رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Khamis, 15 Mac 2012

# keibubapaan # keluarga

Nilai menjadi ibu ayah.


Menjadi ibubapa yang baik seterusnya dapat membentuk satu keluarga yang penuh dengan kasih sayang dan mempunyai ketenangan merupakan impian semua ibubapa di dunia. Agak-agak ada tak orangtua yang berfikir, biarlah apapun nak jadi dengan anak aku ni. Asalkan dia cukup makan pakai dah memadai.

Persoalan utama. Bagaimana keluarga yang harmoni ini dapat dibentuk jika tunggak utamanya tidak terbentuk terlebih dahulu? Adakah ia boleh terbentuk dengan sendirinya tanpa berbuat apa-apa mahupun tanpa sebarang usaha? Ataukah harus berfikiran begini. 'Aku dulu pun bukan baik sangat nak didik anak jadi baik pulak hipokritnya aku!'. Hanya kerana masa silam kita yang tidak baik maka hari muka kita juga tetap akan menjadi seperti diri kita yang tak mampu berubah menjadi baik walaupun status sudah bertukar menjadi seorang ibu?

Benarlah apa yang Islam gariskan. Jika mahukan penyambung zuriat kita yang baik maka pilihlah ibunya yang baik terlebih dahulu.

Persoalan utama, adakah semestinya hanya yang baik sahaja yang akan melahirkan seterusnya dapat mendidik anak-anak dengan baik?



IKTIBAR DARI YANG LAIN

Baru-baru ini saya menonton Nanny 911 yang kini bersiaran di waktu pagi pula di NTV7. Sedang saya membuat roti, Nanny 911 sudah di pertengahan siaran. Biasalah, ianya pasti mengenai suami isteri yang sudah tidak mampu mengawal atau berhadapan dengan kerenah anak-anak yang nakal. Kebiasaannya, pasangan yang memanggil Nanny 911 itu mempunyai anak yang ramai dan berderet (anak yang rapat usianya). Saya perhatikan ada dua ciri-ciri yang menjadi kriteria utama kes dalam Nanny 911 ini iaitu : 1. Si ibu tidak bekerja di luar (housewife). 2. Anak lebih dari seorang.

Kes kali ini apabila si ibu dan si bapa sering memberi arahan dan kerap memarahi si anak sehingga si anak menjawab kasar setiap kali ibu atau bapa menyuruhnya membuat sesuatu. Sampai satu ketika anaknya melarikan diri dari rumah sendirian. Nasib baik nanny menjumpainya semula. Hasil pemerhatian sehari Nanny yang ditugaskan itu mengatakan 'saya amat sedih apabila seorang ibu gagal untuk menjadi seorang ibu'. 

Selepas nanny berjaya memujuknya kembali ke rumah, nanny menyuruh si anak bercakap apa saja kepada ibunya secara bersemuka. Malah ibunya memotong percakapan si anak dan ingin bercakap juga. Tapi nanny dengan segera berkata kepada si ibu, stop and listen! stop talking and listen! 

Sejak itu, tiada masalah lagi antara ibu ayah dengan anak mereka. Syaratnya, mereka harus mengikut peraturan yang sudah nanny siapkan dan mereka harus menukar cara fikir dan cara pandang terhadap anak-anak hasilnya, semua masalah selesai dan nannylah hero of the day!

Dahulu, saya memikirkan bahawa pastilah seorang ibu yang melahirkan seorang anak itu sudah mampu dan boleh saja menjadi seorang ibu. Hakikatnya kini, tidak semua!

Apa yang saya boleh simpulkan, iktibar daripada kes-kes yang dipaparkan dalam Nanny 911 ini sebenarnya hanyalah mengenai kegagalan komunikasi yang baik antara suami dan isteri sendiri kerana tidak tahu adab dan semangat kerja berpasukan serta majoritinya adalah kerana si ibu atau si bapa yang sama 'keras' dengan anak-anak serta gagal mendengar apa sebenarnya isi hati anak-anak. Ya, sudah pasti setiap tindakan punya sebab musababnya tersendiri. Apa yang paling ketara, anak-anak yang dikatakan degil ini saling tak tumpah dari 'perangai sebenar' si ibu atau si ayahnya. It's a problem of copy and paste attitude!


PILIHAN YANG ADA

Kejadian anak kecil yang meninggal dunia semasa di rumah asuhan atau di hospital kerana tersedak susu semakin menjadi-jadi. Tak kurang juga yang terbaharu kes anak kecil yang dibalut kain dengan ketat dan ditutup mulut anak itu dengan selotep. Insiden seperti ini boleh saja berlaku di tangan penjaga yang kurang berpengalaman, yang sudah bertahun pengalaman menjaga anak tak kurang juga berlaku kecuaian di tangan profesional iaitu seperti berlaku bayi yang tersedak susu di Hospital Sultanah Aminah JB dalam bulan lepas.

Sama juga mengenai isu anak yang hilang dan gagal dikesan sehingga yang terbahru lagi anak berumur 5 tahun yang akhirnya dijumpai rentung di ladang kelapa sawit. Saya tak tahu cerita sebenarnya maka saya tak mahu mengulasnya dengan menyalahkan sesiapa kerana kita tak berada di tempatnya dan tidak tahu cerita sebenar. Adalah sesuatu yang tidak adil bila kita terus meletakkan hukuman kepada si ibu kerana malas ke kedai atau cuai atau sesiapa saja untuk disalahkan.

Pengalaman saya baru-baru ini, semasa menghantar ibu saudara untuk menunaikan umrah di Masjid Larkin. Ketika itu saya dan emak serta kedua-dua anak saya masing-masing pegang tangan sorang satu anak. Namun, saya melepaskan tangan Fathi kerana saya mahu mengambil gambar sebentar. Tak sampai 1 minit.

Saya mahu memegang tangan Fathi semula tapi Fathi tiada! Semasa itu saya masih tersenyum (lepas ambil gambar kan) kerana masih tak percaya yang Fathi tiada. Mungkin Fathi tersorok di celah-celah orang keliling yang sangat ramai dan padat ketika itu. Saya panggil namanya. Senyap. Orang sekeliling memandang saya. Banyak kali saya memanggil nama Fathi tapi tiada sahutan. Biasanya Fathi akan cepat menerpa kepada saya bila saya memanggilnya. Dan Fathi memang tak berani berada jauh dari saya jika ada ramai orang sebegitu. Saya mula cuak! Saya berjalan ke hadapan sedikit dan menjerit namanya... Tiada sahutan.. Saya berhenti tersenyum dan darah menyirap ketika itu. Ya Allah, apa aku dah buat! Saya berlari-lari anak ke depan lagi dan tak semena-mena Fathi lari terkedek-kedek ke arah saya SEORANG DIRI! Saya nak mendapatkannya tapi dia patah balik dan menunjuk ke arah kereta sambil berlari lebih pantas dari saya. Saya belum dapat lagi memegang tangannya kembali. Saya kejar, dia lari. Saya kejar lagi dia lari tapi dalam jarak yang dekat. Sehinggalah rupa-rupanya dia mahu membuka pintu kereta dan masuk ke dalam kereta sendiri. Agaknya sudah penat berdiri dan kepanasan.

Isunya di sini ialah samada anak-anak berada di depan mata kita atau tidak, betul-betul bersama kita atau tidak, di bawah pengawasan kita 24 jam tanpa menoleh sedikit pun atau tidak, segalanya mungkin saja berlaku! Anak-anak adalah manusia yang bergerak.

Semalam dia mungkin tidak berani jauh dari ibunya tapi rupa-rupanya hari ini dia mendapat keberanian untuk menjadi seorang dewasa sendirian. Sudah tentu mereka tak dapat berfikir seperti orang dewasa. Tapi lagaknya saja mahu mengikut seperti sudah dewasa. Ingin mengambil pendapat yang mengatakan, ikat saja anak-anak ketika keluar berjalan? Anak kita seperti anjing atau kucing yang sangat kita sayang kah untuk dibuat begitu? Anak-anak adalah manusia yang sentiasa bergerak yang fitrahnya bukan dalam keadaan statik.


Jadi, apa lagi ukuran keselamatan anak-anak ketika di luar rumah, ketika kita ada atau tiada dan apa kayu ukur yang boleh ibubapa percayai untuk diserahkan tugasan menjaga sementara dan mendidik anak-anak semasa kita tidak bersama anak? Siapa yang kita boleh harapkan? Kriteria bagaimana yang harus kita bergantung harap? Maka, tidak hairanlah ramai ibubapa yang terpaksa menyerahkan tugasan utama mereka kepada orang kepercayaannya untuk dijaga ini semakin stres, bimbang dan risau dalam isu sebegini. Waima, ibubapa yang menjaga anaknya sendiri tanpa diserahkan kepada sesiapapun tetap merasa runsing dan harus berada dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang masa (tak boleh leka walau sesaat!)

Disebabkan insiden sebegini ramai juga saya mendengar suara-suara si ibu yang rasa ingin berhenti kerja dan menumpu untuk menjaga anak-anak. Ya, tak dinafikan amatlah sedih jika sesuatu  berlaku ke atas anak kita semasa ketiadaan kita di samping mereka.

Namun saya katakan begini. Di mana tahap kita?


IBU BEKERJAYA ATAU IBU SURIRUMAH?

Kebanyakannya juga turut menyebutnya sebagai ibu separuh masa atau ibu sepenuh masa di rumah. Hari ini di internet, banyak terma dan singkatan tertentu bagi menjelaskan status ibu-ibu samada bekerja di luar, bekerja di rumah, menyusukan anak penuh atau menyusukan anak tidak penuh (saya agak kurang gemar dengan terma sebegitu dan sukar untuk mengingatinya). Realitinya, ada tak terma ibu yang tidak punya / tidak ada kerja langsung tak kisahlah duduk rumah atau tidak duduk di rumah?

Sejujurnya, saya kurang setuju terma-terma sebegitu kerana tidak tepat dan sama sekali tidak menyeluruh. Hakikatnya, menjadi seorang ibu itu sepenuh masa untuk semua ibu-ibu. Tugas utama adalah menjadi ibu.


Boleh baca tulisan Ustaz Zaharudin di sini. Saya sangat bersetuju dengannya.


Manakala tugas sampingan adalah kerjaya yang diceburi. Hanya berapa jam saja anda bekerja? Selebihnya apabila anda pulang ke rumah, sewaktu cuti umum, sewaktu anak sakit atau bila-bila masa saja pastinya anda memakai topi seorang ibu bukan? Begitu juga anda adalah seorang suri kepada sebuah rumahtangga (isteri kepada seseorang). Anda takkan dapat melucutkan status seorang ibu atau seorang isteri walaupun anda memegang status tertinggi dalam bidang yang anda ceburi bukan?

Makanya, jika anda seorang guru, ianya patut disebut sebagai guru separuh masa. Jika anda seorang peguam, sepatutnya ia disebut peguam separuh masa. Jika anda seorang pegawai atau apa sahaja sekali pun, anda sebenarnya pegawai separuh masa. Tugas asal anda tetap harus dijalankan apabila anda pulang ke rumah. Iaitu menjadi seorang ibu. Semua antara kita adalah ibu sepenuh masa. Juga suri sepenuh masa (yang tidak tinggal di rumah)!

Bezanya dengan yang tidak bekerjaya lebih gemar memilih untuk melakukan tugas utama ini sepenuh perhatian. Punya kerjaya hanyalah pekerjaan tambahan atau ianya adalah kerja/tugas sampingan. Kebanyakannya juga punya kerjaya sampingan cuma kerja / tugas sampingan itu dipilih yang memenuhi keadaan semasa (sesuai dengan jadual anak dan rumahtangga) dan kerjanya itu tidak segah mana yang perlu duduk di tempat berhawa dingin sepanjang masa. Maka, sebenarnya semua wanita itu secara semulajadinya bekerjaya (punya kerja) tak kira di mana mereka berada. Mereka bekerja sepenuh masa!

PENAT ATAU STRES?

Kebanyakan daripada masyarakat kita juga berfikir bahawa orang yang bekerja di pejabat ini hidupnya sangat tertekan dan lebih penat dari yang kerjanya hanya di rumah. Adakah benar? Saya katakan begini. Jika anda punya anak (lebih dari seorang) yang masih kecil dan sukar dikawal, dan anda membuat tugasan luar di pejabat sudah pasti sebelum anda ke pejabat anda perlu menghantar anak-anak kepada seseorang / suatu tempat untuk anak-anak dijaga dan diberi makan serta dipantau keselamatannya sepanjang ketiadaan anda bukan? Maka tugas sebelah pagi itu anda serahkan kepada seseorang untuk menggantikan tugas asal anda itu. Dengan itu, bolehlah anda membuat tugasan sampingan anda di tempat lain (pejabat, sekolah dan sebagainya) dengan tenang tanpa gangguan anak-anak yang sukar memahami arahan dan payah dijangka. Dan tugasan anda sebelah malamlah akan diteruskan seperti biasa setelah mengambil anak-anak dari tempat jagaan sementara itu.

Bandingkan pula rutin harian ibu yang memilih untuk membuat kerja sampingan di rumah. Tugasan asal harus dijalankan tak kiralah ketika sakit, runsing, penat, lelah, mengantuk atau sedang membuat kerja sampingan yang lain itu. Gangguan dari anak-anak harus ditelan dan diuruskan sebaik mungkin agar anak-anak tidak mengacau kita ketika membuat kerja lain. Ketika sibuk membuat tugasan lain tiba-tiba saja anak-anak boleh datang mengacau dan kadangkala memakan masa untuk menyiapkan tugasan sampingan kita itu kerana harus menguruskan / mendiamkan anak-anak agar kerja kita dapat dilakukan dengan tenang. Tidak diserahkan kepada orang lain dan tidak diletakkan di tempat lain. Anda terpaksa bekerja dengan berhadapan kerenah anak-anak! Belum masuk lagi bab melayan betapa cerewetnya ketika makan dan minum siang hari.

Yang berbeza hanyalah situasi, keadaan dan siapa kita berhadapan. Secara peribadi saya nyatakan adalah lebih beruntung untuk berhadapan dengan orang yang BERAKAL yang sukar menerima dan memahami arahan berbanding ANAK KECIL (anak sendiri pulak tu nak marah lebih-lebih tak patut) yang masih tak mengerti apa-apa. Jika anda di pejabat stres berhadapan dengan orang yang tak reti bahasa dan tak tahu menghormati tugasan anda, bagaimana pula jika anda harus berhadapan dengan anak sendiri setiap masa yang memang tak faham apa-apa apalagi nak memahami erti hormat.

Adakah anda harus merasa bengang dengan anak sendiri setiap masa seperti anda merasa bengang dengan orang lain yang bekerja dengan anda? Jika anda merasa bengang dengan teman sekerja atau orang di tempat kerja sekalipun apabila habis waktu bekerja anda akan pulang ke rumah, bermain dengan anak dan melupakan semuanya. Namun jika anda berhadapan dengan kerenah anak yang selalu merengek tak kira masa, meminta itu dan ini sentiasa, selalu berebut permainan dan bergaduh sesama sendiri serta bermacam-macam perilaku yang menjengkelkan setiap hari adakah anda harus merasa bengang dan menyimpannya dalam hati?

Jika iman tak kuat, si ibu akan sentiasa stres dan sentiasa memarahi anak tak kira masa serta perilaku atau keganasan sebegitu bakal ditiru oleh anak yang akhirnya anak akan membesar menjadi seorang pembengis dan panas baran apabila dewasa. Adakah kita harus menunjukkan sisi yang buruk (sebagai kelemahan diri kita) kepada anak setiap hari untuk dicontohi? (Tak dinafikan saya pun selalu saja terbabas asyik memarahi anak-anak apabila satu kerja pun tak boleh buat kerana mereka asyik merengek dan bergaduh. Perkara inilah yang saya sedang kurangkan.. Untuk senyum saja apabila ingin marah).

Jadi, kerja siapa yang lebih penat dan lebih stres? Kerja mana yang lebih memerlukan pengurusan (anger management, work management) serta lebih kepintaran setiap hari?

Inilah persoalan yang sering dijadikan perbalahan selagi mana kita gagal memahami dan gagal menghormati 'job scope' orang lain yang bermacam-macam.

Saya tekankan di sini, selagi mana kita melihat dan memandang bahawa pekerjaan / kerjaya itu sebagai garis penentu kejayaan dalam kehidupan kita selagi itu kita berbalah mengenai kerja siapa yang lebih penat, lebih stres,lebih teruk atau lebih berwawasan membangunkan negara dan lebih mulia?

SIAPA LEBIH MULIA

Hidup ini punya banyak pilihan. Tak kira apa jua pilihan tugasan/kerjaya sampingan kita orang yang paling berjaya dan cemerlang cita-citanya adalah orang yang bekerja kerana Allah Ta'ala! Bukan kerana mengejar Phd atau gelaran Doktor mahupun Profesor. Bukan juga untuk memuaskan hati orang lain (bos, peminat, pengundi dll). Benar, di samping perlu memenuhi job scope yang ada seperti mengejar due date atau menghabiskan silibus, membuat report dan sebagainya apa yang paling penting adalah niat untuk kita melunaskan semua sunnatullah itu perlulah seiring dengan shariatullah (bekerja untuk mendapat keredhaan Allah).

Ya, kita tetap akan merasa bengang, naik darah dan apa saja perasaan yang menjengkelkan berhadapan dengan satu-satu situasi, namun bila kita fikirkan kembali niat asal kita ini, buat apa untuk mementingkan apa pandangan manusia berbanding pandangan Ilahi, maka bengang, marah dan segalanya itu akan mudah dipadam dan kita akan segera memaafkan orang lain serta diri kita sendiri. Begitu juga dengan cepat kita dapat memaafkan anak-anak. Jika begini, saya pasti tiada lagi yang akan menulis ketidakpuasan hati atau tahap kebengangannya terhadap orang lain di status facebook masing-masing! Betul tak?


Mengapa di awal tadi saya ada mengatakan tak semua ibu hakikatnya boleh menjadi seorang ibu?

Ada ibu yang duduk di rumah, membuat kerja sampingan dan dapat menumpukan perhatian dalam soal penjagaan anak serta kebajikan mereka dari A sampai Z.

Tak kurang juga ada yang keluar rumah bekerja separuh masa di pejabat/sekolah atau di mana saja dan menyerahkan tugas paginya kepada orang asuhan anak-anak sementara dan soal kebajikan anak juga tiptop terurus dengan baiknya!

Hakikatnya, ada juga ibu yang bekerja di luar rumah yang membawa kerja sampingannya juga pulang ke rumah dengan stres di pejabat/sekolah turut dibawa pulang ke rumah dan dilepaskan ke atas anak-anak.

Begitu juga ada juga ibu yang duduk di rumah yang mahu menjaga anak tapi gagal menjaga kebajikan anak secara total.

Ada surirumah yang masih malas memasak untuk anak-anak (ikut mood saja/takut dapur kotor dan penat membersihkan dapur), tidak melihat kerja sekolah anak-anak apalagi mengajar anak sendiri membuat kerja sekolah mereka. Ada juga yang tidak menghantar anak sendiri ke sekolah dengan alasan takut driving sendirian. Ada juga yang hanya tahu membebel dan marah anak saja setiap ketika apabila anak di depan mata, jauh lagi untuk memuji anak jika ada kebaikan yang dibuat walau hari tertentu. Ada juga yang tidak mengajar langsung fardhu ain serta mengaji al-Quran sendiri kepada anak-anak dengan alasan tidak tahu. Membantu anak menyusun buku ke sekolah pun tidak. Bukan mengatakan saya tahu semuanya tapi pokok pangkalnya di sini BELAJAR. Apa salahnya yang tak tahu tu belajar untuk mengajar anak kemudiannya. Dah duduk rumah, belajarlah apa-apapun!).

Stres duduk di rumah itu tak dapat dikawal dengan betul yang akhirnya menyebabkan si ibu menyalurkan stresnya kepada anak-anak dalam cara yang sangat negatif. Sehingga satu ketika bila anak-anak ini membesar dalam keadaan yang tidak terjaga dan punya pemikiran yang negatif, saya terpaksa melihat kembali bagaimana proses tumbesaran dan pembesarannya berlaku walau ibunya seorang surirumah sepenuh masa. Yang lebih menyedihkan ibunya tidak pernah memberi susu badan sendiri kepada anak-anak sejak hari pertama. Dan didikan anak-anak sendiri sangat menyedihkan. Bagaimana tidak saya harus bersimpati terhadapnya kerana dia tak mampu menjadi seorang ibu. Dia hanyalah ibu yang melahirkan. (Ya.. walaupun mengandung dan melahirkan anak itu saja sudah memeritkan dan dikatakan satu pengorbanan namun saya melihatnya dari sudut tanggungjawab dan bukan pengorbanan yang harus dibalas).

Kerana itu saya tekankan di sini, di mana tahap kita sebagai seorang ibu? Apa nilai kita di mata anak-anak? Apa nilai anak-anak di mata kita? (tentu sekali bukan hanya melahirkan dan biarkan mereka membesarkan mengikut  arus dibawa pergi atau mengikut kaki melangkah semata bukan?)

Apa guna jika orang lain berhenti kerja dan kita juga mahu berhenti kerja hanya kerana tidak percaya pada orang lain dan risau jika sesuatu berlaku di pusat asuhan andai diri kita sendiri acuh tak acuh terhadap hal kebajikan anak-anak, tak sanggup bersabar melayan kerenah anak-anak, tak ikhlas dalam mendidik anak-anak yang tidak bergaji ini? Lebih baik kita bekerja saja di luar dan menyerahkan tugas mendidik anak di waktu pagi itu kepada yang lebih pakar atau yang boleh lebih bersabar atau yang lebih tahu 'anger management' terhadap anak-anak sekurang-kurangnya biasa dengan kanak-kanak (bukan 1 orang anak).

(Tips : Jika anda seorang yang selalu menulis status di facebook marah dan bengang dengan tempat kerja anda atau officemate anda, bermakna anda tak boleh juga bertahan dengan kerenah anak-anak di rumah sentiasa di depan mata. Anda harus tahu 'anger and stress management' sebelum ambil keputusan untuk berhenti kerja).

Apa guna jika kita berada di rumah tapi semuanya kita tak tahu nak buat, tak mahu menghantar anak ke sekolah dan tak mahu ajar apapun kepada anak-anak. Atau dalam kata lain, apa guna kita duduk rumah tapi tak mahu menyusukan anak kita dengan susu badan kita sendiri malah diberi hanya susu lembu kepada anak-anak?

Maaf saya katakan agak 'telus' seperti di atas. Kerana pada saya hakikat menjadi seorang ibu bukan hanya menahan kesakitan melahirkan dan membesarkan anak semata-mata. Menjadi seorang ibu dan ayah melangkaui segala tugas dan tanggungjawab yang ada dalam seluruh dunia ini. Tiada job scope. Tiada due date. Tiada silibus. Tiada gaji.

Semuanya mengenai sejauh mana kita mengendalikan amanah yang Allah beri ini untuk terus hidup di atas bumi Allah ini. Ya, semuanya mengenai ibadah dan keikhlasan.

Saya juga masih terus belajar apa yang saya tak tahu. Dan saya juga bukan sempurna pun.


KEPERLUAN ATAU TUJUAN

Dalam slot bersama Ustaz Pahrol Juoi di Ikim.fm setiap Isnin jam 5.15 petang baru-baru ini ada membicarakan tentang keikhlasan dalam melakukan pekerjaan. Suami saya juga selalu mengulang-ngulang dan mengingatkan saya ayat ini jika saya berada dalam tahap yang negatif kadangkala.

Kita buat kerja ni untuk memenuhi keperluan saja atau kerana memenuhi tujuan?

Kita bekerja hanya kerana orang lain bekerja dan ingin mencapai cita-cita sama seperti orang lain juga atau kita bekerja untuk tujuan tertentu yang niatnya hanya boleh dinilai oleh Allah Ta'ala sahaja bukan manusia lain? Maka, tiada isu apabila orang lain bercakap tentang apa yang kita buat itu tidak bermanfaat dan tidak memuaskan hati orang yang berbicara. Kerana setiap daripada kita ada tujuannya tersendiri dalam menilai kehidupan seterusnya menuju redha Allah.

Bagaimana tujuan kita dan apa niat kita yang sebenar untuk bekerja samada di luar rumah atau di dalam rumah hanyalah antara kita sendiri dan Allah saja yang menilainya. Justeru, kita harus mengutamakan bagaimana pandangan Allah dari pandangan manusia. Di sinilah keadilan tertegak di mana apa kerja yang kita buat, ternama atau tidak, punya kelas tersendiri atau tidak semuanya bukanlah menjadi isu lagi. Semuanya bergantung kembali kepada amalan kerja kita ini sebagai ibadah kepada Allah Ta'ala.

USAH RISAU, BERLAPANG DADA LAH

Teringat cerita Ustazah Norhafizah Musa dalam Ikim beberapa minggu yang lalu (slotnya pada setiap Jumaat jam 10 pagi). Beliau menceritakan pengalaman sebenarnya bersama anaknya yang pada mulanya agak berat berhenti sembahyang di stesen minyak yang tak jauh dari rumahnya. Boleh saja mereka terus pulang ke rumah yang tinggal beberapa meter saja lagi namun azan sudah berkumandang dan beliau menyuruh semua anak-anak turun kereta untuk bersolat. Kesemuanya turun dengan muka masa. Lalu selepas bersolat, seorang anaknya tadi ingin membeli barang sebentar di sebuah kedai dan beliau memberhentikan kereta di seberang jalan. Ketika itu hujan turun dengan lebatnya.

Setelah membeli, anaknya tadi terus melintas jalan dengan tergesa-gesa kerana hujan yang lebat. Dari jauh beliau sudah dapat mendengar deruan bunyi kereta yang sangat laju dari arah belakang keretanya. Dalam hati beliau terdetik hospital manakah yang paling hampir sekali tika ini. Tak semena-mena kereta yang laju itu meluncur laju di tepi keretanya tanpa sebarang bunyi pelanggaran dan beliau menoleh. Tidak ternampak langsung kelibat si anak. Darahnya menderau. Tiba-tiba anaknya masuk ke dalam kereta dengan basah kuyup dan muka yang pucat lesi dan berkata, "Betullah ibu, kalau kita jaga Allah, Allah akan jaga kita".. Anaknya menceritakan ketika sedang melintas jalan dia merasakan ada sesuatu yang menolak hingga dia lari tersangat laju ke hadapan dan tersungkur ke tiang lampu tepi jalan. Kereta tadi memang laju dan dia terlepas dari kereta itu hanya sedikit saja. Subhanallah!

Berbahagialah wahai ibubapa, walau kepada siapapun anak kita diserahkan buat sementara waktu atau walau apapun yang terjadi di pusat asuhan itu semasa ketiadaan kita, selagi kita menjaga urusan Allah, berlapang dadalah.... Sesungguhnya Allah sedang menjaga urusan kita termasuk anak-anak.

Berbahagialah wahai wanita dan para ibu sekalian. Walau siapapun anda, apa jua kerja/tugasan sampingan yang dilakukan samada anak-anak berada di depan mata atau jauh di mata jika niat itu hanya untuk mendapatkan 'pandangan Allah' mengatasi pandangan manusia, sesungguhnya bantuan Allah akan tiba bila-bila masa dalam memudahkan pengurusan kerja serta urusan anak-anak tanpa kita sedari.

Berhenti berfikir dan memandang apa yang kita buat itulah pekerjaan yang paling memenatkan, paling tension dan segala yang paling. Pandanglah bukan pada pekerjaan siapa yang lebih hebat atau pekerjaan apa yang paling berbakti kepada nusa bangsa tapi lihatlah pada KERANA SIAPA dan UNTUK APA setiap pekerjaan itu dilakukan seadanya.

Bergantung harap hanya pada Allah. Hanya jika kita menjaga Allah (jaga waktu solat, tingkatkan ilmu dan perkara-perkara teknikal (usaha) sudah dibuat), maka selebihnya serahkan kepada Allah kerana kita tak mampu mengawal masa hadapan. Andai kita sudah menjaga dan melakukan usaha yang sepatutnya namun Allah tetap memberikan sesuatu yang buruk itu terjadi kepada kita maka, percayalah, itu adalah jalan yang terbaik untuk kita menuju ke arah kebaikan.




Tiada ulasan:

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor