kita mesti akan terlupa perkara yang lain. Jadi, bila emak ingatkan semula abang kenalah tersedar yang abang terleka dan cepat-cepat buat apa perkara yang terlupa tu."

"Oh, misalnya... Kita main game. Kita seronok bermain sampai kita terlupa nak sembahyang? Sebab tu mak tak bagi abang main game walaupun game tu bagus?"

Errrr..

"Tak semua game tak bagus dan tak semua game juga yang bagus. Kena tahu memilih mana yang bagus mana yang tak bagus. Misalnya educational game tu baguslah. Mak bagi abang main. Sebab tu kalau nak main game mak suruh tanya abah dulu. Abah lagi tahu game mana yang bagus ke tak. Bukan tak boleh main langsung. Tapi kita tetap kena limitkan masa bermain game. Tak boleh main game tak berhenti sampai tertinggal sembahyang walaupun game itu bagus. Kita kenalah tahu limit masa kita."

"Tapi mak, abang rasa bermain gamelah menyebabkan abang terlupa banyak perkara lain. Abang jadi lebih terleka. Limitkan masa tu apa mak?"

"Haa. Nampak kan kesan bermain game ni tak kira kita main sekejap ke atau lama lagilah kesannya kita sendiri dapat rasakan. Walau apapun perkara yang kita buat, tak kiralah main game ke, buat kerja apa-apa pun sebenarnya itu semua aktiviti kita berfikir. Kita perlu setkan masa tertentu. Sebab apa?"

"Supaya kita tak jadi terus terleka dan terlupa benda lain?"

"Betul! Sebab manusia ni banyak dia nak fikirkan. Tapi, bila dia berfikir tanpa henti sampai kurang zikirnya, minda dia akan terperangkap dengan urusan dunia. Kenapa Allah wajibkan solat 5 kali sehari? Belum lagi tambah dengan solat sunat pagi dan malam.

Sebab waktu-waktu solat yang ditetapkan tu sebagai limit masa bagi manusia berhenti sekejap daripada semua aktiviti berfikir dan banyakkan berzikir. Barulah fikiran manusia tu seimbang dan waras. Jangan terleka dengan aktiviti berfikir manusia yang takkan habis sampai bila-bila ni.

Sebab ni juga, mak selalu ingatkan abang kalau boleh jangan sembahyang cepat-cepat macam turun naik turun naik dah. Sekelip mata je habis sembahyang. Tak boleh! Sebab apa kita perlu baca betul-betul masa sembahyang? Baca satu persatu bukan cepat-cepat nak habis?"

"Errr, entah!"

"Sebab apa yang kita baca dalam solat tu semuanya zikir! Zikrullah yang mesti akan dapat
menenangkan kita dan fokus balik dengan apa yang kita perlu buat. Kat situ ada keberkatannya. Seberapa banyak pun aktiviti kita berfikir yang kita buat, sebanyak itulah juga kita kena berzikir supaya otak kita terus dapat berfungsi dengan baik. Sebab tu Allah kata solat ni bukan untuk Allah hanya ibadah puasa je untuk Allah. Nampak tak sebenarnya solat ni untuk diri dan minda manusia sendiri supaya terjaga fungsinya dan kewarasannya?

Sebab Allah dah tahu manusia ni memang banyak nak buat kerja, banyak guna fikirannya, maka solatlah pada waktu-waktu tertentu supaya kamu dapat limitkan masa kamu antara aktiviti berfikir dengan berzikir.

Buatlah berapa banyak pun aktiviti berfikir kamu, tapi perbanyakkan juga zikir kamu. Jika tak seimbang? Kamu akan mula merasai fungsi dan kewarasan minda yang semakin susut bermula dengan asyik terlupa akan sesuatu yang penting. Nampak tak pentingnya zikir (baca : solat) dalam hidup kita?"

"Ooo.. Baru abang faham kenapa mak selalu ingatkan abang solat."

.
.
.

Ilham ini datang dengan sendirinya selepas saya teringat kata-kata Ustaz A A Gym semasa menonton satu rancangan tv tempohari. Semasa itu, saya mengalami tahap tekanan yang agak serius lalu saya tergerak membuka channel tersebut yang kebetulannya ada siaran ulangan bersama A A Gym.

Katanya, siapakah orang yang stres itu?

Orang yang stres itu yang terlalu banyak fikirannya tetapi amat kurang zikirnya. Makanya, untuk hindari stres perlulah kita perbanyakkan zikir.

Sepertimana yang pernah saya tulis dahulu, sekarang ada saya himpunkan dalam buku #bukansekadarhomeschooling,

Solatlah Dhuha untuk mendidik jiwa kita kepada kesabaran.
Solatlah Tahajud sebagai mendidik jiwa kita mendapatkan ketenangan.



#bukansekadarhomeschooling
#ceriteraanaksekolah
#satubatuuntukduaburung

Dunia bukan syurga. (Tantrum anak besar)



"Fatihah, nanti petang pulak kita beli wedges boleh? Dah ada makanan banyak dah ni. Kita habiskan makanan yang ada dulu kat rumah."

Fatihah antara yang kuat tantrumnya semasa kecil dahulu. Sekarang, umurnya 7 tahun tiba-tiba saja mengamuk balik dari sekolah. Sudah lama dia tidak menunjukkan amukannya yang sebegitu rupa. Menendang pintu kereta dan menjerit-jerit. Seperti biasa.... Tarik nafas dahulu, kemam kemarahan.

"TAKNAKKKKKKKKKKK!!! NAK SEKARANG JUGAK!" balas Fatihah.

Apabila anak menjerit, kita diam dahulu. Lihatkan saja emosi yang diterjemahkannya secara fizikal.

Sampai di rumah, bila masuk ke rumah Fatihah masih menjerit-jerit kepada abangnya dan Fahmi menyuruh bukakan pintu untuknya dan menutup pintu untuknya. Si abang Fathi menurutkan saja bersabar dengan adik perempuannya seorang itu. Tapi selepas itu, Fathi tak mahu menutup pintu kereta untuknya lalu berlaku lagi jeritan demi jeritan yang lebih menggegarkan angkasaraya!

"Fatihah, baca a'udzubillah bila masuk rumah. Cukup dah menjerit. Nak apa-apa kena cakap elok-elok. Dari Fatihah kecik lagi mak kan dah ajar Tiha dengan semua pasal apa? Kalau kita nak sesuatu kita perlukan apa?"

Saya mula bercakap dengan tegas bukan marah-marah.
Tidak membesarkan kesalahannya tapi menerangkan peraturan asas.

"Mak selalu ajar kalau nak apa-apa kena sabar!" Fathi menjawab.

"Kena sabar dulu baru dapat apa-apa kita nak." Fahmi menjawab juga.
Saya tersenyum. Dan senyap dahulu. Tidak mahu mengecohkan keadaan bila anak pulang dari sekolah.

"Kita kena bersabar dulu Fatihah kalau nak apa-apa. Mana boleh kita nak apa-apa terus dapat depan mata. Kalau kita nak terus dapat tu kat syurga! Jadi, sebelum masuk syurga kenalah sabar dulu."
Fathi tiba-tiba menyambung kata-katanya. Saya terkesima sebentar. Terus dapat idea!💡💡💡

"Betul cakap abang tu Tiha.. Kalau kita nak apapun cakap dalam hati je terus boleh dapat tu kat syurga je. Sekarang, kita kat dunia nak taknak kita kena sabar dulu. Sebab dunia bukan syurga! Betul abang?"

"Ya, betul tu! Ni dunia. Kita bukan kat syurga sekarang. Jadi, nak apa-apa kenalah sabar dulu. Nanti dah masuk syurga haaa mintaklah apapun Tiha boleh dapat sekelip mata je. Tapi jangan sampai tersalah cakap pulak kat syurga nanti!"

"Errr, salah cakap macamana abang?" Saya tak sangka ada lagi tips dari Fathi.

"Iyalah. Kan kita boleh dapat apa je yang terlintas kat hati kita. Jangan sampai kita niat nak makan kentang sampai 200 bekas! Nanti depan mata ada 200 bekas habislah Tiha kena makan sorang-sorang sampai tak larat, membazir pulak! Tak boleh tamak jugak."

Hahaha! Saya ketawa kuat-kuat dengan Fahmi. Sebagai melepaskan emosi saya yang kepenatan juga dengan kerenah anak-anak.. Hehe..

Fatihah mula tersenyum. Nak senyum tak senyum. Nak senyum tak senyum. 😊
Tiada lagi tangisan atau tengkingan lagi. Selesai.

.

Menangani tantrum anak-anak ada banyak gayanya. Setiap ibubapa lebih tahu gaya yang terbaik bila berhadapan tantrum anak di hadapan mata.

Saya ada berkongsi beberapa perkara asas semasa menangani tantrum anak, selepas dan juga sebelum tantrum anak berlaku lagi di dalam buku #bukansekadarhomeschooling.

Anak yang bertantrum menunjukkan pembangunan dan pembentukan emosi anak yang normal. Ia bukanlah sesuatu yang tidak baik atau terlalu jijik sehingga kita perlu memastikan anak tidak bertantrum langsung. Malah sebenarnya kita hanya perlu mengurusnya sahaja agar tantrum si anak supaya ia tidak menjadi-jadi atau berada di luar kawalan.

Ya, kata kuncinya - uruskan tantrum anak dengan baik - beritahu peraturan asas - tidak membesarkan kesalahannya - berceritalah yang dunia ini bukan syurga. Selamat mengurus! 😎



#ceriteranaksekolah
#bukansekadarhomeschoolingDUA

Bedah buku 4 dalam 1!

Sejak Buku Saya Suka Mengaji ni release bulan Mei tahun lalu, saya masih belum berkesempatan lagi nak buat bedah buku ini disebabkan say...