رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Sabtu, 20 Jun 2015

# homeschooling # keibubapaan

WEAN-OFF (cerai susu)





Sesetengah wanita hamil masih boleh menyusukan anak.

Sesetengahnya pula hanya tidak boleh.

Saya akan mengalami Hb rendah setiap kali mengandung. Juga alahan yang agak teruk semasa di awal trimester. Tambahan pula ada rasa sakit dan ngilu dalam rahim setiap kali menyusukan anak.

Kerana ini keputusan untuk wean-off terpaksa diambil.

Rupanya ia bukanlah semudah yang disangka untuk putuskan begitu sahaja. Saya sedikit tertekan dengan situasi ini pada awalnya. Tiap kali menyusukan anak (berikan juga) saya berada dalam kesakitan yang amat sangat!

Hinggalah pada satu hari, saya berjumpa Mak Aji Urut yang selalu saya minta nasihat perbidanan daripadanya. Biasanya, dia tidak lokek berkongsi ayat / surah bacaan bagi satu-satu isu kerana dia pernah belajar dari Darussyifa’.

“Mak Aji, ada ayat tak yang boleh kita amalkan untuk putuskan susu dengan anak?”




“Tak ada. Awak doalah banyak-banyak. Nak putus susu memang bukan senang. Tapi, rahsianya pada doa. Anak awak yang kecik dah 2 tahun kan? Memang dah tiba masanya untuk putus susu. Menantu saya pun baru putus susu. Tak ngandung pun. Tapi dah memang masanya. Lambat lagi putuskan lagi susah. Dia ambil masa 1 bulan. Memang tak boleh terus putus. Elok 1 bulan cucu saya berhenti susu sendiri. Doalah banyak-banyak. Janganlah letak jadam ke apa-apa ke. Tak usah. Doalah.”

Sejak mendengar kata-katanya saya tersedar akan sesuatu.


Pulang dari rumah Mak Aji, katanya usia 2 tahun memang harus berhenti susu walaupun tidak mengandung. Dan menantunya sudah berjaya membuktikannya.


Lalu, saya muhasabah diri semula.


DOA.

Adakah selama ini saya tidak berdoa?

Ya, saya selalu berdoa supaya proses wean-off ini Allah permudahkan. Adakah ia tidak mencukupi?


Secara tiba-tiba saya didatangkan dengan satu kefahaman daripada muhasabah ini.

Semasa solat di malam hari yang gelap saya menginsafi bahawa adakalanya kita berdoa seperti kita mahu Allah itu melakukan sesuatu atas permintaan / suruhan kita saja. Ia tidak bersifat sebagai “doa seorang hamba”.

Lalu saya tersedar. Saya mengubah cara berdoa. Berdoalah denga penuh rasa kehambaan.

Minta izin daripada Allah bukan kita yang menentukan untuk wean-off semahunya kita dan Allah pula perlu mengikut rancangan kita.


Mulakan dengan bacaan al-Fatihah kepada anak.

Pilih kata.


“Ya Allah Ya Tuhanku. Sudah genap 2 tahun aku menyusukan anak kecilku. Dengan segala kudrat dan upayaku, izinkanlah aku meberhentikan penyusuan ini. Sebagaimana Engkau memberi izin kepadaku untuk menyusukannya sejak hari pertama lagi anak ini hidup di dunia, maka izinkanlah aku untuk memberhentikannya. Hanya jika Engkau mengizinkan. Jadikanlah Fahmi seorang yang tabah dan kuat semangatnya untuk melalui fasa ini. Izinkanlah diriku juga untuk kuat menghadapinya.”


Kadangkala, kita terlupa bahawa sekecil-kecil perkara di dalam hidup ini kita bukan perlu hanya tahu meminta kepada Allah, tetapi perlu mendapatkan keizinanNya terlebih dahulu dengan sifat seorang Hamba yang sebenar.


Wean-off memerlukan fokus yang kuat dengan minda yang sangat super kuat sebagaimana kita mahu menyusukan anak. Will power. Berikan masa dalam tempoh 1 bulan. Wean-off tidak boleh berlaku secara mendadak sebagaimana kemahuan dan keperluan kita.



SEJARAH WEAN-OFF & PERSEPSI

Semasa anak pertama dahulu, Fathi, saya wean-off semasa usianya menginjak 11 bulan. Kasihan Fathi.

Semasa itu, saya serba tidak tahu banyak perkara. Zero. Maklumlah, anak pertama. Jika mahu digantikan dengan nyawa, saya sanggup tidak mahu wean-off Fathi yang belum lagi berumur setahun ketika itu.

Apakan daya, saya tersangat lemah. Hingga saya tidak mampu bangun ketika di awal kehamilan anak kedua dahulu. Asyik terbaring. Tambahan pula, doktor mencadangkan agar saya wean-off disebabkan kandungan yang sangat lemah ketika itu. Hampir gagal sebenarnya. Akhirnya, saya mengalah dengan keadaan.

Ketika itu, saya hanya berfikir susu apakah yang sesuai digantikan dengan susu ibu? Saya fokus untuk menukar susu kerana Fathi masih belum berusia 1 tahun lagi. Saya berfikir, untuk wean-off, saya perlu carikan susu ganti supaya Fathi dapat tidur nyenyak di malam hari dan tidak menangis lagi mencari susu badan.

Saya mencuba pelbagai jenis susu formula. Hingga Fathi cirit birit akibat kerapkali menukar susu dan terpaksa menghadapi situasi susu yang tidak sesuai untuknya. Masa itu, Allah saja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu yang menangis di malam hari kerana merasakan diri ini gagal menjadi ibu terbaik, gagal menyusukan anak dengan baik hingga terpaksa menanggung kesakitan.

Akhirnya, dia hanya serasi dengan susu kambing Karihome. Dan mula pandai memilih makanan. Saya terlalu fokus kepada susu hinggakan usaha untuk memperkenalkan pelbagai rasa makanan itu saya terlupa.


Fatihah anak kedua, wean-off secara tanpa dirancang sedikitpun. Sangat senang. Ketika dia berumur 3 tahun, saya dimasukkan ke hospital akibat pembedahan apendiks. Sepanjang di hospital kerajaan saya tidak dapat berjumpa anak-anak. Allah saja yang tahu perasaannya dengan bengkak susu ketika itu manakala kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke wad umum wanita itu. Dengan sedikit tekanan, perahan susu hanya dapat melegakan sedikit saja. Emosi saya lebih tertekan apabila genap seminggu saya tidak dapat memeluk anak-anak langsung. Walhal, Fatihah masih lagi menyusu badan.

Balik ke rumah selepas seminggu, Fatihah langsung tidak mahu menyusu dan menolak saya. Dia hanya mahu makan nasi dan makan segala macam perkara tidak berhenti.

Ya , neneknya sudah berjaya menjadikannya seorang yang kuat makan! Haha.. Saya seronok kerana dia mahu makan dan tidak memilih makanan seperti abangnya. Dan akhirnya, saya keluarkan susu dan hanya membuangnya apabila seorangpun anak tidak mahu susu yang diperah itu langsung.

Semasa itu, saya hanyalah surirumah yang kurang bergaul. Maka, saya bertindak hanya membuang susu yang ada. Jika sekarang, sudah pasti saya menyedekahkannya kepada insan memerlukan. Pentingnya seorang surirumah yang menyusukan anak menyertai grup sokongan penyusuan ibu.


Fahmi anak ketiga  ini memberikan saya perspektif baharu mengenai wean-off. Ya, anak ketiga baru nak tersedar. Kata-kata Ustaz Pahrol di dalam Ikim sangat menyentapkan jiwa ini.

“Ramai yang tahu tapi tidak sedar. Tapi siapa yang dapat sedar, insha Allah, dia pasti tahu.”


Wean-off bukanlah mengenai MENUKAR SUSU IBU KEPADA SUSU LAIN.

Breastfeeding is always the best policy.

Maka, fokus dalam wean-off sebenarnya bukanlah susu.

Setelah genap dua tahun kita menyusukan anak, sudah tiba masanya untuk mereka MENUKAR RUTIN MAKANAN.


Kerana itu, di dalam Al-Quran ada menyebut,


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Luqman 31:14)




Islam sangat menggalakan ibu-ibu menyusukan anaknya sehinggalah mencecah 2 tahun. Setengah pendapat mengatakan dua tahun itu bermula sejak dari dalam kandungan lagi. Ini bermakna tempoh paling lama menyusukan anak dalam Islam sebenarnya adalah mencecah 2 tahun penuh. Islam hanya menggariskan panduan sebagai penanda takat umur yang sesuai dengan fitrahnya.

Setelah dua tahun rutin pemakanan anak haruslah diubah kerana semasa itu komposisi dan keperluan tubuh anak dan badan kita sendiri juga turut berubah.

Apabila saya mengandung semula anak keempat ini, Fahmi berusia 2 tahun 3 bulan.


SOKONGAN EMOSI & MENTAL

Sokongan ahli keluarga terdekat juga sangat membantu. Fahmi dan saya beruntung kerana tinggal bersama orangtua. Atok dan neneknya sangat supportive dan turut sama mengingatkannya serta memberinya semangat untuk berhenti susu.

Setiap hari sebelum pulang ke rumah atok dan nenek akan mencium Fahmi dan mengingatkan untuk tidak menyusu lagi malam hari. Habuannya akan dapat esok hari apabila kami ke rumah atok dan nenek semula.

Hampir setiap malam juga, kakak dan abangnya turut sama mengingatkan adiknya supaya Fahmi tidak tidur dengan emaknya lagi. Haha..

“Fahmi, meh tidur dengan abang kat katil sini.” kata Fathi (6 tahun).

“Eh, jangan Fahmi! Meh tidur dengan kakak kat sini. Malam ni Fahmi dah tak boleh ketek lagi tauuu..” pujuk Fatihah pula (5 tahun).

Tersenyum...

Setiap hari juga saya menceritakan perihal adik babynya di dalam perut. Kenapa adik baby perlukan susu mak. Kenapa Fahmi perlu berhenti susu mak. Saya menerangkan yang betul saja.
Tidak perlu menipu dengan bermacam-macam situasi yang tidak pernah berlaku atau dengan meletakkan pelbagai rasa pelik di tempat dia menyusu itu.

Ini kerana saya percaya melalui peringkat sebegini anak kecil akan belajar daripada kita samada dewasanya nanti akan menipu atau tidak bergantung kepada cara kita wean-off termasuk juga cara didikan yang diterimanya dari kecil.

Jika kita menipu dengan meletakkan minyak panas atau sebagainya hatta jadam sekalipun konon-konon untuk bagi anak rasa pahit dan menolak untuk menyusu lagi ia akan mempengaruhinya kelak semasa dewasa. Jangan terkejut jika anak pandai berbohong nanti.

Jauh lebih penting sebenarnya adalah sokongan dan dorongan serta galakkan dari diri kita sendiri, ibunya.

Setiap pagi, saya akan menyambut bangun pagi anak dengan senyuman dan perasaan gembira sambil berkata,

“Anak mak dah bangun! Bagusnya malam semalam anak mak dah boleh tidur sendiri, tak bangun malam cari susu lagi. Tak menangis lagi. Mak suka sangat anak mak dah besar pandai tidur baik-baik. Teruskan usaha ya! Dan terus tabah ok!”

Dalam mamai-mai bangun tidur, anak sekecil 2 tahun ini kelihatan tidak mengerti apa erti menjadi tabah. Tapi, percayalah...

Sebagaimana kita memberi sokongan dan kata-kata positif kepada rakan taulan dan sahabat handai apabila menghadapi sebuah kehilangan dan berada dalam kesedihan, seperti itulah anak kita sendiri mendambakan yang sama untuk melaluinya dan memerlukan sokongan dan kata-kata yang positif bagi dirinya melalui fasa kehilangan sebegini.

“Terus tabah eh Fahmi. Mak sangat bangga Fahmi boleh jadi seorang yang tabah dan kuat melalui semua ni. Kita lalu sama-sama ok?”

Fahmi membalas dengan senyuman kecil sambil meletakkan kepalanya di dada saya. Saya terus memeluknya dengan memindahkan energi positif untuk dia terus tabah.


Poyo?

Ya, ayat memang poyo. Tapi inilah ayat saya setiap hari hanya apabila saya berdua bersamanya. Saya tidak mahu orang lain mendengarnya kerana saya tahu saya akan diketawakan kerana bercakap sebegitu gayanya dengan anak kecil. Tapi, saya betul-betul maksudnkannya. Dan hanya itu rahsia dan masa intim untuk saya dan anak kecil yang soleh ini.

Setiap malam, dia akan memeluk saya sambil memegang adik baby di dalam perut. Mukanya disembamkan ke bawah ketiak. Dia dapat menghidu rapat “kehilangannya” yang satu itu tetapi dia terus menutup mata dan bertenang, cuba melupakan apa yang sebelum ini adalah rutin hariannya sejak hari pertama di menjengah dunia.

Berdepan dengan masalah dan teruskan kehidupan. Tabah bukan?


MONTGOMERY GLAND

Di satu malam, selesai berdoa, saya diberikan ilham mengenai sesuatu. Ilmu yang saya kutip semasa dalam bengkel penyusuan ibu  untuk peer counselor (20 jam) yang saya hadiri pada akhir tahun lalu.

Mengenai Montgomery Gland. Walaupun fungsinya lebih kepada memastikan kawasan tempat penyusuan lembap dan bersih dari segala kuman, tapi signal yang dikeluarkan oleh gland ini sangat luar biasa! Di sinilah punca bagaimana anak kecil dapat menghidu ibunya atau anak kecil dapat menghidu kewujudan susu di dalam tubuh. Ia adalah biji-biji kecil yang berada di dalam kawasan Aerola.

Lalu, saya terus memberi signal kepada Montgomery Gland saya untuk berhenti memberikan sebarang signal kepada anak saya. Saya sendiri tidak pasti bagaimana caranya. Tapi saya memberikan isyarat sebegitu ke atas tubuh saya sendiri. Saya juga tidak pasti ianya betul atau salah. Saya hanya melakukannya mengikut gerak hati dan ilham yang tiba-tiba datang ini. Wallahu a'lam.

Subhanallah, keesokan malamnya Fahmi sudah tidak terjaga di waktu malam lagi dan bermula saat itu dia sudah wean-off sepenuhnya.

Jika kita perasan, biasanya biji-biji kecil yang membentuk montromery gland ini akan sedikit timbul apabila kita menyusukan anak atau air susu banyak dan penuh. Tetapi, setelah saya memberhentikan isyarat ini, saya dapati biji-biji kecil ini tidak lagi kelihatan langsung! Ia seperti terbenam. Subhanallah!

Dan saya reset awal ia akan berfungsi semula semasa kelahiran bayi akan datang kelak. Insha Allah.



PERINGKAT WEAN-OFF

Minggu 1 :

Berhenti susu di siang hari.

Bagi seorang surirumah seperti saya yang sebelum ini 24/7 bersama anak-anak adalah sangat sukar pada fasa ini. Bermacam-macam perkara dibuat bagi mengalihkan fokusnya apabila tiap kali berbaring. baca buku hingga tertidur, ajak tengok upin ipin, ajak makan minum, hinggakan ada sekali ketika saya sedang bersolat dhuha dia datang merengek dan meminta dengan muka yang sayu. Saya senyapkan saja sambil membacakan al Fatihah untuknya terus dapat menahan diri. Tiba-tiba saja dia longlai dalam pelukan di atas sejadah sambil saya berzikir. Satu situasi yang menyentap jiwa apabila saya memandang wajahnya tetapi saya harus kuat supaya anak kuat! Harus tegas dengan keputusan.


Minggu ke-2 :

Berhenti menyusu di malam hari. Berikan pasangan kita menidurkan anak.

Tuan suami banyak mengambil peranan pada ketika ini. Dia menidurkan Fahmi sambil membacakan zikir-zikir. Pada peringkat awal, saya keluar rumah pada waktu dia sudah mahu tidur. Konon-konon saya ke kedai bersama 2 orang anak lagi supaya abang dan kakak tidak bising. Apabila pulang ke rumah selepas 10 minit, Fahmi tertidur menonggeng di sebelah abahnya.

Masalah yang tinggal hanyalah apabila dia terjaga tengahmalam dan mula mencari seperti rutinnya sebelum ini.

Siang hari hingga ke petang berikan dia makan macam-macam perkara. Suapkan nasi dan lauk serta sayur yang kita makan sekali bersamanya. Layan ekstra lebih. Banyakkan meluang masa bersamanya. Kurangkan aktiviti berinternet. Kurang masa kita di media sosial, lebih banyak masa kita di dunia realiti. Gantikan rasa kehilangannya dengan memberikan sepenuh perhatian dan fokus kita kepadanya di siang hari. Buat aktiviti bersama. Kadangkala, dia tidur petang, adakala tidak tidur langsung. Jadi, bila malam dia akan benar-benar keletihan dan tidur cepat.

Berikan dia makanan dan minuman hingga dia kekenyangan. Saya dapati, apabila saya fokus untuk memberinya makan nasi dan pelbagai makanan lain, dia tidak mahupun susu yang diberikan di waktu senggang. Katanya tak sedap dan weekkk! Hehe.. Saya tidak memaksa.

Di sini, saya mendapat pengajaran bahawa susu bukanlah sesuatu yang wajib kepada anak kecil yang sudah mampu makan bermacam perkara. Sumber kalsium ada banyak dalam pemakanan lain yang diambil secara menggigit.

Susu hanyalah salah satu sumber kalsium yang diambil secara meminum. Maka sebenarnya dalam proses wean-off, ia bukanlah soal menukar susu atau mencari susu yang terbaik selepas susu ibu bahkan ia adalah proses menvariasikan makanan khasnya sumber kalsium kepada si anak.

Ya, Fahmi makan segala benda. Tempe, tahu, kekacang, kerang, taufufa, cheese, segala macam sayur, bawang, ikan bilis, segala macam buah, soya, dan susu yang benar-benar Fresh Milk pendek kata segala macam apa yang saya makan, dia akan menghabiskannya.

Botol susu yang saya belikan untuknya juga sudah hilang entah ke mana. Fahmi tidak mahu apapun jenis susu formula. Dia lebih suka makan apa jua jenis makanan yang saya makan. Tiada botol susu, tiada puting plastik. Malah, anak-anak saya seorang pun tidak pernah menghisap puting plastik/ tiruan.


Minggu ke-3 :

Tahan telinga dan emosi.

Walaupun dia sudah berhenti menyusu di siang hari dan sudah boleh tidur sendiri tanpa mencari susu, tapi di tengahmalam sebagaimana rutinnya sebelum ini, Fahmi akan kerap terbangun apabila saya tiada di sisi. Walau hanya solat malam. Apabila dia terbangun, menangis, siaplah ada benda yang dicarinya. Beginilah penangan anak surirumah. Dia mempunyai aerial yang kuat! Waktu malam adalah sangat kritikal kerana amat susah untuk dipisahkan.

Ketika ini, hati perlu kental. Saya terpaksa pekakkan telinga untuk membiarkannya menangis dalam setengah jam. Dalam setengah jam itu juga saya akan bersolat menenangkan diri dan mencari kekuatan.

Jika anak menangis, hati mak mana yang sanggup membiarkannya terus menangis bukan? Tapi, saya melihatnya secara positif untuk latihan kepadanya supaya belajar sesuatu dan saya juga belajar daripadanya.

Untuk menjadikan anak kita kuat dan tabah untuk berhenti susu, kita dahulu perlu menyiapkan hati dan jiwa yang kuat lagi tabah untuk melepaskan semuanya. Ketabahan dan kekuatan jiwa ini hanya boleh didapati melalui solat tahajjud di malam hari yang gelap. Sedang anak menangis, semasa itulah saya mencari kekuatan terlebih dahulu. Membiarkan dia sebentar dipujuk oleh abahnya pula. Kerjasama pasangan kita di sini sangat bernilai. Walaupun anak tidak mahu abahnya dan terus menangis tapi, its ok. Ini hanyalah proses...


Ya, menajdi surirumah selama 7 tahun ini sudah membiasakan diri saya untuk bertenang dalam kekalutan setiap masa. Di mana ada kekalutan, di situlah ada ketenangan tema diri saya.. Hehe..

Selepas setengah jam, saya akan memaksanya membuka mata sebentar dan bercakap dengan nada tegas!

“Kalau nak tidur dengan mak, berhenti menangis. Peluk mak. Tutup mata. Tidur. Esok pagi baru bangun. Ok?”

Dan dia akan mengangguk sambil tersedu sedan. Sekali lagi menyentap jiwa tetapi jiwa harus kental dahulu sebelum kita mengharapkan anak menjadi kental. Ingat, ini hanyalah proses.

Proses dan dialog sebegini diulang-ulang setiap malam selama seminggu. Mungkin mencecah 2 minggu.


Minggu ke-4 :

Makan di siang hari, minum petang di petang hari, berikan supper di malam hari sebelum tidur, tidur dengan sendiri sambil memeluk adik babynya di dalam perut, malam sudah tidak terbangun lagi. Kerana perut sudah penuh, emosi sudah dapat direntakkan dengan tenang. Dia sudah mula terbiasa dengan pertukaran rutin makanan harian.


Sebagaimana kita reset minda kita untuk menyusukan anak di awal kelahiran lagi dan melalui proses memastikan susu banyak untuk anak, samalah juga perlunya kita reset minda kita untuk memberinya ruang dan masa untuk wean-off selama sebulan. Apa yang kita fikirkan, kita doakan, kita usahakan, pasti pertolongan Allah ada dalam setiap  tingkahlaku kita.

Jika kita fikirkan tempoh wean-off adalah masa huru-hara, ia memang akan jadi huru-hara lebih lagi di waktu malam. Walhal, ketenangan dan kekuatan itu kita boleh perolehi dengan hanya solat sunat 2 rakaat di waktu malam.

Alhamdulillah, genap 4 minggu Fahmi berhenti susu dengan sendirinya.


Pentingnya untuk meminta hanya kepada yang Mutlak melalui cara dan usaha yang Mutlak. Tidak peru mengharapkan dari kebendaan atau manusia lain. Walaupun ianya hanya sebiji telur yang perlu digolek-golekkan dan kemudian diberikan kepada anak atas niat berhenti susu, ia adalah suatu usaha yang sangat tidak Mutlak.

Jagalah aqidah dan keimanan kita. Walau hanya cuba, test, try, suka-suka, ia sedikit sebanyak mempengaruhi Iman seorang muslim.

Akhirnya, tiada jalan singkat untuk wean-off. Namun begitu, wean-off bagi anak menyusu badan sangat mudah berbanding anak menyusu botol (susu formula).

Ramai terpengaruh dengan iklan komersial di mana anak tidak makan nasi tidak mengapa. Berikan saja susu yang mengandungi segala macam khasiat. Itu SALAH SAMA SEKALI!

Anak yang diberikan susu formula akan kenyang dengan susu maka dia tidak akan sedar kewujudan nasi, ayam, ikan dan sayur serta buah-buahan dalam hidupnya. Kerana itu, apabila sampai umur 1 tahun perkenalkan anak kepada semua jenis makanan dan rasa. Sampai umurnya 2 tahun adalah masanya untuk berdikari dalam soal pemakanan dan perlahan-lahan susu diminum hanyalah berkala atau sampingan sebagaimana dia meminum jus buah-buahan. Bukan lagi satu subjek utama. Di sinilah makna sebenar wean-off.


Apa yang lebih penting adalah kita belajar sesuatu dari setiap diri anak-anak. Di setiap fasa kehidupannya Allah sudah catatkan prosesnya tersendiri dan kitalah yang harus mengambil iktibar daripadanya.

Setiap anak hatta diri kita dan orang lain juga ada story linenya tersendiri. Walaupun anak masuk keempat ada saja perkara baru yang saya belajar daripadanya dan anak-anak sebelumnya. Setiap anak itu berbeza. Dengan cerita berlainan, dengan rezki yang berbeza. Itu semua adalah latihan dan ujian untuk menjadikan kita seorang wanita yang paling positif di dunia.

Ya, apabila lahirnya seorang anak, ia adalah Hidayah Allah yang didatangkan bersamanya untuk menjadikan kita seorang ibu dan insan yang lebih positif dari hari ke hari. Untuk mempunyai anak juga Allah menduga sejauh mana positiviti yang kita boleh hasilkan. Teruskan positif dan ubahlah persepsi.




TIPS RINGKAS :

1. Berdoa dengan sepenuh rasa KEHAMBAAN. Bukan hanya sekadar meminta.

2. Ubah persepsi mengenai wean-off itu bukanlah mengenai menukar susu selepas susu ibu tetapi sebenarnya, MENGURUS DAN MENUKAR RUTIN MAKANAN ANAK.

3. Berikan masa dan sedikit ruang untuk anak membiasakan dirinya dengan rutin harian yang baharu. Ini kerana untuk melepaskan satu perkara yang paling disayanginya yang sudah membentuk tabiat selama 2 tahun ini bukanlah suatu yang mudah bagi kita sendiri apalagi anak kecil.

4. Berikan sokongan dan dorongan daripada pelbagai sudut. Berikan kata-kata yang positif dan sebutnya di hadapan anak setiap pagi hari dan malam hari sebelum tidur. "Bertabahlah".

5. Memahami rasa kehilangan bagi seorang anak kecil sebagaimana kita merasai rasa kehilangan orang tersayang dalam hidup ini. Memerlukan masa dan kasih sayang yang ekstra. Kerapkan memeluknya.

6. Kurangkan aktiviti di dunia maya supaya lebih banyak masa di dunia realiti. Insan di hadapan mata kita yang memerlukan perhatian yang kritikal daripada kita untuk mengatasi rasa kehilangan ini.

7. Reset Montgomery Gland anda. Sebagaimana anda reset minda untuk menyusukan penuh 2 tahun dengan susu yang banyak tanpa gagal dan memberhentikannya apabila mencecah 2 tahun samada kerana mengandung semula ataupun tidak.

8. Menjadi seorang yang lebih tabah dan kuat serta tenang menghadapi segala teriakan dan rengekan juga gundah gulana buat sementara waktu. Hanya apabila kita tenang, kita mampu menenangkan anak yang sedang dalam kerinduan. Hanya apabila kita kuat dan tabah barulah anak akan merasai positiviti yang sama untuk terus tabah dan kuat untuk berhadapan dengan rasa kehilangan ini dan mula berdikari.


Selamat berjuang!



3 ulasan:

Diana berkata...

Alhamdulillah...sebuah refleksi dan kesyukuran yang sangat menginsafkan saya seorang ibu. Lagi 2 bulan anak saya genap 2 tahun... saya juga perlu bersedia untuk wean off. Terima kasih puan khadijah.

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,sy besyukur sgt tejumpa entry sis.sgt menginsafkan dan mengingatkan sy Allah itu ada dlm setiap situasi..Sy sndr dlm proses wean off anak sulung,2thn3bln,dah x larat nk tandem nursing dgn anak kedua yg da msk 8bln.baru smgu siang c kakak x minta n*n*n da,tp mlm td start wean off mlm,mmg cbrn,smpai skrg dia tdo siang pn mengigau cari n*n*n..Allah,mohon dikuatkan hati,ditabahkan juga c anak..sama2 kna kuat.Terima kasih juga tips nua,akan dipraktikkan..

p.s. sy letak blackpepper spy dia xnk menyusu,ksian mmg ksian,tp cara pujuk lembut2 x jln,ini percubaan ke 3 wean off yg agak nmpk hasilnya

Tanpa Nama berkata...

Lg 7 hati ank sy ckup 2 taun..arp nya perkongsian puan dpt sy jdkn ikutan..moga ank cilik sy ni dpt menempuhi fasa ini dgn tabah dan tenang..dan arpnya sy juga dberi kekuatan untuk berdepan dgn segala mcm emosi yg akan mendtg..aamiin

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor