Ahad, 8 Oktober 2017

Bila anak kena AEFI



Semua perkara dalam dunia ini ada risikonya.
Dunia ini sendiripun dijadikan dengan riskonya tertentu.
Lalu, mengapa Allah masih menciptakan sesuatu yg berisiko ini jika sudah tahu ada risiko yg buruk bakal terjadi?

Kerana dunia ini adalah tempat ujian. Allah hanya ingin menguji hamba-hambaNya siapakah di antara hambaNya yg lebih baik amalannya?

.

30 April 2017

Fatihah ke sekolah seperti biasa. Balik saja ke rumah dia mengadu sakit kedua-dua belah tangannya kerana ada injection hari ini di sekolah. Saya agak terperanjat kerana pihak sekolah tidak memaklumkan apa-apa. Saya bertambah risau kerana kelmarin dia baru terjatuh dan tangannya terseliuh hingga dia tak boleh disentuh langsung. Tapi semalam saya dah bawanya mengurut dan dah baik.




Petang itu, semasa dia mandi saya perasan tangan sebelah kanannya jadi merah dan bengkak, besar. Saya memberitahu suami. Saya juga ambil gambarnya dan seperti biasa meminta pandangan dan pencerahan daripada Dr. Hairin Anisa Tajuddin. Lalu, Dr mengatakan yg ianya moderate AEFI. Perlu buat report.

Masa itu, saya tak terfikir langsung mengenai AEFI. Sebelum ini, anak-anak semua complete vaksin dan tak pernah dapat AEFI. Lagipun injection 7 tahun ini pula hanyalah booster.

Dalam masa yg sama, ada ibu yg bertanya di Whats App grup kelas anak, siapa lagi anaknya bengkak tangan. Mulalah saya angkat tangan.. Hehe.. Jika tidak, saya sejenis senyap saja dalan Whats App kelas anak itu. Rupa-rupanya ada 5-6 orang lagi yg senasib dengan Fatihah, semuanya bengkak tangan sebelah kanan saja. Tangan kiri tiada apa-apa.

Saya memberitahu semua ibubapa yg saya dapat nasihat dari doktor pakar untuk membuat report AEFI. Sepertinya tiada seorang pun yg faham apa itu AEFI. Cikgu juga tak tahu nak buat apa. Saya pun senyaplah semula.

1 Mei 2017

Hari cuti. KK tutup. Semua orang pun bercuti. Maka, saya hanya tuam tempat bengkak dengan pack ais. Malam tadi, Fatihah terbangun malam beberapa kali tak boleh tidur sebab gatal dan sakit katanya. Saya takut nak berikan apa-apa ubat. Takut risikonya berganda jika diberi ubat mengikut suka hati saya, hanya menyuruhnya bersabar sambil berzikir saja.

Hati ibu mana yg tak luluh bila melihat anaknya menahan sakit yg lama? Bengkak, merah, gatal.. Fatihah hilang selera makan, dia tak mahu makan langsung sejak semalam. Hanya tidur melepek. Saya takut saja bengkaknya itu bertukar kehitaman seperti isu viral yg sedang hangat. Biasalah, mak-mak ini adakalanya fikirannya terlampau maju kehadapan..hehe..

Segeralah saya beristighfar dan berfikir yg lebih baik. Mungkin dengan cara ini Fatihah akan belajar untuk mengurus kesakitan. Tak apa Tiha, Tiha akan jadi lebih mahir untuk faham rasa sakit dan badan Tiha akan adjust menggerakkan sendiri hormon-hormon tertentu untuk melawan sakit itu. Its ok, ambil masa sikit - saya katakan kepadanya.

Mahu saja saya post dalam fb dan pukul canang ke seluruh alam mengatakan efek suntikan vaksin yg anak saya hadapi ini dan ingin bertanya bagaimana mahu buat report AEFI. Tapi, saya tangguhkan dulu kemarahan/ketidakpuasan hati. Ya, sama seperti prinsip saya mendidik anak-anak. Kemam dulu kemarahan.

Saya fikir, tak guna kita mengadu domba menyalahkan sesiapa dan apa. Apakah gunanya mencari perhatian orang lain dan mahu menyalahkan orang lain di saat anak kita sedang bertaruh dengan kesakitan?

Prinsip saya, apabila anak sakit, saya perlukan ketenangan supaya proses penyembuhan anak akan terjadi dengan cepat. Jika fikiran saya yg sudah macam-macam ini ditambah lagi dengan kata-kata dan pandangan orang lain yg ramai dan bermacam-macam, saya tak akan temui ketenangan itu dan ini akan mengakibatkan proses penyembuhan anak saya semakin lama atau mungkin jadi lebih teruk. Saya tak mahu begitu.

Tiba-tiba ayat ini keluar dari dalam fikiran -
Orang mukmin itu tidak melulu dan bersikap tenang apabila ujian mendatang.

Maka, buat pertamanya saya sedar bahawa saya perlu redha. Dalam hidup ini banyak risikonya sendiri walau apapun jalan dan cara yg kita pilih. Penyembuhan pertama berlaku apabila seorang ibu redha kepada anaknya.

Saya mengizinkan anak saya disuntik dan mengikuti program imunisasi negara dengan lengkap maka, saya perlu uruskan segala risikonya. Saya sedar pasti akan ada risikonya. Bukan dengan cara mahu lari dari risiko maka saya tak perlu bersetuju untuk tidak memvaksinkan anak-anak. Jika jalan itu yg saya pilih, saya takut untuk mungkin menzalimi orang lain yg berkemungkinan anaknya dijangkiti penyakit cegahan vaksin yg lain di saat itulah anak pertamanya selepas berpuluh-puluh tahun menunggu.

Ya, risiko ini boleh terjadi kepada sesiapa. Kemaslahatan orang awam lebih utama dari kemaslahatan diri sendiri. Inilah fiqh keutamaan yg saya pegang (fiqh aulawiyyat). Mencegah lebih baik dari merawat. Dan tiada gunanya ambil keputusan untuk lari dari risiko (masalah) walhal kita tetap terdedah kepada risiko yg lain. Makanya, berhadapanlah dengan apa jua risiko (masalah) yg datang. Uruskan dengan baik. Dunia ini tempat untuk diuji dan diurus,

2 Mei 2017

Saya segera bawa Fatihah ke KK berhampiran. Di awal pagi, saya berdoa moga dipermudahkan urusan report AEFI ini. Ya, doa sendiri-sendiri dalam tahajjud sejak semalam. Saya tak mahu post di fb untuk mengeruhkan keadaan di saat saya sendiri tidak pasti arahnya. Saya berdoa moga ada pengajaran yg boleh saya pelajari melalui kesakitan anak kali ini. Sama juga seperti apabila anak-anak yg lain sakit, inilah doa saya. Saya sentiasa mahu belajar dari hari ke hari.

Niat saya bukan untuk mencari salah sesiapa atau mencari gaduh dengan sesiapa. Bukan. Saya hanya mahu menjalankan rasa tanggungjawab untuk buat report supaya pihak tertentu dapat menjalankan siasatan terperinci di manakah pembolehubah kepada faktor kejadian begini. Kelak, mungkin akan ada penambahbaikan yg boleh diberi perhatian supaya kes-kes begini dapat dikurangkan.

Saya mahu mendaftar di Klinik ibu dan anak, tapi katanya anak 7 tahun daftar di klinik luar bukan di sini. Maka, saya pun ambil borang oren (pesakit luar) itu dan mencari-cari pen untuk menulis.

Kebetulan ada staf klinik berada di kaunter dan saya menceritakan kronologi sebelum ini. Terus saja dia katakan,
"Puan, nanti puan boleh ceritakan semuanya pada dojtor ya. Meh saya tolong isikan borangnya"...
Hehe.. Terlajak eksaited mak! Tak sabor ni nak ceritakan perasaan terpendam selama beberapa hari..

Syukur sangat beiau mengisikan borang untuk saya yg sedang menggendong Farihin ni. Mujur saya ke KK bawa Farihin dan Fatihah saja.. Lagi 2 orang anak tinggalkan dengan nenek.

Staf KK begini yg alert dengan situasi ibu gendong anak/bawa anak ramai dengan membantu mengisikan borang adalah sangat-sangat dipuji! Ia sangat melegakan saya dan meringankan hati saya. Terima kasih!

Apabila dapat nombor, Masha Allah! Lagi 30 orang?

Saya pun sekali lagi pasrah dan redha.. Ya, REDHA adalah kata kunci kita semasa berhadapan dengan ujian demi ujian yg singgah.

Farihin tertidur kepanasan. Aircond di KK memang sudah lama rosak. Entahlah mungkin dah tak berfungsi dengan baik disebabkan ramainya manusia di KK. Batuk, selsema, mata merah semua ada di sekeliling Farihin. Saya bertawakkal saja demi anak lagi seorang. Mujur ada kerusi kosong.

Dekat 10 minit nombor tak bergerak. Nak menangis rasanya! Panas usah cerita. Fatihah dah mula merengek sakit. Farihin dah berpeluh-peluh basah baju. Memang rasa nak naik angin. Saya seorang yg bawa anak kecil di situ. Sekali lagi, tangguhkan kemarahan. Kemamlah ketidakpuasan hati itu. Allah sedang menguji tentang kesabaran. Lalu, saya berzikir - Ya Latif.. Ya Latif.. Ya Latif.. Redhalah hati.. Redhalah hati.. Redhalah hati.. Lagi 30 orang..

Cukup 15 minit, KK seperti dilanda Garuda. Nombor dipanggil bertalu-talu! Tak henti-henti. Bilik sana sini dan kaunter pendaftaran memanggil nombor tanpa henti. Hinggallah dalam 3 minit saja nombor saya dipanggil dan saya mendaftar seperti biasa.

Di bahagian seterusnya, panjang juga barisan untuk beratur. Tak apalah.. Beratur saja. Tiba-tiba saja sudah ada di depan. Berat Fatihah diambil dan terus saja saya meletakkan kad di bilik doktor.
10 minit menunggu nombor dipanggil. Masuk ke bilik doktor, saya menceritakan semuanya. Meluahkan semua yg terbuku.

Yang menjadi kebimbangan saya adalah takut-takut jika tangan Fatihah yg terseliuh sehari sebelumnya belum baik dan mengakibatkan bengkak yg teruk begini. Doktor memeriksa. katanya jika tangan yg terseliuh, bengkak berlaku di joint-joint tangan. Tapi bengkak ini obvious di kawasan tempat suntikan. Ini adalah faktor teknikal. Katanya mungkin fatihah struggle dan misi grab tangan Fatihah dengan terlalu kuat.

Saya senyum saja. fatihah sejenis bukan melawan. Tapi, mungkin saja dia melawan disebabkan tangannya yg sakit akibat terjatuh itu tempohari pun saya nak pegang dia tak mahu. Sepatutnya, dia perlu dibiarkan. Dia tidak melawan. Dengan memegangnya kuat akan menyebabkan dia bertambah takut dan mungkin sedikit melawan. Dia tak suka dipegang.

Saya bertanya, perlu tak saya buat report AEFI? Katanya tak perlu sebab bengkak ini hanyalah minor AEFI. Ini biasa saja. Katanya, anaknya juga baru dapat injection 7 tahun dan bengkak tangannya tapi Fatihah punya bengkak nampak lebih teruk. Jadi, beliau memberi Fatihah cuti 2 hari. Cuma, saya perlu perhatikan jika bengkaknya semakin membesar, barulah perlu dibawa ke hospital segera. Beliau suruh saya mengukur bengkaknya. Fatihah diberi ubat tahan sakit, surut bengkak dan paracetamol takut-takut jika Tiha demam. Terima kasih di atas concern ini. At least ada penyelesaiannya membantu saya mengurus kesakitan yg Tiha alami.

Keluar saja KK saya lihat jam. Setengah jam je? Sbhanallah! Ini ajaib! Saya tak pernah ke mana-mana klinik yg secepat dan sepantas 30 minit saja sudah siap walhal datang tadi saya sudah putus harap melihatkan giliran saya lagi 30 nombor. SUngguh, zikir Ya Latif sentiasa berkesan apabila saya mahu betul-betul dipercepatkan urusan.

Besar hikmahnya, apabila kita bersabar dan redha dalam kesakitan dan kepayahan. Walau kita tak suka, leceh, kita uruskan sajalah mana yg sepatutnya. Allah sentiasa bersama hambaNya yg bersabar.
Setakat ini, Tiha hanya dedar tidak demam. Malamnya, Fatihah terbangun malam sekali lagi sakit dan gatal katanya tak dapat tidur. Saya hanya memberinya ubat surut bengkak. Dan dia tertidur.

3 Mei 2017

Saya tidak jadi membuat report disebabkan doktor KK mengatakan tidak perlu. Tapi tiba-tiba, kakak ipar saya menghantar link untuk public report AEFI melalui laman web NPRA. Pertama kali saya mendengar tentang National Pharmaceutical Regulatory Agency - NPRA. Menurut lawan web tersebut, report AEFI perlu dibuat walaupun minor. Ini dapat membantu mereka untuk membuat statistik dengan lebih terperinci. Sama seperti Dr. Anisa sarankan kepada saya tempohari. Jadi, saya dah konfius.

Perlu atau tak saya buat report ini? Mahu saja saya post di fb atau bertanya di MKT(O) atau Whats App minta pandangan kawan-kawan tapi saya tahan diri. Saya tahu ramai juga kawan-kawan saya pernah mengadu pasal AEFI. Ya, part ini saya memang sedikit degil. Saya ingin mempelajarinya sendiri dengan pengalaman sendiri, tak mahu menyamakan pengalaman orang lain dengan diri sendiri.

Dan saya tak mahu memperbesarkan keadaan dengan menuding jari kepada sesiapa. Apabila berlaku sesuatu, mencari salah orang lain sentiasa tidak akan membantu apa-apa. Hakikatnya, semua manusia tak sempurna apa lagi sistem yg manusia buat tentu sajalah tidak akan mampu sempurna.

Atau mungkin saja golongan tertentu akan ambil kesempatan di atas kekeliruan ini dan seterusnya, menggunakannya sebagai modal untuk memihak kepada pegangan mereka pula dengan menyalahkan semua orang yg berkaitan dengan vaksin. Itu bukan niat saya. Saya tidak mahu risiko sebegitu pula yg terjadi makanya saya senyap saja. Saya hanya akan menulis sesuatu yg saya pasti dan saya telah mengalami sendiri.

Saya ke kedai untuk print out borang report tersebut. Dan saya isikan mengikut kotak-kotak yg ditanyakan. Kemudian, saya tak pasti bagaimana mahu hantar report ini.

Saya call NPRA. Talian sibuk. Sepanjang hari juga sibuk tidak berjawab. Sekali lagi, memang rasa tak puas hati. Tapi, perlukah saya mencanangkan kepada dunia akan teruknya sistem yg ada ini?

Jawapannya tak perlu pun. Saya tarik nafas dalam-dalam menelan segalanya. Saya niatkan asbab kesabaran ini, Fatihah akan sembuh dengan segera dan boleh tidur malam dengan tenang semula serta seleranya kembali normal. Risau anak tak makan beberapa hari sebab sakit ini.

Sehinggalah 3 hari mencuba. Talian ditembusi. Baru saya dapat bercakap dengan staf. Beliau menymbungkan saya kepda satu division ke satu lagi division. Ya, selepas bercakap banyak kali berunglang-ulang, saya terasa seperti bola. Ke sana ke mari entah siapa yg saya disalurkan. Tak mengapalah. Memang begitulah sistem yg berlapis ini berfungsi. Mana ada satu sistem di dunia pun yg perfect 10? Pasrah sajalah.. Sehinggalah saya terhenti di satu division katanya,
"Oh report pasal AEFI under division AEFI/vaksin puan bukan division saya jaga ubat. Puan tinggalkan nama dan no telefon boleh? Nanti saya akan suruh staf dari division AEFI call semula puan."

Saya pun pasrah. Walaupun saya tahu peluang itu hanyalah 50-50. Itu ayat biasa yg saya terima apabila berhadapan dengan sistem kerajaan. Biasalah tu.

.

Minggu hadapannya, saya memberanikan diri ke KK semula. Saya tak terima apa-apa call dari NPRA lagi makanya sesuatu belum diselesaikan perlu diteruskan. Di dalam borang tercatat borang ini boleh dihantar kepada ahli farmasi di KK tersebut. Saya pun membawa anak-anak balik sekolah semuanya ke KK. Waktu itu hari dah petang lagi setengah jam semua orang akan balik.

Pergi terus ke farmasi dahulu untuk bertanya. Kelihatannya semua staf seperti terpinga-pinga apabila saya menyebut AEFI. Kebetulan ada seorang staf yg nampak sangat sibuk lalu di belakang staf yg saya bertanya itu lalu dia terus menyuruh saya pergi ke klinik ibu dan anak berjumpa matron untuk mendapatkan nombor batch vaksin dan staf yg bertugas memberi suntikan kepada anak saya pada hari itu.

Saya pun ke seberang sana semula. Silap saya tidak berjumpa terus kepada matron. Saya berhenti di kaunter dan bertanya tentang report ini. Seorang staf nurse mengaku dialah yg bertugas pada hari tersebut di sekolah tersebut. Dia mengatakan biasanya yg bengkak begini adalah murid yg menangis kuat dan meronta hingga menyebabkan misi terpaksa memegang kuat-kuat tangan murid tersebut.

Saya tahu anak saya bagaimana. Dan saya tak mahu backing anak saya dengan mengatakan apa-apa mengenai teknikaliti semasa suntikan. Biasalah murid darjah 1 ni kebanyakannya masih takut-takut pada semua benda nak-nak sejenis macam Tiha. Saya sendiri mengambil masa setengah tahun untuk melatih dirinya berdikari dan beranikan diri bercakap dengan kawan-kawan dan cikgu di sekolah.

Bukan senang nak bina keberaniannya untuk bergaul di sekolah apalagi menghadapi suntikan di kedua-dua tangan seorang diri tanpa seseorang yg dia percayai..

Semasa ini, saya terfikir tidak bolehkah jika diubah sistem ini dengan membawa anak ambil suntikan hanya dengan kehadiran waris di sisi?

Saya membuat report ini bukanlah mahu menyalahkan sesiapa. Saya tak mahu bertegang urat dan bermasam muka dengan sesiapa. Saya faham semua staf hanya menjalankan tugasnya dengan baik. Dan saya hanya mahu menjalankan tugas dan hak saya untuk membuat report ini supaya pihak NPRA dapat menyimpan data berkaitan AEFI dan terpulang kepadanya untuk mengkategorikan kes ini sebagai apa.

Saya juga sedia tahu ini isu yg super sensitif. Golongan tertentu menggunapakai isu ini untuk menolak vaksin. Saya tahu itu. Itu bukan bermakna saya juga termasuk golongan yg membenci itu.
Dalam hidup ni kita hanya akan dapat penat bila hanya benci membenci tanpa ada solusi. Saya hanya mahu dapatkan kepastian samada perlu atau tidak saya meneruskan report ini? Saya cuma seorang yg konfius.

4-5 staf nurse mengerumuni saya. Bayangkanlah saya seorang di situ seperti hendak cari gaduh pula lagaknya.. hehe.. Masing-masing mengatakan ini perkara biasa. Minor saja. Tak perlu buat report. Ini pertama kali KK menerima report mengenai AEFI. Sayalah orangnya! hehe.. Mereka juga merujuk semula kepada doktor yg melihat keadaan Fatihah tempohari. Double confirm. Doktor juga mengatakan tidak perlu. Full stop. Lagipun Fatihah dah baik. Bengkaknya pun tidak berlarutan.

Mereka bertanya lagi di mana saya dapat borang ini? Kerana mereka tiada borang begini. Saya katakan, saya print out dari NPRA. Mereka juga seperti tidak pernah mendengar mengenai NPRA. Tak mengapa.

Saya bukan kaki google. Saya juga tidak membaca pengalaman ibubapa lain yg pernah mengalami AEFI melalui google kerana saya tahu kemungkinan saya akan membaca tulisan yg bias. Saya tak mahu dipengaruhi dengan seesiapa. Saya ambil dan merujuk daripada sumber yg dipercayai. Sumber yg berkait langsung dengan isu AEFI. Bukan second or third party.

Mereka agak terkejut. Dan masing-masing sepertinya sudah "berbulu" dengan saya. Saya senyum saja dan berpegang kepada niat asal saya. Saya bukan mahu menyalahkan sesiapa. Tapi tindakan ini kelihatannya seperti orang lain boleh saja tersalah tafsir akan niat sebenar saya.

Mujur seorang misi Indian step forward menenangkan keadaan. Saya dibawa keluar dari kumpulan misi tersebut. Saya duduk daripada berdiri dari tadi. Beliau melayan dan menerangkan kepada saya AEFI yg paling serius saja boleh buat report seperti timbul ruam-ruam merah atau sesak nafas atau paling teruk dia pernah jumpa murid pengsan sejurus suntikan HPV. Suntikan HPV memang kuat sedikit tapi booster untuk suntikan darjah 1 tidak kuat.

Lagipun sebelum ini anak saya ok saja tiada AEFI semasa mendapatkan suntikan awal masa dia kecil dulu. Beliau membawa report tersebut untuk double confirm dengan doktor yg merawat. Oleh kerana doktor pun memberitahu tak perlu buat report, makanya misi tak dapat mengisi borang tersebut di bahagian bawah untuk mendapatkan nombor batch. Lalu, misi Indian tersebut mengambil nama dan no telefon saya dan berjanji akan hubungi saya semula apabila ada progres seterusnya. Biasalah tu.. Bijak beliau menjalankan tugas. Saya salute! At least prosedur terakhir dijalankan dengan berhemah walaupun tiada kata sepakat terhasil. Dan saya masih lagi dalam kekonfiusan.

Saya tahu memang tindakan seterusnya tidak nampak jalannya. hehe.. Tapi saya berlapang dada. Saya membayangkan jika saya berada dalam kasut misi tersebut pun tentu sajalah saya kecut perut orang buat report pasal kita. Silap-silap kita kena tindakan tatatertib pula walhal kita menjalankan tugas sehabis baik demi mencari sesuap nasi demi anak-anak di rumah. Saya faham itu.

Cuma, saya tak tahu kenapa borang dalam report tersebut perlu ada ruangan nama staf yg bertugas. Saya kira cukuplah jika ada ruangan nombor batch saja untuk dipantau semula cara storage vaksin tersebut dan pengendaliannya. Saya tidak mahu sesiapapun dipecat atau dikenakan tindakan apa-apa.. Perkara mahu terjadi, akan terjadi juga. Asbabnya boleh jadi apa-apa saja melalui macam-macam cara. Allah pasti sediakan pengajaran yg berharga buat saya. Saya sudah lama redha.

Saya berlapang dada. Dan bertawakkal setelah usaha ini dilakukan. Dalam doa malam saya sajalah saya menyerahkan kepada Allah agar membuka hati-hati manusia yg berkaitan ini agar menunjuk jalan kepada saya jika benar laporan ini perlu dibuat dan jika benar pengalaman ini juga berguna bagi insan lain.

.
.
.

17 Mei 2017

Tiba-tiba saya mendapat panggilan daripada staf NPRA. Seronok hati bukan kepalang! Allah memakbulkan doa saya. Syukur alhamdulillah.

Beliau meminta maaf kerana lambat menghubungi saya semula. Tak mengapa saya faham kesibukan beliau. Saya menceritakan dari A sampai Z. Beliau mengambil beberapa input penting seperti nama sekolah, nama anak, nama saya sebagai waris, nombor IC anak samada anak saya dah cukup belum umurnya 7 tahun. Ketika inilah baru saya terfikir Fatihah belum cukup 7 tahun. 3 Jun nanti baru dia genap 7 tahun.

Inilah maksud saya untuk bertegas membuat report. Ada perkara-perkara yg kita tak sangka dan tak tahupun yg berkemungkinan menyumbang kepada AEFI begini. Report ini dibuat supaya memudahkan pihak NPRA menjalankan kajian dan mengumpulkan statistiknya serta mengkasifikasikan kes kes AEFI mengikut subjek matter tertentu.

Mungkin saja pihak mereka boleh menilai kembali berapa ramai mendapati AEFI sebelum umur seseorang itu cukup atau tidak. Atau mungkin saja ada masalah teknikal dari segi pengendalian storagenya atau apa saja. Mereka lebih tahu urusan mereka. Mereka boleh lakukan research berdasarkan kuantitatif dan kualitatifnya.

Report ini penting walaupun minor. Kita perlu jalankan hak kita sebagai pengguna. Beri kerjasama kepada pihak yg diwajibkan ke atasnya melakukan prosedur demi prosedur ini.

Saya memetik semula kata-kata staf NPRA tersebut,
"Apa yg puan buat ini betul. Puan dan juga semua ibubapa perlu membuat report AEFI ini jika berlaku kepada anak-anak bagi memudahkan kita melakukan siasatan dan kajian. Suntikan vaksin ini bukanlah mengenai perkara teknikal sahaja tapi ia mengenai sejauh mana vaksin tersebut bertindakbalas dengan tubuh seseorang. Setiap orang berbeza tindakbalasnya dan itu yg kita kena buat kajian terperinci. Walaupun ianya minor macam anak puan alami bengkak saja pun itu dah cukup bantu kami buat research ini dan sediakan statistik ini dengan betul. Nanti tidaklah kalau ada orang minta statistik AEFI kita tak dapat berikan statistik dan pencerahan kajian yg tepat. Diambilnya dari negara orang lain pula. Apa yg puan buat dah betul. Cikgu-cikgu juga sepatutnya tahu mengenai perkara sebegini dengan menasihatkan ibubapa membuat report AEFI jika anak mengalami AEFI. Ini sangat-sangat dapat membantu kami."

Saya bertanya lagi mengapa berlaku ketidaksamaan informasi mengenai ini? Ada doktor yg kata tak perlu, ada doktor yg kata perlu. Mana satu yg betul? Katanya,

"Daripada pihak kami sudah lama mewar-warkan mengenai report AEFI ini. Tapi biasalah puan, bila mereka bekerja dengan sistem yg sudah terlalu lama, dan sudah terbiasa dengan perkara ini, mereka tak nampak kepentingannya. Macam dengar tak dengar saja arahan dari kami. Orang kata, kenalah biasakan yg betul, betulkan yg biasa. Jadi, kita mengharapkan orang ramai seperti puan untuk tahu hak puan dan bantu kami dengan membuat report ini. Walaupun minor semuanya ada dalam borang itu. Isikan saja. kalau tak dapat kerjasama dari pihak berkenaan, boleh terus call kita dan buat report samada hantarkan fax atau emel kami. Nanti kami akan hubungi pembuat report untuk input yg lebih lanjut. Kami juga akan rahsiakan setiap report yg dibuat dan siapa yg membuat report tersebut. Kami hanya perlukan data kes yg berlaku."
.
.
.

Alhamdulillah, genap 2 minggu segalanya sudahpun terungkai. Pentingnya membuat report AEFI. Kini, saya sudah pasti sepasti-pastinya. Pengalaman ini memang sangat berharga! Allah sediakan khas untuk saya mempelajarinya melalui nilai kesabaran.

Kesabaran adalah kata kuncinya di saat zaman hebahan media sosial kini berleluasa. Kawallah diri kita dahulu sebelum semua keadaan di sekeliling kita dapat dikawal. Tidak ada satupun yg buruk berlaku pada jiwa seorang muslim jika kita beriman kepada Qada dan Qadarnya bahawa semuanya dalam pengetahuan Allah semata-mata. DIA Maha tahu kadaran kita. Allah tidak pernah zalim kepada hambaNya. Subhanallah!

.

Public reporting on AEFI:

1. Pergi ke http://npra.moh.gov.my/ > Klik Public (tepi sebelah kiri)

2. Pilih > Reporting Side Effects to Medicines (ConSERF) or Vaccines (AEFI)

3. Klik bawah sekali > AEFI FORM
ADVERSE EVENTS FOLLOWING IMMUNISATION REPORTING FORM FOR MINOR REACTIONS

4. Print out PDF ini > Borang Pemantauan Kesan Sampingan Ringan Selepas Pelalian

5. Isikan bahagian berkenaan. Jika dapat kerjasama daripada KK yg berkenaan, alhamdulillah. Jika tidak dapat pun, berlapang dadalah.. Bayangkan kita pada kasut mereka. Tak mengapa. Boleh fakskan ke nombor yg tertera dalam borang ini. Atau call terus nombor tersebut.

Bersabarlah sehingga panggilan anda dijawab. Sungguh, kesabaran itu ada manisnya. ;)

.
.
.

Biasakan yg betul, betulkan yg biasa. Jangan menuding jari atau mencari salah sesiapa.

Kadangkala, manusia hanya melihat ubat-ubatan/makanan/minuman saja sebagai penawar kepada kesakitan yg anak-anak alami. Sebenarnya, jauh lagi dalam erti bagi suatu penawar / ubat itu adalah akhlak kita sebagai ibubapa.

Bagaimanakah akhlak kita kepada Yang Memberi Sakit dan Yang Maha Menyembuhkan serta akhlak kita yg terutama kepada sesama insan? Kerana jalan kebaikan itu bukanlah hanya pada kesihatan tetapi sebenarnya pada jalan kesakitan.


#ibrahanaksakit
#sakitituindahjikakitatidakmencarisalahsesiapa
#akhlakituantiboditerkuatbuatanak

Tiada ulasan:

Daripada buli kepada puji.

Roda hidup berputar. "Mak, tadi kat sekolah abang dah solat zohor dengan kawan kawan." "Oh, bagus balik sekolah d...