رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Jumaat, 29 Disember 2017

# buku # falsafah

Bagaimana menulis secara organik?




Mendapat sokongan daripada ramai sahabat dan follower di sini kerana memiliki buku pertama saya #bukansekadarhomeschooling amat memberikan saya satu semangat yang sukar diungkapkan.

Malah, saya menerima banyak soalan yang sama semasa mereka memegang naskhah ini.

"Rajinnya awak menulis! Tebal buku ini."

"Macamana nak menulis? Sibuk memanjang! Tak sempat apapun."

"Teringin nak buat buku macam awak juga. Tapi tak pandai menulis."

.
.
.

Sebenarnya, saya bukanlah seorang yang rajin menulis.

Saya tidak update facebook status saya setiap hari.

Saya juga tak sempat menulis setiap hari.

Saya tidak upadate blog saya juga setiap hari.

Saya juga sibuk dengan banyak perkara di dalam dan di luar rumah bukan saja anak-anak tetapi banyak perkara melibatkan beberapa NGO yang saya anggotai. Kadangkala, buat home visit.

Saya juga asalnya tak pandai menulis. Hanya menulis sesuatu yang emosional. Menulis hanya sebagai terapi bagi saya memastikan tahap kewarasan saya sebagai seorang surirumah..

Boleh baca blog saya 4-5 tahun sebelum ini. Anda akan nampak perbezaan penulisan saya di blog dan fb.

Namun, hanya satu matlamat saya sejak dari dulu iaitu saya mahu ada buku sendiri satu masa nanti.

Pertamanya, saya tidak pernah mahu mempunyai buku pertama ini dalam genre parenting. Pernah terdetik, tetapi saya merasakan saya bukanlah orangnya kerana saya tidak layak. Terlalu banyak tokoh perseorangan yang lebih baik dan bagus berkongsi mengenai tip-tip parenting di fb yang menjadi viral. Tetapi saya, tidaklah dikenali seramai mereka yang selalu mendapat post yang viral.

Saya hanya berniat untuk membukukan pengalaman mengajar mengaji anak-anak sendiri dan anak-anak murid. Tetapi, ternyata perancangan Allah mengatasi segalanya. Dia mengizinkan saya membukukan pengalaman saya mendidik anak-anak pula walhal bukanlah bermaksud saya ini sudah berjaya mendidik anak-anak sama sekali. Bukan.

Sebelum ini juga saya pernah mengikuti kursus penulisan denga beberapa kaedah. Tetapi kebanyakannya tidak menepati kemampuan dan keupayaan saya sebagai seorang surirumah.

Anda akan faham mengapa saya katakan begitu jika anda juga seorang surirumah tanpa pembantu rumah dan menguruskan semua perkara secara berdikari. Dengan anak-anak yang masih lagi kecil dan berderet serta memerlukan perhatian sepenuhnya dalam usianya membesar kini, saya tidak mahu menulis sesuatu yang saya tidak lakukan dan amalkan.

Bekerja "bersama anak-anak" 24/7 di hadapan mata amat mencabar untuk kita mempunyai ruang dan masa berada di hadapan laptop dan menulis. Ia berbeza dengan seseorang yang bekerja di pejabat yang mempunyai ruangnya sendiri dan adakala mampu mengadakan sedikit masa rehat untuk menulis walau hanya dalam tempoh 5 minit.

Tetapi, apabila berada di rumah, limitless dan spaceless.

Ini bukan alasan tetapi inilah kenyataannya. Saya faham itu.

Jadi bagaimana mahu menulis jika semua kenyataan di atas mencabar masa 24 jam yang kita ada?

1. Tidur awal sebelum jam 11 malam dan bertahajudlah di akhir malam.

2. Mulakan hari anda 1-2 jam lebih awal sekitar jam 4-5 pagi untuk menulis selepas solat tahajud.

3. Di dalam solat tahajud adanya ketenangan untuk anda menulis dan mencetuskan idea.

* Semasa ini, saya perlu mengakui anak kecil saya Farihin (2 tahun) akan sering terjaga kerana saya tiada di sebelahnya. Maka, bersabarlah. Dan tarik nafas panjang-panjang apabila idea sedang berkoyan-koyan dan kita terpaksa berhenti sebentar menidurkan anak kecil kembali.

4. Lazimi solat dhuha. Kerana di dalamnya ada "latihan kesabaran" yang tertinggi.

5. Menulis setiap apa yang mahu dikongsikan di facebook saja dulu. Tidak semestinya setiap hari kerana hakikatnya anak-anak perlukan perhatian kita melebihi facebook dan instagram.

6. Pastikan tujuan kita menulis untuk berkongsi sesuatu isu/moral yang kita pelajari setiap hari daripada anak-anak walaupun tanpa perlu upload gambar anak-anak setiap hari. Sesuatu yang meaningful dan mendalam yang berlaku dalam hidup anda.

Ya, tidak semestinya setiap hari.

Kerana bagi saya sendiri, hanya bercakap (baca : menulis) hanya apabila perlu. Lebih banyak kita bercakap, lebih banyak kesalahan yang mungkin terjadi, lebih banyak hati yang mungkin kita cederai/sakiti tanpa kita sedari. Bercakaplah hanya apabila perlu.

7. Di setiap komen pembaca ambil perhatian kerana biasanya komen yang berbentuk perbezaan pendapat pasti akan membuahkan satu lagi tajuk kecil di bawahnya.

Jangan sesekali block follower kita, tetapi uruskan dengan sebaiknya apa jua perbezaan pendapat yang terjadi.

8.Simpan semua penulisan di facebook ke dalam blog anda setelah pencerahan dibuat. Facebook akan hilang bila-bila masa.

Jangan menulis dengan membiarkannya berlalu pergi begitu saja di wall anda dimamah masa. Buat back up dan simpan. Sebaiknya adalah blogspot (murah dan mudah). Mulakan dengan apa yang ada.

9. Usah sesekali runsingkan atau takut-takut mahu menulis hanya kerana "tiada siapa" yang like atau share atau singgah baca blog kita. Jangan runsingkan sama sekali!

10. Atas semua perkara di atas, apa yang lebih utama ialah mulalah belajar menulis dengan tulisan huruf yang penuh dan tatabahasa yang betul. Walaupun ada ayat tunggang langgang, tak mengapa. Belajar menulis dengan susunan yang mudah difahami pembaca.

Sentiasa pecahkan tulisan mengikut perenggan. Tulislah dalam 1-2 ayat dan kemudian mulakan perenggan baru. Atau 3-4 ayat dan kemudian pecahkan kepada perenggan baru.

Biar pendek-pendek perenggannya. Pembaca akan malas membaca tulisan anda jika perenggannya terlalu panjang dan anda menggunakan singkatan huruf seperti tulisan remaja sekarang ini. Jangan begini!

11. Dalam tempoh masa akan datang (4-5 tahun) anda susun semula semua tajuk yang sudah dikumpulkan di blog. Dan ambilkira apakah bentuk penulisan yang anda cenderung menulis yang terkini. Apakah post yang paling mendapat share terbanyak (walaupun tak viral) dan susun semula semua tajuk-tajuk ini.

Jadikan ia bab-bab utama dan hantarlah ke rumah penerbit yang bersesuaian dengan konsep penulisan anda.

12. Jika manuskrip ditolak?

Its ok. Alhamdulillah. Allah sedang mengajarkan kita tentang kesabaran dan mahu kita keluarkan lagi sisi terbaik dari dalam diri kita.

Senyum. Dan teruskan saja menulis seperti biasa. Buka semula blog catatan yang lama dan jernihkan semula penulisan yang sudah tersedia. Tidak semua post yang dikongsikan perlu dijadikan manuskrip. Pilihlah dengan cermat perkara bab yang paling memberi nilai yang tinggi kepada pembaca.

Jika manuskrip diterima, sentiasa berlapang dada menerima kritikan dan pandangan sisi baharu daripada penerbit & editor. Ini paling penting! Sentiasa ada semangat ingin belajar dan memperbaiki diri. Jangan sesekali berasa tulisan kita sudah tiptop sampai perlu berkeras tidak mahu menambahbaik ilmu penulisan bila diminta ubah. Dengar cakap editor! Hehe.. Sentiasa ada ruang perbincangan.. Bila kita menghormati pekerjaan orang lain dengan memberi sepenuh kepercayaan kepada ahli dalam bidangnya, orang lain juga akan memberi penghormatan yang sama kepada kita dan boleh bertolak ansur dengan beberapa perkara yang kita mahukan. Percayalah, tiada apa yang tidak boleh dibawa berbincang. 

13. Jadikan diri kita ber"minda" penerbit buku. Kita mahu berkongsi nilai yang baik dan unik kepada pembaca dalam masa yang sama kita tidak mahu penerbit menanggung rugi jika buku kita ini sejenis yang biasa-biasa saja.

14. Nyalarasa yang tinggi untuk terus menulis perlu dihidupkan tidak kira ia mengambil masa berapa tahun mahupun kita sedang berhadapan dengan apa jua isu dan cabaran pun.

Setiap daripada kita ada jalan cerita yang berbeza. Allah sebaik-baik Penulis dalam hidup ini, terjemahkannya untuk memberi nilai yang sama kita pelajari kepada orang lain.

15. Mohon Allah bimbing hati ini melalui amalan solat sunat dhuha dan tahajud. Kunci utama memperoleh ketenangan dan kesabaran menghadapi cabaran setiap hari yang melelahkan malah tahun demi tahun yang menguji kekentalan dan istiqamah diri.

Adakala, kita merancang untuk buku A diterbitkan, dalam tempoh masa 5-10 tahun itu, Allah lorongkan kita untuk menulis sesuatu yang akhirnya buku Z diterbitkan. Indahnya perancangan Allah.

Yakin akan ketentuanNya.

Mempunyai buku sendiri bukanlah hanya matlamat akhir semata-mata tetapi menulis itu sendiri sebenarnya adalah satu proses. Nikmatilah apa jua proses melaluinya! Kelak, pelangi indah akan muncul di hujung hari.

Better late than never.

.

Menulis bukan kerna viral,

Khadijah Gani
Penulis organik manuskrip 9 tahun
Buku Bukan Sekadar Homeschooling

Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor