رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Rabu, 1 Februari 2012

# sudut pandang # tazkirah

Terhenti di persimpangan.

Sejak akhir-akhir ini saya ditemukan dengan suatu peristiwa yang agak sukar untuk saya hadam. Sepanjang hidup saya yang baru menginjak 30 tahun ini, saya terpilih untuk melalui peristiwa sebegini untuk saya belajar dan menghadam sesuatu di sebaliknya. Sesuatu yang sangat berat untuk saya fahami. Kerana itu saya terhenti agak lama untuk memahaminya dan gagal menulis apapun di sini seperti biasa. Ianya sangat besar dalam hidup saya. Saya nukilkan di sini agar menjadi pedoman dan peringatan kepada kita semua khususnya kepada remaja perempuan yang bakal melangkah ke alam wanita sebenar agar peliharalah darjatmu~

KETERBUKAAN DALAM TERTUTUP, TERTUTUP DALAM KETERBUKAAN

Saya suka menonton rancangan 'Born in every minutes' di Biochannel astro @ 731.. Saya suka melihat gelagat ibu-ibu melahirkan di sebuah hospital dan melihat betapa sibuknya misi dan doktor melayan gelagat ibu mengandung serta menyambut kelahiran bayi di setiap jam dan minit. Kebiasaannya sudah pasti pasangan yang sudah berkahwin, yang punya persediaan rapi menyambut kelahiran anak dan ioimeriahnya bilik menunggu itu dipenuhi sanak keluarga yang tak sabar-sabar menanti kelahiran si comel. Namun, ada satu kes yang benar-benar saya ingat.

Seorang gadis berusia 18 tahun dan belum berkahwin. Bermaksud jika di Malaysia anak yang dikandung itu disebut anak luar nikah. Semasa gadis itu dimasukkan ke dalam wad, dia bersama ibu ayahnya. Selang beberapa jam si lelaki pun datang. Misi yang bertugas pun bertanya ala-ala kepoh gitu. (Sesudah diterjemah)..



Misi : Bagaimana kamu berkenalan?
Si wanita : Melalui kawan-kawan..
Misi : Ooo berapa lama sejak kamu berkenalan dan kamu mengandung? Kamu baru 18 tahun tak terlalu awal ke bagi kamu?
Si lelaki : Sebenarnya kami kenal dan berjumpa selepas 3 bulan. Kemudian, perjumpaan pertama saya datang ke rumahnya untuk membawanya keluar. Ayahnya memberikan saya borang untuk diisi. Macam-macamlah dalam tu yang saya kena jawab, saya jawab jelah. Kemudian, selang beberapa bulan ia terjadi.
Misi : Ye ke sampai kena isi borang? Biar betul!
Si wanita : Ya! Bapa saya seorang yang tegas dan sangat melindungi saya. Tapi akhirnya jadi begini nak cakap apa..
Misi : Bila kamu nak kawin?
Dua-dua : Seminggu selepas ini.

Dan kemudian, ditemuramah pula si bapa perempuan itu. Katanya lebih kurang begini, "Saya sudah suruh dia isi borang dan tandatangan supaya dia jaga kelakuannya sepanjang keluar dengan anak saya. Berkali-kali saya katakan padanya. Tapi tiba-tiba ini juga yang terjadi. Kita tengok jelah apa akan jadi selepas ni".

Lalu selang beberapa minit kemudian si lelaki tadi memberitahu yang ibubapanya juga sudah sampai di hospital. Dan lelaki tadi keluar sebentar ke lobi untuk berjumpa keluarganya seramai 4 orang di luar. Si bapa lelaki itu bertanya, "Apa yang kamu rasa sekarang?" Dia menjawab, "Takut juga rasanya.. Saya tak sangka perlu rasa sebegini sekarang.." Si bapa menjawab kembali, "Suka atau tak kamu harus merasainya sekarang. Berhadapan dengannya." (sambil memegang tangan antara satu sama lain).

***************************************************

Saya membuat perbandingan. Bukan cara yang digunapakai untuk mengawal tingkahlaku anak tapi cara menyelesaikan sesuatu perkara apabila ianya sudah berlaku. Dengan situasi yang saya temui baru-baru ini.

Orangtua yang sebelum ini membenarkan anak gadisnya dibawa ke sana sini oleh kawan lelaki istimewa si anak dengan membenarkannya keluar masuk rumah apalagi keluar berjumpa pada bila-bila masa tanpa sebarang borang untuk diisi. Dan akhirnya, ia berlaku. Setelah terjadi, si perempuan ini melahirkan anaknya keseorangan (bernasib baik kerana orangtuanya masih sanggup menerima anak luar nikahnya itu, tidak mahu menggugurkannya dan sanggup menanggung segala perbelanjaan hospital walaupun sebenarnya tidak mampu). Namun, si lelaki yang sepatutnya bertanggungjawab itu tidak dibenarkan berjumpa langsung dan mahu perhubungan diputuskan serta merta. Jangan bercakap langsung isu kawin! Kedua-dua keluarga saling menyalahkan dan ego dengan status ibubapa masing-masing. Melihat si perempuan tadi yang kesedihan (akibat menerima tocaan dan hinaan seorang diri serta menanggung kesakitan beranak dan terpaksa berulang alik ke hospital sendirian membuatkan saya rasa hiba dengan nasibnya. Sekarang, anak luar nikah yang dilahirkan itu sudah meninggal dunia disebabkan beberapa komplikasi selepas dilahirkan.

Saya menyedari sesuatu bahawa dalam keterbukaan ibubapa zaman kini mengenai siapa pasangan anak-anaknya dan tingkahlaku mereka, (seperti tak kisah anak keluar dengan orang lain samada tunang mahupun pakwe dan lebih parah membenarkan orang luar yang kita sangkakan boleh dipercayai keluar masuk ke rumah kita sesuka hati untuk menunjukkan kita menjadi orang dewasa harus open-minded untuk menerima perilaku anak remaja yang up-to-date ini) akhirnya membawa kepada satu tindakan anak muda luar kawalan seterusnya mengambil keputusan tertutup dan sangat menyulitkan bagi kedua-dua pihak. Yelah, orang melayu kita sangat taboo dan tidak bersedia lagi apabila menyebut bakal menantu yang 'sudah ditebuk tupai' walaupun anaknya sendiri mengakui yang dia 'menebuknya' namun mereka lebih gemar menyalahkan si perempuan yang liar dan banyak bergaul dengan lelaki. Tertutup.

Namun, lihat pula kepada pasangan barat ini. Walaupun saya tak pasti apa agamanya namun, tindakannya seperti orang yang mempunyai agama. Tertutup pada awalnya (siap kena isi borang dulu, interview dulu, ada syarat-syarat dulu baru boleh bawa anaknya keluar - memang sesuatu yang senang diketawakan sesiapa yang mengalami nasib sebegitu mungkin juga sesetengahnya menganggap itu sebagai kolot) namun, akhirnya ia tetap terjadi juga. Apa yang membezakannya adalah keputusan (selepas sesuatu perkara terjadi) yang diambil kedua-dua keluarga ini sangat rasional, matang dan lebih memudahkan/menyenangkan kehidupan anak-anak mereka selepas itu. Sekurang-kurangnya, masing-masing keluarga menunjukkan contoh yang baik di samping memberi nasihat yang baik jika sesuatu yang buruk sedang berlaku. Bukan dengan kapasitinya sebagai budak yang mentah yang terpaksa menerima pakai nasihat yang mentah daripada sekitar kawan-kawannya sahaja apabila orangtua awal-awal sudah menarik muka masam dan berburuk sangka di antara kedua-dua keluarga.

YANG SALAH TETAP SALAH!

Saya memberikan contoh begini bukan bermakna saya bersetuju dengan cara orang barat itu dan membenarkan pergaulan bebas, perzinaan seterusnya fenomena anak luar nikah ini sebagai sesuatu yang dibolehkan. Bukan juga bermakna kedua-dua contoh di atas perlu diikuti bagi menyelesaikan masalah sosial yang sangat genting berlaku sekarang ini. Sama sekali TIDAK!

Samada kita perlu menjadi 'tertutup' dahulu atau 'terbuka' dahulu bukanlah isu utama. Yang paling aula dalam apa jua keadaan prinsip asas iaitu MENJAUHI ZINA itulah yang terpenting.

Kadangkala, kita selalu mengutuk dan membenci perkara sebegini namun dalam tak sedar ianya boleh saja berlaku kepada sesiapa sahaja samada saudara mara kita yang dekat atau jauh, sahabat handai kita ataupun jiran tetangga kita. Yang lebih menyedihkan jika ianya berlaku di depan pintu rumah kita saja!

Namun, apabila ianya sudah terjadi tiada gunanya kita berbalah menyalahkan orang lain pula kerana dengan menyalahkan orang lain bermakna ianya salah kita sendiri. Tiada gunanya juga kita terus menghukum kedua-dua mereka yang terlibat. Rasulullah sendiri tidak terus menghukum seorang penzina yang datang mengaku salah di hadapannya. Siapa kita pula untuk menghukum mereka? Saya berpendapat adalah lebih baik mengakui kesalahan diri sendiri atau membetuli perkara yang kita mungkin terlepas pandang sebelum ini. Selain memberi peringatan dan nasihat kepadanya untuk bertaubat dan takut kepada balasan Allah itu sudah pasti.

Ya, setiap apa yang terjadi di sekeliling kita adalah berpunca dari diri kita juga (walaupun diri kita tak terlibat secara langsung dengan situasi sebenar).

Saya berfikir-fikir. Di mana silap saya? Mungkin silap saya tidak bertegas dalam soal keluar berdua apabila melihat mereka bersama. Mungkin silap saya tidak memberikan contoh dan nasihat yang baik kepada pasangan muda yang hangat bercinta ini agar ingat kepada batas pergaulan yang sudah cantik Islam gariskan. Mungkin silap saya kerana tidak mengambil berat dan memberikan sedikit kasih sayang dan perhatian saya kepada anak gadis ini sebelumnya sehingga dia terpaksa mencari orang yang lebih mengambil berat dirinya. Segalanya mungkin.

Namun, menengkingnya, memarahinya, mengherdiknya apatah lagi membuangnya terus dari hidup (putus hubungan/silaturrahim/buat tak tahu saja walaupun tiada hubungan DNA) sebagai cara kita benci dengan tindakan bodohnya adalah tindakan mementingkan diri sendiri atau saya rasakan macam nak masuk syurga sorang-sorang. Kerana itu saya harus mendampinginya semula agar kita sama-sama beroleh pengajaran dan ibrah yang berharga sebagai bekalan kita untuk ke syurga kelak. Kerana kita ke syurga bukan berdasarkan amal ibadat tapi melalui rahmat Allah. Dan kita tak tahu yang mana satu amalan kita yang akan membuatkan kita terus ke syurga atau berpatah balik ke neraka. Na'uzubillah!

JAGA MAHKOTA WANITA

Ingin saja saya pergi kepada muda mudi yang berpegangan tangan tanpa ikatan yang sah di jalanan. Ingin saja saya mengingatkan mereka akibatnya duduk berdua-duaan di taman-taman atau di mana saja (kalau sudah berkawin sudah pasti mereka tak berpegangan tangan dan berkasih-kasihan di luar secara terang atau sembunyi-sembunyi kan? Baik duduk di rumah saja. Sebab belum kawin lagilah mereka terpaksa berduaan dan berkasih-kasihan di tepi-tepi jalan) bagaimana padahnya, betapa teruknya dan betapa sakitnya jika sudah terlanjur seterusnya melahirkan anak berseorangan.

Masuk seorang diri melihat anak di dalam wad icu di hospital (kerana anak itu mengalami komplikasi atau sakit tertentu) sambil menahan kesakitan beranak seorang diri dan duduk di atas kerusi roda yang ditolak orang, bukan seorang suami, adalah suatu perasaan yang sangat hiba bukan menyedihkan lagi. Menahan pendengaran, tohmahan dan pandangan orang luar terhadap kita (perempuan yang sudah ditebuk tupai) bersama menggendong anak yang tidak sah tarafnya, tidak terbela nasibnya dan yang bakal menjadi fitnah seterusnya apalagi anak ini tiada siapa menanti-nantikannya atau tiada yang gembira menyambutnya adalah sesuatu yang tidak berbaloi untuk satu kepuasan dan keseronokan yang dirasai sebentar cuma hanya atas nama cinta yang tidak halal.

Semua orang muda memang hanya sekali. Darah mudalah kita di tahap sangat menggiurkan, cantik, menawan sehingga sesiapa saja akan mudah tertarik. Rasa mahu disayangi, mahu dikenali, mahu rasa dihargai apatah lagi mahu rasa dibelai dan dicintai oleh seseorang yang sangat memahami kita luaran dan dalaman. Ya, saya faham perasaan itu, saya sudah melaluinya. Saya juga tidak terlepas melakukan kesilapan.

Namun, harus diingat! Berbaloikah untuk merasa bersalah dan berdosa seumur hidup dengan merasai keseronokan dan kepuasan cinta anda hanya beberapa minit? Segala yang kita mahukan itu bersifat sementara. Hanya mainan syaitan durjana!

Ketahuilah, jika datang kepada kamu seorang lelaki yang bermulut manis dan menjanjikan sejuta harapan dan impian yang akan dikongsi bersama hingga akhir hayat, maka tinggalkanlah dia! Kerana tiada seorang pun yang boleh bergantung harap dalam dunia ini selain dari ALLAH! Hatta, ibubapa kita juga kita tak mampu untuk bergantung harap kerana manusia boleh mati meninggalkan kita pada bila-bila masa.

Jika datang kepada kamu seorang lelaki berada dan mewah serta mampu menyara kamu dan seluruh keturunanmu sehingga akhir alam ini maka, lupakanlah dia! Kerana kemewahan dan harta benda bukan sesuatu yang boleh membahagiakan kamu sesudah perkahwinan. Walaupun sesudah kamu beranak pinak. Hanya rahmat dan hidayah ALLAH yang mampu membuatkan kamu merasai ketenangan dan kebahagiaan sepanjang perkahwinanmu walaupun tanpa harta yang banyak, walaupun tanpa anak.

Yang paling penting, jika seorang lelaki datang kepadamu dengan memuji-muji dan membesar-besarkan kecantikanmu maka berpaling tadah sahaja kamu daripadanya kerana dia mencintaimu atas dasar nafsu semata-mata. Beberapa bulan mungkin dia dapat mengawal nafsunya. Tapi ingat, beberapa tahun dia mungkin tewas dengan nafsunya sendiri. Berhati-hatilah jika si dia sudah mula meminta 'itu dan ini' sebagai bukti balasan cintamu. Kerana cinta yang ikhlas dan sejati itu tidak pernah bersyarat dan tidak memerlukan sebarang bukti sebagai balasan cintanya. Tak perlu itu semua!

Maka, berpeganglah pada ajaran Islam yang benar! Nescaya kamu akan selamat dunia akhirat.


Jangan keluar berdua-duaan. 


Jangan keluar berdua-duaan. 


Jangan keluar berdua-duaan dan dengar nasihat orangtua yang beriman. Kawal perasaanmu dengan hadir atau banyak mendengar majlis ilmu dan ceramah agama. Itulah sahaja prinsip asas yang perlu dipegang. Mudah membacanya tapi sukar melaksanakannya apabila sudah mabuk bercinta.

Bernikahlah secepat mungkin jika sudah yakin dan sudah sayang demi anak yang dilahirkan dan juga demi mengelakkan maksiat berulang kembali. Tiada alasan untuk bernikah. Tiada duit hanya ALASAN! Secara peribadi, saya tidak percaya lelaki yang menangguhkan perkahwinan hanya kerana 'belum cukup duit' (lain keadaannya jika keluarga perempuan yang meletakkan harga yang tinggi). Jika begitu, adalah baik jika si gadis jangan bercinta langsung dengan orang sebegini. Kerana akhirnya anda juga yang membuang masa, penat, terseksa dan mengalami trauma percintaan yang sangat panjang di kemudian hari.

Dunia ini ialah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir. (Hadis riwayat Muslim)
Imam an-Nawawi rahimahullahu ta’ala berkata, “Maksudnya, setiap mukmin itu terpenjara di dunia, karena dia dilarang mengikuti hawa nafsunya dan mengerjakan yang haram dan makruh, bahkan diwajibkan mentaati perintah Allah jalla wa ‘ala yang merupakan perkara berat bagi dirinya, tetapi apabila dia telah meninggal dunia, hatinya tenang karena akan memperoleh imbalan dari Allah subhanahu wa ta’ala.” (Syarah Muslim 18/93)


IBRAH UNTUK SEMUA

Selagi kita bernama manusia/insan, kita akan selalu lalai dan leka. Kadang tersilap dan lupa. Begitulah adat yang namanya manusia. Kita bukan nabi, kita juga bukan malaikat. Insan biasa yang hatinya sentiasa berbolak balik. Jika kita sedar jalan yang dilalui ini sangat tersasar dari jalan utama yang Allah anjurkan maka, kembalilah semula ke tempat kita terhenti. Dan ubahlah haluan. Pilih untuk memasuki persimpangan yang berlainan bukan persimpangan/jalan yang kita telah masuki terdahulu. Banyak jalan menuju kehidupan yang lebih tenang lagi diredhai. Banyak juga jalan menuju ke syurga abadi.

Pintu taubat sentiasa terbuka hingga ke saat ajal sampai ke halkum kita. Betapa kasih dan cintanya Allah kepada hambanya Dia masih berikan kita peluang beberapa kali untuk kita menginsafi diri dengan berada dekat kepadaNya. Tidak sesekali Dia menghukum dengan pantas dan mengungkit-ungkit dosa dan kesalahan lama kita terhadapNya. Walau beberapa kali kita melupaiNya dan jauh dariNya percayalah, segala yang kita lalui sekarang adalah percaturan terbaik daripadaNya agar kita kembali hampir denganNya. Janganlah kita sombong dan angkuh menjadi hambaNya dengan tidak mengakui kealpaan kita dan menyesalinya.

Walaupun hari ini kita di jalan yang baik namun, kita takkan dapat pasti kita akan terus baik hingga akhirnya.

Walaupun kita jahat pada hari ini, tak semestinya kita akan terus jahat menjelang akhir hidup kita.

Yang lepas biarkan berlalu. Jangan diungkiti. Berbaik sangka kepada Allah, mohon diterima taubat dan diberi keampunan kepada kita yang berkali-kali melakukan kesilapan ini. Sesungguhnya kasih sayang Allah dan rahmatNya melangit luas..

Yang penting, niat untuk berubah ke arah lebih baik itu harus disusuli dengan pembuktian. Itulah satu-satunya bukti cinta yang harus kita pamerkan sebagai sebahagian daripada taubat kita.

1. Berubah dengan mempunyai niat yang jitu, tekad yang nekad untuk berubah.
2. Berubah dengan tahu jalan dan arah mana yang harus dituju selepas ini tanpa membuang masa lagi.
3. Berubah dengan ilmu yang betul dan ilmu yang akan membenarkanmu terus ke syurga.
4. Berubah dengan amalan yang konsisten (istiqamah) sekurang-kurangnya 21 hari dan seterusnya hingga ke akhir nafasmu di dunia ini.

Saya mendoakan agar Allah menerima taubat saya dan kita semua. Agar aqidah dan pendirian anak muda zaman ini serta semua srikandi alam ini kelak akan tetap teguh dengan satu pegangan iaitu mengutamakan hak Allah sebelum memberi hak kepada mana-mana manusia. Harus beringat sebelum terkena!

Juga saya mendoakan agar setiap dari kita diberi hidayah dan pimpinan terus dari Allah supaya kita tetap di jalanNya dan mati meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang baik dan dalam perasaan  mencintaiNYA.

Saya juga mendoakan agar setiap apa jua situasi kita diuji hari ini, semalam dan akan datang, Allah sedang memerhatikan kita, samada untuk mengangkat darjat kita ataupun sebagai kifarah atas dosa lalu kita, semuanya dalam bahagian kita masing-masing. Tak kira bagaimana susahnya dan sengsaranya bahagian kita, berdoalah agar Allah tidak memberikan kita hukuman yang berat yang kita tak sanggup melaluinya apatah lagi kita melihat orang lain juga berat untuk meredahinya. Kerana semua yang berlaku itu ada pengajarannya dan berlaku atas keizinan Allah kerana Dia tahu yang kita mampu melaluinya....



-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

BELASUNGKAWA


Al-fatihah buat anak kecil ini. Yang sempat menikmati udara dunia ini selama 14 hari sahaja. Walaupun status anak ini di surat beranak tidak sama seperti anak pasangan yang sah yang lain, namun status itu cuma mainan duniawi semata.

Walau hanya seketika, namun kamulah permata kesayangan ibumu serta orang-orang yang mengenalimu. Walaupun ada yang mempertikaikan kewujudanmu, namun hanya Allah yang lebih tahu daripada siapa kamu berasal dengan mengizinkan kehidupanmu yang singkat ini. Berbahagialah kamu di sisi Allah yang menghidupkanmu dan mematikanmu. Berdoalah di sisi Allah agar kamu akan dipertemukan dengan orang-orang yang ikhlas menyayangimu di syurga kelak. Agar Allah menerima taubat ibubapamu dan mengampuni dosa keluargamu.. 


Kamu sangat bertuah kerana ibumu sangat menyayangimu dan tidak membuangmu sejak dari awal kehadiranmu malah ibumu menahan segala penat lelah, jerit perih dan derita dunia ini berseorangan. Benar, ibubapamu pernah melakukan kesilapan dan mengundang murka Allah sehingga adanya kamu, tapi kamu tidak sesekali berdosa dan harus menanggung sama dosa ibubapamu. Kamu sangat bertuah kerana Allah juga sangat menyayangimu dengan mengambilmu kembali ke sisinya dengan cepat dan terus memasukkan kamu ke dalam syurga abadi tanpa hisab. Betapa Allah sangat mengasihimu! Siapalah kita makhluk manusia di dunia ini yang sanggup memandang hina kepadamu apalagi tidak dapat menyayangi dan mengasihimu? 


Ibumu pasti akan mengingati titisan akhir airmatamu sebelum kamu menghembuskan nafas terakhir ketika jari jemari kecilmu bertaut di hujung jemari ibumu. Walaupun tak sempat untuk ibumu memeluk dan menciummu percayalah, ibumu hanya ada kamu dan airmatamu itu sudah cukup menghilangkan semua kedukaan ibumu.. Damailah kamu di sana wahai anak...




3 ulasan:

Cimas Tc berkata...

AllahuAllah...Sedih membacanya..andai setiap anak muda boleh membacanya juga...
Terima kasih atas perkongsian puan..moga manfaatnya bertebaran buat semua...

Dino berkata...

Keterbukaan ibu bapa zaman kini berpunca daripada kejahilan mereka, bukannya trend semasa.
Ku anfusakum wa ahlikum naara..

Na'uzubillah

Tanpa Nama berkata...

Subhanallah....sedihnyer....zmn sekarang....

#jdtblogger #teambloggerjohor