Sejak Julai lalu tak update blog ni. Entry terakhir pada bulan terakhir sambut birthday sama-sama dengan mak buat kali terakhir - 13 & 14 Julai 2019. Dan kemudian Allah izinkan saya mengadakan bengkel bedah buku yang terakhir sebelum saya nekad melepaskan semuanya demi menjaga dan merawat emak sepenuh masa dengan tenang.
Alhamdulillah. Kita diberi pelbagai nikmat dan kegembiraan bersama-sama sekeluarga. Alhamdulillahi 'ala kulli haal.
Akhir bulan Ogos 2019, semuanya bermula. Emak disahkan mengalami kanser ovari terlebih dahulu.
8 September, barulah disahkan bacaan tinggi Cancer Marker pada ovari DAN usus. Stage 4.
18 September - Chemo pertama. Ternyata, emak tak boleh dengan high dose dan allergy dengan ubat chemo Intaxel. Hanya dapat masuk Carbo. Emak pengsan depan mata & kejung seluruh badannya. Masa ini, jangan cerita adrenalin terlajak mengalir dalam tubuh. Ada cerita yang sangat menusuk jiwa hingga saya sorokkan airmata yang berjuraian ketika itu semasa mendengar cerita emak apa yang berlaku ketika emak pengsan. Saya akan ceritakan detail dalam buku Emak nanti, Insya Allah.
Keesokan harinya, saya pula masuk wad kerana demam yang sangat tinggi dan lembik tak boleh bangun. Saya disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah & radang usus.
10 Oktober - Chemo kedua. Seminggu selepas chemo kedua ni emak pengsan tengahmalam di sisi abah ketika itu. Bawa berjumpa doktor dan doktor kata emak pengsan disebabkan gula yang rendah dalam badan. Doktor kata kalau emak pengsan (blackout) sekali lagi emak boleh terkena Dimentia kerana bila gula kurang dalam tubuh ia akan mengganggu kemaslahatan otak juga. Dan jika ini terjadi ia akan memburukkan lagi keadaan mak. Kerana inilah, saya paksa emak minum air manis yang tinggi kandungan gulanya pada setiap hari. Jaga gulanya. Tak mahu dia pengsan lagi tiba-tiba. Air madu & kurma tetap diminumnya seperti biasa menjadi amalannya selama ini. Tetapi doktor cakap itu masih tidak mencukupi. Kena minum dan makan yang manis-manis semuanya tapi emak hanya tidak boleh. Dia seorang yang sangat menjaga sugar intake selama hayatnya tetiba dipaksa begini, dia hanya tidak boleh.
Doktor kata kena ubah mindset. Gula putih BUKAN PENYEBAB KANSER. Sel kanser sangat bijak. Walaupun kita tak makan gula sekalipun, dia bijak mencari apa saja zat makanan untuk kelangsungan hidupnya. Gula bukan punca utama. Malah, kurang gula dan garam dalam badan akan menyebabkan bahaya lebih teruk buat pesakit yang sudahpun kena kanser. Jangan pantang-pantang lagi dah katanya. Paling penting sekarang adalah tenaga segera untuk mak supaya boleh sambung chemo semula nanti. Mak perlukan tenaga dengan pantas dan tak boleh pengsan lagi.
Balik saja ke rumah, emak mengadu kakinya rasa berat. Saya baru perasan kakinya bengkak. Semalam tidak bengkak lagi.
Menunggu 2 hari cuti & klinik buka semula, barulah bawa mak berjumpa doktor sekali lagi. Dan kali ini doktor geleng kepala & tepuk dahinya!
"Janganlah kena DVT makcik." katanya sepatah. Terus diwardedkan emak.
Esoknya, konfem DVT (Deep Vein Thrombosis). Sebelah kaki dah blocked 90%. Sebelah lagi kaki dah blocked 50%.
Emak kena refer kepada General Surgeon & buat Colonscopy selepas dapat result PET Scan yang menunjukkan sebenarnya emak bukan ovarian cancer tetapi sel asalnya adalah daripada usus. Perbezaan warna dalam PET Scan barulah menunjukkan jelas sel kanser sebenar yang duduk di usus tetapi sembunyikan dirinya dan mengaburi doktor hingga menyangka ia adalah ovarian cancer.
Patutlah 2 chemo sebelum ini seperti tiada kesan kepada perut emak. Saya lihat perut emak semakin membesar.
Keesokannya, emak terpaksa menjalani pembedahan emergency demi menyelamatkan kakinya yang semakin membengkak itu. Ada yang menghalang darah mak dari sampai ke kedua-dua belah kakinya.
Kami sekeluarga tahu pembedahan ini mempunyai risiko yang tinggi! Doktor sudah maklumkan daripada awal apapun keputusan untuk emak dibedah adalah mustahil. Kanser emak sudah sampai pada end stage berdasarkan cecair dan lendir yang terkumpul selain faktor usia juga (66 tahun).
Jadi, sebelum emak dibedah, saya tidak mahu emak takut dengan berfikir macam-macam. Maka, saya ajak mak berfikiran jauh menetapkan semula visi hidupnya. Membugarkan kembali semangat dan matlamat hidupnya agar jika ditakdirkan emak tak bangun lagi selepas pembedahan, dia tetap puas hati kerana visi hidupnya Insya-Allah akan ada seseorang boleh sambung dan jadikan ia jariah berpanjangan.
Emak sangat positif. Emak sangat kuat.
Emak bercerita hasrat hatinya sambil saya memotong dan menggilap kesemua kuku tangan dan kakinya. Dia mahu saya tuliskan buku mengenai sakitnya ini supaya ramai ambil pengajaran dan iktibar dalam menjaga kesihatan. Ia bukanlah hanya mengenai menjaga makan atau pantang pemakanan semata. Dan kemudian, hasil jualan buku boleh dijadikan modal untuk membuka "Pondok Mengaji Hajah Salmah" satu masa nanti. Kami berdua perincikan bagaimana pondok mengaji emak mahu digayakan. Emak berkata,
"Mak dah lama mengajar mengaji nak mohon tauliah mak dah tua. Kamu dah ada tauliah sambung sajalah kerja-kerja mak."
Saya terdiam. Kemam dalam-dalam sebak di hati.
Saya ingat lagi kata-kata emak selepas selesai buat Colonscopy,
"Colonscopy ni tak sakit pun. Kalau mak tahu tak sakit, dah lama mak buat."
Saya tersenyum saja. Teringat dahulu, pernah juga memujuknya membuat Colonscopy tapi seperti kebanyakan orangtua yang lain sama juga responnya. Takut sakit.
Its ok mak. Mesti ada hikmahnya mak baru buat sekarang dan baru dapat tahu sekarang. Allah jualah sebaik baik Penentu dan menetapkan timing yang terbaik walaupun pada perkiraan manusia segalanya sudah terlambat.
Result colonscopy mengesahkan emak sebenarnya kanser usus. Stage 4.
Keadaan ini dinamakan Krukenberg. Asalnya dari usus tapi dia membesarkan selnya di ovari. Sangat tricky. Sangat bijak dia bersembunyi selama ini.
Melihat keadaan emak hari demi hari, membawa perut yang semakin membesar seperti orang mengandung 9 bulan tapi tak boleh dikeluarkan isi di dalamnya cukup membuatkan jiwa saya meruntun setiap hari.
Setiap kali emak nak makan, dia akan muntah lendir dulu. Mak akan memanggil saya urut-urut di belakangnya supaya banyak lagi lendir dapat dikeluarkan dahulu sebelum dia berasa lega dan boleh makan macam biasa. Selagi tak muntah, perutnya akan berasa penuh. Paksa makan macamana pun tak boleh masuk mak kata. Rasa full perut ni tapi lapar.
Setiap kali muntah perutnya akan mengeras kerana tekanan. Mak akan lembik sekejap kerana tubuhnya semakin kurus mengering tetapi perutnya saja semakin membesar.
Ya, saya faham keadaan itu kerana pernah melaluinya 4 kali. Sangat faham. Kerana itu, bagaimana saya tidak menangis melihatkan emak muntah setiap kali nak makan? Allah.. Saya menangis dalam diam semasa mengurut-ngurut belakang mak. Sebaknya saya kemam jauh ke dalam dada. Tidak mahu mak perasan langsung remuknya hati anaknya.
Doktor ada memberitahu selepas pembedahan, sel kanser mak jenis agresif kerana dipenuhi lendir dan cecair. Saya tahu apa yang berlaku pada emak. Tapi, tak sanggup menerangkan semula kepadanya.
Sehinggalah pada 5 Disember, muntah emak kelihatan lain daripada kebiasaan. Emak dikejarkan ke hospital dengan ambulans pada malam Khamis. Banyak perkara berlaku bila pertama kali masuk ke HSI pula. Sehinggalah ia membawa kepada hari-hari yang terakhir dalam hidupnya.
.
Hari ini, genap 2 minggu pemergian emak ke dunia abadi.
Tinggallah kita anak cucunya masih meneruskan musafir diri di dunia sementara ini agar nanti dibawa cukup bekalan menempuh perjalanan ke alam sana. Emak sudah bertolak dulu dengan amal baiknya yang masih disebut-sebut ahli masjid hingga kini. Ditinggalkan abah yang menjadi sebahagian daripada dirinya selama 42 tahun lagilah sukar digambarkan perasaannya. Kepada Allah kami memohon kekuatan.
Wajah senyumannya yang manis kali terakhir selepas memandikannya dan mengkafankannya menjadi pengubat pelbagai rasa dalam jiwa.
Selepas emak menghembuskan nafas yang terakhirnya dengan sebutan kalimah "ALLAH" sebanyak 3 kali berturut-turut, abah terus menutupkan mata emak dengan bacaan tertentu. Adik beradik lain qiamkan tangan & rapatkan kaki mak sementara saya terus menutup mulut mak dengan memakaikan emak anak tudung telekung yang selalu saya pakai semasa solat. Tak perlu ikat ikat bonjot atas kepala. Emak kelihatan sangat comel sekali dengan senyumannya itu sama seperti dia memakai anak tudung untuk bersolat.
Ada orang menyuruh kami segera ikat mulut emak selepas dirapatkan supaya tak ternganga mulutnya tapi saya tak mahu ikat emak. Saya terus memegang dagu emak tidak berganjak di tepinya walaupun mulut mak memang sudah rapat tersenyum dengan indah. Selepas kematiannya disahkan oleh seorang doktor sahabat abah yang dipanggil datang ke rumah, saya terus berada di sisi emak bersama adik beradik yang lain.
Saya ambil keputusan untuk terus memegang dagu dan kepalanya dengan tangan sendiri walaupun ada yang menyuruh saya ikat saja dan biarkan. Saya tak mahu. Saya kata saya nak pegang dagu emak sampai tertutup. Lalu, saya terus membaca surah Yasin di sebelah telinga emak sambil memegang dagu dan kepalanya.
Saya membaca Yasin dengan linangan airmata melihat kebahagiaan emak yang tersenyum sangat manis di kala itu. Setiap lafaz ayat surah Yasin saya baca bagai membacakan bed time story kepada anak-anak saya. Penuh dengan ekspresi wajah muka yang tersenyum gembira apabila ayat tersebut menyebut berita gembira bagi orang yang beriman. Sekejap-sekejap memandang emak, mengerling emak & tersenyum dengan intonasi turun naik suara sama seperti saya bercerita kepada anak kecil.
Qiilad khulil Jannah
Saya terhenti dan tersenyum memandang emak dengan mata yang masih basah.
Qiilad khulil Jannah
Emak tersenyum lebih manis.
Qiilad khulil Jannah!
Saya ulang-ulang ayat ini sambil menganggukkan kepala berkali-kali memandang emak di hadapan mata dan ikut emak tersenyum sepertinya dia sedang tidur dengan nyenyak bersama mimpi yang indah.
Saya urut-urut lembut pipi dan dagu emak. Sangat rapat mulutnya terkatup bersama senyuman yang merekah itu. Saya nampak jelas kegembiraan hatinya.
Sadaqallahul 'azim..
Selesai membaca Yasin, barulah saya melepaskan tangan saya daripada memegang dagunya.
Mulutnya terkatup sendiri serapat-rapatnya dengan senyuman bersimpul hingga hujung pipi. Manis sangat emak malam ni. Detik hati saya.
Mata yang tertutup rapat. Mulut yang masih tetap terukir senyuman semanis yang pernah saya nampak di sepanjang 37 tahun hidup menjadi anaknya.
Saya berbisik kepada emak,
"Mak dah jumpa semua orang yang mak sayang dulu dulu ya? Mesti ramai yang jumpa mak & mak dapat jemaah baru penduduk langit tunggu mak nak bawak mak jalan-jalan dalam taman makan sedap-sedap. Seronok tak kat sana mak?"
Emak tersenyum. Mukanya jernih. Ceria..
Saya tahu mak sedang menikmati waktu bersenang lenangnya di sana sekarang.
Mak mesti dah tak lapar lagi. Tak sakit lagi. Yang paling penting mak mesti dah boleh berjalan dengan ringan tanpa perlu bawak perut yang besar tu lagi. Kan mak?
"Pergilah mak jalan-jalan. Pastu mak rehat tidur dengan tenang eh. Jangan risau apa-apa lagi dah kat sini. Insya Allah, bila tiba masanya nanti kita semua akan jumpa mak balik kat sana ikut mak jalan-jalan pula. Mak gembira ya kat sana. Kakdah sayang mak. Kita semua kat sini sayang mak. Mak berehatlah."
Saya cium pipi, dahi dan dagu mak yang sejuk lagi bersih itu. Wangi. Tidak pernah saya tercium bau wangi sebegitu sebelum ini. Sukar dijelaskan dengan kata-kata.
"Kakdah akan selalu rindukan mak dan selalu akan doakan mak dengan anak-anak. Semua cucu mak sayangkan nenek dan takkan lupakan nenek sampai bila-bila. Ya Allah, kumpulkan kami dan temukan kami semua satu hari nanti di dalam syurgaMu ya Allah tempat penginapan nenek yang abadi buat selamanya. Tanpa kesakitan, tanpa kelaparan dan tanpa kesusahan lagi. Amin ya rabbal 'alamiin."
Sentiasa dalam hati & jiwa - Hajah Salmah bt Kassim (14/07/1953 - 11/12/2019)
Sesungguhnya, kita milik Allah dan sesungguhnya kita akan kembali kepadaNya.
Al-Fatihah.
Nota : Jutaan terima kasih buat semua yang mendoakan saya dan emak sejak mula tahu saya senyapkan diri secara tiba-tiba daripada dunia maya kerana mahu fokus kepada arwah emak. Terima kasih juga kepada semua ahli keluarga dan sahabat sahabat masjid arwah emak yang tak putus-putus bertanya khabar hingga hari ini dan banyak membantu saya dan keluarga di sepanjang tempoh 3 bulan ini sehingga tertubuhnya grup WhatsApp menjaga kebajikan Hajah Salmah. Hehe.. Saya dan keluarga sangat terharu. Terima kasih banyak semua kenalan, sahabat masjid dan saudara mara yang membantu dalam diam, yang mendoakan dalam diam dan terus memberi sokongan dan doa berpanjangan buat arwah emak hingga ke hari ini. Jazakumullahu khairan kathira. Allah jualah sebaik-baik Pemberi ganjaran atas kebaikan & doa daripada kalian.
Semoga sahabat handai arwah emak & sesiapa sahaja yang sedang berjuang melwan kanser sekarang, saya doakan Allah terus beri kekuatan, ketahanan & ketabahan buat kalian. Semoga Allah datangkan doktor yang terpilih dan diberikan ilham yang baik baik kepada mereka. Insya Allah. Percayalah, kalian juga terpilih sebagaimana arwah emak. Setiap seorang daripada kalian punya "tiket" yang berbeza.
Usahakan semampunya kita sebagai hamba Allah kerana apa yang sedang berada dalam tubuh kita itu juga hamba Allah yang lemah seperti kita. Dia bukan yang menentukan mati hidup kita, tapi Allah lah yang menentukan apa yang terbaik untuk kita yang pasti takkan sama dengan orang lain. Kehadirannya hanyalah menjadi asbab bilamana Allah kata jadilah! Maka ia menjadi. Usah berasa terhukum atau menyalahkan diri. Ada sesuatu yang mahal harganya Allah mahu beri. Tidak semua yang mahal ini dapat dikecapi.
Tidaklah Allah jadikan apapun ciptaanNya dengan sia-sia kerana Allah sudahpun berjanji pada setiap kesusahan, kesakitan & kepayahan itu datang bersama dengannya kesenangan. Jika bukan di dunia, pastilah kesenangan itu lebih baik daripada segala isi alam sedang menanti kalian di alam sana. Peganglah "tiket" ini sebaiknya dan laluilah dengan seluas-luas jiwa yang terbuka kerana "tiket" inilah menjadi bukti untuk laluan kalian masuk ke syurga tertinggi yang Allah sediakan melalui pintu kesabaran & keredhaanNya tanpa hisab. Insya Allah.
FI amanillah. Siiru 'ala barokatillah.
Ulasan