Khamis, 14 Julai 2011

Zikr al-mawt... 29 tahun..

Setiap tahun, hari ini harijadi saya, esok pasti harijadi emak. Hari ini harijadi emak, semalam pasti sudah menjadi harijadi saya. Kami selalu diraikan bersama.

13 Julai 2011. Tahun ini genap saya 29 tahun. Mempunyai dua orang cahayamata lelaki dan perempuan, sepasang. Berkongsi pahit manis hidup bersama seorang suami yang bertimbangrasa dan beriman. Dapat menjaga dan berbakti kepada kedua orangtua saya dengan ilmu dan kudrat yang saya ada. Menjalani hidup yang serba sederhana dan hanya dapat melepasi keperluan tanpa berboros. Juga punya kedua orangtua mertua yang sangat memahami dan sangat menyokong apa saja kehidupan anak-cucu mereka. Alhamdulillah.. Segala puji hanya pada Allah..

Kelihatan sepertinya membaca pengakhiran sebuah cerita dongeng yang selalu dalam bentuk happy ending.

Maka, saya tertanya adakah ini petanda 'happy ending' dalam kehidupan saya?




Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang serba sederhana. Mula masuk tadika ketika berumur 6 tahun. Itupun sekejap sahaja kerana berpindah. Pendidikan awal saya lebih banyak bermula di rumah bersama emak.

Tahun 1989 untuk satu penggal saya memulakan Tahun 1 di KL. Dan pertengahan tahun saya berpindah masuk ke SK Sri Skudai pula setelah abah mendapat jawatan sebagai Penolong Pensyarah A di UTM.

Sejujurnya, saya tidak punya banyak kenangan manis ketika di bangku sekolah rendah. Oleh kerana saya masuk ke sekolah itu di pertengahan tahun, jadi saya ditempatkan dalam kelas yang ada kekosongan. Saya terus di kelas itu sehinggalah darjah 5. Saya cuma ingat saya punya seorang kawan perempuan yang baik hati menegur saya semasa kali pertama saya ke kantin sekolah membeli makanan. Oleh kerana saya bertubuh kecil, saya mudah ditolak orang dan saya tidak sampai untuk mengambil makanan ketika ingin membayar di kaunter. Sehingga saya merasakan betapa 'kecilnya diri saya' sampaikan saya makan di sebelah tong sampah saja semasa waktu rehat disebabkan saya tiada kawan langsung. Farahdila Abd. Ghani adalah orang pertama yang menegur saya dan mengajak saya ke port yang lebih baik iaitu di belakang pokok. Sejak itu, disitulah port kami tiap kali waktu rehat. Dia lebih tinggi dari saya jadi dia akan membelikan saya makanan dan saya akan menunggunya di belakang pokok.

Ada seorang lagi kawan lelaki yang saya masih ingat. Dia adalah saingan terbaik saya sepanjang berada di kelas. Shahril. Jika dia mendapat no.1, saya pasti jatuh no.2. Jika saya no.1 dia pasti dapat no.2. Begitulah kami tiap kali peperiksaan. Kami suka cabar mencabar. Kerana itu kami selalu duduk bersebelahan kerana semasa itu kedudukan kelas disusun mengikut nombor dalam peperiksaan. Namun, beberapa tahun lalu saya mendapat khabar yang Shahril sudah lama meninggal dunia disebabkan luekimia. Saya tak pasti bila. Itu yang saya dengar, saya tak pasti. Kami terpisah semasa darjah 6. Dia berpindah sekolah kerana katanya dia ikut mak ayahnya dan juga dia kata kepada saya yang dia ada penyakit. Dia selalu sakit kepala. Saya ingatkan dia hanya bergurau.. Itu saja yang saya ingat.

Semasa darjah 6, saya terpaksa berseorangan masuk ke kelas no.1. Jika Shahril tidak berpindah, pasti saya dan dia akan masuk bersama ke kelas itu. Bermula itulah pengalaman pahit saya memadamkan semua kenangan manis saya yang ada di sekolah rendah. Ya, berdasarkan kepada seorang kawan sekelas saya mendapat tahu ada seorang guru yang menasihati murid lain agar tidak berkawan dengan saya hanya kerana saya dari 'kelas itu' yang terkenal dengan budak jahat dan tidak berapa cerdik. Dan jika orang berkawan dengan saya, mereka juga akan jadi jahat dan tidak cerdik.

Patutlah sejak melangkah kaki pertama kali ke kelas no.1 itu saya berasa sangat dipinggirkan. Tidak seorang pun menegur saya. Jika saya menegur orang, saya akan nampak mereka menjauhkan diri. Semasa itu saya tak tahu apa silap saya. Saya menjadi budak yang sangat pasif dan negatif. Mujur guru kelas no.1 itu sangat prihatin dengan perubahan sikap dan prestasi saya di kelas. Dia ada bertanya pada saya tapi saya tak mahu memberitahunya masalah sebenar. Dia semacam memahami dan menukarkan tempat duduk saya dari belakang ke hadapan sekali betul-betul depan papan hitam, di sebelah ketua pengawas sekolah dan berhadapan dengan pengawas juga yang perasan hensem dalam sekolah. Dahulu, susunatur meja adalah dalam kumpulan 8 orang. Sejak berpindah tempatlah saya seringkali dipulaukan. Mereka akan meletakkan buku setinggi yang boleh macam membuat kubu dan hanya mengasingkan meja saya saja. Bila cikgu masuk, dia akan ambil buku-buku itu menyimpannya di bawah meja. Seringkali juga kerusi saya diletakkan dengan bermacam-macam benda. Dan orang itu akan membuat 'muka jijik' mengambil barang itu dari kerusi saya apabila saya menegur. Saya tak pasti dia hanya menyakat atau apa tapi saya berasa sangat terasing dan sedih setiap kali dibuat begitu.

Setiap kali pulang ke sekolah, selepas sembahyang Zohor saya akan menangis sambil berdoa. Seorang diri. Kadangkala mak perasan mata saya yang merah bila turun makan. Tapi saya kata mengantuk. Tidak seorang pun tahu cerita ini walaupun mak abah. Saya simpan dalam hati seorang diri. Hanya selepas saya habis belajar dan keluar sekolah itu barulah saya menceritakannya pada abah. Dan abah selalu menjadikan cerita saya sebagai contoh kepada bakal-bakal guru yang abah menyelia atau dalam kursus persediaan guru. Barulah saya faham maksud tersirat ujian yang Allah datangkan kepada saya itu.

Namun, era sekolah rendah saya itu berakhir dengan happy ending. Saya dapat membuktikan juga walaupun saya dari kelas jahat dan tak berapa nak cerdik itu, saya tergolong dalam 13 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR iaitu mendapat 4A. Ketika mengambil gambar bagi pelajar cemerlang sekolah, barulah mereka memanggil nama saya dan mengajak saya duduk di kerusi hadapan sekali. Saya tidak mengambil sebarang gambar pun dari sekolah rendah saya. Kerana saya tidak mahu mengingatinya semula dan tidak mahu menyimpannya langsung.

Kemudian, saya meneruskan perjalanan saya untuk permulaannya dalam Rancangan Khas Agama (RKA) di SSI. Saya duduk di asrama SSI hanya dalam seminggu kemudian saya minta abah menukarkan sekolah. Saya sangat bercita-cita tinggi untuk masuk ke Kolej Tunku Ampuan Mariam (KTAM) ketika itu kerana saya punya result yang bagus di samping sekolah berasrama itu saja ketika itu ada subjek Bahasa Arab. Saya sangat suka subjek itu! Pengetua KTAM ketika itu ialah Ustazah Zaiton Atan (Allahyarham). Dia adalah rakan baik abah yang sama-sama menuntut di Mesir dulu. Walaupun ada kabel tapi prinsip abah untuk tidak menggunakannya.. Hanya selepas beberapa minggu keluar dari SSI barulah saya diterima masuk ke KTAM. Ini disebabkan nama saya masih dalam senarai menunggu dan terpaksa menunggu nama di atas saya untuk menarik diri. Alhamdulillah, rezeki saya ada dengan mudah.

Saya adalah pelajar KTAM dari tahun 1995 hingga 1997. Dari KTAM saya membina peribadi sendirian dan membentuk motivasi kendiri yang lebih positif, berdikari dan lebih berkeyakinan. Kerana pelajar-pelajar di situ tidak punya persepsi buruk terhadap saya dan tiada lagi kelas pandai atau kurang pandai. Mereka berkawan dengan semua orang seperti adik-beradik.

Tahun 1997 pertengahan tahun KTAM dinaiktaraf menjadi sekolah berasrama penuh menjadi SMKA Johor Bahru. Kami berpindah dari bandar Johor Bahru ke Taman Johor Jaya. Kamilah batch awal pembukaan SMKAJB semasa itu tiada langsung pokok di situ dan surau sekolah yang sangat luas tanpa sebarang karpet atau sejadah. (Takut wooo dari sekolah kecil dapat sekolah besar!)

PMR 1997 dan SPM 1999 di SMKAJB. Saya menutup zaman persekolahan saya dengan prestasi yang baik dan reputasi yang cemerlang. Saya sangat aktif semasa di SMKAJB. Pelbagai jawatan saya pegang. Namun akademik saya tetap cemerlang walaupun bukan menjadi top student.hehe.. Bolehlah 13 Agg.. Ketika ini, saya punya banyak memori yang manis dan membanggakan. Juga banyak peminat! haha! Pendek kata, happy ending jugalah..

Selepas SPM saya terus menerima tawaran ke Matrikulasi UIA, PJ. Dalam jurusan Sains Kemanusiaan. Kebiasaannya pelajar matrik menghabiskan selama 2 tahun sebelum masuk ke Kampus Induk UIA di Gombak. Tapi saya terhabis awal iaitu 1 setengah tahun saja dengan keputusan yang agak baik, 3 pointer.

Tahun 2001 saya sudah masuk ke UIA Gombak dan memutuskan untuk majoring dalam Sains Politik. Sebenarnya, sejak di Matrik UIA ustazah Palestin, cikgu bahasa arab saya berkali-kali memujuk saya untuk majoring dalam Kesusasteraan Arab kerana saya antara pelajar terbaiknya.. (Ya, saya pernah mengajar kawan sekelas arab saya apabila cikgu bahasa arab saya dari Sudan sudah give up kerana budak tak faham-faham apa yang diajarkannya..hehe..) Namun, saya katakan ayah saya adalah pensyarah bahasa arab dan saya berhasrat untuk menceburi bidang lain pula walaupun saya tahu kelebihan saya dalam bahasa arab.

Dan saya meneruskan majoring dalam Sains Politik di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan. Kebiasaannya orang mengambil masa 6 tahun untuk tamat belajar. Tapi, saya pun tak tahulah macamana saya boleh habis belajar awal sekali lagi iaitu 5 tahun saja. Saya grad pada tahun 2005.

Sepanjang belajar di UIAM saya juga aktif berpersatuan. Paling tinggi prestasi saya adalah memegang jawatan Vice President Intellectual Youth Club (IYC). Dan beberapa persatuan lain juga. Namun, akademik saya tetap maintain. Saya grad dengan 3 pointer. Bolehlah happy ending juga walaupun ada part yang sad ending..

Namun, setelah tamat belajar saya diduga. Niat saya berbelah bahagi untuk mencari kerja di KL saja atau pulang ke JB. Dan ketika inilah saya mengalami kecelaruan kehidupan. Saya agak sukar mendapat berita baik untuk jawatan-jawatan yang besar dengan gaji yang lumayan. Saya terlalu kecewa dengan prestasi saya dan menyalahkan diri saya sendiri. Buat bisnes juga berhenti setengah jalan kerana tiada keyakinan dan kekurangan beberapa faktor lain. Sehinggalah saya jatuh sakit semula.

Saya ingatkan semasa saya sakit itu saya hampir berputus asa dalam kehidupan saya. Saya sentiasa berdoa agar Allah tunjukkan saya jalan sepatutnya saya tuju. Ya, saya sedar mungkin ada niat saya yang salah atau kesilapan yang saya telah lakukan. Namun, saya buntu kerana tidak tahu bagaimana untuk keluar dari belenggu hitam itu.

Kerana kesakitan itulah membuatkan saya bertemu dengan satu lagi jalan pencerahan yang baru. Yang tidak saya sangka.

Saya tergerak hati untuk pergi ke satu klinik alternatif yang berdekatan dengan rumah. Saya berjumpa seorang doktor yang seperti bukan seorang doktor sahaja tapi kaunselor dan ustaz pun ada saya rasakan. Perubatannya berkait rapat dengan kehidupan beragama yang saya sudah tahu tapi rupa-rupanya saya sudah lupakan. Dari situ saya berubah.

Saya bukan lagi orang seperti saya yang lalu. Paradigma saya berubah. Kemahuan juga berubah. Taubat saya lebih dirasakan. Dan saya menerima pencerahan jalan pulang sedikit demi sedikit.

Saya kemudiannya menerima tawaran bekerja di situ. Ketika itu saya terfikir apa kehalnya dari Sains Politik boleh sampai ke bidang perubatan alternatif dan komplimentari? Saya pasrah.

Rupa-rupanya Allah mudahkan semula semua urusan saya. Allah makbulkan semua doa saya yang tertunda sebelum ini.

Saya bertemu suami (adik kepada doktor itu). Bukan kerana ikatan mereka itu saya menerima suami saya. Tapi lebih kepada keserasian secara dalaman yang saya rasakan. My soulmate to be exactly. Saya juga tak sangka itu jodoh saya kerana pada awalnya saya tidak suka cara dia. Secara rawak, kami adalah entiti berbeza tapi saya dan suami punya persamaan fikrah dan halatuju. Semuanya saya ada ceritakan di sini.

Bermula itu saya menjadi seorang yang lebih matang dan melihat dunia dengan pandangan saya yang asal. Sehingga kini 2011 saya berusaha untuk terus memantapkan ilmu yang terdahulu dan sekarang ini untuk menjadi satu.

Maksud saya, dulu saya sering mengikuti seminar dan kursus berbentuk intelektual seperti pemikiran Ibnu Khaldun, Iqbal dan lain-lain. Ya, semasa belajar dulu saya suka mengkaji pemikiran ilmuwan Islam terdahulu. Saya sangat kagum orang Islam dahulukala boleh menjadi ahli falsafah, dalam masa yang sama dia juga ahli politik, ahli perubatan Islam, ahli sejarah dan lain-lain lagi. Namun zaman sekarang kenapa jika ahli perubatan hanya menjadi ahli perubatan saja jauh untuk menjadi ahli falsafah, ahli politik dan sebagainya? Semakin lama, penguasaan bidang orang Islam hanya terhad pada 1 atau 2 bidang saja tidak seperti tokoh Islam dahulu. Serba boleh.

Kerana itu saya mahu satukan semua ilmu yang saya dapat dahulu dengan ilmu selepas pencerahan saya iaitu perubatan Islam. Samada saya akan menjadi Ibnu Khaldun alaf baru atau anak cucu cicit saya yang akan jadi sepertinya, itu semua kerja Allah menentukan rezeki saya, anak cucu cicit saya di mana. Sekarang saya masih dalam proses mendalaminya. Dan saya berharap doa saya ini akan termakbul satu hari nanti.

Dan baru pagi tadi saya terfikir akan sesuatu. Saya baru mendapat jawapan bagi soalan saya yang berbunyi "Apa kehalnya dari Sains Politik ke bidang perubatan?".. Jawapannya, ada pada emak saya. Saya dapat merawat emak ketika sakit dengan ilmu yang saya ada itu membuatkan saya sangat bersyukur dengan kehidupan yang Allah rancang ini. Bukti Allah Maha Tahu dan Dia Sebaik Perancang yang manusia biasa tak dapat fikirkan atau rancangkan.

29 tahun ini adalah pengakhiran dalam 20-an. Saya tak pasti samada happy ending saya pada hari ini menunjukkan sesuatu 'tanda' atau tidak. Secara peribadi, saya rasakan ada.

Dalam perjalanan yang panjang ini kadangkala kita di atas, kadangkala di bawah, kadangkala tersalah jalan, kadangkala tersesat di jalan yang terang. Saya hanya manusia biasa. Saya bersyukur kerana di akhir 20-an ini saya sempat pulang dan sedar untuk pulang ke jalan yang asal. Jalan yang lebih barakah. InsyaAllah..

Mengingati mati itu bagus. Hanya dengan mengingat mati akan membuatkan kita lebih fokus dan bekerja dengan lebih tersusun. Berlainan jika takut mati. Tanda jika kita takut mati ialah kita menjadi lebih pasif, takut dengan perkara yang tak pasti dan menjadi tidak tersusun.

29 tahun ini adalah permulaan kepada satu lagi tahap dalam kehidupan saya seterusnya untuk mencapai hasrat saya dalam beberapa perkara agar ianya menjadi jariah saya di alam sana. Itu fokus saya. Namun, ia juga boleh saja menjadi pengakhiran kepada satu perjalanan yang panjang ini. Ulangtahun kelahiran, isunya bukan lagi semakin tua atau muda. Mahu diraikan atau tidak. Namun lebih terarah kepada apa yang saya sudah lakukan dan ingin lakukan untuk membela agama saya agar terus subur dalam dunia ini. Saya tidak berapa kesah di mana saya berada, walau berapa kecil petak fizikal saya diami. Namun saya harus berjiwa besar!

Apa yang sudah terjadi di masa lalu membentuk siapa kita pada hari ini. Asal saja kita bersedia menerima kegagalan dan kekalahan kita dan berusaha membaikinya. Kita tak boleh terus menoleh ke belakang. Life must move on! Saya bersyukur seadanya.

Perjalanan hidup seseorang sepatutnya menjadi zikr al-mawt yang paling berkesan untuk difikirkan. Kerana  bermulanya hidup ini adalah perjalanan menuju sebuah kematian.

Dan di akhir dalam setiap pengakhiran, saya berdoa agar Allah terus memberkati dan memimpin saya ke jalan yang sepatutnya untuk saya dan keluarga. Agar saya kental dan terus bahagia dengan nikmat rasa berTuhan ini.. Dan mengakhiri kehidupan saya ini kelak juga dalam keadaan tetap iman terhadap Islam yang sebenar... Wallahu a'lam..

Tiada ulasan:

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...