رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Ahad, 17 Disember 2017

# anak # falsafah

Ada apa dengan Buku Bukan Sekadar Homeschooling?




Semalam saya menerima perkhabaran daripada adik usrah saya Lyana M. Tizam yang menguruskan sesi bedah buku & borak santai mengenai buku ini Januari tahun depan sudahpun penuh seramai 52 orang (terlebih kuota) tak sampai 50 jam selepas dibuka untuk pendaftaran. Mula-mula saya ingatkan mengapalah tiba-tiba beliau 😭😭😭.. Hehe..

Rupa-rupanya, beliau amat terharu dengan sambutan di luar dugaan ini. Malah, yang lebih mengharukannya ada ibu yang akan datang dari Perak dan Negeri 9 semata-mata mahu mengikuti sesi bedah buku yang pertama ini dan sedang mencari hotel.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu akbar.

Tatkala mendapat perkhabaran ini keajaiban demi keajaiban yang saya rasakan. Terasa kerdilnya diri kerana takut menghampakan harapan tinggi semua ibu yang akan hadir kelak. Tiadalah daya usaha saya melainkan bantuan dari Allah.

Sungguh, saya ini tiada apa-apa. Saya hanya seorang ibu yang biasa saja seperti anda. Boleh bertanya kepada sahabat-sahabat lain yang selalu berjumpa dan mengenali saya. Saya ini tiada apa-apa. Bukan juga sesiapa. Namun, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pembaca yang sudi membaca semua penulisan saya dan menyokong saya selama ini.

Allah yang maha hebat mengaturkan perjalanan hidup saya dengan ujian-ujian tertentu lalu mengilhamkan saya dengan buah fikiran dan cara yang tidak saya ketahui akannya. Ya, hidup ini penuh pengajaran dari Allah. Lalu, saya hanya menterjemahkannya melalui tulisan. Segala puja dan pujian hanya kepada Allah!

.

Di awal manuskrip asal buku ini dihantar kepada penerbit sekitar bulan Mac awal tahun ini, bukan tajuk ini yang saya kemukakan. Tajuknya ialah ;

* Dari Facebook ke Buku : Didik Anak Abad Ke-21 Generasi Alpha - Model Quranic Homeschooling - Siri 1 (0 hingga 7 tahun)

Buku ini mengandungi 3 bahagian :

1. Isu, throwback & solusi
2. Tips mudah & praktikal
3. Emel pilihan pembaca

Sinopsis :

1. Perkongsian cerita di facebook & blog berdasarkan pengalaman seharian mendidik anak-anak sejak 9 tahun yang lalu sehingga sekarang.

2. Mengumpulkan pelbagai jenis cabaran & realiti yang dihadapi ibubapa hari ini untuk mendidik anak sejak kecil lagi berserta solusinya.

3. Menyusun semula banyak tips mudah untuk diikuti & diamalkan oleh ibubapa generasi alpha ini.

4. Juga turut dikongsikan emel soalan-soalan yang diterima penulis daripada ibubapa mengenai didikan awal anak-anak sejak beberapa tahun lalu sehingga kini.

5. Muhasabah diri buat ibubapa yang ingin memperbaiki diri dari masa ke masa.


Lalu, penerbit menerima manuskrip ini dengan beberapa perubahan yang perlu dibuat bagi menyesuaikan gaya bahasa media sosial dan bahasa buku yang berbeza. Ini juga merupakan kali pertama penerbit menerima satu naskhah yang baru apabila bahasa media sosial perlu diubahsuai menjadi bahasa buku namun mengekalkan originalitinya. Sungguh, banyak saya belajar daripada gaya bahasa buku sebegini.

.

Siap editing, sebelum mahu di lakarkan layout buku, penerbit sekali lagi meminta saya untuk menukar tajuk buku kepada cadangan yang dikemukakan namun, saya kurang bersetuju dengannya dan memohon waktu untuk cadangan tajuk buku baru. Ketika itu, saya sedang mengalami sedikit tekanan semasa dan berada dalam keadaan sedih.

Saya tak dapat berfikir dengan baik semasa itu. Sekali lagi saya rasakan diri ini tersangat kerdil dan lemah. Saya tidak tahu tajuk yang baik untuk dikemukan kepada penerbit. Begitulah juga dalam proses kita mendidik dan membesarkan anak-anak. Adakala, kita hilang punca dan terasa sangat lemah untuk melalui ujian di hadapan mata. Kembalilah bersujud kepada Allah!

 Lalu, saya bersolat 2 rakaat memohon petunjuk Allah. Selesai berdoa, tup!

Tiba-tiba saja perkataan "Bukan Sekadar Homeschooling : Rumahku Sekolah Pertamaku" ini muncul daripada hati yang paling dalam. Ah, sukar saya ungkapkan... Syukur, alhamdulillah!

Terus saja saya mesej penerbit menyatakan tajuk tersebut malam itu juga.

Alhamdulillah, penerbit terus saja menerimanya selepas beberapa hari berbincang.

Proses seterusnya dipermudahkan bila mana akhirnya buku ini terbit pertama kali pada 27 November 2017 dengan layout penulisan yang sangat cantik, berwarna-warni dan tersusun melalui perspektif pembaca buku dengan 320 mukasurat.

Ya, buku ini tebal! Tidaklah saya juga menyangka buku pertama saya ini boleh menjadi tebal sebegini. Subhanallah!

.

Corak penulisan dalam buku ini bolehlah saya simpulkan semula kepada 3 bahagian secara overall iaitu ;

1. Penanaman aqidah (iman)
2. Pembentukan akhlak (sahsiah)
3. Pendidikan ibadah (amalan asas)

Sudah saya katakan, buku ini bukanlah mengenai aktiviti homeschooling semata-mata, malah sebenarnya ini adalah isu-isu yang jauh lebih penting dan lebih awal perlu diterapkan sebagai silibus utama dalam dunia pendidikan anak-anak di rumah.

Saya mulakan dengan bab bagaimana penanaman aqidah kepada anak sejak kecil seterusnya bagaimana pendidikan mengenai perkara ghaib yang perlu diajarkan secara berperingkat-peringkat. Seterusnya bagaimana proses mendidik anak sayang Allah dan Nabi dapat dipraktikkan di rumah. Tidak ketinggalan juga beberapa cara dan tip mengenai penyusuan susu ibu yang merupakan sumber utama yang menjadi tunjang alami kepada pendidikan anak bermula di rumah.

Terdapat juga tip dan cara yang saya kongsikan bagi mengelakkan anak ketagih gajet. Satu isu yang besar di zaman kini.

Ya, buku ini mengenai "how to".

Inilah silibus awal bagi anak berumur 0-7 tahun. Isu selainnya, boleh kita sama-sama bincangkan dan perhalusi lagi dalam sesi bedah buku & borak santai nanti bermula tahun hadapan, Insha Allah.

Saya juga membuka ruang buat rakan facebook saya yang lain jika mahu mengadakan sesi bedah buku ini di tempat anda, bolehlah pm saya perancangan tuan/puan dan kawasan/negeri dengan tarikh yang dicadangkan. Saya akan usahakan untuk memenuhinya jika tiada pertindihan masa dan waktu promosi bersama Telaga Biru. Mudah-mudahan.

.

Terima kasih buat semua yang sudahpun mendapatkan buku ini. Saya sangat senang hati menerima apa jua kritikan terhadap buku ini. Sangat dialu-alukan. Semoga pembacaan tuan/puan bermanfaat buat diri tuan/puan serta dapat diterjemahkan kepada anak-anak sedikit demi sedikit setiap hari.

Bittaufiq wannajah. Ma'as salaamah!

#bukansekadarhomeschooling
#didikanakabadke21

Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor