رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Selasa, 11 Oktober 2011

# keluarga # kesihatan

Di balik kesempitan ada kesenangan..

Khamis lepas, setelah tiga hari saya menahan kesakitan di sekitar perut, akhirnya saya terpaksa mengikut prosedur biasa yang dicadangkan doktor klinik berdekatan untuk ke hospital besar. Suspek apendiks dan perlu permbedahan secepat mungkin. Saya mohon untuk di scan terlebih dahulu tapi kata doktor dan semua orang di hospital itu, "Memang kalau apendiks kita terus bedah. Ok ke tak ok ke kita terus buang. Itu memang prosedurnya."

Jumaat, 30/09/11, saya menjadi orang pertama untuk dibedah pagi itu. Pada mulanya, doktor mahu melakukan Appendictomy saja tapi ianya ditambah lagi dengan Laparascopy untuk melihat ovari saya. Dikhuatiri appendiks dalam masa yang sama juga sebab saya sakit di sebelah kiri juga apabila ditekan, dikhuatiri juga masalah berkaitan peranakan seperti mengandung luar rahim.


Semalam, saya masuk ke wad berseorangan kerana suami sedang memangku anak saya yang kecil, Fatihah, yang tidak mahu-mahu tidur mengamuk kerana saya tidak dapat menyusukannya seperti kebiasaan sebelum dia tertidur. Masuk-masuk wad nak call-out tak boleh, nak kirim mesej pun tak boleh kerana line fon saya terus masuk ke line Singtel (disebabkan betapa hampirnya hospital JB ni dengan tanah Singapura). Nasib baik suami tiba tepat pada waktunya. Dia sampai saja di wad (mencari-cari katil saya di mana), saya melambainya dan katil untuk ke bilik pembedahan pun sampai.


Saya beritahu misi bertugas dan attendan itu yang saya perlukan 5 minit sebentar untuk menyusukan anak. Lagipun dah semalaman tidak menyusukan, saya sudah bengkak susu! Di wad HSA tidak dibenarkan membawa anak kecil ke dalam wad umum. Itu prosedurnya. Jadi, saya minta untuk menyusukan anak sekejap saja di depan lif dan di tempat duduk umum yang terperosok sikit. Malangnya, anak saya sudah merajuk barangkali sudah tidak kenal saya lagi. Dia taknak menyusu langsung! Sedih..

Saya meninggalkan anak saya dengan menciumnya beberapa kali dengan perasaan yang sangat hiba dan kesakitan. Ya, sakit bengkak susu mengatasi sakitnya melihat anak tidak mahu dipegang oleh emaknya dan tak mahu langsung walaupun disua dengan susu yang meleleh keluar dengan derasnya. Menjadi ibu tak perlulah terlalu berkecil hati.


Attendan dan misi terus menyorong saya ke bilik pembedahan. Suami berkejar-kejaran mahu mengikuti saya hingga ke bilik pembedahan selepas memberi Fatihah semula kepada nenek dan atoknya di bawah. Sebelum masuk, saya cium tangan suami. Saya pandang suami, suami pandang saya. Sepi. Tiada kata. Tapi kami faham apa yang sedang kami katakan.

Ayat terakhir saya dengar ialah, "Bila dah habis nanti saya panggil nama awak, awak bangun cuba buka mata dan jangan meracau-racau ye.. Tarik nafas dalam-dalam dan selawat banyak-banyak.." Misi itu sangat lembut sekali percakapannya..

Apabila tersedar nama saya dipanggil, amat susah saya membuka mata. Yang saya rasa adalah airmata  saya yang panas mengalir laju dari tepi kelopak mata. Tekak berasa sangat ketat, kering. Perut juga berasa sangat bisa dan sengal. Badan pun sangat tidak bermaya. Tidak boleh bergerak walaupun sedikit. Loya. Memeritkan. Kepala saya berada di luar kawalan saya. Saya tak tahu kenapa saya menggeleng-gelengkan kepala banyak kali tapi tak sepatah apapun yang keluar dari mulut. Tidak menjerit. Tidak mengeluh. Saya cuma menggerakkan kepala ke kiri ke kanan ke kiri ke kanan ke kiri dan kanan selama mungkin dalam 10 minit sampai saya tidak sedar bila saya sudah berada atas katil dalam wad.

Untuk sepanjang hari Jumaat itu, saya tidak sedarkan diri. Saya sedar, saya muntah. Kemudian saya tak sedarkan diri kembali. Saya sedar orang ramai yang datang. Banyak suara yang saya kenali. Tapi saya tak berapa nak nampak dan tak bermaya untuk melihat mereka yang datang. Rupa-rupanya, petang itu juga semua abang-abang ipar saya, biras, adik-adik ipar, mak saudara belah suami yang datang. Kebiasaannya mereka adalah orang yang sangat sibuk dengan perniagaan masing-masing yang kesemuanya sudah berjaya. Bila mereka dapat datang jenguk saya, saya sangat terharu! Apalagi Makcu, yang sanggup naik bas ke hospital kerana Pakcu bekerja hari itu. Saya amat tersentuh..

Malam itu adik ipar saya, Ida menemankan saya di wad. Saya tak sedar pukul berapa tetamu saya dan suami balik ke rumah. Saya sedar saja Ida sedang membacakan Yasin di sisi katil. Rasanya ketika itu maghrib. Aaaaaahhhh, sangat lega dan tenang sekali rasanya ketika itu. Saya suka mendengar orang membaca al-Quran. Mendamaikan. Dan kemudian, saya tertidur kembali.

Saya sedar-sedar dah larut malam. Saya terdengar seperti orang mengetuk-ngetuk, bertukang. Dalam hati, sapalah yang bertukang malam-malam buta nih?..

Tiba-tiba terdengar suara orang merintih-rintih memanggil misi. Agaknya pada mulanya misi tak mahu layan permintaan dia tapi selepas itu dihantarnya sorang doktor untuk melayannya.. Rupanya pasien itu bukan orang tempatan.

Doktor : What do you want? You do like this actually you are disturbing other patient to sleep you know. What do you want?

Pasien : Why nobody come here ask me want I want? I have to do like this many times so that anybody will come and ask me. I want to go to ICU again. I can pay!!

Doktor : You cannot do that! ICU is only restricted to coma patient. Although you came from ICU earlier but you are recovered now. You must accept you are here now. Staf nurse have many things to do not only to entertain you.

Pasien : But, I have to do like this many time to ask nurse to come. I am suffered. So pain.

Doktor : Now you have me here. What do you want actually?

Pasien : Why anybody come to see me? I am so alone. Everyone has someone come to see. Nobody come to see me.

OOOooo, itu puncanya!! Dan perbualan mereka pun bersambung dalam setengah jam. Doktor itu berjaya memujuk pasien tadi untuk bersabar menunggu siang hari untuk menelefon ahli keluarganya supaya datang, tidur dan berhenti membuat bising. Pada jam 2.30 pagi itu, sekurang-kurangnya pasien yang menderita itu berjaya 'membangunkan' saya dari lena yang panjang dan bersambung.

Esoknya, Sabtu, keadaan saya masih lemah. Baju pun misi yang terpaksa tukarkan di atas katil. Saya tak mampu berjalan lagi. Air masih lagi dipasang. Kencing pun ditiubkan. Lapar selepas 2 hari tak makan. Makanan hospital bagi, sebiji roti yang keras dan air kopi panas. Saya hanya minum milo yang dibeli dari kedai bawah dahulu untuk melapik perut kerana seharian muntah. Misi kata bila sudah tidak muntah baru saya dibenarkan makan. Saya tunggu suami datang dalam pukul 9 lebih dan dia bawakan bubur nasi bersama sup ayam yang mak masak! Yeayyy!! Terbuka juga selera saya akhirnya!

Waktu melawat untuk hari Sabtu agak panjang. Saya mula tidak selesa dengan orang ramai yang datang melawat. Saya mahu berehat lagi dan mahu memerah susu sebanyaknya kerana bengkak susu saya makin parah. Demam saya agak tinggi!

Saya melihat orang-orang yang datang melawat. Bermacam-macam gaya adanya. Tak kurang juga budak muda yang masuk ke wad dengan memakai spek mata hitam dan rambut tercacak. Mahu rasanya saya nak bagi pelempang sebijik dua kata. Yang memakai tudung pula dengan brooch di leher sebesar telinga gajah! Tak pernah saya tengok brooch sebesar itu! Bila bercakap semuanya dengan suara yang tinggi. Ketawa terbahak-bahak. Semacam dalam pasar dah saya rasakan. Semuanya memeningkan dan meloyakan saya semula hingga saya terpaksa minta ubat tahan sakit dan saya muntah semula.

Katil di hadapan saya ada seorang budak dalam tingkatan 2 rasanya. Dia masuk ke wad sama waktu dengan saya. Tapi dia tidak dibedah. Tidak dimasukkan air, tidak ditiubkan kencingnya. Tapi dia sakit perut seperti saya. Tiada orang tua yang datang. Dia masih boleh makan nasi bungkus bersila di sisi katil dengan berseleranya. Yang datang menjaganya ialah kawannya dan yang melawatnya semua adalah kawan-kawannya. Sekejap sekumpulan kawan perempuan sebayanya datang dan membuat 'reunion' di atas katil. Siap sikat-sikat, belai-belai, hias-hias rambut atas katil. Sorang sikatkan rambut. Lagi 7 orang atas katil dok berbual sambil ketawa terbahak-bahak dan mengambil gambar sorang-sorang dan beramai-ramai untuk dimuatnaik ke facebook gamaknya. Tak lama kemudian, grup kawan lelaki seramai 9 orang pula yang datang melawatnya. Berkumpul di satu tempat di hujung katil dan tak tahulah apa saja dibualkannya. Hingga habis masa melawat jugalah.

Masa tu saya dah tak boleh nak menahan lagi. Saya suruh suami ambilkan dua tirai dan tutup sikit kiri kanan katil untuk saya perah susu anak secara manual. Namun, oleh kerana grup budak lelaki itu betul-betul berada di hadapan kanan sikit dari katil, maka mereka masih boleh nampak lagi. Saya tak selesa sungguh hingga terpaksa meminta biras saya yang datang melawat menjadi 'tirai' untuk saya dan menolong memerah susu sama kerana susu tak mahu keluar.

Oohoooo, budak-budak itu memang sungguh TIDAK RETI BAHASA!!! Seorang budak laki yang datang dengan aweknya berpegangan tangan siap menjeling-jeling saya di sebalik tirai yang serba nak runtuh itu! Memang dah gatal dah tangan ni nak bagi sedas dua. Tapi, SABAR....

Kemudian, saya tak boleh teruskan. Saya berhenti. Lewat petang sedikit bila masa lawatan tamat, wad sudah kembali tenang, dengan bengkak susu yang maksimum saya meneruskan memerah susu untuk anak. Masa tu saya dan suami saja berdua.

Saya : Patutlah kenapa lebih ramai yang suka pergi hospital swasta dari hospital kerajaan nih.

Suami : Yelah, pastu keluar hospital pun bertambah sakit lain pulak nak bayar habis bil!

Saya : Kenapa saya tak dapat nak rasa yang takde 'sakit tambahan' yang? Yelah, saya nak jugak rasa selesa bila duduk kat wad hospital. Takyah selesa sangat pun takpe, asalkan dapat privacy sikit pun jadilah..

Suami : ................................................

Senyap. Tiada jawapan. Dia hanya memandang ke bawah. Tiba-tiba saya nampak airmatanya bergenang dan menitis!.. Saya tahu saya dah 'silap cakap'... Saya pandang suami yang terkial-kial memerah susu untuk anak dengan pandangan yang sangat bersalah. Dan kasihan. Walaupun dia tidak berkata apa-apa, tapi saya sedang bercakap dengan dia yang sebenarnya saya tak salahkan dia. Bukan juga niat saya untuk tidak bersyukur. Cuma, saya menyuarakan rasa saya yang semuanya 'sakit' ketika itu. Saya tarik balik kata-kata saya!

Siapa kata airmata wanita je yang boleh menjadi senjata? Airmata seorang lelaki juga mampu membunuh!

Seorang doktor yang membuat rotate petang, India, memberitahu saya, "You look better now. Kalau macam ini saya jamin lagi 2 hari awak boleh keluar. Awak kena kuatkan semangat! Syarat nak keluar kena buang tiub masuk air  ni dengan tiub kencing. Bila awak dah boleh berjalan, baru kami benarkan awak keluar. Fikirkan your baby at home. Kuatkan semangat lagi perah susu untuk dia ok!"

Saya membalas, "Make it 1 day la doc.." Dan dia hanya tersenyum..

Malam itu, giliran adik pulak yang menjaga saya. Saya nampak ramai lagi makcik tua yang mula masuk wad. Siap dengan kipas kecil sekali dibawanya seperti sudah biasa masuk wad dan tahu apa keperluan paling penting dalam wad. Ya, kipas! Dan kipas itu dipasang dan diletakkan di atas kepala pesakit. Saya tengok hampir semua katil tepi ada kipas bawa sendiri ini. Amat selesa rasanya bila dapat kipas di kepala. Katil saya berada di tengah-tengah wad. Kipas siling agak jauh dari saya. Saya selalu kepanasan di siang hari dan juga malam hari. Air-cond adalah sesuatu yang tak wujud bila masuk ke wad hospital kerajaan sebegini! Saya hanya mampu bersabar dalam kesakitan walaupun berpeluh-peluh menahan kepanasan. Nak buat camna lagi kan..

Esok pagi, Ahad, seorang doktor muda rotate seperti biasa. Sebelum ni semua yang rotate pun doktor muda-muda belaka! Sejak malam semalam misi dah memberhentikan tiub air saya apabila saya sudah boleh makan dan tidak muntah lagi. Pagi tadi pula saya gagahkan diri pergi ke bilik air (yang sangat jauh terletak di hujung bangunan) untuk mandi setelah 3 hari tak dapat mandi. Jadi, saya minta misi tanggalkan tiub kencing. Bak kata suami, kalau depan doktor kang buat-buat sihat, jalan-jalan depan dia. Jadi, bila doktor datang memeriksa dua perkara itu sudah saya singkirkan. Saya beritahu doktor yang saya nak balik secepat mungkin sebab penyelesaian kepada demam saya hanyalah balik rumah supaya dapat menyusukan anak seperti biasa. Demam saya ini disebabkan bengkak susu saja walaupun sudah diperah.

Doktor tu membalas, "Kena tengok lagi 1 hari ni macamana dulu kak." Saya katakan, "1 hari? Jadikan setengah hari jelahhh.." Dia kata sambil tersenyum, "Tengoklah dulu camna kak.."

Dalam pukul 12 tengahari ada lagi segrup doktor membuat rotate sekali lagi. Pagi tadi sorang je. Kali ni ramai doktornya. Tapi diketuai oleh seorang doktor dalam lingkungan 30an umurnya. Mereka sampai di katil saya.

Saya : Doktor, kenapa saya tak boleh bawa balik appendiks saya?
(Senyap. Tiba-tiba mereka ketawa serentak!)
Doktor : Awak nak bawak balik appendiks awak yang dah kering jadi spesimen dalam lab tu? Kalau awak nak boleh je mintak dari lab.
Saya : Takdelah, saya ingat nak tanam appendiks saya tu. Lupa pulak nak bagitau awal-awal..
(Mereka masih ketawakan saya lagi beramai-ramai. Seorang doktor muda yang lain mencelah,  "Takyahla bawak balik.. Dah kering dah benda tu.."

Kemudian, doktor tu tekan-tekan perut saya dan dia berkata, "Ha, kalau dah tak sakit lagi boleh la awak balik.."

Yeayyyyy!!! Tersenyum lebar saya.. Oooo rupa-rupanya, tips untuk balik cepat dari hospital kerajaan ni ialah BUAT LAWAK kat doktor! hahaha.... (Masalahnya, saya buat lawak ke tadi? Saya tengok suami saya tak ketawa pun?)

Sebenarnya, saya memang baru teringat pasal appendiks saya itu. Yelah, walaupun ianya sekecil-kecil ciptaan yang hidup dalam tubuh saya dan walaupun doktor semua berkata appendiks ni tiada faedahnya duduk dalam tubuh namun saya masih menghormatinya sebagai salah satu ciptaan Allah yang misteri. Sehingga ke hari ini tiada seorang pun pakar perubatan alopati yang mengiktiraf fungsi sebenar appendiks di dalam tubuh manusia. Ilmunya belum sampai lagi. Kerana sesungguhnya, setiap apa jua ciptaan Allah itu bukanlah sia-sia! Dia juga harus dihormati sebagai organ manusia yang harus dikembalikan kepada tanah. Dia bukan sesuatu yang terhasil daripada kealpaan kita untuk menjaga kesihatan diri seperti batu karang, batu dalam hempedu. Semua orang dalam dunia ini dilahirkan dengan appendiks. Mana ada kes orang lahir tiada apendiks? Maka, pasti ianya sesuatu yang penting!

Oh ya, hasil pembedahan saya ialah appendiks normal, ovari normal. Jadi, ada rasa menyesal pula kerana gagal mempertahankan appendiks saya. Bukan apa, awal-awal lagi saya minta di scan supaya pastikan betul-betul adakah appendiks menjadi punca. Bukan dibedah dan ok tak ok semua kena buang. Namun, dibalasnya prosedur appendiks walaupun suspek appendiks pun memang begitu. Katanya, kalau semua orang yang sakit perut datang hospital nak kena scan, habislah diorang! (Saya tak taulah habislah diorang part mana..) Mereka ada scanner tapi digunakan untuk scan penyakit lain je gamaknya. Agaknya kos lebih rendah dengan pembedahan daripada scanner itu. Kerana memang kebiasaan hospital kerajaan akan memilih kos terendah daripada hak-hak tertentu untuk pesakit. Ya, saya faham...

Akhirnya, saya pulang dari hospital dengan berkerusi roda (masih tak boleh berjalan jauh) lebih kurang jam 3.30 petang itu dengan bermacam-macam ibrah yang saya kutip dari sana. Ya, walaupun saya komplen begitu begini tak bermakna saya membenci. Setiap yang terjadi dalam hidup kita, samada suka ataupun tidak, kita harus berlapang dada dan cuba menghadam sedalamnya hikmah dan pengajaran yang tersirat.

Kerana itu saya sukakan sesuatu yang mencabar. Kadangkala ianya menyeronokkan setelah kita tahu kita baru saja berjaya melaluinya dan mengatasinya.

1. Saya menjadi orang yang lebih kuat, yang lebih tahu apa yang saya mahukan dalam hidup. Jika diikutkan saya masih mahu berehat dan dalam kesakitan lagi semasa saya keluar tempohari. Namun, saya harus gagahkan jua dan melupakan semua kesakitan yang ada demi anak-anak saya di rumah. Fathi sudah tidak mahu makan nasi bila saya tiada, Fatihah yang terkejut kerana 'kehilangan' sementara saya tempohari dan susu yang sudah 4 hari tidak dapat dia telan. Mak dan abah yang keletihan menjaga anak-anak saya, melayan rengek tangis anak-anak, menidurkan anak-anak, memandikan anak-anak dan terpaksa berkejaran memasak makanan untuk saya di hospital. Semuanya membuatkan mereka tidak dapat berehat sepenuhnya saja. Meletihkan. Jadi saya harus menggagahkan diri walau sakit seberat mana yang saya rasa agar orangtua saya tidak terbeban sangat dan semuanya kembali tenang seperti biasa.

Saya terfikir, saya boleh memilih untuk terus melayan kesakitan saya seperti budak di hadapan katil saya itu apabila ramai kawan-kawan yang datang melawat dan kita dimanjai. Jika saya berada di tempatnya juga saya akan berbuat begitu kerana mungkin di rumah saya tiada sesiapa yang dahagakan kehadiran saya. Namun, saya memilih untuk tidak melayan kesakitan ini kerana di rumah saya ada segalanya.


2. Saya melihat orang-orang yang sakit itu dan duduk lama di dalam wad sebenarnya mempunyai konflik kasih sayang. Seperti makcik di tepi katil saya. Selepas dia daftar masuk ke dalam wad, anak yang menghantarnya tadi tidak lagi kelihatan. Makan sendirian. Hanya duduk termenung. Apabila ada saudara atau mungkin temannya datang melawatnya sehari sebelum dia dibedah, dia menangis teresak-esak sambil memeluk pelawat-pelawatnya. Sama juga seperti foreigner yang membuat bising di pagi buta itu. Semuanya masuk ke hospital dengan harapan mahu melihat sejauh mana dia diperlukan orang dan orang memberi perhatian kepadanya ketika dia dalam kesakitan, dalam kesempitan. Saya merasakan sebenarnya ubat-ubatan hanyalah bertindak dalam 10%-20% dalam mengubati penyakit seseorang. Selebihnya adalah berkenaan diri sendiri dan sebanyak mana kasih sayang dan sokongan yang diperolehi untuk tubuh badannya 'mengubati' sendiri sakit yang dirasai.

Bagi saya, diri kita sendiri adalah doktor terhebat untuk sakit yang kita alami.

3. Walaupun saya dimasukkan dan berada di wad kelas 3 Hospital Sultanah Aminah, JB yang semuanya hanya bernilai RM 41.80 namun hikmahnya melangkaui jumlah itu. Allah lebih tahu apa keperluan saya daripada kemahuan yang saya patut ikuti.

Rupa-rupanya di sebalik ketidakmampuan kami untuk ke hospital swasta, sebenarnya ianya mengajar saya bahawa setelah segalanya saya dapat, tiba masanya untuk saya merasai 'sedikit' kekurangan dengan cara begini. Saya ada adik ipar dan adik sendiri yang sudi menemankan saya di hospital. Saya ada keluarga yang sangat mengambil berat ketika saya susah, saya ada kakak yang sanggup mengambil cuti emergency sehari untuk tolong menjaga anak-anak saya dan yang paling penting saya masih ada suami yang menyuapkan saya makan, yang masih cuba menolong saya memerah susu untuk anak walaupun amat sukar untuknya, memicit kaki dan membersihkan badan saya di saat saya tidak terdaya. Saya fikir, jika saya masuk ke hospital swasta pun mungkin saya akan menjadi lebih manja kerana semuanya selesa dan tersedia selengkapnya. Dan yang pasti, mesti saya akan mahu terus berada dalam hospital lebih lama dengan anak-anak sekali masuk hospital kerana pelbagai kemudahan yang ada. Akhirnya, pasti ini akan membebankan suami saya untuk membayar semuanya yang mungkin 5-6 kali ganda dari bil hospital yang ini.

Di sebalik ini semua mengajar saya erti 'menjadi kuat ketika keadaan kita yang paling lemah' dan memahami agar 'menghargai kekurangan di balik kesenangan' kerana Allah lebih tahu menakdirkan kita di jalan mana supaya kita tidak terus bermegah, merasai hanya kesenangan dan membazir kepada sesuatu yang mengikut selera kita saja berbanding menjalaninya mengikut keperluan sebenar.


Yang paling penting, saya dapat rasakan betapa 'Home sweet home' saya. Oh rumahku syurgaku!!! Sungguh...

Ya, saya bahagia dan bersyukur. Kerana dengan kekurangan, dengan kesempitan ini saya beroleh kelapangan dan kesihatan yang lebih tinggi harganya.

Segala puji bagi Allah yang menjadikan sesuatu mengikut kadar kemampuan hambanya...




2 ulasan:

Fatanah Fadhil berkata...

subhanaAllah..saya terharu dan agak berair mata saya bila membaca catatan ini...moga terus tabah dan kuat ye sahabat...

Khadijah Gani berkata...

Terima kasih fatanah.. Tabah dan kuat harus sebati untuk menjadi seorg emak kan.. ;))

Terima kasih kerana sudi membaca.

Label

#jdtblogger #teambloggerjohor