Rabu, 19 Oktober 2011

Remaja dan wanita alaf baru..

Pagi tadi topik perbincangan WHI tv3 sangat bagus. 'Ibubapa lalai, anak cak kun cak'... Ada seorang remaja perempuan yang sudah insaf dan sedang menjalani pemulihan di KEWAJA. Seorang panel adalah orang kuat KEWAJA dan seorang lagi kaunselor jemputan.

Pada permulaan, faktor menyebabkan anak yang bermasalah dan akhirnya 'menjadi bubur' ini dengan menyalahkan ibubapa sebagai orangtua yang tidak mengambil berat tentang anak-anak disebabkan hari ini kedua-duanya sibuk dengan kerjaya. Sebaliknya, remaja perempuan ini ibubapanya sangat mengambil berat hingga membuatkan dia lari tidak mahu dikongkong! Dan kemudiannya dia mengakui bahawa dia hanyut dengan pengaruh rakan sebaya (teman lelaki) yang akhirnya menyebabkan dia terlanjur sehingga mengandung anak luar nikah dan membawanya ke KEWAJA. Di setiap pertanyaan pengacara pasti dijawabnya berulangkali bahawa 'dengarlah cakap ibubapa' kerana dia menyesal melawan cakap dan tidak mahu mendengar cakap orangtua satu masa dahulu.

Ohoo, sebelum topik pagi tadi berakhir, di awal rancangan lagi saya dan mak mengikutinya lalu mak terus berkata, "Percaya tak percaya, budak-budak takde pengalaman, macamana nak bagi kepercayaan.."

Saya..... Terdiam seribu bahasa....



Akhirnya, saya bersetuju dengan kesimpulan kedua-dua panel tadi.

1. Tak boleh nak salahkan ibubapa sepenuhnya. Dalam hal begini, diri remaja itu sendiri harus bertanggungjawab dengan apa yang dia pilih. Namun, saya tak nafikan, keluarga ini bermacam-macam. Didikan agama dari awal sepatutnya perlu dititikberatkan. Ibubapa yang terlalu ambil berat dan ibubapa yang terlalu memberi kebebasan itu tidak sepatutnya terjadi. Kebanyakan kes remaja bermasalah adalah berpunca daripada ABAIKAN SOLAT. - Kaunselor jemputan -

2. Buat remaja perempuan di luar sana harus berfikir. Jika seorang lelaki yang mahukan kita sebagai suri di hatinya yang sah, yang solehah, dia takkan sesekali tergamak menodai kita dan tidak membimbing kita ke jalan yang diredhai. Ingat tu! Jangan sesekali percaya pada orang lelaki yang mengambil kesempatan atas diri kita. - Orang kuat KEWAJA -

Saya teringat pula USRAH tv9 dalam minggu sudah bertajuk MENDIDIK ANAK PEREMPUAN.

Ustazah Asni menyatakan 3 pra-syarat utama dalam mendidik anak perempuan. Sama saja sebenarnya dalam mendidik anak lelaki mahupun perempuan tapi kenapa Islam menekankan mendidik anak perempuan itu lebih penting?

1. Bermula mendidik anak dengan bermulanya mencari calon isteri. Ya, tak perlu saya ulas panjang. Seperti tagline Ustazah Pilihan di Astro Oasis, "Didik wanita, terdidiklah generasi!"

2. Ajar anak dengan aqidah. Kewujudan Allah, keEsaan Allah, keAgungan Allah dalam semua perkara dalam hidup ini dan yakinkan anak yang Allah sentiasa memerhati kita, melihat kita dan menyayangi kita. Allah ada di mana-mana. Di sini perlu diajar kepentingan menjaga solat sebagai salah satu cara kita mempercayai dan yakin akan kewujudan Allah yang sepatutnya menjadi tempat kebergantungan kita sepanjang hidup.

3. Barulah diajar tentang syariat. Iaitu termasuklah muamalat dan akhlak. Hubungan semasa muhrim bagaimana, sesama bukan muhrim bagaimana. Ajarkan anak tentang percampuran yang terlalu bebas antara lelaki dan perempuan tidak sama sekali digalakkan dalam agama. Masih boleh berhubungan tetapi perlunya kepada batas-batas tertentu untuk menjaga syariat. Bagaimana pula perlunya menjaga akhlak di antara lelaki dan perempuan. Semuanya sudah termaktub dalam Islam. Mengapa perlunya menjaga aurat dan bagaimana harus berpakaian? Tidak boleh berpakaian seksi dan terdedah. Memanglah semua itu hak individu tapi Islam sudah cukup cantik menggariskan batas apa yang harus ditutupi dan apa yang boleh. Nampak seperti hal remeh tetapi inilah yang menentukan akhlak seseorang agar syariatnya terjaga ataupun tidak.

Jadi, sudahkah anda nampak dan faham mengapa perlunya dilebihkan dalam mendidik anak perempuan?

Saya teringat pula Semanis Kurma dalam episod "Dia untukku?".. Jemputan bersama Ustazah Bahiyah ketika itu ialah Ashraf (Imam Muda 1) bersama isterinya, Nur Husna. Walaupun isterinya tak berapa banyak cakap seperti Ashraf, namun kata-katanya amat membuatkan saya menyedari tentang jawapan kepada soalan di atas.

Ustazah Bahiyah memintanya memberikan beberapa nasihat untuk wanita yang sedang tercari-cari jodoh dan terperangkap di dalam percintaan muda mudi zaman kini. Dia menjawab, "Kita jadi perempuan ni sebenarnya kena lebih kuat dari lelaki. Bukan kuat fizikal, tapi kuat mental dan kuat pendirian. Pertahankan maruah diri, mahkota diri sebelum perkahwinan yang sah. Nak melawan nafsu tu sebenarnya perlukan kekuatan. Kita ni yang perempuan seharusnya perlu lebih kuat dari mereka."

Tepat sekali!

Wanita, perempuan, anak zaman kini sangat terdedah kepada pelbagai ajakan yang akhirnya boleh membawanya ke arah penyesalan. Kalau dahulu, sekurang-kurangnya mereka akan berfikiran 'apa orang kampung kata jika tiap malam keluar dengan lelaki?'.. Zaman sekarang tidak wujud lagi ke'malu'an seperti itu. "Engkau dengan hidup engkau, aku dengan hidup aku. Kalau engkau nampak aib aku, baik engkau tutup mulut saja. Kalau tak aku bukak aib engkau pula".. Semua inilah dikatakan minda kelas (bukan pertama). Inilah hasil apabila artis dijadikan role model dalam hidup masing-masing.

(Saya hairan kebanyakan artis yang 'kantoi' rata-rata menyalahkan orang yang membuka aibnya kepada umum dengan mengatakan, "Ingatlah di akhirat kelak Allah akan membuka anda jika anda membuka aib orang di dunia ini." Pandai pula bercakap mengenai akhirat. Padahal dia tidak sedar yang dia sudah terlebih dahulu membuka aib dirinya sendiri dan tidak tahu menghormati syariat yang Allah sudah tetapkan, bagaimana pula mahu menegakkan benang yang basah dan baru bersandarkan hukum Allah di akhirat?)

Sama juga keadaannya jika kita gagal mematuhi garis panduan dan manual kehidupan yang Islam sebenar anjurkan ini, dan kemudiannya kita mendapat 'pukulan kecil' dari Allah untuk kita berubah pulang ke jalanNYA. Bukan redha dan menerima ujian itu dan kemudian tidak sedar untuk berubah. Malah bertawakal atas nama Allah pula. Redha dan tawakal sebegitu bukan yang Islam anjurkan.

Oleh itu, kita harus berbalik kepada Islam sebenar iaitu, "Apa Allah kata...?" sejak awal cara hidup lagi dan pada sekecil-kecil tindak tanduk dan penyelesaian yang kita cari dalam hidup. Rasulullah suruh, ikatlah unta kamu itu dan kemudian tawakal kepada Allah. Maksudnya, buatlah sesuatu yang perlu dilakukan sepatutnya terlebih dahulu dan bertawakallah! Islam bukan agama yang pasif dan tidak mengajar kita untuk menjadi pasif.

Kerana itu, saya berpegang bahawa cakap orangtua yang baik harus diikuti. Jika begitu peraturannya, begitulah. Kerana orangtua yang baik akan meletakkan peraturan Allah di hadapan terlebih dahulu. Tapi jika orangtua tidak memarahi malah membenarkan segala perlakuan yang melanggar batas-batas dan pra-syarat seperti Ustazah Asni sebutkan di atas, bermakna..... Ooo saya tidak tahu ianya bermakna apa.

Bukan saya bermaksud untuk memandang skeptikal ibubapa dan keluarga yang sebegini. Namun, jika saya boleh tolong apa yang terdaya saya pasti akan menolongnya. Saya tidak suka untuk berpandangan negatif terhadap orang lain kerana saya juga boleh mendapat nasib yang sama jika begitu hendakNYA.

Sebaik-baik ibubapa juga kadangkala diuji dengan se'nakal-nakal' anak yang berharga. Kerana itu, menjadi prinsip saya agar tidak memandang rendah terhadap orang lain yang bukan sealiran dan sepengetahuan dengan saya, malah belajar dari kesilapan dan kelemahan orang lain yang mungkin saja menjadi kelemahan saya juga kelak. Siapa tahu?... Kena timba ilmu lebih lagi.

Saya juga seorang ibu muda. Saya belum lagi melalui fasa anak remaja ini. Jadi saya takkan faham bagaimana untuk membesarkan anak remaja lagi. Saya tentu saja bimbang, risau dan takut.Tapi sampai satu ketika kelak saya pasti akan melaluinya. Ketika itu, saya hanya berharap agar anak-anak perempuan saya akan berakhlak seperti srikandi Islam yang baik. Tidak sempurna tidak mengapa. Asalkan sahaja menjaga solat, menjaga aurat, berakhlak tinggi dan tahu menghormati diri dan memelihara nasab keturunan sendiri.

Begitu juga anak lelaki saya kelak. Yang penting bagi anak lelaki, menghormati kenalan wanitanya dan saudara mara seperti menjaga dan memelihara pendirian dan kesucian adik beradik sendiri. Tentu sekali saya perlu bekerja keras mengajar dan mendidik mereka dari sekarang. Namun, masa hadapan tak mungkin sesiapa dapat menjangka dan menduga. Walau sebaik mana didikan kita kepada anak-anak, di akhir hari mereka sendiri bertanggungjawab memilih jalan hidup yang mereka mahukan dan apa yang Allah rancangkan. Semua ibubapa takut bila tiba persoalan sebegini.

Bak kata Dr. Muhaya, risau, bimbang dan takut harus DELETE  terus dari sistem hidup dan sistem berfikir orang Islam..

Akhirnya, saya harus teruskan berdoa dan mengucapkan (begitu juga anda),
Hasbiyallah wa nik'mal wakiil fa nik'mal maula wa nik'mannasiir. Laa haulawala quwwata illa billahil 'aliyyil 'aziim..
"Cukuplah Allah bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung dan penolong (yang terserah kepadaNya segala urusan kami.  Tidak ada daya lain dan kuasa selain dengan kuasa Allah yang Maha Besar."

Semoga wanita dan remaja akhir zaman ini akan tersedar dari kebebasan yang tidak wujud di dunia ini dan keseronokan yang hanya bersifat sementara ini. Semoga Allah menerima taubat kita semua dan menjadikan kita manusia yang lebih baik dari sebelumnya. InsyaAllah.. Mari sama-sama berubah mengikut cara hidup Islam sebenar.

Biar kita terkongkong di dunia ini dan bebas di akhirat kelak. Daripada kita sudah merasai sangat bebas di dunia ini, kita akan terkongkong dan terkurung pula di dunia abadi kelak. Na'uzubillahi min dzaalik!




2 ulasan:

azlina ahamat berkata...

saya mmg peminat blog k.dah..byk info dan bermanfaat..keep it up,fren...

Khadijah Gani berkata...

eh cikgu azlina pun ikut blog ni rupanya.. hehe.. tima kasih sahabatku dulu, kini & selamanya! :)

niat di hati nak mengubah dunia melalui penulisan. tp taknak la syok sendiri..hehe. mana yg silap atau tak kena bgtau la yek. share pandangan bersama.. salam pd family ek!

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...