رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Selasa, 12 April 2016

# anak # falsafah

Bebelan & akaun emosi




Jika kita biasa mendengar kata-kata daripada Prof. Muhaya, beliau sentiasa mengungkapkan perkataan ini.

“Sebelum menegur anak, pastikan akaun emosi anak penuh....”

Saya juga pernah mendengar seorang Pakar Emosi Kanak-kanak pernah berkata,

“Kita harus pastikan tangki emosi anak berada di tahap yang cukup setiap hari bagi membentuk tingkahlaku yang positif ke atas diri anak-anak.”

Lalu, apabila membaca secebis keratan akhbar bertajuk “Ibu kuat berleter, anak lebih berjaya” saya tidak terus memahami kenyataan ini secara satu hala.


******************************

Dahulu, semasa saya kecil saya masih ingat emak saya seorang yang kuat membebel. Namun, pada satu hari semasa saya meningkat remaja, secara tiba-tiba emak menjadi sangat kurang bercakap tetapi hanya tindakannya saja membuatkan saya dan adik-beradik lain “panas” dan takut walaupun emak tidak marah-marah.

Contohnya, semasa anak dara dahulu, saya gemar bangun pagi lambat apabila hari cuti. Biasanya, emak akan membebel dengan mengetuk-ngetuk pintu bilik. Namun, pada satu hari tiba-tiba rumah sunyi sepi tanpa bebelan emak. Saya sudah terjaga tapi penuh kehairanan. Tiba-tiba terdengar bunyi periuk berlaga di dapur.

“Klentang klentung klentang klentung.....”
Bising sekali!



Namun, tiada suara kedengaran.

Bunyi vakum pula dan kerusi meja yang diangkat dan dihempas kuat.
Bising lagi!

Masih, tiada suara kedengaran.

Dalam masa penuh kehairanan itu, saya terasa seperti terpaksa bangun juga kerana bunyi periuk dan pinggan di dapur yang menyakitkan telinga seperti sengaja dilaga-lagakan. Hati “panas” juga.

Bukan panas hendak marah tapi panas “terasa” a..k.a sentap.

Sejak itu, apa jua tindakan kami emak tidak akan cakap banyak. Faham-faham sendiri. Melalui bunyi-bunyian “lagaan pinggan mangkuk” yang terhasil di dapur! Haha..

Apabila saya sudah mempunyai anak ini barulah emak berkongsi cerita.

Emak berkata begini,

“Pergi belajar ilmu keibubapaan! Masuk kelas ke kursus pasal keibubapaan. Emak dulu lepas ikut kursus Dr. Fadhilah Kamsah baru mak berubah taknak membebel lagi pada kamu semua. Banyak benda kita kena belajar walaupun kita ada Psikologi Pendidikan takkan sama dengan ilmu keibubapaan!”

Hehehe... Barulah saya tahu punca komunikasi dengan emak lebih berkesan semasa kami adik-beradik menjadi remaja satu masa dulu.


***************************************************

Bebelan mungkin sangat berkesan kepada kita generasi Y satu ketika dahulu semasa tiada pengaruh gajet dan media sosial di dalam rumah. Ibu kita adalah segalanya. Di dalam dan di luar.

Ibu kita adalah tempat kita meluahkan perasaan dan update apa jua status yang kita lakukan. Jika tidak beritahu pun, ibu kita boleh tahu dengan sendiri. Ibu kita juga menjadi tempat untuk kita bergosip dan bertanya sesuatu yang kita tak tahu.

Maka, selepas itu walau setiap hari kita mendengar bebelan ibu kita itu pun kita masih boleh menerimanya kerana ibulah yang paling mengambil tahu kegiatan kita dan apa yang kita rasa setiap masa.

Tak kisahlah membebel 24 jam pun sanggup dengar kerana di akhir hari nanti ibulah yang mendengar semuanya cerita dan bebelan kita mengenai sekolah, pelajaran dan rakan-rakan,

Namun, apabila ia diadaptasi yang serupa kepada Gen-Z sekarang, saya dapat melihat kesan-akibat yang ketara.

Ada banyak kes di depan mata, anak remaja perempuan yang kerap melarikan diri dari rumah tidak mahu pulang ke rumah hanya kerana “balik rumah emak asyik membebel”.

Itu yang berani. Mampu lari dari rumah disebabkan jaringan sosial yang meluas di internet walaupun hanya melalui telefon!

Yang kurang jaringan sosialnya pula, terjumpa Cik Jah ajar mengaji ni pada Cik Jahnya inilah diluahkan segala macam masalah.

“Saya taknak balik rumah. Nak usrah sampai esok pagi! Balik rumah pun kalau tak kena marah, kena membebel dengan mak. Saya tak tahu nak buat apa kat rumah.”

Malah, kelompok Gen-Z hari ini berkumpul di dunia Viners yang banyak mengajuk kembali percakapan dan bebelan kita orangtuanya termasuk para guru. ..."My mom is always be like this..."

Inilah gaya hidup remaja hari ini yang didedahkan sendiri oleh “The youngest viner in JB” yang terbaharu beberapa bulan sebelum ini kepada saya. Ia adalah tempat anak remaja berkumpul dari sekolah rendah hingga yang berumur 25 tahun sahaja.

Remaja sekarang sudah tidak aktif bermain FB lagi. FB sudah ketinggalan zaman bagi remaja.
Dalam masa yang sama, saya tidak menafikan ada juga yang berjaya bertahan dengan bebelan ibunya di rumah.

“Sabor jelah. Nak buat macamana. Itukan mak kita.”

Tiada rungutan kedengaran. Tiada cakap belakang. Tidak mengajuk ibunya. Dan masih mampu bertahan tidak lari rumah.
.
.
.

Apakah yang membezakan sebab-akibat yang disebutkan tadi ke atas diri anak-anak khususnya remaja pada zaman ini, apa lagi bagi Generasi Alpha yang kita lahirkan dan sedang besarkan sekarang?

Akaun emosi.

Tangki emosi.

Takat emosi.

Emosi adalah keperluan dalaman. Makanan rohani. Sesuatu yang kita tidak boleh nampak, tidak boleh dibeli kerana ia bukan bersifat material tetapi hanya boleh dirasa. Rasainya jauh dalam sudut hati.

Dunia hari ini menjadi semakin sempit walau hakikatnya dunia sama saja saiznya dari zaman dahulu. Keperluan material anak-anak dipenuhi. Namun, apabila nilai dalam kehidupan itu tidak diisi, ia membentuk lebih ramai lagi Viners. Atau gejala sosial yang lain.

Kerana itu ilmu sangat penting bagi setiap kesan-akibat bagi satu tindakan yang sama.

Jika anak yang akaun emosinya tinggi, marahlah, membebellah jika si ibu selesa berbuat demikian, ia tidak menjejaskan apa-apa pada dirinya.

Kerana dia tahu, ibunya marah dan mebebel bersebab. Pada waktu kebiasaan, ibunya menjadi sahabat baiknya yang memahami isi hatinya, luar dalam, tidak mementingkan perkara lain dan percaya ibunya tidak akan marah/membebel tanpa bersebab.

Jika anak yang mempunyai akaun emosi yang rendah, maka bersiap sedialah untuk menerima sebab-akibat yang negatif pada satu hari nanti.

Kerana kita tidak cuba memahami diri anak dan terus-terusan menghukum mereka dengan bebelan serta kemarahan demi kemarahan yang tidak berpenghujungnya.

Jangankan anak, tanyakan perkara yang sama kepada diri kita sendiri apakah maknanya duduk di rumah jika setiap hari hanya mendengar bebelan tanpa sesuatu yang membahagiakan berlaku dalam rumah sendiri?

Saya perhatikan ada perbezaan besar di antara anak yang punya akaun emosi yang tinggi dan yang rendah.

Anak yang punya akaun emosi tinggi, apabila dipuji, dia akan jadi biasa-biasa saja. Seperti tiada apa-apa yang baharu.

Berbeza responnya apaila saya memuji sebahagian anak mengaji yang lain. Ada yang menjadi sangat over-excited walau hanya dengan cop gambar bintang sahaja! Sepertinya itulah pertama kali dalam hidupnya dia dipuji atas usahanya yang baik.

Allahu akbar.

Sayu hati ini apabila teringatkan situasi yang pernah berlaku ini.

Antara perkara yang boleh menambahkan akaun emosi anak-anak :

+ Puji dan hargai usahanya walaupun kecil

+ Buat aktiviti bersama-sama (tidak semua aktiviti harus masuk report dalam media sosial)

+ Sentiasa mengambilkira pandangan dan pendapat anak walaupun anak masih kecil

+ Membuat peraturan di rumah melalui perbincangan (mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak, bukan hanya menguntungkan sebelah pihak saja)

+ Pastikan setiap hari kita dapat memeluk anak kita walaupun sudah besar panjang. Peluk dan peganglah tangannya sambil berbual-bual. Pandang tepat ke mata anak apabila bercakap. Bukan melihat fon.

+ Tidak terus memegang fon / gajet semasa anak sedang beremosi negatif / tantrum

+ Tutup semua gajet ketika makan, sedang berada di taman permainan di luar dan hendak tidur (masa yang eksklusif untuk anak)

+ Berhenti mengambil gambar dan share gambar di media sosial ketika emosi anak sedang tidak baik.


Ini adalah salah satu penghormatan terhadap privacy nya .

Adakah ibu-ibu suka gambar ibu yang sedang marah atau bad mood diambil oleh anak dan di up menjadi status anak-anak dan diperkatakan di kalangan rakan-rakannya pula?

Hiduplah dengan kehidupan yang sebenar. Bukan hidup di media sosial. Bentuklah kehidupan yang sebenar kepada anak-anak kita.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian.

Satu masa dahulu, semasa kita kecil/remaja, adakalanya kita mengamuk / tantrum tidak tentu fasal.

Itu hanyalah hari bad mood kita. Ingat semula, apa yang ibu kita lakukan ketika hari bad mood kita?

Adakah ibu kita mengambil gambar kita dan berkongsi dengan rakan-rakan mayanya yang lain?

Atau adakah ibu kita terus memegang fon dan memperkatakan tentang kita di dalam grup WhatsAppnya lalu mengabaikan kita hendak sambung melalak, terbaring atau terlentang sekalipun?

Bagaimana kita jika satu masa dulu ibu kita sudah sibuk ber WhatsApp dan ber FB setiap hari hanya memperkatakan tentang kita? Apalagi status itu bercerita tentang kenakalan dan keaiban kita?

Saya tidak mempromosikan yang gajet ini hanyalah membawa keburukan dan bencana ke dalam sistem kekeluargaan hari ini. Tetapi, jauh lebih penting kesedaran kita akan hal ini supaya gaya hidup sebegini harus DIKAWAL dan DISEIMBANGKAN sebaiknya.

Kita sibuk mempromosikan pemakanan sunnah, minuman sunnah, ubat sunnah, pakaian sunnah dan semuanya yang bersifat alami untuk kebaikan anak-anak sejak kecil. Namun, tanpa kita sedar mengapa gaya hidup kita masih terikut-ikut kepada gaya hidup Barat?

Jika perlukan bantuan, bangunlah malam hari dan berOnline terus dengan Allah. Allah tidak memerlukan perantara apalagi media sosial yang namanya ...... Apa saja............

Kembali kepada fitrah tanpa gajet. Banyakkan masa bersama anak dengan mengehad waktu memegang gajet di tangan.

Kelak, apabila dunia menuju kiamat pun akan ada hari yang satu dunia tidak dapat ONLINE. Ketika itu, apa yang kita boleh lakukan?

Saya percaya emosi dapat dibentuk hanya melalui hati dan komunikasi yang telus. Ia tidak memerlukan perantara. Kerana yang mengikat antara keduanya adalah namanya Hidayah dan Taufiq Allah Ta’ala.

Sepertimana ibu-ibu kita pernah lakukan satu masa dulu. Kebergantungannya tinggi ke hadrat Allah bukan gajet. Tahajjud malam tidak pernah ditinggalkannya. Bangun paginya terus dibacanya al-Quran dahulu bukan membuka Whats App / FB.

Apabila gajet/media sosial tiada di tangan, lebih banyak masa berdua-duaan dengan ibu sendiri, banyak bercerita dari hati ke hati, itulah saat membahagiakan anak-anak.

Apabila saat bahagia lebih banyak hadir dalam hidupnya, marahlah, membebellah hatta gunakan rotan sekalipun anak-anak masih boleh memeluk kita semula keesokan paginya.

Apabila ibu kita lebih pentingkan gajet/media sosial di tangan (tak pernah berenggang dengan fon), masa bersama anak sudah menjadi berkurangan. Cakapnya hanya di mulut. Bebelannya tidak masuk ke hati kerana mata sudah tidak bertemu mata.

Pada mereka, telefon/tab/ipad ibu lebih penting dari anak di hadapan mata. Maka, apabila tiba-tiba si ibu membebel, anak akan berfikir........

“Baik aku jadi telefon / tab / ipad mama. Mama tak pernah marah/bebel pada fon dia...”
.
.
.
.
.
.
.

*Janganlah sentap mak*

Saya juga sedang berusaha untuk mengawal diri dan menyeimbangkan masa yang ada.

Moga kita sama-sama diberi kekuatan menghadapi cabaran membesarkan anak di akhir zaman ini, Insha Allah. Allah jualah sebaik-baik pelindung. Teruskan berdoa ibu-ibu sekalian.

Sentiasa fokus yang positif. Akan lahirlah segala yang positif! Insha Allah.


Gambar : Model 1 & 2 Bicara Santai "Didik Anak 0-7 tahun" yang dapat membentuk emosi seorang anak boleh diusahakan sejak kecil.



Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor