رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Selasa, 13 Disember 2011

# kesihatan # Perubatan Komplimentari

Perubatan Islam ke ni?


Mutakhir ini terlalu banyak jenis rawatan dan perubatan yang mengklasifikasikan dirinya sendiri sebagai perubatan Islam. Hanya kerana mengamalkan ayat-ayat al-Quran. Namun, setiap kali muncul di kaca tv saya biasanya akan perhatikan bagaimana proses rawatan yang dijalankan. Kebiasaannya, oh mungkin saya boleh katakan kebanyakannya apabila wujudnya elemen 'bersentuhan antara pasien perempuan dan pengamal lelaki' hati saya tak semena-mena akan menyatakan 'seperti ada yang tak kena'.. Ya, walaupun dengan alasan "takpelah, untuk berubat.."

Ataupun saya akan perhatikan seperti ada unsur yang menunjukkan kehebatan pengamal itu sendiri seperti semasa mendiagnos atau memberikan rawatan hanya dengan melalui tangan yang di bentuk-bentuk di udara. Bukan kelakar tapi hati saya akan berkata, "wah, ajaibnya! ni mesti teror orang nih! orang lain tak semua boleh buat macamni.." kerana nampak seperti sesuatu yang mistik dan ajaib. Maka, barulah saya  sedar yang ayat sebegitu secara tanpa disedari hilang keyakinan saya terhadap yang menciptakan sesuatu yang lebih ajaib dan lebih hebat iaitu Allah s.w.t... Kerana itu tak hairanlah jika berbondong-bondong yang datang dari jauh untuk mendapatkan rawatan sebegitu hanya untuk bertemu dengan orangnya sahaja. Tak sah atau tak boleh kalau tak jumpa orang yang hebat itu sendiri.

Hasilnya, rawatan dan perubatan itu menjadi susah dan menyusahkan.



Hal yang sama berlaku kepada perubatan alopati. Apabila rawatan alternatif tertentu mendakwa dia adalah perubatan Islam maka, doktor yang beragama Islam yang merawat di hospital-hospital atau di klinik terasa hati pula apabila dia juga mengatakan "abis aku ni tak Islam ke?".. Tak semena-mena dua jenis rawatan ini akan bergaduh sesama sendiri untuk mendapat perubatan yang Islamik ataupun tidak. Dan pesakit-pesakit pun menjadi bingung dan tak tahu mana satu yang harus dipilih. Tapi, mahu berpegang yang rawatan Islam itulah yang terbaik!

Hasilnya, rawatan dan perubatan ini menjadi bingung lagi membingungkan. Sepertinya harus memilih satu antara dua.

Saya sudah lama memikirkan bagaimana untuk tidak menjadi pak pandir yang terjun dengan labu-labunya. Bagaimana mahu mengenali atau sekurang-kurangnya memastikan bahawa rawatan ini adalah perubatan Islam yang sebenar? Setahu saya, perubatan Islam itu bukanlah mengenai membuang hantu, iblis dan syaitan saja? Ayat al-Quran diturunkan bukan hanya untuk membakar jin dan menghilangkan penyakit misteri saja? Bagaimana kayu ukur yang harus kita letakkan seharusnya?

Alhamdulillah, hasil kursus 4 hari lepas, saya sudah menemui jawapannya. Tanpa disangka.

Perubatan Islam sebenar itu perlu dilihat dalam 4 perkara. Mana-mana satu atau sebahagiannya yang tidak mengandungi 4 unsur ini maka itu adalah perubatan Islam. Tak kesahlah ianya jenis alternatif atau di hospital, klinik. Tak kesahlah jika yang merawat itu pakai serban atau tak. Tak kesahlah jika yang merawat itu menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Arab. Tak kesahlah jika yang merawat itu ada janggut yang panjang atau tak. Tak kesahlah jika rawatan itu sendiri ada ayat Quran atau hanya ubatan.

1) Jangan ada benda khurafat/syirik - keyakinan yang satu hanya diletakkan pada Allah BUKAN  pada orang yang merawat, ubatan/produk yang diberi/dijual atau ayat yang dibaca (walaupun itu ayat-ayat Allah tapi alangkah lebih takjub kita kepada Allah yang menciptakannya dan sembuhnya kita itu atas keizinan Allah bukan berdasarkan testimoni hebat produk/ubatan ataupun ayat-ayat hebat yang diucapkan).

2) Tidak ada unsur maksiat - perawat lelaki dengan pesakit perempuan yang bersentuhan kulit begitu juga jika sebaliknya (kecuali jika berlapik/bersarung tangan). Di dalam bilik yang tertutup hanya berdua. Di hospital misalannya jika doktor mahu check perut atau diarah membuka baju pasti ada seorang nurse di samping doktor yang berlainan jantina itu jika tidak ada, kita ada hak untuk memanggil misi.

3) Tidak ada unsur zalim - ada 4 perkara yang harus dilihat :
     i - Jangan agak-mengagak / teka-meneka / tuduh-menuduh sehingga kita berfikir-fikir sesiapa / apa-apa yang menjadi punca kesakitan kita ini. Tak kiralah yang kita agak-agak itu dari golongan manusia ataupun jin (kesian jin selalu dipersalahkan untuk banyak penyakit akhir-akhir ini).

     ii - Ukur dengan kemampuan kewangan. Samada bayar penuh secara cash atau tidak. Apa maknanya berubat jika kita berhutang? Bermaksud jika kita tak mampu membiayai rawatan itu mungkin saja air paip di belakang rumah kita itulah sebenarnya penawar paling mujarab bagi kita. Atau apa saja yang berada dalam lingkungan kita dan tempat tinggal kita. Ingatlah, bahawa bukanlah cara rawatan atau ubat atau produk atau orang tertentu yang menyembuhkan kita tapi Allah! Ubat datang dalam kemampuan kita.

    iii - Ukur dengan kemampuan melaksana. Samada kita boleh mekakukannya sendiri atau tidak. Jika tidak, bermakna kita sudah meletakkan pergantungan kita pada produk/ubatan/cara/orang perseorangan tertentu saja yang boleh menyembuhkan kita bukan pada Allah lagi. Tanpa disedari kita telah meletakkan Allah di tempat nombor 2.

   iv - Ukur kemampuan dalam mencari bahan. Jika kita disuruh mencari tanah kubur orang yang mati beranak sulung di malam hari 7 purnama misalannya. Atau tanah 7 masjid misalannya. Atau perlu hati nyamuk misalannya. Atau apa saja yang mustahil dan di luar kemampuan kita sebagai manusia biasa adalah sesuatu yang tidak sepatutnya. Rawatan yang baik itu tidak sesekali susah lagi menyusahkan!

4) Tiada unsur fasiq - yang menyuruh kita melakukan dosa-dosa kecil atau besar seperti rawatan yang menyuruh kita membuka aurat seperti membuka tudung atau membuka baju tanpa seurat benang pun. Ataupun apa saja yang menghalang kita daripada bersolat, membaca al-Quran atau apa saja perbuatan yang menjurus dosa kecil atau besar atau yang mensyirikkan Allah.

Persoalan sebegini harus kita teliti untuk mencari perubatan apa yang sebenarnya bertepatan dan betul-betul dikatakan sebagai Perubatan Islam. Jika salah satu atau sebahagian pun ada bercanggah dengan garis panduan ini maka, kita harus berhati-hati dan 'reserved' sedikit tentang rawatan sebegitu. Kita menghormati ilmu yang pelbagai dan cara tersendiri untuk merawat, namun menjaga iman dari terus terikut-ikut secara membuta tuli itu lebih utama.

Cara rawatan / kaedah boleh berubah-ubah. Masing-masing dengan ilmu masing-masing. Tiada gunanya bergaduh sesama sendiri untuk menyatakan cara mana yang lebih Islamik atau lebih betulnya atau tidak. Yang penting prinsip yang digariskan dalam al-Quran dan hadis harus tidak dilepaskan hanya kerana cakap-cakap orang ataupun hanya kerana fakta saintifik yang paling hebat sekalipun.

Perhatikan! Jangan sehingga kita mengucapakan, "kerana ubat / produk nilah aku sihat / aku dapat anak / aku jadi kurus..." atau "kalau benda ni takde, tak sihat aku / mati aku / tak boleh aku beribadat..." atau "kalau awak tak makan ubat/produk ni setiap hari awak akan mati / sakit tak sembuh!" Jika kita sudah mampu mengeluarkan dialog sebegitu bermaksud kita sudah hilang keyakinan yang mutlak, meletakkan pergantungan pada satu kebendaan / orang tanpa disedari itulah jalan paling halus untuk kita meletakkan  Allah di tempat kedua dalam hidup kita. Na'uzubillahi min dzalik!

Semoga kita dipelihara iman dan mendapat hidayah serta taufiq Allah dalam membetuli niat, perbuatan, ilmu dan amalan harian kita sekarang hingga akhir nafas kita di dunia ini. Apa yang sudah berlalu atau mana yang sudah tersilap langkah sebelum ini biarlah ia berlalu. Mulakan yang baru dengan niat yang mutlak yang hanya disandarkan kepada Allah yang Maha Hebat lagi Maha Penyembuh dalam mencari penawar untuk apa saja permasalahan dalam diri kita dan keluarga kita hari ini.


Tiada ulasan:

#jdtblogger #teambloggerjohor