Ahad, 28 April 2013

Mendorong orang suka pada kita

Ini adalah catatan sepertimana yg pernah saya kongsikan daripada wall FB saya sedikit masa dahulu. Dari peti soalan lama.



Beberapa hari yg lalu, saya mendapat soalan daripada seorang kenalan fb. Menurut beliau, mahu berkongsi dan dijadikan bacaan sisipan dalam bukunya bertajuk 'Islamic Parenting' yg sedang diusahakannya bersama Telaga Biru sedikit masa lagi.

Soalan : Bagaimana caranya khadijah motivate anak2 ini hingga suka dan mahu solat?

Jawapan : Terima kasih puan kerana bertanyakan soalan yg saya tak pernah terfikir pun sebelum ini. Kerana itu saya suka apa jua jenis soalan.hehe.. Soalan ini amat baik untuk perkongsian ramai. Saya suka berkongsi.

1. Buat orang suka pada kita. Ia bukan mudah seperti membacanya dan bukan pula sesuatu yg perlu dibuat-buat. Dalam apa jua keadaan samada ingin mendorong anak-anak atau pelajar atau sesiapa saja [konsep berdakwah itu sendiri] pertama sekali kita harus selesakan diri antara mereka [mad'u] dan diri kita sendiri untuk merasa tenang dan 'boleh klik' secara semulajadi tanpa perlu dipaksa-paksa.



Apa yg saya buat? Hmmm.. Saya tak pasti apa yg saya buat.

Cumanya, setiap kali ada makanan yg banyak di rumah saya akan memberi mereka makan dan minum terlebih dahulu sebelum mereka mengaji/kelas solat. Saya juga ada membuat 'tengok wayang hujung minggu' beramai-ramai di rumah saya dengan men'download' filem yg bagus dari internet saja seperti 'Hafalan Solat Delisa'. Rupanya, mereka lebih suka dan seronok berada di rumah saya hujung minggu dengan menonton dan makan beramai-ramai sesama mereka.

Saya juga kerap bertanya mereka sudah makan atau belum dan sudah solat atau belum. Yang lain-lain saya tak tanya. Hanya untuk memastikan mereka benar-benar bersedia untuk ke kelas/mengaji pada hari itu.

Ya, pastikan keselesaan dan kesediaan mereka terlebih dahulu.

Hingga baru-baru ini ada seorang anak mengaji saya [juga ikut kelas solat] berumur 6 tahun kelihatan sugul dan 'senyap daripada biasa'. Hanya buka buku, selak-menyelak dengan kuat tapi tak baca [seperti mahukan perhatian]. Saya hairan lalu bertanya. [Masa tu jam sudah pukul 8.30 malam, anak ini sudah datang mengaji sejak jam 7.50 lagi].

"Tadi sebelum datang sini dah makan belum?"
"Belum."
"Ooo belum makan.. Takpe, pergi balik rumah dulu, makan. Lepas makan boleh mengaji. Kalau tak mengaji hari ni pun takpe. Pergi balik makan cepat. Takut masuk angin."
"Taknak. Kite nak mengaji dulu."
"Takpe, CikJah tunggu. Pergi balik makan dulu."
"Taknaklah.. [sambil geleng-geleng kepala dgn kuat].. Kite nak mengaji dulu baru boleh makan. Kite tak boleh makan kalau tak mengaji."

Hmmm.. Apa boleh buat.. Sejak awal tadi saya sudahpun menyuruhnya mengaji dengan pembantu saya supaya boleh cepat balik. Tapi itu juga dia tak mahu. Katanya, "Nak mengaji dengan CikJah je"..
Aduhaii..

2. Mengikut teknik nabi [aplikasi hadith].

 - Tidak menegur kesalahan tapi menerangkan apa yg betul saja. Ini yg berlaku dalam kelas solat.

Mereka buat saja apa yg mereka tahu. Saya tidak mengkritik itu salah, ini salah. Tujuannya untuk menutup aib mereka dan tiada sesiapa yg akan mentertawakan sesiapa. Tangannya salah diletak, betulkan dan suruh anak lain tengok kedudukan yg betul. Yg lain akan betulkan dengan sendirinya tanpa kita suruh atau kita buatkan.

- Pejam mata pada kesalahan yg kecil.

Tidak bawa buku, pen atau muqaddam tak mengapa. Tidak memakai pakaian yg lengkap tak mengapa. Usahakan dan tolong selesaikan 'keterlupaan' mereka dengan apa yg ada saja. Kita belajar tak semestinya melalui pen dan buku. Bukan juga melalui pakaian yg lengkap. Semua orang malah kita sendiri sering terlupa.

- Tidak membebel / menyuruh / marah-marah.

Perasaan marah hanya akan menjejaskan emosi dan semangat berkobar-kobar anak-anak yg mahu belajar solat/mengaji. Jangan mengharapkan mereka betul semuanya. Kerana itulah tujuan mereka belajar. Terangkan kesalahan tanpa perlu meninggikan suara atau membebel.

- Tidak memberi nasihat jika mereka tidak bersedia. Nasihat perlu dalam bentuk tawaran. Bererti mereka bersedia untuk mendengar. Ini akan mengelakkan bebelan.

- Tidak bersoal-selidik jika berlaku konflik. Hanya berikan jalan penyelesaiannya dan biarkan mereka buat keputusan sendiri. Apabila mereka bergaduh atau membuat hal jangan bertanya 'kenapa' dan bersoal-selidik. Tujuannya untuk menjaga aibnya sendiri dan juga aib orang-orang yg berkenaan. Apabila kita menjaga airmuka anak-anak dan aibnya, mereka akan belajar untuk menjaga airmuka kita. Melalui inilah, mereka akan bekerjasama dengan kita walaupun kita hanya memandang tepat ke arahnya, mereka akan sedar kesilapan mereka tanpa diucapkan.

- Sentiasa memuji usaha mereka bukan memuji diri mereka. Puji di hadapan semua orang. Puji serta-merta.

- Guna sistem pemarkahan 10-20-30 [aplikasi hadith salam].

Ini sangat membantu malah terlebih membantu dalam mewujudkan suasana berlumba-lumba yg sihat untuk terus mengaji/solat dengan lebih baik. Saya menyampaikannya dalam bentuk 'fun' iaitu rubber stamp yg comel dan berwarna-warni. Secara peribadi, bila saya gunakan kaedah begini, ia sudah banyak mendorong anak-anak ini untuk mendapatkan markah yg baik juga untuk solat dengan lebih rajin. Walaupun tanpa memuji secara verbal. Ia menaikkan self-esteem anak-anak dengan cepat!

Kejadian di atas bersambung.. Selesai mengaji.

"Aik, takkan 20 je?"
"Ok lah oklah... CikJah terlupa.. Sori. Oleh kerana hari ni kamu sangat bersabar, duduk diam baca buku masa tunggu giliran tadi dan menahan kelaparan sejak dari tadi, CikJah beri 30 atas susah payah kamu hari ini! Terima kasih sebab tahan lapar untuk mengaji.."

Anak ini tersenyum senget. Dia benar-benar lapar! Terus hilang dari pandangan mata..hehe..

3. Worldview yg betul.

Antara semuanya di atas ini hanyalah merupakan teknik atau kaedah yg masih boleh berubah, diperbaiki dan ditambahnaikkan. Kaedah/cara boleh berubah-ubah mengikut situasi semasa. Namun, ternyata mengikut teknik nabi ini kesannya lebih menyeluruh.

Malah, kita akan mendapat suatu respon atau tindakbalas yg tidak kita sangka seperti kita mahu mendorong mereka supaya lebih berusaha, tengok-tengok saja kita yg terdorong sama untuk terus kekal positif dan berusaha seperti mereka!

Yang paling penting dalam semua kaedah/cara yg digunapakai adalah cara kita melihat mereka. Berdepan dengan anak-anak ahli syurga ini sebenarnya mudah. Tak perlu marah-marah atau meninggikan suara langsung.

Bahkan, saya baru sedari sesuatu. Bila mereka berkonflik, telan perkataan 'kenapa'. Tukar intonasi suara kepada lebih rendah dari intonasi sedia ada. Dan berikan terus jalan penyelesaiannya dalam suara yg sangat rendah [suara yg boleh menusuk ke kalbunya bukan dirinya].

Pandangan ke atas anak-anak ini semuanya sama. Tak kira anak sendiri, anak didik, anak jiran, anak tepi jalan, mereka semua masuk syurga dulu dari kita jika ditakdirkan kita semua mati dalam masa yg sama. Jangan sesekali kita melihat 'kekurangan akhlak' seorang anak dengan berkata, 'Hah ini mak bapak dia tak ajarlah ni..' Atau kita berkata, 'Ni mesti banyak makan benda syubhah ni anak jadi gini.' Atau kita terdetik 'Ni mak bapak tak pernah sembahyang kat rumah la ni anak tak reti sembahyang.'

JANGAN!

Hakikatnya, hidup ini masing-masing saling lengkap-melengkapi. Kita harus faham bahawa setiap ibubapa itu sedang melakukan yg terbaik untuk anak-anak dalam kapasitinya yg tersendiri. Kedua ibubapa bekerja itu kapasitinya dalam memenuhi keperluan anak-anak dan hidupnya.

Sebagai orang sebahagian dari masyarakat kita berperanan sebagai melengkapi. Apa yg mereka kurang, kita tampung. Apa yg kita kurang, mereka tampung. Semua orang punya kekangan tertentu dari segi tahap pendidikan, tahap kewangan atau apa saja. Yang penting kita saling melengkapi dan bukannya menghukum orang lain atas ketidak sempurnaan anak-anak mereka.

Saya teringat kata ustaz dalam kelas tafsir saya. Katanya, "Walaupun kita sudah mengajar anak-anak sendiri dengan ilmu agama yg sudah cukup dan tinggi sekalipun dan anak-anak kita alhamdulillah menjadi anak yg berakhlak sempurna sekalipun belum tentu kita anak beranak sudah selamat dan akan 'lepas' untuk masuk ke syurga kelak. Kerana sampai satu ketika, anak-anak akan keluar dari rumah dan bergaul berjumpa orang ramai.

Kita ada anak-anak jiran, kawan-kawannya di sekolah dan di tempat lain. Apa khabar pula akhlak dan didikan anak-anak jiran kita sendiri? Kawan-kawannya di sekolah juga kawan-kawan yg dikenalinya di alam maya?

Ya, kerana itu saya berpegang kuat bahawa selagi kita melihat anak kita sebagai anak kita sahaja dan anak orang lain sebagai mencari kekurangan dan kesalahan ibubapa yg lain, sebenarnya itu satu 'worldview' yg menyalahi agama malah itu bukanlah ajaran Rasulullah s.a.w. yg kita contohi.

Rasulullah tidak pernah memarahi anak-anak kecil apalagi menjatuhkan hukuman ke atas anak yg kurang akhlaknya atau ibubapa walaupun mereka yg dahului menderhakai si anak.

Pandanglah setiap anak-anak dengan ihsan dan penuh kasih sayang. Walaupun mereka berbuat banyak kesalahan dan tidak beradab sekalipun, tidak perlu menghukumnya. Tugas kita MENUNJUKKAN adab yg betul bukan mengajarnya. Pada Rasulullah itu adalah ikutan yg sempurna.

Akhirnya, apabila kita sejak awal mempunyai pandangan yg telus dan jujur diiringi dengan teknik yg betul iaitu mencontohi akhlak nabi [aplikasi hadith], saya percaya kita tak perlu 'buat-buat' untuk orang lain menyukai kita. Berkat mencontohi akhlak nabi semuanya akan dipermudahkan dan berlaku secara semulajadi.

Seronoknya dengan anak-anak ini ialah mereka sangat telus dan jernih dengan perasaannya. Hinggakan apa yg kita pandang kepada mereka pasti akan terbias semula kepada kita apa yg kita pandangkan itu.

Itu saja sifirnya.

Maka, jika kita melihat anak-anak ada saja yg tak kena, perlulah kita 'gilap' semula pandangan kita kepada mereka supaya cermin itu tidak dikotori menyebabkan kita tersalah pandang siapa mereka di hadapan kita.

Wallahu a'lam...

1 ulasan:

Nas berkata...

Terima kasih kak..perkongsian yg sgt membantu...

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...