رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Selasa, 27 Januari 2015

# homeschooling # keibubapaan

Perlukah mengajar anak mengaji dengan rotan?


"Kerana saya makan ubat/produk inilah saya dapat kuruskan badan."
"Kerana saya beri anak saya booster inilah anak saya jadi pandai."
"Kerana anak saya guna kaedah inilah anak saya jadi cepat membaca."
"Kerana saya rotan anak-anaklah akhirnya anak-anak dapat menghafaz al-Quran dan semuanya menjadi al-hafiz. Terima kasih kepada rotan."


Rasa seperti ada yang tidak kena.

Masyarakat hari ini amat berbangga dengan hasil usahanya sendiri. Melalui produk yang digunakan. Hingga terlupa kepada satu sisi yang pasti.

Lain orang lain pendekatannya. Saya menghormatinya. Namun, perlu berhati-hati.

Apabila kita meletakkan kebendaan/material/produk sebagai penyelamat/penyelesaian/asbab kita beroleh satu kenikmatan/kejayaan ditakuti itu lebih jauh tersasar dari tidak merotan anak yang tidak bersolat.

Moga Allah ampunkan dosa saya dan dosa kita semua.

Segala apa perubahan yang berlaku atas muka bumi ini adalah disebabkan hadirnya Hidayah dan Taufiq dari Allah Ta'ala semata-mata. Asbab doa ibubapa kita yang dimakbulkan Allah. Itu pasti.

Seperti yang saya kongsikan di dalam Ebook saya "Mendorong Anak Suka Membaca Al-Quran", walau teknik terbaik dalam dunia sekalipun yang kita gunakan namun, perubahan ke atas jiwa manusia itu tidak akan berlaku tanpa hadirnya Hidayah Allah : "Berusaha untuk menarik dan memperoleh Hidayah Allah di setiap sisi kehidupan".

Walaupun kita menggunakan rotan yang terhebat sekalipun dalam dunia ini sebagai cara mendidik, ia tetap takkan memberi makna jika tanpa Hidayah Allah Ta'ala. Setuju?


Baiklah. Pada asalnya, saya tidak berminat untuk mengambil posisi menyokong atau membantah ke atas akta baharu yang diperkenalkan ini. Saya tidak kisah jika ada akta ini ataupun tidak. Ia tiada beza.

Lagipula, cara mendidik ini pelbagai dan kita tidak boleh terlalu rigid ke atas satu-satu cara. Tiada satupun cara parenting yang betul-betul terbaik yang boleh digunapakai oleh semua ibubapa di dalam dunia ini.

Mengapa?

Kerana setiap anak itu berbeza dan dilahirkan dengan penuh keunikan tersendiri. Tidak akan sama dengan anak orang lain. Hanya kita sebagai ibubapanya yang lebih tahu bagaimana anak kita yang sebenar.

Saya suka untuk melihat isu ini begini.

Adakah rotan sebagai SATU-SATUNYA kaedah mendidik anak yang paling berkesan untuk semua anak?

Bagaimana jika saya katakan ada cara lain yang sama juga berkesan untuk mengubah tingkahlaku anak-anak?

Adakah rotan diperlukan bagi mendidik anak 0-7 tahun?

Adakah Rasulullah pernah memukul anak kecil yang berlari-larian dan bermain-main di hadapan orang bersolat di masjid?

Baiklah, anak yang tidak solat wajib dipukul apabila sampai umur 10 tahun. Adakah dipukul itu semestinya bermaksud menggunakan rotan?

Berapa kalikah suruhan dan ajakan bersolat itu diucapkan oleh ayah ibu kepada anak kecilnya sebelum si anak menginjak 10 tahun?

Dan kebiasaanya, apabila kita merotan anak selalunya kita dalam keadaan bertenang atau marah?

Apabila kita berkata-kata atau mengambil tindakan sedang dalam keadaan marah, apakah natijahnya?

Benarkah kita orang Islam yang benar-benar mengamalkan sunnah Baginda Rasul untuk mempertahankan rotan apabila marah dengan tujuan mendidik dan Rasulullah tidak pernah menganjurkan betapa pentingnya satu KESABARAN?


Allahumma solli 'ala Muhammad.

Benarlah Rasulullah itu ikutan terbaik bagi seluruh alam dan seluruh zaman.


Zaman kita membesar dahulu tidak boleh disamakan dengan zaman sekarang. Mengapa?


Zaman dulu, apabila kita dirotan kerana malas mengaji atau salah mengaji, suka atau tidak, kita perlu terus mengaji. Kita tiada pilihan lain. Selepas menerima selibas (atau beberapa libas), kita berasa sakit dan menangis berjanji akan mengaji dengan lebih baik esok hari. Atau mungkin kita akan terus malas untuk mengaji dan sudah tidak hairan dengan rotan yang sudah retak 1000 itu.

Atau kita akan tetap terus memanjat pokok rambutan kerana itu sajalah permainan yang wujud di zaman itu. Kita terus akan menangkap berudu dalam longkang kerana itu sajalah berudu yang tercomel yang pernah kita jumpa.

Lalu, di sebelah malam hari terasa ada tangan berkedut yang mengusap tempat sakit kita tadi meletakkan minyak. Tak lama selepas itu, terdengar doa yang dipanjatkan dengan rintihan setiap malam hari di saat semua anak sedang tidur.

Sejuknya doa seorang ibu telah mengubati segala kepanasan hati dan kesakitan libasan yang kita rasakan tadi.


Hari ini, kita mahu anak-anak kita merasa yang sama seperti kita dahulu supaya menjadi manusia macam kita sekarang. Tersalah mengaji sedikit atau malas mengaji anak-anak kita rotan. Sama seperti kita.

"Biar kamu jadi manusia macam ibu/ayah kamu dulu".

Menangislah anak-anak menahan kesakitan. Simpan dalam. Tidak dapat dilepaskan. Tidurlah anak dalam kesakitan.

Di lain masa apabila anak-anak duduk diam bermain tab/ipad dan berkelakuan baik kerana tidak mengganggu kerja kita, atau duduk diam di rumah orang, kita suka dan bercadang tidak merotan mereka kerana kita suka kelakuan mereka. Anak-anak pula menjadi seronok dan ketagih!

"Oh, papa dan mama tak marah pun bila kita main tab. Tapi selalu marah sampai kita rasa sakit bila mengaji. Jadi, kita perlu buat mama dan papa hepi, tak perlu marah-marah."

"Mama papa tak suka semuanya bila kita mengaji sebab tu asyik kena rotan. Bila kita main game duduk diam-diam, mama papa suka! Baik, kita buat apa yang mama papa suka."

"Papa mama ni asyik rotan aku bila mengaji. Salah sikit pun tak boleh. Baik aku main game. Papa mama takyah susah-susah nak rotan aku. Tak marah pun langsung. Aku pun tak lah kena tanggung azab ni. Ok, main game lagi best dari mengaji!"

Hari-hari seterusnya, kita berhadapan dengan anak-anak yang suka memegang tab/ipad di tangan setiap masa.

Bagi anak, "Ini saja caranya aku tidak perlu merasa sakit akibat dirotan. Berkelakuan baik dengan duduk diam-diam bermain tab/ipad."

Lalu, kita akan terus menggunakan rotan untuk mendidik anak-anak supaya menjadi manusia yang mencintai al-Quran. Sama seperti kita dulu.


Satu soalan yang bermain di fikiran saya.

Apakah yang akan kita jadi sekiranya dahulu, ibu ayah kita menghabiskan banyak masa di hadapan laptop / handfon dan membiarkan kita bermain game sepanjang masa walaupun di rumah orang?

Dan sekiranya kita ini seorang kanak-kanak yang belum baligh, ibu ayah kita memberikan kita ipad sendiri untuk tidak mengganggunya membuat kerja / menonton tv, tapi merotan kita kerana salah mengaji, manakah satu pilihan rutin yang kita suka lakukannya?

Dan lebih penting lagi, adakah semestinya guru mengaji perlu menegur kesalahan bacaan dengan rotan baru "jalan"? Asbab dia mengetahui hanya rotan saja dapat membentuk manusia menjadi manusia?


Jika seorang pemain bola sepak memerlukan strategi yang berlainan setiap kali berhadapan lawannya yang berbeza di padang untuk menang perlawanan,

Jika seorang ahli perniagaan perlu merancang strategi perniagaan mengikut peredaran masa bagi memastikan perniagaanya terus relevan,

Jika sebuah rumah penerbitan terpaksa akur dengan perubahan zaman yang mewajibkan penulisnya membina khalayak sendiri sebelum buku dijual,

Bagaimanakah kita sebagai ibubapa yang mahu membentuk dan membina insan (bukan sekadar manusia) masih mahu menggunakan cara lama (yang dianggap sudah terbukti berjaya), enggan berazam menukar strategi baharu sesuai dengan zaman kehidupan anak-anaknya melalui ilmu pengetahuan?


Adakah material (kebendaan) lebih hebat daripada Hidayah Allah?

Moga Allah fahamkan saya dan kita semua.


ISLAM DAN MEROTAN ANAK
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ada pihak cuba menggambarkan seakan merotan ataupun memukul anak merupakan satu tuntutan dalam pendidikan Islam. Kenyataan mereka ini boleh memberikan gambaran yang salah mengenai kesantunan dan kerahmatan Islam itu sendiri. Lebih buruk lagi kenyataan itu dibuat pada musim Islam ditohmah sebagai agama yang ganas. Saya ingin menyebut beberapa perkara dalam merotan anak di sini;

1. Asas pendidikan dalam Islam ialah panduan yang jelas, tunjuk ajar yang penuh hikmah (wisdom) dan contoh teladan yang baik. Inilah isyarat al-Quran dalam Surah al-Isra ayat 24 ketika mengajar kita berdoa untuk ibubapa dengan doa:
“Katakanlah: wahai Tuhanku kasihanilah kedua mereka (ibubapaku) SEPERTI mana mereka membesarkanku semasa kecil”.
Ertinya, jika diteliti dari arahan doa yang diajar oleh al-Quran tersebut bahawa pendidikan ataupun membesarkan anak (bringing up process) yang menjadi tanggungjawab ibubapa hendaklah dengan sifat kasihan ataupun rahmah (mercy). Justeru, hanya ibubapa yang membesarkan anak dalam suasana kasih simpati sahaja yang mendapat bahagian dari doa ini. Allah mengajar doa kepada anak, tapi dalam masa yang sama mengingatkan ibubapa tentang cara mendidik dan membesarkan anak.
2. Adapun hadis tentang memukul anak, hendaklah dilihat dalam kerangka maksudnya yang betul. Di sana juga ada ayat al-Quran (Surah al-Nisa: 34) yang menyebut tentang memukul isteri, apakah selepas ini kita akan mempertahankan perangai sesetengah suami yang suka memukul isteri?! Ayat itu berkaitan isteri yang nusyuz (derhaka) setelah segala proses pendidikan yang baik gagal. Sementara suami pula seorang yang bertanggungjawab menunaikan segala kewajibannya di sudut nafkah zahir dan batin. Pukulan pula dengan cara yang tidak mencederakan dan meninggalkan kesan kesakitan yang serious tetapi sekadar memberikan amaran tentang kesungguhan maksud suami. Hanya dalam suasana sebegitu di samping suami dengan ciri yang begitu sahaja boleh memukul isteri dengan syarat yang disebutkan tadi.
3. Tiada galakan dalam nas Islam agar kita memukul anak. Bahkan kita tidak wajar memukul anak yang belum mumayyiz (mampu membezakan antara yang baik dan buruk). Hadis hanya menyebut memukul pada umur sepuluh tahun setelah melalui proses yang panjang. Sabda Nabi s.a.w:
“Suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun” (Riwayat Abu Daud, sahih).
Ertinya, ketika berusia tujuh tahun saban hari sebanyak lima waktu dia mendengar perintah bapa atau ibunya ‘marilah bersolat’. Maka, selama tiga tahun lamanya dia akan mendengar seruan kepada solat dengan penuh cinta dan manja. Tanpa kekerasan, tanpa paksaan. Pujukan demi pujukan. Sehingga perintah solat sebati dengannya dan dia memahami maksud solat. Solat diingati bersama hubungan kasih sayang ibubapa yang berbicara dan memujuknya setiap kali azan berkumandang. Mungkin pelbagai upah dan janji diberikan. Dia bermesra dengan bapanya yang akan membawanya ke tempat solat. Dia mempelajarinya dari pelajaran dan teladan. Tidak dipukul melainkan setelah tiga tahun melalui tempoh ini. Jika dia dipukul pun setelah berusia sepuluh tahun, dia akan faham itu adalah pukulan kasih dan cinta. Pukulan itu tidak mencederakan atau mendapatkan kesakitan yang serious.
4. Ertinya, betapa untuk sampai kepada tahap memukul memerlukan satu proses yang panjang padahal itu membabit soal asasi dalam hayat seorang muslim iaitu solat. Maka, mana-mana bapa sewenang-wenang memukul anak, dia bukan seorang bapa yang baik dan telah melanggar ajaran agama. Lebih malang lagi jika bapa itu sendiri bukan teladan yang baik seperti bapa yang merokok memarahi anaknya merokok. Sama juga bapa kurang bertanggungjawab terhadap nafkah dan pendidikan anak, tiba-tiba memukul anak, maka mereka adalah pengkhianat amanah Allah.
5. Kegagalan pendidikan hari ini, tiada kaitan dengan rotan ataupun tidak, tetapi berkaitan dengan faktor penting pendidikan insan itu sendiri iaitu; kejelasan arah dalam pembentukan anak, teladan yang baik dan suasana yang membina. Inilah tiga faktor penting yang telah dimusnah oleh pelbagai keadaan. Mereka yang cuba mengaitkan merotan anak sebagai kejayaan pendidikan Islam adalah satu kedangkalan yang nyata.
6. Jika ada ibubapa yang memukul anak tanpa alasan yang benar, dalam keadaan yang tidak munasabah, mendatangkan kecederaan yang kekal ataupun kesakitan yang serious, maka itu bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh untuk pemerintah menganggapnya sebagai satu jenayah untuk diambil tindakan.


Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor