رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Isnin, 11 November 2013

# keibubapaan # keluarga

Mengurus cemburu anak



Dari peti soalan :

Assalamualaikum puan khadijah..
Sy slh seorang pembaca hasil tulisan puan.. banyak ilmu yg sy dpt drpd pembacaan di profile dan blog puan.. di sini sy ingin meminta pendapat puan tentang cemburu anak..
Sy memiliki 2 org anak.. yg sulung (kakak) baru berusia 2 tahun dan baby 10 hari.. masih terlalu awal utk si kakak menerima hakikat terpaksa berkongsi kasih.. seminggu pertama, kakak x menunjukkan kemarahan.. masuk hari ke 8, pandangan nya pd sy setiap kali dia dimarahi sgt tajam.. pernah terjadi die menarik rambut baby semata2 kerana berada dlm pangkuan sy semasa kakak turut mahu menyusu.. setiap hari kakak akan menangis apabila kemahuan x diikut.. pd awalnya sy dan suami cuba ikut segala kemahuan kakak, tp bimbang dia akan naik lemak dan bertambah manja.. selalu juga kami terlepas laku dgn meninggi suara dan menghukum ( jentik telinga) apabila kakak buat perangai..

Sy sedar dlm usia 2 tahun, kakak masih kecil utk dijerkah.. tp sy gagal menahan perasaan apabila dia muka menjerit dan menangis.. sy berpantang di rumah ibu mertua yg amat memanjakan cucu.. kesannya, bila kakak menangis dan menjerit, dia akan mula memukul sy dan lari pada nenek.. sy buntu dgn situasi ini.. harap puan dpt berikan sedikit pandangan.. terima kasih.. sy hampir menjadi buntu utk menguruskan emosi kakak..

Jawapan :

Terlebih dahulu, tahniah puan atas kehadiran cahayamata kedua. Walaupun ada cabaran tertentu, anak-anak adalah kurniaan Allah untuk kita menambahbaik lagi ilmu dan rutin harian kita selama ini. Segala puji hanya kepada Allah!

Cabaran puan hadapi ini pernah saya alami juga dahulu ketika melahirkan Fatihah, anak kedua saya dahulu. Semasa itu anak sulung saya baru berusia satu setengah tahun. Si abang, Fathi, memang mengalami kecedaraan emosi yg teruk! Hingga tidur malamnya terganggu dan saya menangis dalam pantang. Dulu, saya langsung tidak tahu bagaimana mahu mengurusnya. Namun, saya ikut fatwa hati kecil saya. Hanya semasa anak ketiga saya lahir awal tahun ini barulah saya mendapat rentak 'pengurusan cemburu anak-anak' ini.hehe.. Boleh baca catatan saya 2 tahun yg lalu  --  http://khadijahgani.blogspot.com/2011/05/ragam-anak-berdasarkan-intuisi-si-ibu.html

Puan boleh mencubanya kerana intuisi seorang ibu itu lebih kuat dari segalanya dengan izin Allah. Hakikatnya, cemburu adalah perkara biasa apabila ahli keluarga semakin bertambah. Ia adalah fitrah yg menunjukkan anak kita sudah mengalami perkembangan emosi yg baik. Cuma yg menjadikannya positif atau negatif adalah bagaimana cara kita memandu arahnya untuk mengawal emosi yg terbina itu.



Pertama sekali kita harus berfikiran begini. Jika mahu anak tidak suka menjerit atau marah-marah, kita yg terlebih dahulu harus boleh mengawal tahap jeritan dan kemarahan kita. Jika kita sendiri gagal mengawalnya, usah diharap anak yg masih kecil pandai dengan sendiri mengawal kemarahannya dan jeritannya. Dengan kawalan atas diri kita sendiri bermakna kita boleh mengawal kemarahan anak seterusnya mengajar anak bagaimana dia boleh mengawal emosinya sendiri. Jika kita tak boleh, anak akan jadi lebih tak boleh.

2. Semua nenek dan datuk dalam dunia ini memang dijadikan khas untuk menyayangi dan memanjai cucu-cucunya. Kadangkala, dengan anak sendiri dahulu ayah dan ibu kita boleh jadi sangat tegas dengan anak-anaknya namun apabila mereka sudah jadi datuk dan nenek sikap mereka jadi sangat berbeza. Ini kerana bagi orangtua, menjadi ibu ayah itu satu tanggungjawab manakala apabila menjadi datuk dan nenek, cucunya itu umpama hadiah. Orang yg dapat hadiah tidak akan sampai hati membiarkan hadiah itu tergarit walau sedikit calar sekalipun. Orang yg dapat hadiah akan jaga hadiahnya dengan sangat rapi. Jadi, biarkan nenek dan datuk memanjainya. Cuma perlu ada saling toleransi dan komunikasi yg betul dengan orangtua. Apabila kita sudah pulang ke rumah sendiri kelak, barulah kita boleh mendidik semula anak kita mengikut acuan kita. Tempoh berpantang tidak menjadikan semuanya terlambat untuk dibentuk. Ambil masa.

3. Usia 2 tahun masih kecil lagi puan. Dia belum puas merasai kasih sayang. Anak 0 hingga 7 tahun memang sifatnya banyak bermain dan belajar dengan penuh kasih sayang. Inilah cabaran utama anak rapat. Kita perlu memandu dan menunjukkan kepadanya bagaimana menjadi seorang kakak yg baik. Dia masih kecil, datang pula orang baru yg tidur di sebelah ibunya tanpa terpisah. Sebelum ini, itu tempat tidurnya.Tentulah dia seperti terkejut, dan beranggapan makhluk asing mana ini??! hehe...

Fathi dahulu semasa mula-mula mendapat adik, berperangai yg sama. Tarik rambut, tolak badan adiknya sesuka hati, kadangkala jatuh dari tilam, gigit jari adik, gigit badan adik, dan macam-macam lagilah. Sama juga keadaannya apabila Fatihah pula mendapat adik. Dia pun gigit adiknya di merata tempat.hehe.. Memanglah respon luar kawalan kita apabila dia menggigit adiknya, kita yg akan menjerit dan mencubit dia kembali atau memarahinya. Tapi, tindakan itu hanya menambah kesengsaraan dan kesedihan hati saya sendiri. Hinggalah saya mahu ubah corak fikiran saya dan berazam jadikan hati saya bagaikan seekor sesumpah.

Ya, sesumpah. Boleh bertukar warna dengan kadar yg segera! Rasa seperti hendak pelempang anak bila dia mula menjerit dan menggigit, namun beristighfar, terus tukarkan perasaan itu kepada gelak ketawa dan senyuman. Memang susah, bukan senang! Hanya pada awalnya saja..

Jika dahulu, saya akan cakap, "Jangan..... Nanti mak cubit kang..!"

Sekarang, saya tukar menjadikannya, "Jangan.... Nanti mak geletek sampai terkencing kang...!"

Dan mereka menjawab, "Taknak taknak.. " sambil ketawa terkekeh-kekeh dan mahu melarikan diri.

Kadangkala, mereka menjawab, "Geleteklah..Geleteklah.." Dan terus melarikan diri!

Ini pun bagus, senang kerja. Kerana matlamat akhir kita mahukan mereka tidak mengganggu adiknya seterusnya menggigit atau mencubit adiknya. Dia larikan diri, kita kejar dan kemudian bermainlah sebentar. Ajaknya supaya bermain mainan lain dan boleh tinggalkan dia seorang diri untuk terus bermain maka kita sudah boleh membuat kerja lain atau menumpukan pada si adik pula.

Bukankah bunyinya lebih positif dengan kesan yg bagaikan sesumpah? hehe..

Kesan takut anak-anak tetap sama. Ya, saya memang akan geletek anak sampai hilang nafas sebentar (tercungap-cungap mahu bernafas)..hehe.. Dan mereka suka dan seronok kerana hasil akhirnya tiada lagi tangisan tapi gelak ketawa. Malah, kita sendiri akan ketawa dan bukan lagi stres.

Apabila anak buat perangai, atau menyakat adik/mengganggu adiknya sebenarnya dia mahu katakan begini, "Mak ni asyik dengan adik 24 jam, tak pegang saya pun hari ni!" Kerana itu, dia mencari perhatian ibunya. Dengan mencubit adik, barulah ibunya akan memandang kepadanya. Tapi, dia tak sangka pula yg dia akan diberi hukuman yg menyakitkan hanya kerana mahu 'mendapatkan ibunya semula'.

4. Babitkan dia dengan aktiviti bersama adiknya. Contohnya, minta si kakak tolong ambilkan pampers adiknya, ajak si kakak duduk sebelah kita ketika memandikan si adik, minta tolong si kakak pilihkan baju untuk si adik pakai atau apa saja aktiviti bersama si adik, pastikan si kakak ada di sisi. Kita mengalu-alukan keberadaannya bersama kita setiap masa. Dan semasa itu, selalu ceritakan kepadanya semasa dia kecil dahulu. Bagaimana kita memandikannya, menyusukannya, menidurkannya, memakaikannya minyak dan pakaian dan bermacam lagi sama seperti adiknya kini.

Setiap kali pandang dan bermain dengan bayi kecil kita, bermainlah dan pandanglah anak yg besar sama. Peluk seorang, seorang lagi harus dipeluk juga. Belikan baju kepada seorang, seorang lagi pun perlu dibelikan baju juga.

Hakikatnya, si kakak masih lagi kecil hanya status dirinya saja menjadikan dia seorang kakak yg pada fikiran kita menjadi kakak haruslah sudah besar  dan tak boleh bermanja lagi. Sebenarnya, dia mahu berkata begini, "Saya tak mahu jadi kakaklah jika begini. Saya mahu jadi anak yg akhir...! Kenapa keluarkan saya yg awal?"

Suka atau tidak, ini adalah dialog anak sulung saya, Fathi apabila dia sudah pandai bercakap. Ketika itu, barulah minda saya terbuka kepada perasaan sebenar seorang anak kecil.

Sejak itu, saya kerap menyatakan begini kepada Fathi, "Walau ada ramai adik Fathi lepas ni, tapi abang mak tetap sayang sampai bila-bila sebab abang tetap jadi no.1 dalam hati mak!" Cium dan peluk dia. Pujuk dan berikan gambaran usah bersedih apabila sudah menjadi abang / kakak kerana mak sudah kurang memeluk dan bermain bersamanya.

Anak perempuan memang manjanya ada lebih sikit dari anak lelaki puan. hehe.. Walaupun sekarang Fatihah sudah 3 tahun tapi dia kadangkala masih cemburu pada adiknya. Saya selalu katakan begini (ketika mandikan adiknya saya ajak dia duduk di sebelah), "Tiha dulu kecik macam ni. Mak mandikan Tiha macam ni jugak. Pastu Tiha tepuk-tepuk air macam adik ni habis basah baju mak! Masa tu Tiha saja je kan nak basahkan mak?? Macam mak tak tahu..haaahh.. Tiha ingat tak masa tu?"

Dan dialog ini akan boleh berterusan dengan kita tanya perasaanya ketika dia masih bayi dulu. Memanglah sebenarnya dia tak boleh ingat, tapi kita sekadar bertanya saja kerana perasaan yg disebutnya itu adalah perasaannya kini. Kita akan terkejut mendengar banyak mengenai perasaannya yg jujur. Anak kecil takkan pernah berbohong.

Sama saja jika kita menyusukan si adik. Panggilnya dan berbual dengannya. "Masa kakak baby lagi macam adik ni kakak pun mak susukan macamni. Kakak suka sangat bila mak buat macamni. Kakak ingat tak? Masa tu tangan kakak kat mana??? Heee... (Geletek dia)"

Perbualan dengan kakak sambil aktiviti rutin bersama bayi kecil kita akan menjadikan kita 'multi-tasking mother'.. Memang itulah fungsinya seorang wanita dan seorang ibu dicipta dalam dunia ini. Dengan menumpukan ke atas seorang anak saja dalam satu masa belum melengkapkan diri kita sebagai seorang ibu sebenar.

5. Sentiasa 'acknowledge' dan puji si kakak apabila dia boleh bermain dengan sendiri seorang diri. Jika kita free semasa dia sedang bermain, tawarkan diri kita untuk bermain bersamanya. Dengan memuji kakak pandai bermain sendiri tanpa menangis dan pandai bawa diri akan memberikan dia mesej bahawa 'untuk mendapatkan perhatian ibu bukan ketika mengganggu adik saja' bahkan ketika main dengan baik atau makan dengan baik pun ibunya masih memberi perhatian dan ciuman kepadanya!

6. Setiap malam ketika sedang dia mamai melelapkan mata atau sudah tertidur, cium dan peluk si kakak dan katakan yg baik (apa yg kita mahu tingkahlakunya dikawal).

Contohnya, dahulu Fatihah memang kuat menjerit. Sangat nyaring suaranya! Dia menjerit tak tentu masa dan keadaan. Meminta apa semuanya menjerit!

Sesudah dia tertidur, saya selalu mencium dan memeluknya. Saya bisik dengan perlahan ke telinganya, "Fatihah anak mak yg solehah. Mak sayang Fatihah banyak-banyak. Lepas ni Fatihah taknak jerit-jerit lagi, cakap baik-baik, nak minta apa-apa taknak menangis lagi dan taknak gigit adik lagi. Fatihah anak mak yg solehah lagi mak sayang tau!"

Saya nampak dia menganggukkan kepala beberapa kali dengan mata yg terpejam rapat. Barulah saya tahu sebenarnya dia juga sedang berusaha untuk tidak menjerit lagi dan berperangai baik. Berikan masa dan doakan dia diberi kekuatan untuk menghadami kata-kata kita.

Lebih kurang setahun juga saya kira. Sekarang, saya sudah tidak mendengar lagi jeritan Fatihah dan dia sudah lama meninggalkan tabiat menggigit/mencubit adiknya. Dia baik-baik saja dengan adiknya. Begitu juga si abang Fathi. Kalau adiknya tidur, dia akan tepuk perlahan-lahan pampers adiknya mendodoikan adik tidur seperti yg saya tunjukkan 'how to' kepadanya satu ketika dulu. Jika adiknya sudah bangun dan merangkak, dia yg akan menjerit memanggil saya takut adiknya jatuh katil. Malah, sekarang Fathi sangat kuat membebel memarahi saya kembali jika saya terrrrr tinggikan suara seperti memarahi adik-adiknya.

Katanya, "Kalau taknak makanan adik tumpah, mak tutuplah makanan tu. Jangan marah Tiha! Tiha cuma nak tolong mak suapkan adik. Kalau Tiha terpijak cicak mati, mak suruh je Tiha ke tepi, jangan marah Tiha!" Huhu.. Saya yg tersentap!

Selain mencium dan memeluk serta membisikkan kata-kata yg positif semasa masing-masing baru tidur, saya selalu menerangkan peraturan asas kepadanya pada setiap keadaan apabila dia mula berperangai.

Saya katakan, "Kalau mahukan apa-apa boleh cakap baik-baik pada mak. Taknak menjerit. Kalau menjerit, mak tak boleh dengar apa yg Tiha cakap. Jadi, macamana mak nak buat? Kalau Tiha cakap baik-baik, mak boleh dengar dengan baik barulah mak boleh buatkan. Cuba cakap baik-baik dengan mak macamana?"

Dan apabila dia boleh meminta sesuatu dengan baik, segera memuji usahanya itu. "Eh, Fatihah cakap dan minta dengan mak baik-baiklah. Mak suka Tiha cakap macamni! Barulah mak boleh buat apa je yg Tiha minta. Nanti semua orang pun boleh dengar apa yg Tiha cakap. Baguslah Fatihah macamni. Mak sayang Tiha..!"

Tunjukkan dia bagaimana tidak menjerit dan minta baik-baik. Sama juga ketika dia dekat dengan adiknya dahulu, saya akan 'naik bulu roma' dengan sendiri kerana dia mesti akan gigit adiknya. Melarang/ menjauhkan dia dari adiknya akan membuatkan dia tidak tahu cara bagaimana untuk menyantuni dan bermain dengan adiknya.

Pegang tangan dia (sebelum dia menggigit atau mencubit adik) dan tunjukkan usapan yg bagaimana boleh dibuat kepada adik sebagai tanda kita sayangkan adik.

Contohnya, saya ambil tangannya dan memandu tangannya mengusap-usap tangan atau kaki adiknya sambil berkata, "Sayang adik, cepatlah besar! Kakak nak main masak-masak dengan adik. Main cikgu-cikgu pun boleh.. Eh, kita main kereta pun bolehlah.." Ketika itu sebenarnya, kita memberi gambaran dan imaginasi kepada kakak apa fungsi adiknya dilahirkan untuknya..hehe.. Banyak memberikannya idea utntuk bagaimana dia boleh bermain dengan adiknya sedikit masa lagi.



7. Setiap kali dia bangun pagi, 'acknowledge' dia bangun tidur. Seperti 100 tahun tidak berjumpa dengannya. Nyatakan yg kita rindu kepadanya. Peluk dan ciumnya setiap kali dia bangun tidur. Main geletek-geletek, golek-golek sebentar atas katil ketika dia masih mamai baru bangun tidur. Apabila mood pagi-pagi lagi dimulai dengan gelak ketawa, ini mendorong si anak tetap terus beremosi yg baik dan riang ria sepanjang hari, insha Allah!

Kesimpulannya, tukarkan segala yg negatif kepada dialog yg lebih positif. Dan jadilah sesumpah!

Daripada cubit kepada geletek. Daripada pukul kepada pelukan. Daripada jentik kepada pegang tangannya dan tunjukkan 'how to'.. Berikan masa kepada anak 2 tahun ini untuk menerima dan memahami statusnya yg sudah bertukar menjadi kakak. Dia tak akan naik lemak sementara puan berpantang.

Dengan mengurangkan cubitan/jentikan yg boleh menyakitkan anak seterusnya membuatkan dia menangis kerana sakit di 'luar dan dalam', ini juga akan mengurangkan kekerapan dia mencari nenek / atoknya sebagai tempat mengadu. Jadikan diri kita sendiri menjadi tempat aduannya yg setia, mendengar rintihan dan keluhannya juga boleh memahami perasaan kecilnya maka, dengan sendiri campurtangan nenek / atoknya dapat dikurangkan. Lagipula, ianya campur tangan yg baik kerana sebenarnya ibu ayah kita sudahpun melalui peringkat kehidupan yg sama dengan kita rasai kini satu masa dahulu. Mereka lebih memahami dan lebih tahu. Cuma tak sampai hati saja nak memberitahunya kepada kita di saat kita masih lagi lemah dan sakit melahirkan.

Kasih sayang dan perhatian ibunya dengan nenek/atoknya berbeza, takkan sama. Dia hanya mahu perhatian ibu ayahnya yg sama seperti dahulu. Apabila sampai 'masanya' dia boleh menjadi seorang kakak yg baik dan sayang kepada adiknya.

Saya doakan puan kembali sihat dan tiada stres lagi, lebih positif serta bergembira bersama anak-anak yg comel. Walaupun kadangkala ada perangainya yg 'membakar hati', senyumkan saja dan mohon Allah memberi petunjuk dan bimbinganNya dalam hijrah rutin yg baru dalam hidup puan seadanya.

Fi amanillah..


5 ulasan:

Cahaya Pecinta berkata...

sedikit perkongsian melalui pengalaman yg tak seberapa...
1. Sebaik tahu mengandung kongsikan hal gembira dgn anak2 sedia ada...specially yg adik.
2. Usahakan utk agar ketika scan baby, bukn shj bersama suami tp dgn anak2 juga. Maklumkan kpd Dr, tujuan bwa anak2 bersama agar Dr bolh main peranan juga.
3. Sentiasa berkongsi cerita2 menarik mengenai adik yg bakal lahir. Ceritakan juga serba sedikit peranan sbg seorang kakak/abang yg boleh dia lakukan. Cth: “Nanti bila ada baby, kakak boleh tolong umi main dgn baby… / sediakan baju yg cantik2 utk baby bila lepas mandi”
4. Sentiasa involve kan sama anak2 sedia ada dlm persiapan utk menyambut baby baru.. Contohnya msa membeli barang keperluan, mengemas semula baju2 yg dh tersimpan…
5. Setiap kali abang/kakak meberi bantuan, berilah penghargaan padanya.
6. Keep on saying that… “umi sayang kakak/abang.. abang dh besar n boleh bantu umi jaga adik”.
7. Sentiasa berdoa..doa..dan berserah pd Allah. Pasti Allah bagi yg terbaik buat kita.

Radin Aden berkata...

Terima kasih di atas panduan puan. Saya menangis bila memikirkan bagaimana saya melayan anak saya yang sulong. Sy sedang sarat dan menunggu hari, suami jauh di sisi jadi setiap kali anak mencampak makanan dan membaling barang kpd sy atau mertua saya, saya mesti menjerit pd dia. Dan dia akan ketawa seolah perasaan marah itu adalah kelakar. Tapi skang saya da tahu ape ptt sy buat

Radin Aden berkata...

Terima kasih di atas perkongsian ini

AZIAH MOHAMAD berkata...

saya sangat setuju yang kita kena jadikan hati kita seperti sesumpah. Saya pernah cuba. Memang susah tapi at the end, anak sulung saya akan terus lembut reaksinya.yang benar, dia hanya nakkan perhatian..

juliyanaludin berkata...

Terima kasih atas perkongsian puan..saya masih dlm tempoh berpantang dan sedang berusaha menyesuaikan diri dan ank sulung yg baru berusia setahun setengah untuk menerima kehadiran adiknya....alhamdulillah, sedikit demi sedikit, dh nmpk perubahan positifnya..

#jdtblogger #teambloggerjohor