رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Jumaat, 21 Disember 2012

# keibubapaan # keluarga

Perjalanan seorang surirumah

Soalan yg diterima beberapa hari lalu oleh seorang kawan sekolah dahulu. Maaf kerana mengambil masa yg agak lama kali ini.

Soalan 1 : Bila yg kak dah berubah menjadi ibu yg lebih hikmah berbanding kak dah yang 'dulu' ? (merujuk kpd status kak dah yg baru ni)

Soalan ke 2: Bila dan apa yg mendorong perubahan ini? (wah interview tau). Thank u so much..


Jawapan : Soalan ini sebenarnya agak peribadi. Terharu sebenarnya bila ada orang ingin tahu apa yg sudah berlaku dalam hidup peribadi kita. Maka, saya rasakan ada baiknya saya nyatakan di dalam blog peribadi saya sendiri. Tak semua orang suka membaca kisah hidup orang lain.

Saya rangkumkan saja jawapan bagi kedua-dua soalan ini.

Saya hanyalah seorang surirumah. Ketika semua kawan-kawan seangkatan sudah menempatkan diri dalam bidang profesional masing-masing, saya bertanya diri saya berada di mana? Selalu mendengar orang di sekeliling berkata, "Ruginya kau belajar tinggi tapi tak kerja!" Hingga semasa saya mahu buka buku merah [check up anak ketiga ini] misi di Klinik Kesihatan yg interview saya itu berkata, "Ada kelulusan ijazah apasal awak jadi surirumah je? Sekarang orang semua nak kerja bagus kalau ada ijazah ni."

Walaupun saya tak ambil pusing sangat kata-kata orang yg tidak kenal siapa saya, namun sedikit sebanyak ayat-ayat sebegini kerap dilontarkan kepada orang seperti saya. Saya maafkan tapi ianya cukup terkesan.



Selepas SPM, saya terus melanjutkan pelajaran ke Pusat Matrikulasi UIA PJ. Dalam Kursus Sains Kemanusiaan. Majoriti batch saya buat Matrik selama 2 tahun. Tapi saya termasuk dalam batch yg buat Matrik cuma 1 tahun setengah. Bukanlah pandai sangat pun cuma kelebihannya apabila saya minat dalam Bahasa Arab jadi semuanya lebih laju. Itu tahun 2000-2001.

Kemudiannya, saya meneruskan langkah ke UIA Gombak pada pertengahan tahun 2001 hingga saya menamatkan pengajian di pertengahan tahun 2005. Kebanyakan batch saya menghabiskan pengajian di Gombak selama 5 atau 6 tahun. Tapi saya alhamdulillah dapat habiskan cepat. Saya mengkhususkan pengajian saya dalam Sains Politik. Selepas grad, hidup saya diuji.

Tahun 2006-2007 sangat paling emosional dalam hidup saya. Menguruskan perniagaan roti dan kek sendiri tapi belum cukup ilmunya. Cuba mendapatkan kerjaya idaman saya iaitu Pegawai Tadbir dan Diplomatik [PTD] namun, tak lepas hanya semasa peringkat interview sahaja, sebanyak 3 kali pula tu. Kerana kecewa dengan diri, saya diuji lagi dengan sakit telinga yg membuatkan saya tak dapat mendengar kembali seperti satu ketika dulu. Saya hilang pendengaran 30%.

Ditakdirkan saya pergi ke satu klinik alternatif untuk berubat. Di situ saya ditawarkan pekerjaan untuk menguruskan program motivasi. Dari dulu saya memang gemar dalam acara motivasi. Saya pula jenis yg boleh memotivasikan diri sendiri. Saya sentiasa berfikir-fikir, macamana pula dari jurusan Sains Politik boleh terjun dalam bidang Sains Kesihatan dan Motivasi? Bukan ke jauh menyimpang?

Setelah bertemu jodoh pada tahun 2008, barulah saya dan suami membawa diri ke Kuala Lumpur untuk berdikari. Selepas beberapa bulan berkahwin saya mengandung. Masa itu, mahu cari kerja di KL memandangkan suami juga baru dapat kerja dan bosan duduk seorang di rumah. Takdirnya, semasa mengandung anak pertama lagi saya mengalami mabuk yg sangat teruk di awal trimester. Keluar melihat kenderaan berasak-asak dalam traffic jem di waktu pagi cukup membuatkan saya mual dan pening hingga longlai seluruh tubuh saya. Tak bermaya langsung nak berjalan, bagaimana mahu mencari kerja?

Sejak itu, saya mengisytiharkan kerjaya saya sebagai seorang surirumah sepenuh masa. Saya hanya duduk di rumah menjalani aktiviti rutin sejak anak pertama hingga anak kedua dilahirkan. Sambil-sambil itu hanya berniaga kecil-kecilan. Jarak anak pertama dan kedua hanyalah 1 tahun setengah. Selepas anak kedua lahir, saya berpindah dan menetap di Johor.

Sepanjang kehadiran anak-anak dan melalui rutin harian membesarkan anak-anak, saya sentiasa belajar apa-apa saja berkaitan perkembangan anak melalui emak sendiri, bacaan buku, majalah,tv atau apa saja yg menjurus mendidik anak-anak menggunakan metodologi Islami. Belajar memahami selok belok pengurusan anak-anak serta belajar memahami tabiat dan perangai anak-anak sendiri. Setiap hari saya belajar perkara baru dan mahu membaiki diri seadanya kerana saya membandingkan diri saya dengan emak saya sendiri yg sudah lebih 30 tahun menjadi surirumahtangga.

Hingga satu ketika, saya melihat lebih ramai nama-nama kawan yg saya kenali semakin menempa nama di pelbagai bidang dan profesion. Rakan-rakan saya ini dahulunya sama-sama berprogram dan beraktiviti semasa di UIA dulu. Walhal dahulu, sayalah yg tersangat aktif menghadiri diskusi ilmiah bersama mereka. Akhirnya, saya di mana? Mereka di mana? Saya berasa sangat kecil diri.

Mujur suami saya seorang yg sangat memahami jiwa raga saya. Walaupun beliau tak pernah memaksa sedikitpun, beliau pasti akan menjernihkan apa yg saya kusutkan. Saya berfikiran agak kompleks, suami pula sebaliknya.

Saya suka mendengar Ikim slot bersama Ustaz Pahrol setiap Isnin jam 5 petang. Tajuknya tentang Mukmin Profesional. Suami yg memperkenalkan saya kepada Ustaz Pahrol melalui Ikimfm. Dari situ, saya belajar lagi untuk mencipta profesionalisma saya sendiri. Suami kata, lihat, surirumah juga boleh menjadi seorang yg profesional! Bila kita berjaya menjadikan apa yg kita buat ini lebih-lebih lagi surirumahtangga juga sebagai satu kerjaya yg profesional seperti yg lain, orang akan 'pandang tinggi' pada kita kerana profesionalisma kita.

Kata suami, kita yg meletak nilai atas diri kita bukan orang luar. Jika kita rasa kita punya nilai tersendiri, lambat laun masyarakat sekeliling pasti memberikan kita nilai tertentu yg akhirnya itulah 'nilai' yg membuatkan kita 'berharga' dalam masyarakat. Ia bukan lagi isu kerjaya itu sendiri dengan namanya yg beserta pangkat dan tangga gaji.

Saya juga punya pemikiran yg sendiri. Walaupun pada masa itu saya sangat 'down' dengan pandangan masyarakat dan kekecewaan saya pada diri sendiri, saya mahu ubah semua pandangan itu. Prof. Muhaya juga selalu berkata, jika kita mahu ubah masyarakat ia bermula dengan diri sendiri.

Apa yg saya mahu ubah? Orang ramai beranggapan bahawa menjadi surirumah ini adalah pekerjaan paling senang dan seronok kerana dapat golek-golek dengan anak setiap masa. Duduk goyang kaki di rumah dan tak perlu tension-tension dengan traffic jem atau rakan sekerja atau tak perlu pening kepala dengan tugasan.

Hakikatnya, 24 jam tanpa henti mengurus dan mendidik anak-anak yg masih kecil dan selalu buat perangai yg tidak dijangka apalagi anak yg rapat adalah sesuatu yg susah apalagi kita tak tahu teknik yg betul. Apabila tidak tahu teknik yg betul dan bagaimana harus kita menguruskan marah [anger management] yg akhirnya memberi kesan buruk ke atas anak sendiri, maka anak-anak kecil yg tak tahu apa-apa inilah yg selalu kena marah kerana kita marah sebenarnya bukan hanya disebabkan perangainya sahaja tapi kita melepaskan geram dan tension kita akibat terperuk di rumah dan kurang sosialisasi luar.

Tidak dapat kehidupan bersosial langsung untuk bertemu kawan-kawan dan bertukar khabar sana sini. Saya bersosial hanya melalui fb dan blog. Itupun hanya sekejap-sekejap curi masa dengan tab kerana perlu menguruskan hal rumahtangga yg lain. Tambah pula, anak-anak akan mahu memegang tab sama bila ternampak maknya memegang tab.


Ya, itulah 'tension' yg paling besar ibu surirumah harus atasi bersama-sama dengan amarah yg sering tidak terurus. Dan sering juga saya melihat surirumah yg selalu memarahi anak-anak. Sepertinya surirumah dan marah anak-anak ini sangat sinonim. Tak boleh dipisahkan.

Kemudian, saya diuji sekali lagi yg menyebabkan saya yg masih 'down' terus menerus 'down' apabila suami disahkan Spinal Tumor (ketumbuhan pada tulang belakang) dan dikhabarkan mungkin menjadi lumpuh. Boleh baca kisah ini dalam entri sebelum ini.

Hinggalah semuanya sudah kembali tenang, saya mengambil keputusan untuk mengajar ngaji [tanpa bayaran]. Ketika itu saya merasakan sudah tiba waktu yg sesuai untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Ini jugalah niat dan cita-cita saya satu masa dahulu untuk berbakti pada masyarakat. Jawapan yg sama saya gunakan semasa interview PTD yg saya sering tak lepas itu hehe...

Ketika itu, saya juga digalakkan oleh ibu surirumah yg lain untuk memarahi anak-anak mereka jika mereka buat bising dan berkelakuan tak baik. Saya berfikir lagi. Adakah perlu untuk marah walaupun anak-anak buat bising? Walhal bising itu sudah menjadi tabiat semulajadi manusia tak kira kecil atau besar. Asalkan ada mulut, mestilah ada bunyi. Ada bunyi, jadilah bising. Perlukah marah?

Dari dulu saya tak suka lihat ibubapa yg memarahi anak-anak secara terbuka di khalayak awam. Saya pun bukanlah jenis pemarah sangat. Cuma bila sangat penat dan anak-anak buat perangai saya akan kalah dalam amarah anak-anak sama. Selepas itu menyesal dan rasa bersalah terhadap anak. Benarlah kata-kata Prof. Muhaya, ibubapa yg pernah marah anak-anak, wajib bertaubat!

Rupa-rupanya saya hanya tidak tahu teknik yg betul sahaja. Ya, sesiapa sahaja daripada kita apalagi seorang surirumah yg terperap di rumah harus mempunyai nilai tambah yg tinggi dengan pelbagai ilmu, lebih-lebih lagi anger management.

Keserentakan yg berlaku, di fb Puan Ainon Mohd. [saya memang berada dalam friend listnya sejak awal lagi fb diperkenalkan dahulu sekitar 2008] banyak tip-tip mengenai kempen beliau membasmi kelas corot. Apa kesalahan yg sering dilakukan guru-guru hingga membuatkan pelajar jatuh self-esteemnya. Seperti berdiri atas kerusi, berdiri di luar kelas, dihukum di depan perhimpunan dan banyak lagi perkara yg saya selalu alami semasa di bangku sekolah dulu. Saya sendiri punya kisah tragik akibat duduk di kelas corot dulu. Secara tak langsung, itu sebenarnya bukan ajaran nabi dan sudah jauh tersimpang dari petunjuk agama kita.

Melalui post-post Puan Ainon Mohd. mengenai mendorong pelajar corot dengan teknik nabi, saya belajar perlahan-lahan secara maya. Ada soalan, sering tidak dijawab oleh Puan Ainon. Saya mersa kecil diri semula. Saya katakan pada suami, kenapa Puan Ainon tak mahu jawab soalan saya? Sebab saya ni surirumah je ke? Suami menjawab, bukan semua soalan perlu pada jawapan. Oh, saya terkedu.

Saya hanya mengenalinya melalui fb. Saya tak patut berfikiran sebegitu. Saya berniat untuk belajar lagi dengan membaca semua yg dipostkannya. Walaupun saya tak 'like' tapi saya baca dan kemudian saya praktikkan pada anak mengaji saya perlahan-lahan. Mana yg saya tak tahu atau tak faham, saya tak buat. Saya buat hanya yg asas saja dan apa yg sering diulang-ulang oleh Puan Ainon seperti jangan menegur kesalahan, jangan memarahi, jangan menghukum dan puji usaha pelajar. Ayat yg saya gunakan pula kadangkala agak skema, kadangkala 'ke laut' juga hehe..

Pada permulaan, saya banyak berfikir-fikir dan punya soalan besar. Tapi saya tak bertanya, kerana saya tahu soalan saya pasti tidak berjawab. Maka, saya memasang niat saja untuk mengaplikasikannya. Jika betul, ia pasti dipermudahkan.

Soalan besar saya, bagaimana mahu mengajar ngaji sedangkan budak-budak ini mengaji pasti akan tersalah baca dan memerlukan teguran untuk membetulkan bacaan? Saya berfikir lagi, jika di sekolah mungkin boleh kerana contoh yg diberikan semuanya mengenai cikgu dan anak murid di sekolah. Kalau mengajar ngaji macamana pula kalau tak tegur salah bacaan?

Lagi satu soalan besar saya semasa di awal perkenalan mengenai teknik nabi ini juga ialah bagaimana boleh tidak memarahi anak-anak yg buat silap? Mereka masih kecil dan harus ditegur dan diberitahu kesilapannya, jika tidak mereka takkan belajar mana yg betul, mana yg salah. Dan bagaimana untuk memuji mereka seperti dalam contoh yg diberikan walhal mereka tak faham pun kalau kita bercakap mengenai ditambah pahala atau Allah berkati mereka?

Hinggalah saya tak boleh tertahan lagi dan mahu bertanya juga pada Puan Ainon, benarkah teknik sebegini boleh diaplikasi ke atas budak kecil bukan hanya yg mumayyiz seperti pelajar yg sudah masuk sekolah dan sudah boleh berfikir dengan baik sahaja dan bukan ke atas budak-budak yg belum masuk sekolah kerana mereka tiada fikiran yg lengkap lagi? Kali ini jawapan Puan Ainon sangat ringkas.

"Teknik nabi ini sesuai untuk diaplikasikan ke atas semua peringkat umur dan semua bangsa."

Maka, saya berfikir-fikir lagi. Bagaimana mahu mengaplikasikan pada anak-anak saya yg belum mampu berfikir sendiri [2 dan 3 tahun ini]? Saya bermula sedikit-sedikit.

Belajar dan terus belajar hingga semua soalan tadi saya bertemu jawapannya sendiri atas tiap kejadian yg berlaku. Ya, memang ajaib saya rasakan. Setiap kali ada soalan, saya tidak bertanya terus kepada Puan Ainon, malah akan terjadinya kejadian seumpama soalan saya itu dan bila saya cuba selesaikan barulah saya tahu jawapannya melalui pengalaman itu sendiri.

Satu kejadian yg menjadi titik tolak kepada perubahan dan mendorong saya untuk terus dengan perubahan ini setelah melihat apa yg terjadi ke atas anak mengaji saya yg berumur 6 tahun. Anak ini sangat malas mengaji dan 'banyak songeh'.. Semasa mengaji, dagunya disangkut atas meja. Taknak baca habis 1 mukasurat. Dan paling bising dan nakal mengusik orang lain semasa menunggu giliran mengaji. Patutlah budak ini pernah kena kurung semasa dalam jagaan pengasuhnya satu ketika dulu [dalam hati saya terdetik begitu]. Melalui anak ini, saya memasang niat untuk menjadikannya anak yg lebih baik. Dan saya berazam juga mendoakan agar dia takkan dikurung lagi oleh sesiapapun lagi.

Saya cuba aplikasikan mana yg boleh. Ia menjadi! Alhamdulillah... Sekarang, anak ini paling baik akhlaknya. Tidak bising lagi malah dia akan buka buku untuk dibaca tanpa disuruh. Yang paling gembira, bacaannya memang semakin laju dan sering meminta untuk membaca 2 mukasurat sekaligus!

Kerana sangat gembira, saya menulis komen kecil di ruangan nota yg bersesuaian. Saya bercerita tentang anak ini selepas saya aplikasikan hanya teknik asasnya saja. Tak sampai sebulan saya nampak hasilnya ke atas anak ini. Oh betapa saya gembira dan menyedari sesuatu.

Bahawa amat penting apa yg kita pandang siapa di hadapan kita itu. Siapa yg kita mahu didik itu. Dan apa niat kita ke atas setiap ajaran kita untuk bekalan anak yg kita sedang ajar itu. Salah kita pandang, salah teknik kita, salahlah anak ini jadinya. Itu saja.

Yang tidak saya sangka, komen kecil saya yg menceritakan perihal kegembiraan saya ke atas perubahan anak ini selepas mengaplikasikan teknik nabi ini [bukan semua teknik lagi pada masa ini], Puan Ainon membesarkan komen saya menjadi post utamanya dan tag nama saya secara terang-terangan. Saya tak sangka sama sekali! Penangannya, ramai orang 'add friend' saya.

Saya agak terkedu untuk 'accept' atau tidak kerana saya ini hanya insan kecil. Tiada orang yg kenal saya. Tapi terlalu ramai pula yg mahu jadikan saya kawan.. Oh sungguh saya terharu! Ada juga manusia lain dari serata alam ini yg sudi berkawan dengan surirumah seperti saya. Saya tak punya apa-apapun. Ilmu pun masih kurang. Tiada orang kenal nama saya.

Saya hanya mengaplikasikan teknik nabi secara perlahan-lahan, dengan niat untuk mengubah diri yg kerdil ini supaya akhirnya saya dapat mengubah persepsi masyarakat tentang kerjaya surirumah. Itu sahaja.

Jika diikutkan, saya hanya mula mengajar ngaji 3 bulan yg lalu sahaja. Namun, saya sudah nampak kesannya sangat cepat ke atas anak mengaji saya yg sangat lemah bacaannya semasa mula-mula mengaji. Dalam masa sebulan mereka banyak peningkatan.

Hanya sekarang tinggal seorang saja lagi yg sangat istimewa. Dia memang tak seperti anak yg lain. Banyak lagi dorongan perlu diberikan kerana saya tak pasti dan tak tahu berapa banyak self-esteemnya yg sudah dirobek oleh orang sekelilingnya. Simpati saya dengannya hingga nak marah pun saya harus telan sendirian.

Hingga kini, saya masih lagi belajar. Saya baru saja ikuti Bengkel Mendorong Pelajar Corot dengan Teknik Nabi bersama Cikgu Khairulaniza Khairudin yg merupakan pengamal terawal teknik nabi yg dipelopori oleh Puan Ainon Mohd bersama Tim Hadith Psikologi yg lain. Ada lagi bersamanya dua orang guru yg lain yg mengajar di sekolah dan pengalaman mereka di bukukan dalam E-Book Mendorong Pelajar Corot dengan Teknik Nabi (boleh dapatkan di downloadilmu.com).

Jika Puan Ainon kerap membahasakan dirinya sebagai 'Ustazah Palsu', saya pula boleh dikira sebagai 'Anak Murid Palsu'nya.hehe.. Siapalah saya.

Saya tidak berpeluang lagi belajar 4 mata bersama Puan Ainon Mohd. Saya hanya belajar daripadanya melalui alam maya. Namun, baru-baru ini Puan Ainon menawarkan saya untuk menerbitkan buku bersama hasil perkongsian pengalaman saya dalam mendidik anak-anak cilik di rumah berdasarkan teknik nabi ini. Saya sangat terharu dan betul-betul menghargai peluang yg diberikan ini. Mudah-mudahan tak lama lagi ia akan menjadi realiti. Inilah juga cita-cita saya untuk menjadi seorang penulis.

Cuma saya tak sangka Allah membuka jalan dan memudahkan perjalanan cita-cita saya ini bersama dengan seseorang yg sudah gah namanya di persada penulisan buku dan penerbitan buku ini iaitu Puan Sifu Ainon Mohd.


Segala puji hanya kepada Allah yg Maha Hebat dalam PerancanganNya!


Selain anak-anak sendiri, anak-anak mengaji yg menjadi pendorong utama saya mendorongkan diri sendiri untuk terus berubah menjadi yg lebih baik. Sudah seperti anak-anak sendiri. Kesemuanya sudah berjumlah 20 orang.



Kesimpulan : Tak kira apa saja jenis pekerjaan dan profesion yg kita ceburi sekarang, pasti punya kepayahan dan cabarannya tersendiri. Tiada pekerjaan yg lebih senang atau susah, tiada pekerjaan yg lebih mulia atau kurang mulia, tiada kelas tertentu dalam membuat sesuatu pekerjaan. Tiada yg hebat malah tiada yg sempurna. Semulia-mulia pekerjaan itu yg menggunakan kedua-dua tangannya sendiri.

Walau bagaimana kesusahan dan cabaran yg dihadapi dalam bidang itu, asalkan kita mahu belajar daripadanya dan berusaha untuk memperbaiki keadaan, pasti Allah akan memberi kita petunjuk dan bimbingan terus daripadaNya dengan jalan dan cara yg tidak kita sangka. 

Ilmu Allah itu sangat luas dan misteri. Hanya dengan cara kesusahan dan kepayahan sajalah Allah mahu memberi kita pelajaran dan pengajaran supaya kita beringat dan berusaha menjadi seseorang yg lebih baik dari sebelumnya. Jika Allah memberikan kesenangan, tidak ramai manusia akan mengambil pelajaran daripadanya.

Berlapang dada menghadapi cabaran. Berusaha semampu yg kita boleh usahakan. Untuk mengubah orang sekeliling dan orang di hadapan kita, ia harus bermula dengan diri sendiri. Persepsi dan pandangan yg betul beserta teknik yg berkat, segalanya akan menjadi lebih baik selagi kita terus mencuba dan berusaha.

Allah menjadikan hidup dan mati di dunia ini adalah untuk menguji siapa di antara kita yang lebih baik amalannya.

Wallahu a'lam.


3 ulasan:

Ima berkata...

Terharu pulak baca perjalanan akak menjadi suri rumah ni...kerjaya yang lebih mencabar dari yang diluar sana tu..Ima pun berkira kira untuk menjadi suri rumah seperti akak atau meneruskan kerjaya sekarang ini selepas nikah nanti....semoga ada petunjuk untuk Ima buat keputusan.. :)

Khadijah Gani berkata...

Moga Allah permudahkan apa yg terbaik buat Ima.. Insha Allah.. :)

Tanpa Nama berkata...

Salam..nama saya ina.kisah puan juga hampir sama dengan saya.dengan kelulusan ijazah saya memilih untuk menjadi suri rumah menjaga 3 anak apatah lagi anak saya setahun satu. Keputusan ini juga dipertikai oleh keluarga saya.Apabila melihat sahabat seperjuangan semasa belajar telah menjadi somebody dalam bidang kewangan (jurusan pilihan) aadakala saya menjadi cemburu. Namun setelah membaca blog puan saya sedar apa yang kita minta tidak semesti kita peroleh. Sejujurnya,terima kasih pada puan ikhlas dari saya.artikel ini menyedarkan saya pilihan yang saya buat adalah yang terbaik untuk saya.

#jdtblogger #teambloggerjohor