رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Khamis, 11 Januari 2018

# alumni # kerjaya

Bagaimana nak daftar pertubuhan alumni di ROS?




Semuanya bermula daripada satu idea.

Semasa kami mendapat perkhabaran yang sekolah lama kami menghadapi sedikit kekangan untuk membaikpulih fasiliti, ada beberapa suara yang berbunyi "Sekolah dah tak ada duit ke?" - "Duit kerajaan pergi mana sampai semua dana dipotong?"

Ini fenomena biasa. Semua orang berhak bertanya begitu dan begini. Itu hak mereka.

Namun, saya tidak mahu memberi banyak alasan dengan hanya bertanya ke sana ke sini mengenai sesuatu yang kita sendiri tidak pasti malah tiada jawapan mengenainya. Jauh sekali mahu berspekulasi serta membawa sisi pandang ke arah 'mencari kesalahan orang lain'. Ia tidak membawa apa-apapun manfaat. Tiada hasil.

Lalu, saya mendapat mesej daripada salah seorang kawan lama yang menyatakan hasrat jika boleh diwujudkan satu akaun khas bagi alumni menyalurkan semua sumbangan dana berbanding mengumpul melalui akaun persendirian, itu adalah lebih baik. Kelak, mana tahu sumbangan itu boleh dimanfaatkan membantu ke sekolah lain atau sekurang-kurangnya boleh membantu sekolah sehingga memiliki sebuah bas! Indahnya idea tersebut walaupun saya tahu pasti akan ada duri ranjaunya.

Untuk mewujudkan satu akaun bank khas alumni, perlulah ada satu pertubuhan yang didaftarkan secara rasmi dahulu. Kemudian, barulah boleh membuka akaun bank khas atas nama pertubuhan itu. Jadi, bolehlah bergabung tenaga melalui ke semua batch secara kolektif untuk kita kumpulkan dana secara konsisten. Jika kita dapat mengumpulkan semua tenaga dan bantuan dana melalui 20 batch alumni sekolah. Ia bakal memberi impak yang lebih besar!

Tambahan pula, melalui perjumpaan penyerahan dana bantuan ke sekolah tempohari kami mendapat mandat dan sokongan daripada Tuan Pengetua SMKAJB untuk menubuhkan alumni ke ROS agar banyak lagi sumbangan ahli alumni selama 20 tahun ini dapat diurus tadbir dengan baik.

Bermula itu, saya berfikir bagaimana caranya untuk mendaftarkan sebuah alumni setelah mendapat pandangan dan sokongan sahabat-sahabat sebatch yang lain. Hanya melalui grup whatsapp batch kami dahulu.

.

Melalui pengalaman bergerak aktif dalam NGO Kelab Sokongan Penyusuan Susu Ibu Johor Bahru, saya membuat beberapa rujukan melalui pioneer kelab ini. Dan membuat sedikit homework untuk prosedur mendaftarkan pertubuhan selain menelefon sendiri ROS untuk mendapatkan kepastian.

Saya memberanikan diri untuk menawarkan sumbangan tenaga supaya pendaftaran pertubuhan alumni sekolah saya dapat dijalankan. Walaupun saya masih belum pasti sepenuhnya tapi saya yakin sekolah kami memerlukan alumni yang berdaftar bagi tujuan di atas. Lagipula, genap tahun 2017 ialah 20 tahun umur sekolah ini sejak awal penubuhannya yang mana saya adalah salah seorang di antara pelajar pioneer di SMKAJB dan merasmikan sekolah itu dahulukala.

Semua orang pun sibuk, tapi jika tiada siapa yang memulakan sampai bila-bila kita tak akan ke mana-mana.. Ya tak?

Bagi tujuan menggabungkan 20 batch yang berbeza kepala termasuk generation gap, bukanlah mudah sebenarnya. Perlu ada strategi. Step by step yang perlu diurus bagi kelompok manusia yang ramai sebegini dengan limitasi kepakaran tersendiri.

Langkah pertama, saya perlu mendapatkan sokongan daripada majoriti batch alumni. Saya tidak mengharapkan sokongan semua untuk bersetuju dengan pendafataran ke ROS ini kerana saya faham proses ini leceh dan setengah orang berfikiran mungkin ianya tidak penting tetapi mudah-mudahan ramai yang bersetuju.

Pendaftaran bagi alumni yang dikongsi oleh 20 batch ini tidak boleh dibuat hanya jika berasa 'syok sendiri'. Kerana itu, langkah pertama adalah mendapatkan sokongan daripada senior terdahulu dan juga junior-junior yang terkemudian sebagai tanda hormat kita meraikan pendapat dan pandangan mereka bagi tujuan pendaftaran alumni ini.

Walaupun 1 grup whatsapp yang menghimpunkan kesemua alumni sekolah diwujudkan, tetapi saya tidak dapat 'bergerak' kerana ianya terlalu ramai dan mass. Ibaratnya kita sudah tepu dan terperangkap di dalam lif tak boleh keluar bilamana di dalam lif itu ada terlalu banyak orang dan bersesak-sesak di dalamnya.

Maka, strategi diubah.

Saya hanya mendapatkan kata persetujuan bersama dan memaklumkan yang satu AJK Penaja akan diwujudkan di kalangan batch saya sahaja memandangkan ini cara terbaik untuk mempercepatkan proses pendaftaran dan memastikan kita dapat 'bergerak' seberapa pantas yang boleh. Maklumlah, semuanya sangat sibuk dengan komitmen masing-masing. Saya juga tak mahu drag masa.

Saya memahami kebanyakan alumni adalah orang yang mempunyai kerjaya hebat-hebat belaka. Punya kekangan waktu dan komitmen untuk bersama-sama secara aktif untuk beberapa proses pendaftaran ini. Makanya, dengan 'mengecilkan' jumlah untuk bergerak adalah yang paling berkesan saya rasakan.

Syukur saya kerana mendapat sokongan dari rakan sebatch (SMKAJB 1999 & KTAM 1997). Mereka secara volunteer sudi bersama dengan saya sebagai AJK Penaja.

.

LANGKAH 1 : MENUBUHKAN AJK PENAJA & MERANGKA DRAF PERLEMBAGAAN

AJK Penaja adalah sekumpulan ahli yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 7 orang yang mempunyai matlamat yang sama bagi menubuhkan satu pertubuhan secara sah.

Selepas saya mendapatkan volunteership daripada kedua-dua batch saya ini, barulah saya membuat satu lagi grup whatsapp lain khusus hanya AJK Penaja sahaja awalnya. Di dalam grup ini sangat responsif setiap kali saya meminta persetujuan dan pandangan bagi proses merangka perlembagaan.

Contoh perlembagaan pertubuhan mengikut spesifikasi ROS sedia ada boleh didapati di sini  http://www.ros.gov.my/index.php/my/perkhidmatan
atau pilihan kedua, anda boleh membuat keseluruhan perlembagaan sendiri tetapi proses semakan dan kelulusannya akan mengambil masa yang lebih panjang kelak.

Menggunakan perlembagaan sedia ada lebih mudah. Anda hanya perlu berbincang dan menentukan hanya beberapa perkara sahaja yang diperlukan. Ini termasuk menyediakan dahulu logo rasmi yang akan digunakan. Sila baca dengan baik panduan di tajuk

Pendaftaran Bendera, Lambang, Lencana Atau Lain-Lain Insignia Pertubuhan


Sebaiknya, download dan bacalah dulu PANDUAN PENGGUNA dalam link yang disertakan di bawah  https://www.eroses.gov.my/ 

Selepas draf perlembagaan sudah siap dibincangkan kesemua fasal, seterusnya, kumpulkan maklumat diri terkini AJK Penaja yang merangkumi :

Nama : 
No kad pengenalan :
Warganegara : 
Tarikh lahir & tempat lahir : 
Pekerjaan : 
Nama & alamat majikan : 
Alamat kediaman semasa : 
No. tel : 
Emel : 

Seterusnya, tetapkan tarikh untuk mesyuarat AJK Penaja bagi meluluskan perlembagaan dan perbincangan isu teknikal yang lain.

Mengapa saya bertindak membincangkan dahulu draf perlembagaan melalui whatsapp grup? Kerana saya mahu save masa agar dalam mesyuarat AJK Penaja ini nanti dapat dibuat hanya sekali sahaja dengan membincangkan perkara-perkara berbangkit yang betul-betul mustahak selepas diperhalusi kali kedua secara fizikal. 

Ini kerana mengumpulkan KESEMUA AJK Penaja untuk bermesyuarat dan berjumpa adalah satu CABARAN yang paling tinggi disebabkan semua orang punya komitmen tersendiri samada kerjaya hakiki mahupun tuntutan keluarga masing-masing di hujung minggu pula. Bukan mudah untuk berjumpa. Saya hanya mahu memastikan biar sekali berjumpa, masa dapat dioptimumkan dengan semampatnya. Saya juga sejenis yang tidak suka banyak kali bermesyuarat tapi kerja tak jalan-jalan. Sangat penat.



Selepas mengutip undi tarikh mesyuarat yang disepakati, saya perlu membentangkan dahulu kertas kerja penubuhan alumni kepada Tuan Pengetua SMKAJB untuk sebarang pindaan atau buah fikiran. Makanya, saya menyiapkan kertas kerja berdasarkan apa yang telah disepakati dan mendapatkan persetujuan serta keizinan Tuan Pengetua untuk kami mengadakan mesyuarat di sekolah bagi tujuan ini.

Inilah perjumpaan buat pertama kalinya selepas 19 tahun kami meninggalkan sekolah dulu. Semasa ini, saya seharusnyalah saya perlu memegang jawatan sebagai setiausaha AJK Penaja dan menyediakan dokumen perlembagaan dan perbincangan secara fizikal agar semua AJK boleh nampak gambaran besar akan penubuhan ini.



Selain itu, sebagai setiausaha AJK Penaja juga, kita harus tahu dan pasti arah mana yang hendak kita bawa sepanjang proses pendaftaran ini. Jika kita tak pasti, telefon terus ROS bagi cawangan terdekat. Perlu sedikit agresif dan tahu halatuju perjalanan ini kerana tidak semua yang tahu dan jelas bagaimana proses ini akan dijalankan. 

Semasa ini, saya sangat besyukur dengan pengalaman menceburkan diri dalam NGO Kelab Susu Ibu saya yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi. Sangat berharga kerana pengalaman sebenar lebih banyak membantu daripada bacaan melalui internet samada di laman web ROS sendiri ataupun melalui blog orang lain yang pernah melaluinya. Ia sangat berbeza!

Melalui carian di blog juga saya ada membaca yang banyak dokumen perlu difotostat dan disiapkan sebelum mendaftarkan pertubuhan di ROS. Termasuk minit mesyuarat AJK Penaja. Tetapi, itu dahulu. Sekarang anda tidak perlu berbuat begitu lagi. Paperless.

Minit mesyuarat AJK Penaja hanyalah untuk simpanan sendiri tidak perlu diserahkan kepada ROS. Hanya butir penting tentang mesyuarat AJK Penaja seperti tarikh, masa, tempat & jumlah kehadiran sahaja yang perlu diisi di dalam sistem.

Sekarang, pendaftaran pertubuhan adalah secara ONLINE SAHAJA. Tiada lagi pendaftaran di kaunter. Hanya pembayaran fi pendaftaran sahaja saya nasihatkan bayaran dibuat di kaunter (secara manual) bagi mempercepatkan proses. 

Selepas mesyuarat AJK Penaja selesai dengan meluluskan draf perlembagaan serta mengesahkan butiran diri kesemua AJK Penaja, barulah setiausaha mendaftarkan diri di sistem eroses iaitu di sinhttps://www.eroses.gov.my/

Oh ya! Beberapa hari selepas mesyuarat AJK Penaja, saya dan seorang AJK lagi kononnya ingin daftar secara walk-in di kaunter, tetapi tidak berhasil. Hehe.. Sesampainya di pejabat ROS, kami diberi panduan untuk bagaimana setiausaha mendaftarkan pertubuhan melalui online. Jika mahu online di sana juga boleh, tetapi hasilnya, sistem down. Maka, pulanglah kami tanpa hasil pada hari tersebut. Tetapi, apabila dapat bertemu pegawai ROS untuk bertanyakan step-by-step pendaftaran online yang perlu dibuat secara face to face itu memang berbaloi. Penerangan dan kertas panduan diberikan untuk rujukan. Ya, pergi sajalah ke ROS di setia tropika.


Selepas itu, beberapa kali percubaan mendaftar, saya masih tidak dapat masuk lagi ke dalam sistem. Saya membuat panggilan ke ROS JB dan ROS Putrajaya. Ternyata sistem mereka masih lagi down. Bersabarlah hati.


Di sini sebenarnya, saya telah membuat kira-kira. Dengan masa yang terhad, saya menjangkakan AGM mahu tak mahu mesti diadakan dalam bulan DIsember 2017 juga. Jadi, surat menyurat perlu dihantar kepada ahli at least 2 minggu sebelum AGM berlangsung. Saya lajakkan lagi tempoh masa. Makanya, sebelum berakhir bulan November pendaftaran alumni perlu diluluskan. 

Mengambilkira proses kelulusan yang akan memakan masa seminggu atau lebih, makanya saya mendapati tempoh yang sangat terhad selepas mesyuarat AJK Penaja berlangsung tempohari pada 4 November 2017.

Semasa itu, saya hanya mampu berdoa dalam hati agar segala sistem yang ada di atas bumi ini akan segera pulih seperti sediakala dan saya mendoakan agar orang yang berada di belakang sistem tersebut diberi kesihatan yang baik-baik belaka. Saya sangat memahami orang yang bekerja dengan sistem sebegini. Kerana itulah kerjaya suami saya juga, programmer. Bila saya mencadangkan kepada suami supaya membuat satu sistem yang lebih baik lagi, suami hanya mampu berkata, "Itu dah baik dah tu. Ikut sajalah." Haha..



Jadi, sementara menunggu sistem baik semula saya tak mahu membuang masa. Saya segera siapkan borang keahlian hanya melalui Google Form saja untuk mengutip butiran diri ahli yang terkini untuk dijadikan database induk. Ini kerana bukan 20 batch dari SMKAJB saja yang perlu direkodkan tetapi juga termasuk alumni KTAM yang sudah berabad lamanya sebelum ditukarkan sekolah menjadi SMKAJB.

Takdirnya, selepas seminggu menunggu dan mencuba banyak kali, akhirnya baru saya dapat masuk ke dalam sistem eroses dan emel saya baru berbalas. 

Ya, jika anda sebagai setiausaha tidak dapat log in ke dalam sistem (tak dapat kata laluan sementara), perlu emelkan kepada admin seperti alamat emel yang dinyatakan di situ untuk mohon kata laluan sementara. Mereka akan balas juga nanti. Tunggu sajalah dengan penuh kesabaran ya! Jika tak dapat juga, call ROS di tempat anda atau ROS di Putrajaya. Mereka akan cepat maklum status anda. Agresif sikit ya. Jangan hanya menunggu.




LANGKAH 2 : DAFTAR ONLINE PERTUBUHAN

Selepas anda (setiausaha sahaja) sudah dapat kata laluan sementara, masukkan ke dalam sistem semula dan boleh ubah kata laluan mengikut kesukaan anda. Save. Boleh terus mengisi bahagian pertubuhan dan bahagian-bahagian lain seperti dalam draf perlembagaan yang telah diluluskan. Kebanyakannya sudahpun tersedia di dalam sistem jika mengikut perlembagaan sedia ada. Hanya perlu memasukkan numbers and figures saja dalam ruang kosong yang disediakan. 

Klausa lain yang terdapat dalam perlembagaan adalah fixed dan tiak boleh diubah. Ikut sajalah.

Begitu juga matlamat penubuhan juga sudah yang siap tersedia, kita hanya pilih saja mana-mana yang menepati matlamat yang ada dan boleh juga menambah matlamat sendiri mengikut "bahasa" kita. Ada banyak pilihan di bahagian matlamat. Jangan risau.

Isilah kesemua 17 fasal sedia ada termasuk data ahli AJK Penaja. Jumlah AJK Penaja akan menentukan berapa ramai AJK tetap yang boleh dilantik di masa akan datang.

Di akhir sekali ialah pembayaran. RM 30 sahaja yang perlu dibayar.

Semasa ini, saya hanya print out slip untuk pembayaran dan bercadang mahu membayar di kaunter. Tetapi memandangkan kaki saya yang jatuh tempohari masih belum baik sepenuhnya dan suami juga tak membenarkan saya drive dan pergi sendiri ke pejabat ROS di Setia Tropika seorang diri kerana tak mampu berjalan dengan baik lagi, makanya saya meminta bantuan seorang lagi AJK lain yang boleh ke sana sebentar semasa lunch hour. Saya terhutang budi kepadanya kerana sanggup 'lari' sebentar membantu proses ini di kala saya tak dapat meneruskan 'langkah'.

Semasa beliau ke sana dan menunjukkan slip bayaran yang saya emelkan, pegawai ROS di sana 'menegur' kerana nama yang didaftarkan terlalu general. Nama  "Warisan" yang general sebegini biasanya tidak akan diluluskan katanya.

Walaupun pada carian nama pertubuhan semasa mendaftarkan melalui online kita dapat green tick, tetapi itu hanya menandakan nama tersebut belum ada pertubuhan lain gunakan lagi. Tetapi prosedurnya perlu diikuti.

Jadi, saya menukarkan pilihan nama lain seperti yang disepakati dalam mesyuarat AJK Penaja tempohari. Kami berbincang dengan mengemukakan 3 pilihan nama. Atas kata sepakat, kami menggunakan nama WARISAN ALUMNI SMKAJB kerana ia sudah terkandung di dalam logo.

Makanya, saya perlu mengisi semula sekali lagi permohonan pendaftaran pertubuhan baru yang lain. Permohonan sebelum ini hanya perlu dibiarkan saja dan dipadam. 


Semasa ini, saya pasrah saja. Walaupun sebenarnya mengisi borang online ini "nampak mudah dan senang" tetapi ia tidak semudah yang dijangka jika anda mempunyai anak yang ramai di sekeliling semasa anda mengisi borang online ini. Sungguh bukan mudah dengan anak-anak yang seorang tarik tangan kanan, seorang lagi tangan kiri, seorang lagi kaki kanan dan seorang lagi kaki kiri. 

Rasa nak menangis bila disuruh isi balik! Huwaaaaa...

Dengan penuh ketabahan yang dikutip semula saya mengisi borang dan perlembagaan yang ada sekali lagi dengan nama baru ini. Pada tahap ini, rumah sudah tak nampak macam rumah, anak-anak berempat sudah dah terurus entah apa sajalah projek mereka keluar masuk bilik dengan sekali sekala 'mencuit' emaknya ini yang sedang berkurung dalam bilik tak mahu diganggu buat seharian ini. Kelam kabut. Rasa bersalah kepada keluarga. Tapi, saya harus meneruskan langkah yang berbaki ini.


LANGKAH 3 : PEMBAYARAN SECARA ONLINE RM 30.

Pada tahap ini, saya mendapat pengajaran terpenting!

Selesai mengisi semula semua maklumat pendaftaran, saya ingin cepat membuat pembayaran. Kerana tidak mahu menyusahkan lagi AJK lain yang sedang bekerja, saya mengambil keputusan untuk membayar secara online sahaja. Lagipula, kaki saya masih belum pulih lagi untuk berjalan dengan baik.

Selesai mengikut step-by-step nya, saya mendapat hasil sebagai "transaksi tidak berjaya". Tetapi, duit sudahpun ditolak daripada akaun saya sebagai "successful".




Apalagi, saya terus menangis di situ seorang diri sambil menaip mesej kepada semua AJK memaklumkan kegundahan hati ini.

Terasa lemah segala sendi dan badan. Masa itu, rasa seperti mahu berhenti dari semua proses ini. Betul-betul mahu give up saja.

Mendapat sahabat pengerusi yang bijak menenangkan keadaan, saya mendapat semula kekuatan selepas itu melalui AJK-AJK lain yang terus memberi kata semangat dan kekuatan. Saya segera emel kepada admin sekali lagi dan print out segala bukti pembayaran yang ada. Saya hanya stressed-out. Sudah tiba limitnya.




Esoknya, saya mulakan semula dengan fokus baru. Fokus untuk memastikan bayaran saya diterima dengan selamatnya bukan lagi menyalahkan sistem yang terlalu cepat log out sendiri selepas pembayaran dibuat semalam. Hanya 3 saat dan semuanya terkeluar sendiri daripada sistem tanpa ada option lain..

Saya membuat beberapa panggilan ke ROS JB dan Putrajaya dan telah disambungkan beberapa pegawai dengan percubaan beberapa kali sehinggalah dapat bercakap direct dengan pegawai kewangan. Fokus semasa ini, hanya mahu memaklumkan duit sudahpun ditolak dari akaun saya dan mudah-mudahan sampai kepada yang sepatutnya. Itu saja.

Bila kita bercakap dengan baik, orang lain juga akan berbahasa dengan elok kepada kita semula. Birokrasi, kita layan saja.

Susah tau nak tembus talian ROS. Sejak awal pun memang begitu. Jika dapat tembus dengan sekali panggilan saja memang bernasib baiklah diri anda.

Rupa-rupanya, walaupun pendaftaran pertubuhan sekarang dibuat secara online tetapi hanya bahagian kewangan sahaja yang masih melalui sistem secara manual. 

Jadi, saya menasihatkan anda membuat pembayaran melalui kaunter untuk lebih cepat diproses berbanding online yang akan mengambil masa 2 hari hanya jika rajin update dengan emel dan panggilan bertalu-talu untuk follow up pembayaran.

Proses di sini agak tricky saya rasakan.


LANGKAH 4 : MENUNGGU KELULUSAN



Selepas mendapat makluman pembayaran berjaya diterima melalui panggilan telefon yang dibuat dan emel, saya menyemak semula status permohonan sudahpun bertukar kepada "menunggu kelulusan". Seterusnya, saya perlu menunggu 5 hari lagi untuk proses kelulusan permohonan. Saya pasrah menunggu lagi seminggu keberhasilannya.

Namun, entah bagaimana keesokan harinya (selepas 1 hari) saya mendapat panggilan daripada Encik Yahaya pegawai daripada ROS. Beliau adalah pegawai yang bertanggungjawab memegang pendaftaran bagi semua alumni di JB.

Beliau mengesahkan saya sebagai setiausaha AJK Penaja seperti dalam permohonan dan kemudian meminta saya meminda beberapa perkara utama iaitu nama pertubuhan.

Menurutnya, nama pertubuhan WAJIBLAH ditulis di hadapan nama samada Persatuan / Kelab / Syarikat apa dan apa dan di akhirnya WAJIBLAH menulis nama tempat pertubuhan anda misalnya Johor Bahru / Melaka etc mengikut tempat anda beroperasi.

Jadi, beliau mencadangkan untuk diubah sedikit sahaja bilamana tambahan PERSATUAN ditambah di hadapan nama WARISAN ALUMNI SMKAJB (dengan penerangan di dalam perlembagaan), dan di akhirnya ditambah JOHOR BAHRU sebagai nama tempat beroperasi.

Begitu juga mengenai logo yang tidak dibenarkan lambang bulan dan bintang. Saya terus bersetuju dengan pindaan kecil ini lalu beliau terus memberi kelulusan permohonan saya pada petang hari tersebut juga! Katanya tiada masalah besar, semuanya ok saja melainkan alamat surat menyurat perlulah menggunakan alamat salah seorang AJK yang aktif bagi memastikan surat sampai ke tangan yang sepatutnya. Hanya alamat rasmi sahaja menggunakan alamat sekolah dengan keizinan.

Subhanallah.. Tiada daya usahaku melainkan dengan bantuan Allah! Proses dipermudahkan walaupun ada ujian dan cubaan yang mengujikan sebelum ni atas berkat doa semua ahli yang mendoakan. Alhamdulillah.

Sungguh saya tidak sangka mendapat kelulusan selepas 1 hari sahaja.




Tanggal 20 November 2017, permohonan alumni sekolah kami diluluskan dengan pindaan nama PERSATUAN Warisan Alumni SMKAJB, JOHOR BAHRU selepas mesyuarat pertama AJK Penaja yang telah berlangsung pada 4 November 2017.


LANGKAH 5 : MENGADAKAN MESYUARAT AGUNG PERTAMA

Selepas mendapat kelulusan, dalam masa 60 hari pertubuhan diwajibkan membuat AGM untuk lantikan AJK tetap dan pembubaran barisan AJK Penaja. Inilah masa yang saya tunggu-tunggu! Syukur ya Allah.

Tetapi, bagi proses mengadakan AGM pertama ini juga memerlukan penyusunan strategi yang baik. Semasa saya menunggu sistem eroses baikpulih terdahulu, saya mohon kerjasama semua AJK untuk menghebahkan borang keahlian untuk update butir diri terkini dengan alamat emel.

Melalui emel yang dikumpulkan inilah saya menghantar surat jemputan untuk Majlis Perasmian & AGM Pertama yang akan diadakan ini. Saya save masa di sini kerana proses mengumpulkan maklumat ahli lengkap sudah berlangsung awal 3 minggu lagi dan surat jemputan telah diedarkan kepada 355 orang ahli daripada 2415 alumni SMKAJB sejak tahun 1998 dan alumni KTAM sejak tahun 1985.

Jumlah yang kecil, tapi satu permulaan yang baik saya kira. Terima kasih kepada semua alumni yang sudi memberikan kerjasama.

Mengikut perlembagaan, surat panggilan mesyuarat agung perlulah diedarkan kepada ahi sekurang-kurangnya 2 minggu daripada tarikh mesyuarat. Kerana itu strategi mengumpulkan maklumat daripada zero sebegini harus disusun dengan baik terlebih dahulu supaya ia mengikut plan jangkaan tarikh mesyuarat agung yang mahu dibuat cukup berlangsung mengikut tempohnya. Dan sungguh, menguruskan sekumpulan manusia yang berbeza peringkat umur dengan keperluan komitmen yang berbeza juga jurang kerjaya yang pelbagai amat amat amat mencabar!

Tugas sebagai setiausaha penaja membuat surat, mengedarkan, menjejak dan menjemput semua bekas pengetua sebagai tetamu kehormat, menjejak dan menjemput semua bekas pelajar dan bekas guru bukanlah tugas yang mudah. Di sini, fokus saya 200% sedaya yang termampu menjemput beberapa orang bekas guru yang dapat hadir. Terasa sangat bahagia apabila melihat bekas guru kami sudi datang berkumpul dalam acara ini.



Sebelum majlis perasmian dan AGM ini juga tugasan paling mencabar saya rasakan adalah sponsorship. Kami tiada dana.. Bermula dari zero.

Beberapa strategi sponsorship dibuat mengambilkira pengalaman-pengalaman selama ini mengendalikan program NGO Kelab Susu Ibu yang bergerak juga tanpa dana bantuan dari sesiapapun. Saya lebih memahaminya. Maka, saya panggil rakan seperjuangan saya yang turut faham gerak kerja sponsorship gaya NGO bekerja untuk turut sama menghulurkan tenaga. Alhamdulillah, walaupun kami menghadapi cabaran yang sukar untuk diceritakan (hanya beberapa orang saja yang tahu cabaran & konflik yang pernah timbul) tapi akhirnya semua nya dapat diselesaikan dengan baik.

Daripada zero, kami akhirnya mendapat sponsorship dari segi in kind berjumlah lebih 10K dan cash berjumlah 5K lebih manakala perbelanjaan hanya sekitar 2K lebih. Wang selebihnya kami simpan untuk membuka akaun bank Warisan dan juga simpanan untuk tabung Warisan. Alhamdulillah. Segalanya berjalan dengan lancar walaupun nak pecah kepala saya sepanjang rehearsal selama 2 hari. Hanya Allah saja yang tahu.




Sejujurnya, saya berterima kasih kepada sahabat seperjuangan saya Salwa Kohar & Nurul Asyikin Ngadiso. Merekalah yang banyak membantu saya merealisasikan apa yang sudah saya strategikan. Mereka adalah supermommies yang experts. Mereka adalah tulang belakang saya, kekuatan saya meneruskan langkah. Bak kata Tuan Pengetua SMKAJB, hanya orang yang bergiat aktif dalam NGO saja yang tahu menjalankan 'sesuatu' seperti ini kerana pengalaman. Tanpa pengalaman sebenar, penubuhan sebuah alumni mungkin tidak akan berlaku sepantas 4 bulan begini. Subhanallah.. Bersyukur saya atas pengalaman selama ini.

Terima kasih saya juga buat semua AJK Penaja & AJK Gerak Kerja, adik-adik, kakak-kakak dan abang-abang senior juga sahabat seangkatan semua yang turut sama daripada awal di sepanjang proses ini. Ia bukanlah usaha saya seorang. Ia adalah usaha kerjasama banyak pihak dan ia juga takkan boleh terjadi walaupun ada pengalaman dan tiada kerjasama dari semua pihak. Sungguh, kita telah berjaya! Jom kita raikan sama-sama!!!










.
.

Alhamdulillah 'ala kulli haal.

Bak kata sahabat setiausaha baru  menggantikan saya, Nurul Salwan Sudirman, tertubuhnya alumni Warisan selama 20 tahun ini umpama lahirnya seorang anak.

Ya, tepat sekali. Kepuasan maksima!

Ini adalah "anak komuniti" saya yang kedua selepas kelahiran "anak pertama komuniti" saya iaitu Buku Bukan Sekadar Homeschooling yang lahir pada 27 November 2017.

Bayangkan sebenarnya, fokus saya terpecah dua pada ketika itu (sebenarnya 4 pecahan) sepanjang akhir tahun lepas. "Pecah kepala" saya bukan biasa-biasa. Mengenangkannya, saya pernah jatuh terbungkam kerana keletihan yang amat sangat. Laa hawla wa laa quwwata illa billah. Tidak menyangka yang saya dapat melepasi ujian dan semua cabaran ini dengan airmata.

Akhirnya, saya sempat melahirkan "2 anak" pada tahun 2017 (sebenarnya 3 iaitu ; Busybook KIK, Buku Pertama #bukansekadarhomeschooling & Alumni Warisan) dan lagi "2 anak" (mungkin 3 anak juga iaitu ; Kad Imbas Khadijah terbitan baru, Poster Hijaiyyah & Buku Kedua #diariinspirasisukamengaji) akan lahir dalam tahun 2018 ini insha Allah.

Ia satu pengalaman yang indah buat saya. Sangat indah yang tersimpan jauh dalam lubuk jiwa. Manis, masam, pahit, kelat semuanya saya hadami dengan baik di sepanjang proses ini. Pengalaman terbesar saya seumur hidup ini.

Jika ditanya mengapa saya "sengaja mencari pasal" dengan menawarkan diri untuk menjayakan proses pendaftaran alumni sekolah setelah 20 tahun ini, saya ada satu cerita yang ingin dikongsikan di sini.

.

Pada satu ketika, saya pernah bermimpi saya bertemu arwah Mudhirah, Allahyarham Ustazah Zaiton Atan (pengetua terakhir KTAM dan juga orang pertama yang mula-mula membuka SMKAJB). KTAM dinaiktaraf menjadi SMKAJB. Beliau meninggal dunia pada akhir tahun 2008. Semasa itu saya sedang sarat mengandungkan anak sulong, Fathi. Saya ingat lagi bila mana balik dari melawat jenazahnya (saya dapat mencium dahinya selepas dikafankan) saya jadi longlai tidak boleh berjalan setibanya di rumah. Ya, dengan perut memboyot itu suami saya angkat bawa masuk dalam rumah, saya tak mampu bergerak walau seinci. Seperti mayat hidup. Selepas abah meruqyah saya, barulah saya dapat bangun dan dapat bercakap seperti biasa.

Saya ada ikatan yang kuat dengan beliau sejak dari sekolah dulu. Adakala, beliau menemani saya makan di dewan makan asrama semasa saya rindukan emak abah di rumah. Beliau juga merupakan sahabat seangkatan dengan abah saya ketika belajar di Al Azhar Mesir dahulu. Beliau yang dikenali sangat rapat dengan semua pelajar. Seorang pendidik berhati ibu buat kami semua di KTAM. Al fatihah.

.

Selang beberapa tahun selepas beliau meninggal dunia, saya bermimpi solat berjemaah bersamanya di satu masjid yang tersergam indah! Batu-batunya tersusun rapi dan putih keemasan lagi berkilau. Dindingnya tinggi menjulang. Semuanya mar-mar yang berkilauan.

Saya agak terpesona dengan keindahan masjid itu tapi saya tak pasti entah di mana. Saya salam cium tangan ustazah dan bertanya khabarnya. Saya tahu beliau dah lama meninggal dunia semasa itu. Dia tidak membalas soalan saya. Dia hanya tersenyum manis memandang saya dengan wajah yang sangat bersih dan mengucapkan terima kasih tanpa suara yang kedengaran. Saya hanya tahu dia berterima kasih.

Saya tidak faham. Tiba-tiba saja dia mengucapkan terima kasih. Mengapa pula? Perasaannya seperti saya telah berjaya melakukan sesuatu dalam masa yang sama sangat syahdu kerana dapat berbuat 'sesuatu' melihatkan masjid itu. Saya sendiri pun tak pasti 'air tangan' saya yang mana sehinggakan masjid sebegitu indah dapat didirikan. Saya ini bukan arkitek. Walhal, semasa itu saya hanya seorang surirumah hingga sekarang. Selepas itu, saya terjaga azan subuh.

Saya bangun dengan perasaan yang lucu tetapi tidak lucu. Sayu lagi syahdu merindukan sosok tubuh setiap aidilfitri saya dan kawan-kawan lain akan berhari raya di rumahnya.. Saya gembira melihat beliau gembira dan sihat-sihat saja 'di sana'.

Akhir tahun lalu, semasa saya berada pada tahap tekanan terhebat dan amat letih seperti mahu give up, tiba-tiba saya teringat mimpi ini. Saya meneruskan langkah sedaya yang mampu kerana mimpi ini. Selepas tarikh 23 Disember 2017, barulah saya dapat memahaminya. Perasaan yang sama saya rasakan. Masih terbayang wajahnya yang gembira.

Inilah sebabnya mengapa saya membuat alumni gabungan bekas pelajar SMKAJB dan Kolej Tunku Ampuan Mariam (KTAM). Idea ini datang tak semena-mena semasa saya menyediakan kertas kerja penubuhan alumni Warisan. Asal idea tidak ada alumni KTAM tetapi saya memasukkannya sendiri dan kemudian apabila saya membentangkannya kepada tuan pengetua juga beliau sambut baik sekali cadangan ini dan semua kertas kerja yang saya kemukakan.

Ibarat orangtua yang menebas rumput dan hutan belantara yang tebal untuk mencari dan mendirikan tapak rumah, saya menganggap diri saya sebagai orangtua itu. Dan kini, biarlah orang yang lebih muda lagi berkarisma menyambung perjalanan ini untuk menghias dan membentuk rumah tersebut dengan segala kebaikan dan keindahan.

Cukuplah 4 bulan ini saya menjalani turun naik hormon bersama anak-anak yang memerlukan perhatian juga. Saya perlu kembali 'normal' untuk satu jangkamasa terkehadapan dengan komitmen baru yang perlu saya pegang.

Suami saya berkata, "Adakala, apa yang telah berlaku di masa lalu perlu dilepaskan dan berpegang pada realiti kita pada masa akan datang."

Makanya, saya perlu memilih komitmen saya bersama alumni atau komitmen saya bersama Telaga Biru dan anak-anak saya yang lain.

Realiti yang harus dipegang. Dan saya memerlukan ruang untuk fokus kepada bidang lain pula.

Semoga semua amalan baik dan usaha kita semua demi kebaikan ramai ini diberkati Allah dan menjadi jariah yang berpanjangan, insha Allah.

Selamat maju jaya buat Persatuan Warisan Alumni SMKAJB Johor Bahru!
Walaupun nama saya tiada dalam organisasi, tetapi semangat dan jiwa saya masih bersama kalian. All the way to go! Bittaufiq wannajah.




#diariseorangsurirumah






1 ulasan:

Siti Rohaida Yusof berkata...

rumit jugakkan nak mendaftar ..Tapi bila dah semua dibuat dengan kerjasama,insyallah..yang susah menjadi senang...

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor