رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Ahad, 27 Ogos 2017

# homeschooling # kad imbas khadijah

"Now, everyone can teach" ~ Cara mengajar sendiri anak mengaji di rumah



Soalan :

Puan, boleh kongsi tips macam mana buat ajar anak mengaji kat rumah? Saya tinggal kawasan yg susah nak hantar mengaji..
Nak suruh pergi sendiri saya takut tak harap sangat...

Jawapan :

Saya pernah kongsikan banyak cara dan tips sebelum ini. Jika ditulis di sini agak panjang pula nanti. Saya akan summarized beberapa langkah sebagai panduan puan untuk mengajar anak mengaji di rumah.

Boleh ikuti beberapa tips / permainan mengajar mengaji anak di bawah usia 7 tahun dengan cara fun secara detail di Page Kad Imbas Khadijah atau ikuti Group fb saya Usrah Suka Mengaji untuk perbincangan lanjut.

.

1. Jangan mulakan mengajar dengan buku mengaji.

Anak kecil abad ke 21 hari ini tidak sama seperti kita satu masa dulu. Hampir kesemua ibubapa yang saya temui meluahkan rasa kebimbangannya anak tidak suka mengaji kerana bila diajar sekejap saja yang dibacanya atau ikut semula bacaan/huruf. Kemudian anak tak mahu duduk diam mengaji. Ya, itulah fitrah anak kecil.

Disangkanya anak kecil susah diajar mengaji walhal cara kita yang salah.

Manakan mungkin anak kecil yang sudah didedahkan kepada gajet di awal usia hari ini betah duduk diam dengan disiplin buku mengaji jika dia sudah punya option yang lebih berwarna-warni, imej-imej yang bergerak laju lagi menarik dapat ditontonnya di youtube / game di internet. Zaman berubah. Cara kita mengajar anak juga perlu berubah sepantas masa.


2. Ajar anak kenal huruf tunggal hijaiyyah dahulu, diikuti dengan fungsi baris asas.

Ini adalah basic knowledge bagi semua pembaca al-Quran. Asas ini perlu teguh lagi kuat.
Pelbagaikan penggunaan bahan bantu mengajar seperti kad imbas, poster yang ditampal di dinding, aplikasi internet, video / lagu, busybook atau apa sahaja permainan bagi tujuan berkenalan dengan huruf tunggal hijaiyyah.

Ajarlah anak mengenali huruf tunggal dengan cara yang menyeronokkan dan belajar sambil bermain!
Ini kerana di dalam huruf tunggal terdapatnya makhraj huruf yang harus diasah sebutannya berulangkali dengan betul. Ini berbeza daripada mengajarkan anak Bahasa Melayu atau English.

Di dalam BM dan BI tiada makhraj huruf yang perlu ditekankan untuk membaca. Ia lebih kepada gabungan bunyi huruf. Tetapi bagi membaca al Quran ia bukan sekadar membunyikan huruf-huruf berbaris malah terdapat hukum tajwid (panjang-pendek bacaan) perlu dibaca dengan tepat bersama makhraj huruf yang betul.

Jika ia tidak diajarkan dari awal serta tidak diasah dengan baik sejak mula lagi, kelak dikhuatiri anak akan membaca al Quran dengan Bahasa Melayu tanpa sebutan arab yang betul dan hukum tajwid yang 'ke laut'.


3. Fungsi baris asas perlu diperkenalkan secara serentak.



Jangan menekankan hanya 1 baris saja sebagai permulaan. Setelah anak kenal huruf tunggal, ajarkannya baris asas satu (ketiga-tiganya) secara serentak dengan cara yang fun! Ya, penggunaan emoticons sangat membantu anak-anak ingat dan faham fungsi baris tanpa perlu menghafal. Begitu juga bagi memperkenalkan huruf tunggal. Tidak perlu menghafal.

Seterusnya, mengajarkan tanda bacaan lain seperti tanwin, baris mati dan baris bercampur pasti akan lebih mudah jika fungsi baris satu yang asas ini dapat dikuasainya dengan baik.


4. Disiplin buku mengaji.

Setelah anak dapat mengenal dan menguasai huruf tunggal dan baris asas dengan baik, barulah beri anak buku mengaji dan ikutilah disiplin / silibus yang ada di dalamnya.


Saya amat menggalakkan ibubapa menggunakan Muqaddam Nur al-Hayah resm uthmani.
Di dalam silibus Muqaddam yang diperbaharui ini (bukan macam muqaddam lama zaman kita belajar mengaji dulu) ia menekankan huruf tunggal sebagai permulaan dan ia mengasingkan huruf untuk dikenali melalui huruf bertitik dan tidak bertitik. Tambahan pula, ia berwarna-warni! Fitrah anak kecil suka buku yang berwarna-warni bukan?

Muqaddam ini boleh didapati di Badan Bookstore Plaza Angsana JB berharga RM9.60 sahaja.







Saya juga ingin mencadangkan buku mengaji kedua terbaik yang pernah saya jumpa setakat ini iaitu buku mengaji kaedah al-Matein. Ia juga sama seperti cara Muqaddam Resm Uthmani tetapi pengenalan huruf tunggal diasingkan berdasarkan makhraj (tempat keluar huruf). Siap infografik.
Dan fungsi baris pula diperkenalkan melalui makhraj yang sama tetapi jenis yang berlainan (baris 1 & baris 2 diperkenalkan serentak).

Kaedah sebegini lebih bagus kerana TIDAK menekankan hanya SATU baris sahaja. Buku ini adalah terbitan Telaga Biru. Boleh didapati di mana-mana kedai buku.

Ia juga lengkap dengan panduan tajwid secara detail yang turut bagus untuk orang dewasa mengasah lagi ilmu tajwid yang ada. Buku mengaji ini mesra kanak-kanak kerana penuh warna-warni juga! Panduan tajwid ini tidak ada pada Muqaddam Nur al-Hayah.

Di antara kedua-dua buku mengaji ini saya dapati ia saling melengkapi dan terbaik yang saya pernah jumpa berbanding buku mengaji kaedah lain.

Namun begitu, saya tidak menidakkan kaedah mengaji yang lain kerana masing-masing punya kekuatan dan kekurangan yang tersendiri. Terpulang kepada ibubapa menilainya dan apakah cara paling berkesan ke atas anak kita sendiri. Ini kerana lain anak lain cara belajarnya dan berbeza gaya mengajarnya.

Dua buku mengaji ini saya highly recommended kerana punya kekuatan silibus yang jelas dan penting sebagai asas untuk mengajar anak kita mengaji di rumah.

Saya juga berharap agar Kementerian Pendidikan bahagian pendidikan al-Quran dapat mengubah buku kaedah Iqra kepada buku kaedah al-Matein ini. Ya, zaman berubah dan semua perkara juga perlu diubah demi kelangsungan anak-anak kita hari ini menjadi celik al-Quran.


5. Latih tubi melalui juzuk 'amma.

Setelah habis buku mengaji, boleh beralih kepada Muqaddam juzuk 'amma sebagai latih tubi lagi sebelum anak naik al Quran.



Kenapa perlu latih tubi membaca juzuk 'amma dahulu?

Kerana ianya surah yang pendek-pendek dan mudah dibaca dengan hukum tajwid yang mudah. Tidaklah anak kecil kita terkejut terus membaca surah yang panjang-panjang (lama nak habis) dan mungkin boleh menyebabkan anak mudah penat kerana tiada persediaan mental awal sebelum membaca surah yang panjang dan ayat yang panjang-panjang.

Latih tubi ini penting sebagai persediaan mental anak sebelum membaca al-Quran besar (bermula surah al-Baqarah) dengan hukum tajwid yang betul dan kesalahan yang mungkin lebih sedikit.

Di sini, saya menggalakkan ibubapa menggunakan Muqaddam Juzuk 'Amma per kata resm uthmani. Di dalamnya terdapat makna per kata berserta hukum tajwid juga. Selain membaca, anak-anak juga perlu didedahkan dengan tabiat membaca terjemahan surah / ayat supaya mereka lebih faham apa yang dibacanya seterusnya inilah yang akan memudahkan proses tadabbur al-Quran di masa mendatang.

Muqaddam ini terbitan Karya Bestari dan boleh didapati di mana-mana kedai buku. Berharga RM30.


6. Selamat naik al-Quran!

Selesai habis anak membaca Muqaddam Juzuk 'Amma, buatlah pulut kuning untuk anak dan hantarlah ke masjid. Raikanlah semangat dan usahanya suka mengaji dan semakin mahir mengaji.

Hadiahkanlah anak senaskhah al Quran yang besar sedikit tulisannya dan jelas terang. Gunakanlah Quran resm uthmani kerana tulisannya lebih kemas dan tersusun dengan disiplin tanda bacaan yang setiap satunya mempunyai makna.

Melalui resm uthmani, kita tak perlu ingat kesemua huruf yang terlibat dalam hukum tajwid tetapi kita boleh membacanya mengikut hukum tajwid yang betul hanya dengan melihat tanda bacaan (baris huruf, tanda mati & jenis tanwin).






Jika ingin mengetahui tanda-tanda bacaan resm uthmani, saya mempunyai nota lengkap mengenai resm uhmani yang saya dapat daripada ayah saya yang juga seorang guru al-Quran bersanad. Beliau mengajar kelas tahsinul quran di masjid dan ada mengeluarkan nota ini sendiri. Cuma, saya tak pasti bagaimana saya ingin kongsikan nota ini.

Untuk mempelajarinya, amatlah digalakkan kita belajar bersama seorang guru secara talaqqi. Ia tidak semudah mempelajarinya dengan membaca nota atau buku sahaja ataupun sekadar mengGoogle ilmu yang satu ini.

Semoga perkongsian ini dapat membantu puan dan ibubapa lain agar mampu mengajar anak mengaji bermula di rumah. Rumah adalah sekolah pertama anak-anak. Mulakanlah dengan kalamullah.
Sehingga mana-mana dalam langkah-langkah di atas yang puan rasakan ada kekangannya, maka dari situ bolehlah puan berusaha untuk mencarikan guru mengajinya samada datang ke rumah atau puan hantar anak mengaji ke rumah gurunya.

Semoga bermanfaat.


#tipsajaranakmengajidirumah
#daripetisoalansukamengaji

Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor