Jumaat, 19 Oktober 2012

Spinal Tumor part 2

Sambungan daripada sebelum ini.

Keesokan paginya (Jumaat) saya banyak mendapat respon daripada sahabat-sahabat suami. Banyak yang mendoakannya dan ada juga yang terus mahu mengumpul duit untuk sedikit sumbangan (cuma saya tak berikan no akaun saya kerana suami hanya senyap ketika saya minta keizinannya, maaf ya).

Sejujurnya, apa yang saya kongsikan di FB itu hanyalah untuk memohon doa dari yang jauh mahupun dekat supaya ia menjadi kekuatan kepada saya mahupun suami sendiri. Di samping ahli keluarga sendiri, saya yakin kawan-kawan adalah sumber yang paling mujarab untuk memperoleh doa yang makbul. Saya amat terharu dengan respon yang diberi. Doa, kata-kata semangat, lawatan juga usaha untuk mengumpul sedikit dana itu amat membuatkan saya terharu. Tidak sangka suami mempunyai sahabat-sahabat yang amat baik dan prihatin.

Sebenarnya, satu hari itu kalau boleh saya tak mahu berenggang dengan suami di hospital. Saya mahu berada di sisinya sebelum dia masuk ke dewan bedah selepas solat Jumaat ini. Namun, Fatihah masih lagi sakit. Batuknya masih belum reda. Fathi pula sudah mula panas badan. Ya Allah..!

Saya kuatkan diri untuk menahan segala cubaan ini. Baiklah... Selesaikan satu-satu, mana yang boleh selesai dahulu. Saya mahu baringkan anak di sisi katil suami, biarkan dia berbaring di situ. Tapi semasa itu kami masih lagi di wad 5 katil. Berkongsi dengan pesakit lain yang lalu lalang mahu ke tandas walaupun ada langsir penghadang namun ianya masih kurang selesa untuk anak kecil berbaring.



Suami menyuruh saya pulang bawa anak-anak supaya mereka berehat dan dapat berbaring. Kedua-duanya tak mahu berenggang dengan saya langsung menyebabkan saya memang tak boleh ke mana-mana hingga makan pun tak sempat. Kalau mereka sakit, memang begitu. Seorang pun tak boleh pegang mereka.

Dalam jam 11 pagi saya balik juga ke rumah dengan perasaan berbelah bagi dan tidak sedap hati langsung. Saya katakan pada adik ipar supaya ambil saya semula lepas solat Zohor sesudah saya memberi makan dan menidurkan anak-anak. Jangan lambat.

Sampai di rumah saya segera fokus pada anak-anak pula. Hati sebenarnya masih di hospital bersama suami.

Saya mesej adik ipar supaya dia datang segera ke rumah mengambil saya kerana anak-anak sudah tidur. Solat zohor di rumah sini saja. Saya tak tahu kenapa saya tak telefon adik ipar saja tapi saya hanya mesej dia. Mahu dijadikan cerita, adik ipar tak perasan mesej saya. Dia ikut perancangan awal ambil saya lepas Zohor.

Pukul 2.15 semasa saya masih menunggu adik ipar, suami menelefon berkata yang orang OT dah bawa katil nak bawa masuk OT. Saya katakan padanya minta sedikit masa lagi tunggu saya datang. Padahal, pembedahan sepatutnya jam 3.30 petang. Saya sudah tak tentu hala dibuatnya. Adik ipar pula sedang on the way tapi terperangkap dalam kesesakan jalan di tengahari Jumaat itu. Ya Allah...!

Suami telefon sekali lagi. Katanya dia tak boleh tunggu lagi. Dia kena pergi sekarang. Saya terdiam...

Hati kecil saya berdoa agar saya masih berpeluang berjumpa dengannya lagi selepas ini. Itu saja.

Saya tak marah pada adik ipar. Apa boleh buat, memang tengahari Jumaat kereta banyak yang keluar. Saya terlupa faktor itu. Adik ipar sampai jam 2.30. Saya diam. Dia juga diam. Mungkin dia serba salah juga hehe.. Dalam kepala saya hanya dapat menggambarkan suami masuk ke OT seorang diri. Walaupun ma dan abah ada di sana saya merasakan hatinya ada pada saya, dan hati saya ada padanya dibawa masuk bersama-sama ke dalam OT.

Adik ipar bawa kereta memang pecut habis. Tepat jam 3 sudah sampai hospital. Dengan kereta yang banyak di jalanraya. Sampai hospital saya terus ke tingkat 2 OT. Adik ipar cari parking. Di depan OT tiada orang. Pintu sudah tertutup rapat. Saya mendekati pintu itu mungkin nasib baik dapat masuk ke dalam walau hanya sekejap.

Seorang misi nampak saya di pintu dan membukanya bertanya ada apa yang boleh dibantu. Saya katakan jadual pembedahan suami saya sepatutnya jam 3.30 boleh ke saya jumpa suami sekejap. Misi itu bertanya pula pada misi di dalam hal keadaan suami saya. Katanya tak boleh sebab suami sudah diberi bius. Dia dah mamai dan kalau saya masuk pun tak dapat bantu apa-apa. Hancur lebur hati saya mendengarnya.. Airmata terus jatuh tak henti-henti takut tak dapat lagi berjumpanya selepas ini. Saya menangis seperti budak kecil!

Adik ipar sampai dan terus peluk saya.

Saya cuba beristighfar.. Tarik nafas dalam-dalam. Fikir yang positif agar energi positif juga sampai kepada suami untuk bertahan sepanjang pembedahan.

Saya minta adik ipar hantar saya pulang saja kerana saya mahu solat sunat dan membaca al-Quran di sepanjang pembedahan ini berlangsung. Saya naik ke wad sebentar memberitahu mak mertua yang saya balik nak tengok anak-anak yang masih lagi sakit. Salah seorang abang yang punya darah yang sama dengan suami, ma dan abah yang menunggu suami di hospital. Saya lega. Mereka ada sangat menyenangkan saya dan melegakan serba sikit perasaan saya yang berkecamuk. Saya sayang mereka!

Sampai di rumah saya terdampar kepenatan. Penatnya tak pernah saya rasa sebelum ni. Saya tertidur. Tak sedar.

Lebih kurang pukul 4.30 saya terjaga. Fatihah batuk. Saya memberinya ubat. Memujuknya. Fathi juga sudah mula merengek. Saya nak ambil air sembahyang tapi tak boleh. Anak-anak sudah 'mulai' lagi.

Sudah masanya Fatihah diberi nebulizer sekali lagi. Mak dan abah hantar saya dan anak-anak ke klinik berhampiran. Dengan adanya mak dan abah yang menjaga anak-anak saya sementara saya di hospital sangat membantu saya dan meringankan perasaaan saya. Saya juga sangat sayang pada mereka!

Balik dari klinik, jam 5 petang saya mendapat mesej daripada MakUsu seorang staf di hospital puteri. Katanya, dia ada mesyuarat tadi tak sempat nak tengok suami sebelum bedah tadi. Saya katakan saya juga tak sempat MakUsu. Cepat sangat dibawa masuk ke OT. Tiba-tiba MakUsu bertanya kawannya di OT yang terlibat dalam pembedahan suami saya. Katanya suami saya sudah 'closing'. Maknanya, sudah jahitan penutup (jika tidak kerja jahit menjahit itu memang kepakaran MakUsu saya hehe)..

Saya agak terkejut! Aik, kata ambil masa 4 jam? Tadi masuk pukul 3. Pukul 5 dah habis? MakUsu juga amat terkejut! Dia pun tak sangka secepat itu. MakUsu cakap dia akan bawa suami saya keluar nanti dan suruh saya datang cepat.

Saya berbincang dengan mak macamana anak-anak ni. Suami sudah keluar kejap lagi. Saya juga sudah mesej ke abang ipar di hospital yang suami sudah siap pembedahannya. Mak pula cakap, yang saya perlu ada di depan suami sebaik dia membuka matanya. Dah la tadi tak dapat jumpa. Saya sangat sebak mendengar kata-kata mak!

Mula-mula mak suruh tinggal je anak-anak. Nanti dia uruskan. Adik ipar pula balik ke rumah sebentar memasak untuk suaminya. Pukul 6 baru dia boleh datang. Saya tengok jam 5.30. Anak-anak pula mesti nak ikut ni tengok saya keluar nanti. Takpelah, saya katakan pada mak saya bawa anak-anak sekali. Malam nanti mak datang hantar nasi.

Saya terus mandikan anak-anak dan siap-siap. Tepat jam 6 adik ipar sampai dan dia terus memecut.

Sampai di hospital, wad sudah dapat tukar ke katil 1 tingkat 3. Saya sampai saja semua adik-beradik suami ada di sana. Di luar bilik kerana suami baru saja masuk ke bilik dan ramai misi berada di dalamnya. Saya membawa anak-anak di kiri kanan tangan merasa sangat VIP apabila semuanya memberi laluan. Saya masuk saja bilik, suami sudah sedar dan membuka matanya. Saya terus mencium tangannya dan suami terus berkata, 'awak lambat'.. Saya sangat sebak.. Saya cium dahinya.


-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Hasil pembedahan berjaya. Malah, lebih singkat dari jangkaan. Doktor mengatakan yang ketumbuhan ini berpunca daripada salut yang membaluti tulang belakang. Mahu tak mahu sebenarnya ia sudah pun menindih saraf yang ada di sekitarnya. Semasa membelah belakangnya, beberapa otot di sekitarnya juga turut dibelah. Kemudian berjumpa tulang belakang. Satu ruas tulang belakang terpaksa ditebuk. Itu yang menyebabkannya lompong sampai bila-bila. Kemungkinan tumbuh balik seperti agak mustahil. Namun, doktor mengatakan tulang belakang lompong satu ruas tidak menjejaskan keseluruhan tulang belakang. Yang penting adalah kestabilan tulang itu sendiri. 

Kemudian, barulah dia berjumpa dengan ketumbuhan ini yang sudah melekat di situ bersama urat saraf yang lain. Doktor menyangka di situlah akan mengambil masa yang lama hingga 4 jam untuk berhati-hati 'shave' memisahkan ketumbuhan daripada saraf. Namun, apabila doktor 'shave' dia mengatakan agak mudah untuk proses ini walaupun sudah melekat namun ia mudah dileraikan. Doktor mengatakan pembedahan ini sebagai sangat 'straight forward'. Lancar. Tiada sebarang komplikasi yang memudharatkan. Kerana itu, mengambil masa lebih cepat dari jangkaan iaitu 2 jam.

Alhamdulillah.

Namun, di akhirnya tiada jaminan daripada doktor bahawa kesakitan dan simptom kerap buang kecil itu akan semakin berkurangan. Mungkin akan berkurangan, mungkin akan tetap sama. Ini kerana doktor sendiri tak tahu sejauh mana kerosakan yang telah berlaku pada urat saraf yang tertindih. Tidak dapat dipastikan sejak berapa lama ia sudah tumbuh di situ dan mengenai sarafnya. Berdasarkan saiz doktor mengagak ia mungkin sudah sangat lama bermulanya. Tiada ubat untuk membaiki urat saraf. Lagipun, ini sudah cukup bagus tidak lumpuh katanya.

Di hari lain, doktor menerangkan hanya kerana kedudukannya saja suami bernasib baik. Sepatutnya dengan ketumbuhan sebegini besar dan lambat tahu ini keadaan suami datang ke hospital sekarang sudah lumpuh. Oleh kerana kedudukannya di tempat yang 'sedikit luas' daripada tulang di atasnya iaitu di antara hujung sulbi dan 'horse tail' (urat-urat halus seperti ekor kuda yang berada di setiap hujung tulang belakang) maka, air tulang belakang masih boleh melalui di celahnya walaupun sudah menjadi sempit. 


---------------------------------------------------------------------------------------------------------



Malam itu, saya berkampung di wad bersama anak-anak.. Mula-mula saya ingat nak balik saja sebab Fatihah masih batuk-batuk takkan dia nak tidur dalam air-cond yang maha sejuk itu. Lagipun, ma, abah dan abang ipar lagi seorang nak tidur sana temankan suami. Tapi, tiba-tiba suami berbisik. Kalau saya balik, masukkan dia ke dalam wad 5 katil semula. Tak guna wad katil 1.

Aihh, sensitif pulak dahhh.. Ikut sajalah..

Malam itu sebelum tidur, suami panggil saya. Dia bertanya, "Saya dah lumpuh ke? Baik awak cakap terus terang daripada saya tahu kendian hari." - Aihhhh, mana dia dapat idea ni? Mungkin sebab tadi ma ada berbisik pada saya (padahal ma cuma 'double check' dengan saya) yang doktor katakan pembedahan ini tak jamin dia akan pulih macam biasa. Ada kemungkinan dia jadi lumpuh kalau ketumbuhan itu sudah terkena saraf. Agaknya dia mendengar perkataan 'lumpuh' terus dia fikir bukan-bukan...

Saya jawab, tak... Awak ok tak lumpuh. Saya goyang kakinya tanya rasa tak? Dia kata tak. Alahaiii, tu sebab ubat bius ada lagi. Saya katakan kalau awak lumpuh lama dah dari tadi doktor bagitahu masa keluar OT tadi. Dia tak percaya. Dia nak tanya abang yang tunggu dia depan OT tadi. Kali ni 2 orang abang besarnya 'memberi ceramah' padanya di malam hari yang syahdu itu. Saya agak keletihan untuk melawan segala prasangka itu. Saya serahkan pada abang-abangnya yang lebih pandai men'saiko' adiknya..

Sejak itu, saya tidur di wad selama 4 hari bersama anak-anak yang tidak sihat sepenuhnya ketika itu. Sejuknya tiap malam jangan cerita! Nasib baik adik ipar, biras semua membekalkan saya dengan secukup keperluan selimut tebal dan bantal.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Selang seminggu setelah pulang ke rumah sesudah pembedahan membuang ketumbuhan haritu, tanpa diduga pada awal pagi semasa hendak mandi saya melihat baju suami basah di belakang hingga ke kain. Saya melihat jahitan itu. Banyak air seperti nanah yang keluar. Saya agak panik! Susah nak bernafas. Tak tahu nak fikir. Blur..


Saya telefon abang ipar (doktor alternatif & komplimentari) terlebih dahulu meminta panduannya. Dia suruh suami berbaring dan tekan air itu supaya tidak keluar. Selepas setengah jam lihat samada keluar lagi atau tak. Jika keluar lagi, terus bawa ke emergency semula dan rujuk pada doktor yang membedahnya tempohari. Arghhh, kalau boleh saya tak mahu menempuhnya lagi!!!! Tolonglah!!

Setelah satu jam tak keluar lagi. Tapi apabila bangun berdiri ianya keluar mencurah-curah seperti paip air bocor! Kali ni saya redha. Terus saja bawa suami ke hospital puteri sekali lagi.

Masuk wad sekali lagi. Ia masih lagi keluar tanpa henti. Oleh kerana Dr. Azman (doktor pakar saraf yang membedahnya tempohari) adalah visiting doctor di puteri mahu tak mahu kena menunggu Dr. Azman keesokan paginya.

Esok paginya seperti biasa doktor akan singgah sebentar di puteri sebelum ke full-time jobnya di HSA. Dia membuka saja kapas itu, membuak-buak air itu keluar. Kali ini sudah menjadi kemerahan seperti darah. Mahu tak mahu doktor mengatakan dia akan membelah semula tempat yang sama untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku di dalamnya. Malam ini juga katanya setelah dia habis waktu di HSA.

Allahu akbar! Bedah lagi? Baru nak baik kena toreh lagi? Tempat yang sama. Semua orang ketika itu senyap. Sunyi sepi. Tak dapat nak bayangkan baru nak baik jahitan itu terpaksa dibuka semula kesemuanya dan perlu dijahit kembali kesemuanya. Kalau saya tak dapat nak bayangkan, apalagi orang yang perlu melaluinya itu sendiri?

Saya cuba menjadi tabah di depan suami. Ma dan abah menangis kembali. Begitu juga adik beradiknya yang datang turut sama menangis.

Ketika itu, saya dan ma bergilir-gilir mengaji Quran tanpa putus memohon ini dijadikan bekalan untuk kami sama-sama kuat menghadapi dan melaluinya. Saya lihat suami juga makin kerap mengalir airmatanya ketika kami mengaji di sisinya. Termenung dan menangis sendirian. Kata-kata perangsang ma lebih menyentap ke dasar jiwa sebagai ibu yang melahirkannya.

Jam 8 malam suami terus dibawa ke OT sekali lagi. Kali ni saya ada tetap di sisinya. Tersenyum dan mengatakan tiada apa-apa yang kronik. Saya ingatkan dia untuk berselawat sentiasa jangan putus dan berzikir saja sepanjang masa yang sedar. Saya sangat faham dan sudahpun merasai bagaimana sakitnya tersedar dari pembedahan yang dikenakan anestasia (bius satu badan) itu.

Dalam jam 10 malam, selesai semuanya. Saya menunggunya di hadapan OT untuk menyambutnya keluar. Perkataan pertama yang diucapkannya semasa melihat saya, 'Sakit'...

Saya sebak. Menggosok-gosok tangannya sambil berzikir. Ia memang sakit. Saya tahu. Sesampai di wad (kali ni dapat masuk ke tingkat 6 wad VIP kerana tiada katil kosong semasa mendaftar masuk pagi tadi) saya kembali semula mengaji di sisinya. Saya taknak benarkan sesiapa berbual dengannya. Dia sedang sakit. Seperti saya dahulu selepas pembedahan appendiks. Apabila saya mendengar adik ipar membaca Yasin, terasa hilang semua kesakitan dan jiwa sangat tenang.

Ini tips daripada saya.

Maka, saya pun terus membacakannya ayat-ayat Quran. Dalam nada yang perlahan betul-betul di sebelahnya. Dan suami semakin tenang dan tertidur kembali.

Kali ni bantal langsung tak boleh letak di bawah kepalanya. Jahitannya semakin ketat. Badannya menjadi semakin keras dan sejuk.

Tak lama selepas itu, barulah mak sampai hantar anak-anak saya untuk tidur bersama saya di wad. Amat selesa kerana ruang untuk tidur pun luas. Wad VIP la katakan.. Tapi, kesejukannya, MasyaAllah!!!!




---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Hasil pembedahan doktor menyatakan berlaku pendarahan yang agak banyak di bawah otot di tempat pembedahan. Dan sudah ada infection sedikit. Bukan di bawah kulit tapi di dalam otot yang paling dalam berdekatan tulang tempat pembedahan. Doktor sendiri tak pasti bagaimana ianya berlaku dan boleh berlaku. Doktor juga tak pasti dari mana darah itu datang dan berkumpul di situ dan apa yang menjadi puncanya. Hingga apabila ditanya dia juga tak tahu bagaimana saya boleh mencegahnya dari berulang kembali. Doktor hanya menasihati saya agar berdoda supaya ianya tidak terjadi lagi.

Oleh kerana saya ini seorang yang tidak mudah puas hati dengan jawapan sebegitu saya bertanya pula apa pendapat abang ipar saya. Dia mengatakan setelah terjadinya major operation iaitu tulang belakang yang sudah di'expose' memungkinkan untuk berlakunya 'terpeluwap' iaitu ada tindak balas tulang belakang pada suhu dan keadaan sekeliling. Kerana itu, abang ipar menyarankan agar bilik tidur di rumah saya ini dipasang air-cond (seperti di dalam wad) agar suhu sekitarnya menjadi kering dan sejuk untuk beberapa tempoh selepas pembedahan. 

(Lain doktor perubatan mempunyai sudut pandangan yang berbeza terhadap perkara yang sama dan saya boleh menerimapakai pandangan abang ipar ini daripada tiada jawapan langsung yang diberikan).

Pulang ke rumah kali ini air-cond baru dipasang. Saya memang tak tutup air-cond hingga hampir sebulan. Apabila jahitan di belakang suami sudah mulai kering dan tertutup sepenuhnya barulah saya berani menutup air-cond. Sepanjang sebulan saya tidur di luar kerana tak tahan sejuk. Trauma dengan kesejukan di hospital masih lagi terasa.hehehe...

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Selama 7 hari di hospital kali ini menjadikan saya seperti daging frozen. Pada hari ke 4 lagi saya seperti mahu mengalah. Saya memang sudah tak tahan. Semasa itu saya tak tahu lagi yang saya mengandung. Patutlah dengan tahap kesejukan itu dan ulang alik bersama anak ke hospital itu menjadikan saya sangat tidak bermaya sebenarnya. Oh ye, untuk hari lahir saya yang ke-30 saya menyambutnya di situ. Seorang diri.

Kerana itulah, status FB saya sangat berbaur emosi dan kesedihan yang tidak berkesudahan. Ditambah dengan pertukaran hormon dalam badan yang terjadi secara tiba-tiba, pasti membuatkan saya tak sedar dengan perasaan sendiri. Makanya, saya lebih mengikut perasaan saja. Di tahap ini sebenarnya, saya memang 'down habis'. Bukan niat saya untuk merintih dan mengharapkan simpati orang lain di FB tapi saya tertulis perkara-perkara yang sedih itu di status saya. Bila baca balik sebenarnya saya sangat malu dan mahu buang saja semuanya. Namun, kata-kata sahabat itulah membuatkan saya 'ada semangat' kembali. Serius saya cakap. Terima kasih semua!


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Walaupun ini sudah terjadi 6 bulan yang lalu dan kandungan saya sudah masuk 5 bulan, ianya sangat berbekas apabila diingat kembali. Kalau boleh saya tak mahu bercerita tentang ini lagi.

Biarlah apa yang sudah jadi ini menjadikan saya lebih tabah dari sebelumnya dan lebih memahami erti persahabatan, kekeluargaan dan bersyukur dengan apa saja ketentuan Allah.

Samada ia baik atau buruk, ia tetap sesuatu yang baik untuk jiwa seorang Muslim. Tiada istilah musibah atau bala yang menimpa. Hanya cara kita memandangnya dan merasakannya saja yang membuatkan satu-satu situasi itu dapat kita tempuh atau sebaliknya.

Sekarang, simptom-simptom seperti kerap buang air kecilnya tidak sekerap dulu namun dalam 1-2 jam saya lihat dia masih ke tandas mengalahkan orang yang mengandung pula. Suami juga tak boleh berdiri lama. Dia akan berasa sangat sakit di belakangnya jika dia berdiri lebih dari setengah jam. Dia perlu berbaring setelah berdiri lama. Dan yang paling gembira suami sudah mampu mendokong anak semula dan bergurau-senda dengan anak-anak, memandikan anak, memanjat tangga menukar mentol lampu dan berlari mengejar anak-anak. Juga sudah boleh memandu kereta seperti biasa.

Saya mohon doa semua agar saya dan suami dapat terus menjalani hidup ini dengan segenap ketabahan yang dikurniakan. Di samping kesyukuran yang berpanjangan. Tiada apa yang pasti dalam hidup ini. Sembuh atau tidak bukan di tangan seorang doktor pakar, separuh pakar atau orang perseorangan. Apa akan jadi samada bertambah baik atau semakin buruk, itu urusan Allah. Kita berusaha semampu urusan kita dan ia harus disandarkan kepada yang Maha Pemberi. Di akhirnya, ianya semua adalah mengenai diri kita dan bagaimana kita berdepan dengan setiap situasi dan ujian yang berbeza.

Apa yang sangat-sangat pasti, setiap orang pasti akan meninggalkan dunia ini. Meninggalkan orang-orang yang disayangi. Mungkin kerana sakit, mungkin kerana sihat dan mungkin sudah sampai 'masanya'. Kita mati tidak memerlukan sebab-sebab tertentu. Apabila Allah menyapa, maka bersedialah...



Setinggi penghargaan dan kasih sayang.

Terima kasih yang tidak terhingga atas budi baik abang-abang ipar kerana membiayai sepenuhnya kos kedua-dua pembedahan dan rawatan sepanjang suami di hospital yang mencecah RM25k. Kami tiada insurans (kalau adapun tak dapat claim pun).. Juga atas budi yang tak terbalas kepada ma abah (kelantan) juga mak abah saya di Johor ini juga semua adik beradik saya yang turut bergilir-gilir menolong menjaga anak-anak saya dan melayan kerenah mereka. Begitu juga adik beradik suami yang tak putus-putus datang ke hospital sentiasa ada meneman, membawa lauk pauk nasi dan menyediakan semua kelengkapan sepanjang saya di hospital. Saya takkan lupa budi baik semua dan walaupun saya tak pernah ucapkannya, SAYA SAYANG KAMU SEMUA dan berdoa supaya Allah akan menemukan dan mengumpulkan kita semua di Jannah kelak. Amin...


------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


INFO PENTING SAKIT TULANG BELAKANG
(Saya kongsikan di sini sebagaimana saya pernah tulis di status fb saya sebelum ini. Moga bermanfaat.)

Petang tadi ada tetamu. Kawan abah anak beranak. Saya ke depan bersalaman dan duduk meraikan tetamu. Tiba2 saya ditanya -

Tetamu : Macamana tahu suami ada ketumbuhan aritu?
Saya : MRI baru tahu. Ingatkan sakit belakang biasa je.
Tetamu : Suami sy ni pun selalu sakit belakang. Bila sakit ambil injection baru dia tahan sikit. Pastu sakit balik. Sampai doktor cakap jangan tidur atas katil kena tidur

 kat lantai je. Ada sampai macam tu ke?
Suami : Ha ah dulu masa sakit tu mmg ambil injection je baru tahan sikit. Tapi sy sampai satu peringkat takleh jalan langsung. Krem sampai paha. Paling teruk tak boleh baring langsung. Mula2 jumpa urologis sbb ingatkan masalah buang air. Lps buat x-ray, ct scan smua ok tu yg dia suruh buat MRI. Baru tahu.

Saya teringat beberapa info penting semasa berbual dgn Dr. Mazwar [Pakar tulang belakang] & Dr. Azman [Pakar saraf] :

1. Jika slipped disc (sakit tulang belakang yg sangat popular) - anda hanya akan rasa sakit beserta kebas2 di hujung jari dan kaki. Tiada gejala lain spt berhadapan dgn masalah kekerapan ke bilik air.

2. Ketumbuhan boleh berlaku di sepanjang tulang belakang. Jika ia terjadi di bahagian tulang belakang atas dari pinggang [saluran agak sempit dan kecil] kesakitan akan lebih terasa dan jangan terlewat membuangnya. Ada kes yg tumbuh di bahagian tengkuk dan pembedahan harus dibuat dgn membedah leher hadapannya. Jika di sini - memang tiroid juga mengalami gangguan. Manakala, jika ketumbuhan berlaku di bahagian tulang belakang pinggang ke bawah [kena di tulang sulbi & ekor kuda] - anda akan rasa sakit dan kebas dan krem di hujung2 jari dan kaki hingga mengganggu aktiviti harian. Jika di sini - gejala lain tidak berapa ketara [ada kesamaan dgn slipped disc] dan tiada risiko lumpuh kerana ruangnya agak luas berbanding sebelah atas namun harus dibuang segera. Check semula di mana titik kesakitan anda yg sebenar.

3. Jika sakit belakang berulang2 hingga mengganggu aktiviti harian anda spt tak boleh berbaring langsung atau tak boleh berjalan langsung dan anda hanya akan lega dgn mengambil injection bermakna anda perlu buat MRI. JANGAN BERURUT! Jika ianya adalah kerana ketumbuhan, berurut hanya akan lebih memburukkan keadaan! Jika anda sakit tapi masih boleh berjalan atau berbaring insyaAllah tiada yg serius yg perlu dirisaukan dan moga dijauhkan dari sebarang ketumbuhan asing dlm tubuh anda.

4. Tak perlu ambil apa2 suplemen atau pil yg bukan dari arahan doktor yg pakar. Melihat pengalaman suami sendiri yg tak ambil apa2 pil tambahan [kerana berlebihan ubatan/suplemen hanya akan memberati tulang] proses penyembuhannya lebih cepat kerana apabila tulang belakang sudah lompong akibat pembedahan jgn bebankan tulang dgn mineral2 berat lain. Tubuh kita akan pulihkan diri sendiri kerana tubuh kita lebih tahu apa yg diperlukan utk segera pulih mengikut fitrah. Yakinlah kita tak perlukan ubat/suplemen berlebihan kerana Allah sudah tetapkan ubat dlm tubuh kita sendiri iaitu mengikut fitrahnya. Hanya apabila kita tercari2 suplemen lain utk menampung kesakitan itu bermakna kita sudah hilang percaya pd tubuh utk memulihkan diri sendiri mengikut fitrahnya. Ia berpunca dari hilang kesabaran dlm suatu kesabaran.

Kesimpulannya - Jika sakit belakang anda kerap berulang hingga timbul gejala lain spt kerap buang air kecil, sukar berbaring/berjalan atau sakit yg berpanjangan, ada baiknya disegerakan MRI dan minta pendapat dari yg betul2 pakar. Setakat pergi klinik biasa, ambil injection dan mendengar andaian doktor yg biasa ini apalagi menerima bulat2 cakap tukang urut - JANGAN CARI PENYAKIT!

[Saya bukan menyanjung mana2 doktor pakar cuma dalam keadaan tertentu berjumpa doktor pakar adalah pilihan yg paling penting dalam mengambilkira beberapa pendapat kerana pengalamannya bertemu dgn banyak kes yg serupa tapi tak sama dan sama tapi tak serupa. Berijtihad mengikut pengalamannya. Buang apa yg patut dibuang, jika tiada, alhamdulillah. Yakin ubat yg paling mujarab datang dari dalam tubuh sendiri. Allah lah yg mengaturkannya. Jika masih sakit, tiada ubat yg dicadangkan - ianya adalah kafarah atas dosa dan kealpaan kita sebagai manusia biasa - semua orang melaluinya.]
— with Kamal Mustafa.










4 ulasan:

nur hikmah berkata...

Berat sungguh ujian dan dugaan yang saudari hadapi .Saya sendiri mungkin tidak sekuat saudari untuk menghadapi ujian tersebut dengan penuh hikmah dan redha.Tapi saya percaya saudari sememangnya seorang insan yang terpilih oleh Allah untuk menerima dugaan ini kerana saudari dan keluarga mampu dan mempunyai kekuatan iman dan semangat untuk menerima ujian dengan redha..sesungguhnya Allah mengangkat darjat hambaNya yang bersabar dan redha dengan kesusahan yang diterima..Teruskan menulis dan memberi inspirasi serta berkongsi pengalaman dengan kami ! Saya sangat kagum dengan bakat penulisan saudari yang sangat jujur dan menyentuh hati.

zaiton abu bakar berkata...

Alhamdulilah awak berjaya menempuh..kini giliran saya pula..gelap dunia bila doc bagitau ade ketumbuhan di tulang blakang..symptom2 nye ialah bilamana suami tak bole berjalan dgn betol,sakit sebelah kaki.allahuakhbar..harap2 semangat saya kuat spt saudari

Khadijah Gani berkata...

Puan Zaiton yg dirahmati Allah, puan lebih kuat dan tabah lebih dari yg disangka.

Apabila kita terpaksa menghadapi dan melalui satu rintangan kehidupan, samada suka atau tidak, bersedia atau tidak, kita harus merentasinya.

Di saat itulah kita menjadi orang yg lebih tabah di luar sangkaan kita.

Atas sebab itu hikmah Allah berikan kepada setiap orang bentuk rintangan yg berbeza. Untuk menjadikan kita orang yg lebih tabah.

Saya doakan puan dapat merentasinya dengan sepenuh ketenangan dan keimanan yg sangat manis di dalam jiwa. Allah jua sebaik-baik tempat urusan dikembalikan. Fi amanillah..

Tanpa Nama berkata...

Salam Puan,
bagaimana keadaan suami puan sekarang?selepas beberapa tahun melalui pembedahan
saya juga mengalamai sakit tulang belakang
terima kasih puan

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...