رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Isnin, 24 Disember 2012

# homeschooling # keibubapaan

Mendorong anak cilik mengaji 1


Saya banyak mendapat permintaan untuk mengajar ngaji anak-anak yg masih kecil iaitu sekecil umur 2 tahun. Sejujurnya, saya agak kasihan jika anda menghantar anak sekecil ini untuk pergi mengaji di rumah orang lain.

Sebenarnya usia sekecil ini hanya lebih suka bermain. Sebagai ibubapa, kita tak perlu terlampau memaksanya untuk pergi belajar. Kerana mereka punya masa yg lebih panjang lagi untuk menghabiskan usia mereka dengan belajar selepas ini. Ada baiknya, usia awal sebegini dibiarkan sahaja mereka bermain.

Ya, dengan bermainlah mereka belajar!



Anak-anak saya berusia 3 dan 2 tahun. Si abang Fathi lagi 2 bulan [bulan Februari] akan masuk 4 tahun. Manakala, si adik Fatihah [bulan Jun] akan berusia 3 tahun.

Saya mendapati amat mudah untuk mendorong anak seawal usia 2 tahun ini belajar mengaji. Semuanya bermula dari rumah.

Bagi anak yang berusia 1 tahun dan ke bawah, kemampuannya membunyikan huruf belum dapat dikesan lagi selagi anak itu masih belum boleh bercakap. Hanya  pendedahan awal masih boleh dilakukan melalui deria pendengaran. Biasakan mereka mendengar ayat-ayat Quran, selawat dan zikir-zikir sebelum tidur atau bila-bila masa. Anda juga boleh memasang satu surah tertentu yang diulang-ulang banyak kali dalam sehari supaya anak akan sentiasa mendengarnya. Ini akan memudahkan anak mengingatinya / menghafalnya.

Tapi, awas! Jika anda menidurkan anak-anak di hadapan TV yang terpasang, otak bawah sedarnya akan menyimpan imej-imej yang terpampang dan ini hanya akan menampakkan kesan apabila anak sudah besar kelak. Semasa itu, tidak guna lagi kita memarahi anak disebabkan 'lambat faham' atau 'tak mahu belajar hanya mahu menonton tv saja'...

Saya mencadangkan paling awal anda boleh mengajar ngaji kepada anak yang berusia 2 tahun. Bermula dengan Flash-Card. Apa saja jenisnya tidak mengapa. Asalkan ianya dalam bentuk Flash-Card.



Saya mendapati bagi anak-anak berusia 2,3, dan 4 tahun mereka cenderung untuk bermain dan bukan belajar dengan serius. Mereka tidak mampu untuk duduk diam. Mereka hanya belajar melalui pengulangan bunyi huruf. Ada yang 5 tahun juga tidak mampu untuk duduk diam dan fokus pada buku di hadapan. Di usia begini, saya akan memperkenalkan huruf dan bunyi-bunyian kepada mereka sambil bermain. Flash-Card memang membantu! Bunyikan saja, dia akan mengikut.

Jika mereka masih pelat, 'tutup mata' pada kesalahan bunyian. Lama-lama juga mereka dapat mengasah lidah untuk menyebutnya dengan betul. Berlapang dada. Asalkan ada bunyi sudah memadai.
 
Bagi umur 5 tahun, jika masih mempunyai masalah untuk membaca Iqra' tukarkan kepada menggunakan Muqaddam biasa [yang lama]. Sekarang sudah ada versi baharu. Cari : Muqaddam Rasm Uthmani. Saya akan ceritakan lanjut tentang mengapa tak semestinya anda menggunakan Iqra' untuk anak anda.

Bagi anak-anak saya di rumah, saya mulakan dengan Flash-Card. Biasanya, setelah mereka sudah menonton kartun kegemarannya, selepas saya selesai solat dan juga bila-bila masa, saya hanya akan bertanya kepada mereka untuk mengaji atau tidak. Saya tidak pernah memaksa. Kebiasaannya, apabila saya sebut saja mengaji, mereka akan segera mendapatkan Flash-Card dan membawanya kepada saya. Dalam sehari sekali saja saya bertanya. Kebanyakan waktu atau tak kira waktu mereka sendiri yang menyatakan mahu mengaji sambil memberi saya Flash-Card.

Bermain untuk belajar, belajar dengan bermain .

Mudah, bacakan saja huruf yg tertulis di depan dan belakang kad itu. Lama-kelamaan mereka akan ingat bunyinya dan ritmanya dahulu. Misalnya, Aa [tulisan depan]. Bunyikan - Aa Ee Uu [tulisan di belakang]. Hingga Ya. Bunyikan - Ya Yi Yu.

Saya dapati setelah lebih kurang 3 kali pengulangan sahaja, anak-anak saya sudah dapat 'menangkap' ritmanya terlebih dahulu dan kemudian membunyikannya mengikut huruf apa yg saya sebutkan dahulu. Contohnya, saya katakan - Ini Ha. Bunyikan? Mereka akan menjawab sambil bermain - Ha Hi Hu... Sesudah 'upgrade' sedikit, belajar tanwin pula, contohnya saya katakan - Ini Tan. Bunyikan? Mereka dengan gembira menjawab - Tan Tin Tun. Begitulah seterusnya.. Di peringkat ini mereka masih belum mengenal huruf lagi. Tak mengapa. Hanya menyebut ritma bunyinya saja sudah memadai.

Kemudian, mereka sudah mampu mengaji di mana-mana. Maksud saya, mereka suka membunyikan ritma seperti Ca Ci Cu [mereka masih lagi pelat] dan huruf-huruf lain tanpa turutan yg betul ketika mandi atau dalam bilik air, bermain, sedang memakai baju mahupun semasa makan. Bila-bila masa, di mana-mana, mereka pasti membunyikannya sambil tangannya membuat aktiviti harian yg lain [bermain]. Ketika saya mendengarnya, biasanya saya akan dorong mereka untuk membunyikannya mengikut turutan dan biarkan mereka membunyikannya sesuka hati dan berhenti mengaji sesuka hatinya. Tiada dosa bagi mereka.

Setelah mereka boleh membunyikan ritma huruf tanpa Flash-Card langsung, barulah saya memperkenalkan huruf dengan menggalakkannya menulis sendiri. Cara ini saya dapati daripada si abang Fathi.



Pada satu hari, dia bermain dengan marker whiteboard saya. Menconteng whiteboard sesuka hatinya. Mahu diambil marker itu, dia tak bagi. Daripada bergaduh tentang marker, baik saya dorongnya untuk 'menconteng' sesuatu yang berguna. Bermula dari situ saya mengajarnya menulis bermula dengan Alif Ba dan Ta sahaja dulu. Setiap kali mahu menulis, dia akan berkata "tak tahu". Saya akan memberinya flash card huruf Alif dan menyuruhnya tiru bentuk Alif. Samakan dengan bentuk yg dia kenal seperti pokok yg tegak. Untuk Ba pula, saya katakan seperti bentuk kapal dan ada 1 titik di bawah. Begitulah seterusnya. Boleh baca selanjutnya di sini.



Saya dapati itu kaedah paling cepat dan menyeronokkan untuk anak seawal usia 2-3 tahun belajar menulis / mengaji.

Bagi adiknya pula, saya akan menyuruhnya lihat samada betul atau tak abangnya menulis [konon-konon seperti juri] padahal dia pun masih belum tahu apa-apa hehe... Tujuannya supaya abang dan adik ini tidak bergaduh dan ambil giliran untuk menulis seorang demi seorang [walaupun adiknya tak pandai pegang marker pun lagi dan hasilnya hanyalah contengan di whiteboard] jangan ketawakan usaha mereka. Maksud saya, asalkan nampak garisannya menegak atau melintang, tak kisah panjang ke pendek, senget ke terlebih tegak, ada bentuk atau tiada rupa langsung, berikan mereka tepukan! Begitulah cara awal mereka belajar.


Pada usia 2-3 tahun ini saya lebih percaya untuk memberikan mereka cara bereksperimentasi menggunakan aktiviti motornya. Maksudnya membuat aktiviti bukan dengan hafalan. Hafalan hanya akan melibatkan aktiviti otaknya sahaja. Tak dinafikan, anak-anak di awal usia ini memang mudah menghafal. Kerana mereka umpama satu sistem baru yg belum diterokai. Download apa saja, dia pasti menjadi 'download succeed'.

Namun, saya tidak mahu galakkan anak-anak menghafal sesuatu dalam bentuk keterpaksaan. Kerana saya khuatir ianya berlaku akibat kesan tingkahlaku. Boleh baca di sini untuk mengetahui apa yg dimaksudkan dengan kesan tingkahlaku. Ia hanya memberi kesan jangka pendek. Walhal, saya mahu mereka mengaji dan mengingatinya dan boleh menghafalnya untuk sepanjang hidupnya. Bukan setakat menghafal malah mampu memahami.


Saya percaya, apabila mereka sudah boleh mengingat bentuk dan bunyi huruf, secara automatik mereka akan menghafalnya. Ia akan berada dalam ingatan kekal di dalam otaknya. Ia terhasil daripada pengalaman sendiri semasa menulis dan membunyikan huruf-huruf asas ini. Dan untuk mendorongnya supaya terus mengingat hasil kerjanya yg terbaik dan mendapat pengiktirafan daripada ibunya sendiri, maka kitalah [ibu/bapa] harus memuji usahanya itu walaupun sedikit mahupun ianya hanya satu contengan yg tidak cantik dan tidak menjadi. Dorongnya dan tunjukkan saja bagaimana menulis yg betul. Lama-kelamaan dia mampu mengingat dan menghafal dengan baik selepas mengalaminya sendiri.


Di lain waktu, anda hanya perlu bertanya kepada mereka samada mahu mengaji atau tidak [bukan menyuruhnya] dan pasti mereka akan ambil sendiri Quran atau apa saja buku untuk [konon-konon] membacanya walhal anda hanya menyuruhnya membunyikan huruf saja. Kebanyakan masa saya tak perlu bertanya atau menyuruh pun, mereka ambil sendiri Quran yg saya baca itu atau apa saja buku tulisan jawi dan mahu membacanya atas kerelaan mereka sendiri. Jika ini sudah terjadi, tiada lagi masalah untuk memaksa anak anda belajar mengaji atau masalah tak mahu duduk diam untuk mengaji. Kerana mereka dengan sendirinya tahu membawa diri dan berkelakuan baik semasa belajar/mengaji.

Lagi satu kaedah akan saya kongsikan sedikit masa lagi. Kaedah ini sebenarnya saya sudah mulakan pada awal lagi (semasa mula-mula anak saya 'dapat mulut') iaitu sebelum saya menggunakan Flash-Card dan memperkenalkan Alif Ba Ta kepada anak-anak saya sendiri. Nantikan..

Insya Allah.

 
 

4 ulasan:

Fatimah berkata...

saya sekarang pon beli flash card. dan jumpa blog awak. so saya akan teruskan 3 huruf...3 huruf cumanya bila bentuk sama titik yg membezakan mcm mana ya nak elakkan keliru

Khadijah Gani berkata...

Alhamdulillah.. Inilah tujuan saya sebenar berkongsi cerita di sini adalah supaya dapat memberi idea kepada ibubapa untuk mengajar sendiri anak mereka di rumah..

Tahniah puan!

Untuk membezakan huruf yg berbentuk sama cuma titik berlainan memerlukan daya imaginasi puan sekreatif yg boleh.

Contohnya Fa dan Qaf. Saya selalu katakan pada anak Fa macam kapal. Ni perahu dia panjang sikit. Qaf macam perut buncit. Ni kan besar bulat sikit macam perut (boleh ambil contoh sesiapa yg rapat dengannya yg punya perut buncit, dia akan jadi lebih ingat).

Contoh lagi Ain dan Ghain. Saya katakan macam biasa saja. Ain takde titik. Ghain 'garang sikit' ada titik atas kepala dia.

Tapi, bila dia terus tersalah menyebut huruf pada masa akan datang jangan cakap 'ini salah, itu salah'. Hanya perlu menyebutkan saja huruf yg betul kepadanya supaya dia mengulanginya semula.

Makin kerap dia tersilap, makin kerap kita ulang-ulang, makin cepatlah dia akan belajar dan ingat.. Teruskan usaha gigih puan, InshaAllah pasti akan ada pulangannya kelak. :)

mohd nasir bin shahidan berkata...

saya sangat risau terhadap anak saya,skg umurnya 2 thn lebih..bila di ajar dia mcm x berminat nk mengaji akan tetapi bila saat bermain mulutnya akan menyebut huruf alif hingga yaa tetapi susunanya tidak tepat..saya cuba ajar menggunakan flash card tapi dia mcm x nak..skg saya cuba gunakan kaedah cd moga2 dgn alunan bunyi sebutan tu dia akan terpaut..sekiranya ada cara lain yg lebih berkesan kongsikan la dgn saya.

Khadijah Gani berkata...

Syabas tuan!

Tuan seorang ayah yg prihatin. Biasanya, ibu2 yg lebih risau..Hehe.. (Maafkan saya kerana baru perasan mesej tuan di sini.)

Berikan masa kepada anak tuan. Umur 2 tahun lebih2 lagi lelaki memang liat sikit untuk kita suruhnya belajar.

Caranya, hanyalah dengan bermain. Bermainlah menggunakan flashkad tersebut. Banyak caranya boleh diaplikasikan. Saya kongsikan banyak sebelum ini di Closed Grup FB Usrah Suka Mengaji. Tuan boleh request to join dan nanti tuan boleh scroll hingga ke bawah.

Erti makna belajar bagi seorang anak sekecil 2 tahun bukanlah belajar. Sebaiknya, imbas flashkad hanya 4-5 huruf saja sehari. Yang penting istiqamah setiap hari walau 2 minit. Semasa dia bermain robot atau legonya, ajak dia bermain flashkad sama. Ulang lagi 5 huruf tersebut. Flashkad tidak hanya digunapakai melalui satu2 cara saja.

Memperdengarkan CD atau lagu atau mempertontonkan youtube juga bagus. Dia mendengar. Namun, lagu/nyanyian hanya akan melibatkan hafalan (aktiviti otak kanan sahaja). Kelak, anak hanya pandai menghafal huruf. Bukan mengenal huruf. Apabila ditanya secara rawak, atau ditanya dari belakang (bermula huruf ya) dia akan hilang punca.

Isunya tidak kenal huruf.

Walhal, di awal usia inilah tugas kita adalah memperkenalkan huruf kepada anak kecil di rumah.

Bermainlah "conteng-conteng huruf" dengannya. Berikan dia pengalaman memegang pensel dan menulis. Saya juga bermain begini dengan anak2 semasa mereka sudah bosan bermain dengan flashkad. Sudah menjadi fitrah anak kecil tidak akan bermain dengan 1 perkara saja. Pelbagaikan. Ujakan segenap 5 derianya.

Ada hari, pasti moodnya ke laut. Biarkan. Berikan sikit ruang dan masa.

Saya pasti, seiring masa berlalu dia akan mencari sendiri buku mahu mengaji dan meminta kita mengajarnya. Dengan syarat, kita berlapang dada memberikannya masa dan meletakkan niat anak ini kelak akan suka mengaji bila sudah tiba masanya. Dalam masa yg sama kita sendiri membaca al-Quran setiap hari, di sebelahnya ketika hendak tidur , bangun tidur dan waktu senggang.

Hidupkan al-Quran dalam diri kita dahulu, barulah nuur al Quran itu sendiri akan hidup dalam jiwa anak-anak sejak kecil malah, keseluruhan rumah dan gaya hidup kita seharian. Di situlah keberkatan Al Quran.


Menanam minat dan kecenderungan anak mengaji tidak susah selagimana kita memudahkan, menanam minat, mencetus dorongan membaca al-Quran ke dalam diri kita sendiri terlebih dahulu.


Teruskan usaha! :)

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor