Langkau ke kandungan utama

Motivasi tertinggi untuk membaca al Quran





Sebelum ini, saya banyak terima soalan daripada ibu yang duduk di rumah bagaimana untuk konsisten membaca al Quran kerana masa sudah dihabiskan dengan mengurus anak-anak. Persoalan ini bukan dari seorang. Tapi ramai. Katanya, berbeza sewaktu dia bekerja dahulu, masih punya waktu kosong walaupun sebentar di ofis di kala waktu rehat atau sesudah sampainya di ofis. Tetapi, apabila sudah berhenti kerja dan duduk di rumah, semuanya sudah "ke laut".

Inilah realitinya menjadi "stay-at-home-mom". Kita takkan dapat merasainya selagi kita tak benar-benar "duduk di rumah" mengurus anak-anak seorang diri.

Namun, saya juga memahami ibu bekerjaya di ofis juga tak selalunya ada waktu senggang. Adakala juga lebih terkejar-kejar semua perkara berbanding ibu yang duduk di rumah. Masing-masing ada "plus minus" nya tersendiri. Tidak perlulah bergaduh dan membanding-bandingkan siapa yang lebih penat atau siapa yang lebih banyak kerjanya.

Jauh lebih penting lagi, siapakah yang dapat membaca al Quran secara konsisten setiap hari?

Semasa rakan-rakan saya mahu membuat satu grup whats app mengaji dengan membahagi-bahagikan surah untuk dibaca setiap seorang mengikut tempoh yang ditetapkan, saya terpaksa menyatakan kebenaran walaupun pahit untuk ditelan. Mungkin sesetengah rakan lain beranggapan "apapun tak boleh" ataupun mungkin saya ini berfikiran negatif kerana kurang bersetuju dengan grup mengaji yang dibentuk melalui whats app ataupun telegram.

Saya menyatakan begini,

Tentukan tujuan sebenar mengapa ingin membentuk grup mengaji di whats app? Ya, walaupun tujuannya baik dan dapat memastikan kita tetap akan mengaji setiap hari tetapi matlamat tidak menghalalkan cara.

Jika tujuannya untuk khatam al Quran, maksud sebenar khatam al Quran itu ialah seseorang yang membaca dari awal surah bermula al fatihah, al baqarah dan seterusnya sehingga diakhiri dengan bacaan surah an nas. Bukan tebuk-tebuk membacanya.

Seseorang tidak dikatakan khatam al Quran dengan hanya membaca 1 surah / 1 juzuk yang ditugaskan membacanya manakala, orang lain pula menghabiskan membaca surah yang lain untuknya dan kemudian dikatakan khatam berjemaah (beramai-ramai). Tidak. Bukan begitu maksud khatam al Quran yang sebenar.

Khatam berjemaah ini sebenarnya berasal dari tadarus. Mengaji beramai-ramai sambil orang lain mendengar bacaan kita dan membetulkan kesilapan bacaan jika ada.

Jika tujuannya untuk bertadarus, ia perlu dibaca dengan syarat orang lain mendengar bacaan kita dan membetulkan bacaan yang salah. Ingat, tak semua orang membaca al Quran lancar dan betul semua tajwidnya seperti kita.

Apalagi jika kita tak mengenali siapa dan latar belakang pengajian ahli yang dimasukkan dalam kumpulan yang dibentuk itu. Tadarus sebenar bertujuan untuk memperbaiki bacaan dan wajiblah ada orang lain menyemak dan mendengar bacaan setiap ahli yang membaca.

Ia masih boleh dilakukan secara maya melalui whats app atau telegram DENGAN SYARAT ada guru yang dilantik untuk mendengar bacaan dan membetulkan bacaan setiap ahli. Baca sama-sama. Semak sama-sama. Ia pasti akan mengambil masa perlahan-lahan, itu tidak mengapa. Dengan ini tujuan kita membaca al Quran setiap hari masih dapat dilaksanakan. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Jangan sesekali meletakkan target tempoh tertentu untuk membaca al Quran kerana al Quran itu bersifat 'timeless'.

Jangan sesekali meletakkan al Quran itu di whats app atau di telegram kerana al Quran itu lebih mulia daripada apapun pengantara seperti media sosial.

Jika mahu diteruskan, silakan jika ada gurunya. Tetapi, suka saya ingatkan bahawa jangan berhenti membaca al Quran hanya selepas target sudah berjaya dicapai. Dengan media sosial dan target tertentu tidak akan menjadikan kita konsisten mengaji selamanya. Ia bersifat sementara.

Ini kerana media sosial hanyalah medium / alat untuk kita sampai ke tujuan. Tetapi ia perlu dilakukan dengan cara yang betul menepati makna sebenar dan tujuannya yang jelas.

Al Quran lebih MULIA daripada media sosial. Maka, letakkanlah al Quran pada tempatnya yang betul. Walau tanpa perantaraan pun al Quran tetap boleh dibaca. Didik diri kita untuk punya disiplin membacanya seperti mana kita mahu mendidik anak-anak terus mengaji setiap hari secara berdisiplin.

Masalah utama bagi ibu-ibu sebenarnya ialah time management.

Bagaimana kita boleh konsisten (istiqamah) mengaji jika hari-hari kita disibukkan dengan urusan anak-anak?

Nampak tak?

Kita telah meletakkan anak-anak sebagai bebanan di sini. Kita menuduh anak-anak menjadi punca kita jauh dari rahmat Allah. Walhal, Allah anugerahkan walau seorang anak kepada kita agar kita mensyukuri nikmatNya dan mendekatkan diri kita lagi kepadaNya. Bagaimana kita boleh berfikiran anak-anaklah menjadi punca jauhnya kita dari al Quran? Astaghfirullah.

Usah kita berfikiran demikian kerana inilah punca mengapa anak-anak terus menerus bertingkahlaku yang menyesakkan dada sehingga menjadi bebanan kepada kita selama ini. Ada saja "drama demi drama" setiap hari sehingga kita merasa susah membawanya ke mana-mana walaupun ke kedai sebentar kerana susah mengawalnya. Ini semua kita rasakan bebanan dan tekanan. Maka, selamanya anak menjadi bebanan kepada kita sehingga kita boleh jadi semakin jauh dari al Quran.

Ubah mindset ibu-ibu sekalian.

Ubah mindset ibu-ibu sekalian.

UBAHLAH mindset ibu-ibu sekalian.

Ada beberapa cara yang boleh saya cadangkan berdasarkan pengamalan saya dari dulu hingga 10 tahun saya menjadi surirumah tahun ini. Alhamdulillah. Jika ada ibu surirumah yang lain ingin menambah perkongsian, silakan tulis di bawah ya. Saya alu-alukan juga kita kongsi sama-sama membantu ibu lain.

1. Baca al Quran atau surah al mulk sewaktu mahu tidurkan anak.

Semasa anak masih kecil amat mudah mendapat waktu sebegini untuk mengaji ya. Heaven rasanya semasa anak seorang / dua saya dapat mengaji sambil menidurkan anak dan mengusap-ngusap kepalanya.

Niatkan amalan membaca al Quran kita pada setiap kali sebelum tidur ini akan menjadi contoh akhlak kepada anak-anak agar suka mengaji satu masa nanti setiap hari. Bila anak mendengar ibunya mengaji dengan sendirinya dia akan mudah bertenang dan cepat masuk tidur bila besar kelak. Tiada masalah anak tidur lewat.

Bagi bayi, biasakan menyusukan anak sambil membaca al mathurat.

2. Baca al Quran selepas subuh.

Disiplinkan diri kita sebelum check whats app / facebook pada setiap pagi, "checklah" dulu al Quran. Bacalah walau setengah muka atau satu muka surat pun jadilah. Tak lama, hanya sekitar 3-5 minit saja. Baca whats app / facebook pun lebih lama dari 3-5 minit ini bukan? ;)

Selepas subuh juga kebiasaannya anak-anak masih tidur. Semasa ini, bacalah al Quran dengan niat lembutkan hati anak-anak yang mendengarnya semasa separuh sedar. Biar masuk ke jiwanya. Percayalah, anak-anak yang awal paginya mendengar bacaan al Quran akan mudah dibentuk dan mengikut kata. Mereka akan lebih tenang dan bertingkah laku dengan lebih terkawal. Tiada masalah nak lembutkan hati anak jika kita sendiri lebih dulu "lembutkan hati" kita untuk membentuk disiplin membaca al Quran sebelum membaca yang lain. Insha Allah.

Jika tak dapat membaca lepas subuh semasa hari persekolahan anak-anak (bagi anak-anak dah besar), boleh tetapkan waktu ini di hujung minggu saja pun ok. Tiada masalah. 2 hari seminggu pun sudah cukup baik mengaji selepas subuh. Alhamdulillah.

Di hari Jumaat pula, boleh membaca surah al kahfi bermula malam hari lagi separuh surah, sekitar 10-15 minit saja. Bergantung kelancaran bacaan. Paginya, boleh habiskan baki lagi separuh surah. Niatkan bacaan untuk keselamatan keluarga dan anak-anak dari perkara yang boleh menggugat keimanannya di akhir zaman ini.

3. Wajibkan waktu maghrib sebagai "bonding time" utama.

Jika kita mahukan "me time", begitu jugalah keperluan anak-anak di hadapan mata kita. Mereka juga perlukan "we time".

Tetapkan waktu maghrib sebagai waktu untuk solat bersama dan mengaji bersama. Displinkan dan pasakkan dalam mindset anak-anak masa maghrib hanya untuk solat dan mengaji dulu sebelum mahu bermain atau makan atau buat homework atau apa saja. Bertegas dengan rutin ini dari awal.

Walaupun ada anak yang kelaparan semasa itu pun, tetapkan kepadanya "ini masa untuk solat dan mengaji kita mengaji sekejap saja dulu". Ajarkan mengenai "delayed gratification". Kebanyakan masa, rasa lapar dari anak-anak di kala waktu maghrib ini saya panggilnya sebagai "ujian godaan" melalui anak-anak. Dia bukan lapar sangat pun sebenarnya. Hanya nafsunya yang perlu diurus sedikit. Tahan godaan sebagaimana kita mampu menahan marah di kala maghrib hari ya.

Selepas solat maghrib bersama, ajarlah anak mengaji dengan mendengarkan bacaannya dan betulkan kesalahannya. Selepas anak-anak semuanya sudah habis mengaji, giliran kita pula mengaji. Minta anak-anak dengarkan pula bacaan kita dan minta anak tegur kalau ada salah.

Walaupun bacaan kita perfect 10 sekalipun, pura-pura saja minta anak mendengar bacaan kita dan betulkan jika ada salah. Tak jatuh ego kita menyembah ke bumi. Malah melalui cara ini, anak-anak akan semakin lancar bacaannya kerana dapat mendengar bacaan contoh terbaik di depan matanya sendiri SETIAP HARI.

Anak-anak adalah "peniru" (imitator) terhebat melalui seorang ibu/ayah.

Apakah rasanya apabila anak melihat ibunya membaca al Quran di telefon pintar setiap masa? Jangan marah anak jika satu masa nanti bila kita suruh dia mengaji, dia pilih untuk melihat gajet dari al Quran.

Kurangkan kebergantungan kita terhadap gajet walaupun kita boleh mengaji melalui gajet. Ajar anak pegang al Quran yang nyata. Didik diri kita pegang dan baca al Quran yang nyata.

Saya selalu memberitahu anak-anak, mengapa emak suruh anak-anak emak solat dan mengaji? Kerana sampai satu masa nanti bila emak tiada, anak-anak yang akan mendoakan emak. Doa anak-anaklah yang akan menjadikan kubur emak luas dan selesa diduduki. Tapi mak tak boleh bawa anak-anak sekali masuk kubur. Dengan al Quran lah yang akan menerangi kubur menemani mak sepanjang masa kerana mak tak boleh bawa masuk telefon pintar / gajet masuk kubur dan terangkan kubur mak. Kerana itu, berpeganglah pada al Quran sekarang. Kita akan perlukannya bila kita keseorangan nanti.

Saya membayangkan, di dalam kubur kelak, saya hanya bersendirian dan mahu berbahagia bersama al Quran. Itu sahaja motivasi tertinggi buat diri saya. Cukuplah dengan mengingati kematian dan bagaimana keadaan rumah kediaman kita yang kekal nanti akan dihiaskan, ia adalah sebaik-baik peringatan dan motivasi.

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلا
"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan." (Al-Kahfi 18:46)

.

Sebagaimana kita mahu mengambil gambar pada setiap momen kita bersama anak-anak sekarang dan menyimpannya di Instagram / Facebook supaya satu masa nanti kita akan dapat melihat dan mengenangnya semula, setinggi itulah juga kemahuan yang sama saya mahukan di satu masa nanti al Quran akan mengenang saya dan sudi menemani saya di masa hadapan bila mana saya tinggal bersendirian di dalam kubur kelak. Tiada apapun yang dapat kita bawa bersama untuk dikenang hanya melainkan dengan bacaan al Quran yang kita pastikan setiap hari kita membacanya di sepanjang hayat ini.

Walaupun dapat membaca al Quran selepas 1 waktu solat sehari sekalipun ianya sudah mencukupi asalkan al Quran tetap dibaca dan terus dibaca setiap hari. Rasulullah bersabda, amalan yang TERBAIK itu ialah yang sedikit-sedikit tetapi berterusan (istiqamah) tidak terhenti.

Bacalah al Quran dengan maksud tujuan yang sebenar. Sungguh, al Quran tidak menjadikan kita hanya seorang yang membuat sesuatu kerana target tempoh tertentu atau kerana desakan kawan-kawan atau kerana media sosial.

Al Quran mampu mendidik dan menjadikan kita seorang yang bervisi ke hadapan melalui saham yang ditanam bersama anak-anak di hadapan mata kita hari ini dan menjadikan kita orang-orang yang beruntung di masa akan datang dengan menuai sebanyak-banyak keuntungan melalui didikan anak-anak. Itulah makna kejayaan sebenar.

Ingat, anak-anak BUKAN bebanan kita hingga mampu menjauhkan kita dari al Quran. Malah, anak-anaklah menjadi punca kita lebih dekat dengan al Quran dan punca kita berubah menjadi lebih baik. Gunakan anak-anak untuk kita sama-sama menuju ke jalan yang lurus seterusnya mendidik anak-anak dengan konsep bacaan al Quran yang sebenar. Tunjukkan akhlak yang betul.

Berjemaahlah dengan jemaah cilik yang berada hadapan mata kita. Usah abaikan jemaah di rumah sendiri berbanding jemaah maya di media sosial anda. Jadilah orang-orang yang beruntung dan berjaya.

Bittaufiq wannajah.

#keutamaanyangutama
#anakadalahsahamutamabukanbeban
#sukamengaji

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Mengandung anak luar nikah?

Nota : Pengalaman saya berjumpa dan menolong seorang remaja terlanjur adalah pengalaman yang harus saya kongsikan bersama agar ia menjadi iktibar buat semua. Apa yang tidak boleh saya lupakan di mana setelah dia melahirkan, anak luar nikah tersebut terpaksa ditinggalkan di wad NICU berikutan masalah jantung yang mengembang. Sepanjang bayi yang tidak dapat disusukan seperti biasa, remaja ini mengalami bengkak susu yang sangat teruk tapi tidak diketahui olehnya juga ibunya. Betapa bengkak susu itu sangat menyeksakan bagi ibu selepas melahirkan, percayalah, menjadi seorang ibu harus punya banyak informasi. Akhirnya, genap 14 hari anak luar nikah ini meninggal dunia. Boleh baca kisahnya di sini. 

Berikutan pengalaman berharga ini saya terinspirasi untuk membuka pusat perlindungan remaja terlanjur dan anak terbuang satu hari nanti. Doakan saya.

Mudah-mudahan dengan sedikit perkongsian di sini bermanfaat untuk mereka yang sedang tercari-cari jalan yang benar apabila sudah terlanjur.

Apa yang p…

Coklat ada sepanjang masa.

Untuk makluman semua, walaupun saya tak banyak update entri tentang coklat tak bermakna saya tak buat coklat lagi. 
Coklat saya ada dijual di Jusco Taman Universiti setiap hari sepanjang masa tanpa cuti. Anda boleh masuk melalui pintu Jusco yang belakang sekali berdekatan KFC, PizzaHut dan tempat mainan kanak-kanak yang bertoken itu. Kemudian ke hadapan sedikit menuju ke tangga bergerak. Betul-betul sebelum tangga bergerak anda akan nampak booth ini. 
Namanya di atas tertulis TAQWA CEMERLANG. Menjual banyak kuih-muih tradisional, kerepek, dan bahulu sedap fresh masak di situ. Di hadapannya adalah kedai Lovely Lace dan Poh Kong. 
Tempat lelaki berbaju oren itu berdiri adalah tempat coklat saya dipamerkan. Nampakkan bekas yang kecil-kecil itu? Tinggal satu saja lagi coklat dalam bekas kecil ini yang mengandungi 30 biji coklat campuran. Dan yang ada setiap hari adalah lollychoc dan chocbar yang dipamerkan di bahagian tepi.

Terhenti di persimpangan.

Sejak akhir-akhir ini saya ditemukan dengan suatu peristiwa yang agak sukar untuk saya hadam. Sepanjang hidup saya yang baru menginjak 30 tahun ini, saya terpilih untuk melalui peristiwa sebegini untuk saya belajar dan menghadam sesuatu di sebaliknya. Sesuatu yang sangat berat untuk saya fahami. Kerana itu saya terhenti agak lama untuk memahaminya dan gagal menulis apapun di sini seperti biasa. Ianya sangat besar dalam hidup saya. Saya nukilkan di sini agar menjadi pedoman dan peringatan kepada kita semua khususnya kepada remaja perempuan yang bakal melangkah ke alam wanita sebenar agar peliharalah darjatmu~

KETERBUKAAN DALAM TERTUTUP, TERTUTUP DALAM KETERBUKAAN

Saya suka menonton rancangan 'Born in every minutes' di Biochannel astro @ 731.. Saya suka melihat gelagat ibu-ibu melahirkan di sebuah hospital dan melihat betapa sibuknya misi dan doktor melayan gelagat ibu mengandung serta menyambut kelahiran bayi di setiap jam dan minit. Kebiasaannya sudah pasti pasangan yang suda…