رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Khamis, 14 September 2017

# anak # falsafah

Anger management & Buli



Bagi sesiapa yang membaca post saya mengenai "Kawal Emosi" ini adalah sambungannya..

"Mak, kalau abang beritahu mak sesuatu dengan jujur, mak marah tak?"

"Tak. Mak takkan marah kalau abang berterus terang dan jujur dengan emak walaupun perkara tu sesuatu yang pahit. Asalkan abang jujur, insha Allah mak boleh terima."

"Harini abang dah buat sesuatu yang paling mak tak suka abang buat. Abang tahu mak mesti takkan suka punya. Tapi abang dah tak ada pilihan lain masa tu."

Mak terkejut. Cuak juga.

"Abaaaanggggg.. Abang belasah anak orang ke?"

Geleng.

"Abang tampar anak orang ke?"

Geleng.

"Abang tumbuk anak orang?"

Senyap. Matanya ke kiri dan ke kanan sambil mulutnya diketap rapat.

Tahulah emak.

"Ya Allah abang.. Macamana boleh jadi macam tu? Apa yang jadi sebenarnya?"

"Mak tak marah?"

"Tak. Mak tak marah sebab abang berterus terang dengan mak. Tak rahsiakan dari mak. Itu dah bagus tapi tumbuk orang tetap salah dan tak bagus. Mak tahu mesti ada sesuatu yang jadi puncanya.. Sebab orang takkan naik marah tanpa sebab tak tentu pasal kan, Mak cuma nak tahu apa yang jadi sebabnya."

"Buat pertama kali dalam hidup abang, abang rasa marah sangat! Abang akhirnya tak dapat kawal diri dari nak tumbuk dia! Sebab abang kena tumbuk dulu kat perut. Masa abang bagi dia tumbukan abang ni pun abang rasa mengalir airmata ni sebab abang taknak buat tapi terpaksa buat!" Fathi tunjukkan sebuku limanya sambil kesat airmata.

"Ya Allah abang. Sakit tak dia tumbuk kat perut? Kenapa abang tak keluar je beritahu cikgu? Jangan layan orang ajak bergaduh, bertumbuk. Nanti lagi teruk jadinya. Haritu abang berjaya kawal emosi tu dah bagus dah. Mak bangga abang dapat kawal diri. Tapi mak akan kecewa kalau abang tak dapat kawal diri."

"Macamana nak keluar mak. Abang nak lari ikut pintu belakang tapi geng dia ada lagi 2 orang, S  pegang tangan abang ke belakang gini pastu E tarik baju abang kat belakang. Pastu si D tu datang tumbuk abang kat perut. Sakit jugaklah. Abang rasa macam nak mengalir airmata jugak tapi abang tahan."

Mak hilang nafas buat seketika.

Ya Allah... Astaghfirullah.

"Meh mak tengok.. Ada lebam tak?"

Fathi menunjukkan tempat dia kena tumbuk tadi.

"Tak ada lebam pun. Abang ada rasa sakit tempat lain tak? Abis lepas abang tumbuk dia, dia pun mesti rasa sakit jugak kan? Dia menangis tak? Tak ada orang lain yang tolong abang bila nampak abang kena pukul? S tu kan pernah mengaji dengan mak, dia baik budaknya. Takkanlah dia boleh pukul abang. Abang kan pernah pergi rumah dia. Main sama-sama.."

"Budak-budak tu tak menangis. Cuma abang nampak S keluar airmata jugaklah. Baru dia tahu betapa kuatnya tangan abang ni bila abang dah hilang kawalan. Dia pegang tangan abang ke belakang masa tu. Dia yang paling dekat jadi kenalah tumbukan abang dulu sebab dia pegang kuat sangat. Pastu abang tak tahan sangat kena tumbuk tu. Abang nak lepaskan diri. Kawan-kawan lain ingat abang main-main dengan budak-budak tu. Diaorang pun tak buat apa. Masa tu cikgu tak ada. Cikgu tak bagi keluar kelas. Tu yang diorang yang jaga kelas tu tak bagi abang keluar."

"Oooo jadi, abang tumbuk diorang sebab nak mempertahankan diri je sebab diorang yang tumbuk abang dulu? Boleh mak tahu sebab apa dia tumbuk abang dulu?"

Dari awal mak tahu mesti ada sesuatu puncanya. Mak tak mahu melulu salahkan anak orang lain saja.

"Sebab asalnya kan abang yang buat geng komik dengan diorang. Lepas tu si D nak jadi ketua. Dia taknak ikut abang jadi dia keluar geng abang, dia ajak lagi 2 orang tu masuk geng dia. Lepas tu abang kan ada idea banyak. Dia cuma lukis komik lawa je. Tangan bazuka dia lukis memanglah lawa. Tapi bila dia tak ada idea, dia nak rampas kertas perancangan rahsia komik yang abang buat ni. Abang tak bagi. Dia nak curi idea abang! Tu yang diorang pegang abang, pastu pukul perut abang."

"Astaghfirullahal 'aziiimmmm... Pasal komik ni je sampai bertumbuk?! Hmmm, ni yang mak pun rasa MACAM nak hilang kawalan nih."

Kuuuussssssmangattt! Juling-juling mata mak mendengarnya.
Mak pause sekejap.
Cari air nak minum.
Takut mak pulak kang yang gagal kawal emosi. Hoho..

Baiklah. Mak fikir daripada mencari salah mana-mana pihak dan terus melatah, baiklah mak analisa bersama abang apa yang baik dan apa yang tak baiknya yang boleh dijadikan pengajaran.

"Abang,

1. Abang kena tumbuk sampai rasa sakit kat perut tu dah tak bagus sebenornya sebab kita tak boleh biarkan orang lain sentuh kita apalagi cederakan kita secara fizikal. Ni nasib baik tak ada lebam, keluar darah atau apa-apa luka.

2. Mempertahankan diri sebab kena tumbuk dulu tu boleh diterima. Sebab kita taknak orang lain sakiti kita lagi. Kalau dah itu je pilihan yang tinggal. Tapi janji, sekali je mempertahankan diri. Lepas tu jangan sambung panjang berbalas tumbukan lagi. Stop sampai situ ok. Abang tumbuk sekali pastu mujur dia tak balas tumbukan abang. Kawan-kawan abang pun dapat kawal diri dengan baik sebab tak berbalas tumbukan itu langkah yang bagus. Jadi benda ni tak jadi lagi teruk.

3. Akhirnya abang gagal kawal emosi dan terus naik darah tu mak faham sebab mana-mana manusia pun akan ada perasaan marah bila diajak bergaduh banyak kali. Banyak kali dah sebelum ni diorang ajak abang bergaduh kan tapi abang tak layan kan. Abang dapat kawal diri. Cuma kali ni je abang betul-betul tak boleh tahan dah. Ok tak apa. Mak faham. Tapi, janji dengan mak, lain masa nanti kalau jadi macam ni lagi abang cuba kawal semula emosi dengan baik ok. Selalu fikir masa depan. Kalau berbalas tumbukan keadaan akan jadi lagi teruk. Lepas tu kita semua akan menyesal. Sampai tua rasa menyesal tu akan abang rasa tau.

Jadi, kalau diorang ajak bergaduh lagi, terus lepaskan diri atau jarakkan diri daripada diorang dan terus pergi pejabat jumpa guru besar atau mana-mana cikgu yang ada kat situ. Sentiasa jujur dan beritahu perkara sebenar walaupun itu memang ada salah kita. Jujur je. Cikgu akan tahu yang abang sedang mempertahankan diri.

4. Lepas ni bubarkan geng komik abang tu kat sekolah. Tak perlu lagi buat geng itu geng ini kat sekolah. Kalau abang betul nak terbitkan komik sendiri, mak akan cuba tolong abang. Kita usahakan sendiri. Tapi tak perlu beritahu kawan-kawan ajak diorang sekali. Sebab bila ramai orang, banyak fikiran, banyak tindakan ambil sendiri, akan banyaklah nanti yang nak digaduhkan. Itu tak bagus. Jadi, baiklah dibubarkan. Abang tak rugi apapun.

5. Tumbuk anak orang tetap salah dan tak bagus sebab kita cederakan orang lain. Mana tahu dia ada sakit lain, sebab abang tertumbuk dia sikit je nanti dia boleh masuk hospital atau meninggal dunia lagi teruk jadinya. Masa depan abang nak buat komik sendiri tu langsung dah tak ada harapan dah sebab polis tangkap. Masa tu mak pun akan sedih dan kecewa dengan abang. Abang dah tak boleh jumpa mak lagi. Sedih tak? Jadi, selalu fikirkan masa depan kita. Apa kita buat harini semuanya ada kaitan dengan masa depan kita. Hati-hati!

6.  Sebab tumbuk orang tu salah, jadi abang pilih nak mak bawakkan pergi rumah S jumpa emak S dan mengaku minta maaf atau esok kat sekolah jumpa S minta maaf sendiri sebab abang hilang kawalan harini sampai tertumbuk muka dia. Mana satu? Abang pilih. Tak kira kita betul atau salah, apa yang salah tetap salah dan kita kena minta maaf! Kita pun bukan sentiasa baik dan betul. Orang lain pun bukan selalunya jahat dan salah.

7. Mulai harini abang kena doakan kawan-kawan abang supaya jadi baik dan jadi anak yang soleh setiap hari. Abang terlupa ni nak doakan kawan-kawan abang. Asyik doakan diri abang sendiri nak buat komik je kot.

Kan mak pernah beritahu abang, tak ada sorang pun dalam dunia ni yang dilahirkan je jadi jahat atau suka buli orang lain. Tak ada! Mesti ada sebab kenapa seseorang tu belajar suka kacau orang atau cari gaduh dengan orang lain kat sekolah. Mana tahu kat rumah dia jadi sesuatu misalnya mak ayah dia selalu bergaduh dan menjerit kat dia. Kesian kan dia? Nak duduk rumah pun tak tenang.

Abang kena bersyukurlah mak dan abah tak bergaduh. Mak kesian kat S tu. Dia tu pernah mengaji dengan mak. Mak tahu dia budak baik. Cuma mak tak sangka sampi hati dia buat abang macam tu. Masa dia sakit kat sekolah dulu kan abang yang tolong angkat dia pimpin dia naik van. Tapi tak apalah. Nanti dia belajar dari kesilapan dia. Abang pun belajar juga. Kesiankan kat dia. Maafkan dia dan minta maaf dari dia. OK?

Senyap.

"Nanti abang fikirkan dulu mak."

Mak pun senyap.

.

Semasa makan tengahari, saya memaklumkan kepada suami.

Abahnya terkejut sama seperti saya tadi dan mula bertanya cerita sebenar. Berceritalah dia sekali lagi.

Setelah selesai cerita, abahnya kelihatan tenang saja. Dan senyap. Terus makan seperti biasa. Saya mahu lihat apa pendapatnya.

"Macamana? Awak kan AJK PIBG sekolah. Apa tindakan awak nak ambil? Anak awak kena buli kat sekolah."

"Itu bukan bulilah. Itu budak-budak bergaduh. Kalau buli tu dia kena tiap-tiap hari macam Nobita tu. Sesekali budak-budak memang bergaduh. Nanti pandailah diorang setelkan sesama sendiri. Budak lelaki memang macamtu."

Ok. Walaupun macam tiada emosi di situ (haha!) tapi mak setuju juga point itu. Perbezaan dibuli dan bergaduh. Tapi, ia perlu dikawal juga. Daripada satu pergaduhan inilah boleh menjadi punca buli terus menerus hidup di sekolah.

Mak berfikir, jika beritahu cikgu pun supaya tolong pantaukan budak-budak ni jangan bergaduh kat sekolah, mak percaya itulah yang cikgu pastikan hari-hari kat sekolah. Tiada pergaduhan, tiada komik, tiada buli. Siap ada peti aduan khas yng diletakkan kat sekolah bagi sesiapa yang dibuli. Cikgu-cikgu juga sudah tersedia banyak kerjanya ditambah pula nak pantau seorang demi seorang.. Hanya nak jadi cerita saja harini.

Maka, mak pun berlapang dada dan mengubah aura positif untuk Fathi supaya memaafkan dan saling meminta maaf walaupun ia bukannya 100% kesalahan diri kita.

Teringat mak sekolah rendah dulu. Mak hari-hari balik sekolah menangis atas sejadah sorang diri masa solat Zohor. Hari-hari mak kena buli secara mental dengan orang paling berpengaruh kat sekolah. Tapi mak tak pernah cerita pada sesiapapun walaupun atuk dan nenek. Nenek tanya kenapa mata bengkak macam menangis. Mak selalu cakap tak ada apa. Mak pendam sorang-sorang.

Masa itu, mak betul-betul bergantung pada Allah dan berdoa sungguh-sungguh supaya Allah cekalkan hati mak. Mak doa supaya Allah berikan mak kesabaran yang tinggi dan mak redha sebab mak yakin akan ada hikmahnya satu hari nanti di masa hadapan. Mak tak tahu sekarang tapi mak tahu mesti akan ada hikmahnya.

Mak berbual-bual dengan Allah pujuk hati mak supaya hikmah kemanisannya nanti dapat mak kecapi jugak satu hari nanti dalam masa hadapan. Lepas mak dah nangis banyk-banyak, mak akan tertidur. Bangun dari tidur biasanya mak rasa lega sangat dan tak berdendam pada sesiapa. Allah yang pujuk hati mak dan hadiahkan mak dengan mimpi yang indah. Itu saja yang mak ingat.

Mak doakan Fathi juga diberi kecekalan hati dan latihan ini walaupun kita rasa susah dan sedih sekarang tapi ujian beginilah yang akan mematangkan kita dan didik hati kita berjiwa besar satu hari nanti. Semua yang berlaku Allah datangkan bersama hikmahnya. Allah takkan biarkan sesuatu terjadi dengan sia-sia.

.

Selesai solat maghrib, seperti biasa Fathi mengaji bersama adik-adiknya. Semasa itu, suasana sangat tenang. Mak pun dah bertenang dan mahu baca al-Quran. Sebelum buka al-Quran Fathi berkata,

"Mak, kita kena doakan kawan-kawan kita eh supaya jadi murid yang baik dan anak yang soleh? Walaupun dia sakitkan hati kita sampai kita menangis?"

"Iya. Kita kena sentiasa doakan kawan kawan kita jadi baik. Nanti malaikat akan doakan kita jadi baik sama dan angkat doa kita minta Allah makbulkan. Orang yang paling sakitkan hati kita sebenarnya dialah yang paling perlukan doa dari kita. Jangan berhenti berdoa untuk semua orang."

Fathi mengangguk dan mula mengaji.

.
.
.

Kejadian ini berlaku sebelum cuti sekolah tempohari. Mak sengaja simpan untuk beberapa ketika untuk melihat kesan doa dan tindakan Fathi selepas kejadian itu dan demi mencari hikmah tersembunyi. Mak percaya, jika kita cepat melulu dan mencari salah ramai pihak, banyaklah salah yang kelihatan. Malah, kesalahan diri sendiri tidak nampak. Lalu, apakah hikmah yang kita boleh kutip daripadanya?

Ternyata, kuasa doa itu hebat adanya. Tiada siapa lagi yang mengusik atau cari gaduh dengan abang lagi. Semuanya kembali biasa seperti tiada apa yang terjadi. Kawan-kawan abang pun memaafkan abang walaupun ada seorang lagi yang menjauhkn diri dari abang. Mereka sudah insaf dan mengaku bersalah. Kawan seperti biasa. Geng komik dibubarkan dengan selamatnya tanpa perbalahan lagi.

Mak bersyukur mak tak ikut emosi sangat tempohari. Benar pendapat abah, ia boleh diselesaikan sesama sendiri dan ibubapa perlu kurangkan campurtangan hal anak-anak di sekolah selagi mana ia dalam kawalan dan tidak seteruk mana.

Abang masih dapat berkawan seperti biasa dengan orang lain. Yang nakal-nakal tempohari juga abang kata perangainya dah berubah. Tak mengacau orang lain lagi.

Ya Allah, benarlah doa yang tersembunyi itulah yang paling mustajab, mampu berupaya mengubah seseorang. Bukan kerana hebatnya doa kita tetapi hebatnya Allah yang pada bila-bila masa boleh mengubah hati manusia. Apabila kita kembali kepadaNya, meminta kepadaNya, Dia yang lorongkan hati-hati kita, Dia yang mengawal dan memelihara diri kita dari kejahatan jin dan manusia.

Hikmah inilah yang mak pegang dari kecil dulu. Sehinggalah baru-baru ini mak mendapat hikmah dan pengajaran yang seterusnya demi memahami isu buli ini. Mak berpeluang bertanya pengalaman seorang pengetua sekolah berasrama penuh yang berprestij kebangsaan.


"Cikgu, bagaimana kes buli di sekolah ini? Adakah wujud atau bagaimana?"

"Ada. Selagi namanya asrama pasti ada budak-budak nakal yang suka mengusik orang lain. Itu biasa. Tapi kes terbaru sekarang ini ada seorang pelajar kita baru buang sekolah sebab belasah junior agak teruk. Asalnya budak ni adalah budak yang baik. Pelajar contoh sebab kepimpinan dan akhlaknya baik. Hafaz al Quran. Cuma, dia tak dapat kawal diri bila ada budak langgar peraturan sekolah. Dia hilang kawalan dan ambil keputusan sendiri. Itu silapnya. Sekarang ni, budak budak junior tu tulis surat minta budak tu masuk semula ke sekolah sebab budak tu baik dengan semua orang. Budak tu yang tolong junior tu kalau ada apa-apa.. Cuma dia memang ada masalah nak kawal kemarahan dia je. Itu yang kita takut akan berulang lagi kalau kita masukkan dia semula ke sini. Cikgu sedang menilai semula."

Terang pengetua dengan suara yang sangat sayu.

"Oh, isu anger management ya cikgu?"

"Ya."

Perbualan ini walaupun ringkas cukup mengajar saya mengenai isu buli anak-anak di sekolah apabila saya kaitkan pengajaran yang saya perolehi daripada pengalaman anak sendiri yang kini baru darjah 2 tempohari.

Allahu akbar.

Astaghfirullah..

Kita diajar dan mengajar anak-anak mengenai time management tetapi kita tidak pernah mendidik dan mengajar anak-anak mengenai anger management apalagi diajar mengenainya.

Isu buli hanyalah mengenai anger management.

Melalui pengalaman ini, saya menginsafi bahawa dunia parenting ini bukanlah mengenai akhlak kita dan anak anak kita semata-mata. Menjadi ibubapa kepada anak-anak hari ini usahlah kita mementingkan diri dengan berdoa hanya untuk akhlak dan kejayaan anak-anak kita sendiri sahaja.

Menjadi ibubapa hari ini, bererti mendoakan akhlak dan kejayaan buat anak-anak orang lain juga kerana doa yang sama pasti Allah makbulkan ke atas anak-anak kita sendiri.

Jika anak-anak kita punya banyak isu di sekolah bersama rakan-rakannya, semak semula diri kita. Adakah kita sudah mendoakan kebaikan dan kejayaan anak-anak orang lain hari ini?

Bukan semuanya salah sekolah. Sekolah hanyalah tempat diuji. Bagaimana anger management seorang anak dapat diuji dengan berkesan hanya di sekolah.

Apabila anger management tidak dilatih sejak kecil di rumah, maka bersedialah menghadapinya apabila anak sudah naik sekolah. Sekolah dijadikan penyebabnya.

Buli adalah interpretasi daripada suatu kemarahan yang tidak dapat dikawal dan diri hilang kawalan berhadapan dengannya. 

Apabila anda mendengar cerita budak sekolah membuli sesama mereka sendiri, adakah anda dapat mengawal marah semasa menulis komen di bawahnya? Adakah anda dapat mengawal diri daripada menulis sesuatu yang bersifat menghukum atau memaki hamun seluruh keturunannya?

Semuanya bermula daripada diri kita.

Sejak kecil, emosi anak akan mula terbentuk melalui tantrum.

Semasa anak tantrum itulah masanya latihan pertama anger management bermula. Samada kita dapat mengajar anak untuk mengawalnya atau cair mengikut kehendaknya, tanpa latihan mengurus dan mendidik anger management ini dengan sebaiknya akan memberi kesan kepada tingkahlaku anak di kemudian hari.

Kerana itu, bila anak kerap tantrum pandanglah dari sisi positif. Ianya latihan dan ruang untuk kita mengajar anak menguruskan kemarahannya. Kelak besarnya dia mahir mengawal emosinya sendiri tanpa kita di sisi.

Jika kita hilang kawalan semasa anak tantrum, sama seperti anak yang sedang tantrum itu, maka kita takkan dapat mengajarnya apa-apa malah anak akan terus tantrum dan hilang kawalan sama seperti diri kita.

Semuanya bermula dari diri kita sendiri.

Apabila kita melihat sesuatu yang tidak elok dan viral di media sosial, kita dahulu perlu mengawal diri daripada memberi komen yang menghukum tanpa tahu asal duduk perkara. Jika kita sendiri gagal untuk menahan diri dan mengawal emosi yang sedang bergelojak itu, bermakna jangan salahkan anak-anak apabila dia mula hilang kawalan dan beremosi apabila sesuatu terjadi kepadanya. Berapa ramai komen yang negatif singgah di kotak komen mengenai perkara yang viral itu, jangan terkejut jika ramai lagi kes buli di sekolah akan terjadi kerana sebenarnya isu buli berkaitan anger management.

Ya, sekali lagi ia bermula daripada diri kita sendiri. Kita pilih.

Apabila sesuatu yang tidak elok berlaku pada anak kita di sekolah, bagaimana respon segera kita? Adakah kita dapat mengawal emosi apabila mendengar anak dipukul di sekolah? Atau terus melulu mencari salah pihak lain?

Ya, sekali lagi ianya mengenai anger management diri kita sendiri untuk anak-anak contohi.

Dan akhirnya, adakah terselit doa buat rakan-rakan kepada anak kita sebagaimana kita mendokan kebaikan dan akhlak anak kita di malam hari?

 Jangan pentingkan diri sendiri. Sekali lagi terpulanglah kepada diri kita.

Isu buli perlu difahami yang sebenarnya ia adalah mengenai anger management. Buatlah sesuatu kepada anger management anda! Berlatihlah dengannya. Didiklah anak mengenainya.

Uruskan amarahmu.

#ceriteraanaksekolah
#didikanakabadke21
#didikanakberjiwabesar


2 ulasan:

Siti Rohaida Yusof berkata...

kadang² anak² ni bila diasak dengan ejekan,boleh timbul pergaduhan...ilmu ni kena diambil sebab membesarkan anak dizaman sekarang amat² lah mencabar

Khadijah Gani berkata...

Betul puan. Pergaduhan boleh berpunca dari banyak sebab. Takut anak2 kita hilang kawalan diri. Terjebak tanpa sedar.

#jdtblogger #teambloggerjohor

Follow @khadijah_gani