Khamis, 10 November 2011

Rasa - fikir - nilai - bertindak!


"Manusia bertindak berdasarkan apa yang dia rasa BUKAN apa yang dia fikirkan."

Selain daripada slot bersama Prof. Dr. Muhaya pada setiap hari Rabu jam 10 pagi, saya juga sangat suka mendengar slot bersama Ustaz Pahrol Juoi jam 5.15 petang setiap hari Isnin di IKIM.fm (106.20MHz = Johor).

Dua minggu lepas topik perbincangannya sangat terkesan di hati saya. Kerana saya baru berjumpa jawapan kepada semua kemusykilan saya. Ya, betapa sikitnya ilmu yang saya ada ini saya rasakan.

Barulah saya faham kenapa semua orang tahu yang merokok itu merosakkan kesihatan tapi masih ada yang suka merokok. ~~ Kerana I feel good....



Barulah saya mengerti kenapa semua orang patut bersalaman dan bertegur sapa kepada tetamu apalagi jika tetamu adalah orangtua tapi dia tidak bersalaman langsung atau bertegur sapa dengan tetamunya. ~~ Kerana saya tak rasa perlu bersalaman dengan tetamu yang duduk agak jauh dari tempat saya duduk. Susah nak sampai tangan.

Barulah saya tahu dan faham yang sepatutnya semua pasangan yang mahu berkahwin perlu berbincang dengan kedua-dua keluarga terlebih dahulu tapi dia tidak langsung berbincang apa-apa malah membeli terus barangan hantaran tanpa persetujuan orangtua. ~~ Kerana saya rasa tak perlu nak menyusahkan orangtua atau orang lain dalam hal-hal peribadi saya. Saya boleh urus sendiri.

Barulah saya lebih faham kenapa kadangkala saya hilang pertimbangan dengan memarahi dan mengurung anak dalam bilik bila dia berdegil dan mengamuk tak mahu tidur, pada masa yang sama ketika itu saya dalam keadaan sangat penat dan mengantuk. ~~ Kerana saya rasa sangat penat dan mahu tidur, jadi bila saya marah dan mengurung anak dia akan keletihan menangis dan tertidur.

Barulah saya lebih faham dan boleh memahami golongan lesbian, gay, dan budaya seks songsang sebegini lebih suka untuk mengikut naluri sendiri dari logik akal fikirannya yang sama sekali bertentangan dengan apa yang dia rasa itu. ~~ Kerana kami rasa hak kami sebagaimana yang terkandung dalam hak asasi manusia harus ditegakkan sama seperti hak asasi orang lain. Kerana kami manusia yang hidup di dalam dunia ini juga. Ada hak untuk tegakkan apa yang kami rasa!

Dan yang paling penting, saya sudah mula faham kenapa orang yang sudah mengakui kesilapan dan kesalahannya tetapi masih tidak mampu berubah kepada satu jalan hidup yang lain dari sebelumnya. ~~ Kerana saya rasa lebih selesa dan sudah terbiasa dengan cara hidup lama daripada mahu memulakan sesuatu yang baru dan asing. Lagipun, buat sakit kepala je nak tukar cara fikir dan cara hidup ni. Buat apa menyusahkan diri dengan keluar dari zon selesa sekarang? Sekarang dah selesa, cuma benda nak jadi je. Bukan boleh dirancang pun!

Benar sekali... Manusia bertindak mengikut apa yang dia rasa bukan apa yang dia fikir.

Namun, penyataan ini bersambung dengan satu penghujung yang lain yang membawa kita kepada satu fitrah manusiawi yang lebih berarah dan bertamadun.

Tujuh soalan yang perlu kita tanyakan pada diri agar dapat menjustifikasikan tindakan kita supaya selari dengan apa yang kita fikirkan.

1. Arah hidup kita.
2. Tujuan hidup kita.
3. Jalan hidup kita.
4. Halangan hidup kita.
5. Pendorong hidup.
6. Bekalan hidup.
7. Akhir hidup kita..

Semua soalan di atas ini perlu kepada satu dasar yang teguh dikenali sebagai nilai. SISTEM NILAI.

Setiap orang harus tahu nilai hidup mereka berdasarkan takah apa dan takah yang bagaimana sukatannya, barulah kita dapat menjawab semua soalan di atas. Bila kesemua soalan di atas dapat dijawab maka, barulah kita akan bertindak seiring apa yang kita fikirkan bukan lagi apa yang kita rasakan semata-mata.

Kadangkala ikut rasa ada kebetulannya. Tapi jika selalu mengikut rasa tanpa seiringan dengan apa yang kita fikir akan menjadikan kita 'sasau'. Hilang punca.

Contoh. Manakan sama orang yang menjadikan artis pujaannya sebagai pendorongnya untuk mengejar impiannya nan satu itu dengan orang yang menjadikan kata-kata dan ilmu Imam al-Ghazali, Ibnu Khaldun, Sheikh Bediuzzaman sebagai pendorongnya merealisasikan impiannya yang satu.

Seorang akan berkata, "Sepanjang hayat saya mengimpikan berjumpa dan dapat duduk berbual dengan penyanyi pujaan saya ini. Saya rasa kalau saya 'tutup mata' pun lepas ni saya puas hati sangatlah sebab dapat jumpa dengan artis kesayangan saya yang sorang ini."

Kesemua 7 soalan di atas bertumpu kepada ARTIS. Dan sepanjang hidupnya dan usahanya akan terarah kepada artis dan cara hidup artis berkenaan sebagai ikutan.

Seorang lagi akan berkata, "Sepanjang hayat saya, saya jadikan kata-kata tinggalan Sheikh Bediuzzaman Said Nursi sebagai motivasi dan cara saya untuk terus hidup di dunia sekarang ini. Walaupun dia sudah mati bertahun-tahun yang dulu tapi membaca karyanya membuatkan saya rasa dia masih hidup sekarang ini kerana tinggalan buku dan kata-katanya sangat realistik pada zaman ini.

Maka, kesemua 7 soalan di atas tertumpu kepada ilmu yang ditinggalkan dan cara berfikir Sheikh Bediuzzaman kepada generasi moden hari ini walaupun apa yang dikatakannya adalah generasi yang terdahulu tapi realiti yang sama dapat dilihat hari ini.

(Seharusnya contoh kita adalah Rasulullah s.a.w. sendiri sebagai nabi akhir zaman dan kita adalah pengikutnya. Tapi, bagi sesetengah golongan berpendapat bahawa nabi adalah nabi. Terpelihara walaupun manusia. Dan kita bukan nabi. Oleh itu, saya mengambil contoh yang lebih ringan iaitu manusia yang tiada mak'sum.)

GOLONGAN LESBIAN, GAY, BISEKSUAL & TRANSEKSUAL (LGBT).

Saya melihat isu ini lebih melalui kacamata NILAI HIDUP. Persoalan yang 7 di atas perlu dijawab. Lain orang lain jugalah jawapannya. Itu pasti. Jika golongan ini memperjuangkan nasib mereka atas nama hak asasi manusia a.k.a apa yang mereka rasa semata, seharusnya Islam lebih dahulu memelihara nasib semua golongan manusia bukan sekadar apa yang dirasa malah selari dengan apa yang difikirkan. Logik fikiran yang bertepatan dengan perasaan. Namun, pertelingkahan antara satu golongan kepada satu golongan lain terjadi bila masing-masing hanya mahu menegakkan 'apa yang mereka rasa' saja.

Seorang mahu konvensyen yang menghimpunkan keahlian mereka diiktiraf secara kolektif.

Seorang lagi mahu terus menghentikannya dan terus menghapuskannya dari bumi Malaysia ini atas nama Islam dan inilah jihad Islam yang paling besar!

Selingan : Mak kata, macamana budak nak berenti bergaduh kalau masing-masing nak menang taknak mengaku kalah?! (Ini ayat biasa saya dengar bila budak bergaduh ye bukan komen emak mengenai isu ini)..

Jadi, Islam harus menang dan golongan LGBT ini harus mengaku kalah? Kerana itu kita harus membuat report polis, memenjarakan mereka yang berdegil dan mendenda mereka yang tak mahu berubah ini? Kerana itu kita harus memijak, membakar gambar persatuan mereka yang tak betul ini? Kerana itu kita harus memandang serong, mengeji, mengherdik dan memperkecilkan satu golongan lagi? Supaya akhirnya mereka akan takut dipenjara, didenda, dibuang negara dan terus berubah menjadi golongan yang tidak songsang?

Kerana itu saya sependapat dengan tulisan Ustaz Hasrizal mengenai isu ini. BUKAN MENGGALAKKAN MEREKA DENGAN AGENDA MEREKA. Namun, masih ada lagi orang yang gagal memahami betapa berhikmahnya Islam harus dibawa ke dalam hidup golongan ini.  Bukan hanya menghentam dan mengeji satu golongan lain.. Bukan juga cuba memahami mereka dengan membenarkan apa yang mereka lakukan itu sebagai suatu hak dan benar. Tapi, saya suka jika golongan agamawan ini dapat datang kepada mereka dengan satu pendekatan yang bersifat universal seterusnya dapat mematahkan hujah dan pegangan mereka. (Saya tidak fikir faktor agama boleh dijadikan hujah untuk menghentikan kegiatan mereka ini).

Saya lebih suka mencadangkan meja bulat dibuat. Atau apa sajalah namanya. Perdebatan harus dijadikan satu titik tolak kepada pecerahan minda dan menjernihan tindakan golongan ini seterusnya ia mampu mendidik masayarakat yang kebanyakannya sudah hilang jatidiri. Seharusnya kita bertindak untuk 'memindakan penis dan vagina' secara lebih bertamadun dan lebih beragama.  Bukan 'mempenis vaginakan minda' masayarakat yang sudah sedia terlacur zaman ini. Kita tidak mampu lagi menjustifikasikan tindakan mereka atas nama agama tapi cuba untuk membawa kesedaran kepada mereka atas satu garis sosial universal yang ada nilaian agama. Islam itu universal!

Selagi kita bertelingkah atas landasan yang tidak sama dan satu garis dasar yang berbeza maka, selagi itu kita tidak dapat tahu di mana titik persamaan antara golongan ini dengan kita sendiri.

EKSTRIM.

Makan tengahari tadi saya sempat berdiskusi bersama suami tentang apa yang saya dengar dalam slot Indahnya Islam bersama Dr. Muhaya di Ikim pada paginya. Ada seorang pemanggil bertanyakan samada betul atau tidak tindakannya untuk mencuba perubatan alternatif kepada anaknya yang disahkan mengidap kanser otak. Jawapan Dr. Muhaya itu ada benarnya. Memang kebanyakan perubatan alternatif sekarang boleh menjadikan bukan saja beliau 'sawan', saya juga naik sawan nak-nak bila dengar sikit-sikit sakit yang disebabkan oleh makhluk halus!

Pemanggil seterusnya pula menyatakan pendapat yang dia tidak percaya kepada ubatan hospital yang terbukti bukan bersifat natural dan lebih banyak kesan sampingannya jika dimakan berlebihan. Dan dia membawa contoh dirinya yang sakit ulser perut yang sudah sembuh dengan perubatan alternatif. Maka, jawapan beliau adalah menyatakan bahawa penyakit lain bolehlah kalau nak cuba alternatif tapi jika sudah sakit kanser jangan merisikokan diri!

Suami membalas, "Sebab tu kita tak boleh jadi ekstrim. Satu kepercayaan yang terlalu ekstrim pada perubatan hospital saja dan satu lagi terlalu ekstrim pada yang alternatif saja, sampai bila pun takkan jumpa titik persamaannya!"

Dan saya menambah. Macam tu jugaklah pandangan, cara fikir dan nilaian hidup kita. Kalau masing-masing terlalu ekstrim dengan apa yang dia faham dan apa yang dia pegang, sampai bila pun takkan nampak dan takkan jumpa di mana boleh bersama..

TERJAWABKAH PERSOALAN.

Isu LGBT, mengandung anak luar nikah, membuang anak, seks sebelum berkahwin atau apapun sekali isunya adalah mengenai nilai hidup. Ketujuh-tujuh soalan yang Ustaz Pahrol anjurkan ini saya nampak begitu relevan untuk kita jawab tak kira kita ini dari golongan yang mana sekalipun.. Menghentam, mengherdik, memarahi dan seangkatan dengannya bukan cara yang baik untuk kita menyeru ke arah kebaikan dan meninggalkan kejahatan yang membinasakan.

Akhirnya, saya sudah cuba menjawab 7 soalan di atas dalam menilai semula sistem pandangan dan sistem nilai hidup sendiri daripada terus menerus melontarkan amarah dan tidak persetujuan saya terhadap beberapa isu sosial yang semakin memuncak akhir zaman ini. Saya kira anda juga harus mencubanya.

1. Apa arah hidup kita? ~~ Mengikut Islam atau separuh-separuh atau mahu mencuba beberapa ideologi yang lain?

2. Apa tujuan hidup kita? ~~ Hanya bekerja untuk mendapatkan duit menyara hidup anak bini saja atau hidup untuk beribadah atau hidup untuk merasai keseronokan saja atau apa?

3. Apa jalan hidup kita? ~~ Menjadikan emosi dan perasaan memandu kehidupan kita atau mengambil agama sebagai cara hidup atau hanya berjalan di mana kaki dibawa melangkah?

4. Apa yang menjadi halangan hidup kita? ~~ Kemiskinan? Kesusahan untuk berubah? Masa silap yang tragis? Keluarga yang porak peranda? Tiada teman yang memahami perasaan kita, ibubapa yang mengongkong atau apa?

5. Apa yang mendorong untuk kita meneruskan kehidupan? ~~ Isteri dan Anak-anak? Buku-buku motivasi? Awek yang cun? Artis kesayangan? Keluarga yang bahagia? Rumah yang besar? Kereta yang mewah? Keseronokan dan kepuasan seksual yang tiada taranya? Gaji yang lumayan atau apa?

6. Apa bekalan hidup kita? ~~ Ilmu yang diwarisi? Harta yang mencecah langit bumi? Nafsu yang disukai? Anak-anak yang soleh dan solehah? Atau apa?

7. Di mana akhir hidup kita? ~~ Kiri atau kanan? Baik atau buruk? Syurga atau neraka?

Setelah dapat menjawab, pastikan hidup kita selepas ini lebih terarah dan mengikut takah hidup yang kita mahukan di akhir hayat hidup di dunia ini dan di alam seterusnya.

Perbetulkan diri kita maka, akan betullah masyarakat. Inside out. Kita tak mampu mengubah orang tapi kita mampu mengubah diri sendiri. Lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita akan dapat menerima. Seperti pokok ulam raja yang baru saya temui ini. Lagi banyak dipetik manusia untuk dimakan, lebih lebat daun dan bunganya akan tumbuh!



Nota :

Secara peribadi, saya berpendapat supaya mana-mana NGO atau mana-mana pertubuhan Islam dapat mengadakan tindakan yang lebih reaktif dengan mengadakan diskusi meja bulat atau perdebatan secara terbuka dengan golongan LGBT ini memandangkan isu ini sangat hangat sekarang. Berhentilah untuk menjatuhkan hukuman 'gantung sampai mati' kepada mereka yang bukan dari golongan kita. Malah, sama-sama membawa dan menyedarkan mereka bahawa adanya jalan ke syurga. Mungkin saja satu golongan ini lebih baik dari satu golongan yang lain. Ya... Saya rasa dan fikir Ustaz Pahrol Juoi sangat sesuai untuk mewakili saya atau anda yang membaca dan bersetuju dengan tulisan saya ini. Tulisan beliau di dalam majalah Solusi dan bicaranya dalam Ikim membuatkan saya kagum dengan kemampuannya menjawab soalan, pemikirannya yang fleksibel dan pemilihan ayatnya yang jelas dan terang. Mohon dibawa ke hadapan.



2 ulasan:

Mr. Hus berkata...

Assalamualaikum. Kita banyak persamaan. Saya juga suka membaca blog ustaz Hasrizal dan mengkagumi cara beliau berfikir. Saya juga suka membaca/mendengar/menghadiri ceramah ustaz Pahrol. Setiap Isnin mmg tak pernah lepas mendengarnya. Malah buku ustaz Pahrol hampir semuanya saya telah membacanya. Begitu juga dengan Prof. Muhaya, susun atur kata beliau sangat mengkagumkan.

Oleh sebab banyak persamaan antara kita, mungkin cara berfikir kita pun lebih kurang sama. Saya mmg setuju dengan apa yg puan tuliskan di sini. Tak perlu lagi untuk saya nak berhujah panjang kerana kita telah ada ramai model Mukmin Profesional seperti contoh di atas.

Khadijah Gani berkata...

Waalaikumsalam.. Terima kasih kerana bersetuju dengan pandangan saya yg tak seberapa ni. Tapi saya hanya dpt melontarkan idea dlm kapasiti yg terhad. Saya lebih suka jika ada orang atau organisasi yg berkemampuan mengambil idea saya ini dan dibawa ketengah. Claim idea itu dari diri sendiri pun takpelah asalkan isu sebegini dpt dikupas dan diselesaikan secara ilmiah dgn gabungan ilmuwan yg ikhlas dalam perjuangannya. Agak sedih jika hanya ada idea yg boleh dipersetujui bersama tapi tiada gerak kerjanya..

Hmmm, mungkin kita perlu bermula dgn diri kita saja dulu kan? Tak mampu buat yg besar, yg kecik pun jaaadilah..hehe..

Sila dtg lagi ye! :))

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...