رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Selasa, 17 Mei 2011

# keluarga

Sedetik berdua hingga berempat. 2011.


Semuanya bermula selepas saya sakit telinga.. Ya, saya pernah sakit telinga sehingga saya sudah kehilangan dekat 80% pendengaran. Sebelum itu, saya sudah penat naik turun hospital pakar di KL (semasa saya di tahun akhir UIAM) dan JB (selepas grad). Sakit telinga saya masih berulang sehinggalah saya tergerak untuk mencuba rawatan alternatif di Taman Teratai.

Di situlah saya berjumpa jodoh pekerjaan dan jodoh seumur hidup saya yang tidak pernah saya sangka, jauh sekali saya fikirkan.

Suami, bekerja dengan abangnya di klinik alternatif itu. Hidupnya hanya duduk depan komputer dan membuat kerja-kerja programming di dalam bilik kecil yang tersorok itu. Setelah saya bekerja di situ dan mula bergaul dengannya sebagai rakan sekerja, saya dapati 'otaknya' sangat luas walaupun duduk di tempat sekecil itu.

Saya dapati ada perkara dominan dalam corak pemikirannya yang lain dari kebiasaan lelaki. Dia tidak banyak cakap. Bila bercakap mulutnya laser pula. Tidak hiraukan perasaan orang. Apalagi peduli cakap orang. Walaupun dunianya lebih kepada corak programming komputer namun, ada ilmu padanya yang tidak ada pada saya. Pendek kata, dia selalu memberi pandangan yang sangat bertentangan dengan saya tapi masih boleh diterima akal. Yang saya suka, dia selalu berkata sesuatu yang saya tidak tahu (ini kerana saya sudah bosan dengan lelaki bermulut manis dan selalu bercakap benda yang saya sudah tahu).

Pada masa yang sama, keserentakkannya, saya sedang diintai dan dirisik oleh dua orang lelaki lain (seorang cikgu di MRSM, sekarang menjadi pensyarah di UIA dan seorang lagi punya harta yang banyak, tapi saya menolak mereka dengan baik). Jadi, terpaksalah saya memberitahu perkara ini cepat-cepat kepadanya. Kerana itulah, dia dan keluarganya terus datang merisik dan bertunang sekaligus pada 25 Disember 2007 (sebelum itu ibubapanya sudah datang berkenalan terlebih dahulu).

Lalu, kami berkahwin pada 16 Mei 2008.

Saya seorang yang banyak berfikir dan takut tak tentu pasal bila terfikir tentang masa depan. Itu memang saya yang dulu. Saya terlalu banyak soalan yang belum ada jawapannya.

Setelah berkahwin, suami berhenti kerja dan mengajak saya berpindah ke KL untuk mulakan hidup baru. Lebih untuk berdikari. Sebelum itu lagi saya sudah takut kerana semasa bertunang lagi suami sudah memberitahu perancangannya itu.

Kahwin. Kerja masih belum ada. Saya juga begitu. Rumah juga tiada. Simpanan hanyalah duit hantaran kahwin saya yang berjumlah RM 7000. Itu saja yang ada untuk memulakan hidup baru (ada juga simpanan lain saya dari kecil tapi suami tak bagi menyentuhnya).

Selepas kahwin, saya berjauhan dengan suami selama satu bulan lebih. Ini semua kerana suami ingin mencari rumah sewa dulu sebelum saya mengikutnya ke KL. Setelah 2 minggu selepas kahwin, baru konfem diterima kerja di Kg. Baru dan kemudian genap awal bulan Julai barulah saya berhijrah ke KL dengan mengangkut semua hadiah perkahwinan kami ke sana.

Rumah pertama kami di tingkat 13, Jalan Keramat Hujung. Hanya sebulan di situ. Kemudian, kami berpindah ke Wangsamaju. Walaupun sewanya lebih mahal sedikit, namun kami sepakat untuk memilih rumah yang dekat dengan masjid dan ada parking yang selesa dan lebih penting ianya ground floor. Semasa itu, kami tiada kereta. Kalau sesiapa datang senang nak parking.

Hahaha... Umpama kenangan manis! Walaupun ketika itu saya termenung jauh dari dalam lori mengangkut barang bersama adik di hadapan dan suami serta kawannya berdiri di belakang lori bersama barang-barang. Semasa berpindah saya hamil sebulan lebih ketika itu. Saya tak dibenarkan mengangkat barang sangat. Bayangkan nak angkut barang dari tingkat 13 turun ke bawah dan kemudian masuk ke dalam lori. Nasib baik adik ketika itu masih belajar di UIA. Boleh lagi paksarela dia tolong angkut barang. Dan juga jasamu dikenang selamanya kepada kawan sekerja suami yang sangat murah hati menolong kami.

Sewa rumah baru ini RM 600 sebulan. Sampai-sampai lantai kosong. Tiada alas. Nasib baik masjid sangat dekat. Jadi suami dan kawannya terus saja berjemaah di masjid. Saya pula dengan adik menyiapkan lauk pauk setelah bergilir sembahyang sambil mengemas terus sedikit-sedikit. Petang itu (dekat maghrib) kami berempat makan di lantai beralaskan suratkhabar saja. Rasanya seperti berpesta gembira sambil makan dengan selera dan hati lega sekali walaupun hanya makan di lantai yang masih basah itu.

Anak pertama, Fathi dilahirkan cukup-cukup bulan (akhir 35 minggu. Kalau mengikut hospital tak cukup bulan) pada 21 Feb 2009.


Sebelum itu, Disember 2008 kami baru dapat kereta pertama kami, Myvi dan kami mengambilnya dalam keadaan suami yang sangat teruk! Simptom awal denggi. Setelah dapat kereta, terus saja kami pulang ke JB (dengan saya yang sarat dan adik yang memang suka bawa kereta) untuk dapatkan rawatan daripada abang ipar di klinik alternatifnya. Ingatkan denggi biasa, rupanya suami denggi berdarah! haha.. Jangan ceritalah masa ni! Sadis sungguh! Saya hanya mampu menggelengkan kepala.. (Mungkin sebab saya sangat aktif turun naik hospital ketika sedang sarat menyebabkan saya melahirkan anak sebulan awal).

Dan, rezeki yang tidak disangka datang lagi. Semasa anak pertama 8 bulan, saya mengandung kembali. Pada awalnya terus terang saya katakan, saya sangat takut dan belum bersedia lagi untuk anak kedua. Namun, saya melihatnya untuk jauh lagi ke masa hadapan. Yang saya tidak pasti apa tapi saya pasti ada kebaikannya.

Anak pertama terpaksa dihentikan susu badan sebelum menginjak usianya 1 tahun. Kasihan sangat. Tapi, saya tidak berdaya.

Semasa saya sudah dekat dengan tarikh jangkaan bersalin anak kedua ini, kami nekad untuk pindah kembali ke JB. Untuk jangkamasa yang lebih panjang barangkali. Dekat 2 tahun di Wangsamaju dan kami berpindah pada Mei 2010.

3 Jun 2010. Saya melahirkan cahayamata kedua, Nurfatihah. Lebih dekat dengan keluarga. Lebih senang mak menjaga saya semasa berpantang. Ketika berpindah, suami baru saja mendapat pekerjaan dengan company di Singapura. Tapi, tidak bertahan lama.

Alhamdulillah sekarang pula rezeki kerjaya suami bersama company di Jepun pula. Majikannya orang Malaysia dan lebih bertolak ansur.

Ada kalanya, kami sangat kesempitan dari segi ekonomi. Kadangkala terpaksa catu susu anak. Tapi, di akhirnya datang rezeki (duit) tanpa kami sangka. Ia datang tanpa diduga. Samada kenalan lama membayar hutangnya yang dulu atau tiba-tiba saya mendapat durian runtuh hasil dari orang guna nama saya (ooo cara ini makteh saja yang tahu)..

Namun, bagi kami rezeki cahayamata dan kasih sayang yang lebih luas hadirnya. Saya bersyukur di atas setiap yang berlaku dan tidak menyesal kerana melalui semua ini.

Ada orang mahu stabil ekonominya sebelum berkahwin.

Ada orang mahu mengejar cita-cita dan bersedia terlebih dahulu sebelum mempunyai komitmen dan menimang cahayamata.

Ada orang yang sudah bersedia dari keseluruhan aspek namun tiada rezeki anak kunjung tiba. Rezeki lain pula datangnya.

Ada orang yang tidak berkira-kira sangat dan hanya melalui setiap apa yang berlaku dalam hidupnya itu sebagai satu cabaran. Redah saja!

Semua itu betul. Semua itu amat perlu dalam rumahtangga. Apa sahaja alasannya, jangan jadikan takut kepada masa depan itu penghalang untuk anda mendapatkan hidup yang lebih bermakna. Kerana kesusahan dan cabaran setelah berumahtangga itulah yang dapat mengajar anda untuk mendapatkan hidup yang bernilai untuk anda hargainya di kendian hari.

Hidup ini tempat kita diuji. Ujian dan rezeki itu datang dalam bermacam-macam bentuk dan gaya. Ingat, hidup senang juga ujian!

Saya sangat bersyukur mengandung awal untuk anak kedua ini. Hanya sekarang saya dapat melihatnya. Kerana niat saya selepas habis belajar dulu memang untuk menjaga kedua orangtua saya. Tapi saya tak tahu bagaimana. Yalah, saya sudah lebih 10 tahun duduk di asrama dan jauh dari keluarga sehingga tidak tahu apa jadi dengan keluarga sendiri kadangkala. Hanya sejak emak jatuh sakit beberapa bulan lalu dan berulang kembali sakitnya beberapa minggu yang lepas membuatkan saya terfikir sesuatu..

Betapa cantiknya perancangan Allah. Masa yang diaturnya sangat tepat!

Jika saya tidak mengandung tahun lepas saya pasti tidak pulang lagi ke JB. Jika saya tidak ada lagi di rumah ini pada ketika itu, saya tak pasti apa yang akan berlaku ketika emak jatuh seperti terkena strok semasa di dalam bilik air tempohari. Saya juga tidak pasti saya akan dapat membuat terapi untuk mak ketika mak sesak nafas tiba-tiba semasa dia berseorangan di rumah 2 minggu lalu ketika semua orang keluar bekerja.

Dan jika saya bekerja di luar (untuk mengukuhkan ekonomi rumahtangga saya), saya tak pasti saya mampu memasak dan menjadi teman berbual mak ketika mak dalam kesakitan hari ini.

Ini hanyalah luahan hati saya dan cerita saya saja.

Anda juga punyai cerita sedih dan kesusahan masing-masing. Hargailah apa saja yang berlaku kepada diri anda mahupun sekeliling anda. Dan jangan sesekali menyesalinya dan laluilah semuanya dengan berlapang dada. Kerana,
Boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, tapi ianya tidak baik untuk kamu. Boleh jadi kamu tidak suka (benci) kepada sesuatu tapi ianya baik untuk kamu.

Kita merancang. Allah juga merancang. Perancangan Allah itu adalah yang lebih baik.
Berdepanlah segala cabaran yang datang dengan hati terbuka dan bersangka baik kepada perancangan Allah. Hidup ini adalah mengenai sangkaan kita kepada Allah (yang menghidupkan kita tanpa perlu logik akal manusia) dan kesabaran.

Semoga Allah memberkati rumahtangga kami selama 3 tahun ini dan tahun-tahun mendatang.. Semoga berkekalan kasih sayang dan ketenangan yang ada di dalam keluarga ini... InsyaAllah.


2 ulasan:

Haniza berkata...

saya sangat terkesan dengan tulisan ini.sesungguhnya saya sentiasa bertanya mengenai keadaan diri, keluarga saya, keluarga mertua..apakah semuanya kebetulan atau suratan.kadang2 kesusahan banyak mengalirkan air mata namun, iman yang masih tipis selalu menimbulkan kemarahan di hati dan perbuatan.
Kagum dengan ketabahan kamu dan terusla menulis. Saya pasti membaca..sekiranya nak komen panjang2, boleh email ke saya

~Aniz

Khadijah Gani berkata...

Terima kasih. Cerita saya cuma biasa2 saja. Mungkin ada org yg lebih tragis lagi cerita hidupnya.

Bertenanglah. Bergantung harap hanya pada Allah agar diberi petunjuk dan kekuatan. Kadangkala, bila byk sgt yg kita rancang utk masa depan byk juga tak kesampaian. Allah seperti sangkaan hambanya. Jadi, bersangka yg baik2 saja ok! ;)

#jdtblogger #teambloggerjohor