Rabu, 23 November 2011

Menuju Hidayah Taufiq ~Doakan yang lain.


Dahulu, saya pernah merasakan saya sudah punya banyak ilmu. Saya boleh bercakap tentang apa saja.

Dahulu, saya pernah ingin merasakan erti kebebasan untuk keluar malam bersama kawan-kawan. Dan mencari ketenangan pada waktu malam.

Dahulu, saya gemar berbalah semta-mata untuk menegakkan apa yang saya rasakan betul dan mencantas pandangan rakan yang lain.

Rupa-rupanya dahulu, tanpa saya sedari saya seorang yang sombong dan selalu saja melakukan dosa. Itu bukanlah sesuatu yang membanggakan. Patutlah segala apa yang saya pohon dan doakan tidak menjadi sepertinya. Padan muka saya.

Sehinggalah saya diuji dengan kesakitan (sakit telinga hingga hilang pendengaran agak teruk), kekecewaan (sering tak lulus interview kerja yang saya nak) dan kesedihan (trauma mencari cinta). Ianya berlaku serentak! Sangat perit!



Rupa-rupanya di situlah U-turn yang perlu saya lakukan dalam hidup saya semasa saya berumur 25 tahun. Sejujurnya, saya tidak tahu pun malah tak sedar yang jalan yang saya lalui itu sebenarnya u-turn untuk saya kembali ke fitrah. Saya terdetik untuk pergi ke sebuah klinik yang bukan biasa untuk mencuba rawatan alternatif untuk kesembuhan penyakit saya lalu ditawarkan bekerja mengikut kepakaran saya (bukan mengikut jurusan major saya di universiti) dan cinta datang dengan sendiri tanpa saya fikirkan langsung di situ, di tempat yang sama. Dan itu juga berlaku secara serentak! MasyaAllah!

Malah, di tempat itu juga saya mendapat ilmu baru yang menyedarkan saya dan membuka mata hati saya untuk menilai diri seterusnya menawarkan jalan u-turn dalam hidup saya. Alhamdulillah.. Saya bukan seperti dulu lagi dan pandangan serta nilaian saya juga banyak yang sudah berubah.

Slot bersama Ustaz Pahrol Juoi di IKIMfm, Hidayah : Kompas Kehidupan (sila dengar) sangat memberi pencerahan kepada saya tentang apa yang telah saya lalui dan menjadikan saya lebih mudah memahami orang sekeliling saya yang sedang berada dalam 'kesakitan'. Begitu juga masyarakat Islam hari ini.

Ustaz Pahrol menyatakan ada 5 jenis hidayah dalam kehidupan.

1. Hidayah Tabi'i
2. Hidayah Khawwas (Pancaindera)
3. Hidayah Aqal
4. Hidayah Islam (Agama)
5. Hidayah Taufiq

Benar sekali, walaupun kita memperoleh hidayah tabi'i, pancaindera, akal dan Islam tak semua muslim mendapat hidayah taufiq. Tapi yang mendapat hidayah Taufiq pastinya melalui Islam. Dan itulah setinggi-tinggi hidayah kurniaan Allah. Ianya bukan sekadar hidayah atau ilham tapi ianya pimpinan Allah kepada hati-hati manusia yang benar-benar bertaubat dan ingin berubah ke arah yang lebih baik. Kebanyakan kita mendapat hidayah Islam hanya melalui warisan dan kita seringkali tidak menjaganya dengan baik. Bagaimana mahu mendapat hidayah seterusnya?

MUSLIM HARI INI

Membaca beberapa isu semasa yang membabitkan orang-orang Islam hari ini di akhbar mahupun di berita arus perdana membuatkan saya tidak berasa gembira. Sudahlah kebanyakan tajuknya saja sudah negatif malah isinya juga sangat menyedihkan! Menyalahkan satu parti kepada satu parti yang lain itu sudah biasa, malah sehingga memaparkan keaiban orang yang separuh bogel di dalam bilik samada ianya ditujukan atas nama menjatuhkan saingan politik ataupun operasi cegah maksiat itu juga satu hal. Media yang kotor (yang mensensasikan tajuk berita semata untuk meraih pembelian dan rating tv yang tinggi) menyebabkan minda masyarakat jadi lebih kotor. Namun, saya sangat terkesan kepada satu berita baru-baru ini.

Tajuknya kecil saja. Tapi saya lebih suka mengambilkira tajuk yang kecil ini daripada tajuk yang besar dan gah di dada akhbar tapi kosong.

A picture speaks a thousand word. 

PESERTA Ratu Cantik Borneo mengucapkan terima kasih kepada kakitangan JAIS atas khidmat yang diberikan.

JAIS panggil lima peserta Islam didakwa berpakaian seksi ketika pertandingan 


Membacanya dan melihat gambar yang dipamerkan bukan membuatkan saya buta terhadap tindakan dan kemanisan wajah ayu dari kelima-lima wanita ini dan seorang wakil Jais. Tapi saya tertumpu kepada t-shirt yang dipakai oleh wanita 2 dari kiri ini.

Tertulis, "Don't waste my time".. Kalau saya di tempat makcik yang bertudung itu pun saya akan berasa sangat terhina! Bukan gadis itu saja-saja pakai baju sebegitu jika sudah tahu awal-awal lagi ada sessi kaunseling bersama pegawai agama? Saya merasakan itulah mesej mereka sebenarnya kepada Jais mahupun kepada orang lain supaya jangan sibuk tentang hal mereka. Mungkin saya juga tidak tahu untuk buat apa selain dari tersenyum pahit ketika kamera berdetik jika berada di tempat makcik bertudung itu. Dan pengakhiran episod ini juga menyedihkan kerana mereka tetap menyertai pertandingan itu dan menyatakan, "Pada kami, kami tak fikir kami melakukan sebarang kesalahan undang-undang.. Lagipun kami menyertainya kerana dah lama kami berlatih."

Itu ialah isu nilai. 'Mereka tidak menyalahi mana-mana undang-undang di Malaysia'.

Isu seterusnya.

Katakan (hanya andaian saya tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang sudah tiada)... Tiba-tiba anda didatangi seorang gadis yang sudah terlanjur dan sedang mengandung anak luar nikah memohon bantuan. Apa yang akan anda lakukan? Memarahinya? Mengherdiknya dengan mengatakan kamu sudah dilaknat? Menghalaunya lalu memutuskan status anda dengan yang dikenali itu?

Saya suka kepada jawapan seorang ustazah, pendakwah bebas dalam Al-Kuliyyah tv3 siaran 18 November 2011 lalu. Saya tak ingat namanya tapi beliau orang baru muncul di kaca tv saya rasakan. Katanya,
"Ibubapa harus ingat bahawa anak-anak tidak seharusnya diberi kepercayaan yang penuh. Kerana kepercayaan 100% itu hanyalah pada Allah. Ibubapa harus tahu dan faham walaupun sedikit kebebasan dan kepercayaan diberi kepada anak namun anak-anak ini ada ruang dan peluang untuk berbuat kesilapan dalam hidup mereka. Terimalah kenyataannya. Kerana itu apabila anak sudah terlanjur, jangan dimarahi, jangan dipukul nak-nak di muka dan kepala. Berlapang dada menerima kesalahan si anak dan ibubapa sendiri seharusnya membuat solat taubat terlebih dahulu sebelum menyuruh mereka bertaubat. Ibubapa yang harus check terlebih dahulu mana tahu mereka yang berbuat maksiat dahulu. Ibubapalah yang harus tuding jari ke diri sendiri dulu sebelum tuding jari kepada anak-anak. Dan akhirnya, ibubapalah yang harus berubah dahulu sebelum mengharapkan anak-anak untuk berubah dan tidak melakukan perkara yang sama lagi pada masa akan datang."
Saya harus bersetuju dengan kenyataan dan hakikat ini. Walaupun kadangkala bukan terjadi pada ahli keluarga atau saudara mara sendiri namun jika ianya berlaku kepada jiran tetangga atau kenalan rapat kita juga harus berkongsi perasaan yang sama seumpama anak itu adalah anak kita. Maka, diri kita sendirilah yang harus dipersalahkan dan memohon ampun dan petunjuk hidayah Allah agar kita menjadi manusia yang lebih berusaha menunjukkan akhlak yang lebih baik dari sebelumnya dan dapat membimbing mereka ke jalan yang sepatutnya. Pastinya sebelum itu kita harus membetulkan diri kita dahulu.

Saya melihat isu LGBT (seperti entri yang lepas) sama seperti isu-isu lain seperti mengandung anak luar nikah, rogol, ratu cantik, ratu pondan dan bermacam lagi. Ini semua adalah mengenai isu nilai dalam kehidupan.

Saya lihat masih ada lagi komentar mengenai isu LGBT ini daripada orang yang sesama berada di tahap mendapat hidayah Islam tapi mempunyai takat nilaian yang berbeza. Walaupun saya tak berada dalam situasi Ustaz Hasrizal yang menulis namun saya juga terhiris dengan kata-kata yang tiada akhlak sebegini. Seolah-olah yang berpandangan untuk membantah secara berhikmah dan berlemah lembut dengan golongan ini dan tidak menyatakan kekerasan untuk membantah aktiviti mereka ini dilihat sebagai tidak ikhlas dalam memperjuangkan agama malah berfikiran politik semata. Adakah hanya dengan penentangan secara terbuka seperti menjerit kepada golongan itu dilaknat dan membuat report polis itu saja yang dilihat sebagai memperjuangkan agama secara total?

JALAN KELUAR

Ya, akhirnya walau apapun kata-kata nasihat yang keluar dari mulut kita kepada golongan LGBT mahupun mereka yang mahu menyertai pertandingan ratu cantik atau mereka yang sudah pun terlanjur atau mereka yang suka meragut, merompak, merogol, menghisap dadah ini semua hanyalah bagai mencurah air di daun keladi. Saya katakan begini bukan bermaksud dengan ini kita tak perlu bagi nasihat apa-apapun kepada golongan yang bukan seperti kita. Bukan juga maksud saya untuk terus memulau dan jangan bergaul dengan golongan sebegini. Bukan juga maksud saya yang kita berada dalam golongan yang betul dan mereka yang tidak betul. Adalah tidak adil untuk berpandangan sebegitu.

Saya tegaskan kembali di sini bahawa selagi kita berbeza pendapat dan cuba memberi nasihat di atas satu paksi yang salah dan di atas nilai yang tak sama maka, kita takkan jumpa titik persamaannya dan tidak mampu membawanya kepada persamaan antara kita dan mereka. Begitulah terjadinya mencurah air di daun keladi.

Jenis-jenis hidayah yang diterangkan oleh Ustaz Pahrol sangat membuka paradigma saya ke arah satu lagi lembaran baru dalam hidup. Mulai hari ini sama-samalah kita berdoa agar Allah memberikan hidayah taufiqnya kepada seluruh ahli keluarga kita, saudara mara kita, kenalan rapat atau jauh, jiran tetangga, dan kepada seluruh umat Muhammad yang benar-benar dalam golongan ingin bertaubat. Kerana sesungguhnya tiap apa yang terjadi di sekeliling kita sebenarnya berpunca di atas kesalahan kita yang tidak bergaul dengan baik dengan mereka malah gagal untuk mendoakan kesejahteraan dan ketenangan hidup untuk mereka.

Saya sentiasa mulakan dengan diri saya. Di setiap doa saya.

"Ya Allah, berilah kesihatan rohani dan jasmani yang baik kepada suamiku, anak-anakku, ibubapaku, ibubapa mertuaku juga diriku. Begitu juga adik-beradikku, adik-beradik suamiku serta pasangan dan anak-anak mereka masing-masing. Begitu juga kepada sahabat handaiku, jiran tetanggaku dan saudara maraku yang jauh mahupun dekat. Ya Allah, kurniakanlah rezki yang melimpah ruah kepada kami, rezki yang halal lagi Engkau berkati dan berilah kami jalan keluar bagi setiap permasalahan kami dan kehidupan yang Engkau redhai. Berilah petunjuk dan hidayah kepada kami. Kau peliharalah zuriat keturunan kami ini agar tetap di jalanMu. Berilah hidayah dan taufiq kepada sekalian muslimin dan muslimat yang benar-benar ingin mencari kebenaran. Tetapkanlah iman kami semua hingga kami menemuiMu Ya Allah. Rabbana atina fidduniya hasanah wa fil akhirati hasanah wa qina 'azabannar..."

Baru hari ini saya mendapat pencerahan dan menyedari bahawa mengapa di dalam al-Quran dan dalam doa-doa yang diajarkan oleh nabi kita semuanya menggunakan dhamir 'na' (kami) dan bukan 'ya' (aku).. Contohnya di dalam al-fatihah. Walaupun kita bersolat seorang diri, kita tidak menukarkan dhamirnya menjadi Ihdi siratol mustaqim (tunjukkan aku jalan yang lurus) tapi tetap membaca Ihdinassiratol mustaqim (tunjukkan kami jalan yang lurus).

Dahulu, saya sering berdoa untuk diri sendiri dan permintaan peribadi saja. Barulah sekarang saya nampak sendiri betapa konsistennya Islam sebenarnya dalam mementingkan doa kita seharusnya bersama-sama saudara muslim yang lain. Jika kita gagal mendoakan muslim yang lain bermaksud kita juga gagal sama-sama dalam kegagalan manusia di sekeliling kita.

Kadangkala kita tahu kita sudah melakukan dosa namun buntu untuk membetulkan keadaan dan lemah untuk berubah sendirian. Percayalah, apabila kita benar-benar bertaubat, tidak mahu mengulanginya dan mengubah cara pandang dan cara fikir kita, pasti ada tangan yang memimpin kita ke arah sebetulnya.

Nilai ditentukan oleh cara kita berfikir. Apa yang kita fikirkan itu melalui apa yang kita lihat dan apa yang kita tahu. Selalu juga melalui apa yang kita rasa. Maka, selebihnya berdoalah kepada Allah agar nilai kita ini dan nilai orang Islam yang lain dapat menepati nilai Allah selayaknya.

Tiada ulasan:

Hidup di dunia untuk bersusah.

Mak siap basuh baju pagi tadi. Petang baru mak sempat nak sidai. Mak pun keluarkanlah baju bawa ke ampai. Rasanya macam tak sempat juga me...