رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Isnin, 16 April 2012

# keibubapaan # keluarga

Best tak kerja dari rumah?











Gelagat anak-anak saya ketika bermain dan sesudah bermain.
-------------------------------------------------------------------

Apabila seorang junior sekolah saya baru-baru ini menanyakan soalan ini (kerana katanya dia sedang memikirkan untuk berhenti kerja memandangkan sudah mengandung anak kedua dan akan lebih banyak kos ke rumah pengasuhan kelak iaitu 2orang = RM 600) saya mengimbau semula 4 tahun kerjaya saya sebagai surirumah dan membuat perniagaan sampingan dari rumah.



Hidup seharian seorang surirumah dengan kerja-kerja biasa dan kerja-kerja yang 'dicari' sendiri tanpa paksaan tidaklah segah mana. Tiada uniform khas. Tiada siapa memaksa tapi kerja-kerja itu semua harus dilakukan juga tak kira sakit atau tidak..

Tiada KPI. Tiada kenaikan pangkat. Tiada kenaikan gaji. Tiada juga pujian atau kredit diterima untuk kerja-kerja yang tidak berapa disedari oleh orang keliling sebegini.Tiada laporan yang harus disegerakan. Tiada mesyuarat yang harus diikuti. Tiada gerak kerja yang harus ditepati. Juga tiada tangga gaji yang setara mengikut kerja yang dilakukan setiap hari.

Kadangkala saya agak pelik juga apabila seorang yang sudah terbiasa kerja di luar menjadi buntu dan tak tahu apa yang boleh dibuat jika duduk dirumah dalam satu jangkamasa yang panjang. Kerana mereka sudah terbiasa dengan job scope dan buku catatan kerja yang harus dipatuhi.

Oleh itu, saya tak hairan jika daripada seorang wanita bekerjaya apabila menjadi wanita yang duduk di rumah, mereka buntu, tak tahu apa mahu dibuatnya dalam satu hari. Maka, duduk di rumah itu dilihat sebagai membuang masa, membosankan juga tidak produktif sebagaimana mereka melakukan tugasan di tempat kerja.

RUTIN HARIAN

Saya agak kehidupan saya sangat berlainan dengan kebanyakan orang.

6 pagi : Solat subuh - Baca al-ma'thurat

7 pagi : Check emel - Baca apa-apa dari internet (masa saya)

8 pagi : Pergi rumah mak - Masak sarapan / beli sarapan - Bersarapan bersama suami (anak-anak main dulu kejap)

9 pagi : Suami pergi kerja - Mandikan anak (mula-mula Dariyyah Husna 7 bulan, lepastu barulah anak-anak sendiri mandi serentak) - Bagi Dariyyah susu - Bagi anak-anak sarapan **kadangkala jadi terbalik, anak-anak bersarapan dahulu, kesian suami yang terpaksa bersarapan sendiri pula**

10 pagi : Solat Dhuha - Sidai baju 1st round - Kemas rumah - Siapkan anak, sediakan susu, biskut dan buka kartun (dah senyap baru boleh buat kerja) - Check emel (Buka Kedai baju @Busanasuri)

10.30 -11 pagi : Hantar tempahan baju (jika ada) - Hantar nasi dan lauk ke rumah atok (mak masak semasa saya bersarapan sambil-sambil menjaga cucu kecil) - Balik mesti singgah ke kedai beli lauk untuk dimasak esok hari

12 tengahari : Sampai rumah tiga-tiga anak menjerit lapar! - Siapkan makanan Dariyyah bagi mak suapkan. - Siapkan makanan anak-anak lepastu suapkan (lambatlah sikit) tapi part ni yang horror sebab masing-masing akan bising dah kelaparan!

1 tengahari : Habis saja anak-anak makan, mak tidurkan Dariyyah, saya ke dapur memasak untuk suami pula (lauknya special sebab tu saya masak sendiri bukan emak yang masakkan hehe). - Tukar pampers, bagi susu suruh tidur sendiri sambil tengok Upin Ipin (terpaksa untuk membolehkan saya memasak dengan tenang di dapur). - Masa diorang buang air besar jugak (kalau dua-dua serentak 'pengeluarannya' memang horror sebab masa ni jugak nak memasak. Saya cuma ada 30 minit je untuk memasak walhal anak-anak kalau dapat masuk bilik air, main air yang tak tahan tu!)

1.30 tengahari : Suami balik makan tengahari. Makan bersama suami.

2 petang : Suami ke kerja semula. - Solat. (Masa ni Dariyyah dan neneknya tidur dulu. Mak mesti tidur tengahari kalau tak mak akan sakit mana-mana semula). - Kalau anak-anak tidur bolehlah solat dengan tenang sikit. Biasanya anak-anak tak tidur selagi saya tak baring sebelah maka, diorang pun akan solat sekali dengan saya. Kurang khusyuk la sikit hehe..

3.30 petang : - **Sidai baju 2nd round (mak memang suka membasuh baju, kadangkala tak terikut saya tahap kerajinannya membasuh huhu..). -Limit masa anak-anak kena tidur. Kalau tak, saya akan masuk dalam bilik dan kuncikan diri sendiri dalam bilik. Mulalah si Fathi menangis sebab nak keluar tak boleh. Kena paksa tidur. Saya pun kena tidurlah sama (bolehlah tegakkan badan sekejap).. Kalau tak, dia pun tak tidur. Fatihah masih menyusu badan. Dia akan cari saya setiap kali nak tidur.

4 petang : Biasanya, bila anak-anak dah tidur, Dariyyah pula dah bangun. Saya tak boleh tidur, perlu take over dari mak. Bagi mak rehat/baring. Dariyyah sekarang pun sekejap je dah nak dapat kaki sekarang ni, laju sikit dia merayap.

4.30 petang : Kalau anak-anak belum bangun lagi saya akan check busanasuri. - Solat asar. - Masak minum petang. (Kadang-kadang tak sempat masak lagi masing-masing dah merengek nak tu nak ni.. Horror lagi!)

5.30 petang : Wajib tengok Upin Ipin @ tv9. - Lepastu baru main kat luar. Kadang-kadang penat nak layan diorang main kat luar, diorang main motor-motor kat dalam rumah je. Bersepahlah dalam rumah. Biasanya mak akan bising pula sebab rumah bersepah!

6 petang : Mandi. Mula dengan Dariyyah. Lepastu anak-anak mandi serentak lagi. ** On call jika kena ambil 2 orang anak yatim balik sekolah jam 6.30 petang. Bawak sekali dua-dua orang anak..**

6.30 petang : Tengok Upin Ipin sekali lagi @ tv9. - Saya pula yang mandi.

7 petang : Selalunya ajar Fathi azan, ajak solat maghrib dulu. Kadang-kadang dia nak dengar cakap, ok, keadaan terkawal. Kadang-kadang bila dia taknak dengar cakap, keadaan horror lagi sekali! Sebab nak tengok Upin Ipin lagi tak puas. Si Tiha pun boleh tahan kalau bab Upin Ipin nih. ** Kalau ambil anak-anak yatim tu balik dari sekolah saya akan tiba rumah maghrib. Dalam kereta terasa kelam kabut apabila mereka bermain-main tanpa pengawasan, manakala saya sorang diri drive bersama 4 orang budak! Bahaya! Tapi saya bertawakkal saja.. Kerana tiada orang lain lagi yang boleh ambil anak-anak itu pulang dari sekolah.**

7.30 petang : Solat. - Baca Quran. - Suap anak-anak makan.

8 malam : Suami balik. - Masak makan malam sikit kalau lauk habis. - Makan bersama. - Kemas dapur. - Siapkan susu, biskut, baju untuk pulang ke rumah sendiri.

9 malam : Pulang ke rumah sendiri. - Bersihkan rumah.

9.30 - 10 malam : Solat. - Anak-anak tidur. Lepastu baru saya boleh pegang laptop. Buat kerja-kerja uploading dan apa-apa untuk Busanasuri termasuk juga untuk blog ini. (Jika tiada update dari saya itu bermakna saya buat salah satu kerja daripadanya. Dan saya tiada daya lagi nak mengadap laptop lama-lama.. Sangat penat dan sudah mengantuk!)

Pukul 12 tengahmalam harus tidur. Harus dapatkan rehat yang optimum!

** [Horror : Merujuk keadaan seorang anak menangis, menjerit, mengamuk hingga semua barang dibaling, meminta itu ini tapi serba tak kena dan juga nak sesuatu dengan segera, sekarang juga tak boleh tunggu sikit masa lagi. Kadangkala dua-dua anak, dan ada masa ketiga-tiganya sekali menangis. Sampai tak tahu mana nak dahulukan yang awal.]

Hari Sabtu dan Ahad pula masa saya bekerja di luar iaitu kerja-kerja ambil gambar baju untuk Busanasuri. Kebiasaannya selepas sarapan bersama suami dan memberi makan anak-anak serta memandikannya selepas itu saja baru saya ke Skudai Parade (butik ibu saudara) di mana baju-baju Busanasuri dijual. Ambil gambar saja, baliknya petang. Jika lambat pergi ke sana lambatlah balik. Saya buat semua urusan itu seorang diri, daripada memilih baju mana, fabrik apa, memakaikan baju ke patung hingga ambil gambar semua buat sendiri. Tiada yang menolong kerana itulah prosesnya mengambil masa lama untuk disiapkan. Memang memenatkan!

Ahadnya pula biasanya saya ke kelas lanjutan RKi (kelas penjagaan kesihatan melalui perubatan komplimentari) untuk menambah ilmu pengurusan kesihatan keluarga termasuk juga pengurusan kehidupan secara holistik. Setelah mengharungi satu minggu yang melelahkan, saya lebih suka update diri dan mendapatkan motivasi percuma [sudut pandang baharu] melalui kelas ini. Jika tiada kelas pada hari ahad barulah saya ada masa untuk membuat coklat ataupun membawa anak-anak makan angin sebentar di mana-mana. Jadual di atas hanyalah sepanjang isnin hingga jumaat. Suami bekerja, saya uruskan anak-anak. Hujung minggu pula saya bekerja/belajar, suami pula uruskan anak-anak.

Begitulah..

1. Di sebelah pagi, saya dan mak MESTI hantar lauk kepada atok yang tinggal dalam kawasan JB ni juga. Kerana atok tinggal keseorangan di pagi hari. Dia sudah semakin uzur susah untuk bergerak apalagi untuk memasak. Mak tak sampai hati tengok atok makan nasi sejuk atau roti canai saja untuk makan tengahari jadi mak sebolehnya nak hantar lauk juga pada atok.

(Jika anda surirumah yang tercari-cari aktiviti untuk memenuhkan masa yang kosong, saya nasihatkan anda berbaik-baik dengan mana-mana orang tua sekitar perumahan anda dan memberikan lauk kepadanya setiap hari. Hakikatnya, sangat sunyi dan kasihan orang tua yang duduk keseorangan di pagi hari ini apatah lagi jika orangtua itu sudah sakit dan uzur).

2. UPIN IPIN adalah satu tabiat yang tak sihat untuk anak-anak saya. Saya sedar itu. Inilah 'situasi' besar saya sedang memikirkan cara keluarnya. Kadang-kadang sebab nak tengok lagi atau lambat sikit dari waktu siaran di tv anak-anak boleh menangis memberontak habis bersepah rumah dibuatnya.. Cakap betul-betul, baik-baik pun sebab diorang tak tau tengok jam lagi jadi hilang daya usaha nak memahamkan diorang lagi.. Kelakar.. Tapi horror! (Sampai abah selalu keluar ayat, "Haihh budak ni, cuba dengar cakap orang sikit! Dah la tak reti tengok jam! Nak ikut dia aje!").. haha camna tu?!

3. TABIAT saya pula asyik sentiasa bersama tab! Ada masa senggang sikit saya buka tab, check facebook, check email, cari maklumat tentang baju (assignment terkini). Dan mak semakin salah sangka. Mak ingat saya chatting atau saya main facebook saja! Padahal, sayalah org paling malas sekali nak chat dengan orang lain kat fb tu. Kecuali dengan adik-beradik saja! Lain-lain waktu saya online kerana saya cipta assignment untuk diri sendiri dan saya perlu mencari maklumat. Assignment saya tentang pendidikan anak-anak hampir siap. Saya akan kongsikan di sini sedikit masa lagi. Assignment mengenai baju pula saya harus lakukan setiap hari kerana saya tak mahu 'jual baju' saja. Saya mahu 'jual maklumat' juga. Maklumat yang berkaitan. (Ini cadangan daripada suami jika ingin membuat bisnes yang betul melalui online begini). Jadi, saya harus 'cipta' assignment untuk diri sendiri.

4. Sampai sekarang, saya kehabisan masa untuk melipat kain baju dalam sehari. Saya cuba mencari juga masa itu. Itulah 'situasi' terbesar saya..

JAWATAN

Menjadi surirumah ni tak bermakna hanya duduk diam di rumah sehingga menjadi 'tiang seri' bagi sesebuah rumah. Saya cukup tak berkenan dengan stigma sebegitu!

Dengan teknologi dan bermacam gajet terkini zaman ini surirumah tak harus dipandang sebagai seorang yang pasif.

Juga tidak harus dipandang sebagai hanya 'penyeri di dapur'.

Atau juga hanya sebagai 'duduk goyang kaki di hadapan tv'.

Dalam sehari, saya tak dapat langsung menonton tv. Ermm, bila saya menonton tv ek? Malam saja. Kerana itu bila saya menonton tv di waktu malam itu sajalah masa untuk diri saya berhibur sedikit dan melepaskan lelah untuk seharian bekerja. Kalau dapat tengok tv pun hanya sambil-sambil lalu saja semasa memasak atau makan tengahari. Kadangkala, malam pun tak tengok tv kerana saya perlu edit dan update @busanasuri. Banyak kerja bila buka kedai baju ni.

Bila saya berbual/chatting? Saya tak suka chatting. Jadi saya memang tak berchit chat. Tapi kalau orang mulakan chatting atas sebab tertentu seperti inginkan pendapat, ya, saya suka bertukar pendapat. Tapi tu pun sebentar saja. Itu pun saya sudah kena 'kerlingan tajam' mak beserta 'suara tekanan' yang paling stress saya rasakan! Ya, kerja di rumah juga punya stress tersendiri.

Emak adalah mentor saya. Saya sangat hormati mak sebagai seorang surirumah berkaliber! Mak sangat tepati waktu. Tiada masa bersenang lenang. Dikerahkan saya 'mencari kerja'! Kadangkala saya bekerja melalui tab ini (online internet) pun dia menyangka saya tidak melakukan apa-apa kerja. Hanya membuang masa mengadap tab! Dan akhirnya mak yang 'sakit' semula kerana menyimpan amarahnya di dalam hati tanpa berterus terang dengan saya.

Mak juga suka membuat kerja dengan lebih laju. Sangat cepat! Jika saya katakan nanti saya akan sidai baju sebab saya perlu melayan pertanyaan orang (kedai baju), dia akan menyidai kain baju sendiri kerana nak kejar panas katanya. Kalau tunggu saya esok pun tak kering lagi. Duduk rumah kenalah pandai kejar matahari. Kalau matahari keluar sampai masuk balik kain baju tak kering buat apa duduk rumah - kata mak.

Saya cuba ikut rentak mak. Dari segi pengurusan masa. Juga dari segi pengurusan tahap kemarahan anak-anak. Juga dari segi masakan. Juga dari bermacam segi lagi. Saya tak nafikan. Kerana saya masih sangat jauh menyerupai gerak kerja mak yang sangat pro itu! Namun saya punya cara tersendiri.

Saya agak lambat dalam buat kerja-kerja rumah semua itu tapi saya tetap siapkan juga dalam hari itu.

Saya akan biarkan anak-anak buat sepah puas-puas dulu, baru saya akan kemas semula nanti.

Saya akan biarkan anak-anak habiskan satu-satu air dahulu baru saya akan buat yang baru. Bukan dengan mengikut saja apa yang diminta anak.

Saya juga akan memarahi anak-anak dengan pantas jika sesuatu yang menguji tahap kesabaran saya tercabar namun dengan cepat juga saya memanggil mereka semula dan menerangkan mengapa saya memarahi mereka. (Adakalanya saya mengangkat tangan menyerah diri kerana perangai mereka ini namun kena pujuk hati juga untuk kembali ke niat asal semula dalam mengurus anak-anak).

KESIMPULAN

Masih banyak lagi saya harus belajar daripada emak untuk menjadi seorang yang pro di rumah. Saya tak nafikan. Kadangkala saya lemas dengan semuanya kerana itu saya memerlukan 'sedikit masa' untuk diri sendiri. Itu saja...

Selepas 4 tahun menjadi surirumah, baru saya dapat merasakan sesuatu. Hidup saya betul-betul sudah berubah 360'! Dulu, saya suka bersosial bertemu dengan orang. Kini, saya tiada lagi 'kesosialan' itu.

Dulu, ketika saya tidur tiada siapa boleh ganggu! Kerana saya orang yang kuat tidur. Kini, bunyi anak bergerak dan mengalih badan ke lantai pun saya sudah terjaga dan membetulkan semula tempat tidurnya.

Dan yang paling saya terasa ialah saya sudah lupa bagaimana rasanya berCUTI. Dah lama saya tak gunakan perkataan 'cuti' dan saya tak pasti apa maksudnya cuti itu? Hmm, ada sesiapa boleh ingatkan saya semula?

Akhirnya saya akur yang semua ini adalah proses perubahan kehidupan dalam setiap individu. Semua orang berubah. Semua orang boleh berubah mengikut cara mana yang dia mahu. Semua orang berubah mengikut keperluan masa yang beredar.

Saya memilih untuk fokus kepada rumahtangga, anak-anak. Kerana pada saya, memberikan pendidikan terawal dalam kehidupan seorang anak lebih penting dan utama daripada memberikannya pendidikan semasa di pertengahan usia. Usia awal mereka adalah tempoh masa yang sangat cepat dan singkat. Masanya sangat pantas dan tidak mungkin akan berulang kembali. Saya tak mahu melepaskan 'masa ini' maka saya terikat kepadanya. Saya terima. Dan saya punya misi dan visi tertentu dalam fokus yang saya pilih ini.

Saya ingin kongsikan sesuatu.. Mungkin boleh dijadikan panduan kepada sesiapa dalam usaha 'mencari' dan sedang menimbang-nimbang untuk berhenti kerja atau tidak. Ini pendapat saya.

Bekerjaya atau tidak bukanlah persoalan utama. Saya harus bersetuju dengan tulisan Ustaz Zaharuddin di sini. Hukum asal isteri yang bekerja di luar adalah sunat atau harus. Yang menjadi wajib bagi si isteri adalah melayan dan menguruskan rumahtangga suami. Ianya tidak harus dipandang sebagai pekerja /pembantu rumah sahaja tetapi sebenarnya kita adalah COO bagi sebuah rumahtangga. Jika COO bertintak sebagai orang yang sangat penting bagi sebuah syarikat besar yang berpotensi memberi pulangan yang lumayan maka, COO bagi sebuah keluarga, lebih besar dan lebih lumayan pulangannya di akhirat kelak jika ia diurus dengan sepatutnya.

Saya juga berpendapat yang sama seperti Ustaz Muhammad bin Abdullah (ustazamin.blogspot) katakan dalam Tanyalah Ustaz dalam satu tajuk terdahulu. Kadang-kadang si isteri belajar sampai universiti tapi alangkah ruginya jika kita membiarkan pengasuh/bibik yang tiada pelajaran itu yang menjaga dan mendidik anak-anak kita. (Kerana itu, saya tidak memikirkan berapa ruginya saya masuk universiti dan tidak bekerja dengan gaji yang mewah walhal saya layak tapi saya lebih memikirkan sebegini).

Namun, menjadi surirumah sepenuh masa ataupun mempunyai kerjaya di luar rumah bukanlah persoalan penting di sini. Secara peribadi, saya tidak menganjurkan anda berhenti kerja semata-mata menjaga seorang anak. Ya, ini benar. Jika anak anda sudah menjadi dua atau tiga atau lebih barulah berbaloi untuk anda berhenti kerja. Walaupun begitu, ianya tetap satu pilihan. Samada anak seorang atau beberapa orang sekalipun anda bekerja atau tidak, yang paling penting anda harus berpegang kepada prinsip dan pemikiran anda sendiri. Apa tujuan kerja yang anda lakukan. Tak kiralah samada di pejabat atau hanya di rumah. Harus punyai tujuannya. Dan semestinya setiap pilihan yang diambil itu punya kos lepasnya tersendiri.

Bersedia dan hadapinya!


7 ulasan:

Fadhilah berkata...

Seronoknyer bekerja dari rumah kakdah!Saya teringin juga cuma tiada keberanian untuk bermula.Mcm kakdah nyatakan,hidup ini penuh pilihan cuma kalau saya boleh tambah, tanpa keberanian mimpi takkan jadi kenyataan(saya merujuk kpd diri sendiri).Seronok sungguh saya baca posting kakdah ni.Keep it up!

Khadijah Gani berkata...

'Tanpa keberanian mimpi takkan jadi kenyataan'.. erk, mcm pernah dengor je tagline nih...hehe.. mcm dlm filem..

Adatlah fadhilah. Tiap apa pun jln yg kita pilih ada seronok ada tak seronoknya.. ada positif ada yg tak brapa nak positif. Asalkan ada tekad,nekad dan berani tanggung apa je risiko mendatang kita akan mampu mengharunginya walaupun pahit/susah mana skalipun.. ye tak.. ;))

molliesa berkata...

semua orang boleh buat...cume nak tak nak je... moga terus jadi supermak! :) ibu yang berkerjaya ni sebenarnye kureng sket je stress dari ibu yang kerja dari rumah... fuh! mencabar tu! banyak dugaannye! kalo mlie..molie sanggup keje..:)

Khadijah Gani berkata...

Kerja luar ke kerja dalam rumah ke... Sama2 ada stresnya molie. Terpulang pd kita mcmana nak uruskannya.. Sbb tulah kda rasa byk lg ilmu nak kena belajar utk handle stres mcm2 gaya nih. Anak dah masuk 2,3 kang baru boleh 'feel' dan nampak 'gayanya' yg sebenar.. hehe.. sekadar perkongsian.

ummu hanum berkata...

saya kagum dengan puan.saya jadikan kisah puan sbg panduan buat saya. tak beberapa hari je lg sy akan berubah status kepada surirumah tangga sepenuh masa.

Khadijah Gani berkata...

Saya doakan semua urusan dipermudahkan, ummu hanum dan selamat maju jaya! Berubah status kerjaya tak bermakna berubah matlamat hidup utk berjaya. Terima kasih kerana sudi membaca dan menjadikannya sebagai panduan. Moga saya juga akan beroleh panduan dari pembaca sekalian..

nur hikmah berkata...

Alhamdulillah...saya baru sahaja terjumpa blog ini..Menjadi penawar kepada stress yang saya alami sejak berhenti kerja lebih 8 bulan dahulu.Kaedah-kaedah secara islamik yang diberikan dalam artikel kakak telah memberi saya panduan yang sangat berguna dalam mendidik 3 orang anak kecil yang berusia 4 tahun, 2 tahun dan 2 bulan.Selain itu blog ini turut memberi motivasi kepada saya untuk berubah menjadi ibu yang lebih baik dengan mengurangkan rasa marah dan lebih banyak berdiplomasi dengan anak-anak. Mudah mudahan usaha kakak untuk membawa perubahan kepada masyarakat terutama parenting skill melalui blog ini mendapat ganjaran pahala dari Allah..Teruskan usaha..

#jdtblogger #teambloggerjohor