رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Khamis, 21 Mei 2015

# homeschooling # keibubapaan

Anak kecil & stres


Dari peti soalan :

Salam puan,
Saya ibu kpd 2 anak yg abg berusia 7 thn dan adik 5 tahun.
Masalah sy skg kedua2nya mls nak kesekolah..setiap kali saya hantar kesekolah agama dan kebangsaan si abg dah mula menangis.mcm tu juga adiknya..
saya nak minta pendapat puan mcmana nak atasi masalah sy ni
Terima kasih.


Jawapan :
‘Alaikumussalam puan. Maaf, lambat saya membalas pertanyaan puan ini.

Pada kacamata saya, tiada seorang anak pun dalam dunia ini yang dilahirkan dengan sikap malas. Isu sebenar yang saya nampak hanyalah anak puan kurang motivasi untuk ke sekolah.

Apakah faktor atau mungkin berlaku kejadian yang menyebabkan anak puan kurang motivasi untuk melakukan suatu perkara?

Ada beberapa faktor boleh diambilkira.

Salah satunya adalah stres.



Bukan orang dewasa saja yang mengalami stres, anak kecil juga boleh tetapi lebih parah kerana mereka tidak tahu pun itu namanya stres. Jadi, mereka memindahkan perasaan stres kepada bentuk tingkahlaku negatif atau emosi yang berubah secara tiba-tiba.

Boleh baca lanjut maklumat tambahan di sini :
http://pama.karangkraf.com/ciri-ciri-anak-stres-1.254416

Saya pernah menghadiri sebuah bengkel tingkahlaku kanak-kanak dan mempelajari beberapa tingkahlaku anak kecil yang menunjukkan tanda stres.

Tiba-tiba demam / tiba-tiba sakit perut / tiba-tiba menangis apabila mahu ke sekolah adalah tanda jelas menunjukkan stres anak.
(Teringat pelajar saya di pusat transit sekarang sering menyatakan tidak pergi sekolah agama kerana menurutnya tiba-tiba sakit kepala menjelang tengahari. Tetapi, boleh datang cepat untuk mengaji dan belajar Jawi dengan saya di sebelah petangnya. Hehe..)

Jangan memarahi anak apabila “tiba-tiba” saja si anak sakit, atau mengadu tidak sedap perut bahkan kerap mahu ke bilik air sebelum ke sekolah.

Kita hanya akan menambahkan stres anak saja jika memarahinya!

Sama juga keadaannya seperti kita orang dewasa. Apabila kita stres adakah tindakan kena marah oleh orang lain dapat membantu kita supaya tidak stres lagi? Seterusnya mendorong kita untuk suka apa yang kita tidak sukai itu?

Kita akan rasa bertambah stres lagi bukan? Atau boleh jadi keluar dialog seperti, “Eh eh, aku nampak orang yang marah aku sekarang ni kecik besar kecik besar saja!” (sambil menyepetkan mata dan berkerut dahi).

Begitulah yang terjadi kepada anak kita.

Berhenti memarahi anak. Bantu dia untuk mengatasi stres yang dialami.

Bagaimana caranya?

1. Satu-satu caranya adalah bantu diri kita sendiri dulu. Semasa kita stres dengan anak (sebagai orang dewasa, kita tahu bila waktu kita stres atau tidak bila di hadapan anak-anak), pujuk hati dan diri kita sendiri untuk mengawalnya. Dengan niat supaya anak kita dapat belajar cara mengawal stres sebagaimana kita sedang lakukan ini.

Keteladanan.

Inilah yang sering saya ungkapkan di dalam Progran Bicara Santai : Mudahnya Didik Anak 0-6 tahun setiap bulan sebelum ini.

Anak-anak belajar melalui KETELADANAN. Kita tidak perasan. Tapi, itulah hakikatnya.

Anak akan boleh bersabar HANYA apabila dia melihat sendiri bagaimana ibu ayahnya boleh bersabar dengannya.

Anak akan belajar mengamuk HANYA apabila dia melihat sendiri bagaimana ibu ayahnya mengamuk di hadapannya ketika ada perkara yang menjengkelkan terjadi.

Anak akan belajar melawan cakap HANYA apabila dia melihat dan merasai sendiri setiap kata-katanya dipatahkan oleh ibu ayahnya tanpa ada kompromi jauh sekali rasa hormatkan dirinya walaupun dia seorang anak kecil yang konon-kononnya dilihat sebagai “tidak tahu apa-apa”.

2. Berbual-bual dan bertanyakan apa aktivitinya di sekolah.

Mungkin ada sesuatu yang dialaminya di sekolah yang kita tidak tahu. Samada kita tidak pernah bertanya atau dia takut untuk menceritakan atau dia tidak fikir ianya suatu yang penting untuk diceritakan kepada ibu ayahnya.

Saya tidak tahu. Puan lebih tahu perubahan emosi dan tingkahlaku anak setiap kali pergi dan pulang dari sekolah. Jika benar, ia pasti akan dapat nampak dengan jelas dari raut wajahnya.

Anak kecil sangat tulus. Dia masih belum pandai menyembunyikan perasaannya.

Contohnya, anak kedua saya, Fatihah (5 tahun) semasa awal persekolah tempohari saya dapat nampak suatu yang ketara. Apabila dia pulang dari tadikanya, dia akan senyap saja dan riak mukanya tidak senyum langsung melihat saya mengambilnya pulang. Saya banyakkan berbual dengannya. Apa aktiviti yang dibuat sepanjang hari. Bukan bertanyakan apa yang berlaku.

Melalui aktivitinya barulah saya bertanyakan lebih detail mengenai kawan-kawannya.

Ternyata, dia punya isu bersosial (berbual) dengan rakan sebayanya sama seperti abangnya dahulu (selepas 6 bulan bersekolah barulah cikgu dan kawan-kawannya mendengar perkataan pertama yang keluar dari mulutnya. Hehe).

Dan baru ini saya mendapat tahu ada seorang rakan sekelasnya mengatakan kepadanya secara terang-terangan yang dia tidak mahu berkawan dengan Fatihah. Lalu, mengoyakkan sticker comel (pemberian kawannya yang lain) yang ditampal di name tag anak saya dan di beg.

Jika dilihat, ia nampak seperti “pembulian kecil”.

Anak saya tidak tahu kenapa seorang kawannya itu melakukan begitu kepada dirinya. Dia hanya bersedih kerana ada orang tidak mahu berkawan dengannya.

Namun, mencari jawapan kepada “KENAPA” bukanlah penyelesaian yang baik. Ia hanya akan menambah buruk keadaan jika semuanya kita mahu tahu kenapa begitu dan kenapa begini.

3. Pandu & dorongnya kepada jalan penyelesaian.

Apabila kita sendiri mengalami satu isu / cabaran di dalam kehidupan, kita tidak mampu menghentikan cabaran itu hadir dalam hidup kita. Maka, kita hanya memohon kepada Allah untuk dikurniakan hati yang tabah untuk menghadapi segala cabaran di dalam kehidupan ini.

"Besarkan jiwanya".

Satu masa dulu, semasa anak sulong saya, Fathi tidak mahu ke Tadikanya, saya dapat mengenalpasti beberapa perkara/faktor yang berlaku ke atas dirinya bergantung kepada situasi/aktiviti yang dialaminya semasa di tadika. Inilah faktor pembolehubah.

(I) Pernah ditumbuk/tindih di atas perut oleh rakan sebayanya.

Dia mengatakan yang kawannya bermain agak kasar hingga menumbuknya di perut dan menindih perutnya semasa dia terbaring di atas lantai. Tiada lebam-lebam atau apa-apa kesan luka ke atas badannya. Tapi, apabila ia sudah melibatkan fizikal, saya harus berbuat sesuatu. Lalu, saya bertanyakan kepada gurunya.

Menurut gurunya, beliau nampak kejadian itu tapi ini kata-katanya :

“Alah, biasalah budak lelaki ni main gaduh-gaduh. Masing-masing nak jadi hero. Fathi pun main sama. Lepas tu dia gelak-gelak.”

Saya dapat membayangkan situasi itu. Ya, anak-anak mengaji saya juga ramai lelaki. Kecil, besar pun ada. Saya dapat membayangkan tahap “main gaduh-gaduh” di peringkat usia berbeza.

Maka, saya berlapang dada. Saya sedar, saya tidak boleh mengawal keadaan di luar kuasa saya juga di luar kawasan saya.

(II) Konsert akhir tahun tadika.

Anak saya tidak suka menyanyi dan menari. Jiwanya tertekan apabila dia mahu belajar tetapi sebaliknya selama 2 bulan dia harus mendengar pelbagai genre lagu untuk berlatih dan menyanyi joget-joget beramai-ramai.

Di rumah, saya sendiri tidak mendedahkannya dengan bunyi-bunyian yang melampau. Apabila di dalam kereta, hanya dibuka cd mengaji atau radio ikim saja tapi itupun dia tukar sendiri dan membuka cd orang mengaji. Dan apabila menonton tv saya sering memintanya mengecilkan volume.
Jadi, ia membuahkan stres kepadanya kerana itu dia sering ponteng tidak mahu ke tadika dengan pelbagai alasan di waktu pagi. Termasuk duduk lama di dalam bilik air kononnya sakit perut dan mahu membuang. Tapi tak buang-buang hingga setengah jam malah mencecah 45 minit! Haha..

Hanya apabila menghadiri konsert akhir tahunnya barulah saya dapat merasai tekanan dalam jiwanya. Hingga saya menitiskan airmata semasa selesai konsert tersebut.

Sungguh, anak saya jiwanya tiada pada nyanyian atau menari. Apalagi melihat orang menyanyi dan menari segala macam jenis tarian dari dalam negara sampai ke tarian luar negara (bollywood). Itu bukan dirinya. Tapi, dia TERPAKSA buat dan ikut juga. Selama 2 bulan dia cuba menjadi bukan dirinya.

Lalu, apakah kita boleh merasai bagaimana emosi dan perasaannya apabila kita sendiri tidak boleh menjadi diri kita?

4. Pasakkan prinsip kehidupan ke dalam jiwa anak.

Semasa kedua-dua insiden yang berlaku, walaupun saya tahu kesusahan dan kepayahannya berhadapan dengan rakan sebaya yang di luar jangka juga keadaan silibus yang tidak menyokong keupayaan dirinya, saya hanya memberikan kepadanya jalan keluar/solusinya dengan berpaksikan beberapa prinsip asas.

Saya selalu katakan kepadanya (sentiasa “affirm” perasaan anak sebelum memberikan jalan penyelesaiannya),

“Apa yang abang rasa itu semua betul. Kita rasa sakit bila kawan pukul kita. Kita rasa tak best bila terpaksa nyanyi-nyanyi dan menari sebab abang tak suka benda tu. Betul. abang tak bersalah. Tapi, abang kena ingat yang hidup kita ni kadang-kadang tak dapat semuanya yang kita suka. Kadang-kadang, kita kena buat juga benda yang kita tak suka tu. Sebab benda yang abang tak suka tu pun ada ilmunya juga tapi kita ambil pengajaran. Kita pergi sekolah untuk dapat ilmu kan? Allah suka orang yang berilmu?

Itu namanya warna-warni dalam kehidupan. Ada benda yang kita suka, ada benda yang kita tak suka. Kita kena rasa dan laluinya jugak. Macam pelangi. Ada banyak warna. Bukan ada warna yang abang suka aje kan? Jadi, abang kena bertahan bila ada kawan pukul abang. Nanti mak ajar abang cara mempertahankan diri. Bukan lawan dia semula tau. Cuma pertahankan diri. Best!

Dan nanti bila konsert abang dah habis, abang akan rindu kawan-kawan dan cikgu sebab masa suka-suka macam ni abang dah tak lalui lagi. Sekejap je ni. Abang ikut je apa yang cikgu suruh. Kalau abang nyanyi, buka je mulut. Orang dengar ke tak, tak apa-apa, asalkan orang nampak abang buka mulut. Kalau menari tu, abang goyang je kiri kanan. Tak apa-apa kalau abang tak pandai menari. Sebab mak tahu abang pandai buat elektrik lampu dengan kipas kan! Tak apa, mulai esok, kita kena jadi lebih bersabar dan rajin datang sekolah sebab kita nak cari ilmu lain kan. Kali ni je abang buat. Lain kali taknak buat pun tak apa. Boleh abang bersabar?”

Dan benar, semasa konsert akhir tahun yang lepas, walaupun mikrofon itu disuakan kepadanya tetapi suara orang sebelah yang kedengaran lebih kuat dari suaranya. Hahaha!

Kesimpulannya, kebanyakan perkara berlaku yang mempengaruhi anak-anak kita di sekolah/ di luar rumah adalah berada di luar bidang kuasa kita atau di luar kawalan kita.

Tetapi, sentiasa ingat bahawa anak kita adalah di dalam bidang kita sendiri. Malah, ia harus dimulakan dengan diri kita sendiri.

Diri kita = dalam kawalan kita. Sekali lagi, KETELADANAN menjadi tunjang bagi ke semua faktor pembolehubah ini.

Nasihat dan kata-kata prinsip harus dipasakkan dalam diri anak-anak supaya ia menjadi pegangan hidupnya di masa mendatang juga sebagai pembentukan nilai yang jernih bermula dari rumah.

Ulang dan ulanglah prinsip asas kehidupan yang positif yang boleh menjadi persamaan nilai dan konsep kehiudpan kita dan anak-anak.

Bermula selepas mendengar aktiviti hariannya setiap hari hingga waktu sebelum tidur.

Sentiasa ingatkan tujuan kehidupannya dan apa yang akan dilakukannya esok hari. Dan latih anak mempunyai niat untuk ke sekolah kerana Allah. Ini sangat penting!

Maka, keesokan paginya kita hanya perlu menyanyikan lagu “Lompat si katak lompat” saja supaya pagi harinya ceria tiada tekanan lagi. Hehe..

Apabila si abang mudah bangun pagi, si adik akan mencontohi abangnya dengan mudah sekali.

Pengaruh rakan sebaya di dalam rumah juga sangat kuat peranannya.

Moga Allah permudahkan urusan puan menghadapi isu ini bersama anak-anak dengan baik. Insha Allah. Selamat mengukir pelangi! smile emoticon

Wallahu ‘alam.


‪#‎senibercakapdengananakkecil‬
‪#‎daripetisoalanhiduppenuhpilihan‬

Tiada ulasan:

#jdtblogger #teambloggerjohor