رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Sabtu, 22 Oktober 2011

# sudut pandang # tazkirah

Demi cahaya : Berhijrahlah!

Saya bukanlah peminat kepada artis-artis tertentu apalagi nak menjadikan artis sebagai contoh (role model). Saya tidak berminat untuk berbuat begitu. Tapi tak bermakna saya tak mengikuti perkembangan artis hiburan di Malaysia ni.

Kadang-kadang saya lebih suka melayan Melodi dan Galaksi tv9 daripada menonton mana-mana berita di tv sebab rancangan picisan sebegini lebih punya kredibilitinya dan adil dalam melaporkan sesuatu berita. Taglinenya mudah, "Adalah tidak adil kita mendengar sebelah pihak saja. Jadi mari kita terjah sebelah pihak lagi untuk mendapatkan kebenaran!" Lalu, lagu terjah pun keluar... haha.. Prinsip sebegini lebih adil dan bermaruah daripada laporan berita utama yang lebih kurang berbentuk gosip dan lebih menyedihkan hanya mendengar di sebelah pihak saja.. Etika kewartawanan apakah itu? Oppsss, terkeluar tajuk pula..

Saya jarang melayan Youtube. Tapi minggu lepas abah ada buka youtube Inilah Kisahku.. yang saya nak tengok sepanjang Ramadhan lepas tapi tak pernahnya dapat tengok satu pun.huhu.. Yang saya nak tengok sekali ialah Catriona Ross dan Wardina.

Wardina, saya sudah lama meminatinya sejak dia menjadi VJ lagi. Sebelum sitkom Spanar Jaya lagi saya suka melihat aksinya mengacarakan rancangan. Entahlah.. Lagipun dulu saya agak perasan yang mukanya ada iras muka saya sebab tulah saya minat dia... HAR HAR HAR HARRR...



Cat pula saya suka tengok lakonannya bila dia berbahasa Inggeris.. Dia tak sama macam pelakon lain yang bila berbahasa Inggeris masih terdengar slanga Melayu (macam saya tak hehe..). Tapi Cat kalau melontarkan dialog Inggeris macam orang Australia! Dengan antonasi yang sedap didengar.. Padahal dia berasal dari Kelantan! Takjub gitu jelah..hehe.. Tapi saya tak berapa suka nak taksub sangat sampai nak ambil tahu semua benda dan perjalanan seninya.

Jadi, bila mereka sudah berhijrah saya sangat gembira untuk mereka berdua ini (sama juga untuk artis lain yang sudah melakukan penghijrahan). Alhamdulillah.. Moga hidayah ini terus kekal di sanubari anda semua.

Namun, yang saya nak kongsikan di sini ialah cerita di sebalik penghijrahan mereka. Artis lain saya tak berapa nak ambil tahu sangat tapi saya merasakan ada sesuatu yang lebih besar terjadi dalam perjalanan hidup mereka yang 'unik' yang saya patut ambil tahu dan ambil pengajaran daripadanya.

Saya kongsikan di sini...

Inilah Kisahku : Wardina Safiyyah

Inilah Kisahku : Catriona Ross



Mak pernah berpesan pada saya. 

Doa ibu ni yang paling kuat! Walau macamana kerenah anak tu seorang emak jangan berputus asa dari terus berdoa. Yang penting doa yang baik. Sebab tu jadi emak ni kena betul-betul kuat dan tak boleh putus doakan anak.

Cerita mereka ini lebih memahamkan saya dan menguatkan saya tentang erti kesabaran dan doa seorang yang bergelar ibu. Secara peribadi, saya sangat takjub dengan prinsip ibu Cat dan ibu Wardina ini. Doanya tak pernah putus. Nasihatnya tak pernah berhenti walaupun si anak menyakitinya berulang kali. Tapi, bila seorang emak itu ada keyakinan yang tinggi beserta doa yang sangat mengharap maka, tak kira sejauh mana si anak menjauhinya untuk satu ketika pasti si anak akan mencari jalan pulangnya dengan sendiri berkat kekuatan doa ibu dan keizinan dari Allah.

Nak memulakan satu perjalanan baru (berhijrah) memerlukan kekuatan dan ILMU. Memang bukan mudah. Tapi saya percaya bila seseorang bertaubat dengan sebetul-betul TAUBAT dan mengakui kesalahannya serta berjanji tidak mahu melalui jalan yang salah itu sekali lagi maka Allah pasti tunjukkan jalannya. Lihat saja bila Cat dan Wardina mendapat seruan itu. 

Bagi Cat dia sangat sedih dan baru tersedar yang dirinya selama ini tidak menyimpan satu tudung pun di rumah walaupun mengaku beragama Islam. Selepas itu, dia berazam untuk berubah dan membeli  tudung serta tidak lagi menyimpan apalagi memakai pakaian seksi dan terdedah! Malah, betul ilmunya bahawa kalau setakat pakai tudung hanya berselendang menutup sebahagian kepala saja bukan menutup sepenuhnya dan sebetulnya buat apa bertudung? Saya setuju!

Begitu juga Wardina. Walaupun selepas pulang dari umrah, dia tidak terus memakai tudung. Malah, dia belajar semula solat dan membetulkan solatnya semula terlebih dulu. Bila sudah pastikan solatnya terjaga barulah dia bertudung kerana merasakan masih ada yang kurang. Tak lama selepas itu barulah dia berubah penampilan dan tidak berpakaian seksi dan mendedahkan aurat lagi! Jadi model muslimah lagi dan rezekinya tetap ada walau dalam bidang sebegini. Melimpah ruah lagi tanpa disangka!

Inilah contoh terbaik untuk kita berubah agar hidayah dan ketenangan yang lebih besar dapat kita rasai dalam perjalanan yang berbaki.

Setiap orang (tak kiralah artis ke bukan artis ke) punya jalan cerita hidup masing-masing.. Ada yang bukan melalui hidayah yang datang dengan tiba-tiba seperti Cat dan Wardina. Kebanyakannya datang dalam bentuk 'nasi sudah jadi bubur'.. Bila sudah terperangkap dengan masalah dan situasi tertentu yang memerlukan kita semak semula cara hidup kita terdahulu dan mengubahnya.

Kadangkala Allah berikan kita ujian kesakitan, kesusahan yang berbentuk pengajaran dari Tuhan secara direct yang menyebabkan kita baru tercari-cari tikar sejadah semula untuk bertaubat. Kita sedar kita perlu bertaubat di atas kesalahan dan kealpaan kita. Tapi seringkali manusia terlupa di sebalik taubat itu sebenarnya Allah mahu kita berubah dari hidup lama, hiduplah dengan jalan yang baru, berhijrahlah! Itulah baru dimaksudkan tutup buku lama, buka buku baru..

Tetapi alangkah ruginya apabilah hidayah yang Allah mahu berikan itu kita terima tanpa apa-apa perubahan yang kita sanggup korbankan demi Tuhan Pencipta manusia ini. Kita pasrah pada ujian itu namun kita masih terus dengan cara hidup kita sebelumnya. Sekurang-kurangnya, jika kita tidak kuat untuk melakukan secara drastik, lakukanlah dengan membetulkan solat terlebih dahulu seperti Wardina. Maksudnya, carilah ilmu lagi dari orang yang amanah dan jujur dalam Islam sebenar. Kerana orang-orang sebegini dengan ikhlas mahu menolong orang yang ingin berubah tanpa apa syarat pun. Tak semestinya dengan menyuruh anda mengikut seperti cara hidup mereka. Bukan! Tapi, cari ilmu itu untuk anda mendapat kekuatan untuk mengorak langkah baru mendepani masa hadapan dengan cara anda sendiri.

Saya juga kagum dengan Cat kerana sanggup memutuskan hubungan dengan kawan-kawan silamnya dan cuba mencari semula kawan sekolah yang 'baik' sekurang-kurangnya bukan kaki clubbing katanya. Bukan mudah untuk berbuat begitu. Hanya orang yang ada keyakinan yang tinggi, kenal diri sendiri dan percaya sepenuhnya pada Allah saja yang kuat untuk berbuat begitu. Cari orang yang baik untuk kita menjadi sebahagian dari mereka. Bila niat kita untuk betul-betul jadi baik, tidak mungkin tidak, pasti Allah akan menghantar orang-orang yang baik yang tidak mengambil kesempatan atas diri kita lagi untuk berada di sekeliling kita. Percaya pada itu!

Selain mengenai diri kita sendiri, taubat dan berubah, siapa yang kita gauli dan orang yang kita dengar nasihatnya itu juga memainkan peranan besar! Kawan kita, ibubapa kita mencerminkan diri kita. Rasulullah ada mengingatkan, dengan siapa kita bergaul itu menjadikan kita sebahagian daripadanya. Jika kita masih suka berkawan dengan mereka yang suka bergosip dan fitnah memfitnah, tak mungkin satu hari nanti kita turut akan difitnah. Semasa itu jangan pula salahkan orang lain ya! Begitu juga ibubapa kita, asal usul kita.

Kita akan menjadi seperti apa yang ibu kita doakan. Namun, soal ibubapa ini tidak boleh kita memilih seperti kita pilih kawan. Ini lebih kepada ketentuan dan ujian Allah. Namun, ianya bukan alasan untuk kita tidak boleh berubah menjadi manusia lebih baik dari hidup sebelumnya. 

Ibubapa tetap orangtua yang melahirkan kita. Hormati mereka. Jaga keperluan dan berbaktilah kepada mereka. Kerana itu, Allah sebut di dalam al-Quran "Berbuat baiklah kepada orangtuamu".. Bukan "Sayangilah atau cintailah orangtuamu.." Ini kerana dalam situasi atau kes tertentu, seorang anak tak mampu untuk menyayangi ibubapanya disebabkan pengalaman lalu ataupun mungkin kerana di atas kekhilafan ibubapa itu sepanjang membesarkan anak-anak. Maka, Allah tetap menyuruh 'berbuat baiklah' walaupun anda tak mampu menyayangi mereka. 

Jika ibubapa mampu mengeluarkan nasihat yang baik dengan meletakkan undang-undang Allah dan cara hidup Islam yang betul di hadapan sekali maka itu nasihat yang baik yang patut kita ikut. Namun, jika sebaliknya malah ibubapa sendiri tidak mengamalkan cara hidup Islam yang betul maka, reserved la sedikit! Bagaimana undang-undang dan cara hidup Islam yang betul? Simple saja. Seperti yang saya sudah ceritakan dalam entri sebelum ini. Itu asasnya.

Allah menegur dan memberikan kita hidayah setelah kita terlalu banyak menyakiti hati seorang ibu yang taat padaNya. Mungkin juga Allah tidak mahu kita terus menerus menjalani hidup yang salah itu dengan menanggung lebih banyak dosa terus-terusan. Begitu sayangnya Allah pada kita. Namun, jika kita tak mampu untuk membaca dan mendengar apa yang Allah sedang berbicara dengan kita ketika hidayahnya tiba maka, ia seperti kita sudah dapat peluang untuk mengembangkan perniagaan kita ke tahap seterusnya namun kita sia-siakannya. Tidak pedulikannya.

Setiap orang yang baik itu tak semestinya akan terus baik hingga akhirnya. Dan orang yang jahat itu boleh saja menjadi orang yang baik pada akhir hayatnya. Iman itu turun naik. Kerana itu kita memerlukan antara satu sama lain untuk saling mengingatkan agar kita tidak terlalu berbangga dengan jalan hidup yang kita lalui sekarang.

Mari sama-sama kita menilai kembali tiap apa yang Allah berikan pada kita samada hidayah yang datang tiba-tiba, ujian kesusahan, ujian kesenangan atau apa saja yang membuatkan kita terduduk dan menangisinya. Percayalah, itu tandanya sudah tiba masanya untuk kita membuat U-turn! 

Bukan meneruskan perjalanan di jalan yang salah. Bukan juga untuk undur ke  belakang dan terus di dalam kegelapan. Tapi untuk keluar semula ke jalan besar (jalan asas) untuk kita ke hadapan lagi supaya kita mendapat jalan lain yang lebih luas dan lebih diredhai oleh Allah. 

Hanya Allah yang tahu jalan mana yang lebih baik untuk kita maka, bermunajatlah kepada Allah untuk menemui jawapannya bukan melalui cakap-cakap manusia yang terbatas pengetahuannya. Dengan satu penghijrahan, roda hidup anda dan keturunan anda juga akan bertukar dan berhenti dari terus-terusan diwarisi oleh generasi selepas anda.

Semoga anda dan saya dan seluruh umat Islam akhir zaman ini terpelihara imannya dan bersedia untuk mendapat hidayah Allah bila-bila masa melalui satu penghijrahan, satu pengorbanan untuk agama yang dicintai ini.. 

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha.. Hayati maksud di sebalik pengorbanan. Semoga anda dan keluarga seisinya diberkati Allah dan sentiasa di dalam kasih sayang Allah selamanya.



Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor