رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Khamis, 12 Oktober 2017

# anak # keluarga

Siapa lebih sabar - manusia atau haiwan? Salam Ma'al Hijrah





"Mak, masa mak sekolah dulu, ada orang ejek mak tak?" tanya Fathi tiba-tiba saja sesampainya kami di rumah balik masjid semalam.

"Emm, ada!" juling-juling mata mak nak mengingatkan peristiwa lampau. Hehe..

"Orang tu ejek mak apa?" Fathi sangat berminat dengan topik ni nampaknya. Yang lain juga 'pasang telinga' sambil melompat-lompat atas katil.

"Masa mak sekolah rendah dulu ada orang ejek mak hidung pesek. Masatu mak sedih sangat. Mak marah kat Allah kenapa buat hidung mak pesek tak cantik macam orang lain. Mak jadi tak bersyukur sebab hidung peseklah mak kena ejek dengan kawan pastu kawan cakap mak tak ada kawan sebab orang tak suka berkawan dengan orang hidung pesek. Mak sedih sangat!"

"Pesek tu apa mak? Abang tengok hidung mak ok je. Cantik je."

"Pesek tu tak mancung lah. Hidung penyek macam gini. Dulu, memanglah mak tak cantik. Sekarang je tetiba mak jadi cantik. Huwahahaha!" Mak gelak tak ingat dunia nampaknya.

Semuanya berhenti melompat katil dan tiba-tiba duduk diam-diam sebelah mak nak dengar kisah selanjutnya.

"Habis tu mak buat apa supaya tak sedih?" Fathi bertanya lagi.

"Ada satu petang tu mak ingat lagi. Masa tu nak pegi sekolah agama. Sepanjang perjalanan mak berdoa supaya Allah tukarkan hidung mak jadi mancung macam orang lain. Supaya mak jadi cantik dan ramai kawan macam orang lain. Sampailah azan asar masatu. Mak tengah jalan sorang diri. Lepas habis azan asar mak berhenti kat satu kedai ni nak beli air. Tiba-tiba mak ternampak kat cermin tingkap kedai tu hidung mak dah berubah!

Tapi hidung mak tak jadi mancung. Hidung mak jadi terjongket macam ba alif ba ya! Uwaaaa... Mak menangis masa tu jugak! Mak doa semula pada Allah mak nak hidung mak yg dulu! Tak mancung pun tak apalah asalkan mak nak hidung mak yg dulu daripada hidung terjongket macam ba alif ba ya ni.. Huhu.. Mak malu nak pegi sekolah. Nanti mesti lagi ramai orang ketawakan. Tapi mak tetap jalan perlahan-perlahan. Mak tak tahu nak pegi mana lagi. Mak istighfar banyak kali. Astaghfirullah Astaghfirullah Astaghfirullah.. Ampunkan aku Ya Allah..

Sampai sekolah mak terus pergi musolla dulu solat taubat, istighfar banyak-banyak lagi.. Mak tak kira dah masa tu mak dah lewat masuk kelas. Cikgu dah masuk. Cikgu nak marah pun , marahlah. Mak tak kira dah.. Mak doa pada Allah tukarkan balik hidung mak. Lepas mak habis solat taubat tu mak tengok cermin semula. Hidung mak dah jadi macam dulu balik. Mak bersyukur sangat dengan hidung yg Allah bagi ni.

Sejak kejadian tu, mak dapat pengajaran. Kita tak boleh rasa tak bersyukur dengan apa yg Allah dah buatkan diri kita. Kalau tak bersyukur, kita akan jadi lebih teruk daripada sekarang. Dan kita jangan terpengaruh sangat dengan orang yg suka ejek kita tu. Apa yg dia ejek kita tu tak betul pun. Sebenarnya, mak memang cantik kan dari dulu (kihkihkih).. Abang dah tengok kan gambar mak masa sekolah dulu. Saja je dia cakap gitu."

Punyalah panjang kisah mak cerita, tengok-tengok semua dah berpelukan dan melopong kat sebelah macam seram-tak-seram dengor cerita mak nih. Hihi..

"Tapi, abang tengok hidung mak tak pesek pun? Kan abang pernah tengok album masa mak kecik dulu. Abang tak nampak pun hidung mak pesek. Macamana orang tu boleh ejek mak pulak?"

"Haaa kannn... Sebenarnya, kenapa orang ejek orang?"

"Abang rasa sebab orang tu saja nak cari gaduh dengan kita. Lepastu dia nak kita kejar dia. Bila dah bergaduh, kita tak tahan marah, kita pukul dia, pastu dia akan salahkan kita balik. Jadilah kita macam orang yg bersalah dan jahat." (pandangan Fathi 8 tahun)

"Hmmm.. Boleh jadi betul juga pandangan abang tu. Bagus. Fatihah rasa macamana pulak?"

"Tiha rasa sebab orang tu saja nak bergurau dengan kita. Tapi apa dia cakap semua tu tak betul." (pandangan Fatihah 7 tahun)

"Hmmm... Betul juga. Manusia memang suka ejek manusia lain kan? Selagi tak puas hati dia akan tetap ejek orang lain. Haiwan pernah ejek manusia tak?"

"Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa. Taklah mak. Sebab bahasa haiwan tak sama macam bahasa manusia. Mana haiwan faham bahasa kita. Mak ni asyik beri soalan KBAT je."

"Haha.. Nasiblah soalan KBAT tak KBAT.. Ok bagus, haiwan tak pernah ejek manusia. Tapi manusia pernah ejek haiwan tak?"

"Aaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa.. Kadang-kadang kot."

"Hah! Kan? Abang pernah dengar manusia yg ejek haiwan kan? Walaupun bahasa manusia dan haiwan lain kan?"

"A ah.. Bila manusia ejek haiwan nanti dia kejar manusia tu lari lintang pukang!"

"Bukan.. Haiwan tak kejar balik kalau manusia setakat ejek dia. Tapi jangan sentuh dia! Kalau manusia sampai sentuh dia kacau dia, barulah haiwan tu akan kejar balik. Betul tak?

Contohnya abang kata 'Wei, kucing kaki pendek!' kucing tu tak terus kejar abang marah-marah. Dia sabar je. Tapi cuba abang terpijak atau cederakan kaki dia. Dia mesti marah balik tapi tu pun dia sabar tak kejar abang balik, dia cuma pergi tempat lain je. Malas nak cari gaduh dengan abang betul tak? Hah, siapa lagi sabar manusia ke haiwan?"

"Errr, haiwan.." juling-juling mata Fathi menjawabnya sambil tahan ketawa.

"Jadi, kita kena ambil pengajaran dari haiwan jugak selain daripada cerita mak tadi. Sabar macam kucing. Selagi orang tak cederakan kita atau sentuh kita tak apa, kita bersabar. Eleh, setakat ejek je abang mampu bersabar macam kucing. Kita juga kena sentiasa bersyukur dengan apa yg Allah dah jadikan diri kita sebab itulah paling baik untuk kita. Kalau tak bersyukur, jadi macam mak tadi, hidung terjongket nak?"

"Taknak taknak.."

"Orang yg ejek orang ni sebenarnya dia nakkan perhatian je. Sebab mungkin kat rumah ibubapa dia tak beri perhatian pada dia atau kat sekolah sebenarnya tak ada orang nak berbual dengan dia. Sebab tu abang rasa dia nak cari gaduh atau dia nak abang kejar dia je kan? Tiha rasa dia nak bergurau tapi cakap semua tak betul sebab tak ada orang nak berbual dengan dia yg betul-betul. Kalau cakap tak betul, mana ada orang nak percaya cakap orang macam tu kan. Ada orang ejek abang kat sekolah?"

"Mestilah ada mak sebab tu abang tanya mak. Si H tu cakap abang badut. Haritu si L asyik ejek abang tak pandai sepak bola. Abang tak suka waktu pendidikan jasmani. Asyik kena ketawakan je!"

"Lepas orang tu ejek biasanya abang buat apa?"

"Abang kejar dia balik sampai dapat! Abang rasa marah sangat! Tapi biasanya abang tak dapat pun kejar dia balik sebab dia larikan diri laju sangat. Abang kan lari tak laju."

"Oooo.. Tak apalah abang. Normallah tu kita rasa marah bila orang ejek kita. Macam mak jugak dulu. Rasa sedih dan marah bila orang kata kita macam-macam. Tapi, tengok apa jadi bila mak tak bersyukur dan layan sangat kata-kata orang yg ejek mak tu?"

"Abang, kenapa tak beritahu cikgu? Kan cikgu kata sesiapa yg kena ejek boleh beritahu cikgu. Cikgu pun tak suka orang ejek orang ni kat sekolah." Fatihah cuba memberikan solusi.

"Alaa, abang memang nak beritahu cikgu tapi tak sempat. Asyik tak jumpa cikgu dah bunyi loceng naik rehat. Tapi sekarang, abang dah tahulah nak buat apa bila mak dah ceritakan kisah mak dulu. Cuma, abang tak tahan marah bila dengar kawan abang kena ejek dengan orang lain."

"Sama jugak abang. Samada kita kena ejek atau kita geram sangat orang ejek kawan kita, kita kena sentiasa ingat kita ada 2 pilihan. Kita boleh pilih mana yg kita rasakan yg paling baik dengan situasi tu ;

1. Sabar dan beritahu cikgu.
2. Kalau rasa tak boleh sabar, tarik nafas dalam-dalam, pergi tempat lain tinggalkan budak tu sorang-sorang kat situ, jangan layan.

Ingat tu! Hidup kita sentiasa ada pilihan lain. Tak semestinya kejar dia sampai dapat, bertumbuk atau bergaduh ataupun bakar membakar ataupun bunuh-membunuh tu jadi penyelesaiannya tahu! Sentiasa ada pilihan 2 atau 3 yg lain yg boleh kita pilih. Abang boleh berbincang dengan mak bila-bila masa nanti bila abang rasa tak ada idea nak pilih yg mana ok?"

"Ok. Baiklah."

Dan perbualan kami anak beranak bersambung lagi ke masalah yg lain di sekolah.
.
.
.

Umur anak-anak bagi lingkungan 7-14 tahun adalah tahap kedua yg perlu diberi perhatian selepas lingkungan umur emasnya berlalu iaitu 0-6 tahun.

Saya berpegang kepada pecahan umur sebegini berdasarkan hadith Rasulullah yg menyuruh ibubapa mendidik anak-anak secara berperingkat. Lihat video ini - https://youtu.be/2EzCTV9hEog

Umur di sekolah rendah adalah merupakan perubahan fasa bagi anak-anak daripada menjadi kanak-kanak kecil kepada kanak-kanak besar sebelum bergelar remaja. Bukan lagi kanak-kanak kecil, bukan juga berperangai matang seperti orang dewasa.

Di fasa perubahan ini sangat penting bagi ibubapa memberi sepenuh perhatian kepada pembentukan emosinya dan problem solving skill kepada setiap isu yg anak-anak hadapi.

Ya, DUA perkara ini tidak diajarkan di sekolah. Tiada juga dalam mana-mana silibus walaupun sekolah itu yg terbaik dalam dunia!

Bagaimana untuk berhadapan dengan beberapa jenis emosi (bukan menjadi escapism) dan bagaimana untuk menyelesaikan sesuatu isu membabitkan rakan sebaya yg kuat tekanannya (problem solving skill)?

Ia juga kurang berlaku hanya kepada anak yg terdedah di sekitar persekitaran rumah dengan adik beradik sahaja kerana kecenderungan adik beradik (pengaruh rakan sebaya dalam rumah) masih di dalam kawalan ibubapa yg 24 jam di hadapan matanya.

Berbeza dengan pengaruh rakan sebaya di sekolah apabila kanak-kanak dewasa ini bereksperimentasi dengan emosinya sendiri tanpa ibubapa memerhatikannya. Di sinilah, anak-anak belajar untuk membentuk skil problem solvingnya dari sekecil-kecil perkara seterusnya melihat bagaimana dia mampu mengawal emosinya (anger management) sendiri ketika kita (ibubapanya) tiada di hadapannya.

Fasa ini dengan didikan ke atas DUA perkara ini SANGAT PENTING!

Pengabaian emosi anak dengan berkata,
"Dah la tu jangan kawan dengan dia lagi!"
"Pergi main tempat lain, mak nak berehat ni."
"Cakap lain kali boleh tak, mak tengah banyak kerja ni."
- hanya akan menjadikan mereka hilang punca dan tiada tempat rujukan yg betul untuk dijadikan pegangan membentuk kehidupannya yg baru bermula ini.

Bila tiada rujukan dan empati daripada ibubapa, anak-anak pasti akan mencari tempat rujukan lain yg boleh dipercayainya. Semasa inilah pengaruh rakan sebaya sangat memainkan peranan yg besar dalam hidup permulaan anak kita.

Akan datang, bila anak terlalu mengikut kawan-kawannya untuk keluar malam bersama, usahlah kita memarahinya dengan memisahkan 'persahabatan suci' di antara mereka yg selama ini terjalin. Malah, berfikirlah di mana diri kita dahulu semasa dia mula-mula mahukan kita untuk mendengar segala emosi permulaan yg baru dikenali dalam hidupnya satu ketika dahulu?

.

Salam tahun baru 1439H.

Semoga di permulaan tahun baru hijrah ini, seiringan dengan doa kita semua akan menjadikan kita ibubapa yg terus berusaha menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini.

Cuba 'adakan' masa menganalisa emosi dan pemikiran awal anak-anak yg terbentuk di fasa 7-14 tahun ini sebelum anak-anak menganalisa dan membentuk segala emosi yg berbangkit itu mengikut perasaannya sendiri berdasarkan rakan sebaya di fasa berikutnya.

Ambil tahu emosi anak, bimbinglah dia dan berikan cara (solusi) untuk dia mampu mengawal emosi dan kemarahannya dengan sebaiknya.



#didikanakabadke21
#ceriteraanaksekolah
#didikanakberjiwabesar
#pengaruhrakanibubapa


Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor