Jumaat, 25 Mei 2012

Anak

Entri ini sebenarnya mahu ditulis sempena Hari Ibu tapi sudah terlepas tarikhnya pula. Tak kisahlah tu. Setiap masa juga kita harus tetap menyayangi dan menghargai jasa ibu kita. Setuju?

Mengapa pula Hari Ibu saya bercakap tentang anak? 

Kerana anak adalah cermin ibu atau ayahnya. Apa yang keluar pada anak begitulah yang ada pada ibu atau ayahnya.

Kadangkala, bukan kadangkala, selalunya anak-anak kita punya sikap-sikap tertentu yang sangat menjengkelkan pada setiap hari dan setiap masa. Itu sudah pasti. Tapi, jika anak seorang masih boleh dikawal lagi. 

Jika anak-anak kita rapat usianya dan semuanya masih dalam umur 7 tahun ke bawah, para ibu akan mendapati sikap-sikap anak yang ada saja membuatkan kita meninggikan suara, mencubit sana sini (sebagai alternatif dari memukul), mengejar dan lain-lain reaksi spontan lagi hanya dalam beberapa jam setiap hari. 

Pernah sekali suami mengambil alih tugas saya hanya untuk beberapa minit saja dan dia sudah menarik muka masam dengan anak. 


Ya, disuruh tunggu sebentar untuk menyalin seluar dan memakai tuala itu pun masuk bilik air si anak sudah bermain najisnya dengan meniru gaya kita menyiram najisnya ke lubang tandas. Habis berselerak satu bilik air dengan najisnya... Mana tidak suami saya sangat merasa 'sangat sakit hati' hanya kerana terlambat sedikit saja.

Sedang bersolat sebentar sudah dipesan duduk baik-baik bersama adik, tak sampai rakaat kedua lagi si abang sudah mengambil penyapu di dapur dan memukul kepala adiknya. Begitulah, antara 'ujian' setiap hari di ketika saya bersolat dan tiada orang yang menjaganya sebentar.

Ketika makan pula, kadangkala memang ianya menjadi 'battlefield'! Disuruh makan tapi dijelingnya saya semula dan menegur saya 'ish mak ni marah aje!' (dalam bahasa pelatnya).. 

Sabar itu sudah lali. Tak payahlah cakap. Kadangkala, hilang sabar itu akibat setiap masa dan ketika terlalu banyak yang perlu disabarkan. Tu yang selalunya terkeluar cubit-cubitan di sana sini. Tapi bila sudah sampai memukul kepala adiknya dengan penyapu terpaksalah saya pukul dia semula supaya dia mendapat sedikit pengajaran setelah diterangkan kenapa saya memukulnya. 

Saya biasakan begini. Jika abang pukul atau tolak adik, abang kena minta maaf dengan adik. Jika adik gigit dan pukul kepala abang (ya, si tiha tu pun boleh tahan cepat saja tangannya!!) adik juga harus meminta maaf dengan abang. Saya ajarkan mereka untuk berkata, adik minta maaf / abang minta maaf dan kemudia salam cium tangan (biasanya tiha la cium tangan abangnya tak kiralah dia minta maaf atau abang minta maaf hehe comel!) dan kemudian cium pipi sebagai tanda sayang kepada salah seorang yang di'aniaya' tadi. Dan kemudian, berjanji untuk tidak membuat begitu lagi di lain masa. Caranya, keluarkan jari yang paling kecil sekali (jari kelinking) dan bertaut dengan jari saya cakap 'janji!' dan kemudian, hi 5 tiga kali! Walaupun janji anak-anak kecil ini tak boleh dipakai sangat tapi dengan janji ini ia seakan ingat untuk hari itu (sampai malam) untuk tidak mengulanginya banyak kali seperti sebelum ini.

Banyak lagi contoh-contoh perangai menjengkelkan yang dibuat mereka setiap hari. Ada saja perangai baru. Bagi surirumah seperti saya perangai-perangai begini saya pantau dan lihat sendiri depan mata dan jika keterlaluan saya pasti akan menegur dan membetulkannya. Bagi yang menghantar anak ke nurseri atau pusat jagaan pula mungkin kurang nampak perangai-perangai begini kerana anak-anak hanya sangat aktif pada pagi hari. Malam anak tetap aktif juga tapi keaktifan mereka sudah sampai ke tahap 30% saja dan tak lama kemudian tidur. Sesetengahnya, mungkin si anak tak berapa menonjolkan sikap sebenar mereka di tadika/pusat jagaan kerana takut cikgu marah.. Benar, cikgu marah lebih menakutkan dari ibubapa yang marah! Kerana itu mereka mampu 'behave'. Tapi, bila di rumah habislah ibubapanya menghadap lepas lakunya setelah seharian 'control' macho.hehe..

Selalunya, apabila satu hari saya penuh dengan kemarahan dan ketinggian suara, saya akan mengambil masa saya sendiri untuk berfikir di mana silap saya dan benarkah begitu teruk peribadi saya sehari-hari sehingga terlihat pada sikap anak-anak. Ya, menjadi ibu/bapa harus bermuhasabah diri sepanjang masa kerana anak kecil ini adalah hantaran 'khalifah kecil' dari Allah untuk memperbaiki sikap kita orang dewasa. Kita harus sedar, berfikir dan memperbaikinya.

Kadangkala, saya menerokai diri sendiri (meletakkan kesalahan anak berpunca pada diri sendiri) dan menemui bidalan/perumpamaan sikap-sikap tertentu diri sendiri yang harus dibaiki atau diubah. Kadangkala, saya gagal mencari persamaannya/pembetulannya. Kerana saya manusia biasa. Pemikiran terbatas dan rasa emosi yang bergelora bila berhadapan dengan sikap tertentu anak serta ego sebagai orang dewasa yang membuatkan kita tak dapat berfikir apapun yang kesalahan anak itu hasil dari didikan / cerminan diri kita sendiri.

Akhirnya, saya hanya mampu berdoa supaya anak-anak saya ini akan terus diberi bimbingan terus dari Allah (hidayah) di setiap masa, sepanjang usianya dan saya juga tak boleh untuk memastikan anak-anak ini baik setiap masa. Kadangkala, mereka harus belajar dari kesalahan. Kesalahan yang terkawal. Dan cukuplah mereka dapat membesar melalui akhlak yang baik dan sempurna mengikut neraca Islam dan tidak berlaku derhaka kepada ibubapanya selagi saya sendiri tidak berlaku derhaka kepada anak-anak di awal usianya begini.

Bagaimana saya mahu memastikan misi dan visi ini tercapai? Saya suka merujuk kepada buku Tarbiyyatul Aulad fil Islam (Mendidik anak-anak di dalam Islam) karangan pakar pendidikan unggul Islam Abdullah Nasih Ulwan (moga tulisan ini menjadi amal jariah dan saham terbesar bersamanya di alam sana, alfatihah).


HAK KEDUA IBUBAPA (mukasurat 452-468)

-- sambungan --

Hasil dari segala perbincangan ini, maka kami letakkan di hadapan mata setiap pendidik (ibubapa) sepenting-penting pembimbingan yang wajib diajarkan kepada anak-anak mereka.

1. Mentaati ibu dan bapa pada segala yang diperintahnya kepada sang anak kecuali perkara maksiat.

2. Berbicara kepada keduanya dengan adab dan lemah-lembut.

3. Bangun menghormati keduanya apabila mereka datang.

4. Mencium tangan keduanya setiap pagi dan petang dan pada setiap upacara.

5. Memelihara nama, kehormatan serta harta benda mereka.

6. Memuliakan mereka dan memberi mereka apa yang dipintanya.

7. Bermesyuarat dengan mereka dalam segala pekerjaan dan urusan.

8. Memperbanyak doa dan permohonan ampun bagi mereka.

9. Kiranya ada tetamu pada mereka, maka hendaklah duduk dekat dengan pintu dan memerhatikan gerak geri mereka, barangkali mereka hendak menyuruh sesuatu dengan isyarat.

10. Cuba membuat sesuatu untuk menggembirakan mereka tanpa perlu untuk diingatkkan atau ditunjuk kepada si anak.

11 Tidak mengangkat suara di hadapan mereka.

12. Tidak cuba memotong percakapan mereka ketika mereka sedang mengatakan sesuatu.

13. Tidak keluar dari rumah jika mereka tidak mengizinkan

14. Tidak memeranjatkan mereka ketika mereka sedang tidur.

15. Tidak melebihkan isteri dan anak dari kedua mereka.

16. Tidak mencela mereka jika mereka melakukan sesuatu yang tidak memuaskan.

17. Tidak ketawa di dalam majlis mereka jika tiada sebab yang menarik untuk ketawa.

18. Tidak memakan makanan yang ada di sisi mereka.

19. Tidak memanjangkan tangan kepada makanan sebelum mereka terlebih dahulu memulakan.

20. Tidak tidur atau baring padahal mereka masih lagi duduk kecuali jika mereka telah mengizinkan.

21. Tidak melunjurkan kaki di hadapan mereka.

22. Tidak masuk dahulu sebelum mereka ataupun berjalan di hadapan mereka.

23. Menyahut panggilan mereka serta merta apabila mereka memanggil.

24. Memuliakan teman-teman mereka di waktu hayat mereka dan sesudah wafat mereka.

25. Tidak berkawan dengan seorang yang tiada mematuhi kedua ibubapanya.

26. Mendoakan keduanya khusus sesudah mati sebab itu adalah sangat berguna kepada mereka serta memperbanyakkan doa yang berupa firman Allah Ta'ala:

Rabbir hamhuma kama rabbayani soghira 
"Wahai Tuhanku, Kasihanilah mereka sebagaimana mereka memeliharaku dengan penuh belas kasihan di waktu kecil".

Kesimpulannya, saya berpendapat apabila kita sebagai ibubapa mahu anak-anak mendoakan kita setiap masa ketika kita sudah tiada di dunia kelak maka haruslah kita mendoakan mereka terlebih dahulu seperti mana kita mahu mereka mendoakan kesejahteraan kita kelak.

Apabila kita mahu anak-anak yang terpelihara akhlaknya, sudah pasti kita ibubapanyalah yang harus menjaga akhlak kita terlebih dahulu samada kepada rakan, saudara mara atau orang lain.

Apabila kita mahu anak yang taat dan tidak menderhaka kepada kita, seharusnyalah kita ibubapanya yang harus mengajarkan mereka kesemua perkara yang disebutkan di atas terlebih dahulu. Jika susah atau gagal, bersedialah untuk menerima akibat anak yang derhaka samada kecil ataupun besar.

Seperti kata-kata Dr. Fadzilah Kamsah, jika anak buat silap, salahkan orangtua dewasa terlebih dahulu yang berbuat silap. Jika anak tidak baik, salahkan orangtua dewasa yang terlebih dahulu tidak baik perangainya.

Kerana itu saya percaya, hal-hal kekeluargaan / rumahtangga kita sendiri tidak harus menjadi topik utama Buletin Utama ataupun Berita Semasa. Samada orangtua yang membuka pekung sendiri atau sistem pendidikan media itu sendiri sudah mulai hilang fungsinya.


Jagalah Allah, Allah pasti akan menjagamu!







Tiada ulasan:

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...