رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Ahad, 4 Mac 2018

# isu semasa # keluarga

I follow you. You follow siapa?



Satu masa dahulu, saya seorang yang tertutup. Facebook ini hanyalah untuk kenalan dan ahli keluarga. Namun, entah bagaimana tiba tahun 2013 saya mula terbuka dan menerima ramai kenalan baru dan followers hingga ke hari ini.

Bagi orang seperti saya, menerima ramai followers bukan atas dasar bisnes (hanya kerana berkongsi cerita mengenai kelas mengaji saya ketika itu), adalah sesuatu yang menakutkan. Ya, saya tidak berasa gah mana pun.

Takut jika tersalah tulis dan pembaca tersilap memahaminya. Kerana itu saya tidak suka pembaca copy and paste tanpa dikreditkan kepada saya semula yang bertanggungjawab menulisnya. Tujuannya supaya jika ada yang silap memahami apa yang saya tulis, bolehlah terus bertanya semula kepada saya atau sekurang-kurangnya saya tahu di mana gaya bahasa yang perlu saya perbaiki. Penulisan saya masih belum matang dan perlu digilap lagi semasa itu.

Apalagi jika orang share. Saya kecut perut sebenarnya! Saya takut penerimaan orang yang tak pernah mengenali saya boleh jadi berbeza dengan apa sebenarnya yang saya mahu sampaikan. Intonasinya berlainan dengan orang yang tahu dan kenal bagaimana saya bercakap dan berfikir. Adakala, bila free saya melihat senarai Share dan melihat respon kawan kepada kawan tersebut.

Melihatkan orang yang Share itu, ramai saja yang tidak 'get the point'. Lain yang saya mahu sampaikan, lain pula yang dia faham dan 'jump into conclusion'. Yang paling saya tepuk dahi bila ada yang menulis - Aku tak baca lagi, panjang! Malas nak baca tapi bagi aku bla bla bla... (terus kecam saya kerana hanya baca tajuk saja). Namun, ada juga get the point precisely. Malah, menambah point dengan lebih baik. Begitulah adatnya manusia.

.

Dunia media sosial ini memang begitu sifirnya. Kecam mengecam itu sudah biasa bila suatu yang buruk diviralkan atau tidak sependapat. Keyboard ini dia yang punya. Sebenarnya, kita boleh menyampaikan ilmu yang betul walau tanpa perlu mengecam orang lain.

Setiap orang boleh menulis apa saja yang dia rasakan dia betul. Kemudian, samada dia mahu bertanggungjawab dengan apa juga kesan-akibat daripada penulisannya atau tidak, bergantung tahap ihsan dan iman seseorang.

Boleh saja dia tidak mahu bertanggungjawab dengan apa yang ditulis selama ini dan lantaklah dengan kesannya. Siapa suruh ikut? Ia mengubah wajah sebenar kita bila berhadapan dengan orang sebenar daripada bila berhadapan dengan keyboard / henfon.

Ya, fitrahnya manusia ini semuanya bersopan santun, berbudi bahasa dan elok-elok saja bila bercakap di depan mata. Entah apa yang mengubah 'rupanya' yang sebenar bila berada di media sosial.

Berhati-hatilah dengan siapa yang kita ikut.

.

Menjadi seorang yang berpengaruh di media sosial bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Atau sesuatu yang meletakkan diri kita sudah berjaya dalam segenap kehidupan. Bukan!

Ia sebenarnya satu tanggungjawab yang besar!

Kerana itu, saya amat berhati-hati sebelum menulis dan post sesuatu di media sosial. Apalagi jika melibatkan isu viral. Saya tidak suka terus post pada hari yang sama isu tersebut sedang hangat diperkatakan.

Kebiasaannya, isu viral akan membuatkan kita jadi marah. Ketika marah, tangan kita akan menaip apa saja. Semasa itu taipan (tangan) dan kata-kata kita adalah tawanan kepada diri kita sendiri. Tawanan yang bakal mengikat kita hingga ke padang masyar.

Tangguhkan kemarahan.

Besar akibatnya jika followers membaca sesuatu daripada apa yang kita kongsikan di media sosial ini disalahertikan malah mengundang fitnah. Apalagi ia bersifat demi kelangsungan bisnes mahupun tidak berdasarkan kepada ilmu yang betul.

Atas nama bisnes, "dare to be different" menjadikan manusia boleh hilang pertimbangan antara matlamat dan cara.

Atas nama ketaksuban sebuah ideologi / ilmu juga, "berani mencuba sesuatu yang baru" menjadikan manusia boleh hilang pertimbangan untuk meletakkan aulawiyyat pada memelihara 2 nyawa lebih penting daripada memuaskan kehendak diri sendiri.

Malah, mengutamakan kemaslahatan masyarakat secara berkelompok lebih utama daripada mementingkan diri sendiri.

Terlalu banyak yang dibaca / disogokkan melalui media sosial juga menjadikan manusia tidak dapat lagi meletakkan keutamaan kepada yang utama. Hingga hilang pertimbangan dalam membuat keputusan dan akhirnya memakan diri.

Demi bisnes / sebuah ideologi, mereka sanggup mengenepikan semua asas agama gariskan, ketepikan semua ilmu yang sebenar, ketepikan semua pandangan ulamak (ilmuwan / ahli dalam bidangnya), asalkan matlamat sudah tercapai (orang kenal brand / ideologi kamu serta barang dagangan kamu) maka kamu boleh survive dalam bisnes dan berjaya!

Apapun kesan-akibatnya selepas itu lantaklah. Yang penting orang dah kenal, orang akan beli. Orang nak tahu, orang akan ikut dan datang kursus, ada duit masuk. Logiknya di situ.

Apalagi jika kesan-akibatnya hingga melibatkan nyawa, apa yang dikongsikan sebelum ini semua sudah tidak dikira lagi. Betul atau tidak betul, tidak dipeduli. Yang penting, boleh makan anak beranak esok hari.

"Tidak. Saya hanya kongsikan pengalaman yang indah saya pernah alami sahaja. Tak berniat mempengaruhi sesiapa. Siapa suruh dia datang kursus saya dan pilih cara yang sama dengan saya? Bukan saya yang bertanggungjawab. Dia yang pilih cara itu."

Ironi bukan?

Tidak semua orang yang menulis di media sosial akan bertanggungjawab dengan penulisan dan perkongsiannya.

.

Point saya, mulai hari ini, jadilah seseorang yang menulis di media sosial ini dengan rasa tanggungjawab dan mempunyai rasa ihsan yang tinggi serta iman tebal dalam hati (Allah Maha Tahu dan melihat setiap apa yang kita kongsikan dan niat di dalam hati kita walau sebesar zarah). Kita boleh menipu pembaca atau manusia lain tapi Allah Tahu niat utama kita.

Jika sesuatu yang buruk berlaku, ambil nasihat daripada ilmuwan (ahli bidangnya). Itulah tanda aras samada ideologi / keputusan kita itu betul atau tidak, samada perlu diteruskan lagi atau tidak. Bukan dengan bangganya membalas, I dont care!

Sungguh, ulamak (al-'alim : bermaksud ahli dalam bidangnya) adalah pewaris nabi.

Janganlah demi kerana bisnes / ideologi tertentu hingga kita ketepikan ilmuwan dalam bidangnya malah paling utama menghalalkan semua cara walaupun canggung di mata agama.

Saya juga sentiasa mengingatkan diri saya supaya menjaga apa yang saya kongsikan selama ini. Lebih-lebih lagi selepas terbitnya buku pertama ini menjadikan saya semakin takut untuk berkongsi lagi mengenai parenting kerana tidak mahu dianggap rujukan utama bagi sesetengah pihak yang boleh menjadi taksub. Hanya sesekali yang saya rasakan perlu barulah saya menulis kembali.

Ketahuilah, ketaksuban yang melampau akan meruntuhkan seseorang.

Saya selalu membayangkan bagaimana keadaan saya di padang masyar nanti. Saya mahu cepat dihitung dan keluar dari kawasan yang maha panas itu apabila matahari hanya sejengkal dari kepala.

Adakah tangan-tangan yang bakal memetik nama saya kelak kerana apa yang saya tulis di media sosial ini memberi pengaruh yang besar kepada mereka?

Baikkah atau burukkah?

Adakah melibatkan nyawa yang tidak berdosa?

Adakah ilmu yang saya kongsikan ini benar dengan berguru atau hanya melampau mengikut nafsu?

Adakah tangan-tangan ini kelak dapat menolak saya dengan cepat ke syurga atau neraka?

.

"Aishhh.. Kalau takut semua perkara baik tak payah menulis."

"Kalau pakai tudung semua tak boleh buat, macamana nak maju."

Skeptikal. Defensif.

Ketahuilah, apa saja yang kita kongsikan di media sosial adalah tanggungjawab kita. Apalagi jika followers ini ikut kursus kita dan beli produk kita. Terutama sekali ilmu yang kita tulis ini jika kerap menimbulkan persengketaan sesama muslim dan ditegur oleh ilmuwan dalam bidang itu bermakna ilmu itu sudah melencong jauh.

Terima sajalah teguran ahli dalam bidangnya dan betulkan semula ilmu yang followers anda sudah mempercayainya itu. Mudah-mudahan perjalanan kita di padang masyar nanti menjadi mudah dan dipercepatkan. Tidaklah orang sana-sini-situ-sinun memetik nama kita hingga perjalanan yang laju menjadi lambat pula.

Allahu.

Berat.

Memang berat.

Mempunyai ramai followers bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Ia hanya sebahagian dari nikmat dunia. Yang hadir bersamanya satu tanggungjawab yang berat.

Belum tentu kita beroleh nikmat yang sama di dunia sana kerana tanggungjawab ini akan dipersoalkan dan dikaitkan.

Besar bercakap (menulis), besarlah tanggungjawabnya.

Jadilah penulis dan hamba Allah yang bertanggungjawab dan sentiasa merendah diri. Umpama padi, semakin berisi semakin tunduk ke bumi. Tiada ruginya merendahkan diri berjalan di atas dunia ini. Walaupun di dunia maya.

Bertaqwalah dan berbuat baiklah sesama manusia.

Sungguh, Allah sangat suka kepada hambaNya yang bertaubat.

.

Demi masa,

Sesungguhnya manusia sentiasa berada dalam kerugian,

Kecuali mereka yang beriman yang berpesan-pesan kepada perkara dan AMAL YANG BAIK,

Dan berpesan-pesan kepada yang HAK
(matlamat beragama lebih penting daripada matlamat bisnes, ilmu yang benar bukan yang pelik lagi menyesatkan serta nyawa yang wajib dipelihara lebih penting dari kehendak diri),

Dan berpesan-pesan kepada KESABARAN (tangguhkan kemarahanmu usahlah kecam-mengecam sesiapa lagi).

.

Semoga hari ini lebih baik daripada hari semalam.

Hamba Allah yang berdosa seperti dirimu,
Khadijah Gani

P/S : Follow saya kerana Allah. Jika saya menyimpang dari jalan sebenar, tegurlah dan jika saya sombong, usah follow saya lagi. Bila-bila masa saya mungkin akan tersilap. Betulkan saya.

Semoga di padang masyar nanti kita sama-sama tolak menolak menuju ke syurga Allah dengan pantas. Allah rahmatilah semua sahabat dan follower saya di sini. Moga mereka dapat membezakan yang hak dan yang batil. Berhati-hatilah dengan apa yang kita baca dan siapa yang kita ikut. Fi amanillah.

#sebarkankasihsayangbukanpersengketaan
#tulislahdenganilmuyangbenar

1 ulasan:

Hans berkata...

memang cabaran bila menulis panjang2 sebab ramai rakyat Malaysia tak suka membaca
selalu tengok tajuk atau gambar dan jari jemari terus semangat dan tak sabar-sabar nak kecam
hahahahah
saya pun pernah jer banyak kali kena tetapi buat tak tahu jer lah
hehe

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor