Rabu, 28 Disember 2016

Bagaimana mendidik anak istiqamah dalam solat?Part 2

Soalan :

"Anak saya berumur 7 tahun. Alhamdulillah sudah tahu rukun solat dan bacaan dlm solat cuma tahiyat akhir dan qunut dia tak lancar dan tak berapa ingat lagi. Yang plg sukar bila nak dia solat cukup 5 waktu ternyata sgt mencabar. dia bg alasan.. nt lambat nk gi kafa, penat. Yg selalu tertinggal zohor dan asar.. puan boleh bagi tips tak utk ayat nasihat atau motivasi yg berkesan utk saya mudah fahamkn anak supaya dia tak banyak beri alasan lagi dan akan solat tanpa perlu dipaksa-paksa.. saya pun bukanlah penuh sgt ilmu bab agama dan masih byk perlu dipelajari.. bimbang tersalah bagitahu anak nanti dia salah tafsir pula.

Jawapan :

Inilah yg saya maksudkan. Mengajar anak solat sebenarnya mudah. Semua ibubapa dan guru boleh mengajarkannya.

Tetapi untuk mendidiknya konsisten (istiqamah) itu bahagian yg amat sukar.

Mengajar untuk tahu solat dan mendidik untuk istiqamah dalam solat amat berbeza.

Antara cadangan yg saya suka kongsikan :

1. Bercerita


Semasa mengajar anak bab taharah subjek ibadah #sekolahagamaemak saya mulakan dengan bercerita mengenai air embun (termasuk dalam 7 air mutlak).

Dia mahu merasai sendiri air embun. Bermula itu dia mahu bangun solat subuh di awal waktu semasa cuti sekolah. Jika waktu sekolah mudah. Melalui pengalaman itu dia enjoy dengan air embun. Dan sentiasa kaitkan waktu subuh dengan air embun. Waktu solat lain tiada air embun. Hehe..

(Cerita + pengalaman)

Kemudian dari air embun saya bercerita mengenai syurga dan neraka.

Syurga = sejuk
Air embun = sejuk
Neraka = panas
Syaitan = panas

Saya masuk pula bab hasutan syaitan.

Inilah elemen utama yg tidak ada apabila kita mengajarkan anak selain dari ibadah. Kerana itu saya katakan mengajar anak beribadah (solat, mengaji) cabarannya "lain macam".

Silibus buku sekolah agama memang banyak membantu untuk saya bercerita. Sambil huraikan poin poin penting. (lihat gambar)

Antaranya solat sunat dan solat fardhu.

Anak bertanya solat dhuha itu termasuk solat fardhu ke?

Di sinilah perlunya menjelaskan kefahaman sebenar.

"Sebelum melakukan solat sunat kita wajib buat yg fardhu dulu. Solat dhuha adalah sunat. Jadi, kalau nak buat solat dhuha kenalah berusaha untuk solat 5 waktu dalam sehari dulu. Boleh? Buat yg wajib barulah yg sunat lebih bermakna. Ok?"

Minta persetujuannya dengan melihat pada keyakinannya menjawab.

"Baiklah. Abang akan cuba!" jawabnya.

"Baik! Kita cuba bersama sama ok..!"

+ Jangan biarkan dia merasakan dia akan berusaha seorang diri. Sentiasa nyatakan kita ada di sampingnya sama sama melawan hasutan syaitaoonirrajiim!

(Ya, hakikatnya kita harus akui yg hasutan syaitan itu akan sentiasa ada ke atas diri anak adam hingga hari kiamat. Jangan besar diri dengan mengatakan kita mampu melawannya. Ajar anak untuk tidak besar diri tapi sentiasa berta'awwuz memohon perlindungan dari Allah. Bangun pagi baca A'udzubillahi minassyaitoonirrajiim. Dan bacalah doa bangun tidur. Jika kita sedang mahu marah anak juga, berta'awwuzlah!)

Seterusnya, di masa senggang atau ketika anak sedang dalam mood yg baik berceritalah kenangan mengusik jiwa semasa kita di umurnya satu masa dolu.

Tengahari tadi ketika kami sedang makan bersama saya memulakan perbualan.

"Cuba abang tanya abah umur berapa abah mula solat cukup 5 waktu?"
Bersemangat anak mendengar crita abahnya.

Selepas itu giliran saya.

"Masa mak darjah 1 macam abang, tiap kali balik sekolah mak cepat cepat tukar bajj, makan lepastu terus solat zohor. Habis solat mak doa sambil menangis. Sebab kat sekolah mak tak ada kawan. Mak takut nak cakap. Tak ada siapa nak akawan dengan mak Tapi mak terus berdoa pada Allah. Mak tak tinggal pun solat 5 waktu. Esok esok esoknya mak makan sebelah tong sampah je waktu rehat sebab tak ada kawan. Esoknya lagi satu tiba tiba ada orang tegur mak nak kawan dengan makajak makan bawah pokok ru yg cantik! Ada 2 orang sekali yg nak kawan dengan mak. Baik kan Allah makbulkan permintaan kita bila kita sedih atau tak berdaya?

Mulut semua terlopong mendengar kenangan mengusik jiwa saya..

Bersambung lagi semasa emaknya ini di darjah 2.

(Panjang ceritanya. Saya simpulkan saja. Jika mahu tahu ceritanya bolehlah jemput saya untuk beri motivasi dalam kem solat cuti sekolah..hehehe...)

"Baik kan Allah lindungi kita di saat kita takut dan keseorangan? Yang penting kita jangan sesekali ikut cakap orang supaya tak boleh solat. Allah mesti makbulkan doa kita masa kita tengah sedih atau gembira, tengh takut atau berani. Allah lah jaga kita masa mak tak ada depan mata abang dan tiha."

Berkaca kaca matanya.

+ Berikan inspirasi dan motivasi melalui cerita kanak kanak kita yg sebenar. Walaupun sejarah kita satu masa dulu tidak berapa terinspirasi, olahnya melalui sisi pandang lain supaya ia sesuatu yg boleh diambil pengajaran daripadanya.

Ia juga menunjukkan yg kita pernah berada dalam situasi anak satu masa dulu. Kita semua pernah menjadi kanak kanak dan melalui fasa peralihan itu. Bagaimana rasanya. Empati.


2. Dalam apa jua situasi, kaitkan dengan solat.

"A ah bagus kartun ni tapi kalau abang solat dulu sebelum tengok kartun lagi bagus! Dapat pahala, Allah sayang, boleh masuk syurga."

"Bagus abng bangun awal pagi ni nak pergi sekolah. Tapi kalau solat dulu sebelum pergi sekolah lagi mudah abang nak faham apa cikgu ajar. Tak mengantuk. Boleh fokus dalam kelas sebab sel sel otak abang dah berfungsi."

Balik sekolah. Tanyakan kembali.

"Betulkan mak cakap kalau kita solat dulu sebelum peegi sekolah kita akan lagi senang faham apa cikgu ajar? Solat tak susah pun kan?"

"Sekejap je solat ni.. Kartun belum habis lagi abang dah habis solat. Tengok kartun lagi lama."

"Kalau nak main taman / tengok kartun / buat layang layang, jom kita solat dulu!"

+ Ajak anak solat bersama. Bila solat seorang diri memang dia lebih rasa berat.

+ Jika dapat solat bersama dengan anak sujud syukur. Katakan yg kita gembira dapat solat bersamanya kerana kebanyakan masa kita bersama anak yg kecil. Dapat luangkan masa bersamanya adalah perkara yg paling seronok. Doa bersama sama. Doakan secara kuat dan dia dengar doa kita. 

Adakala, minta dia pula berdoa dan kita mengaminkannya.


2. Belikan buku watak kartun + komik. Buku "Solat bersama Kak Ros" upin ipin sedikit sebanyak membantu juga kerana anak lelaki memang sukakan komik. Dia akan membacanya dulu. Dan kemudian baru dia solat buat praktikalnya. Lagipula fitrah anak anak lebih mudah terikut kartun kegemarannya. Mujur itu upin ipin. Jika spiderman? Haha..


3. Elakkan memberi ganjaran material setiap kali anak solat. Ini kerana solat adalah ibadah. Bukan seperti aktiviti fizikal yg lain.

Kurangkan kebergantungan kepada material apabila melakukan ibadah. Didiknya untuk melakukan sesuatu tanpa perlu melihat hasilnya atau mendapat rewardnya dengan segera.

Reward dalam beribadah di syurga. Tujuan kita adalah syurga. Berceritalah tentang syurga.


4. Marah

Cuba tanya mak kita. Tanyalah juga ibu ibu lain. Siapa yg tak pernah marah anak jika tak solat?
Tiada.

Marah itu menunjukkan kita normal. Marah itu bagus apabila melihat anak kita tidak mendirikan solat atau melakukan kemungkaran.

Saya mendengar seorang penceramah di radio ikim baru baru ini katanya, marah itu umpama anjing buruan. Jika kita tidak melatihnya dengan baik, kita takkan sampai tujuan.

Kita perlu mengawal marah. Tidak melampau.

Jika kita terpaksa merotan anak satu ketika nanti apabila umurnya sudah 10 tahun pun pastikan kita nerotannya dengan niat mahu dia ambil pengajaran bukan disebabkan kita marah! Beza.

Marah juga ada banyak pilihan dan jenis.

Anak yg belum sampai umur 10 tahun, berpada padalah memarahinya. Bukan tiada hari esok untuk dia menjadi lebih baik

+ Adapun style saya marah dengan mimik muka tanpa bercakap.

"Orang yg tak solat jangan berbual dengan mak hari ini!"

Senyap.
Sunyi.
Krik krik krik.

Masih tak jalan.

+ Buat ayat penyata sahaja. Jangan membebel.

"Bilik ni hanya untuk orang yg solat sahaja!"

Kejap menjadi kejap masih tak jalan. Hehe..

+ Piat telinga.

"Eh eh mak tengok telinga abang ni macam besarlah. Meh mak besarkan lagi sebelah biar dia sama besar!"

Dia ketawa bukan menangis..huhu.. Ini pun kejap jalan kejap masih tak jalan sebab ketawa tak berhenti.

+ Cakap dengan bahasa terbalik.

"Ok harini tak payah solat. Sampai bila bila pun tak payah solat. Tengok kartun je / main je sampai esok pagi. Tak payah tidur, tak payah mandi, tak payah makan. Duduk situ jangan bergerak tau. Mak bagi tengok tv sampai esok pagi. Jangan pegi mana mana. Lapar pun tak payah makan. Ngantuk pun tidur je situ. Tengok sampai mata merah mak lagi suka!"

Yang ini memang jalan! Dia tahu maknya marah. Hingga fahmi (3 tahun) itupun tahu.
"Mak yah la. Tup vi." terus dia bangun tutup tv. Dan barulah semuanya bangun bentang sejadah.


5. Berikan satu tempoh untuk anak sebati dan konsisten dalam solatnya.

Contohnya, 1 bulan ini saya cuba pastikan dia solat subuh dan maghrib sahaja. Waktu lain ajak juga tapi tak perlu marah sangat. Biar sebati 2 waktu ini dahulu.

Bulan berikutnya kita wajibkan tambah lagi 1 waktu solat. Hinggalah 5 bulan seterusnya untuk pastikan kesebatiannya.

"Baikkan Allah suruh kita solat 5 kali je sehari bukan 500 kali?" berceritalh dengan anak.

Sebaiknya untuk menjadi amalan yg bertukar menjadi sikap memerlukan 44 hari. Tapi paling kurang pun 21 hari bak kata Prof. Muhaya.

Berikan masa. Sabar. Fikir masa hadapan.



*********
Semua ibubapa pasti berbangga jika anaknya pandai solat atau pandai mengaji di awal usia.
Namun, bila kita memperkatakan bab solat, mengaji ia bukanlah satu pertandingan. Yang kebanyakan ibubapa menyamakan dengan kemahiran membaca seawal usia.

Solat dan mengaji bukan sekadar kemahiran. Ia jauh lebih penting dan bersifat futuristik. Suatu persediaan untuk masa hadapan yg kita akan dipersoalkan kemudiannya dan mendapat balasan kesan daripadanya.

Apabila kita mahu mendidik anak mengenai ibadah, cabarannya "lain macam". Lebih berbisa daripada biasa.

Kerana tujuan ibadah bukan untuk dunia.

Ibadah adalah suatu perkara yg subjektif. Kita tak boleh menjadikan anak kita seperti anak orang lain yg mencatatkan prestasi yg serba serbinya cepat dan pandai seawal usia. Itulah punca ibu ibu stres.

Ia wujud apabila anak anak mula diperbandingkan.

Namun saya mengerti kerisauan dalam hati para ibu. Bukan kerana membandingkan sangat. Cuma ianya kerisauan yg terkawal akibat semangat dan motivasi diri kita sendiri yg semakin pudar kerana kita mulai lelah dan letih.

Pengharapan yg terlalu tinggi juga menjadikan kita stres. Berharap apabila anak tahu solat terus saja anak boleh perfect 5 waktu solatnya.

Kita perlu telan hakikat bahawa anak saya dan anak puan sama sahaja adanya. Malah anak orang lain juga.

Bila sampai bab konsistensi dalam 5 waktu solat, semua anak anak punya masalah ini. Mahu istiqamah bukan perkara mudah. Kita yg tua ni pun ada masalah ini.

Inilah fitrah manusia.

+ Iman manusia itu ada naik turunnya. Iman malaikat sahaja yg tidak menurun.

Maka, berbahagialah! Kerana anak kita normal.
Ibadah = Iman.

Sungguh, solat itu berat bagi orang yg tidak khusyu'.
Khusyu' = fokus

Fokus bagi anak anak perlu diasah. Umur 7 tahun adalah zaman peralihan kanak kanak menjadi kanak kanak dewasa.

Belum mukallaf.

Kerana itu Islam membenarkan rotan jika tidak solat hanya bagi anak berumur 10 tahun ke atas. Bila sampai umur mukallafnya.

Dan merotan juga ada caranya. Bukan sewenang wenangnya memukul hingga bahagian bawah bahu diangkat tinggi. Cukup sekadar memberikan anak pengajaran. Bukan disebabkan marah.

Seperti kata seorang ustaz, sebelum anak mencecah 10 tahun itulah masa kita mengajaknya, mendidiknya serta menyeru seberapa banyak mungkin. Jangan tunggu 10 tahun baru nak seru baru nak rotan.

Ini satu satunya mindset yg perlu diperbetulkan.

Berikan masa kepada anak.

Iman itu bergantung kepada Hidayah dan Taufiq bimbingan dari Allah.

Bila tibanya?

Allah lebih tahu.

Jangan mengharap hasilnya sama dengan prestasi orang lain.

Apa yg perlu kita buat adalah berusaha dan teruskan usaha tanpa putus asa atau perlu bertanyakan bila masa iman mencukupi di dada anak kita. Tiada seorang pun tahu jawapannya.

Allah meberikan hidayah kepada sesiapa saja yg dikehendaki Nya. DIA juga boleh menarik Hidayah dari sesiapa saja yg dikehendaki Nya.

Akhirnya, tujuan kita mendidik anak anak adalah untuk menarik Hidayah dan bimbingan Allah ke dalam rumahtangga kita. Inilah yg saya perbincangkan dalam Usrah Offline dan Usrah Online saya bersama ibu ibu lain.

Teruskan berdoa agar kita dan zuriat keturunan kita ditetapkan iman. Tergolong dalam orang yg mendirikan solat serta mencintai al Quran. Allahumma ameen.

Apabila adanya iman dan keyakinan, tertegaklah solat dalam diri, hiduplah agama. Keberkatan mengiringinya.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...