رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Selasa, 12 Disember 2017

# anak # homeschooling

Faham al Quran ~ Tidak semua perkara boleh dilukiskan



Apabila menerima beberapa soalan berkaitan bahasa arab dan maknanya di dalam al Quran, saya sering merujuk kepada abah saya yang juga seorang pakar bidang dalam ilmu ini. Abah mempunyai lebih banyak ilmu dan pengalaman serta sumber kitab yang lebih sahih dalam asal bahasa arab yang menjadi rujukannya.



Makna "Ittaqa"

1. يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ الرِّبَا أَضْعَافاً مُّضَاعَفَةً وَاتَّقُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ . وَاتَّقُواْ النَّارَ الَّتِي أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ

Soalan mengenai perbezaan makna "wattaqu" yang terdapat dalam surah ali imran ayat 130 dan 131 membawa 2 maksud yang berbeza. Satu ayat bermaksud "bertaqwalah" manakala lagi satu ayat membawa maksud "peliharalah". Mana satukah makna yang sebenar?

Abah : Asal makna "wattaqu" ialah "ittaqa" yang bermaksud takutlah. Inilah keindahan bahasa arab, satu perkataan boleh membawa banyak makna bergantung konteks ayat dan i'rabnya. Dengan takutlah baru manusia akan berhati-hati untuk ambil riba'. Jika manusia itu tak takut, mestilah manusia akan ramai yang kejar keuntungan.

Kerana itu maksud ayat pertama itu lebih kepada bertaqwalah melalui rasa takut. Asal makna. Diikuti ayat kedua, "peliharalah". Kalau manusia yang ada rasa takut, mesti dia akan pelihara diri dia dari api neraka. Kerana itu, maksud yang kedua "taqwa" tu lebih kepada rasa memelihara kerana adanya rasa takut tadi.


Makna "An Najmu"

2. وَالنَّجْمُ وَالشَّجَرُ يَسْجُدَانِ

Dalam ayat nombor 6 surah ar rahman, perkataan "an najmu" ialah tumbuhan. Padahal, dalam surah lain atau makna sebenar "an najmu" maksudnya bintang. Mana satukah makna sebenar?

Abah : "An najmu" ada dua makna. Satu, bintang. Satu lagi tumbuhan melata (yang tidak berbatang). "Asy syajaru" ialah pokok yang berbatang (bukan tumbahan melata). Jadi, maksud ayat 6 ini ialah kedua-dua jenis tumbuhan melata dan tak melata (pokok berbatang) pun tunduk sujud kepada Allah.


Ketika ini, saya teringat ia sama kes seperti maksud nama anak keempat saya, Farihin, yang mempunyai 2 maksud berbeza di dalam al Quran. Satu, dalam surah as-syu'ara ayat 149 yang bermaksud "dengan bijak dan bersungguh-sungguh".

وَتَنْحِتُونَ مِنَ ٱلْجِبَالِ بُيُوتًا فَٰرِهِينَ

Manakala dalam surah ali imran ayat 170 membawa maksud "mereka dalam keadaan gembira" (orang-orang yang gembira).

فَرِحِينَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِٱلَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا۟ بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Sungguh, indahnya bahasa syurga ini! Sangat berseni dan mempunyai banyak ilmu bersamanya.

Carian makna di dalam al Quran melalui Google tidak boleh didapati dengan betul dan benar jika kita tidak tahu ilmu alatnya. Pentingnya untuk mempelajari dan mengetahui paling kurang pun asas bahasa arab sebegini.

Lalu, abah bertanya mengapa soalan begini boleh timbul? Abah hanya mahu tahu duduk perkara sebenar.

Saya menerangkan sebelum ini penyoal memberitahu yang dia mahu menerangkan maksud ayat ini kepada anak kecilnya supaya dapat digunakan dalam perbualan harian. Kerana itu dia mahu tahu mana satukah maksud yang sebenar.

Di sisi yang lain, ada juga satu kaedah di zaman ini yang menggunapakai lukisan bagi mewakili maksud ayat al Quran bagi tujuan memudahkan anak faham dan menghafaz al Quran.

Kata abah, "Oh, itu bahaya tu! Tak semua perkataan dalam al Quran boleh digambarkan, apalagi dilukis. Jangan mudah terpengaruh dengan cara barat. Orang barat memang banyak kaedah tapi tak semuanya kena dengan cara Islam sebenar. Bahasa Arab ada i'rab. Bahasa Inggeris ada i'rab tak? Belum lagi masuk wazan. Kena tahu ilmu alat untuk faham al Quran."

Ya. Saya tak pasti bagaimana kaedah ini berasal.

Pernah juga satu masa dahulu saya cuba menggunapakai kaedah begini. Anak-anak saya juga suka melukis. Hakikatnya, semua anak kecil sukakan lukisan. Tetapi saya agak was-was dan tidak sedap hati untuk meneruskannya.

Bilamana tiba pada ayat seperti jalan yang lurus, tidaklah boleh saya gambarkan kepada anak samada jalannya seperti jalan tegak bertar atau jalan bengkang-bengkok yang selalu kita nampak di dunia ini. Serba salah saya.

Bagi ayat "Mizan" pula tidaklah boleh saya gambarkan kepada anak sama seperti dacing umno pula. Saya sendiri tidak tahu neraca Allah itu bagaimana. Jalan ke syurga atau neraka itu bagaimana. Saya beriman kepada yang ghaib tetapi saya tak tahu bagaimana harus digambarkannya kerana saya belum melihatnya.

Hakikatnya, timbangan Allah takkan serupa dengan timbangan manusia. "Siratol mustaqim" pula tidak akan sama seperti jalan lurus yang kita lihat di dunia ini.

Prinsip asas : Sesuatu yang ghaib tidak boleh digambarkan sama seperti di dunia. Di dalam al Quran mengandungi banyak perkara ghaib yang kita beriman kepadanya tetapi tidak boleh kita gambarkan sama seperti keadaannya di dunia.

Kerana itu, lebih selamat untuk mengajar anak menghafaz ayat-ayat al Quran hanya dengan mengulanginya dan mengingati nombor ayat atau lajurnya atau mukasuratnya sahaja.

.

Di sini juga, saya ingin mengingatkan bahawa syaitan juga tidak boleh digambarkan. Ia termasuk dalam perkara ghaib. Mohon majalah tersohor di Malaysia yang menerbitkan majalah mengenai "syaitan" tidak lagi menerbitkannya. Walaupun isinya baik dan betul, menggambarkan syaitan dengan wajah-wajah tertentu amat menyalahi aqidah. Bila anak saya bertanya tentang isu HANTU, saya akan berhadapan dengan isu "anak pernah nampak syaitan" melalui pembacaan majalah syarikat tuan/puan. Mohon jangan begitu.

.

Ilmu alat dalam memahami al Quran juga harus kita cakna dan mengikutinya dengan penuh tertib. Di dalam al Quran mengandungi banyak ayat muhkamat dan mutasyabihat.

هُوَ الَّذِيْ أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ ءَايَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَـأَمَّا الَّذِيْنَ فِي قُلُوْبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُوْنَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِـغَاءَ الْفِـتْنَةِ وَابْتِـغَاءَ تَأْوِيْلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيْـلَهُ إِلاَّ اللهُ وَالرَّاسِخُوْنَ فِي الْعِلْمِ يَقُوْلُوْنَ ءَامَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُوْا اْلأَلْبَابِ ءال عمران : 7

Maknanya : "Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur'an) kepada Muhammad. Di antara (isi)nya ada ayat-ayat muhkamat, itulah Umm Al Qur'an (yang dikembalikan dan disesuaikan pemaknaan ayat-ayat al Qur'an dengannya) dan yang lain ayat-ayat mutasyabihat. Adapun orang-orang yang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya sesuai dengan hawa nafsunya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (seperti saat tibanya kiamat) melainkan Allah serta orang-orang yang mendalam ilmunya mengatakan : "kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu berasal dari Tuhan kami". Dan tidak dapat mengambil pelajaran darinya kecuali orang-orang yang berakal". (Surah Ali Imran : 7)

Ayat muhkamat ialah ayat yang boleh diketahui dengan jelas makna dan maksudnya. Manakala, ayat mutasyabihat ialah ayat yang tidak jelas maknanya. Atau yang memiliki banyak kemungkinan makna dan pemahaman sehingga perlu direnungkan agar diperoleh pemaknaan yang tepat yang sesuai dengan ayat-ayat muhkamat.

Tidak semua ayat boleh jelas difahami mengikut logik akal manusia apalagi boleh digambarkan.

Berhati-hatilah.

Tahu limitasi kita.

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

Didik anak kecil kita dengan asas Aqidah yang benar dan berpeganglah kepadanya.


#sampaikanlahkebenaranwalaupunianyapahit
#bersamamenjagakesucianAlQuran
#noteswithlove

Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor