Khamis, 2 April 2015

TANTRUM Anak Kecil



Sejak bercuti tempohari, Fahmi (2 tahun) sudah mulai menunjukkan tantrumnya.

(Jika dahulu, anak tantrum pun masih sempat ambil gambarnya (saja menyakat), bila anak 3 sudah tidak sempat semuanya. Hehe.. Tiada gambar yang betul-betul, hanya ada gambar setiap kali tingkahlakunya yang elok-elok saja. Ini juga salah satu perubahan saya. Berhenti mengambil gambar anak di saat mereka menunjukkan tingkahlaku kurang baik. Saya baru sedari yang kita tidak menunjukkan satu penghormatan kepada anak jika kita masih ada hati mengambil gambar di saat mereka "bad mood").


Sudah lama abang dan kakaknya, Fathi dan Fatihah (6 & 5 tahun) tidak lagi mentantrumkan dirinya. Tapi, bila diingat kembali mereka berdua juga satu masa dulu, Masha Allah, boleh tahan juga tantrumnya. Lebih-lebih lagi Fathi!

Ketika anak sulong dahulu, Fathi, sejak berumur 3 bulan lagi dia sudah mogok susu (nursing strike). Semasa itu, saya tidak tahu apa-apa, kenapa lebih 12 jam dia tidak mahu menyusu  langsung walaupun bermacam cara dibuat dan walaupun dia sangat kuat menyusu ketika itu. Pipinya seperti dipam-pam. Tiba-tiba saja dia menolak untuk menyusu?



Hanya berbekalkan nasihat biras saya, saya konfius sambil memujuk bagaimana budak sekecil 3 bulan ini sudah boleh pandai merajuk disebabkan sedikit perubahan rutin harian di antara waktu mandi dan waktu menyusu pagi hari tersebut.

Apabila saya memasuki Bengkel Penyusuan Susu Ibu untuk menjadi Peer Counsellor (anak sudah tiga) barulah saya tahu yang mogok bagi bayi itu wujud sekecil umur 3 bulan atas beberapa faktor termasuk perubahan rutin harian.

Ini kerana anak sekecil yang berumur 3 bulan sudah membina emosi dan menyerap segala perkara yang berlaku di sekelilingnya serta mampu mengekspresikan satu-satu input atau emosi ketika itu hanya melalui tangisan dengan gerak badan (menangis dan mogok).

Subhanallah!

Sejak itu, apabila umur Fathi meningkat dari setahun ke setahun, dia menunjukkan tantrum yang sangat jelas. Dan sangat kerap apalagi ketika umurnya 8 bulan saya sudah mengandungkan adiknya dan ketika umurnya 1 tahun genap saya terpaksa menghentikan penyusuannya serta merta disebabkan kelemahan diri. Saat yang menyayat hati.

Ia bertambah parah apabila umurnya 1.5 tahun, adiknya Fatihah dilahirkan. Tantrum bukan saja di waktu pagi pada bila-bila masa malah, di waktu malam hari bermula tidur malam dia akan terbangun setiap SEJAM SEKALI dan menangis bagai didera! Tak semena-mena!

Kalah adiknya yang dalam hari ketika itu pun bangun menyusu selang tiga jam sekali. Tapi, apabila Fathi bangun setiap sejam sekali dan meronta-ronta sambil memukul sesiapa saja yang berada di sebelahnya, ia amat menyentap segenap tangkai jiwa saya.

Ketika berpantang anak kedua, saya merasakan diri ini adalah ibu yang gagal. Saya down, murung, sedih, tertekan, penat (tersangat penat akibat terjaga setiap jam tak dapat tidur & rehat yang cukup malam hari), jadi pembengis (kerana semua perkara mahu marah) dan segala perasaan ketika itu semua saya rasakan.

Ditambah pula saya surirumah yang tidak keluar rumah atau punya masa untuk berjumpa kawan-kawan lama di luar ketika itu. FB dan blog juga tidak sempat saya online. Saya benar-benar terperangkap antara dua anakanda ini ketika itu.

Gelap dunia ini. Hanya tangisan menjadi peneman saya. Tuan suami juga begitu. Terus bersabar akibat tendangan dan segala macam gigitan dan pukulan anak kecil yang sering tantrum ini. Masa yang suram bagi kami.

Ketika itu, saya berfikir dan baru menyedari akan suatu hakikat. Siapa kata punya anak ini suatu perkara yang menyeronokkan dan boleh dibangga-bangga?

Sejauh mana kebenarannya yang selalu diperkatakan orang bahawa anak-anak ini penyeri rumahtangga, tanpa anak tidak berserilah rumahtangga?

Lihatlah keadaan rumahtangga kami ketika itu. Hilang arah. Down. Kami sendiri tenggelam dalam emosi yang disebabkan oleh anak-anak sendiri. Akibatnya, semua orang kepenatan dan kemarahan menjadi santapan yang perlu dihadap setiap hari.


Sehinggalah pada satu hari,  kejadian ini terjadi. Saya sempat catatkan di sini.......http://khadijahgani.blogspot.com/2011/05/ragam-anak-berdasarkan-intuisi-si-ibu.html

Sejak itu, saya mempelajari bahawa salah satu tanda anak yang “tidak setel emosinya” akan menyebabkan si anak tidak boleh mendapat tidur yang nyenyak.

Bagaimana untuk kita tahu anak mendapat tidur yang nyenyak atau tidak?

Lihat dadanya ketika tidur.

Jika berombak dan degup jantungnya laju seperti orang berlari, bermakna “ada sesuatu” yang dipendamnya.

Kebiasaannya, anak yang tenang, pasti akan mendapat tidur yang nyenyak. Dadanya tidak berombak dan degup jantungnya adalah normal.

Pastikan tahap “ketenangan” anak tuan puan. Anak yang mendapat tidur yang tenang, dapat membentuk emosi dan cara fikir yang tenang juga. Sama seperti kita yang tua ini.

Saya sudah tidak ingat bila kali terakhir anakanda Fathi dan Fatihah menunjukkan tantrumnya. Pernah juga mereka bertantrum secara berjemaah. Serentak kedua-duanya. Hehe..

Tetapi, bila diingat kembali, kejadian sebegitulah yang “mengasah” diri ini menjadi seorang ibu yang lebih pejal hatinya dengan mempelajari bagaimana mahu mengawalnya.

Seingat saya, tantrum anak-anak mula hilang dengan sendiri ketika saya mula mengubah diri.

Ya, keluar dari zon selesa. Ubahlah diri bermula dengan mengurus kemarahan.

Selepas saya mempelajari Teknik Nabi yang saya ikuti melalui Puan Ainon Mohd ketika itu (belum masuk kursus lagi). Sebelum itu, saya banyak mendengar dan membaca tulisan Ustaz Hasrizal dan Ustaz Pahrol sahaja bagi menaikkan semula motivasi diri.

Saya baru sedar bahawa anak-anak berubah apabila diri saya berubah.

Sebelum itu, saya jadi pembengis (marah-marah semua perkara kecil hingga anak kecil pun mahu marah) yang mengakibatkan anak saya juga seorang pembengis (mudah marah-marah).

Allahu akbar.

Lain rasanya apabila kita belajar secara maya dengan belajar dan masuk bengkel. Sejak itu, saya tanamkan diri saya untuk mengikuti pelbagai kursus dan bengkel keibubapaan samada dari perseorangan mahupun dari yang pakar.

Kadangkala, dalam diri kita merasa selesa dengan tabiat dan cara lama yang kita fikir kita sudah ok dan kita boleh hidup juga dengan cara lama. Namun, apa yang boleh saya katakan, untuk mengetahui tahap kita di mana dengan cara lama kita, lihatlah anak-anak kita sekarang.

Sejak saya mengamalkan beberapa teknik asas seperti tutup mata pada kesalahan, pandu yang betul, tidak marah, kawal diri apabila marah, tidak membebel, tidak menghukum, marah dengan ekspresi wajah, puji usahanya yang baik, ganjaran sosial, itu saja sudah membuatkan hidup saya bersama anak-anak berubah!

Pada permulaan, adakalanya mereka tantrum juga. Tapi, saya sudah mendapat kata kuncinya.

Kawal diri dan emosi kita dahulu. Anak akan belajar mengawal diri dan emosinya sendiri.

Seingat saya semasa Fathi berumur 4 tahun dan Fatihah 3 tahun, itulah kali terakhir dia menunjukkan tantrum masing-masing. Masuk umurnya 5 tahun, mereka berdua sangat mahir mengawal diri dan katakan apa saja kepadanya, mereka dapat menilai dengan baik, berkomunikasi dengan baik tanpa perlu menangis malah, jika saya tidak ada di sampingnya, mereka dapat behave dan bawa diri di rumah orang (saudaramara yang lain) dengan baik. Kadangkala jika mengamuk pun hanya berlaku setahun sekali sahaja.


Kini, sudah tiba giliran anakanda Fahmi pula nampaknya. Hehe..

Tantrum, bukanlah suatu yang tidak baik. Ia adalah normal bagi anak kecil.

Seperti sel kanser yang ada di dalam badan setiap manusia. Samada sel kanser itu aktif atau tidak aktif bergantung kepada tahap imunisasi dan kesihatan badan seseorang.

Sama juga dengan tantrum bagi anak kecil.

Semua anak keecil punya tantrumnya yang menunjukkan mereka normal. Tantrum itu adalah cara/komunikasi dia melepaskan emosi dan perasaannya disebabkan suatu ketidakpuasan hatinya.

Boleh juga melihat bagaimana diri kita sendiri apabila kita tidak mendapat sesuatu yang kita betul-betul mahukan?

Jika kita memberontak dan sukar menerima kenyataan apabila apa yang kita mahukan itu tidak dapat, jangan mengharap anak kita akan behave dan tidak bertantrum.

Ada dua keadaan sebagai pengajaran yang boleh diambil dari Fahmi yang mengamuk baru-baru ini. Pada usianya 2 tahun barulah saya nampak emosinya yang agak ekstrem ini.

1. Ketika dia mahu memegang dua bola sekaligus. Abahnya memintanya pegang hanya satu bola saja bagi memudahkannya bermain tapi dia mahu dua bola juga! Saya ketika itu sedang memasak di dapur.

Pada mulanya, saya tidak menghiraukannya kerana kebiasaannya jika Fahmi menangis, abahnya boleh handle sendiri. Tapi, kali ini agak keras tangisannya. Lama dan meleret pula. Masuk 45 minit tangisannya tanpa henti, saya berhenti dari semua perkara di dapur.

Rupanya abahnya memarahinya. Dan berkeras mahu mengambil satu bolanya. Kepercayaan sudah hilang sementara.

Saya mengambilnya dan memeluknya bersama dengan dua-dua bola di kiri kanan tangan yang dikepitnya bola itu. Ya, kelakar... Tapi, itu satu isu yang besar bagi anak di usia itu. Hormatinya.

Peluk. Dan tenangkan diri kita sebelum menenangkan dirinya. Divert tumpuannya.

Apabila anak tenang dalam pelukan. Pernafasannya menjadi normal semula, berikan permainan lain atau tumpuan lain. Dalam hal ini, kakaknya Fatihah sangat pandai mengalihkan perhatian si adik. Dia mengambil telefon saya dan membuka rakaman video abangnya yang membuat persembahan ketika mesyuarat PIBG sekolah tempohari. Abangnya menyanyi dan menjadi kepompong dan menjadi awan yang tak bergerak. Haha.. Fahmi sangat suka lagu “Dari ulat jadi kepompong” dan “Tanya sama awan” itu.

Tak sampai sesaat, saya ambil satu bolanya dengan mudah dia melepaskannya. Selesai.


2. Fahmi mengamuk di restoran. Kami menunggu hidangan yang dipesan agak lama. Anakanda Fathi sudah pandai mengawal dirinya dan duduk diam. Fatihah agak lasak oorangnya memang mencabar untuk dirinya duduk diam. Lalu, dia mengambil telefon saya dan mahu menonton rakaman abangnya membuat persembahan itu (itu sajalah yang dilihatnya berjuta-juta kali kerana saya tidak mahu online internet ketika di luar rumah, itu prinsip).

Apabila sudah agak lama, saya meminta Fatihah menutup telefon. Hadkan masa dalam 5 minit saja untuk anak memegang gajet ketika di luar. Fahmi yang sejak dari tadi tumpang sekaki kakaknya menjadi sangat marah! Tiba-tiba dia menangis dan meronta-ronta apabila saya mahu mendukungnya. Telefon saya terus simpan di dalam beg. Tangisannya menjadi semakin keras!

Tenangkan diri sendiri dahulu dan kawal emosi ketika itu. Tarik nafas dalam-dalam. Mahu marah rasanya tapi tiadalah gunanya untuk menyelesaikan tantrum anak.

Dengan marah, kita hanya akan menambah perisa kepada tantrum anak apabila dia melihat kita sudah hilang kawalan diri, maka, itu dijadikan sebab dia juga mampu untuk hilang kawalan diri sama. Nampak permainannya?


Tip semasa terjadinya tantrum anak :

1. Berhenti dari semua aktiviti. Tangguhkan pekerjaan kita sebentar supaya masa tantrum dapat dipendekkan, tidak berpanjangan, tidak berlarutan.

2. Tutup semua gajet. Di sini, jika kita membiarkan anak mengamuk sambil kita masih memegang telefoh/tab/gajet tanpa mempedulikannya akan memberikan mesej bahawa gajet ibu/ayah lebih penting dan berharga daripada perasaan dan dirinya sendiri.

Maka, kita telah memberi input/mesej yang salah kepada si anak. Lalu, apa gunanya anak depan mata jika gajet lebih penting walau dalam keadaan sebegini?

3. Hadapilah perasaan marah dan cuba mengawalnya. Tahan marah.

4. Cuba bertenang. Anak akan tiru tindakan/respon kita di sini.

Semakin kita tegas, konon-konon mahu mendisiplinkan anak, semakin dia tegas dengan kemahuannya.

Semakin kita marah-marah , konon-konon ibubapa tidak boleh tunduk dengan kemahuan anak, semakin pembengis kita akan kelihatan di matanya, semakin galak anak-anak menjadi pembengis sama seperti kita. Tanpa kita sedar.

Biarlah tegas dan garang itu bertempat dan kena dengan masanya. Bukan ketika keadaan sebegini.

5. Luangkan masa untuk “melihat & memandang” anak dengan penuh ihsan. Lihat saja jika anak menjerit dan menendang. Komunikasi tidak terhad pada apa yang kita ungkapkan. Berhadapan dengan anak kecil lebih cepat terkesan melalui komunikasi non-verbal begini.

Berikan sedikit ruang untuknya.

Berikan sepenuh perhatian kepadanya buat seketika selepas seharian kita memberikan perhatian kepada gajet di tangan/perkara lain.

6. Peluk anak sampai boleh. Berusaha untuk menenangkannya bermula dengan memeluknya kuat.

7. Usap-usap dadanya. Katakan, “bertenang” dan "sabar" banyak kali kepadanya. Tidak apa-apa berperasaan marah dan katakan yang ibu/ayah tidak marah. Tapi, bertenang dahulu. Bersabar macam ni (sambil mengurut-urut dadanya lembut).

8. Menginsafi diri sendiri setiap kali anak menunjukkan tantrum. Katakan kepadanya yang ibu/ayah sedang berusaha mengubah diri menjadi lebih baik supaya niat dan frekuensi yang sama dapat dicerap anak.

9. Divert tumpuan sebolehnya. Apabila tangisannya sedikit reda, berikan permainan lain atau ajaknya melihat/berbual sesuatu yang boleh menyeronokkannya. Alih fikiran dan pandangannya ke topik lain.. Boleh juga kita dan anak beralih ke tempat lain.

10. Alirkan energi yang positif kepada anak. Bersihkan “cermin pandang” dengan segera. Lihatlah anak dengan tulus dan cuba berbual dengannya mengenai perkara yang disukainya. Anak kecil cepat terkesan melalui bagaimana cara kita memandangnya. Anak mampu bersikap positif hanya apabila kita mahu “memandangnya” secara positif. Ia pasti akan terjadi jika sebaliknya.





Tip sebelum terjadinya tantrum anak :

1. Berusaha memperbaiki diri dan ada kemahuan mengubah diri sendiri sebelum mengharapkan perubahan dari orang lain atau pasangan kita sendiri.

2. Cari ilmu yang jelas dan bukan sekadar ikutan/bacaan di internet. Hadirkan diri dalam bengkel keibubapaan/majlis ilmu dari pelbagai sudut dan seimbang.

3. Kunci perubahan diri adalah ilmu.

4. Kunci beroleh kesabaran adalah solat Dhuha.

5. Kunci beroleh ketenangan dalam apa jua situasi yang menyesakkan jiwa adalah solat Tahajjud.



(Sambungan kisah) Ketika itu, kebetulan nasi sudah sampai. Baru saja saya mahu mengeluarkan Story Cubes.. Hehe..

Saya menyuapkannya nasi terus apabila dia sudah mampu dipeluk. Dan terus saja dia membuka mulut dan mengunyah. Maka, tangisannya bertukar menjadi kunyahan. Berikan ikan yang sedap. Sudah lupalah dia kepada perkara yang menyebabkan dia tidak puas hati tadi.

Selesai.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya tidak mengharapkan anak kecil saya tidak akan tantrum lagi di masa akan datang.

Kerana tantrum itu normal. Anak yang tidak tantrum adalah suatu yang agak janggal.

Hanya isunya di sini bagaimana kita dapat mengawal diri kita sendiri sebelum mampu mengawal tantrum anak kecil?

Dan bagaimana kita mengurus marah serta mengurus emosi kita sendiri sebelum anak-anak mampu mengurus emosi mereka dan dapat mengurangkan perasaan marah di setiap perkara dalam dirinya?

Semuanya mengenai KETELADANAN.



Nota : 17 April ini di SK Bandar Pontian bersama ibubapa pelajar corot, insha Allah.


1 ulasan:

siti berkata...

Terima kasih kak dah..perkongsian yg sgt bermanfaat...insyaa Allah masih mempertingkatkan diri...

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...