Selasa, 6 Oktober 2015

Bagaimana untuk mengajar anak kecil mengaji tanpa bantuan suami?


Assalamualaikum puan khadijah..
Sy dh lama duk baca post puan kt fb..hari ni sy tergerak nk msg puan..

Sy nk tnya pendapat puan..anak sy yg sulung umur 3 tahun,kedua 1tahun 7bulan n yg ketiga 6 bulan..agak rapat ank2 sy ni..kdg2 buat sy penat melayan diorg smpaikn xsempat nk ajar ank2 iqra'..sy full housewife tp berjauhan dgn suami..suami kerja di.kawasan pendalaman dan balik hari mnggu n time cuti sekolah je


Hmm..sy nk sgt ajar ank..tp ank sulung sy dia suka meragam..xsmpai semint buka iqra dh xnk duduk diam..sy perlukan pendapat puan..mcm mn caranya sy nk ajar ank sy secara konsisten..perlukah sy buat jadual ?
Sy harap puan sudi tunjuk ajar sy yg kekurangan ilmu ini..t.kasih puan


Wa 'Alaikumussalam puan yg gigih.

Saya akui PJJ memang bukan mudah. Apalagi punya anak rapat lagi tidak mudah. Saya pernah membaca tulisan Ustaz Hasrizal satu masa dulu, katanya, usahakanlah secepat mungkin untuk TIDAK lagi berPJJ. Kerana ia punya impak yg besar ke atas rumahtangga juga anak-anak di kemudian hari. Usahakanlah sebaik mungkin. Moga segala urusan puan dipermudahkan Allah.


Mengurus anak-anak rapat seramai 3 orang juga saya memahaminya.

Semasa anak sulong saya berumur 4 tahun, anak kedua saya berumur 3 tahun dan saya baru mendapat anak ketiga. Itu memang fasa mereka sedang sangat aktif, lincah, lasak dan urat saraf semua sedang berhubung hehe.. Apalagi kita mengurus anak baru lahir seorang diri.

Alangkah saya suami di sisi ini juga adakalanya tolak-menolak siapa mahu membersihkan anak pabila anak membuat 'poo-poo' di saat masing-masing sedang teramat kelaparan dan baru mengunyah suapan pertama dalam mulut..
(Oh, saya sangat kagum dengan ketahanan diri puan selama ini. Syabas puan dan teruskan bertahan selagi mampu).

Apa yg sering berlaku kepada puan selalu saja berlaku kepada saya. Ya, anak 3. Semasa anak 1 & 2 keadaan masih boleh dikawal lagi. Masuk 3, semacam haru biru pula.. Haha.. Puan perlukan sedikit masa lagi untuk mendapat rentaknya memandangkan yg kecil baru 6 bulan. Jangan risau. Beri masa untuk diri puan. Jangan tertekan melihat anak orang lain dengan keupayaan ibunya masing-masing yg seperti superwoman. Hakikatnya, puan sudah menjadi superwoman! ;)


Apa yg berlaku kepada saya, selepas solat maghrib, adakalanya seorang mengadu kelaparan sambil menarik-narik tangan ajak ke dapur atau kadangkala tergolek bergelimpangan atas lantai menahan lapar (seperti sudah 100 tahun tak makan), seorang sudah siap mahu mengaji memakai tudung juga menarik-narik tangan minta mengajarnya mengaji, dan seorang lagi merengek-rengek mahu minum air di dapur juga mengikut abangnya.

Adakalanya pula dua daripadanya merajuk dan bergaduh mahu mengaji dulu dan seorang pula sedang 'poo-poo' dengan jayanya! (Masa itulah dia nak membuang)..

Ada masanya, ketiga-tiga berpakat bermain dan mengajak kita pula bermain sama dan sepakat menarik telekung dan sejadah kita.

Dalam masa yg sama kita juga sudah kelaparan. Lapar sebegitu akan mencetuskan perasaan marah dengan lebih cepat apalagi di kala maghrib.

Banyak faktor yg boleh menyebabkan kita hilang kawal seorang diri bersama anak-anak kecil di rumah. Lain ceritanya apabila anak yg besar sudah menjangkau umur 5-6 tahun. Mereka sudah boleh diharap SEDIKIT berbanding umur bawah lagi. Tapi, itupun masih ada perangainya tertentu.


Kata kuncinya ada pada anak sulong. Apabila puan dapat tackle anak sulong, secara automatik, yg lagi dua akan mengikut dengan mudahnya. Bagi anak-anak homeschool, pengaruh rakan sebaya yg paling kuat adalah si sulong.




Namun begitu, ada satu KELEBIHAN yg kita ada mempunyai anak-anak rapat ini. Boleh mengajarnya serentak kerana mempunyai kecenderungan yg sama. Sama seperti anak kembar! Saling menyokong antara satu sama lain selain saling bergaduh antara mereka. Hihihi..



1. Untuk umur 2,3,4 tahun begini satu-satunya cara mereka belajar adalah melalui bermain. Jangan guna perkataan "belajar".

"Mari kita belajar mengaji anak-anak!"

Tukarkan kepada...

"Jom kita main nak?"

Mereka akan segera menjawab, "Nak nak nak!" Dan seorang lagi akan cakap "Yea yea main!" Dan seorang lagi hanya meleleh air liurnya tersenyum kerana mahu tumbuh gigi. Hihihi..


Ketika itu, gunakan flashcard hijaiyyah yg mempunyai gambar. Bercerita melalui gambar akan ciri-ciri hurufnya. Berikan mereka sedikit imaginasi sepertimana mereka menonton kartun kegemarannya.


Mereka akan duduk diam mendengar cerita kita dan disambung pula dengan cerita imaginasi mereka.

Di lain masa pula tukar strategi permainan.


"Harini jom kita main cari-cari huruf. Siapa dapat dulu dia menang!"

Mereka akan bersemangat! Sepahkan flashcard di atas lantai.

"Cuba cari mana satu huruf Alif yg tegak macam pokok?"

Mereka akan berusaha mencari gambar pokok (bagi umur 2 tahun ke bawah) kerana ia lebih mudah "tangkap". Dan seterusnya hingga habis huruf.


Di hari lain, "Harini kita main conteng-conteng nak?"

Buatkan dot dot di atas kertas dan minta mereka menyurihnya mengikut dot dot tersebut sambil menyebutkan hurufnya. Lebih menyeronokkan mereka menulis di whiteboard kerana ia mempunyai keluasan yg besar.


Boleh juga menyuruhnya melukis di whiteboard mengikut gambar yg sama seperti huruf tersebut.

Di masa lain walaupun dalam bilik air, ambil baldi besar berisi air. Pimpin tangan anak dan lakarkan huruf huruf hijaiyyah di atas air.. Mereka akan terpesonaaa...


Pelbagai cara pembelajaran melalui bermain itu boleh berlangsung dengan jayanya bagi umur anak 3 tahun ke bawah ini.


Tidak penting perkataan belajar untuk mereka. Tetapi perkataan bermain amat relevan dalam hidup awal mereka.

Sampai satu peringkat mereka akan tahu sendiri belajar itu belajar, dan bermain itu bermain. Jangan risau.

Boleh rujuk catatan saya semasa mula memperkenalkan huruf hijaiyyah kepada anak-anak semasa mereka berumur lebih kurang sebaya dengan anak puan. Inilah langkah pertama saya "menawan" hati mereka. Rujuk  http://khadijahgani.blogspot.my/2013/11/mendorong-anak-cilik-mengaji-2.html

Apabila sudah mengenal huruf, saya bermain teka huruf seperti "isi kotak kosong" huruf yg hilang di whiteboard.




Boleh juga bermain teka huruf seperti banyak yg saya kongsikan di dalam grup sebelum ini. Saya banyak kongsikan cara lain bagi membentuk awal disiplin buku dan cara bermain (baca : belajar) bersama anak umur 2 tahun di Grup FB Usrah Suka Mengaji ( https://www.facebook.com/groups/sukamengaji/ )

Selain itu, perdengarkan bacaan al Quran setiap kali masuk ke kereta. Di sepanjang perjalanan apabila memasang cd mengaji, anak-anak akan lebih tenang.

Di rumah, pelbagaikan cara bermain.


Asalkan pengulangan huruf hijaiyyah itu berlaku setiap masa, tak kira di mana, itu belajar. Hatta dalam kereta juga masih boleh belajar mengaji.


Tidak semestinya mengadap buku atau menyediakan jadual untuknya. Kerana anak-anak ini fleksibel dan dinamik perkembangannya. Anak-anak ada jiwa di dalamnya. Kita bukan melahirkan seorang robot yg mana segala perkara harus ditetapkan sejak kecil lagi. Biarkan mereka enjoy dengan kehidupan kecilnya. Kerana saya melihat masa hadapannya kelak.

Basic rules. Ada 4 tahap pendidikan anak-anak mengikut cara Nabi.



Bagi saya, saya tidak menyediakan jadual waktu khusus untuk anak-anak semasa kecil. Biarkan mereka fleksibel dengan rutin hariannya.

Tahap awal ini bermainlah sepuasnya. Sabaaaarrr kerana sampai tahap kedua nanti, hidup mereka akan dipenuhi dan terikat dengan jadual waktu di sekolah pula. Masa untuk lebih berdisplin melalui jadual waktu. Buat masa ini, berikan mereka merasai hidup tanpa jadual.

Waktu kecil ini masa bagi mereka meneroka apa sahaja sambil kita memantaunya. Ianya adalah soal bagaimana kita mahu menjadikan masa bermain mereka itu sebenarnya belajar akan sesuatu dengan penuh kasih sayang. Penuhkan tangki emosinya bukan tangki inteleknya.


Disiplin masih boleh diajar walaupun semasa mereka bermain.


Secara jujurnya, saya mengajar anak bagaimana mengurus waktunya terlebih dahulu.

Semasa dalam bilik air, hanya perlu 5 minit saja untuk mandi dan gosok gigi.

Ketika menonton kartun, tengok hanya 1 atau 2 saja kemudian tutup tv.
Kemudian, buka buku mewarna, buat aktiviti mengira, mengeja, terpulang kepadanya asalkan tutup tv atau gajet. Selepas buat 1 aktiviti boleh sambung lagi tengok kartun.

Saya nyatakan kenapa saya tidak suka / marah hanya apabila tiba soal menonton tv dan bermain gajet saja dan tidak pernah marah-marah ketika sedang belajar / mengaji.

Saya nyatakan juga kenapa budak kecil tidak elok menonton tv atau memegang gajet berskrin terlalu lama. Saya tidak menipu dan bercakap mengenai fakta sebenar kepadanya seperti orang dewasa. Mereka memahami. Seperti orang dewasa.

Apabila waktu maghrib, tutup tv. Masa untuk solat, doa dan mengaji / menghafaz. Bukan waktu menonton tv. Hafazan juga saya selang selikan dengan mengaji. Biar seimbang dan tidak melebihkan antara satu daripadanya kerana saya memandang masa hadapan. Tidak perlu melonggokkan segalanya untuk dihafaz / belajar sedang umurnya adalah peringkat bermain.

Bak kata Ustaz Nouman Ali Khan, cuba kenangkan semasa kamu (ibubapa) berumur 3 tahun dahulu? Chill out mummy... Be flexible. Lihat : https://www.youtube.com/watch?v=pFVV3UetQos

Nasihat beliau sangat betul. Apa yg lebih penting ajarkannya menjadi muslim yg baik. Ajar mengenai kasih sayang, akhlak, aqidah. Berikan ruang untuk mereka berfikir di luar kotak. Memikirkan ciptaan dan kejadian Allah yg lain.

Islam bukan mengenai mendidik anak menjadi Qari, al-Hafiz semata, jauh lebih penting hari ini untuk melahirkan seorang pemikir yg al-Hafiz, seorang Qari yg berpendirian juga seorang mujahid yg tepat fikirannya.

Semasa kecil, berapa banyak dia belajar, bermakna tiada. Apalagi, kita mahu menyogok anak dengan jadual waktu. Al Quran is timeless. Tiada apa yg harus dikejar.


Namun begitu dalam rutin seharian tanpa jadual ini, adakalanya mereka terbabas, saya tidak nafikan. Itu tandanya mereka manusia. Tidak semua peraturan dapat diikutinya PERFECTLY. Kerana kita juga sama sepertinya. Adakah semua peraturan dalam dunia ini kita patuhi?

Di sinilah tahap kesabaran diuji. Ingatkan semula saja. Ingatkan peraturan yg sudah dipersetujui bersama.

Hanya baru-baru ini, saya memperkenalkan apa itu Ihsan sebagai seorang muslim. Saya sangat kecewa apabila si abang senyap-senyap menonton Ultraman walaupun sudah banyak kali saya melarangnya.

 (Ya, saya memilih kartun yg ditonton anak-anak. Saya hadkan dan tapis. Dalam masa yg sama berikan sedikit kebebasan yg terkawal). Sekarang, mereka sedang dalam proses untuk mempraktikkan apa itu ihsan. Saya nampak ada kemajuannya. Alhamdulillah.

Ianya disiplin. Bukan melalui jadual waktu.



2. Ajarinya secara istiqamah sedikit demi sedikit.

Ia bergantung kepada tahap fokus anak-anak puan. Bagi usia 2-3 tahun kebiasaannya hanya 5 minit. Bernasib baik boleh jejak 10 minit. Alhamdulillah! Cukup bagi mereka. Walau hanya dapat memperkenalkan 5 huruf saja dalam sehari ia sudah cukup baik.

Di masa lain ketika mereka bermain, masa makan juga boleh, ulangi semula 5 huruf tersebut dan perkenalkan lagi 5 huruf seterusnya. Bagi peringkat awalan ini, perkenalkan saja huruf tunggal terlebih dahulu. Mereka masih belum sampai tahap mengaji dalam kata yg sebenarnya. Mereka juga belum mampu bertahan dengan disiplin buku. Hormati fitrahnya.


Hanya buat permulaan. Namun, tak salah mencuba jika ingin terus mengajarnya menggunakan disiplin buku.

Cuma, berdasarkan pengalaman mengajar anak-anak orang lain, kebanyakannya mempunyai tempoh matang sekecil 4 tahun untuk duduk diam mengadap buku bagi yg ZERO dari rumah juga tiada rangsangan sejak kecil.

Apa yg paling penting adalah bagaimana kita mahu menarik minatnya buat pertama kali seterusnya menanam satu perspektif awal (fresh) bahawa mengaji (baca : mempelajari huruf-huruf al Quran serta al Quran itu sendiri) menyeronokkan untuk dibaca bukan di atas paksaan.

Agama bukan untuk dipaksa.

Menyantuni anak kecil di awal usia mengikut tahap dan kemampuannya amat penting supaya di kendian hari anak-anak tidak merasakan terbeban mempelajari agama. Apabila meningkat dewasa mereka akan terus gemar mempelajari dan menambah ilmu agama tanpa suruhan sesiapa.

Zaman sudah berubah.

Banyaknya gajet / teknologi yg lebih menyeronokkan hari ini dibiarkan oleh ibubapa untuk anak-anak bermain dengannya tanpa kawalan bakal merosakkan perspektifnya untuk belajar membuka buku mengaji. Kita sedang bersaing dengan lambakan game yg lebih menarik.

Mengeja satu persatu di dalam buku tidak dapat menandingi kepantasan jari Swipe segala perkara di skrin. Inilah cabaran sebenar ibubapa untuk menjadikan waktu belajar mengaji ini seseronok bermain game atau menonton kartun kegemarannya.

Kerana itu, saya menekankan kepada ibubapa untuk tidak marah-marah pada anak ketika tidak mahu mengaji atau membuat kesalahan ketika mengaji. Jika mahu marah juga, marah-marahlah ketika anak sedang bermain game bersama gajetnya. Ia harus DISEIMBANGKAN.


Ada harinya mereka akan moody. Tidak mahu mengaji. Tidak mengapa.

Berikan masa. Layan saja kehendaknya. Dan berkompromilah.

Dengan niat yg tertanam jauh dalam lubuk hati, mohon Hidayah Allah agar turun ke dalam jiwa anak-anak kita supaya satu hari nanti mereka akan mahu dan suka mengaji dengan sendirinya.

Kita harus memahami bahawa kita yg dewasa ini juga ada masa dan harinya kita moody tidak tentu fasal. Hakikatnya, anak-anak kita juga manusia seperti kita. Bukannya robot.


Saya percaya Hidayah Allah akan tetap hadir apabila ibu ayah mempunyai satu niat yg jelas serta usaha yg tidak pernah luntur. Walaupun kadangkala tidak berjaya, usaha tetap diteruskan. Hidayah Allah ini akan tiba jua lambat laun. Tak usah kita membandingkannya dengan anak orang lain.

Percaya atau tidak, sejak kehamilan keempat awal tahun ini, anak-anak saya berhenti mengaji Iqra selama 6 bulan. Saya rasakan sedikit kekecewaan. Apatah lagi hormon yg tidak seimbang menyebabkan saya sering moody dan tidak larat melayan mereka bertiga. Saya hanya melazimi bacaan al Quran sendiri di waktu pagi subuh (sebelum anak bangun tidur), waktu maghrib dan ketika mahu tidur.

Hidayah Allah... Selepas saya baik dari alahan teruk awal mengandung, mereka dengan sendiri mahu mengaji semula tanpa disuruh sedikitpun. Mereka mencari semula buku mengaji dan membawanya kepada saya untuk diajarkan. Sepanjang 6 bulan itu mereka tidak mahu mengaji menggunakan buku langsung. Mereka hanya mahu membaca al Quran terus yg kononnya dibaca tapi sebenarnya dia membaca berulangkali ayat-ayat hafazannya sebelum ini.

Dan disebabkan cabaran ini, saya menemui satu lagi ilham di mana saya menggunakan al Quran mengajarnya mengikut tahap bacaan Iqra nya sambil bermain. Ternyata, mereka lebih menggemarinya!

Al Quran punya cara misteri mencari pelajarnya (tidak kira kecil atau dewasa).

Al Quran juga punya cara misteri mencari pendiaminya (tidak kira siapakah dia).


Teruskan usaha puan semampu yg boleh. Apa yg puan rasakan terbaik buat anak-anak. Jika apa yg saya katakan ini ada salahnya, puan boleh abaikan saja dan ikutlah intuisi puan sebagai ibu yg melahirkan mereka. Saya menghormatinya.

Jangan lupa, di hujung minggu puan pujilah anak-anak di hadapan ayah mereka kerana sudah pandai mengaji dan rajin mahu belajar mengaji (walaupun bermain). Pass baton kepada ayahnya pula untuk test anak! Hehe..

Tahniah ke atas kelahiran anak ketiga puan. Usah risau dan banding-membanding. Berikan masa untuk diri puan dahulu sehingga puan mendapat rentak mengurus 3 orang anak itu kelak. Perlahan-lahan bermain (ajar mengenal huruf) bersama anak secara santai. Jika rasa mahu marah, hentikan saja dan biarkan mereka sebentar.

Ini kerana melalui pengalaman mengajar anak-anak lain, sematang-matang umur yg mempunyai daya prestasi yg cekap adalah pada umur 6 tahun. Paling lambat untuk fasa mengenalkan huruf tetapi bila button SUKA @ LIKE sudah berwarna hijau, dia akan mahu mengaji setiap hari walau hujan atau jerebu melanda! Saya sedang mengalaminya.. Hehe..

Saya ambil semula perkongsian saya 2 tahun lalu sebelum ini.


Tip pantas mengajar ngaji anak sendiri :

Untuk anak berumur bawah 1 tahun, biarkan dan biasakan dia mendengar orang mengaji.

Untuk anak berumur 2 tahun, biarkan dia bermain sambil mengikut bacaan 'rakan sebayanya' yg sudah tahu. Atau bermain membaca bersama flash card.

Untuk anak berumur 3-4 tahun, apabila sudah mengenal huruf, biasakan dia membaca Iqra' atau Muqaddam atau apa saja buku mengaji yg lain. Lihat prestasinya. Jika boleh terus membaca Iqra' 1, jalan terus!



Fathi 4 tahun, Fatihah 3 tahun & Fahmi 4 bulan.

1. Tidak memaksa anak mengaji.
2. Biarkan dia mengaji atas kerelaannya sendiri.
3. Menunjukkan padanya yang mengaji ini sangat menyeronokkan (memerlukan masa yang panjang sebelum dia mahu mengaji dengan sendiri tanpa disuruh-suruh).
4. Memberi gambaran yang baik untuk selalu mengaji.




Tiada ulasan:

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...