رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Rabu, 15 Oktober 2014

# homeschooling # keibubapaan

Pertama kali bersama Harian Metro












Asalnya, saya mendapat panggilan telefon pada satu petang dalam bulan Ramadhan.

Ketika itu baru selesai menyusukan Fahmi (1 tahun). Nombor KL (03) yang tidak dikenali itu menggusarkan sedikit hati ini. Saya tidak angkat panggilan itu.

Tak lama kemudian, saya menerima SMS daripada satu nombor yang memperkenalkan diri daripada Harian Metro. Katanya mahu interview saya mengenai cara mengajar mengaji anak kecil. Beliau memohon untuk hubunginya semula apabila sudah bersedia.

Saya terus berada seperti di awang-awangan.

Benarkah ini?

Boleh percayakah?

Takkanlah kot senang sangat orang suratkhabar boleh jumpa siapa saya?



Terus update status di FB.. Hehe..

Lalu, saya membalas SMS tersebut dan menetapkan masa selepas solat Asar nanti saya akan bersedia.

Di dalam doa solat Asar itu, saya memohon perlindungan dan bantuan daripada Allah. DIA jualah yang lebih tahu.

Selang beberapa saat selepas selesai semuanya telefon berdering semula.

Beliau mengambil sedikit sebanyak data pengenalan saya. Dan saya pula bertanya daripada mana mendapat nombor saya ini?

Katanya melalui carian Google sahaja dan terbaca blog saya.

Saya bertanya lagi blog yang mana satu? Di sukamengaji.blogspot.com kah?

Katanya bukan. Di sini.

Ohhh...

Lalu, beliau bertanya hanya 2 soalan sahaja saya kira. Lebihnya saya sendiri yang menceritakan daripada A-Z. Lengkap asal usul "kerjaya" saya sehinggalah penghasilan Kad Imbas Khadijah termasuk caragunanya sekali. Di akhir perbualan, beliau seperti tidak tahu mahu menyoal apa lagi. Kerana tanpa soalan pun saya sudah bercerita itu dan ini.. Hehehe..

Beliau hanya meminta saya menyediakan gambar mengajar mengaji kepada anak-anak. Katanya gambar di blog semuanya blur.

Baiklah. Saya cuba. Lagipun beliau hanya mahukan 3 keping gambar saja dengan 1 keping gambar mugshot. (Saya terpaksa google apa itu mugshot. Saya tak tahu langsung mengenainya. Hihihi..)

Mahu jadi cerita keesokannya anak-anak saya bertiga ini diserang demam tiba-tiba dan muntah-muntah. Hingga semuanya lembik. Saya pastilah kehairanan. Mungkin juga mereka tersalah makan.

Dalam hati sudah menangis.

Peluang yang mungkin datang sekali seumur hidup ini entah dapat dilunaskan atau tidak. Malam itu saya berdoa. Ya Allah, jika ini baik untukku dan agamaku sembuhkanlah anak-anakku ini esok hari. Maka, sempatlah untuk aku mengambil gambar.

Malam itu, anak-anak muntah dengan agak teruk. Panas mencecah 40'c.

Tak mengapa. Saya positif untuk tidak membawanya ke hospital. Kerana saya sendiri merawatnya berdasarkan rawatan dan perubatan komplimentari. Fokus dan sabar.

Esok paginya, mereka semua bangun sambil tersenyum. Suhu seperti biasa. Makan juga sudah boleh seperti biasa. Seperti tiada apa-apa yang berlaku semalam hari. Mereka bermain, bergelak ketawa, usik mengusik seperti sediakala. Ya, sekali lagi saya kehairanan.

Tengahari itu, petang hingga ke malam hari saya memujuk mereka untuk "pose". Hingga mereka penat katanya...Hehe.. Itupun apabila nampak mood mereka ok sedikit, terus "pose" banyak kali sehingga background lupa untuk dikemaskan. Tangkap mana yang ada saja. Jadi, maafkan sajalah jika gambar untuk masuk ke surat khabar ini benar-benar kelihatan kekampungan dan kelihatan tidak bersedia langsung. Ia memang spontan. Ambil pun hanya daripada kamera telefon.

Apabila sudah diemel kepada wartawan tersebut katanya blur. Saya ambil sekali lagi gambar melalui telefon suami pula.

Emel semula. Blur lagi.

Ambil gambar sekali lagi. Hantar emel.. Blur lagi.

Allah! Menurutnya bos sudah baca dan ini adalah menarik. Bosnya suka untuk terbitkan Rabu depan. Tapi, gambar masih tidak dapat lagi. Sudah lebih 3 hari.

Lalu, saya meminta pertolongan di FB jika ada yang sudi meminjamkan kamera canggih. Syukur ada yang sudi menolong namun disebabkan faktor masa, jadual kami berselisih dan agak mustahil untuk meminjam kamera orang yang mahal. Saya sendiri tak berani memegangnya. Menggunakannya pun tidak pandai. Hehe..

Lalu, saya nekad. Ini sajalah gambar yang sebaik yang ada dan boleh diperolehi. Jika blur juga tak mengapalah jika mahu direject.

Selepas seminggu menuggu tidak terbit. Saya sangka betullah samada saya kena tipu atau direject kerana gambar blur.

Dua minggu selepasnya, saya menerima perkhabaran mengejut! Saya tidak tahu langsung ia diterbitkan hari itu.

Sampai di rumah emak saya tiba-tiba emak bertanya anak saya, Fatihah.

"Tiha.. Tiha nak tengok gambar Tiha dengan abang tak?"

Saya terdengar dan bertanya, "Gambar Tiha yang mana mak? Gambar dia masa kecik ke?"

Lalu, emak menunjukkan surat khabar.

"Eh! Ya Allah!"

Saya benar-benar terkejut dan tidak sangka langsung! Saya sudah berasa kecewa lagi hampa sejak seminggu yang lepas.

Subhanallah! Syukur alhamdulillah!

(Tak kena tipu rupanya hehe..)

Setinggi-tinggi penghargaan saya buat wartawan tersebut kerana sudi menemubual dan menjadikan hidup saya penuh warna-warni pada bulan yang mulia ini.. ;)

Harian Metro tanggal 23 Julai 2014 bersamaan 25 Ramadhan 1435H.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------





Pertama kali dalam hidup. Hadiah paling bermakna buat Ulangtahun kelahiran saya dalam bulan ini.

Manis.

Walaupun sedikit terkilan kerana ada beberapa perkara yg 'misquote' tapi ia satu pendedahan yg terbesar dalam hidup saya dan anak-anak.

Alhamdulillah.

Ada tiga cara bagi pendidikan awal al-Quran bagi anak kecil yang saya praktikkan ke atas anak-anak saya dan anak-anak didik (tidak dimasukkan ke dalam tulisan surat khabar hari ini) ialah :

1. Memperkenalkan ciri-ciri huruf tunggal sebagai asas (tanpa baris) dan fungsi baris yang asas sebagai permulaan (basic ground). Konsep ini saya terjemahkan dalam bentuk yang menyeronokkan dan menekankan konsep belajar sambil bermain/bersiar-siar iaitu melalui Kad Imbas Khadijah & Poster Belajar Hijaiyyah Suka Mengaji.

2. Terus membaca Muqaddam atau apa jua jenis buku kaedah bacaan seperti Iqra', al-Furqan dan lain-lain. Ini kerana apabila asas sudah dimantapkan dalam pembelajaran anak-anak, proses seterusnya iaitu membaca apa jua jenis buku atau mengikuti apa jua kaedah pembelajaran al-Quran sekalipun sudah tidak menjadi masalah lagi. Malah, bacaan akan menjadi lancar disebabkan sudah ada asas yang kukuh.

3. Dalam masa yang sama, mendorong anak kecil menghafaz bermula daripada surah-surah lazim yang mudah diikuti dan dilafazkan sebelum menghafaz surah-surah yang panjang. Di sini, bagi menggalakkan anak kecil tidak merasa terbeban dengan hafazan al-Quran. Apa yang penting adalah semangat dan kesinambungan anak-anak untuk terus mempunyai dorongan serta kesabaran dan minat yang tinggi sehingga dewasa untuk menjadi penghafaz al-Quran adalah disebabkan diri sendiri dan bukan kerana paksaan sesiapa.

Anak kecil punya perjalanan yang sangat panjang untuk melalui proses belajar membaca seterusnya menghafaz al-Quran. Pupuk semangat itu sejak kecil dan sebagai ibubapa (sekolah pertamanya di rumah) haruslah terus mendorong anak-anak sebaiknya dan bukan dengan memaksa mereka.

Nota : Tulisan di dalam suratkhabar ini kebanyakannya diambil bulat bulat dari dalam blog saya iaitu http://khadijahgani.blogspot.com/ dan http://sukamengaji.blogspot.com/

Di sebalik kamera : Mohd Kamal Bin Mustafa



Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor