رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Khamis, 14 September 2017

# anak # falsafah

Buli? Tontonlah Doraemon bersama anak-anak


Selepas makan malam semalam, seperti biasa ada sedikit waktu sebelum masuk tidur. Macam biasa, saya buka TV sebentar untuk tengok berita. Biasanya, di siang hari mahupun malam hari dah tak ada masa senggang pun nak mengadap TV. Tak macam masa anak 1 dan 2 dulu.

Tak sangka pula ada Doraemon the movie : Stand by me. Sekali sekala best juga melayan kartun di malam hari.

Wahhh.. Doraemon ni panjang jangka hayatnya. Bukannya saya tak pernah tengok dulu waktu kecik-kecik.

"Sebab doraemon nilah mak membayangkan tahun 2020 nanti ada kereta terbang, teksi terbang, bas terbang dan rumah terapung di angkasaraya!" Saya mula bercerita.

"Tapi sekarang dah tahun 2017 dah. Lagi 3 tahun bayang kenderaan terbang pun macam tak nampak lagi!" Haha.. Anak anak tak faham apa yang maknya cuba konplen ini. Kikih..

Kali ini menontonnya dengan anak anak. Dahulu, menontonnya sebagai kanak-kanak. Ada perasaan dan persepsi yang berbeza.



Doraemon sebenarnya adalah robot peliharaan cucu kepada Nobita pada abad ke 22. Fakta bahawa doraemon ini berasal dari abad ke 22 itu mencelikkan mata saya bahawa sekarang saya sudah mempunyai 4 orang anak abad ke 21. He he..

Cucu nobita membawanya kembali ke zaman atuknya untuk memperbaiki masa silam (zaman nobita kecil) supaya masa hadapannya kelak akan bahagia dan tidak miskin lagi.

Doraemon dilarang pulang ke abad 22 semula selagi misi membantu atuknya mendapatkan sizuka tidak tercapai. Dan nobita harus belajar untuk berdikari sendiri demi masa hadapannya (cucunya yang datang merentas masa) kelak.

Maka, perjalanan hidup doraemon pun bermula bersama nobita yang terlalu manja dan sering dibuli itu.

Watak giant dan suniyo sangat memberi impak yang tinggi. Tanpa 2 watak ini cerita doraemon mesti tidak akan mendapat sambutan dan panjang umurnya hingga sekarang. Saya berfikiran dengan adanya watak inilah anak anak kecil mahu terus melihatnya selain watak sizuka yang sentiasa comel dan pandai itu.

Namun, ada satu babak yang mengganggu saya. Saya tak terasa apa apa semasa menontonnya satu masa dulu ketika saya bergelar kanak kanak tapi ia sangat memberi mesej yang berlainan buat saya tika ini yang bergelar ibu.

Selalunya, saya tak membenarkan langsung anak anak menonton kartun yang ada aksi pergaduhan melampau.

Ya, anak anak saya tak menonton ultraman lagi. Jika tertukar rancangan ultraman sekalipun mereka akan menukar channel lain sendiri. Mereka tahu ultraman tak bagus. Kesan 'training' saya lakukan beberapa tahun dulu sejak mereka kecil - ajar dulu mengenai ihsan.

Dengan adanya ihsan, mereka belajar untuk menjadi jujur pada diri sendiri. Dan ya... Ihsan boleh difahami anak kecil sejak berumur 4 tahun.

Doraemon pun sepatutnya saya tak bagi tengok kerana ketahyulannya merentasi masa (tapi saya sedar ini hanyalah sebahagian dari imaginasi kanak kanak yang perlu dirai), alat alat canggih dari poket doraemon membuatkan kanak kanak melihat doraemon sebagai tuhan (mahu apa saja - dapat) dan watak nobita sebagai lelaki lembik dan manja. Tapi malam ini entah mengapa saya siap menonton sekali dengan anak anak.

Barulah saya sedar kartun ini adalah hasil imaginasi terlampau penulis dan ia harus diberikan kredit kerana berjaya berimaginasi tinggi merentasi masa hanya melalui laci di meja study.

Saya juga agak terpesona dengan ilustrasinya di TV. Seakan akan 3D. Cantik dan sangat kemas setiap lukisannya. Rumah sizuka di abad ke 22 sangat mempesonakan hingga terlihat bintang bintang yang bertaburan di langit pada lantai air di halaman rumahnya. Elemen elemen seperti inilah yang membuatkan bukan anak kecil saja malah saya yg tua ni pun tak sabar mahu hidup di abad ke 22. Haha!

Well done imagination!

Babak giant bergaduh dan membelasah nobita tanpa sebab di akhir episod ini membuka persepsi baru saya mengenai isu buli yang hangar diperkatakan abad ini.. Habis lembik nobita dibelasah oleh giant.

Nobita jelas wataknya sebagai mangsa buli tegar tanpa perlukan apa apa sebab munasabah namun keesokan harinya mereka masih boleh berkawan dan bermain bersama macam biasa tanpa melibatkan pergaduhan/campurtangan ibubapa masing masing pula.

Selama ini, saya menonton doraemon hanya berasa seronok setiap kali doraemon mengeluarkan peralatan canggih dari poket ajaibnya itu untuk menyelesaikan masalah nobita. Kini, saya sedar sesuatu. Tanpa ada masalah yang berpunca dari giant, saya tak rasa watak dan fungsi doraemon itu akan hidup dan masih menjadi kegemaran anak anak dari abad terdahulu sehingga kini.

Ada baiknya juga watak pembuli giant ini diberi penekanan. Namun, cara pembuliannya itu tidak seorang pun persoalkan dan bangkang demi generasi abad ke 21 hari ini.

Ramai dari kita bising bising yang isu buli sekarang dah semakin berleluasa. Tapi masih membenarkan anak anak kecil kita menonton dan membaca siri kartun doraemon yang jelas terang menganjurkan aktiviti pembulian begini difahami anak anak sendirian tanpa pantauan. Siapakah menjadi puncanya?

Ini yang saya kesalkan.

Selesai episod tersebut saya bertanya kepada anak yang Baru Baru ini bergaduh dan dibuli di sekolah.

"Apa yang abang faham masa giant belasah nobita sampai lembik tadi?"

"Giant seorang pembuli. Suka belasah nobita tanpa sebab. Dia ingat dia kuat."

"Betul. Abang kena ingat! Kita tak boleh beri orang sentuh atau cederakan Badan kita macam nobita. Macam abang haritu kena buli kat sekolah sampai kena tumbuk perut. Dah cukup sekali abang balas tumbukan dia sebab mempertahankan diri. Abang kena bezakan antara realiti dengan kartun.
Nobita tu watak kartun. Dia kena belasah banyak kali dengan giant sampai lembik pun dia boleh bangun lagi berusaha lawan sampai giant mengaku kalah sendiri.

Tapi realitinya, mana mana budak yang kena belasah macam nobita tadi dah tak boleh bangun dah bang! Silap silap meninggal! Sebabtu jangan bagi orang beri rasa sakit atau luka pada Badan kita atau kita sakitkan Badan orang lain. Tak boleh!

Dalam kartun, giant masih boleh balik Rumah lagi lepas pukul nobita. Esoknya pergi sekolah kawan macam biasa.

Tapi realitinya sekarang, kalau sesiapa pukul anak orang sampai lembik atau meninggal dunia, polis terus datang sekolah tangkap terus masuk penjara sampai bila bila dah tak boleh jumpa mak dia lagi. Faham?"

"Kalau dia kena tangkap pun nanti boleh keluar penjara lagi kan mak balik Rumah dan sekolah macam biasa?"

"Ehhhh tak tak! Kalau belasah anak orang sampai meninggal dunia, kita kena penjara seumur hidup dan kena terima hukuman sampai mati tahu? Sebab kita dah bunuh orang.

Konon konon nak bergurau atau main main bergaduh macam giant dengan nobita tapi kalau tak dapat bezakan kartun dengan realiti, kita ikut kartun, kesilapan dan suka suka kita ni akan bertukar jadi kesalahan seumur hidup kita. Masa kena tangkap duduk dalam penjara barulah nak menyesal sebab terikut sangat kartun tu. Abang kena bagitahu kawan kawan abang gitu. Jangan belasah anak orang ataupun kita jadi mangsa kena pukul dengan orang lain."

"Tapiiiii. Abang tak rasa D dan E tu mak dia cakap macamni. Diorang memang tengok doraemon abang tahu cuma abang tak rasa dia akan dengar cakap abang. Mak dia pun mesti takkan cakap perkara macamni. Macam abang pernah cakap dulu pasal Qarin dalam al Quran tu pun dia tak percaya."

"Mak ayah dia kat Rumah selalu marah marah atau pukul pukul dia ke macam mak giant?"

"Entahlah. Abang rasa mungkin adalah sikit. Sebab dia ada cakap mak dia garang."

"Haaa.. Biasa memang gitu. Watak mak giant pun ada betulnya. Bila mak dia asyik pukul anak, anaknya mesti akan buat yang serupa dengan orang lain. Kesian juga sebenarnya. Tapi itu di luar kemampuan kita. Kita tak boleh salahkan cara orang lain didik anak dia.

Hmmm...Cuba abang perhatikan... Kenapa abang suka sangat tengok doraemon?"

"Sebab abang suka tengok alat alat canggih yang dia keluarkan dari poket tu untuk selamatkan nobita. Nanti satu masa abang pun nak buat alat alat canggih macam tu dengan robot macam doraemon."

"Ok. Abang fikir eh.. Semuanya doraemon buat sebab nak selesaikan masalah nobita kan? Kalau watak giant tak ada, agak agak cerita doraemon ni best tak?"

"Hmmm.... Tak! Sebab dia tak ada masalah untuk diselesaikan."

"Kannn. Abang nampak kan? Jadi sebenarnya masalah ni berikan kita apa dalam hidup?"

"Buatkan kita kena berfikir macamana nak selesaikan masalah yang datang. Dan rasa seronok bila masalah dapat diselesaikan."

"Ya tepat sekali! Sebab tulah kartun doraemon ni dari zaman mak kecik sampai mak ada anak masih hidup segar lagi. Sebab jalan ceritanya tak boring. Orang nak tengok macamana doraemon selesaikan masalah nobita dan giant jadi puncanya disebabkan dia alami nasib yang sama kat Rumah. Mak dia buli dia, dia buli orang lain pulak.

Sama macam hidup kita. Allah datangkan masalah untuk kita supaya kita jadi manusia normal. Rasa turun naik kehidupan. Dan sebenarnya cuma nak tengok macamana kita nak selesaikan masalah yang datang dalam hidup kita ni.

Watak watak yang nakal suka cari gaduh macam giant, watak anak orang kaya yang suka menunjuk dan berlagak macam suniyo, watak orang yang pandai dan baik macam tekisugi, watak yang protaktif dan keibuan macam sizuka, watak yang menjengkelkan tapi baik hati macam Adik giant semua tu Allah ciptakan kat dunia realiti abang dan mak dari dulupun untuk kita rasa seronoknya jalani hidup yang ada turun naiknya.

Kadang kadang masalah yang datang tu cuma ujian Allah nak tengok macamana abang nak selesaikan dengan cara baik atau tak baik tanpa bantuan seseorang yang namanya doraemon.

Dalam realiti, tak ada doraemon. Yang ada hanya diri abang sendiri. Dan abang kena berusaha sendiri selesaikan masalah yang datang dari kawan kawan abang macam kawan kawan nobita tu.
Tapi dalam realiti, kita kena tahu limit kita yang mana tak sama dengan sebuah kartun. Ok?"

"Ok abang faham dah sekarang. Cerita kartun doraemon ni bukanlah semuanya tak baik kan mak. Ada juga kebaikannya. Macam setiap manusia ada baik dengan tak baik dia. Ada lebih ada kurang dia. Cuma kita kena berfikir betul betul untuk bezakan mana yang kartun mana yang realiti hidup kita sekarang. Mak rasa mak E dan D tu akan beritahu tak beza kartun dengan realitinya apa?"

"Mak berharap sangat mak ayah dia ada kat sebelah tengok sama sama doraemon dan terangkan pada anaknya tentang realiti kat dunia ni kalau kita pukul anak orang macam giant tu nanti polis akan tangkap kita masuk penjara tak boleh keluar keluar lagi. Takkan sama macam cerita giant dalam kartun. Itu bezanya yang dia kena asingkan dari hidup. Sama samalah kita berdoa supaya mak ayah dia dapat luangkan masa terangkan perbezaan kartun dengan realiti hidup pada anaknya tu."

.
.
.

Sebagai seorang manusia yang pernah dibuli secara mental satu ketika dulu dan sebagai seorang ibu yang sedang melalui pengalaman anak dibuli di sekolah, saya mohon agar ibubapa berhenti menjadi seperti watak ibu giant.

Mulalah mendidik anak dengan hati.

Didiklah anak dengan cara yang sepatutnya anda rasakan perlu. Cerita di atas hanyalah perkongsian semata mata dengan salah satunya cara adalah menonton bersama anak anak kartun kegemarannya dan berbicaralah mengenainya dengan pandangan yang lebih jernih. Baik buruknya. Limit apakah yang perlu diletakkan di antara realiti & fantasi.

Jernihkan ia untuk anak anak. Bukan membiarkannya dengan fahaman dan tanggapan mereka sendiri.
Seorang pencuri, pembunuh, pembuli mahupun seseorang yang penuh belas dan kasih sayang dalam hatinya semuanya lahir dari sebuah rumah.

Sama-samalah kita berusaha dan 'menjadi sebijak doraemon' yang sentiasa fokus mencari solusi kepada anak kita sebaik mungkin melalui realiti sebuah kehidupan yang berwarna warni.

Bukan menggunakan peralatan canggih tetapi dengan didikan dan minda yang 'canggih' daripada akal dan jiwa kita sebagai orangtuanya.

Percaya pada setiap warna itu adanya hikmah demi pembaikan diri dan demi kehidupan muka yang lebih bermakna.

Dan beriman bahawa Allah menjadikan hidup dan mati kita di dunia ini hanyalah untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya.

Semoga anak anak kita semua dilindungi Allah dari kejahatan jin dan manusia. Ameen.


#hindaribuli
#didikanakabadke21
#didikanakberjiwabesar
#ceriteraanaksekolah


*Nota :

Selang beberapa hari, Fathi menulis sendiri pengajaran yang diperolehinya di blognya. Boleh baca di sini http://fathimohdkamal.blogspot.my/2017/08/di-sebalik-cerita-doraemon-movie-2014.html



Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor