رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Jumaat, 23 Disember 2016

# anak # falsafah

Bagaimana mahu bermula mengajar anak mengaji?







Dari peti soalan :

Salam kak khadijah..sy sbnarnye kagum dgn semangat akk n sy mohon Allah bg sy semangat mcm akk..sy berminat sgt nak htr ank sy pegi kelas mngaji dg akk tapi dia baru 10bulan.. Insya Allah bila dia da msuk 2thun sy akn htr mngaji dgn akk..akk boleh bagi sy tips utk ajarkan bayi hruf2 hijaiyyah..sy guna video dan flash card tapi kdg2 bru tunjuk 6 hruf dia dah mrangkak ke tempat lain..mgkin sy ekstrem sgt nk dia knal smua hruf.. Melalui pngalaman akk mcm mana akk ajar anak akk?


Jawapan :

Maafkan saya puan yg bertanya kerana ambil masa dekat sebulan juga untuk menjawab.

Saya pun bukanlah yg terbaik. Anak puan boleh dihantar kepada sesiapa saja yg boleh mengajar mengaji. Tidak semestinya saya. Tapi umur 2 tahun itu pun masih kecil untuk dihantar ke rumah orang untuk mengaji. Puan mampu dan boleh mengajar sendiri di rumah dulu.




Secara umumnya, umur 10 bulan memang masa anak tidak boleh duduk diam. Ada yg baru nak dapat kaki. Dari merangkak mahu berdiri. Dari berdiri mahu berjalan. Tidak mahu dipegang.

Baru nak dapat mulut. Boleh menyebut hujung perkataan Ma Ba Ka..

Semua objek / mainan hanya kejap-kejap dimainnya. Jadi, bila puan menunjukkannya flashkad, sekejap saja dilihatnya dan kemudian tinggalkan ibunya terkebil sorang diri.. Hihi..

Itu normal puan. Alhamdulillah.

Enjoy masa puan dan anak kecil pada usia begini! Jangan terlalu tertekan dan menekan.

Sebenarnya, perkembangan yg saya katakan di atas itu adalah dia sedang belajar. Tubuhnya masih kecil, jangan dibebani dengan terlalu banyak perkara yg mahu kita ajarkan.

Proses merangkak ke berdiri adalah saat genting bagi seorang anak belajar dengan sendiri dan bereksperimentasi dengan diri. Kita ajar anak satu persatu dulu mengikut fitrah semulajadinya.

Bermula sekitar kelahirannya lagi anak pasti akan belajar sesuatu mengikut perkembangan usia dan  mindanya. Kita Nampak saja dia tak belajar apa-apa sebab fikiran kita sudahterperangkap dengan perkataan "belajar" itu sendiri mestilah sesuatu yg melibatkan buku, flashkad, poster, video dan alat bantu mengajar yg lain, hakikatnya, anak kecil ini belajar mengikut caranya sendiri secara alami.

Boleh baca di sini bagaimana kita boleh mengajar dan menyokong anak untuk terus belajar mengikut fitrahnya. Baca ini.

Juga pada usia ini perlu kita pantau dan dorong anak untuk melalui proses perkembangan lain supaya ia seimbang. Kemahiran sosial, bantu-diri, motor halus, motor kasar dan bahasa / komunikasi. Ini semua cara dia belajar.

Jika salah satu bidang ini tidak dikembangkan dengan baik, kasihan dia kelak.

Haaa, banyakkan subjek yg anak nak kena cover? Hehe.. Baca di sini.

Bukan tak boleh puan nak kenalkan anak dengan huruf hijaiyyah pada masa ini, tapi saya takut flashkad itu akan koyak digigitnya saja atau direnyukkan saja jika puan terus memaksa..Hihi..

Jika puan beli flashkad yg mahal seperti Kad Imbas Khadijah, pastikan puan laminate dulu ya. (Eh, jangan salah sangka. KIK saya sudah lama habis stok. Tak dijual lagi hehe..)

Puan bermain-mainlah dengan anak mengikut cara yg anak suka. Tak semestinya menggunakan flashkad.

Perkongsian saya pada tahun 2012 ini mungkin dapat membantu puan. Step-by-step awal saya memperkenalkan huruf hijaiyyah pada anak. Baca di sini.


Oleh kerana puan bertanya secara spesifik mengenai anak-anak saya, ia bermula agak lambat sikit untuk anak pertama saya. Fathi 4 tahun ketika itu dan Fatihah 3 tahun. Boleh baca detail dalam link blog saya di atas. Semasa itu saya belum menerbitkan lagi Kad Imbas Khadijah. Hanya gunakan apa yg ada.

Dalam proses itulah apabila saya mendapati kesukaran untuk mengajar anak huruf tunggal kerana anak cepat bosan walaupun dengan flashkad, barulah saya buat flashkad sendiri yg ada gambar dan cerita yg menarik di sebalik huruf tunggal. Bila kita suruh anak berimaginasi, barulah lebih cepat dia dapat mengingat huruf.

Untuk anak ke 3 saya, Fahmi saja saya mula awal mengikut kehendak dia sendiri. Saya bukan jenis beria sangat menyuruh anak belajar. Hehe.. Biarkan dia banyak bermain, berinteraksi dengan abang dan kakaknya.

Saya tak berapa ingat sebenarnya. Selepas tengok semula blog rupanya saya perkenalkan hijaiyyah kepada Fahmi secara santai dan bermain-main ketika berusia 10 bulan semasa berbaring dan golek-golek atas katil.

BUKAN semasa dia sedang mahu bermain.

Lepas mandi, lepas susu, kadangkala dia tidak mahu tidur, barulah saya flash beberapa kad saja (2-3 kad SAHAJA bukan setiap hari) di hadapan matanya sambal bercerita.

Dia tertarik sebab kita bercerita tentang pokok, ikan, itik, kapal, mata, mulut dan lain-lain. Kerana itu dia boleh fokus kepada apa yg saya tunjukkan kepadanya. Bila dia mula memandang tempat lain, hentikan. Simpan saja flashkad itu. Tak perlu marah atau memaksa dia fokus semula. Baca di sini.


Sehinggalah dia berumur 1.5 tahun. Itupun kakaknya yg rajin pada satu hari mengeluarkan semula KIK untuk dia mahu bermain cari-cari kad seperti satu ketika dahulu. Kemudian, dia menunjukkan kepada adiknya ala-ala ustazah comel. Hihi..

Dan sejak itu, kakaknya dan Fahmi rajin membaca poster yg saya tampalkan di dinding ruang tamu. Tempat dia bermain. Kakak jadi cikgu, Fahmi jadi anak murid yg taat duduk mengikut. Saya? Duduk makan di tepi sambal gelak-gelak..Haha..

Banyak masa dia merenung poster KIK kerana ada imej yg ceria dan menarik. Itu saja setiap hari.

Hanya apabila Fahmi genap 2 tahun barulah rutin harian selepas maghrib, dia akan mengambil sendiri KIK untuk bermain. Ya, bermain sambil belajar.

Saya banyak kongsikan step awal itu di dalam Closed Group Usrah Suka Mengaji. Bukan mahu tunjuk anak. Tujuan saya hanya nak tunjukkan bagaimana ibubapa boleh bermain dengan anak anak sambil belajar melalui flashkad kerana anak zaman sekarang memang perlu dipelbagaikan caraguna flashkad bukan statik seperti dahulu.

(Satu hari nanti insha Allah saya bukukan saja semua langkah awal tersebut bagi memudahkan ibubapa lain mengajar anak dari rumah juga. Insha Allah. Doakan saya diberi kekuatan dan peluang.)

Kemudian, saya lihat Fahmi semakin seronok belajar mengaji. Hingga pada satu hari dia mengambil sendiri buku Iqra. Tak silap saya semasa dia 2.5 tahun. Saya tak ajar betul-betul masa tu. Bagi dia main-main baca.

Hingga saya lihat dia sangat berhati-hati megendalikan buku Iqra itu dan dia juga setiap hari tak kira saya nak tidur ke nak masuk bilik air dia akan paksa saya mengajarnya baca Iqra.. Allah..

Jika tak ikut kemahuannya, habis satu rumah bergegar kerana dia menangis satu taman boleh dengar! Dari situ dia konsisten setiap hari mengaji tanpa saya suruh. Dia memang akan ambil sendiri. Dia juga bermain dan menonton kartun seperti biasa kemudiannya. Hanya sesuka hatinya mahu mengaji ikut kehendaknya. Menggagau jugalah saya sebab timing asyik tak kena. Sabor sajalah..

Genap 3 tahun (sekarang), dia terus boleh membaca Iqra 1. Tapi itupun berulang-ulang. Saya mahu naikkan mukasurat sebelah kerana dia sudah kenal huruf dan boleh baca dengan betul tapi dia mahu membaca pada mukasurat yg sama.. Hehehe.. Saya ikut saja. Tak perlu bergaduh dengan anak semata-mata kita mahu dia cepat habis membaca Iqra atau cepat naik Quran.

Itu anak-anak saya punya gaya. Lain anak. lain kecenderungan dan keupayaannya. Ini hanyalah sebagai panduan.

Ada juga anak orang lain lebih hebat. 3 tahun sudah baca al-Quran. Boleh bertanya kepada ibu lain bagaimana mereka mengajar anak. Saya bukan yg terbaik.

Namun, ingin saya ingatkan bila anak bawah usia matang (bawah 5 tahun) jika sudah mampu membaca al Quran besar, pastikan dia tahu adab-adab membacanya. Tahu cara memegangnya dengan wudhuk. Dan bacaannya paling kurang pun basic seperti hukum Mad Asli WAJIB dia baca dengan betul. Bukan hentam baca panjang pendek ke laut.

Kerana apa?

Membaca al-Quran mempunyai tajwid dan peraturan yg wajib kita patuhi. Tak sama kita mengajarnya membaca BM atau BI.

Jika anak bawah usia matang ini masih belum mahir panjang pendeknya dan belum kenal tanda tajwidnya adalah lebih baik mengulang semula membaca muqaddam resm uthmani atau mengulangi bacaan Iqra' 3 & 4 kerana itulah latihan bacaan panjang pendek dibuat secara latih tubi.

 Muqaddam Nur al hayah sangat sesuai bagi mereka yg mahu mengasah lagi panjang pendek bacaan anak sebelum dia mampu berdisiplin membaca al Quran besar. malah muqaddam ini berwarna warni lagi! Sesuai untuk anak-anak kecil kita.

Pada saya, apa yg penting adalah BUKAN soal cepat belajar dan cepat membaca.

Jauh lebih penting adalah menanamkan dalam diri anak suka membaca. Suka mengaji. Kerana cepat mengaji tak semestinya suka mengaji tapi anak yg suka mengaji memang boleh cepat mengaji.

Itulah yg saya nampak pada diri Fahmi sekarang. Walaupun dia demam panas, dia akan menunggu saya habis solat maghrib dengan memeluk Iqra' nya dan bersandar di tepi katil tak bermaya.

Selesai solat, saya katakana tak perlu mengaji boleh terus tidur sebab Fahmi demam harini. Tapi dia tak mahu. Dia tetap mahu mengaji. Layankan sajalah. Alhamdulillah, kini dia menjadi ketua mengaji menyuruh abangnya mengaji.

Adapun dengan anak perempuan, Fatihah juga tiada masalah kerana anak perempuan memang rajin belajar. Mudah untuk didorong. hanya cabaran lebih besar pada anak lelaki. Hehe..

Alhamdulillahi 'ala kulli haal.

Puan boleh adjust mana yg boleh. Tidak perlu sama seperti saya.

Asalkan basic linenya puan perlu pelbagaikan input yg mahu kita berikan kepada anak kecil kita mengikut kesukaan dan keselesaannya bukan ikut kesukaan dan keselesaan puan.

Jangan sesekali memaksa atau dipaksa. Sebelum umurnya 1.5 tahun hingga 2 tahun mungkin tiada respon yg kita terima tapi usahakan saja. Minda di bawah sedarnya masih berfungsi. Kita takkan tahu bila dia akan menyimpan memori.

Apa yg penting adalah usaha. Biar kecil dan sedikit-sedikit dahulu. Jangan terus mengharapkan hasilnya.

Usaha, usaha dan usaha.

Allah jualah yg memberi Hidayah kerana apa jua hasil yg kita harapkan berlaku ke atas anak kita adalah merupakan bimbingan hati daripada Allah. Tanpa bimbingan Allah, ajarlah macamana sekalipun, anak susah mahu cepat tangkap.

Ia sebenarnya mengenai sejauh mana keikhlasan ibubapanya mengajar anak mereka. Jika hasil yg dinanti dan diharapkan, maka mereka akan boleh jadi kecewa. Berlainan jika ibubapa hanya berusaha dan berusaha, Allah lah sebaik-baik Pemberi pertolongan dan Pemberi Hidayah serta kecerdikan kepada anak itu.

Wallahu a'lam.


Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor