رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Khamis, 26 Februari 2015

# keibubapaan # keluarga

Surirumah dan kerjaya di luar rumah




Saya tidak menyangka sama sekali yang saya akan mempunyai kerjaya lain di luar rumah selepas 7 tahun membina kerjaya sendiri dari rumah. Sungguh, ia adalah dua perkara berbeza apabila kita memperkatakan kerja dari rumah & cipta dan bina kerjaya dari rumah.

Subhanallah! Saya berpeluang merasai perbezaannya.

Allah jualah sebaik-baik Perancang.


Rutin hidup yang baru ini agak mencabar buat saya. Jujur kata, saya ini umpama 2 dalam 1 atau boleh jadi 3 dalam 1. Boleh jadi juga 4 dalam 1! Haha..

Saya dapat merasakan tahap kehidupan saya ini melalui fasa-fasanya tersendiri.




FASA SEBELUM ADA ANAK

Tahun 2008 selepas sebulan mendirikan rumahtangga, saya berpindah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru. Semasa ini, hajat diri mahu mencari pekerjaan di tempat baru. Di KL lebih banyak pekerjaan yang boleh dijawat menggunapakai Ijazah yang ada.

Namun, akhirnya saya terperuk di rumah akibat alahan yang teruk di awal fasa kehamilan anak pertama. Ia membawa hingga ke akhir kehamilan kerana saya tidak mampu berdepan dengan bau asap di tepi jalanraya apalagi bau menumis dari dapur! Haha..

Maka, banyak masa saya habiskan dengan berblogging di sini. Tulis merepek dan meraban dalam diari. Sudah tentulah mencatatkan apa menu yang dimasak dan berjaya makan setiap hari.


FASA ANAK SEORANG

Waktu ini mengambil masa agak lama untuk mengadaptasi diri dengan kehidupan baru dengan nyawa kecil yang baru. Banyak masa masak, makan, golek-golek dengan anak. Habis semua gambarnya masuk Facebook setiap hari! Konon-konon untuk tatapan kawan-kawan dan keluarga. Lagaknya seperti "macam dia seorang ada anak"! Haha.. Tahun 2009 memang saya agak jakon kerana baru "bermain Facebook". Segalanya mahu diceritakan.

I is eating jagung...

Kihkihkih!



FASA 2 ORANG ANAK

Tahun 2010 adalah tahun yang serius. Kami berpindah pulang ke Johor sebelum kelahiran anak kedua pada bulan Jun. Banyak masa lintang pukang. Maklum sajalah, anak pertama berusia 1 setengah tahun sudah dapat anak kedua. Tanpa dirancang! Ia memberi sedikit tekanan kepada saya kerana ternyata anak rapat punyai cabarannya tersendiri.

Di sinilah saya banyak melakukan kesilapan. Dan saya berazam mahu mengubahnya.

Masa banyak dihabiskan dengan memikirkan bagaimana mahu menyelesaikan masalah anakanda berdua yang rapat ini. Sering bergaduh, memukul, menggigit dan bermacam lagi perangainya yang menjengkelkan. Subhanallah! Anda boleh membacanya melalui link "Keluarga" di tahun-tahun terdahulu.


Tahun 2012 merupakan turning poin saya bilamana saya mempelajari banyak perkara baru bermula dengan mengetahui tentang Teknik Nabi yang di pelopori oleh Tim Pengkaji Hadith di bawah kendalian Puan Ainon Mohd. Saya mengikutinya di Facebook.

Maklum sajalah, hidup sebagai surirumah di ruangan sebegini sajalah tempat kita bersosial dan bernetworking. Hehe.. Tapi, dalam pada itu, banyak masa saya mencari ilmu melalui pembacaan dan mendengar radio Ikim mengenai keibubapaan.


Sejak itu, saya berubah. Dengan kehadiran anak-anak mengaji yang ramai serta kehendak diri untuk menjadi ibu yang lebih baik dari sebelumnya. Allah lorongkan saya berjumpa dengan insan-insan hebat seterusnya dapat memberi saya pengajaran mengenai skil-skil tertentu dalam menguruscara tingkahlaku anak-anak serta emosi mereka. Selebihnya, atas bantuan Allah jualah saya memperoleh ilham dan Hidayah serta Taufiqnya untuk mempunyai kekuatan terus berubah dan mempelajari sesuatu daripada anak-anak.

Sungguh, sekarang ini saya hanya melihat anak-anak sebagai peringatan terbaik untuk saya memperbaiki tingkahlaku dan uruscara saya kepada mereka supaya saya menjadi ibu yang lebih baik. Bukan lagi seperti dahulu di mana saya sering melihat kejengkelan perangai mereka menjadi sesuatu yang memberi tekanan dan stres. Ia sudah berubah.


FASA ANAK 3.

Tiada lagi masa untuk mengambil banyak gambar dan video kemudian upload di Facebook. Sungguh, tiada masa lagi untuk itu! Haha.. Jika adapun, masanya amat pendek untuk memegang henfon. Ada ramai "tangan kecil" lain yang mahu mengikuti jejak laku kita.. Hehe..

Ia bukan soal anak pertama ada banyak gambar dan anak kedua dan ketiga di anaktirikan kerana tiada gambar di upload sebagaimana anak pertama dulu, tapi lebih kepada ilmu di dada. Kerana insaf dan tersangat menyesali perbuatan terdahulu seperti "macam dia seorang ada anak" itu. Moga Allah ampunkan dosa-dosa saya terdahulu samada dengan sengaja atau tidak.

Astaghfirullah..

Tambahan pula, tuan suami menasihati jangan terlalu kerap memuat naik gambar anak-anak apabila friends list sudah semakin ramai iaitu bukan terhad kepada kenalan dan keluarga saja seperti dahulukala. Perlu berjaga-jaga. Malah, tuan suami sendiri tidak suka namanya dan gambarnya dijaja di Facebook saya yang sudah semakin meningkat bilangan kawan-kawannya dari segenap tempat.

Apa boleh buat, sejak tahun 2012, polisi sudah bertukar menjadi polisi terbuka bagi friends list di Facebook saya. Maka, saya akui ada perkara yang tidak dapat saya kongsikan seperti waktu dulu.

Mungkin sahabat lama saya dapat melihatnya. Maafkan saya, wahai sahabat. Polisi terbuka ini tidak dapat dielakkan. Tidak tahu, bagaimana ia terjadi. Huhu..


Bermula anak ketiga ini jadual waktu semakin suntuk dengan produk keluaran sendiri iaitu Kad Imbas Khadijah. Secara tiba-tiba, saya menjadi seorang usahawanita pula. Allahu akbar.

Kebanyakan masa dihabiskan dengan memikirkan tentang perancangan bisnes dan perluasan bisnes yang ada. Mengambil order, menjawab soalan, menyampul, mengepos, beratur di pejabat pos dengan anak-anak bertiga, masa menjadi semakin padat. Sebelum menerbitkan sendiri Kad Imbas pun membawa anakanda bertiga keluar masuk satu kedai ke kedai yang lain adalah fenomena biasa.

Bekerja bersama-sama dengan anakanda bertiga menjadi semakin mudah. Hectic berlaku setiap masa. Itu lumrahnya apabila kita bekerja bersama dengan anak-anak kecil. Hingga adakalanya tidak sempat ke tandas.


Di akhir tahun 2012 hingga tahun 2013 dan 2014 adalah masa saya bereksperimentasi dengan mengajar anak-anak sendiri dan anak-anak mengaji seramai 40 orang. Dari situ, saya mengumpulkan pelbagai cerita dan iktibar suka dan duka. Serta cara-cara menyeronokkan bagi menggalakkan anak kecil belajar mengaji di rumah.

Saya semakin mendapat rentak dan rutin semakin terurus menjelang 2014.

Ketika ini kerjaya semakin dikembangbiakkan dengan jayanya. Kad Imbas Khadijah sudah mempunyai lebih 35 orang pengedar. Cetakan kedua sebanyak 1000 set sudah habis licin menjelang genap setahun tanpa memerlukan marketing yang luas. Seterusnya, Poster Hijaiyyah Suka Mengaji juga dapat diterbitkan 6 bulan selepasnya. Setiap hari ada saja yang minta diposkan. Saya tidak tahu bagaimana ia boleh terjadi.

Jujur kata, saya ini seorang usahawanita yang tanpa perancangan bisnes mahupun tanpa skil marketing tertentu. Kerana itu bukan tujuan sebenar saya. Pada asalnya, saya hanya ingin membantu sahabat/kenalan saya yang memerlukan idea / cadangan untuk mengajar anak kecilnya huruf hijaiyyah. Ini kerana rata-rata yang saya jumpa mempuyai masalah yang sama iaitu anak kecil amat susah untuk fokus / duduk mengadap buku dan mengaji.

Itu sahaja.

Secara tiba-tiba pula, sahabat lama yang menggunakan KIK meminta saya berkongsi dan menunjukkan cara yang betul menggunapakai KIK ini pada permulaannya, kemudian memaksa saya menjadi panel penceramah untuk satu program baru yang diusahakannya berkolaborasi dengan seorang pengusaha dan pengamal profesional dalam bidang yang sama. Program Bicara Santai : Mudahnya Didik Anak 0-7 tahun.

Bicara santai ini berbentuk forum yang mempunyai interaksi 2 hala. Beliau selaku moderator tetap seringkali mengajukan soalan-soalan yang mewakili pemikiran kaum bapa muda zaman ini serta bagaimana mahu membentuk seterusnya mengajar anak kecil untuk suka belajar mengaji selain bagaimana untuk mengurus beberapa tingkahlaku negatif anak kecil supaya ia dapat dilihat dari sudut yang positif seterusnya mempositifkan segala tingkahlaku anak-anak.

Pada awalnya, saya tidak bersetuju dengan penggunaan perkataan "Mudahnya" kerana mendidik anak bukanlah suatu yang mudah. Namun, setelah saya mendapat penerangan dan bimbingan dari mentor juga Tuan Guru saya dari IPKIM, Dr. Norhissam Mustafa (merangkap abang ipar saya), saya nampak 4 model yang digunapakai dalam Gaya Hidup Sihat Insaniah sebelum ini juga mampu menjadi model dalam pembentukan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Hanya perlu menggabung jalinkan beberapa cara lain untuk penjernihan semula keempat-empat model tersebut. Empat model ini menjadikan perancangan pendidikan dan didikan terhadap anak-anak menjadi lebih jelas dan tersusun. Ia juga ada model yang sama harus dipraktikkan ibubapa/orang dewasa atau sesiapa sahaja bagi merubah kembali Gaya Hidup yang bersandarkan al-Quran dan as-Sunnah. Kerana itu, ia sebenarnya mudah hanya apabila bermula dengan diri kita sendiri untuk mengubah gaya hidup dan keutamaan hidup kita.


Subhanallah!

Saya ini bukanlah pakar bidang pendidikan awal kanak-kanak. Saya ini hanya tahap pengamal tidak profesional sahaja yang cuba beramal dengan ilmu yang sedikit. Ada masa berjaya, ada masa tidak. Saya insan biasa. Kerana saya banyak melakukan kesilapan terhadap anak-anak satu masa dulu akibat menghadapi isu anak rapat telah mendorong saya mencari ilmu menghadiri kursus-kursus pendidikan awal kanak-kanak serta terus mengamalkan ilmu yang sedikit itu ke atas anak-anak menjadikan ada sahabat lain yang lama mengenali saya dapat melihat potensi besar saya yang terperosok selama ini.

Allahu akbar! Rupanya, melalui kesilapan bersama anak-anak adalah ruang yang tidak harus dipersiakan dengan berputus harap dengan rahmat kasih sayang Allah yang Maha Besar!


Tahun 2015, menyaksikan fasa baharu dalam hidup saya.

Selepas menerbitkan Ebook terbaharu "Mendorong Anak Suka Membaca Al-Quran", tidak lama kemudian saya terus dilamar untuk bekerja dengan sebuah pusat transit di Johor Bahru.

Biasanya, kita yang mencari kerja, jika kita mahu. Tapi, kali ini pekerjaan ini yang mencari saya, tanpa saya sangka! Pada asalnya, ia hanya sebahagian daripada perancangan 2015 saya saja. Saya tidak mahu terlalu terikat. Allahu musta'an.


Saya ada menceritakan di Facebook bagaimana saya boleh dilamar menjadi tenaga pengajar mengaji al-Quran di pusat transit ini. Atas rekomen seorang sahabat lama di UIA juga. Hehe.. Sahabat-sahabat saya banyak memberikan jalan yang tidak terduga.

Kali ini, cabaran untuk mengadjust masa dengan rutin hidup seharian benar-benar mencabar!

Saya yang selama 7 tahun tidak pernah menghabiskan masa di perjalanan dan sangat tidak suka bertembung dengan traffic jam akhirnya tewas dengan traffic jam itu sendiri!

Pergi balik dari rumah ke pusat transit setiap hari memakan jarak lebih 50km. Pergi 1 jam, balik 1 jam. Jika jem balik mencecah 2 jam! Allahu robbi...

Bayangkan saja saya yang selama ini bekerja bersama-sama anak ke hulu ke hilir walaupun beratur panjang untuk mengepos barang, merasakan ia jauh lebih senang daripada seorang diri memandu dan terperangkap selama 2 jam di dalam jem sepanjang perjalanan pulang 50km itu! Tanpa anak di hadapan mata dan tanpa mendengar riuh rendah suara anak-anak.


Walaupun saya mengajar hanya 4 kali satu minggu namun, kepenatan amat terasa setiap kali pulang ke rumah saja sudah menjelang waktu maghrib. Dengan baki masa yang ada, harus menguruskan anak-anak pula sebelum anak-anak mengaji datang mengaji tepat jam 8 malam!

Rutin yang baru ini amat memenatkan saya secara mental dan fizikal sehingga dua minggu awal saya agak murung dan sentiasa rasa bersedih dan akhirnya saya menangis.

Tekanan saya rasakan akibat saya tidak suka terperangkap di dalam jem. Juga saya amat berat hati meninggalkan anak-anak bertiga di rumah bersama tuan suami yang juga bekerja dari rumah. Mujur tuan suami kerjanya secara remote. Saya sangat sayang suami saya yang banyak mengambil alih tugasan saya di rumah. Alhamdulillah.

Pada masa inilah, saya melihat anak-anak semakin dapat berdikari tanpa ketiadaan saya. Memikirkan kebolehan tuan suami menguruskan anak tiga orang seorang diri di rumah amat menggusarkan diri ini yang selama 7 tahun tidak pernah berpisah dengan anak-anak.

Apabila pulang saja ke rumah, si abang Fathi memberitahu,

"Mak, tadi kan abang dengan Tiha selawat banyak-banyak sama dengan Fahmi supaya mak tak kena jem kat jalan. Jadi, mak boleh cepat sampai rumah. Kan mak ajar kalau kita nak cepat ke kita kena selawat banyak-banyak. Nanti Allah tolong."

Allah... Allah.. Allah... Luluh hati mendengar bicara anakanda berdua.

Manakala, Fahmi (yang masih lagi menyusu badan) sudah mengerti tidak mencari saya lagi hanya di waktu petang hari. Dan tidak menangis apabila saya tiada di rumah.

Allah permudahkan.

Haza min fadhli rabbi.

Tahun-tahun terdahulu ada saya kongsikan rutin harian saya yang semasa itu hanyalah tipikal surirumah yang bergelut dengan perangai anak-anak setiap hari >> http://khadijahgani.blogspot.com/2012/09/menjadi-surirumah-profesional-yang.html & http://khadijahgani.blogspot.com/2012/04/best-tak-kerja-dari-rumah.html

Selepas beberapa tahun, inilah rutin baharu bagi seorang surirumah yang sudah keluar dari jalan tipikal yang bekerjaya di luar (mengajar) selain di dalam rumah itu sendiri (bisnes, penulisan, anak-anak & rumahtangga).

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pagi > Aktiviti / amalan peribadi (mencari kekuatan diri).

Check emel, mengambil oder dan tempahan serta menjawab semua emel dan pertanyaan.

Mengurus dan merangka projek seterusnya akan datang.

Membangunkan anakanda 2 orang, menyiapkan bekalan dan sarapan, bersiap-siap ke sekolah.

Hantar anak ke sekolah.

Pergi ke kedai.

Anak kecil bangun, sudah tidak dapat menjawab pertanyaan lagi. Layanan khas kepada si kecil Fahmi berusia 2 tahun ini yang mahu sarapan, mandi, belajar dan bermain.

Sambil-sambil itu membungkus barang untuk diposkan.

Mengemas rumah.

Membasuh baju.

Memasak nasi.

11.30 pagi > Ambil anakanda berdua pulang dari sekolah.

Memasak hanya 1 jam. Tidak boleh lebih.

Makan bersama anak-anak dan tuan suami.

Zohor.

Bersiap sedia ke tempat kerja.

Singgah mengepos barang (waktu harus tepat kerana barisan mengepos setiap haripun Maha panjang!)

3.30 petang > Mengajar.

5.30 petang > Pulang mengajar dan bersedia menempuh jem yang MAHA panjang!

Sampai rumah. Maghrib. Solat. Ajar anak sendiri mengaji (kadangkala tidak sempat).

Makan bersama anak-anak dan tuan suami.

8 malam > Anak mengaji datang rumah.

Habis ajar mengaji.

9 malam > Tidurkan anak.

Tertidur kepenatan.

Bangun tidur jam 4 pagi. Adakala, jam 3 pagi.

Masa untuk diri sendiri mencari ketenangan dan kekuatan diri.

Menyambung penulisan manuskrip (sedang menunggu) untuk beberapa buah buku dan komik.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

* Anda akan dapat melihat saya hanya mampu update status hanya sekali dalam sehari (hanya waktu pagi).

Hanya selepas sebulan ini, akhirnya saya dapat menerima hakikat. Melalui anak sulong saya Fathi yang berumur 6 tahun. Saya teringat semula kata-kata saya kepadanya satu ketika dahulu semasa Fathi punya isu tidak mahu ke sekolah.

Bahawa,

Dalam hidup ini tak semua perkara yang kita suka saja kita boleh lakukan. Adakalanya, kita perlu lakukan perkara yang kita tak suka itu. Kerana perkara itu juga ada ilmunya dan kita ambil pengajaran dan belajar daripadanya. Umpama pelangi. Tak semua warna yang kita suka ada membentuk pelangi yang indah. Belajar untuk menyukai warna pelangi yang lain.

Sungguh, anak-anak adalah punca utama kita terus menjadi seorang hamba Allah yang lebih baik dari sebelumnya. Juga seorang pelajar di atas muka bumi ini. Walau besar mana kesilapan dan dosa kita, Allah tetap memberikan kita peluang memperbaiki diri dan mengampunkan dosa yang telah berlalu.

Hanya kerana kita ini seorang pelajar. Belajar di setiap kejadian dan penciptaanNya.

Rutin baharu ini sekali lagi membuka tetingkap dunia saya dari sisi yang berbeza. Sekali lagi sebagai seorang pelajar yang mencuba pekerjaan yang berbeza dan akhirnya membentangkan jalan hidup yang berbeza setiap masa bersama cabaran yang berbeza.

Hidup ini terasa indah apabila dipenuhi dengan banyak pilihan jalan kehidupan. Kerana di dunia sana pilihan hanya terhad kepada DUA jalan sahaja.



**********************************************************************

Manuskrip penulisan / projek yang sedang menunggu :

1. App Android KIK projek bersama seorang game designer, Puan Lina Maharon di bawah kelolaan Tuan Suamiku sendiri.

2. Komik Geng Suka Mengaji (siri pengenalan) diterbitkan secara E-Comic dan projek sambungannya (bersiri) bersama PTS One.

3. Ebook Mendorong Anak Suka Membaca Al-Quran (akan dijadikan buku) bersiri dengan buku sambungannya bertajuk : Ibu, saya mahu mengaji! projek bersama kumpulan Syahadah di bawah kelolaan Ustaz Zahiruddin (Karangkraf)

4. Projek bersama kumpulan Wanita Paling Positif Di Dunia bersama Irma Hasmie di bawah kelolaan Tuan Zamri Mohd.

5. Buku Bicara Santai Mudahnya Didik Anak 0-7 tahun (kompilasi soalan daripada bengkel bulanan).

6. Dari blog ke buku :

(i) "Hidup Penuh Pilihan" mengenai kerjaya surirumah (cipta kerjaya dari rumah)
(ii) "Seni bercakap dengan anak kecil" mengenai bentuk dialog dengan pemilihan kata-kata semasa berbicara dengan anak cilik.

7. Kompilasi soalan mengenai hamil luar nikah.

***********************************************************************
Allah.. Minda ini sudah tercambah fokusnya. Kerana itu, saya terpaksa memperlahankan aktiviti di Facebook pula.

Para pembaca boleh nyatakan pilihan manakah yang mahu dipercepatkan dahulu kemenjadiannya. ;)



2 ulasan:

lydiarahayumahmod berkata...

sungguh memberi inspirasi.. harap dapat lagi share suka duka sbg surirumah berijazah. Kadang-kadang, perasaan rendah diri datang hinggap dalam diri. Bila baca blog WAHM, rasa terubat hati.

Khadijah Gani berkata...

Sama-sama kita puan. Adakalanya, saya juga mencari pengubat hati untuk terus bertahan melalui jalan ini. Terima kasih. :)

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor