Khamis, 19 Julai 2012

Ia adalah ketumbuhan tulang belakang (Spinal Tumor)

Sudah sebulan saya tidak dapat menulis apa-apa di sini. Melihatkan entri terakhir saya tulis adalah mengenai suami dan anak-anak. Saya tak pernah bercerita mengenai suami kerana suami saya sendiri tak berapa suka untuk dijadikan bahan cerita. Hatta, jika kerap saya bercerita tentang anak-anak juga suami minta dihadkan. Betapa besarnya kuasa Allah menggerakkan hati saya untuk mencoret sedikit peristiwa yang sudah berlaku itu di sini. Rupa-rupanya adalah sebagai catatan untuk saya renung kembali tanda-tanda terakhir sebelum suami jatuh sakit dan perilaku terakhir anak-anak dapat bermanja-manja dengan abahnya.

SAKIT BELAKANG

Sebenarnya, suami sudah lama mengadu sakit di pinggang dan belakangnya hingga sekitar pahanya menjadi tegang dan sukar untuk berjalan. Pernah sekali apabila datang sakitnya itu dia mengesot (bukan merangkak tapi MENGESOT) pergi ke bilik air selain dari berbaring sahaja. Untuk meredakan sakit, dia akan berbaring dan tidur dalam jangkamasa sehari suntuk. Kebiasaannya, saya akan meletak minyak dan mengurut-ngurut sedikit dan kemudian dia tertidur hingga esok pagi. Selalunya hilang sakitnya menjelang pagi. Tapi, apabila tidak hilang 24 jam dia akan ke klinik biasa untuk mendapatkan suntikan tahan sakit (steroid). Memang hilang sakitnya. Selain itu, suami membuat hidroterapi ais di klinik abangnya sekerap 2 minggu sekali. Saya rasa itulah antara usahanya yang menyebabkan dia masih bertahan hingga kini. Dan semestinya juga ianya berlaku dalam izin Allah yang memberi kami peluang untuk berjalan-jalan bersama keluarga ke Singapura, Johor-Kelantan-Pahang-Johor semasa adiknya yang bongsu berkahwin awal bulan Jun ini.

Pada mulanya, saya kerap memarahi suami kerana terlalu lama duduk di depan komputer hingga dia membongkok pun dia tak sedar. Saya tak mampu memarahinya lama-lama kerana sudah 'nature' kerjanya sebegitu. Saya juga beranggapan mungkin suami salah postur apabila dia tidur, berdiri, berjalan atau duduk lama. Itu saja. Saya juga sudah banyak kali minta dia pergi berurut dengan yang pakar tapi ada saja yang menjadi 'hal' seperti tukang urut yang pakar itu penuh jadualnya dan selalu saja penuh tempahannya. Suami tak berapa suka berurut dan tidak berapa mempercayainya kerana urutan hanyalah kelegaan yang bersifat sementara saja.

Suami saya seorang yang mengawal pemakanannya juga sangat mengambil tahu tentang peri pentingnya menjaga kesihatan. Selalunya saya akan dimarahinya kerana banyak makan makanan bergoreng, fast food, dan juga makan nasi yang banyak dengan lauk pauk yang berlemak (walaupun saya tahu itu semua tak bagus). Lauk kegemarannya hanyalah ikan tawar bakar cecah budu. Tidak susah memasak lauk kegemarannya.

Namun, di sebalik itu semua, ada sesuatu yang Allah pilih kami untuk menghadapinya.



MRI

Setelah pulang makan angin hujung minggu dari Sungai Besar Selangor (kerana menemankan ayah saya untuk menziarahi sahabat lamanya), sakit belakang suami kembali lagi kerana drive lama. Seperti biasa saya urut, ambil suntikan, makan ubat tahan sakit. Kali ni semuanya tak jalan! Apa yang memilukan saya melihatnya cuba untuk melelapkan mata setelah 2 hari 2 malam tak dapat berbaring/melentang/mengiring untuk tidur. Sesudah solat subuh, saya melihatnya memaksa dirinya mengiring perlahan-lahan sambil mengalir laju airmatanya menahan kesakitan. Allahu akbar!

Saya berasa tidak sedap hati. Ini sudah melampau sakitnya! Kami membuat pertimbangan terlebih dahulu samada mahu ke HSA saja atau Puteri. Yelah, jika berlaku apa-apa hal, kami tidak mampu. Di HSA bilnya mesti dalam kemampuan kami. Namun, bila memikirkan kelak saya agak susah menguruskan anak-anak yang tak dibenarkan masuk ke wad awam seperti saya dahulu, kami menjadi sedih. Tak sanggup untuk tidak dapat memandang muka anak-anak. Juga jika ke HSA kami harus bersedia untuk menunggu giliran yang MAHA lama walhal sakit suami ini tidak boleh tunggu lagi. Dia harus berbaring walaupun nampak masih mampu duduk dan berjalan elok. Lagipun, kami pasti kes suami ini akan pergi ke MO sana sini terlebih dahulu kerana prosedurnya memang begitu sebelum dapat berjumpa yang benar-benar pakar.

Akhirnya, saya nekad memaksanya membuat MRI di Hospital Pakar Puteri JB sepertimana yang sudah lama diarahkan oleh doktor pakar tulang belakang, Dr. Mazwar sejak Februari lalu (kali pertama check dengan doktor pakar kerana sakit belakang yang kerap). Semasa itu Dr. Mazwar berkata, jika slipped disk hanya akan berasa kebas-kebas di hujung jari dan kaki saja tidak sampai mengganggu pembuangan air kecil atau kesakitan yang kuat. Kerana itu, suami diarahkan membuat MRI secepat mungkin namun kami tangguhkan dulu kerana faktor ekonomi dan tak mahu menyusahkan sesiapa.

Pada mulanya, saya telefon ke sana untuk berjumpa doktor pakar lain kerana suami mengalami kesakitan dan kesukaran membuang air kecil (mana tahu sebenarnya punca sakitnya adalah lain daripada tulang belakang). Dr. Dato' Yoong mengambil x-ray dan mengesahkan ada sedikit infection di sekitar pankreas, pundi kencing dan bengkak sedikit di buah pinggang kirinya. Saya katakan memang buah pinggang kirinya mulai affected bermula dia kena denggi berdarah 3-4 tahun lalu. Buah pinggangnya pernah dehidrate ke tahap paling teruk kerana denggi berdarah yang lalu. Namun, Dr. Dato' Yoong mengatakan jika infection dan bengkak saja biasanya tidak akan memberikan kesakitan pada tulang belakang. Lalu, Dato' mengesyaki ada 'something wrong' dengan tulang belakang suami dan menyuruhnya membuat MRI secepat mungkin.

Selepas 24 jam memakan ubat dibekalkan, masalah infection dan bengkak buah pinggang itu sudah selesai. Buang air kecil sudah tidak sakit. Namun, suami masih tidak boleh berbaring/mengiring/melentang lagi untuk tidur. Cukuplah melihatnya terseksa 3 hari 3 malam dengan kesukaran untuk berjalan, saya menelefon klinik Dr. Mazwar untuk buat appointment MRI. Jadual penuh katanya dan kena tunggu giliran lagi 2 hari! Saya minta untuk berjumpa Dr. Mazwar dahulu saja untuk hari ini tapi penuh! Harus tunggu esok pula. Maka, untuk sekali lagi suami menangis lagi menanggung kesakitan dan bersabar untuk semalaman lagi.

Keesokan paginya saya dan suami selepas subuh lagi sudah bergerak ke Hospital Pakar Puteri. Anak-anak mulanya saya mahu bawa sama. Tidak mengapa asalkan saya bersusah sedikit. Namun, emak berkata tinggalkan saja dengan emak. Susah nak bawa 2 orang anak ni nak buat MRI. Saya kata, jumpa doktor saja bukan buat MRI pun lagi, jadual penuh. Mak tetap suruh saya tinggalkan anak-anak dan saya akur.

Sampai saja di klinik Dr. Mazwar, misi yang menjaga kaunter klinik itu melihat kad appointement suami yang tertulis MRI-KIV sejak bulan Februari lagi. Maka, terus saja dia menyuruh suami pergi ke bawah membuat MRI dahulu kerana Dr. Mazwar pun akan sampai hanya pada jam 11 pagi. Boleh pula rupanya tanpa appointment MRI terlebih dahulu.

Kami turun ke bawah dan ambil nombor giliran. Jam 8.55 pagi suami sudah dipanggil masuk. Melalui pembacaan di internet pengalaman orang yang pernah melakukan MRI adalah dalam masa 1 jam. Jadi, saya ambil keputusan untuk membawa Fatihah (sebenarnya, sudah 3 malam juga tak dapat tidur malam kerana batuk tidak henti-henti, cuma saya tak mahu perbesarkannya kerana melihatkan kesakitan suami lebih dari batuk malam tak henti anak) berjumpa pakar kanak-kanak sementara menunggu suami. Suami masuk ke dalam dan saya menelefon emak meminta adik ipar bawa kereta ambil mak dan anak-anak ke hospital. Saya naik ke atas mengambil nombor pula untuk anak saya.

Jam 9.30 pagi, suami menelefon saya beritahu dah selesai. Aik, agak cepat! Seterusnya, harus menunggu jam 11 doktor masuk klinik. Kami cuba untuk bersarapan, tapi masing-masing tidak berselera lagi.

Jam 10.15 pagi, emak sampai dengan anak-anak terus saja meluru ke klinik pakar kanak-kanak. Mujur misi bertuga bertimbangrasa dengan tidak batalkan nombor giliran saya kerana emak dan anak-anak sampai lambat. Check Tiha seperti biasa dan doktor kata Tiha terkena bronkolitis. Keradangan pada saluran pernafasan disebabkan batuk yang kuat dan tidak henti-henti selama 3 malam. Dia diberi ubat untuk 'clearkan' kahak dalam paru-paru juga harus diberi nebulizer sekerap 3 jam sekali. Ya, Tiha dapat topeng nebulizer itu sekali di samping ubat-ubat yang dibekalkan. Allahu akbar!

Emak nak bawa anak-anak balik selesai itu. Tiha nangis-nangis nak ikut saya, begitu juga Fathi. Tapi mak berkeras mahu bawa balik mereka kerana Tiha masih batuk kuat dan tak bagus untuk duduk di hospital lama-lama. Akhirnya, Fathi yang tinggal dengan saya dan emak bawa balik Tiha.

Jam 11 doktor sampai. Jam 11.15 kami dipanggil masuk. Ketika itu, saya lihat terlalu ramai misi berbaju biru yang turut sama masuk ke dalam bilik doktor. Dua orang di belakang doktor, 4 orang dibelakang kami.


Doktor berkata, "Nasib baik dah buat MRI eh. Awak ada ketumbuhan lah. Di sini , betul-betul di hujung tulang belakang. Kena bedah secepat mungkin ni sebab macam dah himpit ke saraf tunjang. Awak boleh lumpuh kalau tak buang cepat. Agak besar ni 3.7cm. Saya terus rujuk awak pada Dr. Nor Azman eh pakar saraf. Sebab ini dah melibatkan saraf bukan tulang belakang lagi. Dia lebih arif urat saraf kat tulang belakang ni dan dia yang akan buat pembedahan nanti bukan saya. Bincang dengan dia mengenai kos dan prosedur."

Kami terdiam. Daripada senyum menjadi pahit semuanya. Segala yang kami takutkan malam-malam sebelumnya menjadi kenyataan.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Saya masih ingat lagi. Pada satu subuh yang sangat tenang. Semasa suami masih lagi menahan kesakitan tidak dapat tidur berbaring selama 2 malam, seusai solat subuh suami membaca al-Quran. Surah al-Waqiah. Bersama terjemahannya (itu sudah menjadi kebiasaan suami apabila membaca Quran dibacanya terjemahan sekali). Selepas berdoa saya sangat hiba mendengarnya membaca ayat-ayat suci itu bersama maknanya yang cukup mendalam mengenai syurga dan hari akhirat. Saya terus saja berbaring di atas pahanya. Saya menangis. Menderu-deru. Sudah lama tidak menangis seperti anak kecil sebegitu. Dia juga menangis. Suaranya tersekat-sekat menahan sebak di dada dengan membaca terus ayat-ayat suci itu. Kami tidak mampu mengeluarkan sepatah perkataan pun ketika itu. Hanya mendengar dia membaca al Quran dan maknanya kesemuanya menyentap segenap jiwa dan perasaan ketika itu. Sejujurnya, ketika itu saya terfikir, agaknya beginilah rasanya berada 'di ambang kematian'. Sesuatu yang kita tak dapat langsung nak teka, dalam kesakitan, tiada kepastian dan wujud perasaan yang kita akan meninggalkan semuanya yang kita kasihi di dunia ini tidak lama lagi.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya pada ketika itu masih bergelak ketawa lagi dengan doktor. Saya sangat tenang mendengar perkhabaran itu dan mula memberitahu kesemua adik beradik saya dan suami. Saya uruskan prosedur masuk ke wad seperti biasa. Ketika menunggu ada katil kosong, saya keluar sebentar untuk membeli top up. Saya masuk saja saya mendengar Fathi menjerit menangis dengan berlumuran darah di mulut! Rupa-rupanya dia bermain sendirian ketika itu berdekatan dengan abahnya tapi entah bagaimana dia terjatuh hingga berdarah dan semua di sekeliling menjadi panik hingga kami diusung ke Emergency! Suami ketika itu tak boleh menunduk untuk mengambil anak yang terjatuh. Nasib ada orang di sekitar itu menolongnya bangun.

Saya masih boleh tersenyum dan ketawakan Fathi yang bengkak bibir dan giginya berdarah. Takpe, sikit je Fathi. Fathi kan kuat. Saya peluknya dan usap-usap belakangnya agar dia bertenang. Saya tekap saja dengan tisu dan darahnya berhenti mengalir selepas 20 minit. Saya katakan, tak payahlah bukak rekod. Tak jadilah jumpa doktor, darah dia dah berhenti.hehehe...

Saya mendapatkan semula suami yang masih duduk menahan sakit seorang diri menunggu lama ada katil kosong. Minta yang 5 bedded pun tiada yang kosong. Tak lama kemudian, emak menelefon beritahu Tiha asyik menangis dari tadi abang dia takde. Saya katakan, takpelah bawa saja ke sini sebab nak masuk wad ni nanti nebulizer pun ambil di sini saja.

Apabila katil sudah ada kekosongan, kami ke atas dan masing-masing terduduk membisu seribu bahasa. Saya lihat suami termenung di atas katil. Lama. Saya tahu sangat apa yang difikirkannya. Kali ini harus berkonfrantasi.

Saya gosok tangan suami perlahan-lahan, memegang tangannya dan berkata, "Sayang, kita ni masih bernasib baik sebab orang lain nak jadi lumpuh ada yang sebab eksiden, rosak atas bawah. Kalau apa-apa jadi pun, sekurang-kurangnya awak cuma akan rosak bawah je. Takpe, saya akan jaga awak seumur hidup saya kalau panjang umur saya. Awak tak nampak ke yang Allah nak bagi kita senang-senang ke syurga melalui jalan macamni. Asalkan kita redha dan sabar melaluinya. Mana ada yang kita punya dalam dunia ni? Semuanya pun milik Allah. Dia nak ambil bila-bila masa pun biarlah sebab ni bukan kita punya pun. Takde apapun yang jadi hak kita. Ye?" - Suami berjuraian airmata ketika itu dan menganggukkan kepalanya. Saya, menahan sebak dan kami menangis bersama-sama.

Dan petang itu saya tersangat kepenatan. Menjawab segala pertanyaan adik beradiknya sambil melawan perasaan menyembunyikan kesedihan, berlari ke atas dan ke bawah memberikan nebulizer kepada Tiha dan 'maintain' berwajah manis dan bertenang untuk memberi kekuatan kepada suami. Menjelang malam hari, saya pulang ke rumah. Abangnya yang sulung menemankannya bermalam di wad. Saya melawan perasaan 'sekuat mungkin' ketika bersalam dan mencium tangannya sebelum meninggalkannya malam itu.

Pulanglah saya bersama anak-anak ke rumah. Dan seperti biasa batuk Tiha mengejutkan saya dan kemudian saya tak mampu melelapkan mata lagi. Jam 2.30 pagi saya terbangun dan bersolat menenangkan diri dan memohon bermacam-macam dari YANG MAHA ESA dengan juraian airmata. Saya berdoa kehadratNYA, "Ya Allah, jika inilah jalan menuju syurgaMu aku redha walau seberat mana Engkau hadiahkan kepadaku". Dengan tiba-tiba perasaan menjadi lega selega-leganya. Saya seperti terasa kemanisan iman dan pandangan serta pemikiran saya ketika itu terus berubah! Saya menjadi kuat secara tiba-tiba. Dan selepas itu, saya nekad untuk mewakili suami memohon ampun dan maaf dari sahabat-sahabat melalui FB. Yang mana kawan-kawan sekolah dan kawan baiknya yang pernah dia bawa saya berkenalan dan berjumpa dahulu, saya cuba search di FB dan saya memberikan pesanan istimewa ini. Ketika itu, saya hanya menulis mengikut perasaan kerana sudah tidak mampu untuk berfikir lebih banyak lagi. Saya tahu suami juga mahu memohon maaf dari semua rakan-rakannya. Hingga kabur mata ini dengan juraian airmata sekali lagi, saya memohon maaf bagi pihak suami seikhlas hati.


Bersambung...   ------  http://khadijahgani.blogspot.com/2012/10/spinal-tumor-part-2.html




8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Doa saya agak Khadijah terus tabah...Allah memilih hanya yang layak untuk menerima segala ujianNYA

Khadijah Gani berkata...

InsyaAllah. Saya akan cuba. Terima kasih :)

mzismail berkata...

Kisah yang memberi pengajaran dan keinsafan kepada saya (dan kami semua) di awal pagi pertama Ramadhan ini. Terima kasih kerana berkongsi.

Riez berkata...

Baru baca entry nie. x terungkap dgn kata2. insyaallah, moga2 kamal cept sembuh.

Tanpa Nama berkata...

macamana keadaan suami puan skrg?smoga cpt sembuh.menangis sy bc ni. Ya ALLAh..

Khadijah Gani berkata...

Alhamdulillah baik-baik saja setakat ini walaupun simptom lamanya masih tetap ada tak berubah. Sudah dlm jangkaan doktor pakar juga. Sakitnya boleh hilang cuma simptom lama tak boleh jamin utk hilang. Sekarang, tak boleh berdiri lama. Itu saja. Terima kasih kerana bertanya.

Untuk sambungan entri ini, boleh baca --> http://khadijahgani.blogspot.com/2012/10/spinal-tumor-part-2.html

Peluang Perniagaan Dan Kerjaya berkata...

salam, boleh saya tau dekat mana pusat perubatan untuk check penyakit tulang belakang area kawasan Selangor. Mohon bantu saya ;)

Khadijah Gani berkata...

Untuk check tulang belakang, saya nasihatkan pergi berjumpa doktor pakar tulang belakang di mana-mana hospital kerajaan ataupun swasta.