رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian

وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ

Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim

وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula -

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah ash-shua'ra)

Khamis, 8 September 2011

# sudut pandang # tazkirah

Mencari Kasih Sempurna.

"Fathi, jangan main pisau ni! Nanti luka, sakit!!!"
"Tiha, jangan diri kat situ nanti jatuh baru tau!!!"
Ibu mana dalam dunia ni yang mahu anak-anaknya berada dalam kesakitan? Itulah naluri seorang ibu. Begitu juga naluri seorang ayah.

Perkataan JANGAN memang negatif tapi perkataan itu saja yang mampu memberhentikan si anak agar tidak meneruskan langkah yang salah.

Bagi seorang anak pula dia takkan tahu betapa tajamnya pisau sehingga akan membuatkannya sakit. Dia juga masih naif untuk menjangkakan jikalau dia cuba berdiri dengan sebelah kaki di dalam besen yang di bawahnya ada air, maka dia akan tergelincir dan jatuh. Bukan tidak pernah dia jatuh terduduk atau luka di tangan sebelum ini akibat perbuatannya yang lain, namun hakikatnya dia tak pernah menduga perkara yang sama bakal berulang walaupun langkah berbeza yang dibuat.

Di sinilah maksud sebenar tentang ilmu kehidupan dan kematangan.

Setiap orang punya ilmu berbeza. Punya pandangan berbeza. Punya tahap kematangan dalam menilai sesuatu juga berbeza. Semua itu tertakluk kepada pengalaman dan pengamatan yang diterima.

Namun, walau betapa banyak pengalaman yang diperolehi tidak sesekali menjanjikan pengajaran dan pengamatan yang sama. Mungkin seseorang banyak pengalaman tapi tidak pernah belajar mengambil pengajaran.

Si ibu menegah si anak. Dalam ilmu si anak tiada kesalahan yang dibuat mengapa perlu marah-marah?

Si ibu pula, bersungguh-sungguh melindungi anaknya, namun si anak ingkar dan akhirnya merasa juga kesakitan itu. Jadi mengapa perlu diingatkan dari awal jika akhirnya terkena juga?



Manakala, dalam ilmu Allah pula tak selalu dapat kita jangka. Hanya dengan doa si ibu yang selalu ada dalam hidup si anak, maka dipegangnya pisau itu juga namun tidak terkena jarinya. Hanya sipi-sipi saja lagi boleh terkena. Masih selamatlah anak dari kesakitan.

Begitu hebatnya kasih sayang dan pengetahuan ibubapa terhadap anak yang dilahirkan.

Itu semasa kecil hidupnya. Apabila sudah dewasa, fasa yang paling penting dalam hidup si anak adalah memilih pasangan hidup. Ya, hidup ini sebenarnya penuh pilihan!

Apa saja pilihan kita haruslah menepati SYARIATULLAH dan SUNNATULLAH.

Contoh.
Syariatullah : Makanlah makanan yang halal lagi bersih.
Sunnatullah : Orang Melayu makan pakai tangan, orang cina pakai chopstik, orang barat pakai sudu garfu. Kalau boleh ikut sunnah nabi makan pakai tangan namun, adakah ia menunjukkan yang orang cina Islam atau orang Inggeris itu makan dengan cara yang tidak bersih lagi halal?

Contoh.
Syariatullah : Apabila datang kepadamu seorang lelaki yang beragama dan berhajat kepadamu maka, kahwinilah dia dan permudahkanlah.
Sunnatullah : Adakah perlu diketepikan adat setempat & nasihat orangtua semata-mata lelaki itu beragama Islam dan membaca kitab agama dengan banyak?

Perkahwinan bukan semudah 2+2=4. Ia boleh jadi 0. Boleh jadi 40,000.

Perkahwinan juga bukan sesekali mengenai 'kau dan aku' saja. Sudah saling mencintai dan sanggup berkorban apa saja - mari kita kawin (bukan nak kawin dengan mak, bapak atau adik beradik ko). Oh bukan!!

Perkara asas dalam hidup, Syariatullah (urusan akhirat) itu penting. Namun, ia harus bergerak seiring dengan Sunnatullah (urusan dunia). Agar kita beroleh bahagia di kedua-duanya.

Kerana itu  perlunya nasihat dan pandangan orangtua yang lebih arif dan tahu adat susila setempat walaupun ianya tidak disenaraikan secara khusus dalam agama.

Ya, cinta itu buta! Namun, orang yang bercinta tidak harus turut menjadi buta, pekak dan tuli dari mendengar nasihat dan berlapang dada menerima pandangan orang di sekelilingnya.

Untuk mengenalkan seseorang yang kita tidak kenal kepada orang-orang yang sudah lama kita kenal itu memang payah. Susah. Dan selalu saja menjengkelkan kerana bermacam-macam pandangan yang dilempar. Namun, bagaimana pandangan kita kepada orang lain, begitu jugalah pandangan orang lain kepada kita dan pasangan yang baru kita kenali itu. Semuanya mengenai kekuatan minda dan pemikiran kita sendiri!

Jika kita mahu pasangan dan pendapat kita diterima, seharusnya kitalah yang terlebih dahulu berlapang dada menerima pandangan dan dapat menjawab apa saja persoalan yang timbul di kalangan ahli keluarga sendiri. Jangan sesekali menyalahkan orang lain jika kita sendiri gagal untuk memahamkan pasangan baru kenal itu kepada orang yang sudah lama tahu 'kentut busuk' kita.

Dalam kata lain, jika hal-hal sebelum perkahwinan dan urusan perkahwinan itu sendiri kita gagal untuk mengendalikannya dengan harmoni, bagaimana pula nanti hendak menguruskan satu perkahwinan yang mahu tidak mahu akan berjumpa dan bergaul dengan adik beradik lain, pakcik makcik, ipar duai yang lain kelak?

Pasangan yang matang dan berilmu takkan membiarkan salah seorang menjadi semakin salah tanggap dan memandang rendah kepada ahli keluarga sendiri.

Malah, seorang yang betul-betul matang boleh menjadikan situasi dan pandangan yang negatif bertukar menjadi sesuatu yang positif serta berupaya untuk tidak menjejaskan banyak pihak..

Seorang yang matang mampu berkomunikasi dengan baik dan mampu berhadapan dengan sesiapa saja yang masih ragu-ragu tentang keikhlasan cintanya.

Seiring itu, harus dinilai pada akhlaknya.

Bagi saya akhlak yang tertinggi apabila seseorang itu tahu keadaannya yang sakit (tidak tahu bila boleh sembuhnya), maka haruslah dilepaskan segala ikatan agar pasangannya bebas jiwa dan punya pilihan yang lebih baik. Bagaimana jika itulah yang terbaik yang pernah kita jumpa dan kita memilih untuk setia?

Jika itulah yang terbaik yang pernah kita jumpa, maka sebenarnya ada yang lebih baik dari itu yang sedang menunggu kita. Ingat, dalam ilmu Allah, tiada siapa yang dapat menduga. Yang tidak seorang pun dapat menjangka!

Mengapa harus setia jika masih tiada apa-apa ikatan lagi? Itu dinamakan setia yang membabi buta.

Kerana itu wahai srikandi Islam sekalian, berjiwalah besar! Pilih yang beragama sudah pasti. Namun, agama yang bagaimana itu harus diselidiki. Dari akhlaknya kita mampu tahu bagaimana agamanya. Bagaimana nak tahu akhlaknya? Tengoklah pada tingkah lakunya terhadap ibubapa kita dan pandangannya terhadap orang yang melahirkan dan membesarkan kita. Jika si dia tidak pandai untuk mencuri hati atau sekurang-kurangnya memenuhi nasihat dan permintaan ibubapa kita sendiri dengan baik dan BERHIKMAH bermakna, 'akan datang jika berkawin dengan orang sebegini, kita akan ikut dia saja dan dia tak mahu balik rumah ibubapa kita sendiri'. Semasa itu, menyesal pun tak berguna lagi.

Orang yang berilmu dan beragama dengan sebenar-benarnya adalah seorang yang berhikmah. Tidak terlalu mengikut jiwa mudanya sahaja malah menuruti dan menghormati setiap permintaan orangtua tak kira dari sebelah mana pun adanya. Dalam setiap perbualan dan tingkah lakunya terhadap orangtua, dia akan cuba untuk belajar sesuatu. Memerhati dan belajar dari orangtua tentang ilmu hidup yang tidak akan dapat dibaca atau ditulis dari kitab-kitab lama mahupun buku-buku teks di sekolah dan universiti.

Wahai srikandi Islam zaman moden ini, hormatilah pandangan orangtuamu walaupun ianya menyusahkan dan tidak mengikut peredaran zaman seperti sangkaanmu. Bukan kerana mereka 'lebih banyak makan garam dulu' tapi sebenar-benarnya mereka lebih tahu mengurus Sunnatullah (adat setempat) dalam menilai dan memilih siapa yang sesuai untuk anak mereka. Bukan memilih siapa yang terbaik untuk si anak tapi siapa yang lebih sesuai hendaknya. Asalkan saja orangtuamu itu tidak mempersekutukan Allah, maka keredhaan ibubapa adalah keredhaan Allah dan keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan ibubapa.

Kadangkala, orangtua mengatakan alasan seperti 'anak saya ni belum tahu memasak lagi' atau 'belum cukup matang lagi' atau 'tak tahu basuh baju lagi' yang kamu rasakan alasan bodoh saja namun sebenarnya maksud mereka adalah, 'belajarlah tentang ilmu hidup wahai anak! bukan pandai belajar jawab peperiksaan saja.'

Jika kamu ikutkan darah mudamu (semua nak cepat, semua nak mudah) maka bersedialah.. 5 tahun dari sekarang kamu akan menyesali apa yang kamu lakukan hari ini. Apalagi jika kamu sudah mengalirkan airmata orangtuamu yang sejak lahir membela kamu. Ketika itu, barulah kamu akan nampak dan faham apa yang orangtua sudah nampak sejak awal perkenalan dahulu.



Tiada cinta sempurna dalam dunia ini. Setiap pasangan samada baru kita jumpa atau sudah bertahun kita kenal pasti berubah jua satu hari nanti. Kita takkan lagi mengenali pasangan kita selepas 5 tahun seperti siapa yang kita kenal hari ini. Tapi, dengan agama dan akhlak, ianya pasti terjamin malah ianya pasti bertambah dengan adanya ilmu yang baik dan betul yang turut ditambah.

Ilmu yang betul itu haruslah berguru dan tidak boleh hanya melalui pembacaan sahaja.

Yang wujud dalam dunia ini hanyalah kasih sayang yang sempurna hanya dari ibubapa yang melahirkan kita, memelihara kita dan membesarkan kita dengan segenap kudratnya. Walaupun kita tak sempurna dan selalu melakukan kesilapan dan keterlanjuran beberapa kali namun, ibubapa kita tetap memaafkan kita dan mengesat kembali airmatanya demi kita tanpa apa-apa syarat.


Tiada ulasan:

#jdtblogger #teambloggerjohor