رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Jumaat, 23 Disember 2011

# keibubapaan # keluarga

Catatanku..

Menjadi seorang suri sepenuh masa bagi sebuah rumahtangga bukanlah seteruk mana. Pada mulanya, saya juga merasa sangat 'kecil diri' bila hanya dapat memegang status ini tatkala rakan dan kenalan lain sedang gah memegang 'title' yang lebih besar di sana sini.

Hampir kesemua orang yang saya temui mengatakan perkara yang serupa dengan ayat yang hampir serupa. "Awak belajar sampai UIA buat apa dok rumah? Buat penat je belajar tinggi-tinggi, rugilah kalau tak kerja.. Kat luar sana ramai yang nak kerja bagus tapi takde ijazah. Awak boleh dapat kerja bagus kalau mintak." Ini contoh ayat yang agak sopan.


"Abis ko punya ijazah tu buat bungkus nasi lemak jelah!" Ini pula contoh ayat yang buat saya tersentap dan 'makan dalam' untuk beberapa tahun (akhirnya orang ni jugaklah yang minta tolong saya uruskan 'rumahtangga' dia).



Saya punya pendirian sendiri. Ia bukan alasan. Bukan juga ikutan mahupun paksaan. Saya bersyukur kerana memilih jalan ini walaupun dipandang serong pada awalnya. Hanya selepas 4 tahun saya menjadi pengurus rumahtangga sepenuh masa barulah saya nampak dan merasakan bahawa kerjaya ini juga harus setaraf dengan kerjaya lain di luar sana. Sama tapi tak serupa.

Cuma yang menjadikannya nampak tiada apa-apa ialah tiada kot atau baju kurung yang cantik beserta tudung dan brooch yang lawa untuk digayakan setiap hari. Dan tidak dapat duduk membuat kerja dalam ruangan berhawa dingin. Dan tak dapat keluar lunch di kedai-kedai makan waktu tengahari bersama kawan-kawan. Juga tiada pengklasan (speciality) dalam bidang tertentu yang harus saya ulangi saban tahun.

Kerjaya surirumahtangga sepenuh masa ini memerlukan kebijakan dan kecekapan yang tinggi. Job skop berbeza setiap hari walaupun nampak sama. Kebanyakan masa harus bergantung pada masa dan mood/kerenah anak-anak pada hari tersebut. Dan kita harus cepat 'adapt' dengan keadaan yang tak menentu itu seterusnya mengawal keadaan agar tak jadi huru-hara. Kadangkala, kesemuanya menangis serentak. Adakala pula berak pun serentak. Bila macam tu nak duduk sekejap pun tak sempat dah (sedang ajar anak 2 tahun berlatih buang air dalam tandas). Harus cekap dan pantas. Kerana mereka sedang lasak memanjat sana sini, bermain sana sini (kalau leka kita tak nampak apa yang dimasukkan ke dalam mulutnya). Juga perlu berhati kental agar tidak terlalu mengikut perangai 'buat-buat' si anak. Kita harus bijak membezakan antara perangai 'original' atau perangai 'menarik perhatian'. Begitu juga kita perlu bijak membezakan tangisan bayi yang sakit, yang lapar atau yang hanya ingin dipeluk.

Kebanyakan ibubapa hari ini lupa untuk berfikir untuk mencari software yang harus kita buat dalam bentuk skrip / dialog untuk di upload ke dalam memori anak seawal 2 tahun ini. Ya, bak kata Dr. Muhaya, anak-anak berumur 0-6 tahun ini harus di install dgn software yang baik. Bukan dengan membiarkam mereka menonton kartun di tv sesuka hati. Kerana itu sebagai ibubapa atau pengasuh (pengganti ibubapa di rumah) harus menjadi seorang developer / programmer anak yang baik. Ia memerlukan kepantasan kita berfikir sepanjang hari untuk mengaitkan apa yang mereka main / lihat / dengar dengan aqidah Islamiyyah yang betul. Pendidikan sebegini bukan bermula semasa mereka tadika nanti tapi ibubapalah yang harus memulakan dahulu sejak mereka melihat dunia lagi.

Belum lagi masuk bab kecekapan kita di dapur untuk memasak menu anak yang sedang membesar,  makan tengahari keluarga dan makan malam. Begitu juga kecekapan kita mengemas rumah supaya sentiasa teratur, kemas, tidak bersepah dengan mainan dan tiada lebihan makanan / benda merbahaya yang terbiar di lantai. Semua ini turut dapat saya asah perlahan-perlahan sehingga masa saya di dapur sekarang memasak hanya untuk 1 jam saja (kadangkala takkan boleh dapat 1 jam pun, harus pantas!).





Sekarang, selain menguruskan 2 orang anak saya (2 setengah tahun & 1 setengah tahun) yang sedang lasak membesar saya juga tolong menjaga anak abang saya yang berusia 3 bulan. Ya, ini pengalaman pertama menguruskan anak kecil orang. Juga kepercayaan pertama yang saya terima (yelah, adik beradik sendiri mesti kena saling mempercayai ewah! Kalau Alem baca ayat ni mesti dia muntah darah punyalah. haha!)

Memang mencabar! Kadangkala huru-hara! Tapi, di hujung hari saya rasa sangat selesa dan gembira kerana dapat menyumbang sesuatu kepada adik beradik sendiri. Saya juga akan rasa sangat puas hati jika dapat menyumbang sesuatu untuk orang lain. Itulah nilai kepuasan yang saya cari dalam hidup.

HARI PERTAMA

Sebelum ini Dariyyah diasuh oleh nenek sebelah ibunya. Tapi, kasihan jugalah sebab orang dah berumur ni memang tak berapa nak larat walaupun jiwanya besar nak jaga cucu sendiri kan. Samalah macam mak juga. Kudrat terbatas. Nasib baik Alem masih ada satu lagi talian hayat iaitu saya yang memang 24 jam kerjanya menjaga budak (selain daripada menjaga suami sendirilah).

Isnin pertama Dariyyah mengamuk! Asyik menangis. Dipujuk tak mahu. Diselawat dan dibaca segala macam surah juga tak jalan. Disuakan susu tak masuk-masuk susunya. Dariyyah menangis selama 45 minit tanpa henti! Suara dah hilang, nafas dah makin susut. Saya dah menggelabah. Mak pun menggelabah. Baru tahu penangan budak yang menyusu badan bila ibunya tiada di sisi. huh.. Tengahari tu jugak terpaksa suruh mak bapak Dariyyah balik rumah. Dah abi dan umi Dariyyah kena potong gaji ambil half day saja.

Hari kedua, Selasa. Macam semalamnya jugak Dariyyah menangis tanpa henti! Abi dan uminya baru saja keluar rumah pergi kerja. Takkan nak telefon suruh balik. Apabila tangisannya dah masuk setengah jam saya nekad. Sebelum tu cuba juga cara ni tapi tak yakin jadi ke tak. Saya suruh uminya di pejabat bacakan al-fatihah dan selawat sebanyak mungkin niat pada si anak. Kali ni saya paksa diri untuk merasa yakin. Yakin pada kekuasaan Allah yang menjadikan manusia sebaik-baik ciptaan dan saya hanya membuat sesuatu atas dasar ilmu yang saya ada. Saya dakap Dariyyah rapat ke dada dan selawat tak putus-putus sambil fokuskan kepada uminya sambil saya berjalan (pusing) lawan arah jam.

Tiba-tiba dada saya berdegup sangat laju. Sakit. Tapi saya terus fokus dan selawat untuk anak ini mendengar degup jantung yang sama seperti ibunya. Dalam 2-3 minit, Dariyyah terus berhenti menangis serta merta dan tertidur macam tiada apa yang jadi. Sedunya saja yang kuat.

Saya yakin dengan cara sebegini kerana saya ada satu konsep. Iaitu Allah jadikan satu teknologi sedia ada dalam tubuh manusia ini yang ramai merasainya namun gagal memahami rahsianya. Teknologi jantung dan ritmanya itu lebih hebat daripada teknologi internet yang terpantas di dunia ini.

Jika anda menelefon ibu anda yang jauh di kampung dan dapat bercakap dengannya dalam masa 1 minit, jantung menghantar isyaratnya ke satu jantung yang lain adalah kurang lagi dari 1 minit malah dalam kiraan milisaat. Lebih jauh lebih pantas. Contoh yang sama jika anda sedang bekerja dengan tiba-tiba teringat dan berasa syahdu kepada ibu anda di kampung. Dalam masa yang sama ibu anda juga sedang teringat merindui anda. Sebenarnya itulah teknologi jantung yang sedang 'connected online' ketika itu. Wireless.

Masuk minggu-minggu berikutnya, seperti biasa setiap Isnin Dariyyah akan menangis sehingga mencecah 1 jam tanpa henti! Tapi selepas itu, Dariyyah ok saja dengan saya dan saya makin selesa dengannya. Mak cuma memegangnya sekali sekala saja jadi tak perlulah mak penat sangat menjaganya.

HIPOTESIS

Bayi di bawah 1 tahun akan selesa berdasarkan gelombang (vibration) jantung seseorang yang tenang dan yang boleh memberikannya sifat tenang itu sendiri. Atau ia disebut sebagai serasi. Lain pula pendekatannya jika anak yang berumur 1 tahun ke atas (masa ni dah tak main dah gema jantung lagi, gema jantung kita makin jadi kencang saja adalah!).

Saya tak pasti betul ke tak. Ia adalah hipotesis saya saja. Saya bukanlah seseorang yang dari lapangan psikologi. Saya juga tak pernah menulis apa-apa buku. Tapi ini berdasarkan pemerhatian saya sendiri.  Betulkan saya jika saya tersilap.

RUTIN PADAT

Sejak workload yang bertambah dan jadual harian yang diubahsuai secara mendadak, masa dan kesihatan saya menjadi semakin terurus. Alhamdulillah. Kesihatan terjadi apabila masa kita dapat diurus dengan baik. Cuma kadangkala apabila mood/kerenah anak-anak tak berapa nak baik hari itu maka saya dan mak salah seorang tak dapat memasak langsung. Tapi tak susah kerana kami ada tukang masak tetap. Beli saja di restoran adik ipar saya. Restoran Sup Sedap di Taman Universiti. hehe...

Jadi saya tak pernah merasakan yang menjadi surirumah ini hanyalah duduk saja goyang kaki di rumah. Semasa anak 1 dulu ya, memang agak bosan dan banyak masa dapat online dan buka facebook. Tapi, sekarang tidak lagi!! Tiada masa duduk santai. Kadangkala saya hanya tersenyum melihat kenalan facebook yang masih anak 1 aktif di facebook. Kerana saya dulu pernah seperti itu. Percayalah, hidup anda akan berubah bila anak sudah menjadi 2 bahkan 3! haha..

Sekarang, saya mungkin akan hadkan masa untuk berblog juga.. Jadi, entri selepas ini mungkin akan mengambil masa yang lama. Tidak dapat aktif seperti dulu. Selepas ini juga saya harus membantu menguruskan sebuah lagi keluarga yang memerlukan bantuan. Harap maklum. (Entri ini saja saya mengambil masa 4 hari untuk publish).

PENGALAMAN HIDUP

Kepuasan hidup yang saya perolehi hari ini tidak ternilai. Saya berfikir inilah kebaikan dari frustration saya kerana 3 kali interview PTD tak dapat-dapat walhal sudah sampai ke interview peringkat akhir. Juga saya nampak kebaikannya sekarang atas rejection kerja-kerja yang saya pohon dulu. Rupa-rupanya semua kerja yang saya cuba dulu sebenarnya bukanlah cara saya atau jalan saya menuju kepuasan hidup.  Mungkin kalau dapat sekalipun saya takkan bertahan lama dan akan menyusahkan orang lain.

Maka, bila direnung kembali kesedihan saya satu ketika dulu selepas graduation, saya merasakan itulah jalan terbaik untuk membentuk saya hari ini. Saya bersyukur dapat melaluinya dan mempelajari sesuatu daripadanya.

Ya, di balik kesedihan dan kesengsaraan, kesedihan kita hari ini sebenarnya itulah jalan yang paling baik untuk kita hadam supaya bergerak ke arah yang lebih baik lagi.

Tiada penyesalan lagi. Tiada kesedihan lagi.

MEMBANTU EKONOMI KELUARGA

Setiap isteri juga berpendapat untuk keluar bekerja bagi membantu suami. Saya juga berfikiran yang sama cuma saya merasakan saya boleh membuat sesuatu dari rumah untuk menambah pendapatan keluarga saya. Sedikit-sedikit tak mengapa asalkan cukup. Daripada saya dapat banyak tapi bila diagih-agihkan sama saja jumlah bersihnya dengan hasil saya menjual coklat. Ya, apa saja saya mampu jika saya nak. Sementara muda, buat dan cuba saja perkara baru kerana saya suka untuk berani mencuba.

Saya berhasrat untuk menjadi kaunselor (secara profesional). Saya mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan, UIAM, 2005. Cuma saya tak ambil bidang pengkhususan dalam bidang kaunseling dan psikologi (itupun bersebab). Kerana itu saya agak sukar mendapat jawatan sebegitu di pasaran sebenar. Tak mengapalah. Cukuplah saya rasakan saya menjadi kaunselor kepada anak-anak saya termasuk kepada anak-anak orang yang selalu meluahkan perasaan mereka kepada saya akibat ibubapa sendiri yang gagal mendengar. Secara peribadi, saya rasakan lebih puas dapat kaunseling anak sendiri dan didik mereka seawalnya daripada saya terlambat untuk itu semua.

Jadi, saya tak punya job skop tertentu dan saya suka dengan cara ini sekarang. Segala puji hanya pada Allah!

BERBAHAGIALAH

Pengalaman ini adalah yang terindah buat saya walaupun ianya sangat menyakitkan 7 tahun yang lepas. Hanya sekarang baru terlihat akan 'kemanisannya'.

Berbahagialah anda yang punya kerjaya yang cemerlang atau seorang surirumah sepenuh masa.

Berbahagialah anda yang puas dengan rumah yang besar atau rumah yang sempit.

Berbahagialah anda bersama anak-anak atau belum punya anak lagi atau punya anak yang susah untuk diuruskan.

Berbahagialah anda yang sedang sihat atau yang sakit.

Berbahagialah anda yang sudah langsai hutang piutangnya atau masih mempunyai hutang yang belum terlunas.

Berbahagialah anda yang menjadi perompak, pencuri atau seorang yang terpelajar dan mempunyai income bulanan yang kukuh.

Masing-masing kita mempunyai jalan yang ditetapkan untuk kita melaluinya walau ianya tajam dan berduri. Namun, itulah yang baik untuk kita buat masa ini. Jangan kita membandingkan kebahagiaan kita sama seperti orang lain yang sedang berbahagia atau nampak bahagia. Masing-masing ada jalannya. Jika itu memang untuk kita dan menjadi hak kita maka, di akhirnya ia tetap menjadi hak kita. Dan di pengakhirannya itu semua milik Allah.

Jika hari ini orang membayar saya untuk menjaga anaknya maka, alhamdulillah saya dapat membantu ekonomi rumahtangga saya. Jika tidak dibayar sekalipun, saya masih ada perniagaan coklat yang membawa income mingguan (cuma saya sempat tak sempat saja membuat dan membungkus coklat yang banyak itu setiap hari seorang diri dengan tangan anak-anak yang 'lebih cekap').

Apa yang kita buat hari ini, duit yang kita perolehi itu bukanlah hak kita sepenuhnya. Sebahagiannya mungkin untuk pengasuh, sebahagian lagi mungkin untuk kedai tukar tayar kereta, sebahagiannya mungkin untuk tukang baiki rumah dan lain-lain. Yang pasti ada sebahagiannya juga untuk pembuat coklat seperti saya hehe.. Jadi, semua dari kita bekerja adalah untuk orang lain dan orang lain bekerja adalah untuk kita.

Hatta, jika anda pencuri atau perompak sekalipun mengambil kepunyaan orang lain dengan paksaan, apa yang anda perolehi itu anda turut terpaksa membahagiakannya kepada orang lain, yang pasti anda merompak itu untuk diberi kepada pengusaha-pengusaha restoran kegemaran anda! Maka, sampai mati pun kerjaya anda sebagai perompak atau peragut takkan pernah mencukupkan makan minum pakai anda. Jadi, itu sia-sia! Buatlah kerja lain.

Melihat sesuatu berdasarkan mata hati yang hidup.

Pergilah kedukaan, pergilah kesedihan, pergilah kemarahan, pergilah segala tekanan yang anda rasakan! Selamat datang seribu satu hikmah dan kesabaran. Hayatilah pelangi kehidupan yang hanya sebentar Allah turunkan ini dan hanya apabila kita dekat dengannya saja barulah kita dapat melihat betapa indahnya ciptaan Tuhan ini buat kita dan keluarga bukan untuk orang lain.




2 ulasan:

azlina ahamat berkata...

k.dah my fren,saya sgt bangga ngan k.dah sbb dpt mencatat ilmu yg sgt berguna dan sya pun tak mampu nak buat..percayalah pada kebolehan diri yg k.dah ade..k.dah akan dapat jd wanita yg lg hebat dari wanita yg berkerjaya..bile diingat-ingatkan balik,nasihat k.dah pd saya mase di asrama dulu byk membantu saya meneruskan hidup sebagai pelajar...kadang2 k.dah tak nampak ape yg k.dah dh buat mempengaruhi org sekeliling k.dah (secara positif la of course)..semoga k.dah berjaya dlm ape yg k.dah ceburi ye..jgn peduli ape kate org lain..

Khadijah Gani berkata...

Alhamdulillah.. cuma sekarang je kite ada keyakinan diri semula lin. lama nak bangkit.

masalahnya lin, kite mmg tak suka nak ingat benda baik kite buat kat org. biar jd jariah jelah hehe.. benda tak baik tu pun kdg2 ingat kdg2 pun blh lupa. ngeeee~~

'Tolong ingatkan aku' selalu...

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor