Khamis, 26 Mac 2015

Anak tidak suka mengaji



Dari peti soalan :

Assalam kak. Sy nak minta pendapat & nasihat sikit. Cuti sekolah ni anak sedara sy lelaki umur 6 tahun akn duduk dgn sy selama sebln.
Parents divorced & tggl dgn mak n sorg adik perempuan.
Anak sedara sy ni agak nakal, xboleh ditegur, mengamuk kalau kena nasihat, negatif & suka marah.
Mmg kena sabar je kalau duduk dgn dia.
Boleh akk bg masihat mcm mna sy nk buat?
Terima kasih kak
Lagi satu kak.. Smlm suami sy ajk dia mengaji,dia xnk.
Dia dh nk masuk drjah 1 tp cuma tahu bberapa surah. Xsampai 10 pn.
Mcm mna nk bg dia minat mengaji kak?
Maaf lah kalau byk pula soalan.


Jawapan :

Wa ‘alaikumussalam adikku.

Pertamanya, mohon maaf atas kelewatan jawapan balas ini.

Ada SATU perkara yang perlu dilakukan dalam isu ini. Ia juga adalah perkara WAJIB BUAT oleh semua ibubapa atau orang dewasa lain apabila berhadapan dengan anak-anak yang mempunyai isu tertentu.

BERSIHKAN CERMIN PANDANG.


Peraturan ini adalah asas bagi semua ibubapa/penjaga. Walaupun kita tahu perangainya bagaimana dan sedia maklum isu yang dihadapinya apa, cuba paksa diri kita untuk membersihkan “pandangan” terhadap anak tersebut.

Saya tahu ia sukar. Saya ingin menceritakan satu ibrah.



Kadangkala, saya suka tertonton (maksudnya saya nak tonton cerita lain apabila buka tv tapi tanpa sengaja saya menekan channel secara rambang) beberapa rancangan mengenai haiwan.

1. Mengenai ikan jerung. Saya tontonnya bersama anak-anak. Bagaimana jerung yang ganas dapat mengesan manusia yang berenang berhampirannya dalam air yang keruh. Salah satu tanda adanya jerung apabila air menjadi keruh. Di bahagian hadapan mukanya ada satu sensor yang membolehkannya mengesan heart-beat manusia walau dalam jarak yang cukup jauh! Apabila mendengar heart-beat manusia, tahulah dia yang mangsanya berada pada kedudukan berapa dan dia boleh mula menerkam secara tiba-tiba tanpa disedari oleh manusia.

2. Mengenai seorang pakar anjing yang menyelesaikan semua masalah anjing liar, yang bermasalah, suka menerkam dan sebagainya hingga tuan anjing tersebut akan memanggil pakar tersebut datang ke rumah kerana tidak mampu mengawal anjingnya lagi. Hngga ada sampai kes, dia mahu membuat keputusan untuk menembak mati anjingnya disebabkan telah mencederakan anak kecilnya dalam rumah!

Maka, si pakar anjing datang ke rumah dan meneliti perilaku si tuan anjing terhadap anjing yang bermasalah itu dengan beberapa anjing peliharaannya yang lain bersama-sama dengan keluarganya di dalam rumah.

Pendek cerita, kesimpulannya si pakar membetulkan beberapa perkara / amalan si tuan anjing tersebut supaya dapat mengawal keadaan jika mahu anjingnya mendengar cakapnya.

a- Ubah rentak kaki apabila berjalan. Berjalan dengan yakin dengan memberi isyarat kepada anjing itu bahawa kita tidak takut lagi kepadanya dan kitalah yang sedang mengawal keadaan, bukan dia.

b- Beri arahan dengan tegas! Dan jangan teragak-agak. Firm. Tapi bukan marah-marah.

c- Semasa berdiri di hadapannya, berika dia sedikit ‘space’ dan jangan terlalu dekat dan menolaknya dengan kaki. Pada kadaran penglihatan anjing, haiwan ini hanya dapat melihat kaki seseorang berbanding ‘facial expression’ tuannya. Dalam kata lain, perlu tingkatkan skil berjalan. Ada bahasa-bahasanya tersendiri.

d- Sentiasa tenang. Tak kira apa jua yang dinyalakkannya. Misalnya, si anjing sangat sensitif mendengar orang datang ke rumahnya yang menyebabkannya menyalak tak tentu hala dan menyerang posmen dan tetamu. Amat penting kita menenangkan diri terlebih dulu sebelum kita bangun membuka pintu. Anjing boleh mengesan gema jantung orang yang berhampiran dengannya.

3. Mengenai seorang pakar kucing dengan kucing-kucing yang bermasalah. Ada satu kes di mana kucingnya tiba-tiba mengamuk dan menyerang tuannya serta bayi yang baru lahir. Sebelum ini, kucing tersebut tidak pernah mengamuk sebegitu. Hinggakan tuannya bersama anaknya terpaksa mengurungkan diri di dalam bilik tidur dan sangat takut untuk keluar dari bilik! Tuannya juga terpaksa menelefon 911 meminta bantuan kerana kucingnya mencakar-cakar pintu bilik tersebut.

Apabila si pakar kucing sampai, dia bersikap tenang dan bercakap dengan berbisik. Katanya, jangan buat sebarang bunyi bising atau mengeluarkan suara langsung. Biar dia seorang (bersama seorang cameraman) masuk ke rumah mencari kucing tersebut bersembunyi (setelah menyedari ada orang datang ke rumah si kucing menyembunyikan dirinya).

Si pakar kucing menjumpainya menyorok di belakan sebuah almari lama. Matanya bersinar-sinar tanpa berkelip, sedikit mendongak apabila memandang orang di hadapannya. Si pakar memberikan beberapa tips :

a- Lihat matanya. Bersinar-sinar, bulat, anak matanya semakin membesar. Tidak berkelip. Dia sedang marah dan tidak menjadi sifat seekor kucing. Dia merasakan yang dia seperti sesuatu yang lain. Berikan masa kepadanya..

b- Cuba mendekatinya perlahan-lahan. (Sambil bercakap dengan kucing tersebut dalam nada yang berbisik memberitahu semuanya ok, tidak perlu takut lagi, tidak perlu marah lagi, saya ada di sini di sisi kamu bla bla bla.... Memujuk dengan penuh kelembutan..)

c- Ambil sedikit makanannya dan menyuakan kepada si kucing. Cuba mengusapnya.

d- Lihat matanya kembali. Anak matanya mula mengecil dan matanya mula berkelip. Kepalanya sudah mula menunduk sedikit. tidak lagi mendongak seperti tadi. Si kucing mula mendekati makanan yang disuakan.

e- Katanya amat penting untuk memberi isyarat kepadanya bahawa kita di sini sebagai kawan (walaupun pertama kali berjumpa) dan bukan mahu cari gaduh dengannya. Ia juga dikenali sebagai \ketenangan’ yang diperlukan ketika menghadapi kucing yang bermasalah. Kucing boleh tahu ritma jantung manusia di hadapannya. Samada kita takut dengan dia atau kita datang dengan perdamaian.

Jadi, penting untuk bertenang.

Inilah antara ibrah yang saya kutip semasa menonton rancangan mengenai haiwan di tv. Ia suatu yang mengujakan kerana dunia haiwan sudah tentu tidak sama dengan dunia manusia. Malah, manusia itu adalah sebaik-baik penciptaan yang Allah jadikan di atas muka bumi ini.

Subhanallah!

Namun begitu, ada beberapa poin penting yang saya dapati cara mengahadapi isu tertentu itu dapat diselesaikan dengan cara yang hampir serupa. Iaitu,

Ketenangan = Gema jantung = Ritma jantung = Heart-beat.

Apa yang kita fikir, kita pandang, kita rasa, akan diterjemahkan oleh jantung dan kemudian menghantar isyarat ke otak untuk melakukan sebarang gerakan, respon, tindakbalas.

Apabila kita memandang seorang anak kecil yang menjengkelkan seperti seorang banduan yang baru melarikan diri dari penjara atau pelaku dosa terbesar dalam dunia ini, bagaimana tindakbalas / perilaku kita terhadapnya?

Berlainan dengan...

Apabila kita memandang seorang anak yang belum mumayyiz, yang belum dicatatkan sebarang dosa ke atasnya walaupun perilakunya sangat menjengkelkan sebagai seorang yang putih bersih dan percaya tingkahlakunya itu bukan satu dosa yang besar malah, dia lakukan itu bersebab atas kelemahan kita orang dewasa yang gagal “mendengar” dengan baik dan hanya tahu memberikan arahan itu dan ini, bagaimana layanan kita kepadanya?

Cermin pandang sangat penting untuk dibersihkan setiap hari.
Ia mempengaruhi apa yang kita lihat, tidak semestinya kita percaya. Apa yang kita dengar, tidak semestinya betul.

Bagaimana kita memandang anak kecil di hadapan kita, itulah yang terbias dari pemikiran kita.

Maka, semak semula cermin pandang kita terhadap anak tersebut dan cuba sedaya upaya membersihkannya dari segala “hukuman minda” ke atas anak yang tidak berdosa itu. Jika ditakdirkan kita memukulnya hingga mati sekalipun (disebabkan kita tidak tahan dengan perangainya yang susah dan negatif segala serbinya), dia akan masuk syurga dulu dan bagaimana dengan kita?

Itu saja yang perlu dibuat.

Selain daripada itu, saya ingin kongsikan 4 model utama pembentukan anak-anak yang saya jadikan bahan perbincangan dalam program bulanan saya BICARA SANTAI : Mudahnya mendidik anak 0-7 tahun.

Inilah nilai yang boleh dijadikan teras utama kepada semua ibubapa/penjaga tidak kira ibubapanya bercerai atau tidak.

Namun begitu, ia memerlukan DUA KALI GANDA ke atas ibubapa yang bercerai. Inilah harga yang setiap pasangan yang bercerai harus telan dan kuat serta tabah menghadapinya. Ia boleh jadi mudah hanya apabila kita “bersihkan cermin pandang kita’ terhadap anak-anak setiap hari.

Bukan mudah tapi cubalah semampunya. Kita yang dewasa harus berubah dahulu jika mahu orang di hadapan kita berubah. Tiada pilihan lain. Jika tidak mampu juga untuk berubah, apa lagi yang boleh dilakukan, redah sajalah. Hehe..

Penerangan terperinci mengenai 4 model ini akan saya rekodkan dalam video untuk program bicara santai seterusnya bulan depan kerana tidak dapat hadir ke Batu Pahat atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Mungkin dengan video penerangan ini juga boleh dilanggan dan dilihat oleh orang ramai yang berhasrat mengetahui lanjut mengenai 4 model ini. Nanti boleh pm saya. Insha Allah.

Akhirnya, ingin saya tekankan. Mengaji bukan hanya satu jalan bagi menjadikan anak-anak menjadi seorang yang baik akhlaknya atau bertingkahlaku yang baik sepanjang masa. Mungkin, anak ini belum tahu dan tidak tahupun yang mengaji ini menyeronokkan atau perlu dilakukannya.

Malah, dia sendiri tidak pernah melihat apa keperluan dan keseronokkan mengaji apatah lagi jika dia sendiri tidak pernah nampak ibu atau ayahnya atau penjaganya mengaji di hadapannya sambil memeluknya erat. Dia cuma tiada 'feeling’.

Apabila kita sendiri yang dewasa ini 'tiada feeling’ untuk membuat satu pekerjaan apatah lagi apabila selepas dimarahi oleh bos besar, adakah kita masih mahu meneruskan pekerjaan tersebut atau kita take 5 dulu mengopi di luar? Atau berfacebook dulu update status yang kita sedang bengang dengan bos?

Sama 'feelingnya’ dengan mana-mana manusia. Jika tiada feeling lagi, usahlah dipaksa. Kita penat, dia penat, syaitan mencucuk, marah, marah, marah, tampor, pukul, cubit, hanger, itu saja cara kita dapat melepaskan perasaan dan memuaskan hati yang sedang kepenatan lagi membara.

Akhirnya, anak itu tidak belajar apa-apa. Mengaji tidak. Bercakap yang baik pun tidak. Bertingkahlaku yang betul pun tidak. Belajar yang baik-baik pun tidak. Malah, belajar menguruskan kemarahannya sendiri pun dia tidak tahu kerana orang dewasa yang menjaganya itu tidak pernah mengajarkan bagaimana mengurus emosinya apalagi amarahnya sendiri. Yang dia nampak hanyalah kemarahan.

Inilah puncanya si anak menjadi pendendam, pemarah, penuh kebencian kerana tiada seorangpun yang memberinya peluang untuk belajar suatu perkara yang baik atau menunjukkan cara membetulkan kesilapannya bahkan terus menerus menghukumnya dari pelbagai arah, emosi, mental, fizikal yang akhirnya menyebabkan spiritualnya menurun dan lenyap tanpa pengisian. Kosong.

Apabila kita memahami 4 model seperti di bawah, akan wujud keseimbangan antara spiritual, emosi, mental dan fizikal. 4 teras ini amat penting bagi pembentukan yang sihat untuk anak-anak.

Terlebih/terkurang atau lompong salah satu daripadanya akan menyebabkan pembentukan sahsiah dan diri anak itu sendiri menjadi tempang.

Apa yang boleh dilakukan (sekadar cadangan) :

1. Tingkatkan sabar. Bertenang.

2. Banyakkan mendengar. Berbual dengan anak ini. Sebagai ibu saudara, dia boleh menganggap kita sama seperti ibunya sendiri.

3. Ajaknya bersolat bersama-sama. Dan doa bersama-sama dengan nada yang boleh didengarinya.

4. Bacalah al-Quran setiap hari sambil memeluknya. Gema jantung semasa air wudhuk masih ada amat pantas sampai kepada hatinya yang putih bersih itu. Selesai membaca al-Quran doalah apa saja di dalam hati. Sebut saja apa jua arahan kepadanya melalui hati. Sentuhan hati lebih pantas daripada sentuhan kata-kata. Dan berbicara tak semestinya melalui kata-kata.

5. Selepas itu, bercakap-cakaplah dengannya mengenai al-Quran. Apa yang ada dalam al-Quran dan apa yang Allah suka sahaja. Jangan menyebut dulu apa yang Allah tidak suka. Semasa dia membuat perangai, barulah memberi penjelasan kepadanya apa yang Allah tidak suka. Dan ingatkan semula apa yang Allah suka.

(Jika ada terbaca perkongsian saya di status sebelum-sebelum ini, saya ada menceritakan bagaimana kita boleh menjelaskan apa yang ada dalam al-Quran supaya anak-anak tahu keperluan membacanya. Boleh gunakan dialog yang sama).

6. Membentuk dan menerapkan 4 model ini secara perlahan-lahan dan semampu yang boleh. Namun begitu, kesinambungannya lebih kepada ibunya. Kata kuncinya adalah keseimbangan dalam 4 model ini.

7. Tahan marah. Ucapkan yang baik-baik saja. Telan perkataan yang negatif dan tidak baik. Pilih perkataan. Hentikan segala arus negativiti.

8. Balik pada poin no.1.

Semua anak-anak kecil yang belum mumayyiz itu syurga tempatnya. Siapalah kita?

Semoga Taufiq Allah bersama kita dan anak-anak syurga yang harus kita fahami dan sayangi. Allah bersama orang-orang yang sabar. Wallahu a’lam.



Tiada ulasan:

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...