رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Jumaat, 17 Mei 2013

# keluarga # perjalananku

16 Mei

Hari ini genap 5 tahun usia perkahwinan saya bersama suami tersayang, Mohd. Kamal bin Mustafa. Segala puji hanya kepada Allah! Alhamdulillah...

Dikurniakan 3 orang anak yang baik dan rajin menolong saya mengemas rumah, membasuh baju, menyidai baju, menyapu sampah termasuk melipat baju dan meletak baju masing-masing di dalam laci baju sendiri. Inilah harta yang saya ada - Fathi 4 tahun, Fatihah masuk 3 tahun bulan depan dan Fahmi 3 bulan. Fahmi pula tidak banyak kerenah. Sangat mudah menjaganya. Malam hari hanya sekali saja dia bangun dan menyusu kemudian terus saya terbangun untuk bersolat subuh. (Sebenarnya, emaknya yang tidur tak sedar-sedar haha)..

Apabila Fahmi sudah 3 bulan ini barulah saya boleh meneruskan aktiviti saya memasak kek atau pencuci mulut seperti biasa untuk dihantar ke kedai. Inilah sumber pencarian kecil-kecilan saya. Masih merangkak-rangkak kerana ada anak kecil yang perlu diberi perhatian. Selalunya, terpaksa juga 'berperang' dengan anak-anak untuk menyiapkan juga sumber pendapatan saya ini. Saya tidak mengambil upah daripada Kelas Mengaji. Biarlah ia menjadi saham saya di akhirat kelak. Jika diizinkan Allah.

Oleh kerana durian belum musimnya lagi, maka sebagai alternatif saya akan meletakkan Puding Strawberi-Coklat Karamel saya di restoran adik ipar di mana saya meletakkan Durian Crepe sebelum saya bersalin tempohari.



Bagi tempahan Durian Crepe hanyalah apabila tiba musimnya sahaja. Manakala, Puding Strawberi-Coklat Karamel ini saya sudah test pada anak-anak saya terlebih dahulu. Ada juga saya test dulu pada rakan baru saya tempohari. Katanya, Karamel saya tak berbau hanyir telur langsung..hehe..

Sebab itulah, asal saya buat saja, terus habis dikerjakan anak-anak. Asal habis saja, mesti saya baru buat untuk anak..hehe... Jadi, tak sempat untuk dihantar ke restoran tersebut lagi. Mungkin akan ada di pasaran dalam minggu hadapan. Insha Allah!

Dalam masa yang sama sekarang juga, saya sibuk dengan pengajian atas talian saya (Coursera) dalam subjek Child Nutrition and Cooking. Sudah lama menyimpan hasrat mahu sambung belajar semula tapi belum kesampaian. Apabila Tuan Suami memperkenaalkan saya tempat saya boleh menimba ilmu baru tanpa perlu meninggalkan rumah dan anak-anak, saya jadi teruja untuk belajar percuma di atas talian ini.

Untuk orang seperti saya, cukuplah mendapat Certificate of Achievement yang akan diberikan oleh Stanford University ini kelak apabila sudah berjaya menghabiskan 5 minggu pembelajaran atas talian. Saya tak memerlukan sijil lagi untuk memohon kerja. Saya hanya memerlukan ilmunya sahaja. Alhamdulillah, setakat 2 minggu ini kuiz dan assignment saya mendapat markah yang sangat bagus!

Sama seperti semasa saya belajar di UIA dulu. Sibuk membuat kuiz dan assignment dan berlumba-lumba mendapatkan markah yang bagus.hehe.. Dan saya sedang bersaing dengan 22 000 orang pelajar antarabangsa yang lain!

Di pagi hari, saya akan masuk ke kelas dan menjawab semua soalan kuiz yang disediakan. Markah kuiz mingguan mewakili 70% dan assignment akan mewakili 30% pemarkahan keseluruhan. Sekarang, saya sedang curi masa dalam kelas lah ni..!hoho..

Selain tidak perlu meninggalkan rumah dan anak-anak untuk sambung belajar, ada lagi kelebihan lain belajar atas talian begini. Sambil belajar dalam kelas pun saya masih boleh menyusukan anak dengan selesa di atas katil!hehe.. Saya sangat gembira dengan situasi sekarang. Tak sabar untuk menghabiskan pembelajaran atas talian saya ini lagi 3 minggu.

Ermm, mungkin tiada orang/organisasi yang akan mengiktiraf subjek yang saya ambil ini untuk satu-satu jawatan tertentu. Tapi, ia dibuat untuk kepuasan diri saya sendiri kerana saya merasakan sudah bukan lagi masa untuk saya memuaskan kehendak orang lain. Saya sudah boleh bergerak sendiri dan menentukan apa yang saya mahukan dalam hidup saya dan anak-anak terutamanya.

Di sebelah petang pula, aktiviti saya selepas menidurkan anak, sangat terhad kepada penulisan Ebook saya yang belum siap-siap lagi ini.. Sekarang, baru sampai Bab 16. Saya perlu menyiapkan 30 bab semuanya untuk dihantar ke publisher. Arghhh, juga masih terkial-kial...

Kadangkala, seorang anak terbangun awal dan saya tak boleh meneruskan penulisan. Terpaksa melayan kehendaknya mahu makan itu dan ini. Selalunya, bagi mengelakkan dia mengganggu adiknya yang kecil ini tidur, saya mengajaknya ke dapur untuk membuat kek. Anak-anak akan melihat saya memasak apa saja di dapur. Diam-diam mereka pun kelam kabut jugalah di dapur dengan anak-anak 4 dan 3 tahun ini..hehe..

Tapi, saya sangat bersyukur kerana kadangkala emak saya mengambil Fathi dan Fatihah ke rumah menemaninya. Yang besar-besar sudah pandai bawa diri. Apabila 2 orang sudah berada di rumah neneknya, bolehlah saya punya masa lebih sedikit untuk menulis.

Pada malam hari pula, saya sibuk dengan mengajar mengaji dengan anak-anak mengaji yang ramai. Semuanya kalau boleh mahu datang setiap hari dan tak mahu mengaji dengan pembantu saya pula tu. Ada segelintir saja saya berjaya pujuk untuk mengaji dengan pembantu saya di sebelah. Jika tidak, sekali baca saya harus mendengar dan melihat 3 orang sekaligus mengaji! Ditambah pula si kecil Fahmi yang kadangkala merengek tidak mahu baring seorang diri. Terpaksalah saya memangkunya sambil mengajar ngaji. Dengan abahnya pun dia tak mahu.. Alahai..

Saya sebenarnya sudah lama tidak membaca news feed. Sahabat-sahabat, maafkan saya kerana lama tidak dapat mengikuti cerita kalian. Saya banyak 'ketinggalan keretapi'.. Maafkan atas kekurangan saya ini ya.

Sekarang, saya hanya sempat kemaskini status di facebook dalam keadaan mana yang sempat sahaja dan 'mahu cepat'. Kasihan blog ini dan blog sukamengaji saya belum sempat dikemmaskini lagi. Banyak cerita yang mahu diabadikan. Sebagai nota kecil, itulah saya pacakkan di wall facebook saya sebagai peringatan untuk saya muatkan dalam blog nanti. Bukanlah tujuan saya untuk menunjuk-nunjuk. A'uzubillahi min dzalik!


Siapa kata menjadi surirumah tidak boleh sambung belajar?

Siapa kata menjadi surirumah hanya duduk diam goyang kaki menikmati masa bersama anak-anak?

Siapa kata menjadi surirumah tidak sibuk dan banyak masa di dapur?

Siapa kata menjadi surirumah kerana sudah kaya dengan hanya pendapatan suami?

Semuanya berbalik kepada diri individu itu sendiri. Kerjaya surirumahtangga ini sangat fleksibel. Jawatan anda akan kerap bertukar sekerap situasi yang berlaku pada satu-satu masa dan begitu juga job scope anda. Kebanyakan masa adalah mengenai bagaimana anda sendiri mahu isi rutin dan corak aktiviti harian anda. Tanpa pantauan sesiapa ataupun tanpa mengharap penghargaan daripada sesiapa.

Namun, diingatkan tidak semua orang sesuai dengan kerjaya ini. Saya pernah berjumpa dengan seseorang yang kerap migrain akibat menguruskan 4 orang anak yang masih kecil dan tiada kehidupan sosial kerana tidak boleh keluar rumah langsung, hanya duduk di rumah bersama anak-anak yang 'riuh' membuatkannya selalu migrain. Akhirnya, tugas menjaga anak kecil 3 orang itu diserahkan kepada anaknya yang sulung berusia 11 tahun.

Semuanya mengenai apa yang anda mahukan dalam hidup dan bagaimana anda mahu mencorakkannya. Ia juga harus seiring dengan keupayaan dan sistem hidup yang anda miliki.

Mulalah berfikir, apa yang anda mahukan dalam hidup ini dan hidup di sana. Sesungguhnya, hidup di sini menentukan kecemerlangan kita di akhirat sana. Di sanalah yang lebih kekal abadi. Tapi, sebelum itu, semuanya bermula di sini...

Selamat menikmati hidup! :)


Tiada ulasan:

#jdtblogger #teambloggerjohor